You are on page 1of 5

Posted: Fri Mar 31, 2006 6:31 pm Post subject: Rapatkan saf - Usahakan barisan

terbaik

--------------------------------------------------------------------------------

KALIMAT yang sering kita dengar dari mulut imam sebelum memulakan solat adalah
"Luruskan saf (barisan dalam solat berjemaah)" atau "Rapatkan saf". Namun berapa
ramai yang benar-benar mengikuti arahan imam tersebut? Berapa ramai yang
mengetahui apa maknanya meluruskan saf mengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang
sahih?

Para ulama sepakat bahawa saf pertama adalah saf terbaik dan besar keutamaannya
bagi jemaah lelaki dalam bersolat. Manakala bagi saf jemaah perempuan, saf paling
utama adalah saf paling akhir sekali. Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang
paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang
terburuk ialah yang paling depan. (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Abu Hurairah: Andaikata manusia


mengetahui apa yang ada di dalam panggilan azan dan memenuhi saf paling depan,
kemudian mereka tidak berjaya mendapatkannya (saf paling depan itu) kecuali jika
mereka berlumba untuk mendapatkannya, pasti mereka akan berlumba. (Riwayat
Bukhari).

Disebut juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. bahawa saf di sebelah kanan
mempunyai lebih keutamaan berbanding saf di sebelah kiri. Daripada Aishah r.a.
berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-
Nya berselawat terhadap orang yang berada di saf sebelah kanan. (Riwayat Ibnu
Majah)

Di antara fadilat solat di saf pertama:

1) Menjaga kesempurnaan saf pertama sama seperti safnya para malaikat. Riwayat
Jabir bin Samurah yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ''Tidakkah kamu
berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi Tuhan-Nya?'' Kami bertanya: "Ya
Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di depan Tuhan?" Jawab Nabi: "Menyempurnakan
barisan pertama dan rapat benar dalam barisan." (Riwayat Muslim)

Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa mereka yang memenuhi saf paling
depan ketika solat adalah sama dengan saf para malaikat yang sentiasa menjaga
kesempurnaan saf mereka dan saf para malaikat ini hampir dengan Allah SubhanAllah
Wa Taala. Dari sini boleh kita katakan bahawa mereka yang berada di saf paling
hadapan adalah orang yang paling hampir dengan Allah dan lebih mudah memperoleh
rahmat-Nya.

2) Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada mereka yang berada di saf-saf
paling hadapan. Daripada Abu Umamah berkata bahawa Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang
berada di saf pertama." Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimana dengan
saf kedua." Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat
kepada orang-orang yang berada di saf pertama." Para sahabat bertanya lagi: "Ya
Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua." Rasulullah menjawab: "Ya, juga saf
kedua." (Riwayat Ahmad).

Selawat
Menurut Dr. Fadhal Ilahi, makna selawat Allah atas mereka (yang berada di saf
pertama) adalah seperti yang dikatakan oleh Imam ar-Raghib al-Asfahani, iaitu:
"Tazkiyah (Penyucian daripada dosa-dosa) terhadap mereka." Selawatnya para
malaikat pula: "Iaitu berbentuk doa dan permohonan keampunan." Alangkah
beruntungnya sesiapa yang mendapat tazkiyah daripada Allah dan doa pengampunan
daripada para malaikat.

3) Rasulullah memohon keampunan buat mereka di saf pertama sebanyak tiga kali.
Daripada 'Irbadh bin Sariyah bahawa Rasulullah memohon keampunan bagi mereka yang
berada di saf pertama tiga kali dan untuk saf kedua hanya sekali.

(Riwayat Ibnu Majah). Alangkah bahagia sekiranya orang yang paling mulia di atas
muka bumi ini memohon keampunan untuk kita.

Demikianlah beberapa keutamaan saf paling hadapan di dalam solat berjemaah. Yang
amat dikesalkan terdapat ramai di antara kita yang tidak lagi memberi perhatian
terhadap keutamaan-keutamaan ini. Umat Islam di Malaysia seakan-akan tidak ghairah
merebut saf pertama.

Mereka lebih memilih untuk mendapatkan tempat yang membolehkan mereka bersandar
dengan selesa seperti di tiang-tiang atau di dinding masjid, berdekatan dengan
kipas dan pintu supaya dapat cepat keluar setelah selesai bersolat.

Ada pula yang datang awal ke masjid tetapi berborak dahulu di luar masjid sambil
menghisap rokok. Alangkah ruginya mereka ini. Sesungguhnya Rasulullah menyatakan
bahawa sesiapa yang secara sengaja memenuhi saf belakang, maka Allah akan
membelakangkan mereka.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah melihat ada sebahagian sahabatnya
yang tidak mahu maju ke saf pertama, maka baginda bersabda: Majulah dan ikutilah
saya, sedangkan orang-orang di belakang harus mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang
selalu suka di belakang, tentu akan dibelakangkan pula oleh Allah. (Riwayat
Muslim).

Adakah kerugian yang lebih besar daripada kerugian dibelakangkan oleh Allah? Oleh
itu datanglah awal ke masjid untuk solat berjemaah dan rebutlah saf pertama.

PERANAN IMAM

Rasulullah sebelum memulakan solat, akan memastikan makmum di belakangnya


meluruskan saf terlebih dahulu. Anas bin Malik berkata, ketika telah iqamah untuk
solat, Rasulullah menghadap kepada kami dengan wajahnya seraya bersabda: Luruskan
saf dan rapatkanlah kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku.
(Riwayat Bukhari)

Kebiasaan yang kita lihat di masjid-masjid, para imam hanya melaungkan "luruskan
saf", "luruskan saf" tanpa melihat jemaah di belakang sama ada mereka mematuhi
perintahnya atau tidak.

Mereka seperti hanya melepaskan batuk di tangga. Sedangkan Rasulullah akan


menghadap para makmum dan memastikan arahan meluruskan saf benar-benar
dilaksanakan oleh para sahabat. Malah ada riwayat yang menyatakan Baginda pergi ke
setiap barisan untuk melihat sama ada saf benar-benar telah lurus sebelum
memulakan solat.

Daripada Albara' bin 'Aazib berkata: Adalah Rasulullah memasuki celah-celah


barisan (saf) sambil mengusap dada dan bahu kami. (Riwayat Abu Daud).
Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau mewakilkan tugas meluruskan saf kepada
seseorang. Beliau tidak akan bertakbir (memulakan solat) sehingga orang yang
membantunya dalam meluruskan saf itu memberitahu bahawa saf telah benar-benar
lurus. Begitu juga dengan Uthman al-Affan dan Ali bin Abu Talib, mereka berdua
bersepakat melakukan apa yang telah dilakukan oleh Umar. Dulu, Ali selalu
mengatakan: "Maju wahai si fulan! Mundur sedikit wahai si fulan!"

Penulis menyarankan para imam masjid-masjid di Malaysia agar memerhatikan perkara


ini dengan penuh teliti supaya amalan mereka selari dengan sunah Nabi dan Khulafa'
ar-Rasyidin.

CARA MELURUSKAN SAF

Meluruskan saf dalam solat berjemaah merupakan sunah Nabi s.a.w. Malah ada ulama
yang memandang penyempurnaan saf dalam solat adalah wajib. Menurut Syaikh Muhammad
Nashiruddeen al-Albani: ''Mendirikan dan meluruskan saf hukumnya wajib kerana
terdapat perintah yang berasal daripada Rasulullah. Kalimat perintah itu pada
asalnya bererti wajib, kecuali ada qarinah (petunjuk lain) yang mengalihkan
daripada pengertian wajib tersebut.

Namun, terlalu sedikit di kalangan masyarakat kita yang mengamalkannya. Pada


tanggapan mereka kesempurnaan saf hanyalah dengan mempastikan barisan solat itu
lurus. Sebenarnya ada beberapa perkara lain yang juga telah diperintahkan oleh
Rasulullah berkaitan kesempurnaan saf:

1. Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.

2. Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.

3. Merapatkan buku lali dengan buku lali orang yang solat bersebelahan dengannya.

Hanya dengan mempraktikkan perkara-perkara di atas barulah tercapai kesempurnaan


saf dalam solat berjemaah dalam erti kata sebenar. Hadis-hadis berkaitan dengan
perkara di atas adalah seperti berikut:

* Daripada Nu'man bin Bashir berkata: "Aku melihat seseorang merapatkan bahunya
dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya
dan melekatkan mata kakinya (buku lali) dengan mata kaki saudaranya." (Riwayat Abu
Daud).

* Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda:

(Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan
telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya. (Riwayat Bukhari).

Sunah Nabi s.a.w. ini seakan-akan sudah lenyap dari masjid-masjid di Malaysia.

Penulis pernah cuba mempraktikkan sunah ini dalam solat berjemaah di beberapa
masjid, namun hasilnya amat mengecewakan.

Ramai dari kalangan jemaah akan menjauhkan buku lali dan lutut masing-masing
ketika penulis cuba merapatkan saf tersebut.

Mereka seolah-olah tidak selesa merapatkan dan meluruskan saf dengan cara begini.

Namun begitu kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan mereka kerana sunah ini
memang tidak disebarkan secara meluas di Malaysia, apalagi untuk dipraktikkan.
Penulis yakin sekiranya sunah ini diajar secara meluas di dalam kelas-kelas atau
kitab-kitab fardu ain nescaya ia akan diamalkan di seluruh masjid di Malaysia.

HIKMAH MERAPATKAN SAF

1. Ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesempurnaan solat. Sabda


Rasulullah: Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf merupakan sebahagian
kesempurnaan solat. (Riwayat Muslim).

2. Ia adalah faktor yang boleh menyatukan hati umat Islam. Sabda Rasulullah:
Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai (dalam mendirikan saf),
akan tercera-berai hati kamu. (Riwayat Muslim). Sabda Baginda lagi: Tegakkanlah
saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi Allah (kamu diperintah agar)
merapatkan/meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu.
(Riwayat Abu Daud).

Menurut Syaikh Abu Ubaidah

Masyhur:

''Dalam perintah meluruskan dan merapatkan saf merupakan unsur pendekat jiwa yang
akan menjalinkan hubungan persaudaraan dan keinginan saling menolong. Bagaimana
tidak! Bukankah bahu si miskin berhimpitan dengan bahu si konglomerat, kaki si
kuat melekat dengan kaki si lemah. Dan semuanya berada dalam satu saf, bagaikan
bangunan yang tersusun sangat rapat.

3. Ia dapat menghindari gangguan syaitan ke atas orang yang bersolat. Sabda


Rasulullah:

Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf, tegakkanlah tengkuk kamu.
Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat
syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud).

4. Allah mencintai mereka yang menyempurnakan saf. Sabda Rasulullah:

Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang
hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf (dalam solat). (Riwayat Abu Daud).

5. Ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang menyempurnakan saf di dalam
solatnya. Rasulullah bersabda:

Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut
bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar
daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup celah dalam saf. (Riwayat
Thabrani).

6. Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan


kebaikan) kepada mereka yang menyempurnakan saf dalam solat.

Sabda Rasulullah : Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada


orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah,
bagaimana dengan yang kedua." Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah dan para
malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para
sahabat bertanya lagi: "Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua." Rasulullah
menjawab: Ya, juga bagi saf kedua. (Riwayat Ahmad).

Sayang sekali sunah-sunah berkaitan dengan saf ini telah dilalaikan dan diambil
mudah oleh masyarakat Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Apa yang ingin penulis sarankan di sini adalah agar sunah meluruskan dan
merapatkan saf ini dihidupkan semula, terutamanya oleh para imam di masjid-masjid
seluruh Malaysia.

Para imam hendaklah bersungguh-sungguh mengerjakan sunah ini dan mengajak mereka
yang bersolat di belakang melaksanakannya.

Sabda Rasulullah s.a.w mengingatkan:

Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. (Riwayat Bukhari).

You might also like