You are on page 1of 18

PERMAINAN BAHASA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

oleh Siti Hajar Hj. Abdul Aziz Jabatan Bahasa Melayu Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa

ABSTRAK Artikel ini memberikan penjelasan tentang beberapa perkara yang berhubung dengan permainan bahasa. Pada hari ini aktiviti permainan bahasa kurang dipraktikkan di dalam bilik darjah. Antara alasan yang diberikan adalah seperti tiada ruang di dalam bilik darjah, bilangan pelajar yang ramai dalam sesebuah kelas, aktiviti ini memerlukan perancangan yang rapi, kekangan masa, ketiadaan alat dan bahan yang berkaitan dan sebagainya. Justeru, artikel ini memberikan input yang dapat membantu para guru dalam merancang dan mengelolakan aktiviti permainan bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. ...games can be used at all levels in language syllabus and with all types of pupils from primary school children to adults... Alan Chamberlain (1986)

PENGENALAN

Permainan bahasa adalah cara mempelajari bahasa melalui permainan. Teknik ini sesuai digunakan pada semua peringkat pembelajaran bahasa, iaitu daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat sekolah menengah. Teknik ini juga adalah satu strategi pengajaran yang sesuai digunakan pada pelbagai tahap pencapaian pelajar. Permainan bahasa bukanlah merupakan aktiviti tambahan untuk bergembira semata-mata, tetapi ia

boleh digolongkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang berhasrat memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran bahasa yang telah dipelajari di dalam bilik darjah. Permainan bahasa merupakan aktiviti yang dirancang dalam pengajaran dan ada hubung kaitnya dengan kandungan isi pelajaran secara langsung atau tidak langsung.

OBJEKTIF PERMAINAN BAHASA

Permainan bahasa yang diintegrasikan dalam pengajaran seharusnya mempunyai beberapa objektif yang tentu. Antaranya seperti yang berikut:

(a) Merangsang interaksi verbal pelajar Dalam permainan, pelajar akan diminta bercakap untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka. Di samping itu, mereka juga diminta memberikan alasan-alasan tertentu yang berkaitan. Lazimnya, mereka perlu terlibat sepenuhnya secara aktif dalam permainan itu. Setiap ahli kumpulan akan merasakan diri mereka diperlukan dalam kumpulan itu dan pada bila-bila masa sahaja mereka akan diminta bercakap dan mengutarakan pandangan. Tiada seorang pun daripada mereka dibiarkan bersendiri dan terkecuali. Sebaliknya, mereka harus mengutarakan tekad dan berazam sepenuhnya untuk berkomunikasi. Kesedaran seperti ini akan memberi peluang kepada guru menghasilkan satu suasana pembelajaran yang menarik dan berorientasikan pelajar. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator dan menjaga disiplin kelas. (b) Menambah kefasihan dan keyakinan Permainan bahasa boleh digunakan sebagai satu cara untuk meningkatkan kefasihan berbahasa serta menambahkan keyakinan diri. Bahasa yang digunakan dalam sesuatu permainan itu tidak harus terhad kepada beberapa struktur ayat sahaja. Fungsi bahasa boleh melibatkan semua peringkat kerumitan berbahasa yang berbeza-beza. Permainan yang mengandungi kegiatan memberikan arahan umpamanya, boleh dimainkan pada semua peringkat bergantung pada pengetahuan bahasa dan kefasihan tertentu pelajar. Pelajar biasanya merasa seronok apabila dihadapkan dengan permainan yang mencabar. Secara tidak langsung mereka akan menyedari kebolehan dan keupayaan mereka dalam bahasa yang dipelajari. Peranan guru sebagai pemaklumat bahasa sangatlah penting. Guru harus bersedia memenuhi keperluan pelajar dalam permainan tersebut, terutama dalam konteks kepelbagaian bentuk kosa kata serta kecanggihan tatabahasa dan sintaksis.

(c) Menyediakan konteks pembelajaran Permainan bahasa membawa perkembangan perhubungan yang positif dalam kalangan individu yang terlibat, bukan sahaja antara pelajar dengan pelajar tetapi juga antara pelajar dengan guru. Permainan bahasa membantu merapatkan hubungan dan kerjasama antara mereka. Ini merupakan satu suasana yang sihat dan berfaedah kepada para pelajar, khususnya yang bersifat pemalu dan pasif. Dalam permainan, mereka dapat menunjukkan kecergasan, di samping terlibat secara berkesan dalam apa sahaja aktiviti yang dijalankan. (d) Alat mengikis rasa bosan Pada waktu-waktu tertentu, umpamanya pada waktu menjelang tengah hari, pelajar akan merasa bosan, mengantuk dan lapar. Bayangkan sahaja bagaimana guru dapat menyampaikan pengetahuan tentang tatabahasa dan aspek-aspek pemahaman dalam keadaan yang melesukan. Begitu juga dengan aktiviti kelas yang melibatkan penulisan karangan dan pembentukkan ayat-ayat. Pada saat ini permainan bahasa dapat menimbulkan perasaan gembira dan menyebabkan mereka lupa sekejap rasa lapar dan mengantuk. Permainan mewujudkan komunikasi dalam bentuk yang semula jadi dan memenuhi keperluan pelajar apabila berhadapan dengan dunia sebenar. Permainan ini berasaskan keadilan dan pertandingan, akan meransang pelajar untuk bertindak balas, memprotes dan memberikan hujah. Dengan ini, pelajar dilatih berhadapan dengan interaksi kehidupan sebenar yang bakal dilalui oleh mereka dalam kehidupan di luar bilik darjah. (e) Alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan Dalam pengajaran bahasa, permainan boleh dijalankan dalam pelbagai bentuk mengikut tujuannya. Justeru, permainan sangat berguna dalam aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Kebanyakan pelajar yang lemah menghadapi masalah pengamatan dan pendengaran. Kelemahan ini dapat diatasi sedikit demi sedikit melalui aktiviti permainan yang dirancangkan. Jika tiada langkah yang diambil untuk mengatasi kelemahan ini, pelajar berkenaan akan menemui kesukaran menyebut bunyi, huruf, membunyikan suku kata dan perkataan. Selepas sesuatu pengajaran, gerak kerja pengukuhan pula diadakan. Latihan yang dijalankan secara berterusan mungkin membosankan pelajar. Walau bagaimanapun, aktiviti pengukuhan masih boleh diteruskan dengan syarat latihan dan latih tubi yang diperkenalkan itu dipelbagaikan dalam bentuk aktiviti permainan bilik darjah. Pelajar di dalam sesebuah kelas, biasanya mempunyai pelbagai peringkat kebolehan, misalnya kumpulan cergas, sederhana dan lemah. Sesetengah pelajar mempunyai perasaan malu yang tebal dan ada juga yang pendiam atau tidak begitu ramah. Namun demikian, mereka perlu dilibatkan sama supaya perasaan negatif yang menguasai diri mereka itu dapat dihapuskan. Sebagai aktiviti pengayaan, pelajar yang lemah boleh digalakkan mengambil bahagian bersama-sama dengan pelajar yang cergas melalui permainan yang dijalankan. Namun, mereka ini harus diberikan tugas yang mudah yang bersesuaian dengan kebolehan dan kemampuan mereka. Bagi pelajar yang cergas pula, permainan dalam aktivitki pengayaan akan menambahkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman mereka.

PERMAINAN BAHASA SEBAGAI SATU TEKNIK PENGAJARAN

Penggunaan permainan bahasa sebagai satu teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa bukan lagi merupakan satu perkara baru dalam dunia pendidikan hari ini. Sebagai satu teknik yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, permainan bahasa mempunyai kelebihan. Antaranya seperti yang berikut: (a) Untuk membolehkan pelajar membiasakan diri menyebut sesuatu bunyi (perkataan, frasa dan ayat) dengan jelas, betul dan tepat. Di samping itu, mereka juga boleh berlatih mengucapkan ayat dengan sebutan, intonasi, tekanan, jeda dan gaya yang betul. (b) Permainan bahasa dijadikan bahan rangsangan sama ada semasa memulakan sesuatu pelajaran, pada pertengahan atau akhir pembelajaran. Sebagai bahan rangsangan, permainan bahasa tentunya dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Ini kerana pelajar berpeluang menggunakan bahasa dalam suasana yang menyeronokkan serta terlibat secara aktif. (c) Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, permainan bahasa lebih merupakan teknik mengulang kaji dan pengukuhan. Ini bermakna apa yang dipelajari itu diulang-ulang sehingga kekal dalam ingatan. Teknik ini berperanan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pembelajaran. (d) Masa untuk permainan bahasa dianggap sebagai masa istirehat yang berfaedah. Teknik ini berupaya menghilangkan rasa letih dan bosan setelah belajar sehari suntuk. Dengan cara bermain pelajar dapat memperbaharui semangat dan minat untuk meneruskan pembelajaran mereka. (e) Pelajar berpeluang menggunakan kemahiran bahasa yang ada pada mereka dalam konteks dan situasi sebenar dan bermakna. Ini kerana semasa bermain, pelajar akan bertindak balas secara spontan, iaitu dengan bertanya, memberikan arahan, meneka dan membaca. Keseronokan bermain seperti ini akan menghidupkan keinginan pelajar untuk belajar, berfikir, mendengar dan mengeluarkan buah fikiran secara berkesan.

UNSUR PERMAINAN BAHASA Aspek yang lebih ditekankan dalam permainan bahasa adalah semangat bekerjasama dan bukan pertandingan semata-mata. Pelajar bekerjasama dalam menyempurnakan tugas tertentu yang mendorong mereka untuk berinteraksi antara satu sama lain. Permainan adalah satu cabaran untuk mencapai satu-satu matlamat atau melaksanakan beberapa tugas yang menarik dengan jayanya. Oleh itu, permainan harus berupaya memberikan motivasi yang tinggi dan bukan hanya setakat bertanding. Permainan harus dapat memperkayakan pengalaman pelajar dan membantu menghindarkan kebuntuan dan rasa bosan di dalam bilik darjah. Aktiviti ini harus mampu memantapkan proses penguasan bahasa dengan menimbulkan keseronokan dan suasana yang lebih harmoni.Permainan bahasa dapat meningkatkan motivasi, membantu proses sosialisasi dan menyatukan pelajar daripada aras kebolehan

yang berbeza-beza. Sekiranya digunakan dengan betul, teknik permainan boleh memberikan lebih banyak pengalaman yang berguna dan berharga jika dibandingkan dengan kaedah pengajaran konvensional. Oleh itu, guru harus memikirkan faedah dan apa yang dijangka dapat dicapai melalui aktiviti permainan di dalam bilik darjah. Untuk pelaksanaan teknik permainan yang berkesan, perkaraperkara yang berikut perlu diberikan perhatian: (a) Meningkatkan motivasi Motivasi adalah satu insentif atau rangsangan sesuatu aksi. Pelajar biasanya ingin bekerja secara aktif dan bukan hanya bertindak sebagai penonton sahaja. Motivasi mereka untuk terus belajar akan dapat dipertingkatkan sekiranya mereka dapat melihat potensi kemahiran yang dipelajari di dalam bilik darjah dapat dihubungkaitkan dengan kegunaannya di luar bilik darjah. Oleh sebab terdapat beberapa masalah dalam pembelajaran bahasa, pelajar biasanya menjadi pasif. Ini kerana di dalam bilik darjah pelajar dikehendaki melakukan terlalu banyak aktiviti mendengar, latih tubi dan latihan menulis. Mereka juga tidak dapat melihat kepentingan aktiviti ini dengan penggunaan bahasa dalam kehidupan mereka seharian. Ini menjadikan pelajaran bahasa sungguh membosankan, belajar untuk sementara waktu sahaja dan tanpa kesungguhan serta keinginan yang mendalam. Permainan memerlukan penyertaan individu. Sewaktu pelajar memainkan permainan bahasa, mereka akan melibatkan diri dalam semangat pertandingan dan berhempas pulas untuk mendapatkan jawapan yang betul. (b) Interaksi Murid sekolah rendah amat gemar bertutur dan mereka juga mudah untuk bersosialisasi. Keadaan ini boleh dieksploitasi untuk meningkatkan interaksi sesama mereka. Peluang menggunakan sepenuhnya tenaga dan kebolehan untuk berkomunikasi sebenarnya berkait rapat dengan pengalaman berbahasa. Perkara penting yang patut diberikan perhatian adalah kesan daripada interaksi rakan sebaya. Mereka lebih banyak belajar melalui rakan sebaya daripada guru mereka sendiri. (c) Pertandingan Permainan bahasa bercirikan persaingan. Persaingan boleh berlaku antara sesama peserta, masa yang dihadkan, pencapaian persembahan yang terbaik atau mencapai matlamat tertentu. Sudah menjadi adat pertandingan ada yang menang dan ada pula yang kalah. Jadi, permainan bahasa mengeksploitasi kecenderungan bertanding tersebut untuk maksud pembelajaran. (d) Kerjasama Bekerjasama adalah satu unsur yang kukuh bagi setiap permainan yang penuh pertandingan. Dalam permainan, ahli-ahli kumpulan bekerjasama antara satu sama lain untuk memastikan kemenangan bagi kumpulan mereka. Semangat bekerjasama yang dipupuk melalui aktiviti permainan ini juga dapat digunakan dalam perkara-perkara lain sama ada di luar dan di dalam bilik darjah.

(e) Pembelajaran semula jadi

Permainan bahasa membolehkan berlakunya pembelajaran secara semula jadi. Malahan kecenderungan bermain adalah satu gesaan yang semula jadi. Ia harus digunakan sebaik mungkin oleh guru, terutama yang sentiasa berusaha mencari jalan merangsang keinginan pelajar untuk belajar. Pembelajaran bahasa berlaku dalam diri pelajar dan ia adalah satu proses yang perlahan. Banyak aspek yang berhubung dengan pembelajaran bahasa boleh berlaku melalui proses yang semula jadi. Ia terlaksana apabila seseorang itu terlibat dengan penggunaan bahasa itu secara langsung. (f) Peraturan permainan Dalam permainan bahasa, terdapat beberapa peraturan khusus yang telah didefinisikan secara jelas. Semua pelajar yang terlibat dalam permainan, biasanya tahu dan faham akan cara dan peraturan untuk bermain. Semua peraturan yang telah ditentukan itu bertujuan mengawal permainan dan memberikan petunjuk atau panduan kepada peserta, di samping dapat mengredkan permainan itu mengikut nilainilai tertentu. (g) Penamat permainan Permainan bahasa mempunyai penamat. Biasanya, terdapat beberapa penentuan awal yang menandakan titik penamat untuk peserta menghentikan permainan mereka. Ia mesti dilakukan walaupun pada ketika itu pemain-pemain masih belum mencapai keputusan yang sepatutnya. PENGELOLAAN PERMAINAN BAHASA

Menyediakan pelajar atau kumpulan tertentu yang diperlukan untuk melaksanakan aktiviti adalah satu faktor yang penting bagi memastikan kejayaan sesuatu permainan. Organisasi bilik darjah mestilah dirancang dengan baik. Tidak kurang penting adalah pelajar itu sendiri tahu dan faham apa yang harus mereka lakukan. Pelajar boleh dibahagikan kepada pasangan, kumpulan kecil yang mengandungi tiga atau empat orang ahli atau aktiviti yang melibatkan keseluruhan kelas. Aktiviti berpasangan atau kumpulan diadakan bertujuan untuk menggalakkan semangat bekerjasama, iaitu tolong-menolong dalam suasana harmoni dagi menyelesaikan sesuatu masalah. Ia juga dapat mempererat perhubungan dalam kalangan pelajar, di samping mereka harus menggunakan kecerdasan mental dan kecergasan fizikal bagi mencapai matlamat permainan. Secara Berkumpulan Permainan bahasa boleh dilaksanakan dalam kumpulan-kumpulan kecil. Biasanya, empat hingga enam orang pemain dalam satu kumpulan sudah memadai. Bilangan ahli dalam satu-satu kumpulan adalah penting dalam menentukan kelancaran permainan. Jika bilangan pelajar dalam sesebuah kelas terlalu ramai, guru hendaklah membahagikan pelajar dalam banyak kumpulan. Keadaan ini mungkin kurang

selesa, terutama jika saiz bilik darjah itu kecil. Walau bagaimanapun, jika keadaan ini tidak dapat dielakkan, permainan tersebut boleh digantikan dengan jenis permainan bahasa yang dilakukan di luar bilik darjah. Secara Berpasangan Aktiviti berpasangan merupakan satu bentuk gerak kerja yang efektif dalam melibatkan penyertaan pelajar. Permainan bahasa secara berpasangan boleh memberikan lebih banyak peluang latihan mendengar dan bertutur. Biasanya, permainan secara berpasangan tidak banyak menimbulkan masalah jika dibandingkan permainan secara kumpulan. Guru lebih mudah untuk mengawal pasangan pelajar dengan bergerak dari satu pasangan ke satu pasangan yang lain. Secara Individu Permainan secara individu amat sesuai untuk aktiviti pengayaan. Cara ini biasanya dilakukan untuk pelajar yang pintar dan cerdas serta telah menyiapkan tugas yang diberikan oleh guru dalam sesuatu masa tertentu. Dalam permainan, pelajar berfikir sendirian untuk menyelesaikan masalah yang diberi. Jika masalah itu tidak dapat diselesaikannya, pelajar boleh merujuk kepada guru untuk mendapatkan petunjuk dan panduan. BENTUK INTERAKSI DALAM PERMAINAN BAHASA Peranan guru dalam aktiviti permainan bahasa adalah sebagai perunding, mentor, pembetul kesalahan dan pengadil. Guru haruslah berkecuali dan mengetepikan diri setelah arahan penting diberikan dan pelajar dapat memahaminya dengan baik. Pelajar juga perlu diberitahu bahawa setiap mereka mesti mengambil bahagian secara aktif dan menunjukkan kesungguhan. Guru juga turut bertindak sebagai fasilitator dan merancang pembahagian pelajar seperti dalam rajah yang berikut: Rajah 1: Guru mengatur tetapi tidak mengawal perbincangan kelas. Rajah menunjukkan tiada interaksi antara pelajar secara langsung. Semua pertukaran maklumat adalah melalui guru sama ada menerima, menolak atau mengemukakan soalan. Rajah 2: Guru sebagai fasilitator bagi membimbing pelajar. Interaksi yang berlaku melibatkan lebih daripada seorang pelajar. Rajah 3: Guru sebagai fasilitator. Pelajar melakukan aktiviti secara berpasangan. Rajah 4: Guru menyelia aktiviti kumpulan. Pelajar melakukan aktiviti dalam kumpulan masing-masing. Rajah 5: Guru menyelia aktiviti pelajar. Seorang wakil pelajar berbincang dalam kumpulan lain. Rajah 6: Interaksi atau perbincangan antara guru dengan seorang pelajar.

CIRI-CIRI PERMAINAN BAHASA YANG BAIK

Permainan bahasa yang dijalankan di dalam bilik darjah bukan setakat berakhir di bilik darjah, tetapi ia mempengaruhi penguasaan bahasa pelajar hingga ke luar bilik darjah. Berlaku juga keadaan pelajaran bahasa yang disampaikan secara bermain dapat membantu pelajar mempelajari sesuatu yang lebih daripada aktiviti bermain itu sendiri. Oleh itu, guru bahasa perlu mempunyai pengetahuan tentang ciri-ciri permainan bahasa yang baik dan sesuai dipraktikkan dalam pengajaran bahasa. Antara ciri-ciri permainan bahasa yang baik adalah seperti yang berikut:

(a) Dapat mengukuhkan dan meningkatkan penguasaan bahasa seperti

penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis dan penguasaan elemen tatabahasa.

(b) Mempunyai rangsangan dan bahan yang menarik, sesuai dengan peringkat

penguasaan bahasa pelajar.

(c) Memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi antara pelajar

dengan pelajar, pelajar dengan guru dan tindak balas pelajar terhadap bahan.

(d) Dapat merangsangkan pelajar untuk bertindak balas secara aktif dan positif

serta dapat mengekalkan minat mereka.

(e) Melibatkan pelajar secara aktif sama ada dalam kumpulan atau kelas.

(f) Mempunyai arahan dan peraturan yang jelas dan mudah difahami.

(g) Dapat dijalankan dalam jangka waktu dan tempat yang sesuai agar objektif

pembelajaran dapat dicapai.

PENGENDALIAN AKTIVITI PERMAINAN BAHASA

Sebelum sesuatu permainan itu dijalankan, persediaan yang rapi hendaklah dibuat agar pengajaran melalui permainan itu dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan. Cara pengendalian sesuatu aktiviti permainan bahasa penting, selain memilih permainan dengan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan. Dalam aspek pengendalian aktiviti, perkara yang berikut perlu diambil kira, iaitu:

(a) Perancangan Permainan

Guru harus merancang dan mengolah bahan permainan sesuai dengan tajuk dan objektif pengajaran bahasa yang diajarkan. Pastikan bahan pengajaran itu lengkap dan mencukupi untuk semua pelajar di dalam bilik darjah. Guru juga harus memastikan jangka masa yang diperlukan untuk sesuatu permainan agar masa dapat dirancang dengan sebaik-baiknya. Sebelum memulakan permainan, pelajar hendaklah diberitahu tentang nama permainan, bentuk dan cara pengelolaan mengikut keperluan bermain. Guru juga harus menentukan ada penjaga masa dan hakim sebagai penyelia jika berkaitan. Semasa permainan berlangsung, guru

bertindak sebagai fasilitator dan membimbing pelajar apabila diperlukan. Selepas permainan. Guru hendaklah berbincang dengan pelajar tentang kemahiran, sikap dan pengajaran atau nilai yang telah diperolehi hasil daripada aktiviti permainan yang telah dijalankan itu.

(b) Bentuk Permainan

Permainan bahasa boleh dilakukan dalam bentuk berkumpulan, berpasangan atau secara individu. Permainan bahasa dalam kumpulan kecil sesuai untuk kelas yang mempunyai bilangan murid yang ramai. Permainan secara berpasangan pula memudahkan guru mengawal dan memberikan perhatian kepada setiap murid. Manakala permainan secara individu sesuai untuk aktiviti pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang pintar dan lemah. Permainan boleh dijalankan dalam dua bentuk, iaitu bentuk pertandingan dan penghayatan kendiri. Penentuan kalah menang dalam pertandingan ditentukan dengan kiraan mata, tempoh masa, ketepatan jawapan atau kepantasan menyelesaikan masalah. Permainan berbentuk pneghayatan kendiri dijalankan bagi memenuhi minat dan memberikan kepuasan serta keseronokan kepada diri sendiri, misalnya permainan teka silang kata, mencari perkataan tersembunyi atau mencari gambar tersembunyi.

(c) Waktu Pengendalian Permainan

Permainan bahasa boleh dijalankan pada peringkat awal, pertengahan dan

akhir pelajaran. Pada peringkat awal pengajaran, permainan dijalankan

dalam induksi set. Permainan pada peringkat ini tidak memakan masa yang panjang dan sesuai dijadikan sebagai rangsangan kepada tajuk atau kemahiran yang diajarkan. Pada peringkat pertengahan, permainan dijalankan sebagai langkah pengajaran guru. Manakala pada peringkat akhir, permainan dijalankan sebagai aktiviti pengukuhan kepada kemahiran yang telah dijalankan.

(d) Tunjuk cara

Sebelum aktiviti permainan dijalankan, guru terlebih dahulu haruslah membuat demonstrasi atau tunjuk cara tentang cara-cara bermain kepada pelajar agar pelajar dapat memahami bentuk dan pelaksanaan permainan tersebut.

(e) Arahan dan Peraturan Permainan

Guru harus menerangkan arahan dan peraturan bermain secara jelas kepada pelajar agar tidak berlaku salah faham dan kekeliruan semasa bermain. Ia juga membolehkan permainan berjalan dengan lancar serta mencapai objektifnya.

CONTOH PERMAINAN BAHASA

Contoh 1

Nama permainan : Maka berkatalah Simon

Kemahiran : Mendengar dan membezakan arahan

Objektif : (i) Melakukan arahan mudah yang didengar

(ii) Mengenal pasti dan menamakan bahagian-bahagian tubuh

Kandungan : - Bahagian-bahagian tubuh

- Kosa kata: siku, kuku, jari hantu, jari manis, ibu jari, lutut,

buku lali, hidung, telinga, mulut, kepala, dahi, mata, kening

- Aspek bahasa:

berdiri, duduk

tunjukkan saya...

sila angkat...

tunjuk kepada...

pegang...anda

Jenis aktiviti : Kelas

Prosedur Permainan :

i. Pelajar ditunjukkan beberapa model yang melakukan aksi tertentu

ii. Pelajar diterangkan peraturan permainan

iii. Pelajar perlu mendengar arahan yang bermula dengan Simon berkata...

Misalnya: Simon berkata berdiri

iv. Pelajar melakukan aksi yang disebutkan

v. Pelajar berdiam diri sebentar

vi. Guru kemudian berkata duduk

vii. Pelajar yang membuat aksi tersebut tanpa dimulai dengan perkataan Simon berkata... akan diketepikan daripada permainan.

viii. Mainkan permainan ini beberapa ketika dan pelajar yang tinggal apabila permainan ditamatkan dikira sebagai pemenang.

Contoh 2

Nama permainan : Salah atau betul

Kemahiran : Mendengar dan memahamkan arahan

Objektif : (i) Mendengar ayat-ayat penyata yang diujarkan

(ii) Memahami arahan mudah yang didengar

Kandungan : Ayat Penyata

Jenis aktiviti : Kelas

Kumpulan mengikut barisan

Prosedur Permainan :

i. Teriakkan beberapa ayat penyata dengan jelas

Misalnya: Sekarang hujan lebat.

Hari ini hari Selasa.

Guru kelas ini seorang wanita.

Dua orang pelajar tidak hadir hari ini.

(Jika ayat yang disebut itu betul pelajar akan duduk di kerusi. Sebaliknya,

jika ayat yang disebut itu salah pelajar akan berdiri)

ii. Markah akan diberi bagi setiap aksi yang betul

iii. Guru boleh mengulang aktiviti ini dengan mengemukakan ayat-ayat yang

seterusnya.

iv. Kumpulan yang ahlinya banyak melakukan aksi yang betul dikira menang.

RUJUKAN

Andrew, W. (1980). Games for language learning. England: Cambridge University Press.

Lee, W. R. (1979). Language teaching games and contests. Oxford: Oxford University Press.

Nota: Artikel ini dipetik daripada buku penulis sendiri yang bertajuk Permainan Bahasa

untuk Sekolah Rendah dan Menengah (1996). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

You might also like