You are on page 1of 29

DASAR TANAH NEGARA: KE ARAH MENGISLAMISASIKAN AKTA PENGAMBILAN TANAH 19601 Oleh: Dr Mohd Afendi Bin Mat Rani

Abstrak Akta Pengambilan Tanah 1960 telah lama diaplikasikan dalam undangundang pengambilan tanah secara paksaan di Malaysia. Penulisan ini cuba untuk melihat sejauhmanakah implimentasi pengambilan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 menepati dan konsisten dengan hukum syarak, terutama membabitkan tanah wakaf umat Islam. Beberapa cadangan ke arah mengislamisasikan akta ini telah dikemukakan untuk menambahbaik dengan mengambilkira prinsip dan kaedah yang terpakai dalam Syariat Islam agar segala pembangunan negara dapat dilaksanakan secara lebih dinamik dan komprehensif sejajar dengan dengan keperluan semasa pada hari ini.

1.0

Pendahuluan

Pengambilan tanah dianggap suatu isu yang sensitif dan sering mencetuskan kontroversi kepada masyarakat dan menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di kalangan mereka. Persoalan yang biasa ditimbulkan ialah soal rasional pengambilan tanah tersebut yang merujuk kepada kepentingan umum, atau sejauhmanakah tujuan pengambilan tanah itu benar-benar menepati dengan kepentingan umum. Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang telah memiliki harta secara sah tidak boleh dilucutkan kecuali melalui tindakan undang-undang yang dijamin kesahannya.(Perlembagaan Persekutuan, Perkara 13 (1) dan (20). Jaminan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan ini adalah bagi memastikan hak milik harta persendirian dilindungi oleh undang-undang di Malaysia. Bagi memenuhi keperluan ini, pihak berkuasa telah merangka suatu undangundang pengambilan tanah yang mengandungi prosedur yang jelas agar segala tindakan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tidak bertentangan dengan peraturan dan undang-undang, khususnya bagi tanah yang diambil secara paksaan atau tanpa kerelaan pemilik tanah yang sah, dengan mengambil kira prinsip-prinsip yang terpakai iaitu pampasan yang mencukupi sebagaimana yang dijamin dalam Perkara 13(2) Perlembagaan Persekutuan. Walaupun pengambilan tanah diharuskan dalam Islam tetapi hukumnya adalah tidak mutlak. Lebih-lebih lagi ia melibatkan harta amanah yang dimanfaatkan bersama oleh orang-orang Islam. Beberapa aspek perlu diperincikan dan
1

Kertas kerja Seminar Antarabangsa Dasar-Dasar Negara, Anjuran Universiti Teknologi Mara Sabah, pada 6-9 Oktober 2009

diperhalusi tanpa bertindak dengan sewenang-wenangnya atau menggunakan pendekatan jalan singkat yang akhirnya mendatangkan kemudharatan kepada pewakaf dan juga pemegang amanah. Dari aspek yang lain, hak menjaga kemaslahatan pewakaf adalah termasuk dalam kategori hak khusus, hak ini juga tidak harus diketepikan walaupun pada dasarnya hukum mengutamakan hak umum daripada hak khusus.

2.0

Undang-undang Pengambilan Tanah di Malaysia

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang tidak boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Maka pengambilan tanah secara paksaan tidak bertentangan dengan Perkara 13 kerana kuasa dan proses pengambilan tanah dilakukan melalui undang-undang di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Jika pengambilan tanah itu dilakukan menyalahi undang-undang, maka tindakan itu dikatakan sebagai tidak sah atau terbatal dan boleh dipertikaikan. (Lihat Kes Pemungut Hasil Tanah, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang lwn Ong Gaik Kee, [1983] 2 MLJ 35. Lihat juga: Kes Lai Tai lwn Pemungut Hasil Tanah, [1960] MLJ 82) Pihak Berkuasa Negeri adalah satu-satunya pihak yang diberi kuasa dan hak mengenai semua tanah negeri yang berada di dalam wilayah negeri itu dan hak ke atas semua bahan galian dan batu-batan yang berada di atas atau di dalam tanah negeri selagi belum dilupuskan secara khusus oleh PBN. (KTN 1965, Seksyen 40) PBN (APT 1960, Seksyen 2) adalah termasuk Raja atau Sultan, atau Yang Dipertua Negeri dan bagi Wilayah Persekutuan ialah Yang Dipertuan Agung. Peranannya bermula daripada keputusan tanah akan diambil sehinggalah tanah itu diletak hak kepadanya atau tanah itu ditarik balik daripada proses pengambilan. Jika tanah milik dikehendaki untuk tujuan pembangunan awam seperti pembinaan hospital, sekolah, lebuh raya, jambatan, empangan, pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya. Tindakan pengambilan tanah juga dijalankan oleh PBN, bukan oleh Kerajaan Persekutuan atau mana-mana agensi kerajaan yang berkehendakkan tanah tersebut. Berdasarkan jaminan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang terkandung dalam APT 1960, pengambilan tanah oleh kerajaan tidak boleh dianggap sebagai satu tindakan rampasan atau kerajaan tidak mengiktiraf hak rakyat terhadap harta mereka. Ini kerana undang-undang menghendaki pampasan yang diberikan itu dinilai mengikut harga pasaran. Hak ini adalah selaras dengan konsep pampasan yang memadai yang dijamin dalam Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan. (Suhaimi bin Hj Mamat, 2001, hlm.2) 3.0 Akta Pengambilan Tanah 1960

Pada dasarnya tanah adalah perkara negeri sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi bidang kuasa eksekutif setiap kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen menggubal satu undang-undang tanah bagi tujuan untuk keseragaman dan kesamaan polisi di antara negeri. (Roslan bin S. Ismail, 2000, hlm.2) Undang-undang yang dimaksudkan ini ialah APT 1960 (Akta 486) pindaan 1997. Akta ini mula berkuat kuasa pada 13 Oktober 1960 bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Bagi negeri Sabah,

undang-undang bagi pengambilan tanah yang berkuatkuasa ialah Ordinan Pengambilan Tanah 1950, dan bagi negeri Sarawak Kanun Tanah Sarawak. APT 1960 ini digubal oleh Parlimen mengikut kuasa Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan. Sebelum APT 1960 ini berkuat kuasa, terdapat lapan undang-undang bertulis dan telah mengalami beberapa pindaan dan pengubahsuaian. APT 1960 memberi garis panduan tentang hal-hal pengambilan tanah seperti prosedur pengambilan tanah, pihak-pihak yang terlibat, pampasan yang dibayar, cara penentuan pampasan dan sebagainya. APT 1960 yang diamalkan di Malaysia adalah dipusakai daripada India. (Akta Pengambilan Tanah (India) 1894) Tujuan utama Akta ini digubalkan adalah bagi mewujudkan keseragaman undang-undang berkaitan dengan pengambilan tanah negerinegeri dalam perkara pengambilan tanah secara paksa. (Helmi Hussain, 1999, hlm.24) Selain itu ia adalah bertujuan untuk mengambil tanah-tanah milik seseorang atau sesuatu badan secara paksa bagi maksud awam atau kemudahan awam, penilaian, pampasan terhadap sesuatu pengambilan tanah dan perkara-perkara berbangkit tentang pengambilan tanah. Sebelum Akta ini terpakai di Malaysia, undang-undang tempatan yang berkaitan tanah terdiri daripada empat sistem undang-undang iaitu: (Salleh Buang, 1992, hlm.1) (a) Undang-undang tanah adat Melayu; (b) Sistem surat ikatan Inggeris (English Deeds System) dipakai di Pulau Pinang dan Melaka; (c) Sistem pemegangan tanah Belanda (Dutch Grants), pemakaiannya terhad iaitu setakat di sekitar perbandaran Kota Melaka sahaja, dan (d) Undang-undang tanah Islam Dengan adanya APT 1960, kepentingan umum dapat diutamakan berbanding kepentingan individu. Program pembangunan kerajaan dapat dijalankan dengan cepat dan mudah, walaupun tanah yang terlibat dengan pembangunan tersebut adalah tanah berdaftar hak milik individu atau persendirian yang pemiliknya mungkin enggan bekerjasama dalam proses pengambilan tanah. Ini bermakna di sebalik kewujudan APT 1960 adalah untuk memudahkan proses pengambilan tanah oleh pihak pemerintah. Melalui pengambilan ini akan menghapuskan konsep penggunaan dan penikmatan secara eksklusif di bawah Seksyen 44 dan konsep hak milik tidak boleh disangkal di bawah Seksyen 340 KTN. Ini kerana dalam kebanyakan kes konsep jual beli antara individu dengan kerajaan gagal untuk mendapatkan persetujuan ke atas kepentingan dan nilai harga tanah. Selain itu, dengan pengambilan ini akan memudahkan pertukaran syarat asal tanah yang berlaku secara automatik. 4.0 Pengambilan Tanah Secara Paksaan Menurut Hukum Syarak dan Aplikasinya dalam Perundangan Tanah Negara

Di dalam Islam bentuk pembangunan ekonomi adalah bersifat bersepadu dan tidak boleh dipisahkan dengan unsur-unsur moral dan pembangunan sosioekonomi masyarakat manusia. (Nik Mohd Zain Nik Yusof, 1995, hlm.95) Ia melibatkan semua pembangunan ekonomi dan sentiasa berada di atas kerangka keseluruhan pembangunan insan yang lebih menekankan dari segi pengagihan dan penggunaan bahan-bahan atas dasar hak dan keadilan. Pembangunan yang dilihat sebagai satu proses usaha untuk menyusun

sesebuah masyarakat atau negara ke arah memaju dan meningkatkan kualiti hidup manusia di peringkat individu dan masyarakat tanpa boleh dipisahkan. (Nik Mustapha Nik Hassan, 1999, hlm.1) Keizinan syarak ini adalah bertujuan untuk mencapai kemaslahatan hidup manusia sama ada di dunia dan akhirat yang terkandung dalam konsep Maqasid al-Syariyyah. (Zaydan, Abd al-Karim, 1994, hlm.378) Pengambilan tanah secara paksaan yang berlaku pada zaman Rasulullah saw dan amalan yang dilaksanakan oleh para sahabat adalah bertujuan untuk kepentingan umum atau Maslahah Ammah. Kebiasaannya tanah-tanah bermilik yang diambil adalah untuk pembinaan atau pembesaran tapak masjid, tapak kubur dan pembesaran jalan raya. (AlSamhudi, Nur al-Din Ali b. Ahmad (t.t.), hlm.482-483) Tujuan dan justifikasi pengambilan tanah seperti yang dilakukan ini tidak menjadi perbahasan atau khilaf di kalangan fuqaha. Hukum keharusannya adalah jelas dan tidak dipersoalkan oleh manamana pihak. Sememangnya perkara-perkara yang dinyatakan ini menjadi asas dan keperluan utama kepada masyarakat di mana-mana negara sekalipun. Malah ketiadaannya akan mengundang kepada kesusahan dan kesulitan kepada masyarakat dan umat Islam khususnya. Lebih daripada itu, dalam keadaan tertentu keperluan kepada perkara tersebut boleh mencapai kepada darjat Daruriyyat dan bukan lagi Hajiyyat dan Tahsiniyyat. Sekiranya tapak masjid atau kubur yang ada mempunyai saiz keluasannya yang kecil dan tidak boleh menampung kepadatan penduduk, ketiadaan kemudahan jalan raya yang menjadi laluan orang ramai dan segala keperluan asas yang lain, dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa menyediakan kemudahan tersebut bagi menjamin keselesaan dan kemudahan orang ramai. Pada suatu masa dahulu tidak timbul banyak masalah kerana pada waktu itu tanah milik kerajaan masih banyak dan kepadatan penduduk tidak sebagaimana yang ada pada hari ini. Kebanyakan tanah yang terlibat dengan pengambilan adalah tanah milik kerajaan, dan sekiranya ada tanah rakyat yang terlibat ia boleh diganti sama ada tanah dengan tanah atau berupa wang pampasan bergantung kepada kehendak pemilik tanah. Berbeza keadaannya dengan apa yang berlaku pada zaman sekarang. Pengambilan tanah secara paksaan bukan hanya bertujuan untuk kepentingan atau kemudahan awam seperti membina jalan raya, masjid atau tapak perkuburan dan lain-lain. Sebahagian besar pengambilan tanah adalah tertumpu kepada projek pembangunan yang difikirkan dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Antaranya pengambilan tanah untuk pembinaan kilang-kilang, projek perumahan, kompleks membeli belah dan lain-lain yang lebih berorientasikan keuntungan dan perniagaan. Justeru, pada hari ini pelaburan harta tanah dilihat sebagai satu prospek perniagaan yang amat menguntungkan berbanding bentuk-bentuk pelaburan yang lain. (Ismail Omar, 2002, hlm.19) Pindaan kepada APT 1960 pada tahun 1991 telah membawa perubahan yang besar kepada konsep pengambilan tanah yang dilaksanakan oleh kerajaan. (Helmi Hussain, hlm.56) Ia berbeza dengan apa yang dilaksanakan sebelum pindaan dibuat. Sekalipun pindaan kali terakhir yang dibuat ini melibatkan beberapa seksyen tertentu sahaja, namun impak atau kesannya cukup besar terhadap undang-undang pengambilan tanah negara. (Mohd Afandi Mat Rani, 2008, hlm.176) Pindaan ini juga menimbulkan pelbagai kontroversi di kalangan orang ramai yang melihat ia suatu tindakan undangundang yang merugikan pemilik tanah dan bersifat merampas hak rakyat. (Berita Harian, 23/8/1991) Pindaan demi pindaan terhadap APT 1960 yang dibuat oleh pihak kerajaan pada hari ini adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam melaksanakan dasar

pengswastaan yang dijangka akan meningkatkan dan mempercepatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara melalui sumbangan sektor awam. Polisi ini telah diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1983. (Abu Bakar Munir, 1992, hlm.30-31) Pindaan kepada Seksyen 3 APT 1960 yang memperuntukkan bahawa kuasa pengambilan tanah di bawah APT 1960 adalah terletak hak kepada PBN. Kuasa yang diberikan adalah mutlak dan muktamad. Ini bermakna kuasa yang diperuntukkan kepada PBN untuk mengambil mana-mana tanah yang diberi milik tidak terikat atau tertakluk kepada mana-mana syarat dan peraturan selain yang diperuntukkan dalam Akta. Segala keputusan yang dibuat oleh PBN tidak boleh dipertikai dan dicabar di mana-mana mahkamah. Berdasarkan kepada Seksyen 42 KTN 1965, bahawa tanah adalah di bawah bidangkuasa dan kepunyaan mutlak pihak kerajaan. Maka kerajaan atau PBN adalah satu-satunya pihak yang layak dan berautoriti untuk menentukan kelayakan dan kelulusan untuk diambil mana-mana bermilik secara paksaan. Merujuk kepada Seksyen 3 (1), APT 1960 tanah milik individu boleh diambil secara paksaan oleh kerajaan untuk kepentingan awam dan pembangunan ekonomi negara. Namun pada hakikatnya pelaksanaan yang dibuat pada hari ini, pihak kerajaan atau PBN adalah merangkap sebagai wakil bagi pihak agen pemohon tanah sahaja. Sebahagian besar pembangunan dilaksanakan oleh badan swasta dan bukannya pihak kerajaan. Sebenarnya mereka yang ingin memilik tanah ialah institusi-institusi atau badan-badan lain yang ingin membangun dan mengusahakan di atas tanah berkenaan. Perkara ini perlu dilihat secara serius di dalam Islam kerana dibimbangi berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang boleh berlaku secara mudah. Oleh kerana APT 1960 memberi ruang yang seluas-luasnya dalam mentafsirkan maksud awam dan pembangunan ekonomi negara, ia mengundang pelbagai persoalan pro dan kontra yang bukan sahaja kepada tanah-tanah milik rakyat, bahkan juga mendatangkan kesan jangka masa panjang terhadap pembangunan hartanah wakaf di Malaysia. Antara yang dibangkitkan ialah soal pengambilan tanah boleh dibuat oleh sesiapa sahaja yang layak memohon dan bentuk pembangunan ekonomi yang tidak ada had dan garis sempadan. Selain itu, tujuan pengambilan tanah atau kepentingan umum adalah menjadi hak milik kerajaan untuk ditafsirkan. Manakala apa jua keputusan yang telah dibuat oleh PBN tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak sama ada tuan punya tanah ataupun mana-mana mahkamah. (Lihat kes Syed Omar bin Abdul Rahman Taha Alsaqoff & Anor lwn. Government of Johore, [1979]1 MLJ 49) Prosedur yang diamalkan oleh pentadbir tanah berdasarkan APT 1960 ini dilihat berbeza dengan konsep pengambilan tanah dalam Islam. Tindakan merampas hak milik secara paksaan dalam perundangan tanah negara sebagaimana juga terdapat dalam Islam. Namun apa yang membezakannya ialah aspek pelaksanaan dan amalan yang diaplikasikan pada hari ini menampakkan adanya beberapa kelemahan dan kecacatan yang perlu dilihat bagi mencapai konsep keadilan bagi kedua-dua belah pihak antara pemilik tanah dengan agensi yang mengambil tanah. 5.0 Pemakaian Konsep Maslahah Ammah dan Public Porpuse dalam Pengambilan Tanah Wakaf

Pengambilan tanah wakaf di dalam Islam yang juga berasaskan kepada konsep Maslahah amat menekankan aspek tujuan dan matlamat sesuatu tindakan itu dibuat, dan pada masa yang sama turut menjaga kemaslahatan pewakaf yang diambil hak mereka secara paksaan. (Al-Syatibi, Abi Ishak (t.t.), hlm.275) Oleh yang demikian, apabila membabitkan hartanah wakaf segala pelaksanaan yang dibuat oleh pihak kerajaan hendaklah mengambil kira beberapa aspek sebelum pengambilan tanah dibuat sebagai dasar atau polisi yang diaplikasikan daripada konsep Maslahah dalam Islam. Dasardasar ini merangkumi: a) Tujuan sesuatu pengambilan tanah wakaf berdasarkan kepada keperluan yang mendesak sama ada dari segi keagamaan, pendidikan, ekonomi, sosial dan lainlain. b) Kesan atau implikasi daripada pengambilan itu sendiri kepada pewakaf, pemegang amanah dan manfaat yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah. c) Alternatif lain yang boleh dibuat seperti mencari tempat yang lain sebagai ganti atau lain-lain pertimbangan yang menyebelahi kedua-dua pihak (tuan punya tanah dan pihak yang mengambil tanah). d) Pendapat dan pandangan pihak yang berautoriti perlu diambilkira sebagai suatu kajian dalam menentukan status/ standard keharusan. Pertimbangan atau aspek-aspek yang dinyatakan di atas adalah penting bagi mencapai keadilan dan menepati dengan roh syariat Islam yang dibina di atas dasar meraikan kemaslahatan umum, tiada kesukaran atau kesukaran diatasi dan mengaplikasikan keadilan yang menjadi asas dalam perundangan Islam. (Muhammad Yusuf Musa, 1961, hlm.127) Berdasarkan kepada perundangan tanah negara iaitu APT 1960, (Mohd Ridzuan Awang, 2005, hlm.62-63), Seksyen 3(a)(b) juga memperuntukkan perkara yang sama bahawa PBN boleh mengambil mana-mana tanah milik untuk apa-apa tujuan awam dan juga boleh diberikan kepada individu atau badan lain bagi menjalankan aktiviti ekonomi untuk kepentingan atau manfaat pembangunan negara. (APT 1960, Seksyen 3(b)). Tafsiran bermanfaat yang dinyatakan di dalam APT 1960, begitu luas dan terlalu umum. Peruntukan yang terkandung dalam seksyen ini bukan hanya bertujuan bagi pembangunan ekonomi sahaja. Malah lebih daripada itu ia turut sama merangkumi juga soal aktiviti sosial, kebudayaan dan keagamaan. Maksud pembangunan ekonomi yang dinyatakan diperuntukkan di dalam seksyen 3 (b) Akta, adalah merangkumi manfaat untuk: (Helmi Hussain, hlm.55-59) a) Pembangunan ekonomi negara Malaysia; b) Pembangunan ekonomi sebahagian rakyat Malaysia; c) Masyarakat awam secara keseluruhannya; d) Semua lapisan masyarakat awam. Justeru, adalah tidak bertentangan dengan dasar APT 1960, Seksyen 3(a), bahawa tanah-tanah bermilik boleh diambil untuk maksud mendirikan gereja, tokong, kuil atau rumah-rumah ibadat yang lain. (Helmi Hussain, hlm.56) Walaupun pada praktikalnya sehingga kajian ini dijalankan, tidak terdapat kes PBN mengaplikasikan seksyen 3(a) untuk tujuan pembinaan rumah ibadat selain agama Islam yang

membabitkan tanah wakaf. Namun jika PBN ingin mengambil tanah wakaf untuk pembinaan gereja atau kuil sebagai contoh, pelaksanaan ini tidak bercanggah atau bertentangan dengan peruntukan Akta, dan sebarang bentuk bantahan adalah bertentangan dengan undang-undang. (APT, 1960, Seksyen 36) Jika dilihat kepada peruntukan dalam APT 1960, Seksyen 2(3) dan pelaksanaan yang dibuat oleh pentadbir tanah pada hari ini, selepas pindaan APT pada 12.9.1991, telah berlaku perubahan dalam konsep pengambilan tanah. Pihak yang diambil hak mereka tidak boleh mempertikaikan tentang tujuan sesuatu pengambilan dibuat. Hak untuk menentukan sesuatu itu sama ada mempunyai kepentingan umum (Public Porpuse) atau tidak, diberi sepenuhnya kepada PBN. Jika terdapat mana-mana tanah wakaf Khas atau Am yang terlibat dengan pengambilan oleh PBN, MAIN tidak boleh mempersoalkan tentang apakah tujuan sesuatu tanah itu diambil sama ada munasabah, patut atau tidak sesuatu pengambilan tersebut dibuat. MAIN tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa tentang undang-undang pengambilan dan apa jua yang berkaitan dengannya. Pada tahun 1992, telahpun terdapat cadangan agar APT 1960, perlu dipinda untuk tidak membenarkan tanah wakaf terutamanya wakaf untuk masjid dan surau diambil oleh kerajaan untuk apa jua tujuan sekalipun. (Lihat: Berita Harian, 10/1/1992) Pentadbir tanah tidak akan menerima dan melayan sebarang permohonan bantahan daripada manamana pihak yang ingin membuat bantahan dari segi tujuan sesuatu pengambilan tanah. Timbalan Menteri Tanah dan Koperasi, Dr Goh Cheng Teik pernah menasihatkan kerajaan negeri agar tidak menyalahgunakan kuasa dengan mengambil tanah rakyat untuk tujuan projek swasta. Kementerian tersebut telah merangka kertas cadangan pindaan kepada Majlis Kanun Tanah Negara (MKTN) pada tahun 1995. Kementeriaannya sanggup berunding dengan kerajaan negeri jika terdapat tanah rakyat diambil untuk dibangunkan oleh pihak swasta dan memohon agar dibuat laporan kepada kementerian jika terdapat kes sedemikian. (Lihat: Berita Harian, 25/11/1996) APT 1960 tidak memperuntukkan sebarang seksyen kepada pemilik tanah untuk membatalkan atau mengelakkan tanah mereka daripada diambil apabila Borang A diwartakan. (APT, 1960, Seksyen 4) Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa tidak terdapat takrifan yang tepat sebelum ini dalam menentukan maksud awam. Pihak kerajaan sahaja satu-satu yang layak untuk mentafsir sama ada pengambilan itu mempunyai maksud awam atau sebaliknya. Manakala keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan pula tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak di mahkamah. (Kes Yew Lean Finance Development (M) Sdn. Bhd. lwn. Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang [1977] 2 MLJ 45) Maka peruntukan yang ada ini dilihat cukup luas menyebelahi pemohon tanah untuk menggunakan kaedah pengambilan secara paksaan ini, terutama membabitkan pembangunan yang tidak bersifat mendesak (Darurah) atau sengaja mengambil pendekatan cara mudah untuk mendapatkan tanah yang strategik bagi tujuan pembangunan. Majlis Mutamar al-Fiqh al-Islami telah menetapkan beberapa resolusi hasil daripada muktamar ke-4 yang diadakan di Jeddah pada 6-11 April 1988, berkenaan pelucutan hak milik secara paksaan untuk kemaslahatan umum. Antara resolusi tersebut ialah tanah-tanah yang diambil daripada pemilik secara paksaan tidak boleh digunakan untuk tujuan pelaburan sama ada untuk orang ramai ataupun untuk individu tertentu.

Berdasarkan kepada resolusi ini pihak berwajib perlu membezakan antara pengambilan tanah untuk tujuan umum dengan tujuan untuk pelaburan yang dibangunkan oleh sesuatu badan sama ada terdiri daripada badan kerajaan yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau badan swasta yang dimiliki oleh individu tertentu. (Mohd Afandi Bin Mat Rani, hlm.212) Peruntukan yang ada pada hari ini harus dilihat semula yang memberi impak dan kesan jangka panjang terutama kepada tanah-tanah amanah orang Islam. Tanah wakaf tidak boleh ditakrifkan sebagai tujuan awam jika pengambilan dibuat oleh agensi swasta yang jelas memberi manfaat kepada pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Walaupun hak penentuan sesuatu pengambilan itu sama ada bertujuan awam atau tidak dibuat oleh PBN, namun jika membabitkan hartanah wakaf, PBN hendaklah mengambil sikap berhati-hati dan memperhalusi maksud setiap permohonan yang dimaksudkan dengan Tujuan Awam. Ini kerana APT 1960 terpakai kepada semua jenis tanah dan termasuk juga tanah wakaf milik orang Islam. Oleh itu maksud tujuan awam hendaklah menepati dengan konsep darurah yang terpakai dalam undang-undang tanah Islam. 6.0 Standard dan Piawaian Maslahah dalam Pengambilan Tanah Wakaf

Hukum yang berasaskan kepada mekanisme Maslahah dalam semua keadaan memerlukan kepada suatu garis panduan atau prosedur yang jelas. Kemaslahatan hidup manusia di dunia ini sentiasa berubah mengikut peredaran zaman dan masa. Kesan daripada kekeliruan dan ketidakjelasan mekanisme ini akan memberi kesan kepada hukum semasa yang banyak terbina di atas hukum Maslahah. Konsep ini menjadi kayu ukur dalam mengaplikasikan sama ada hukum tersebut melarang secara tegas, atau keharusan bersyarat, atau mengambil pendekatan sederhana dengan bergantung sepenuhnya kepada keputusan yang dibuat oleh pemerintah. Pengambilan tanah wakaf untuk kepentingan umum hendaklah merupakan kepentingan umum yang sebenar-benarnya (Haqiqiyyah) atau Qatiyyah dan bukannya kepentingan yang bersifat Wahmiyyah. (Al-Zuhayli, Wahbah, 1989, hlm.1029) Pelaksanaan pengambilan tanah yang dibuat oleh kerajaan untuk tujuan pembinaan jalan raya, hospital, lapangan terbang, masjid dan lain-lain jelas manfaatnya boleh digunakan oleh masyarakat ramai dan disepakati oleh fuqaha tentang keharusannya. Tindakan yang dibuat ini telah menepati apa yang dimaksudkan dengan Maslahah Haqiqiyyah atau Qatiyyah yang dibincangkan oleh fuqaha Islam. Tujuan-tujuan pengambilan yang dinyatakan ini benar-benar mendatangkan kebaikan kepada masyarakat umum dan menghindarkan daripada berlakunya kesusahan dan kesulitan kepada orang ramai yang berhajat. Kewujudannya amat diperlukan dan sememangnya mendatangkan manfaat tanpa adanya sebarang syak atau keraguan. Konsep keharusan pengambilan tanah berdasarkan Maslahah Ammah yang dibincangkan menurut hukum syarak perlu diambilkira bagi menjamin kepentingan semua pihak. Pendekatan ini walaupun dilihat mempunyai persamaan dengan konsep maksud awam (Public Porpuse) yang terkandung dalam perundangan tanah Sivil negara, tetapi tafsiran antara kedua-duanya mempunyai perbezaan antara satu sama lain, khususnya bagi tanah wakaf yang mempunyai asas hukumnya yang tersendiri, berbeza dengan tanah milik umum yang lain terutama dari segi hak penggunaan dan pemilikan. Konsep Public Purpose dalam Islam mengambilkira batas dan sempadannya selaras

dengan kaedah Fiqhiyyah bahawa Sesuatu perkara yang dibenarkan oleh syarak kerana darurat ditentukan mengikut kadarnya. (Al-Zarqa, Syaykh Ahmad b. Syaykh Muhammad, 1989, hlm.187-188) Tidak semua kepentingan umum kepada masyarakat diambilkira. Lebih-lebih lagi dalam suasana di mana Perundangan Sivil tidak memberi takrifan yang jelas tentang definisi Public Purpose. (Lihat kes S. Kulasingam & Anor lwn. Commisioner of Land, Federal Territory & Ors, [1982] 1 MLJ 204) Begitu juga halnya jika berlaku pertembungan antara dua kepentingan (Maslahah), keutamaan hendaklah diberikan kepada yang lebih penting dan lebih umum walaupun ia memberi kesan negatif terhadap tindakan tersebut. Kaedah Fiqh menjelaskan bahawa: (Ibn Nujaym, Zayn al-Abidin b. Ibrahim, 1993, hlm.197-198) Ditanggung kemudharatan yang khusus, dengan tujuan untuk menolak kemudharatan yang ditanggung oleh umum. 7.0 Kontradiksi Antara Maslahah dan Mafsadah dalam Pengambilan Tanah Wakaf

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa pengambilan tanah secara paksaan sering terdedah kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Sehubungan dengan itu, dalam pengambilan tanah wakaf, ia bukan sahaja berlaku pertentangan antara dua Maslahah, tetapi juga berlaku kontradiksi antara Maslahah dan Mafsadah yang melibatkan banyak aspek terutama dari segi tujuan pengambilan dan prosedur semasa pengambilan dibuat. Kesukaran dalam menentukan standard piawaian Maslahah juga antara faktor berlakunya mafsadah dalam pengambilan tanah yang membawa kepada terbatalnya hukum keharusan yang pada asalnya diharamkan di dalam Islam. Islam meletakkan garis panduan yang jelas bahawa perkara yang membawa kepada kerosakan atau Mafsadah itu hendaklah diutamakan daripada aspek kebaikan (Jalb al-Masalih). Ini bermakna, dalam semua keadaan termasuk tindakan pengambilan tanah, perkara-perkara atau aspek yang boleh membawa kerosakan, kesulitan atau apa jua implikasi negatif yang timbul pada masa akan dating perlu dilihat terlebih dahulu daripada melihat aspek kebaikan yang terhasil daripada tindakan tersebut. Prosedur ini menepati dengan kaedah Fiqhiyyah menjelaskan bahawa Daru al-Mafasid Awla min Jalb al-Masalih (Al-Zarqa, Syaykh Ahmad b. Syaykh Muhammad, hlm.205-206) Dalam konteks ini tanah-tanah wakaf yang diambil secara paksaan oleh PBN dan tidak diganti semula sudah pasti mengundang mafsadah bukan hanya kepada pewakaf malah juga kepada umat Islam seluruhnya. Selain itu, apabila berlakunya kontradiksi antara dua keadaan yang bertentangan ini juga, kaedah pentarjihan berdasarkan konsep rajih dan marjuh boleh diimplimentasikan. Konsep ini menilai berdasarkan aspek yang mendominasikan antara dua aspek sama ada maslahah atau mafsadah. Kuantiti kebaikan dan keburukan menjadi ukuran yang menentukan batas dan sempadan hukum antara larangan dan suruhan. Sebagai contoh pengambilan tanah wakaf yang digunakan untuk tujuan pembinaan perumahan awam pada pandangan penyelidik adalah dikategorikan di dalam Maslahah Wahmiyyah. (Mohd Afandi Bin Mat Rani, hlm.122) atau kepentingan umum yang pada mula dilihat membawa keuntungan dan manfaat kepada orang ramai, tetapi pada

hakikatnya ia mengandungi unsur-unsur yang meragukan dan tidak memenuhi syarat keharusan hukum yang diasaskan kepada konsep Maslahah. Pelaksanaan ini pada awalnya dilihat membawa kebaikan kepada sektor pembangunan ekonomi negara, namun apabila diteliti ia membawa kesan jangka panjang terhadap tanah-tanah bermilik yang diambil. Antara syarat keharusan pengambilan tanah termasuk tanah wakaf ialah tanah yang diambil itu adalah untuk kegunaan orang ramai (al-Kulliyyat) dan bukannya hanya dimanfaat oleh segolongan kecil (al-Juziyyat) individu tertentu sahaja. Dari aspek yang lain pula, pembinaan projek-projek perumahan yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini adalah dipelopori oleh golongan-golongan tertentu yang terdiri daripada ahli-ahli korporat yang meraih keuntungan yang berlipat ganda hasil daripada jualan lot-lot rumah dengan harga yang tinggi. Manakala pembeli-pembeli rumah ini pula bukanlah terdiri daripada golongan yang miskin atau orang-orang yang berhajat, malah terdiri daripada orang-orang kaya yang mampu membelinya dengan kadar harga yang tinggi. Malah di kawasan-kawasan tertentu pihak-pihak yang bukan Islam mengambil kesempatan dengan membeli seberapa banyak mungkin semata-mata untuk mendapatkan tanah. Pengambilan tanah untuk projek pembinaan perumahan ini juga menyalahi dengan konsep Maslahah yang lain bahawa tindakan pengambilan tanah pada dasarnya tidak boleh menghilangkan atau meluputkan kepentingan lain yang lebih penting daripadanya atau setaraf dengannya. Dalam hal ini menampakkan bahawa PBN lebih mengutamakan kepentingan kepada golongan tertentu (pemaju-pemaju) berbanding kepentingan lain seperti keperluan orang-orang miskin yang lebih berhajat dan sepatutnya diutamakan. Malahan diketahui umum bahawa pembinaan projek-projek perumahan pada masa sekarang adalah suatu sektor pelaburan yang begitu menguntungkan pihak kerajaan dan pemaju. Dalam hal ini undang-undang hendaklah dipinda bagi menghendaki PBN merujuk kepada MAIN jika melibatkan tanah wakaf bagi mengenalpasti sejauhmana keperluan atau tujuan pengambilan itu dibuat. Prosedur ini hendaklah diperuntukkan di dalam mana-mana statut tanah negara, dan bukan hanya sekadar dibuat di atas pertimbangan dan budi bicara pentadbir tanah yang berlaku pada hari ini. Seksyen 3 APT 1960 boleh dipinda maksud awam dengan membuat pengecualiaan kepada tanah wakaf, bahawa tanah tersebut tertakluk kepada kelulusan dan keizinan MAIN yang menjadi sebahagian daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). (Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 2) Ini selaras dengan Seksyen 4(2) KTN 1965, bahawa Akta ini tidak boleh menyentuh peruntukan bagi mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa berhubung dengan wakaf dan Baitulmal. (KTN, 1965, Seksyen 4(2)) 8.0 Kelayakan Permohonan Pengambilan Tanah

Kaedah pengambilan tanah dalam Islam telah menentukan bahawa hanya pihak pemerintah sahaja yang layak untuk mengambil, atau merampas hak milik khusus bagi kegunaan umum. (Mahmud Syamam, 1988, dll, hlm.1089) Menurut Dr. Bakr b. Abd Allah Abu Zayd, (Bakr b. Abd Allah Abu Zayd, hlm.914) tanah-tanah wakaf yang boleh diambil secara paksaan adalah terikat dengan syarat-syarat atau kaedah-kaedah hukum syarak yang telah ditetapkan. Jika tanah-tanah ini diambil bukan bertujuan untuk kepentingan awam seperti diberimilik kepada orang asing untuk diurus dan

10

dibangunkan, maka tindakan ini dianggap sebagai zalim dan merampas hak milik yang diharamkan di dalam Islam. Merujuk kepada peruntukan APT 1960, Seksyen 3(b) permohonan tanah terpakai kepada sesiapa sahaja. Semuanya adalah bergantung kepada PBN sama ada mereka yang memohon itu adalah terdiri daripada orang Islam atau bukan Islam atau badan korporat yang terdiri daripada warga tempatan atau warga asing. Perkataan Any person atau mana-mana orang membawa implikasi yang besar kepada individu, syarikat atau manamana pihak yang layak mendapatkan tanah. Mana-mana orang di sini tidak bermaksud hanya dikhususkan kepada mereka yang layak memilik tanah sahaja, malah ia kemungkinan hanya menggunakan tanah bagi membangunkan ekonomi. APT 1960 tidak menyatakan secara khusus siapakah yang boleh memohon untuk mengambil mana-mana tanah. Mereka berhak memiliki tanah yang boleh diambil melalui APT secara paksaan walaupun pada asalnya mereka tidak berhak memiliki tanah, dengan alasan untuk membangunkan aktiviti ekonomi di atas tanah yang dipegang oleh kerajaan. Oleh yang demikian, tanah wakaf boleh diambil oleh mana-mana pihak sama orang persendirian atau syarikat atau perbadanan. Membuat bantahan, menghalang atau apa jua perbuatan yang boleh mengganggu gugat pengambilan tanah secara paksaan ini adalah menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang. Peruntukan yang terkandung dalam APT 1960 ini jelas bertentangan dengan kaedah pengambilan tanah dalam Islam sebagaimana yang telah dinyatakan. Kelayakan memohon sesuatu tanah dalam Islam perlu juga dilihat dari sudut yang lebih praktikal dan rasional. Sekiranya tanah wakaf diambil untuk dibangunkan dengan projek-projek mewah yang membawa keuntungan kepada pihak-pihak tertentu sahaja, maka dalam hal ini hendaklah mengutamakan Maslahah yang lebih besar (Kubra) daripada Maslahah kecil (Sughra). (Ridzwan Bin Ahmad, 2004, hlm.346) Tanah wakaf yang biasanya dimanfaatkan oleh penerima wakaf yang pada kebiasaannya terdiri daripada orang-orang miskin, hendaklah diutamakan daripada golongan kaya. Membantu golongan miskin adalah termasuk dalam Maslahah yang lebih besar berbanding membantu golongan yang kaya. Ini kerana mengabaikan keperluan orang miskin lebih mendatangkan mudarat atau membawa kepada kesan yang lebih buruk. Maka pendekatan terbaik juga perlu dilihat dengan mendahulukan Maslahah yang membawa kesan yang lebih buruk daripada Maslahah yang kurang kesan buruknya. Oleh kerana tiadanya sekatan dan halangan daripada pihak kerajaan sendiri amat dibimbangi sekiranya tanah wakaf juga turut sama menjadi aset yang tergadai dengan sebab arus perubahan dan pembangunan yang mengenal sempadan masa dan keadaan yang bersandarkan kepada kepentingan umum semata-mata, sebagaimana yang berlaku kepada tanah-tanah rizab Melayu (TRM) sekarang. Menurut Ahmad Nazri Abdullah, dalam jangka masa 23 tahun (1947-1970), orang-orang Melayu telah kehilangan sebanyak 674,906 hektar TRM atau purata 29.344 hektar setahun. (Ahmad Nazri Abdullah, 1984, hlm.217-218) Walaupun ada peruntukan untuk menggantikan TRM yang dibatalkan, tetapi hal ini tidak banyak berlaku. (Berita Mingguan, 5/9/2004)

11

9.0

Kaedah Penentuan Bayaran Pampasan Tanah

Pengambilan tanah secara paksaan dengan membayar pampasan yang mencukupi telah disepakati di kalangan para fuqaha (Saad Muhammad Khalil (t.t), dll, hlm.7) dan telah diperuntukkan di dalam undang-undang tanah negara. (APT 1960, Seksyen 12(1)) Islam telah menggariskan kaedah umum dalam menentukan jumlah pampasan yang perlu diberikan kepada tuan tanah dengan menekankan konsep keadilan (Al-Quran, Surah alNahl 16:90) dan persetujuan antara kedua belah pihak (al-Rida bayna al-Tarafayn). Dalam profesion penilaian harta tanah, untuk membuat keputusan tentang nilai seseuatu kepentingan harta tanah yang ada tidaklah semudah yang difikirkan. (Suhaimi Bin Hj Mamat, hlm.2) Nilaian yang paling tepat dan munasabah biasanya ialah hasil kerja yang berhati-hati, bertanggungjawab dan kemas kini. (Ismail Omar, hlm.67) Dalam memperincikan kaedah-kaedah dan peraturan secara khusus, ia bergantung kepada Siyasah al-Syariyyah dan kebijaksanaan pihak pemerintah. Pihak berkuasa hendaklah berusaha sedaya upaya bagi mencapai kedua-dua dasar ini dengan tidak memandang remeh atau mengambil sikap sambil lewa serta tidak bertanggungjawab sehingga membawa kepada ketidakadilan dan kezaliman kepada pihak lain yang diambil hak milik tanah mereka. (Suhaimi Hj Mamat, 2005, hlm.2) APT 1960, telah memperuntukkan tentang kaedah dan peraturan bayaran pampasan di dalam Jadual Pertama APT 1960, Seksyen 12,35,46 dan 47. Jadual Pertama Akta menjadi satu peraturan formal (bertulis) kepada pegawai penilaian, pentadbir tanah dan agensi pemohon dalam menetapkan nilai pampasan yang adil. Di dalam peruntukan APT 1960, terdapat beberapa perkara yang perlu dikaji kerana dilihat adanya pertentangan antara hukum syarak dengan amalan yang dipraktikkan oleh pentadbir tanah. APT 1960 dikatakan menjadi halangan kepada pembayaran pampasan yang adil kepada pemilik tanah. Menurut Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Mani Usilappan, APT 1960 perlu dipinda bagi membolehkan bayaran pampasan yang adil diberikan kepada pemilik tanah yang tanah mereka diambil untuk pembangunan. (Lihat: Utusan Malaysia, 18 April 2001) Kerajaan juga berjanji dengan pindaan APT 1960 (pindaan 1997) APT akan menjadi lebih adil dan memanfaatkan rakyat. (Utusan Malaysia, 29 April 1997) Namun apabila dibuat kajian, perkara tentang nilai pampasan sering menjadi pertikaian dan faktor utama (Sahak Mamat, 1995, hlm.1) kepada ketidakpuasan hati rakyat pemilik tanah apabila tanah mereka terlibat dengan pengambilan. Sebagai contoh Pengambilan tanah di Hulu Perak untuk melebarkan jalan raya Gerik-Pengkalan Hulu, dikatakan terdapat perbezaan yang amat ketara antara tanah milik Melayu dengan Bukan Melayu dari segi penilaian tanah. Tanah milik orang Melayu dibayar antara RM5000.00 hingga RM6000.00 berbanding bukan Melayu RM40,000.00 hingga RM50,000.00. Lihat: Berita Harian, 24/9/1991. Prosedur pengambilan tanah yang diamalkan oleh pentadbir tanah pada hari ini tidak membuka ruang kepada konsep tawar menawar antara kedua belah pihak dalam menentukan jumlah pampasan, ganti rugi atau imbuhan. Tidak ada perundingan antara kedua belah pihak untuk mencapai persetujuan. Akibat daripada itu telah berlaku dua tuntutan yang berbeza antara pemilik tanah dan agensi memohon tanah. Tuan tanah

12

pastinya akan menuntut pampasan yang tinggi dan agensi memohon tanah menghendaki supaya dibayar pampasan yang rendah. Seksyen 12 APT 1960 hanya memberi kuasa penuh kepada pentadbir tanah untuk menjalankan siasatan penuh (full inquiry) bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan sebagai asas dalam menentukan award. Oleh itu pampasan yang diberikan tidak mencapai tahap jumlah yang mencukupi dan bertentangan dengan harga pasaran. Ini kerana harga pasaran adalah harga seseorang pemunya menerima dengan rela hati dan tanpa paksaan daripada pembeli yang sukarela dan ia telah membuat tawar menawar untuk membeli atau menjualnya. APT 1960, seksyen 37 yang ada sekarang telah memberi kuasa kepada pemilik tanah atau MAIN dari segi undang-undang untuk merayu kepada mahkamah tentang bayaran pampasan. Walau bagaimanapun kos mahkamah begitu tinggi dan memakan masa yang lama turut merugikan pihak MAIN. Sebagaimana yang berlaku pengambilan tanah wakaf di negeri Melaka. (Temubual: En. Mohd Hairul Amin bin Mohd Sis ) Bagi pemilik tanah, selain peraturan formal peraturan tidak formal juga perlu diambilkira dalam menentukan kadar nilaian pampasan yang berpatutan dan adil. Pemilik tanah bukan sahaja melihat peraturan bertulis tetapi juga mementingkan faktor tidak formal seperti budaya dan tradisi, adat dan norma, sikap dan nilai ekonomi yang ada pada tanah. Peraturan tidak formal banyak mempengaruhi dan seringkali diberi pertimbangan oleh tuan-tuan tanah dalam membuat tuntutan dan menentukan kadar pampasan. Oleh yang demikian ciri-ciri nilai sentimental juga perlu diambilkira dalam menentukan nilai pampasan. Tanah wakaf adalah harta amanah milik orang Islam yang mempunyai nilai-nilai keistimewaan dibandingkan dengan tanah-tanah lain yang dimiliki oleh orang perseorangan. Di Terengganu, MAIDAM pernah membuat tuntutan pampasan sebanyak 15% tambahan daripada nilai harga pasaran semasa, memandangkan kesukaran Majlis untuk mendapatkan gantinya. Permohonan dan tuntutan MAIDAM ini tidak dipenuhi kerana bayaran pampasan akan dibayar mengikut nilai semasa tanah tersebut tanpa mengambilkira peraturan tidak formal sebagaimana yang dijelaskan. Akibatnya sebahagian besar tanah wakaf yang diambil tidak boleh diganti selain daripada masalah ketiadaan tanah yang strategik, lokasi dan lain-lain. (fail MAIDAM 03-00/4-(34) Mei 2000) 11.0 Status Tanah Wakaf dan Hak Tuntutan Bayaran Pampasan

Prinsip al-Tabid atau berkekalan telah dijelaskan oleh para fuqaha di dalam bab syaratsyarat sighah wakaf. (Abu Zahrah, Muhammad, 1971, dll, hlm.63) Ia disepakati di kalangan Jumhur ulama bahawa penentuan atau menghadkan tempoh harta wakaf adalah seperti menafikan hukum wakaf yang disyariatkan untuk dimanfaatkan secara berterusan dan berpanjangan. Prinsip inilah antara salah satunya yang membezakan antara harta wakaf dengan yang lain. Dalam hal ini terdapat pandangan yang meletakkan berkekalan sebagai syarat yang mutlak yang tidak boleh diikat dengan tempoh tertentu Mazhab Syafii mensyaratkan berkekalan sebagai syarat utama dalam pewakafan harta. Oleh itu harta alih tidak boleh diwakafkan kecuali ia bersama-sama dengan harta kekal (aqar). (Mohd Afandi Bin Mat Rani, hlm.29) Di Malaysia terdapat negeri yang mewartakan tanah kubur dan tapak masjid di bawah seksyen 62 KTN 1965 sebagai tanah rizab awam dan dikawal selia oleh Jabatan

13

Agama atau Pesuruhjaya Agama. Pada dasarnya kerajaan atau PBN memberi tanah yang mempunyai status rizab adalah bagi mengelakkan daripada tanah wakaf tersebut dimiliki secara hak milik kekal. Sekiranya kerajaan menghendaki tanah tersebut untuk tujuan pembangunan, kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk membayar pampasan bagi tanah yang berdaftar secara hak milik kekal ini. Tetapi melalui pemberian secara rizab pihak kerajaan hanya perlu membatalkan status rizab dan secara tidak langsung tanah tersebut menjadi tanah kerajaan tanpa perlu membayar sebarang pampasan. Undang-undang tanah di Malaysia menafikan hak tanah wakaf yang diberi atau diserahkan oleh kerajaan yang dikenali sebagai tanah kurnian atau rizab. Sedangkan menurut hukum pewakafan harta di dalam Islam tanah yang diberikan oleh kerajaan bagi tujuan keagamaan dikategorikan sebagai wakaf Irsad yang juga diiktiraf sebagai wakaf. Apa yang disarankan ini adalah relevan dan menepati dengan keadaan semasa pada hari ini yang mendesak kepada tanah sebagai keperluan pembangunan. PBN hendaklah melihat isu ini dan diberi perhatian yang serius kerana dibimbangi pada masa akan datang banyak lagi tanah wakaf jenis masjid, surau dan kubur diambil semula secara mudah oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan. KTN 1965 juga perlu dirujuk bersama untuk diseragamkan di semua negeri dengan mengecualikan tanah tapak masjid, surau dan kubur daripada status rizab. Ini bermakna semua tanah yang digunakan untuk aktiviti keagamaan seperti tapak masjid, surau dan kubur dikategorikan sebagai tanah wakaf yang dikenali sebagai wakaf Irsad, iaitu hartanah milik negara yang diwakafkan oleh pemerintah atau pihak berkuasa untuk kepentingan umum dan mempunyai status kekal, bukannya Leasehold (Pajakan). (Siti Mashitoh Mahamood, 2006, hlm.10) Sudah sampai masanya semua negeri membuat pindaan dengan melihat kepada contoh yang berlaku di negeri Kedah. Lebih daripada 20 ekar tanah tapak masjid, surau dan kubur diambil semula oleh kerajaan tanpa mengenakan apa-apa pampasan. Jika PBN membayar pampasan sudah semestinya MAIN dapat membeli tanah-tanah lain sebagai ganti. Secara tidak langsung juga kejadian seperti ini sedikit sebanyak mengundang pandangan negatif orang ramai bahawa MAIN tidak mempertahankan tanah tapak masjid dan kubur orang Islam sehingga sanggup diambil oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan negara. Mungkin juga akan timbul isu daripada orang ramai bahawa MAIN turut sama berkongsi keuntungan dengan menyerahkan tanah kepada kerajaan. Semua tanggapan negatif ini akan menjejaskan nama baik dan kredibiliti MAIN di mata masyarakat. (Mohd Afandi Mat Rani, hlm.241) Dalam hal ini merujuk kepada peruntukan hukum syarak, sekiranya terdapat tanah-tanah jenis kegunaan masjid/ surau dan kubur yang diserahkan oleh pewakaf kepada kerajaan dan tidak dibuat permohonan semula oleh MAIN, PBN hendaklah membayar jumlah pampasan sebanyak nilaian tanah asal atau lebih tinggi daripadanya. Aset (pampasan) akan dimasukkan di bawah kategori Waqf Istibdal menggantikan aset yang pertama. Segala hasil dan pendapatannya mestilah diaplikasikan kepada tujuan yang sama seperti yang ditentukan oleh pewakaf dan mengikut hukum pewakafan yang tidak membenarkan sebarang transaksi dilakukan ke atasnya iaitu tidak boleh dijual, dijadikan pemberian atau diwarisi. Di negeri Johor, semua tanah yang dikurniaan bagi tujuan keagamaan diletakkan di bawah pentadbiran MAIJ. Oleh yang demikian, tanah rizab bagi kegunaan awam yang berkaitan dengan orang Islam seperti masjid, surau,

14

kubur dan lain-lain diletakkan di bawah kawalan pentadbiran agama Islam Johor. Tanahtanah jenis ini hendaklah didaftarkan di bawah hak milik MAIJ. Begitu juga di negeri Melaka, tanah kurniaan ini sebahagian besarnya telahpun didaftarkan di bawah milik MAIM. 12.0 Mengambil Hak Milik Segera Tanpa Bayaran Pampasan

Selain mensyaratkan nilai pampasan dibayar secukupnya kepada pemilik tanah, hukum syarak dalam menjaga kemaslahatan dan kepentingan pemilik tanah, bayaran pampasan itu hendaklah dijelaskan atau diberikan kepada pemilik tanah dengan kadar segera. (Resolusi Mutamar Majma al-Fiqh al-Islami, hlm.1797-1798) Ini kerana pengambilan tanah secara pampasan menyamai konsep jual beli. Penyerahan barang yang dibeli dan pembayaran harga dilakukan secara serentak. (Majallah Ahkam al-Adliyyah, Perkara 1216) Dalam hal ini pihak yang mengambil tanah tidak boleh menangguhkan bayaran pampasan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada pemilik tanah. Perkara ini lebih kritikal lagi jika membabitkan tanah-tanah wakaf yang mesti disegerakan proses Istibdal dengan tanah yang lain. Justeru, selagimana bayaran pampasan belum dibayar sepenuhnya kepada pemilik tanah, kerajaan tidak boleh mengambil mana-mana tanah dan hak milik masih kekal dengan pemilik tanah yang asal. Sebarang bentuk aktiviti pembangunan ke atas tanah tersebut di dalam tempoh ini dikira sebagai menceroboh yang diharamkan oleh syarak. Di dalam APT 1960, berkenaan tempoh pembayaran telah diperuntukkan bahawa pentadbir tanah dikehendaki membayar kepada orang yang berkepentingan dengan seberapa kadar segera. Merujuk kepada amalan yang dilaksanakan berlaku ketidakadilan dalam seksyen 8 APT 1960 kerana berlaku kelewatan pembayaran pampasan ke atas tanah wakaf yang diambil sebagaimana yang berlaku di Lot 3432 Chendering Kuala Terengganu yang diambil pada tahun 2000 untuk tujuan pembesaran jalan raya yang dinilai sebanyak RM120,500.00. Sehingga kajian ini dibuat pihak kerajaan belum lagi membayar pampasan tersebut kepada MAIDAM. Begitu juga di Lot 609, Mukim Bukit Payung yang diambil pada tahun 1998, juga belum dijelaskan bayarannya. Kelewatan ini berpunca daripada peruntukan yang menyatakan bahawa Seberapa segera yang boleh. Walaupun peruntukan ini telah dipinda melalui pindaan pada tahun 1984 (Akta A575 tahun 1984) dengan menghadkan tempoh selama dua tahun, tetapi dari segi pelaksanaannya terdapat kes-kes yang berlaku kelewatan sebagaimana yang dinyatakan. Kelewatan ini membawa banyak implikasi kerana dalam tempoh tersebut pelbagai perkara boleh berlaku seperti perbezaan nilai tanah dan lainlain. Jika keadaan ini berlaku sudah pasti MAIN tidak dapat menggunakan wang pampasan itu untuk menggantikan dengan tanah yang lain. Begitu juga soal penerima manfaat wakaf, mereka juga turut terjejas. Amalan ini sudah pasti bertentangan dengan perundangan wakaf bahawa setiap apa yang diniatkan oleh pewakaf hendaklah dilangsungkan. Mengikut APT 1960, Seksyen 18 dan 19, kerajaan boleh mengambil hak milik tanah walaupun tanpa terlebih dahulu membayar pampasan dengan mengeluarkan Surat Akuan Segera. Seksyen ini diperlukan bagi bentuk pembangunan yang dilaksanakan seberapa segera yang termasuk dalam kes terdesak. Tindakan ini baik kepada kerajaan

15

kerana dapat melaksanakan projek pembangunan dengan segera tetapi memberi kesan buruk kepada tuan-tuan punya tanah. Pelaksanaan ini juga bertentangan dengan salah satu resolusi yang diputuskan oleh Majlis Fiqh Islam bahawa hendaklah pengambilan atau pelucutan hak milik tanah disertai dengan bayaran pampasan dengan kadar segera, walaupun ia diambil secara terdesak sebagai menghormati hak asasi tuan tanah. (Resolusi Mutamar Majma al-Fiqh al-Islami, hlm.960) Selain itu, Seksyen 4 APT 1960 juga memberi kuasa kepada kerajaan untuk mewartakan mana-mana tanah yang mungkin diperlukan bagi mana-mana maksud Seksyen 3 Akta. Ia sebagai amaran awal bahawa tanah tersebut akan diambil. Pihak kerajaan belum lagi pasti bahawa tanah tersebut benar-benar akan diambil untuk membangunkan dengan sesuatu projek. Ia bergantung kepada kajian yang dijalankan. Walaupun tanah tersebut masih kekal di bawah hak milik tuan punya tanah, namun apabila notis permulaan diwartakan di bawah seksyen 4 ini, hak milik tuan punya tanah akan terjejas kerana segala urusniaga tanah tersebut terpaksa dibekukan. Dengan demikian tuan punya tanah tidak dapat menjalankan urusniaganya. Proses kajian ini memakan masa yang lama. Maka dalam hal ini tuan punya tanah telah secara langsung dinafikan hak mereka. Seksyen 4 APT 1960 ini banyak memberi kelebihan kepada pihak yang mengambil tanah. Berbeza dengan kaedah pengambilan tanah dalam Islam bahawa sesuatu pengambilan tanah tidak boleh dilakukan sehingga sampai tempohnya. (Resolusi Mutamar Majma al-Fiqh al-Islami, hlm.1797-1798) 13.0 Penggantian Tanah dengan Tanah (Tawid bi al-Aqar) sebagai Satu Alternatif

Keharusan pengambilan tanah secara paksaan dalam Islam tidak hanya menumpukan kepada aspek kemaslahatan umum sahaja. Malah telah disepakai di kalangan ahli fiqh bahawa mana-mana tanah yang diambil hendaklah disertai dengan gantian atau nilaian, atau lebih dikenali dalam bahasa Arab sebagai Tawid atau Qimah. (Saad Muhammad Khalil, hlm.33) Penggantian sama ada dalam bentuk wang atau jenis yang sama tidak ditentukan oleh fuqaha kerana ia bergantung kepada keperluan dan kemaslahatan pemerintah atau pihak berkuasa pada satu-satu masa. Dalam hal ini adalah menjadi hak kepada pemilik harta untuk mendapatkan penggantian atau pampasan yang adil (Tawid al-Adl). Berdasarkan kepada konsep ini, adil membawa makna yang luas yang menjurus kepada menjaga kemaslahatan pemilik tanah. Jika tawid yang diberikan dalam bentuk wang lebih membawa keadilan kepada pemilik, maka tawid dengan wang adalah dianggap lebih baik dan adil kepada pemilik tanah. Namun tidak semua keadaan boleh diadili dengan menggantikannya dengan wang. Ia bergantung kepada keperluan dan kehendak pemilik tanah yang berbeza antara satu sama lain. Kemungkinan bagi pemilik tanah individu merasakan bahawa penggantian dengan wang adalah lebih baik pada pandangan mereka berdasarkan kepada keperluan. Pada pandangan penyelidik, dengan melihat kepada keperluan tanah yang semakin berkurangan pada hari ini dan sukar dicari ganti, tawid bagi tanah-tanah wakaf yang diambil oleh kerajaan dengan membayar pampasan berupa wang semata-mata adalah tidak adil. Dalam konteks semasa pada hari ini konsep Tawid lebih dikenali sebagai pampasan. Tanah-tanah yang diambil secara paksaan oleh kerajaan akan dibayar dengan

16

wang sebagai pampasan kepada pemilik tanah. Perkara 13(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan supaya pampasan yang mencukupi mestilah dibayar kepada orang yang dilucutkan hartanya bagi setiap nilaian tanah yang diambil. Amaun pampasan ini hendaklah dibayar secepat mungkin selepas sahaja pentadbir tanah menjalankan siasatan.(APT, Seksyen 12(1)) Walaupun pampasan dibayar dianggap sebagai mencukupi, namun konsep keadilan kadangkala diketepikan tanpa disedari. Pentadbir tanah yang ditugaskan untuk mengambil tanah tidak memberi ruang kepada tuan punya tanah untuk membuat pilihan antara menerima wang pampasan atau penggantian dalam bentuk tanah. Peruntukan ini sebenarnya terkandung dalam APT 1960, Seksyen 15(1) yang memberi kuasa penuh kepada pentadbir tanah menggunakan budi bicaranya membuat perbincangan bagi mendapatkan persetujuan dengan orang yang berhak kepada pampasan. Perkiraan yang boleh dibuat itu sama ada: i. ii. Penggantian wang pampasan sepenuhnya; Penggantian sebahagian wang pampasan dan sebahagian lagi dengan cara yang lain

Berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 15(1), pentadbir tanah boleh menggunakan budi bicaranya sama ada memberi sebahagian dengan wang pampasan atau sebahagian lagi menggantikannya dengan sebidang tanah lain kepada orang berkepentingan tersebut, atau diganti secara keseluruhannya dengan tanah lain tanpa memberi pampasan. Selain itu pentadbir tanah juga boleh memberi kepada pemilik tanah pampasan dalam bentuk saham dalam sesebuah syarikat, atau berupa tempat kediaman. Pada peringkat awal pelaksanaan APT 1960 digubal, pentadbir tanah boleh menggunakan budi bicara mereka untuk membuat perkiraan dengan pihak yang berkepentingan bahawa tanah yang diambil akan diganti dengan tanah. Ini ekoran pada ketika dahulu tanah milik kerajaan masih banyak dan pasaran hartanah tidak begitu tinggi sebagaimana pada hari ini. Peruntukan seksyen 15(1) Akta ini tidak diaplikasikan sepenuhnya oleh pentadbir tanah di dalam melaksanakan tugas pengambilan tanah. Alternatif yang diberikan oleh seksyen 15 (1) tidak diterimapakai seolah-olah ia hanya wujud sebagai lakona semata-mata dan terbiar begitu sahaja. Hingga kajian ini dibuat, peruntukan seksyen ini masih dikekalkan tanpa dibahaskan oleh mana-mana pihak, sama ada perlu diwujudkan satu alternatif atau kaedah lain bagi mencapai maksud seksyen 15(1) tersebut. Sebaliknya, jika ia tidak relevan lagi untuk dilaksanakan pada hari ini maka pindaan terhadap Seksyen 15(1) perlu dilakukan. Justeru, boleh dikatakan kesemua tanah sama ada tanah milik individu atau tanah wakaf MAIN diganti dengan wang sebagai pampasan. Pihak pentadbir tanah menggunakan kaedah yang dianggap mudah dengan hanya membuat siasatan, perbicaraan dan seterusnya membuat pembayaran dengan wang. Kaedah yang dinyatakan di dalam APT 1960 iaitu tanah yang diambil digantikan dengan wang pampasan sepenuhnya adalah antara kaedah yang paling menyenangkan dan memudahkan urusan pentadbir tanah semata-mata, tanpa melihat kepada keuntungan dan kebaikan yang diperolehi oleh pemilik tanah serta mengapa Seksyen 15(1) diperkenalkan.

17

Ini bertentangan dengan dasar kerajaan untuk membangunkan tanah-tanah wakaf dan menggalakkan umat Islam mewakafkan harta mereka bagi menambahkan jumlah tanah wakaf yang tersedia ada sebagai wahana kepada pembangunan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya. Oleh itu, melihat kepada keperluan semasa khususnya bagi tanah wakaf adalah perlu diberi pilihan kepada MAIN untuk menentukan bentuk pampasan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 15(1) APT 1960. Bahagian perundangan, Ibu Pejabat KPTG perlu mengkaji dan meneliti sejauhmana kesesuaian seksyen ini supaya ia tetap relevan dengan keperluan semasa dan memberi manfaat kepada semua pihak. 14.0 Perundingan Prapengambilan Tanah

Tujuan dan matlamat perundingan prapengambilan bagi tanah wakaf adalah amat penting. Dengan cara ini sekurang-kurangnya pihak MAIN dapat berpeluang dan berhujah tentang tujuan pengambilan tanah wakaf dan sejauhmanakah keperluan terhadap pengambilan itu. (Abdul Aziz Hussin, 2002, hlm.41) Sehubungan dengan itu juga, MAIN dengan kerjasama PBN akan dapat membuat perundingan sewajarnya tanpa menjejaskan kedudukan dan kepentingan tanah wakaf. Melalui acara perundingan prapengambilan ini, secara tidak langsung MAIN selaku Pemegang Amanah Tunggal harta wakaf akan dapat mengetahui tujuan dan matlamat sesuatu pengambilan itu dibuat dan berpuas hati bahawa sesuatu tanah itu memang diperlukan bagi tujuan-tujuan mendesak dan menepati dengan peruntukan Seksyen 3 APT 1960 serta tidak bercanggah dengan hukum syarak. Sekiranya tujuan pengambilan itu bercanggah dengan peruntukan Seksyen 3 dan bertentangan dengan hukum syarak, MAIN berhak membuat bantahan dan mencabar di atas alasan melanggar hak asasi dan memohon mahkamah mengisytiharkan pengambilan itu adalah terbatal dan tidak sah serta menyalahi undang-undang. Bantahan ini boleh dibuat dengan merujuk kepada Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 3 APT 1960, bahawa harta seseorang tidak boleh dilucutkan kecuali mengikut undangundang. Secara tidak langsung Perkara 13 adalah bertujuan untuk melindungi harta milik individu yang dijamin melalui perundangan. Selain itu, MAIN dapat meyakinkan kepada masyarakat umum dan juga ahli waris pewakaf (bagi wakaf Zuriat) tentang tujuan kerajaan mengambil tanah wakaf untuk sesuatu pembangunan. MAIN dapat menjelaskan kepada pihak-pihak berkenaan sebelum ia menjadi bahan polimik masyarakat. Dari segi amalan pengambilan tanah perkara berkaitan dengan perundingan prapengambilan tanah tidak diperuntukkan dalam APT 1960, kecuali setelah dibuat pindaan kali terakhir pada tahun 1997. Pada menjalankan tugas-tugas pengambilan tanah, pentadbir tanah akan memanggil pihak yang berkepentingan ke atas tanah tersebut setelah Borang A notis kemungkinan tanah akan diambil disiarkan dalam warta kerajaan. Perbicaraan antara pemilik tanah dengan pentadbir tanah dibuat setelah kerajaan membuat keputusan tanah berkenaan akan diambil. Ini bermakna prosedur pengambilan tanah secara paksaan sebelum pindaan pada tahun 1997 ini tidak memerlukan kepada perundingan prapengambilan antara MAIN dengan pentadbir tanah kerana ia tidak diperuntukkan dalam APT 1960. Pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan tanah secara paksaan tidak ada peluang dan hak untuk didengar sebelum

18

tanah mereka diambil. (Lihat kes S. Kulasingam & Anor lwn. Commissioner of Lands, Federal Territory & Ors. [1982] 1 MLJ 204) Pemilik tanah hanya dipanggil menghadiri perbicaraan untuk mendengar jumlah pampasan yang akan dibayar dan sekiranya tidak berpuas hati dengan jumlah yang ditawarkan pemilik tanah hendaklah membuat bantahan ke Mahkamah Tinggi. Pada hakikatnya, sebelum pindaan Akta dibuat, pihak kerajaan telahpun mengsyorkan kepada agensi pengambil tanah untuk memberi peluang kepada pemilik tanah menjalankan pembangunan secara usahasama sebelum pengambilan tanah dibuat. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Datuk Khalid Yunos ketika menggulungkan perbahasan meluluskan Rang Undang-undang APT 1960 bagi menimbangkan penyertaan tuan tanah. (Lihat: Berita Harian, 8/8/1991) Namun oleh kerana ia tidak diperuntukkan di dalam APT 1960, maka tidak ada usaha bersungguh-sungguh oleh pihak pengambil tanah untuk merealisasikan hasrat kerajaan ini. Pindaan yang dibuat terhadap APT Seksyen 3 ini memperuntukan rundingan hanya dikhususkan kepada projek-projek yang dibangunkan oleh pihak-pihak swasta sahaja. Jika tanah diambil untuk projek kerajaan negeri atau Persekutuan, rundingan atau praperbincangan tidak diperlukan. (Temubual melalui telipon dengan En. Suhaimi Mamat) Selepas pindaan APT pada tahun 1997, MAIN diberi peluang untuk mengadakan pembangunan secara usahasama jika bentuk pembangunan itu sesuai dijalankan secara bersama. Walaupun APT 1960, memperuntukkan hak kepada tuan tanah untuk mengadakan projek pembangunan secara usahasama, namun sepanjang kajian ini tidak terdapat satu bentuk pembangunan yang dijalankan secara usahasama antara agensi swasta dengan MAIN. Ini disebabkan oleh sebahagian besar tanah-tanah wakaf diambil bagi tujuan pembesaran jalan raya, masjid dan lain-lain yang tidak sesuai untuk dibangunkan secara usahasama. Dari segi amalan undang-undang pentadbiran harta wakaf MAIN adalah pihak yang diberi kuasa mentadbir dan mengurus harta wakaf, tetapi Akta tidak memperuntukkan kuasa kepada pentadbir tanah untuk membuat rujukan terlebih dahulu kepada MAIN, patut atau tidak sesuatu tujuan tanah wakaf diambil. Mufti, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri, Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau, Pemegang Amanah dan lain-lain pihak yang berkepentingan ke atas tanah wakaf tidak berhak mencabar (non-justiciable) keputusan kerajaan apabila PBN menyatakan bahawa tanah wakaf yang diambil oleh kerajaan itu diperlukan bagi tujuan pembangunan ekonomi negara. Sekalipun pandangan dan pendapat yang dikemukakan oleh pihak-pihak lain diterima oleh pentadbir tanah, ia tidak mengikat keputusan kerajaan. Pada hakikatnya tugas ini adalah bergantung kepada kebijaksanaan pentadbir tanah dan keprihatinan serta rasa tanggungjawab mereka terhadap harta amanah orang Islam bagi mengelakkan daripada tohmahan dan kesangsian. (Suhaimi Mamat dan Sharifah Khadijah binti Tuan Hadi, 2005, hlm.1-8) Dalam hal ini, bagi mewujudkan keadilan dan kebaikan terhadap hak-hak harta orang Islam yang melibatkan tanah wakaf khususnya, peruntukan perundingan dengan pemilik tanah hendaklah juga melibatkan pembangunan oleh sektor kerajaan, dan tidak hanya dihadkan kepada pembangunan oleh sektor swasta sahaja. Pihak kerajaan hendaklah juga turut sama mengadakan rundingan dengan MAIN agar sesuatu pengambilan yang melibatkan tanah wakaf akan diketahui terlebih dahulu terutamanya dari segi tujuan pengambilan. Ini dibimbangi tanah wakaf yang diambil akan digunakan bagi tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

19

Pertimbangan dan tolak ansur antara pentadbir tanah dengan pemilik tanah hendaklah sentiasa wujud bagi menghormati hak tuan punya tanah. Pengambilan tanahtanah rakyat secara paksaan sekalipun melalui undang-undang yang ada pada hari ini bukanlah merupakan jalan yang terbaik. Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Dr. Koh Tsu Koon, menegaskan penggunaan undang-undang semata-mata untuk mengambil semula sebidang tanah di kampung tradisi Melayu Lembah Permai di Tanjung Bunga, bukanlah cara yang terbaik. (Lihat: Berita Mingguan, 19/7/1992) Sebaliknya ia hanya menimbulkan ketegangan dan kebimbangan rakyat. Beliau mengakui bahawa jalan terbaik ialah menerusi rundingan dalam suasana yang sihat dan tenang. Suhaimi Hj Mamat (Suhaimi bin Mamat dan Sharifah Khadijah binti Tuan Hadi, hlm.1-8) dalam penulisannya tentang etika dan adab pentadbir tanah semasa mengendalikan siasatan menegaskan bahawa peranan dan tanggungjawab pentadbir tanah bukanlah semudah yang disangka. Antara tugas pentadbir tanah juga ialah bertemu dengan banyak pihak dan mendapatkan maklumat serta keterangan dari tuan tanah dan orang berkepentingan, saksi, penilai kerajaan, swasta dan wakil agensi. Ini bermakna dalam menjaga etika dan adab tidak salah kiranya pentadbir tanah mendapatkan pandangan MAIN sebelum sesuatu pengambilan dibuat dalam semua perkara jika membabitkan soal keagamaan. Pentadbir tanah hendaklah memuliakan tuan tanah dengan memberi layanan yang baik secara bijaksana dan berhemah. Pelaksanaan ke atas prosedur pengambilan tanah tidak boleh dilakukan sambil lewa. Pentadbir tanah hendaklah mengambil berat terhadap siasatan kerana ia berkait rapat dengan hak asasi tuan tanah, lebih-lebih lagi jika melibatkan hal-ehwal pewakafan harta umat Islam. Selain itu, peluang yang seluasluasnya perlu diberikan dalam perundingan dan praperbicaraan antara MAIN dengan agensi tanah untuk mengadakan pembangunan secara bersama yang melibatkan pembangunan seperti perumahan, kompeks membeli belah dan lain-lain pembangunan yang difikirkan boleh dibuat secara usahasama. Ini selaras dengan saranan kerajaan bahawa pertimbangan akan diberi kepada tuan tanah untuk menyertai projek pembangunan yang dijalankan di atas tanah mereka bergantung kepada kesesuaian projek yang akan dibangunkan. Melalui cara ini tanah wakaf dapat dikekalkan miliknya kepada MAIN selama-lamanya berasaskan kepada konsep pemilikan bersama, sama ada dengan cara penyewaan tanah atau pemilikan saham. Cadangan bentuk pembangunan yang akan dilaksanakan ini dapat memastikan MAIN tidak akan hilang haknya terhadap tanah wakaf dengan begitu sahaja. (Lihat: Berita Harian, 25/7/1991) Selain prinsip tanah wakaf iaitu berkekalan telah diaplikasikan melalui mekanisme sewaan dan pemilikan saham, dari segi keuntungan jangka panjangnya MAIN akan mendapat pulangan hasil daripada kedua-dua mekanisme tersebut. Walaupun dari segi teknikalnya, pelaksanaan kaedah ini agak menyulitkan dan melibatkan banyak pihak tetapi ia mendatangkan keuntungan kepada MAIN dan objektif pewakaf akan tercapai. Pengambilan tanah oleh PBN tidak akan menjejaskan hak milik MAIN dan tanah wakaf sebagai harta amanah orang Islam yang dapat dipertahankan. Sebagai contoh di Terengganu tanah wakaf dapat dielakkan daripada diambil oleh PBN melalui mekanisme sewaan tanah wakaf sebagai alternatif daripada pengambilan tanah. Syarikat Danabina Industries SDN BHD telah menyewa tanah bagi mengadakan projek peningkatan mutu dan memperluaskan liputan perkhidmatan telefon bergerak bersel di seluruh negara (Time 2A).

20

15.0

Persetujuan dan Keizinan MAIN

Pelaksanaan pengambilan tanah yang dilakukan berdasarkan kepada persetujuan pemilik tanah adalah menepati dengan konsep jual beli. Ini kerana hukum pengambilan tanah di dalam Islam adalah diqiaskan kepada konsep jual-beli (Aqad al-Bay) antara kedua-dua belah pihak. Sekiranya pengambilan itu dilakukan tanpa kerelaan pemilik harta ia dianggap sebagai tindakan menceroboh atau membatalkan hak milik orang lain yang dilarang sama sekali di dalam Islam. Sungguhpun bidangkuasa MAIN telahpun diperuntukkan secara jelas di dalam enakmen dan hak-hak berkaitan wakaf dijamin di dalam KTN 1965, seksyen 4(2) (e), namun dari aspek amalannya MAIN tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa terhadap perkara berkaitan urusan pengambilan tanah oleh PBN termasuk tanah wakaf yang berada di bawah kawalan dan milikannya. Berdasarkan kepada amalan dan fenomena yang berlaku, kedudukan dan taraf MAIN di sisi KTN 1965 dan APT 1960 adalah setaraf dengan pemilik tanah yang berdaftar secara individu, tanpa sedikitpun ada pengecualian dan diberi hak-hak eksklusif yang lain. Apa yang jelas segala pandangan dan tuntutan MAIN yang mengatasi mana-mana Akta tidak memberi kesan perundangan kepada mana-mana statut yang dirujuk. (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 75, 76 dan 81) Hakikat yang perlu diakui bahawa APT 1960, hanya membuka ruang untuk mengadakan rundingan dengan pemilik tanah dari aspek usahasama dalam pembangunan sahaja, tetapi mereka tidak boleh membantah terdapat tujuan pengambilan kerana PBN masih menjadi pihak utama yang membuat kata putus dalam pengambilan mana-mana tanah. Dari segi bidangkuasa walaupun perkara berkaitan wakaf adalah di bawah perkara negeri, namun jika berkaitan tanah maka ia masih tertakluk kepada akta yang digubal di peringkat Parlimen. (Suwaid Tapah, 1994, hlm.83) Implikasi daripada pemakaian statut ini MAIN tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan apa jua tindakan yang dibuat sekalipun bercanggah dengan hukum syarak. Ini juga ekoran tafsiran kepada Pihak Berkuasa Tempatan (Local Authority) tidak termasuk MAIN. Begitu juga mana-mana peraturan atau pindaan yang bertujuan untuk menyeragamkan undang-undang tentang hal ehwal tanah dan kerajaan tempatan, ia tidak perlu kepada kelulusan Dewan Undangan Negeri, dan berkuat kuasa sama ada dipersetujui oleh Dewan Undangan Negeri atau tidak. Prosedur ini dilihat bertentangan dengan hak-hak MAIN selaku Pengawal Amanah Tunggal harta amanah wakaf di Malaysia dan secara tidak langsung mengetepikan kuasa MAIN. Berdasarkan kepada hukum syarak, (Al-Wafi, Ali Abd al-Wahid, 1979, dll, hlm.60) jika permohonan persetujuan dan keizinan kepada MAIN telah dibuat oleh pentadbir tanah bahawa pengambilan itu adalah menepati dengan konsep Maslahah Ammah, tetapi sebaliknya MAIN menolak permohonan tersebut dengan alasan yang tidak munasabah, maka pihak kerajaan boleh mengambil tanah wakaf tersebut tanpa mendapat persetujuan MAIN. (Abd Allah Muhammad Abd Allah,. Hlm.939) Dalam hal ini walaupun kaedah paksaan dilakukan oleh kerajaan sekalipun melibatkan hartanah wakaf, namun paksaan dalam keadaan ini diharuskan oleh syarak untuk manfaat umum

21

atau menepati dengan keperluan ramai. Keharusan ini juga bergantung kepada syaratsyarat yang ditetapkan oleh hukum syarak. (Mohd Afandi Bin Mat Rani, hlm.106-113)

16.0

Bantahan ke Mahkamah

Selain daripada hak-hak yang dinyatakan di atas, hukum syarak telah memperuntukkan kepada pemilik tanah hak untuk membantah sesuatu pengambilan dengan mengemukakan kepada mahkamah jika bertentangan dengan kepentingan umum dan hukum syarak. Dr. Yusof Mahmud Qasim (Yusuf Mahmud Qassim, 1988, hlm.963-965) mencadangkan bahawa pihak kerajaan wajib mengemukakan kepada mahkamah sebelum pengambilan dilaksanakan adalah bagi memastikan sejauhmanakah pentingnya tujuan awam, dan apakah perlu dan wajibnya pengambilan itu, selain aspek keadilan dalam pemberian nilai pampasan. Peruntukan yang ada sekarang hanya menghadkan perkara-perkara berkaitan ukuran tanah, nilai pampasan, orang yang dibayar pampasan dan pembahagian pampasan sahaja. Cadangan ini dianggap relevan dengan keadaan semasa pada hari ini, sekurangkurangnya ia dapat memuaskan hati pihak yang akan kehilangan harta mereka. Dari aspek yang lain pula penambahan kepada Seksyen 68A APT 1960 bahawa mana-mana tanah yang diambil bagi maksud Seksyen 3 (1)(a)(b) boleh ditarik balik oleh PBN dan terletak hak kepadanya sama ada untuk menjual kepada pihak lain, atau apa-apa urusniaga yang difikirkan perlu oleh PBN dan pihak tuan tanah tidak boleh mempertikaikan. Penambahan kepada Seksyen 68 APT ini perlu dinilai dan dikaji semula lebih-lebih lagi jika membabitkan tanah-tanah wakaf orang Islam. MAIN hendaklah diberi pertimbangan untuk menarik balik atau mentaksahkan pengambilan tersebut dan tanah tersebut diserahkan kembali kepada MAIN. APT 1960, Seksyen 37(1) hanya memberi peluang kepada pemilik tanah untuk membuat bantahan kepada Mahkamah Tinggi dengan menghadkan beberapa aspek sahaja. Hak-hak yang diberikan kepada pemilik tanah amat terbatas dan keadaan ini banyak memihak kepada kerajaan. (Berita Harian, 3/1/1992) Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Datuk Muhammad Nawawi Hj Mohd Arshah, pada tahun 1992, sebanyak 60% daripada kes pengambilan tanah dirujuk kepada mahkamah setiap tahun sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan. Pemilik tanah mendakwa penilaian yang dibuat oleh kerajaan lebih rendah daripada nilai sebenar tanah. Di negeri Melaka sebanyak 47% tuan tanah yang diambil hak mereka telah mengemukakan bantahan kepada mahkamah terhadap proses pengambilan tanah oleh kerajaan Melaka. Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 35% pada tahun 1996. Bagi menjamin keadilan dan kesaksamaan antara kedua-dua belah pihak, tanpa meminggirkan hak salah satu pihak, pihak yang mengambil tanah tidak boleh menghalang hak asasi tuan tanah untuk mempersoalkan apakah bentuk projek pembangunan yang akan dijalankan dan tujuan pengambilan itu dibuat. Ini kerana terdapat kes-kes kesilapan di mana projek-projek yang dijalankan tidak mengikut pelan pengambilan tanah yang diwartakan. 17.0 Pelaksanakan Istibdal Ke atas Tanah Wakaf yang Diambil Oleh PBN

22

Istibdal atau pertukaran harta wakaf menurut hukum syarak dilihat sebagai satu kaedah atau satu alternatif dalam menyelesaikan isu pengambilan tanah wakaf oleh PBN yang diimplimentasikan daripada pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal dan mazhab Hanbali. (Mohd Afandi Bin Mat Rani, hlm.135-148) Keharusan hukum syarak terhadap pengambilan tanah wakaf menggantikannya dengan wang sebagai pampasan dalam konteks pelaksanaan mengikut APT 1960, adalah merujuk kepada konsep Maslahah Ammah dan Istibdal pula dalam konteks ini sebagai satu alternatif kepada keharusan hukum yang diasaskan kepada Maslahah Ammah. Setelah pengambilan tanah wakaf dibuat oleh PBN, pelaksanaan kepada mekanisme Istibdal bukan lagi menjadi satu alternatif, malah menjadi satu kewajipan atau kemestian yang wajib dilaksanakan oleh pihak yang diberi tanggungjawab. Sekiranya Istibdal tidak dilakukan dengan menghilangkan asetnya yang asal, secara langsung tindakan memberi keizinan kepada PBN mengambil tanah-tanah wakaf secara paksaan adalah menyalahi dengan kaedah dan prinsip pewakafan harta dalam Islam. Ini kerana apa yang difahami daripada keharusan pengambilan tanah wakaf adalah kerana adanya konsep Istibdal yang boleh mewujudkan semula aset yang kedua sebagai wakaf melalui penggantian atau pertukaran. Dengan ini, tindakan pengambilan tanah wakaf oleh PBN tidak menyalahi dengan hadith bahawa harta wakaf tidak boleh dijual, dihibah atau diwarisi. (Al-Nisaburi, Imam Abi Husayn Muslim al-Hajjaj alQusyairi, 1997, hlm.453) Hasil daripada kajian melalui temubual dengan KPTG Terengganu yang terlibat sepenuhnya dengan pengambilan tanah (Temubual: En. Suhaimi Hj Mamat) dan pengalaman-pengalaman pentadbir tanah yang lain, (Temubual: En. Abd Aziz Johdi) terdapat beberapa pendekatan yang difikirkan sesuai untuk melaksanakan konsep Istibdal tanpa melibatkan banyak pihak. Jika dilihat kepada senario kesukaran kepada pihak MAIN untuk mendapatkan tanah sebagai ganti, maka MAIN hendaklah membuat tuntutan secara langsung kepada agensi/ syarikat yang mengambil tanah agar setiap pengambilan yang melibatkan skala yang besar hendaklah digantikan semula dengan tanah dan bukannya dengan wang. Dalam hal ini pihak agensi diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk mendapatkan tanah lain sebagai ganti. Agensi yang mengambil tanah boleh mendapatkan tanah melalui kaedah permohonan biasa yang diperuntukkan dalam undang-undang tanah, iaitu melalui salah satu daripada tiga cara berikut: i. Memohon tanah kerajaan daripada PBN ii. Membeli tanah milik (alienated) daripada tuan punya/ pemilik iii. Mengambil mana-mana tanah secara paksa melalui proses undang-undang Melalui cara pertama pihak agensi akan memohon tanah kerajaan daripada PBN. Dalam hal ini usaha pihak agensi untuk menggantikan tanah wakaf hendaklah mendapat perhatian dan sokongan oleh PBN. Lebih-lebih lagi terdapat di sesetengah negeri Yang Dipertua MAIN adalah terdiri Menteri Besar atau Yang Dipertua negeri berkenaan. Begitu juga dengan ahli exco juga ada yang menjadi Ahli Lembaga Pengarah MAIN sendiri ini boleh mengambil inisiatif dengan menyediakan tanah lain sebelum sesuatu tindakan pengambilan dibuat oleh PBN. PBN atau kerajaan negeri hendaklah memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan MAIN yang juga sebahagian daripada institusi di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

23

Jika kaedah pertama ini tidak boleh menyelesaikan masalah, pihak agensi hendaklah membeli tanah milik persendirian yang berada berhampiran atau berdekatan dengan tanah wakaf yang telah terlibat. Jika kedua-dua kaedah ini tidak berhasil, jalan terakhir ialah pengambilan tanah secara paksaan melalui peruntukan APT 1960 sebagaimana yang dilakukan terhadap tanah-tanah bermilik yang lain. Keputusan untuk menerima atau menolak tanah yang akan diganti ini bergantung kepada MAIN, dan bukannya penggantian secara mutlak. Hasil temubual dengan pentadbir tanah (Temubual: En. Suhaimi Hj Mamat) mereka menggalakkan MAIN agar mengambil pendekatan ini sebagai langkah untuk mengelakkan daripada tanah wakaf semakin berkurangan kesan daripada pembangunan. Kebanyakan pentadbir tanah secara peribadinya dan merujuk kepada asas pertimbangan, mereka juga tidak bersetuju tanah wakaf diambil dan cuba sedaya upaya agar tanah-tanah tidak dilibatkan dengan pengambilan, kecuali jika terdesak dan tidak ada pilihan lain, maka pengambilan terpaksa dilakukan. Dalam hal ini tuntutan atau permohonan perlu dibuat oleh agensi berkenaan dan bukannya pihak PTG secara langsung. Ini kerana PTG adalah pihak yang akan mentadbir dan menguruskan pengambilan atau membuat pelupusan tanah. PTG tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk membayar pampasan bagi tanah yang terlibat dengan sesuatu projek. Justeru, pihak agensi/ syarikat berkenaan mestilah bertanggungjawab dan berusaha mencari tanah yang sesuai sebagai ganti. Jika melibatkan projek Persekutuan seperti pembinaan lebih raya, pembesaran jalan, lapangan terbang dan lain-lain, pihak agensi perlu membuat permohonan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG). Manakala bagi projek kerajaan negeri ia dibuat melalui PTG negeri. Kemungkinan penggantian tanah bagi projek kerajaan negeri lebih mudah urusannya berbanding kerajaan Persekutuan, kerana tanah yang berada di dalam sesebuah negeri adalah hak milik kerajaan negeri berkenaan. JKPTG dan juga PTG akan memberi sokongan agar permohonan itu wajar diluluskan oleh kerajaan negeri. Sekiranya tanah yang ingin diganti itu adalah hak milik individu, agensi perlu berusaha dan membuat perbincangan dengan pemilik tanah untuk mendapatkan persetujuan agar tanah itu dijual. Jika pemilik tanah tersebut enggan dan tidak ada pilihan lagi, maka kerajaan akan menggunakan APT 1960 dengan cara pengambilan secara paksa sebagaimana yang dilakukan ke atas tanah-tanah bagi tujuan pembangunan yang lain.

Kesimpulan Islam juga telah meletakkan asas yang jelas dan kukuh dalam hal berkaitan pelucutan hak milik harta seseorang individu. Konsep ini dibincangkan di dalam bab Intiza alMilkiyyah li Manfaah Ammah yang merujuk kepada konsep Maslahah yang diambil daripada kaedah-kaedah fiqh sebagai mekanisme yang mengharuskan pengambilan hak milik secara paksaan dalam Islam. Manakala konsep istibdal pula memenuhi keperluan syarak dan keperluan pembangunan semasa bahawa tanah wakaf juga boleh diambil secara paksaan jika terdapat keperluan yang mendesak (darurat). Semua ini hendaklah

24

dilakukan dengan memenuhi piawaian dan syarat-syarat yang terkandung dalam hukum syarak, dan Sehubungan dengan itu, matlamat utama Islam dalam menggalakkan pembangunan ekonomi negara ialah keadilan sosial. Oleh itu, dasar dan pelaksanaan pembangunan hartanah di Malaysia perlu diselaras dan diadaptasikan kepada nilai-nilai Islam. APT 1960, yang menjadi rujukan utama kepada kaedah-kaedah pengambilan tanah di Malaysia dan diamalkan oleh pentadbir-pentadbir tanah perlu dikaji, dinilai dan diselaraskan dengan kaedah-kaedah hukum syarak, terutama apabila membabitkan hartanah amanah wakaf milik orang Islam. Dalam hal ini Islam melarang keras segala tindak-tinduk yang boleh mengganggu-gugat hak milik orang lain atau melakukan pencerobohan hak milik yang tidak dibenarkan syarak. Tindakan ini bertentangan dengan prinsip bahawa hak milik seseorang itu hendaklah dilindungi, dipelihara dan dijamin di dalam Islam. Dalam usaha untuk menambahbaik APT 1960 ini, apa-apa jua usaha dan cadangan ke arah mengislamisasikan undang-undang hartanah ini hendaklah diberi perhatian yang serius oleh pihak yang berkepentingan agar ia dapat dilestarikan dengan kehendak dan pembangunan semasa.

Rujukan Abdul Aziz Hussin (2002), Undang-undang Pemerolehan dan Pengambilan Tanah, cet.ke-2, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Abu Zahrah, Muhammad (1971), Muhadarah fi al-Waqf, cet.2. Kaherah: Dar al-Fikr alArabi Abu Bakar Munir (1992), Pengswastaan, cet.1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Ahmad Nazri Abdullah (1984), Melayu dan Tanah, cet.1, Kuala Lumpur: Media Intelek Sdn Bhd, Bakr B. Abd Allah Abu Zayd (1988), Al-Muthamanah fi al-Aqar li al-Maslahah alAmmah, Bil.IV, jld.2, Majallah Majma al-Fiqh al-Islami Jeddah Helmi Hussain (1999), Akta Pengambilan Tanah 1960, Suatu Huraian dan Kritikan, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia Ismail Omar (2002), Pelaburan Harta Tanah, cet.2, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.19

25

___________ (2003), Penilaian Harta Tanah, cet.3, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Al-Khinn, Mustafa Said (1999), Jami al-Asilah al-Fiqhiyyah ala Madhhab al-Sadah al-Syafiiyyah, cet.1. Maktabah al-Farabi Mahmud Syamam (1988), Intiza al-Milkiyyah li al-Maslahah Ammah, Mutamar Majma al-Fiqh al-Islami, Bil. IV, jld.2, Jeddah, Majallah Ahkam al-Adliyyah, Perkara 1216 Mohd Afandi Mat Rani (2008), Pengambilan Tanah Wakaf Oleh Pihak Berkuasa Negeri: Analisis Menurut Hukum Syarak dan Aplikasinya di Malaysia, Tesis Doktor Falsafah, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Universiti Malaya Kuala Lumpur Mohd Ridzuan Awang (2005), Pencerobohan Tanah Kerajaan dan Pengambilan Tanah Rakyat: Kajian Perbandingan Antara Undang-undang Islam dan Kanun Tanah Negara 1965, Jurnal KIAS, Bil.2, 2005/1426H Muhammad Yusuf Musa (1961), Al-Madkhal li Dirasat al-Fiqh al-Islami, cet.1, Kaherah: Dar al-Fikr al-Arabi Nik Mohd Zain Nik Yusof (1995), Pembangunan Hartanah Mengikut Perspektif Islam, Al-Ahkam, dalam Ahmad Ibrahim et. al. (ed), Undang-undang Harta dalam Islam, jld.3, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Nik Mustapha Nik Hassan (1999), Sumbangan Institusi Wakaf Kepada Pembangunan Ekonomi, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. al. (ed), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, cet.1, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Al-Nisaburi, Imam Abi Husayn Muslim al-Hajjaj al-Qusyairi (1997), Sahih Muslim, Bab al-Waqf, cet:1. jld. 3. Muassasah Iz al-Din Ibn Nujaym, Zayn al-Abidin b. Ibrahim (1993), Al-Ishbah wa al-Nazair, cet.1, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, hlm. Ibn Taimiyyah, Ahmad (1991), Majma al-Fatawa, jld.2, Riyad: Dar al-Alam al-Kutub Roslan bin S. Ismail (2000), Pengenalan Kepada Akta Pengambilan Tanah 1960, (Kursus Perundangan dan Pentadbiran Tanah (Asas) untuk Pegawai-pegawai Pentadbiran Tanah Negeri Terengganu, di Hotel Seri Malaysia Kuala Terengganu, Pada 31 Julai-3 Ogos 2000) Al-Samhudi, Nur al-Din Ali b. Ahmad (t.t.), Wafa al-Wafa, jld.2, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah

26

Salleh Buang (1992), Undang-undang Harta Tanah di Malaysia: Prospek dan Kemungkinan untuk Islamisasi, (Kertas Kerja Seminar Undang-undang Harta Tanah: Pendekatan Islam, Anjuran Institut Penilaian Negara (INSPEN) Kementerian Kewangan Malaysia Al-Syawkani, Syaykh Muhammad b. Ali (t.t.), Nayl al-Awtar Min Ahadith Sayyid alAkhbar Syarh Muntaqa al-Akhbar, jld.6. Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabi Ridzwan Bin Ahmad (2004), Metod Pentarjihan Maslahah dan Mafsadah dalam Hukum Islam Semasa, (Prosiding Seminar Kebangsaan Usul Fiqh (SUFI), Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), pada 15-16 Disember 2004, di Institut Latihan Keselamatan Sosial KWSP (ESSET), Kajang Selangor) Saad Muhammad Khalil (t.t) op. cit., hlm.7. Al-Abbadi, Abd al-Salam (2000), Intiza al-Milkiyyah al-Khassah li al-Manfaat al-Ammah, Mutamar Majma al-Fiqh alIslami, Bil. IV, jld.2, Jeddah Sahak Mamat (1995), Pengambilan Semula Tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri: Beberapa Isu, (Kertas Kerja Seminar Wacana Pemikiran Ekonomi Melayu, Anjuran Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Pada 10 Jun 1995) Siti Mashitoh Mahamood (2006), Perundangan Wakaf dan Isu-isu Berbangkit, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006) Al-Syatibi, Abi Ishak (t.t.), Al-Muwafaqat fi Usul al-Syariah, jld.2, Beirut: Dar alKutub al-Ilmiyyah Suhaimi bin Hj Mamat (2001), Peranan Agensi pemohon dalam Proses Pengambilan Tanah di Bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960, (Taklimat untuk Pegawai dan Kakitangan Bahagian Urusan Tanah dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia, di Hotel Grand Continental Langkawi, Pada 5-7 November 2001) ___________________ (2005), Tidak Mengambil Berat Pentadbir Tanah dalam Prosedur Pengambilan Tanah, (Kertas Kerja Mensyuarat Penyelarasan Pengambilan Tanah, Costa Rica Port Dickson, Negeri Sembilan, ada 3-4 March 2005) _________________ dan Sharifah Khadijah binti Tuan Hadi (2005), Etika dan Adab Pentadbir Tanah Semasa Mengendalikan Siasatan di Bawah Seksyen 12 (A) Akta Pengambilan Tanah 1960, (Kertas Kerja Mensyuarat Penyelarasan Pengambilan Tanah, Costa Rica Port Dickson, Negeri Sembilan, ada 3-4 March 2005) ___________________ (2005), Tidak Mengambil Berat Pentadbir Tanah dalam Prosedur Pengambilan Tanah, (Kertas Kerja Mensyuarat Penyelarasan Pengambilan Tanah, Costa Rica Port Dickson, Negeri Sembilan, ada 3-4 March 2005)

27

Suwaid Tapah (1994), Undang-Undang Pentadbiran Harta Wakaf di Malaysia, Jurnal Syariah, jld. 2 bil.1, Januari 1994 Al-Zarqa, Syaykh Ahmad b. Syaykh Muhammad (1989), Syarh al-Qawaid alFiqhiyyah, cet.2, Damsyiq: Dar al-Qalam Zaydan, Abd al-Karim (1994), Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, Beirut: Muassasah al-Risalah Al-Zuhayli, Wahbah (1989), Usul al-Fiqh al-Islami, cet.1, jld.2, Damsyiq: Dar al-Fikr Yusuf Mahmud Qasim (1988), Intiza al-Milkiyyah Mutamar Majma al-Fiqh al-Islami, bil. IV, jld.2, Jeddah li al-Manfaat al-Ammah,

Yusuf Mahmud Qassim (1988), Intiza al-Milkiyyah li Manfaat Ammah, Majallah Mutamar Majma al-Fiqh al-Islami, bil.IV, jld.11, Riyad

dalam

Senarai Statut Perlembagaan Persekutuan Kanun Tanah Negara 1965 Akta Pengambilan Tanah 1960 Akta Kerajaan Tempatan 1976

Senarai Kes Pemungut Hasil Tanah, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang lwn Ong Gaik Kee, [1983] 2 MLJ Kes Lai Tai lwn Pemungut Hasil Tanah, [1960] MLJ 82. Syed Omar bin Abdul Rahman Taha Alsaqoff & Anor lwn. Government of Johore, [1979]1 MLJ 49. S. Kulasingam & Anor lwn. Commisioner of Land, Federal Territory & Ors, [1982] 1 MLJ 204. Yew Lean Finance Development (M) Sdn. Bhd. lwn. Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang [1977] 2 MLJ 45.

Rujukan Akhbar Berita Harian, 23/8/1991 Harian Metro, 31/7/1991 Berita Harian, 24/9/1991 Berita Harian, 25/7/1991 Berita Harian, 10/1/1992 Berita Mingguan, 19/7/1992

28

Berita Harian, 25/11/1996 Utusan Malaysia, 16 Mei 1997 Utusan Malaysia, 29 April 1997 Utusan Malaysia, 18 April 2001 Berita Mingguan, 5/9/2004 Senarai Temubual

En. Mohd Hairul Amin bin Mohd Sis, Ketua Bahagian Wakaf dan Sumber Am, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), pada 15/11/2006, di Pejabat MAIM En. Suhaimi Hj Mamat, Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Pada 16/1/2006, di Pejabat Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG) Kuala Terengganu. En. Abd Aziz Johdi, Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Putrajaya, pada 12/3/2006, di Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan Putrajaya.

29

You might also like