You are on page 1of 26

PANTANG LARANG PELBAGAI KAUM DI MALAYSIA

KAUM CINA
Masyarakat Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik. Kehidupan seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara, tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun apa yang diterangkan seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina secara keseluruhannya.

KELAHIRAN
Sewaktu Mengandung Pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita masyarakat Cina semasa mengandung dan juga selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal lahir itu tidak ditimpa kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau kematian. Wanita-wanita masyarakat Cina yang mengandung sentiasa diberikan kawalan ketat di dalam setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka. Dalam masyarakat Cina ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan bukannya suami. Masyarakat Cina juga amat mementingkan anak lelaki. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya.

Pantang Larang Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung dan diantaranya ialah tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan. Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi dari terkena badi. Mereka juga digalakkan bekerja supaya mudah bersalin. Sebarang konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi yang belum lahir semasa mengandung juga adalah antara pantang larang dalam masyarakat Cina. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan kecewa bila harapan tidak tercapai.

Selain itu wanita hamil tersebut tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali makan makanan yang tajam seperti nenas dan mangga serta tidak digalakkan makan banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini akan membuatkan ibu sukar untuk bersalin. Untuk menentukan samada kandungan itu lelaki atau perempuan, maka masyarakat Cina melihat bentuk perut wanita yang hamil, terutama apabila kandungan berusia empat bulan ke atas. Jika perut ibu agak bulat, bayi yang dikandung adalah perempuan dan sebaliknya lelaki jika perut kelihatan tajam.

Selepas Lahir Adat-adat berikut diamalkan oleh masyarakat Cina selepas melahirkan bayi. Berpantang Wanita-wanita Cina yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama empat puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin. Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai kain pada perutnya. Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan tali pusat. Pusat bayi yang tenggelam ke dalam adalah petanda bagi masyarakat Cina. Anak tersebut dipercayai akan menjalani kehidupan yang senang pada masa depan. Manakala pusat yang tersembul dikaitkan dengan hidup yang kurang baik. Bayi yang baru lahir selalu diperhatikan bentuk fizikalnya oleh orang-orang tua. Mereka akan mengaitkan telinga yang lebar dan tebal sebagai bakal menjalani kehidupan yang kaya. Masyarakat Cina mempercayai sekiranya terdapat lebih daripada satu pusar di atas kepala, bayi akan menjadi nakal dan tidak mendengar kata.

Dari segi pemakanan, masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras yang diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersamasama ayam, halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin disamping menguatkan semula tenaga.

Kenduri Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga turut mengadakan kenduri iaitu apabila bayi mencapai umur sebulan. Kuih khas yang berbentuk bulat berwarna merah dan kuning yang berintikan kacang dan tau su serta telur yang diwarnai merah kemudiannya diberikan kepada saudara-mara yang terdekat. Mereka yang mendapat kuih dan telur ini akan membalasnya dengan membawa hadiah berupa pakaian bayi dan pati ayam untuk ibu-ibu. Mencukur Rambut Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga mengamalkan adat mencukur rambut Mereka mencukur rambut bayi kerana beranggapan rambut bayi yang dilahirkan adalah rambut sementara. Rambut yang tumbuh semasa dalam kandungan perlu dicukur untuk menumbuhi rambut baru. Adat ini sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat.

Memberi Nama Nama orang Cina terdiri dari 3 perkataan yang dimulai dengan nama keluarga. Patah kata kedua mewakili nama segenerasi di kalangan adik-beradik dan sanak-saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan diri sendiri. Sistem nama yang baik perlu mengambil kira makna , unsur Yin dan Yang serta dibuat mengikut perhitungan matematik Cina. Terdapat lima aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam memberi nama bayi yang baru lahir. Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan. Bunyi nama mestilah sedap didengar. Nama mestilah dibuat berdasarkan kiraan matematik iaitu angka yang terhasil tidak bertentangan dan seelok-eloknya sepadan. Nama yang diberikan patut mempunyai timbangan unsur Yin dan Yang yang sama berat. Nama mestilah mempunyai lima unsur iaitu emas, air, api, tanah dan kayu serta saling melengkapi.

Oleh yang demikian, nama seseorang bayi harus disusun secara seimbang yang mengandungi unsur Yin dan Yang. Kegagalan memberikan nama yang baik juga akan mempengaruhi perjalanan hidup seseorang, samada akan ditimpa kecelakaan atau mendapat kesejahteraan. Kerumitan orang Cina memilih nama yang sesuai untuk seseorang bayi kadangkala menyebabkan mereka mengambil masa yang agak lama, khususnya bagi mereka yang masih terikat dengan adat yang terpaksa merujuk kepada kitabkitab tertentu.

KAUM MELAYU
Pantang Larang Orang Melayu Tradisional merupakan kepercayaan masyarakat Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Kebanyakan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Apa yang disebut bukan untuk dipercayai tetapi untuk dihayati mesej yang tersembunyi di sebalik pantang larang yang telah diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman

Pantang Larang Wanita Hamil


1. Dilarang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat. 2. Dilarang memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan. 3. Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahit bibir terbelah atau mengalami kecacatan. 4. Dilarang bergaduh dengan ibu mertua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak. 5. Dilarang makan sotong, dikhuatiri menghadapi masalah ketika bersalin. Anak mungkin tercerut tali pusatnya. 6. Dilarang mencerca atau melihat sesuatu yang ganjil, dikhuatiri akan kena.

7. Dilarang minum air tebu atau kelapa di awal kehamilan, dikhuatiri anak akan gugur. 8. Dilarang melihat gerhana, dikhuatiri anak mendapat tompok hitam atau bermata juling. 9. Dilarang melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak tertutup seperti kucing yang sedang tidur. 10. Dilarang menyusup di bawah penyidai, nanti anak akan terencat. 11. Dilarang makan makanan yang berakar seperti pegaga, nanti terlekat uri. 12. Dilarang tidur waktu tengahari, nanti kepala anak akan menjadi besar.

Pantang Larang Ke Atas Lelaki


1. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk. 2. Dilarang kencing atas busut, dikatakan buruk kemaluan. 3. Dilarang mengintai orang mandi, nanti mata ketumbit. 4. Dilarang tidur di tengah padang, nanti emak mati. 5. Dilarang ketawa waktu Maghrib, nanti datang hantu. 6. Kalau tidak tahan berpanas, nanti tunang dilarikan orang.

Pantang Larang Bayi


1. Bayi tak boleh ditegur jika badan gemuk, cuma katakan semangat kerana ditakuti menjadi kurus. 2. Dilarang memicit mulutnya, nanti tiada selera makan. 3. Tak boleh diletak bayi atas lutut, nanti mendapat sakit perut. 4. Sisa makanan bayi tak boleh dimakan oleh ibu bapa, nanti melawan cakap. 5. Tak boleh dicium sewaktu tidur terutama di atas ubun-ubun kepala dan pada pusatnya kerana dikatakan pendek umur. 6. Kain lampin tak boleh direndam, nanti kembung perut. 7. Sewaktu bayi sedang tidur, kadangkala kita melihat dia tersenyum, ketawa dan ingin menangis. Jangan kejutkan kerana dikatakan bayi sedang bermain dengan urinya. 8. Tidak boleh menghembus mulutnya, nanti menjadi bisu.

Pantang Larang Ketika Berdiri


1. Tak boleh kencing berdiri, nanti punggung dijamah hantu. 2. Tak boleh berdiri tertindih kaki, dikatakan akan jauh rezeki.

Pantang Larang Ketika Makan


1. Makan pedal ayam, akan mengantuk ketika bersanding. 2. Makan tidak basuh pinggan, nanti lambat dapat menantu. 3. Makan pisang kembar, akan beranak kembar. 4. Makan waktu Maghrib, makan bersama hantu. 5. Makan sisa anak, anak akan degil. 6. Tidur selepas makan, nanti perut buncit. 7. Makan sambil berjalan, dapat penyakit perut.

8. Bila makan, pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang. 9. Jangan makan nasi di senduk, nanti payah rezeki. 10. Makan bertindih pinggan, akan beristeri dua. 11. Makan telur tembelang, mendapat penyakit barah. 12. Makan dalam pinggan sumbing, dapat anak bibir sumbing. 13. Makan dalam belanga, dapat anak rupa hodoh. 14.Makan berlunjur,akan jadi pemalas. 15.Makan mencangkung, payah dapat rezeki.

Pantang Larang Sewaktu Tidur


1. Tidur di muka pintu, alamat dilangkah hantu. 2. Tidur di atas pokok, nanti dimakan langsuir. 3. Tidur di atas sejadah,nanti dihinggap kurap. 4. Tidur selepas makan, nanti ditindih hantu. 5. Tidur melekat nasi di kaki, nanti mimpi hantu.

Pantang Larang Ke Atas Perempuan


1. Dilarang menyanyi di dapur, nanti kahwin orang tua. 2. Dilarang menjahit di badan, nanti tidak lepas hutang. 3. Dilarang memakan leher ayam, nanti leher terkulai di pelamin. 4. Pantang bangun lewat, nanti sukar mendapat jodoh. 5. Dilarang makan nasi kerak, nanti mendapat anak bodoh. 6. Dilarang mencari kutu ditangga, nanti kahwin orang tua. 7. Dilarang mencucuk jarum pada waktu malam, nanti didatangi sial.

8. Dilarang bercermin di depan cermin retak, nanti wajah pucat di malam pertama. 9. Dilarang pakai baju basah, nanti badan naik kurap. 10. Pantang berbual di tangga, nanti dipinang orang di serambi rumah sahaja. 11. Dilarang makan bertindih pinggan, nanti menjadi madu orang. 12. Tak boleh menyapu nasi pada waktu malam, nanti pendek rezeki. 13. Dilarang mengerat kuku waktu malam, nanti datang sial. 14. Dilarang makan berubah tempat, nanti berkahwin ramai. 15. Dilarang meletak pinggan di tapak tangan ketika makan, dikhuatiri nanti akan merampas suami orang.

Pantang Larang Di dalam Hutan


1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu. 2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal. 3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti dilapah hantu. 4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana. 5. Pantang bersiul di hutan, nanti disambar langsuir. 6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu. 7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu. 8. Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu. 9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.

KAUM INDIA
Pantang larang ketika tetamu berkunjung ke rumah - tuan rumah tidak boleh membenarkan tetamu yang pertama kali datang menziarahi melakukan kerja seperti membasuh pinggan. Ini kerana dipercayai akan membawa sial. Ini kerana tetamu sepatutnya dilayan oleh tuan rumah.

Pantang larang merisik


bakal pasangan akan saling membalas kunjungan ketika merisik. Tetapi ketika rombongan bakal pengantin perempuan, bakal pengantin perempuan dilarang ikut serta. Kerana dianggap tidak sopan.

Pantang larang kematian


gambar si mati tidak boleh digantung secara formal tetapi terbalik. barang perhiasan perlu dikeluarkan dari ruang tamu. ahli keluarga perlu mengelilingi mayat sebanyak 3 kali lawan jam sebagai tanda penghormatan. sedikit makanan berupa beras disuapkan sebagai pemberian terakhir.(Vaaikkarisi)

You might also like