You are on page 1of 5

TANGGUNGJAWAB IBUBAPA TERHADAP ANAK

Anak ialah amanah atau pertaruhan yang Allah amanahkan kepada kita supaya kita
menjaga dan memelihara mereka baik mengikut landasan Islam. Ibubapa mesti
bertanggungjawab bukan saja di dunia bahkan di akhirat sewaktu berhadapan
dengan Allah kelak. Dalam rangka memelihara amanah Allah itu, ibubapa adalah
diwajibkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama.
Tegasnya mendidik anak beragama itu adalah wajib hukumnya (bukan setakat
pendidikan untuk UPSR, PMR atau SPM), Sebaaliknya ibubapa yang melalalikan tugas
amanah ini adalah berdosa.

Rasulullah saw bersabda: "Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama


dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya." Setiap anak yang dilahirkan itu bersih
fitrahnya. Adalah menjadi tugas ibubapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak
seterusnya sama ada untuk menjadikannya baik atau sebaliknya. Sabda Nabi saw:

"Semua anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam


keadaan yang suci bersih. Maka kesalahan
ibubapalah menjadikan mereka yahudi, nasrani atau
majusi."

Hadith tersebut menunjukkan kepada kita betapa beratnya tanggungjawab ibubapa


terhadap anak-anaknya. Kesalahan kita mendidiklah maka anak-anak sekarang
menjadi tak keruan hidupnya dengan pelbagai masalah sosial seperti bohsia, bohjan
dan aktiviti lepak yang semakin menjadi. Sungguh malang seribu kali malang,
sudahlah ibubapa tidak memberi didikan agama kepada mereka, ibu bapa sendiri
tidak berpengetahuan agama dan paling dahsyat lagi, mereka asyik mengumpul dan
terpengaruh dengan pujukan dunia. Menjadi korporat adalah satu lagi keparat (maaf
- bukan semua). Oleh kerana hendakkan kemewahan yang berlipat ganda terabai
tugas sebagai bapa dan suami. Anak maharajalela dan isteri pula main kayu tiga.

Berapa banyak hari ini anak-anak yang tidak tahu membaca Al-Quran. Tidak tahu
sembahyang bahkan Fatihah pun tak boleh baca, jauh sekali dari menghafalnya.
Masya'Allah ada yang tak tahu menyebut syahadah walaupun dah baligh. Inikah
wawasan kita membangunkan kemanusiaan anak-anak.

Akibatnya kebanyakan anak-anak hari ini terdiri daripada mereka yang hanya pandai
berpoya-poya, pandai menyakitkan hati dan meracuni jiwa serta menderhakai
kepada orang-orang tuanya. Akhirnya bila sampai tahap, mereka akan menjadi anak
yang liar. Ibu bapa seolah-olah memelihara anak-anak haiwan sama seperti anak
rimau, kucing atau ayam. Betapa tidak haiwan tak sembahyang samalah seperti
anak-anak itu. Bahkan haiwan lebih baik sebab tidak diberikan akal. Ketika ini baru
ibubapa mengeluh bukan menyalahkan dirinya tetapi salahkan anak-anak dan paling
teruk menyalahkan orang lain. Sebenarnya semua ini berpunca daripada ibubapa
yang tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak.

Ibubapa mesti mengambil berat tentang soal pemakanan anak-anak. Bukan


diperhatikan tentang khasiat vitamin makanan itu saja tetapi pastikan kehalalannya.
Adakah ia dari sumber yang halal atau haram. Ini penting kerana mengikut Nabi
'daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka neraka lebih utama untuknya'.
Sekarang ini perkara seperti ini jarang diberikan penekanan tambahan pula amalan
ekonomi yang berasaskan perbankan non-Islamik. Bagaimana diharapkan amalan
soleh jika pemakanan tidak lagi soleh. Makanan yang baik membuahkan amalan baik
(soleh), manakalan makanan yang tidak baik menghasilkan amalan yang tidak baik
juga (tholeh).

Satu kisah pada zaman Nabi, seorang sahabat yang berjemaah bersama nabi kerap
keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Nabi bertanyakan kenapa balik
tergesa sebelum berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang
ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah
tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah
dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram
itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Nabi terdiam dan tidak
berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.

Begitulah orang dahulu mengambil berat soal pemakanan anaknya. Sebaliknya kita
bagaimana? Adakah kita bertanya dari mana buah jambu itu diambil?

Didikan seterusnya yang mesti dilakukan oleh ibu bapa ialah sembahyang. Nabi saw
pernah bersabda:

"Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila


dia berumur 7 tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu
mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan
pisahkan dari tempat tidur."

Hadith ini adalah merupakan seruan wajib sembahyang. Kanak-kanak itu belum lagi
wajib bersembahyang tetapi yang wajib ialah bapa menyuruhnya bersembahyang.
Anak itu belum wajib kerana dia belum cukup umur (baligh). Jika bapa tak beratkan
dia bersembahyang ketika ini, agak sukar kanak-kanak itu bersembahyang apabila
baligh. Budaya solat mesti dimulakan sejak 7 tahun lagi.

Soal baligh ini pada pedapat sekarang berbeza. Ada berpendapat selepas bersara
baru nak solat. Maksudnya bila pencen (55 tahun) baru masuk umur baligh. Paling
sedih ada yang tidak baligh sampai ke mati sebab tak solat.

Nabi Muhammad saw menyuruh (mewajibkan) kita pukul anak berumur 10 tahun
yang tidak mahu sembahyang. Tetapi adakah kita pukul? Kita mungkin pukul kalau
tak buat kerja sekolah atau tak lulus periksa. Jarang kedengaran pukul kerana tak
mendirikan sembahyang. Manakan nak pukul anak tak bersembahyang sedangkan
ibubapa sendiri tak bersembahyang. Takkan ketam nak ajar anaknya berjalan betul.
Ibuabapa dewasa ini tidak bimbang anak-anak walaupun perempuan tak balik hingga
larut malam tetapi yang dibimbangkan agaknya kalau anak-anak ayamnya belum
pulang waktu senja.

Pendidikan juga bukan bermula apabila lahir anak. Bahkan semasa dalam kandungan
ibu sudah mula proses tarbiyah. Sebab itu ibu-ibu mengandung perlu pastikan apa
yang dia makan, apa yang dia buat dan apa yang dia baca. Sifat ibu akan diwarisi
oleh anak. Kalau suka menyanyi atau menonton TV, anak yang lahir kelak akan
menurut apa acuan yang dibentuk. Ramaikah ibu-ibu membaca Al-Quran semasa
mengandungkan anaknya? Sedih melihat wanita masa ini asyik keluar masuk kilang
saja hatta hingga larut malam masih lagi di kilang. Haiwan pun tidur waktu malam,
kita manusia masih bertungkul lumus di kilang. Ajaran siapa ini? Allah peruntukkan
masa siang untuk cari rezeki, masa malam untuk rehat. Kita siang malam sama saja
mencari rezeki. Orang alim dulu siang bekerja malam beribadat. Kita siang kerja
malam kerja. Bila ibadat? ... Sorry, no time ...Bukan lelaki saja bahkan perempuan
lebih ramai kerja shift malam. Manakan suami tak jadi liar? Habis semua disapu
kadang-kadang anak sendiri jadi mangsa bila lihat isterinya tak ada. Nak salahkan
siapa? Apabila terlalu pentingkan kebendaan duniawi beginilah akibatnya. Kemanisan
beribadat tidak akan tercapai bagi mereka yang mengejar keduniaan. Kalau 90%
usaha dicurahkan untuk dunia berapa peratus agaknya untuk akhirat. Kalau 10% ada
juga tapi bila dah teruk kerja badan dah letih sudah tentu 0% untuk ibadat. Al-Quran
ada menjelaskan 'Kaum lelaki adalah penjaga kaum wanita." Sekarang nak jaga apa?
Asyik kerja siang malam. Anak isteri masing-masing punya pasal. Kau nak buat apa
terpulang.. asalkan mewah hidup.

Perasaan kasih sayang sudah luput dari ibubapa. Ibubapa dewasa ini kebanyakannya
sudah tidak menyayangi anak-anak lagi. Buktinya mereka tidak ambil pusing hal-hal
keagamaan mereka. Ada yang sanggup membiarkan anak-anak terjun ke dalam api
neraka. Anak kera pun kesihan melihat anaknya ditembak pemburu.

Pernah seorang sahabat Nabi hairan tercengang melihat Nabi mencium pipi cucunya
lantas bertanya kenapa Nabi kenapa begitu. Dia bertanya kerana dia sendiri tidak
pernah melayan anak atau cucu dengan mesra begitu. Nabi lantas menasihatkannya
supaya mencurahkan kasihsayang kepada kanak-kanak.

Dalam satu hadith lain, Nabi Muhammad bersabda "Memandang muka anak-anak
dengan rasa syukur akan rahmat Allah itu sama seperti melihat muka nabinya."
Begitu besar pahala ibubapa memuliakan anak-anak. Oleh itu kita hendaklah
memelihara mereka dengan baik kerana menurut Nabi mengajar satu adab yang
baik kepada mereka adalah lebih baik daripada memberi sedekah satu cupak
makanan setiap hari.

InsyaAllah ganjaran pahala yang banyak akan diberikan kepada ibubapa yang baik
terhadap keluarganya. Oleh itu hendaklah kita sedar benar-benar bahawa kita akan
menemui Allah (mati). Apatah lagi umur kita kian sehari kian bertambah. Apabila
bertambah umur kita bererti bertambah hampir pula kita dengan alam barzakh
(kubur) atau bertambah hampir kita akan menemui Allah. Kita semua akan kembali
kepada Allah yang menjadikan kita. Allah akan bertanyakan apa amalan kita semasa
di dunia ini. Apa yang kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Adakah harta
benda yang kita cari selama ini, pagi petang, siang malam, bertungkus lumus
macam lipas kudung, tak pernah renggang dengan telefon bimbit, melonggokkan
harta, menambahkan saham hingga lupa pada saham akhirat dan lupa kepada Allah
yang memberikan kita harta itu. Dapatkah harta yang banyak itu menebus dosa-
dosa yang kita buat di dunia ini?

Atau adakah pangkat dan bintang yang berjela-jela dibawa untuk dipersembahkan
kepada Allah? Dengan pangkat, kedudukan dan darjat terasa seolah-olah kita sudah
jadi orang besar dan terasa bongkak dengan Allah. Dengan orang miskin dipandang
hina. Dengan ulama dipandang leceh. Adakah pangkat dan darjat dapat menebus
dosa yang dilakukan di dunia ini. Dapatkan ia menyelamatkan dari api neraka?
Semua ini tidak laku di akhirat.
Memelihara anak dengan baik adalah ibadat tetapi bagaimana pula jika disebabkan
terlalu sayangkan anak hingga tak sempat sembahyang Maghrib adakah ibadat juga?
Adakah anak itu akan menolong semasa berhadapan dengan Allah kelak? Tidak.

Yang menyelamatkan kita pada hari yang tidak bermanfaat harta dan anak pinak
ialah jiwa yang suci lagi tenteram. Hati yang suci hanya kepunyaan orang beriman.
Orang kafir, fasik dan munafik tidak tenteram hatinya. Orang beriman itu apa
tandanya? Mereka yang beribadat ikhlas kerana Allah. Ikhlas mainkan peranan
penting kerana menurut hadith "Semua manusia rugi kecuali orang berilmu. Semua
orang berilmu rugi kecuali beramal. Semua orang beramal rugi kecuali yang ikhlas."

Oleh itu perlu mencari keikhlasan dalam ibadat. Caranya dengan menghadiri majlis
ilmu di masjid-masjid di samping kita berdoa kepada Allah supaya kita dilimpah
dengan kurnia, taufiq dan hidayah Allah. Bukan mudah mendapat anugerah Allah.
Untuk mendapatkan anugerah dan kurnia sultan pun terpaksa lobi-melobi betapa
untuk kurniaan Allah.

Sebelum kita dimatikan oleh Allah, maka janganlah kita sia-siakan hidup dan umur
kita ini dengan perkara-perkara yang melalai dan merugikan. Ingatlah 1000 tahun di
dunia hanya dikira 1 hari di akhirat. Allah mencabar dan mengingatkan kita dalam
firmanNya:

"Adakah kamu anggap, bahawa Kami jadikan kamu dengan percuma (sia-sia)
sedangkan kamu akan kembali kepada Aku?" -
(Al-Mukminun:115)

Ayat di atas adalah sebagai ingatan Allah kepada kita yang suka membuang masa
dengan sia-sia. Allah menegaskan lagi dalam Al-Quran dengan firmanNya: "Tidak
Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat
kepadaKu."

Adakah kita kira kita tidak mati atau lambat lagi akan mati? Ingat Firman Allah "Di
mana sahaja kamu berada, kematian akan mengejar kamu, meskipun kamu di
dalam benteng yang kukuh lagi tinggi." - (An-Nisa':78)

Ingatlah kehidupan dunia ini tidak lain hanya kesenangan yang menipu daya. Dulu
muda sekarang tua. Dulu cantik sekarang kedut. Dulu sihat sekarang sakit. Dulu ada
gigi sekarang rongak. Dulu berambut hitam sekarang beruban. Dulu tampan
sekarang bongkok. Dulu ramai kawan sekarang sendirian. Dulu ada pangkat
sekarang pencen. Dulu mewah sekarang muflis.

Ingatlah segala harta benda dan anak pinak tidak akan mengiring kita masuk ke
dalam kubur. Mereka hanya iringi hingga ke liang kubur saja. Selepas itu mereka
semua balik ke rumah dan enjoy semula. Kita di dalam kubur bersendirian,
disemadikan seorang diri di pusara yang senyap sunyi, tinggal di kubur dan tidak
akan kembali lagi ke rumah besar kita.

Hanya satu saja yang paling setia mengikut kita dan menemani kita di sana. Itulah
pekerjaan dan amalan kita yang ikhlas. Mereka menjadi kawan baik kita. Selepas itu
apa lagi yang bersama-sama kita di kubur. Sabda Nabi:
"Apabila mati anak Adam, maka putuslah segala
amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah (sedekah
berkekalan), ilmu yang dimanfaatkan dan anaknya yang
soleh yang mendoakan."

Yang dikatakan sedekah jariah ialah amalan sedekah yang pahalanya sampai
menemuinya walaupun sudah meninggal 500 tahun umpamanya seperti membina
masjid, surau, membina rumah anak yatim dsb. Mengikut setakat mana keikhlasan
kita. Ada juga amalan jariah yang tidak dibalas dengan pahala tetapi dosa,
contohnya mendirikan dewan tarian, mendirikan panggungwayang dan pentas
hiburan semua dosa orang yang mengunjungi tempat itu akan dihantar kepada
simati walaupun telah 600 tahun misalnya.

Termasuk dalam kategori ilmu yang dimanfaatkan ialah seperti menulis kitab yang
memberikan kesedaran kepada orang dan buku itu digunakan zaman berzaman.
Selagi kitab itu digunakan dan faedahnya tersebar luas, pahala akan terus mengalir
kepadanya. Begitu juga siri ceramah dan tazkirah seperti homepage. Doakanlah saya
mudahan homepage tazkirah ini termasuk dalam ilmu yang dimanfaatkan. Jika
sepeninggalan saya nanti, homepage ini terus dibaca orang, insyallah akan diperolehi
pahalanya. Ini bergantung kepada keikhlasan tanpa niat ria'. Sama-samalah berdoa
semoga kita ikhlas.

Anak soleh yang mendoakan. Sekarang ini anak bernama Saleh tapi amalan tak
soleh. Ada juga orang kafir dipanggil Mad Saleh, kenapa agaknya dipanggil Saleh?
seolah menghina istilah 'soleh'. Anak yang beribadat, bersembahyang dan
mendoakan kita, pahalanya juga akan sampai kepada kita lantaran didikan dan
asuhan kita dulu. Ibarat pokok yang kering apabila disiram air akan segar semula.
Begitulah kita di alam kubur nanti, apabila menerima pahala anak-anak kita kembali
segar. Begitulah mustajabnya anak yang soleh mendoakan kedua ibubapanya.

Menurut hadith orang yang mati seolah-olah dalam keadaan lemas. Sahabat Nabi
bertanya bagaimana untuk menolong mereka dari lemas. Nabi menerangkan
hadiahkan Fatihah kepada simati supaya ia tidak lemas dan mampu untuk timbul.

Ramai beranggapan anak yang soleh ialah anak-anak bergaji besar, berkereta besar,
berumah besar, bercakap besar dan berpangkat besar. Semua ini tidak menjamin
kesolehannya selagi tidak mempunyai iman kepada Allah dan berbakti kepada ibu
dan bapanya.

Akhir sekali didiklah anak-anak kita dari sekarang sebelum terlambat supaya menjadi
anak yang soleh. Sebelum peringkat itu, mula-mula kenalah jadikan kita dulu anak
yang soleh, anak yang suka mendoakan kedua ibu bapanya.

Sekian, wassalam.

You might also like