You are on page 1of 2

IYAS bin Muawiyah al Muzani yang petah bercakap dan bijak berhujah menjadi tempat

penduduk pada zamannya untuk mengadu nasib ketika kesusahan. Kepintarannya


menyebabkan beliau dapat menyelesaikan pelbagai masalah orang ramai.
Pada suatu riwayat, dinyatakan seorang lelaki berpura-pura baik di khalayak ramai
dengan menonjolkan kewarakan dan ketakwaannya sehingga ramai yang terpengaruh dan
memujinya.

Disebabkan terpengaruh, ramai menjadikan lelaki itu sebagai pemegang amanah untuk
menjaga harta ketika mereka bermusafir. Malah, sesetengahnya menjadikan lelaki
berkenaan sebagai pemegang wasiat untuk menjaga anak ketika ketiadaan mereka.

Pada suatu hari, seorang lelaki datang membawa hartanya untuk disimpan lelaki yang
berpura-pura baik itu. Apabila orang ini memerlukan hartanya kembali, beliau
menuntut semula hartanya, malangnya lelaki itu menafikan haknya.

Orang berkenaan mengadu kepada Iyas. Lalu Iyas bertanya: "Apakah sahabat engkau
itu tahu engkau datang menemui aku?"

Jawab lelaki berkenaan: "Tidak."

Sambil menganggukkan kepalanya Iyas berkata: "Pulanglah dan datang semula esok."

Selepas itu, Iyas memanggil orang yang berpura-pura baik itu, lalu berkata: "Pada
aku ada sejumlah wang milik anak yatim yang tidak mempunyai penjaga. Aku berasa
ingin menyimpan harta ini pada engkau. Aku mahu melantik engkau sebagai pemegang
amanah harta ini. Adakah rumah engkau selamat dan mempunyai masa lapang?"

Jawab lelaki itu: "Ya, wahai tuan hakim."

Dengan tersenyum Iyas berkata: "Lusa datang berjumpaku. Sediakan tempat untuk
harta itu serta bawa bersama beberapa orang pekerja untuk memikulnya."

Pada hari berikutnya, lelaki yang mengadu itu datang dan Iyas berkata kepadanya:
"Pergilah berjumpa sahabatmu itu dan mintalah hartamu. Jika dia enggan, katakan
kepadanya, saya akan membuat aduan kepada hakim."

Lelaki itu pergi bertemu dengan sahabatnya namun sahabatnya itu masih enggan
memberikan harta berkenaan malah menafikannya. Lalu lelaki itu pun berkata seperti
yang diajarkan Iyas: "Saya akan membuat aduan kepada hakim."

Apabila sahabatnya itu mendengar ancaman itu dia terus menyerahkan semula harta
berkenaan dan cuba berbaik semula. Lelaki itu kembali berjumpa Iyas dan berkata:
"Sahabat aku itu sudah memulangkan semula hak aku. Semoga Allah membalas tuan
dengan kebaikan."

Kemudian, lelaki yang berpura-pura baik itu datang menemui Iyas pada masa
ditetapkan, membawa bersama beberapa pekerja. Lalu Iyas menegur dan mengecam
perbuatannya dengan berkata: "Engkaulah manusia yang paling keji, wahai musuh
Allah. Engkau jadikan agama sebagai alat untuk membolot harta dunia."

Memang, Iyas seorang pintar walaupun ada ketika terpaksa berdepan dengan orang
yang mampu mematahkan segala hujahnya.

Ketika berusia 76 tahun, Iyas bermimpi menunggang kuda bersama ayahnya. Mereka
menunggang seiringan dan tiada sesiapa di depan mahupun di belakang. Ayahnya
meninggal dunia pada usia 76 tahun.

Suatu malam, sebelum masuk tidur, Iyas bertanya ahli keluarganya: "Apakah kamu
tahu malam apa ini?"

Jawab seorang ahli keluarganya: "Tidak." "Pada malam ini, samalah usiaku dengan
usia ayahku," kata Iyas sambil merenung wajah ahli keluarganya seorang demi
seorang.

Selepas Subuh isterinya mendapati Iyas meninggal dunia.

You might also like