You are on page 1of 1

Post subject: Adakah kita tergolong dalam remaja-remaja ini?

Sudah ada remaja Melayu, terutama di ibu kota berpendapat berpeluk atau bercium
dengan pasangan di depan ibu bapa atau khalayak ramai tidak menggambarkan
kemerosotan nilai moral. Dalam satu artikel Berita Harian pada tahun 2003, kaji
selidik di sekitar Lembah Klang, mendapati remaja berkenaan berpendapat perilaku
yang bertentangan dengan nilai dan adat resam timur, tidak boleh dianggap sebagai
perbuatan tidak bermoral.

Kajian mengenai nilai moral remaja Melayu itu dijalankan ke atas 108 responden,
termasuk 62 remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun dan 46 responden berusia 30
tahun ke atas. Ia mendapati, sekali pun mengakui perbuatan itu tidak disenangi dan
menimbulkan kemarahan ibu bapa, remaja terbabit berpendapat perbuatan berkenaan
tidak boleh dijadikan ukuran tahap moral seseorang remaja.

Malah, ada remaja mengakui ibu bapa tidak marah jika mereka melakukan perbuatan
berkenaan, manakala ada juga ibu bapa yang membenarkan perbuatan itu dan tidak
menganggapnya sebagai keruntuhan moral remaja.
Walaupun peratusan remaja dan ibu bapa yang beranggapan begitu tidak tinggi iaitu
kurang 10 peratus, perkembangan itu amat membimbangkan kerana ia bertentangan
dengan adat resam dan budaya timur.

Soal selidik itu mendapati 12.9 peratus atau lapan daripada 62 responden
berpendapat berpeluk dan bercium dengan pasangan di tempat tertutup tidak
menggambarkan keruntuhan moral.

Perbuatan lain yang dianggap tidak menggambarkan keruntuhan moral ialah memakai
baju yang menampakkan pusat (8.1 peratus atau lima orang); bertindik di hidung dan
anggota lain seperti pusat (19.4 peratus, 12 orang).
Merokok, terutama di kalangan wanita (14.5 peratus, sembilan orang); mewarna
rambut (46.8 peratus, 29 orang); keluar sehingga lewat malam atau awal pagi (16.1
peratus, 10 orang); serta membaca bahan dan mendengar muzik Barat (72.6 peratus,
45 orang).

Kajian juga mendapati 64.5 peratus atau 40 responden memberitahu bahawa ibu bapa
atau penjaga mereka tidak marah jika mereka membaca bahan dan mendengar muzik
Barat, mewarna rambut (35.5 peratus, 22 orang) dan memakai baju menampakkan pusat
(14.5 peratus, sembilan remaja). Masing-masing 12.9 peratus atau lapan responden
mengatakan bahawa ibu bapa atau penjaga tidak marah jika mereka merokok, bertindik
hidung atau anggota badan lain seperti pusat dan keluar hingga lewat malam atau
awal pagi.

Adakah kita tergolong dalam remaja-remaja ini?

You might also like