You are on page 1of 12

Personaliti Unggul

Membentuk Generasi Bersahsiah Mulia September 30, 2011 Mengapa Perlunya Psikologi Islami?

Dikirim dalam Psikologi Islam pada 2:12 pm oleh abulutfi

Tidak dapat dinafikan psikologi merupakan salah satu cabang ilmu yang amat berguna dalam kehidupan manusia. Bahkan dalam era globalisasi yang memungkinkan pertembungan budaya Timur dan Barat serta pemusatan matlamat pada kehidupan dunia, pengetahuan mengenai kemanusiaan menjadi satu keperluan yang mendesak. Bijak pandai di Jepun telah melaburkan sekian banyak modal terhadap pembangunan insan bagi memastikan teknologi yang dicipta tidak disalahgunakan akibat tangan manusia sendiri. Di mana-mana sahaja, manusia adalah tumpuan utama dalam pembinaan tamadun. Kejayaan keluarga, masyarakat, organisasi dan negara asasnya bergantung kepada manusia dan bukannya teknologi atau factor-faktor lain. Justeru, memahami manusia menjadi satu tuntutan. Islam juga tidak ketinggalan menekankan pembangunan manusia sebelum sebuah tamadun dapat dibangunkan. Nabi S.A.W. mengambil masa 13 tahun mengukuhkan fitrah yang ada dalam diri manusia sebelum berhijrah membangunkan negara dan syariat. Firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran yang amat rapat dengan ilmu psikologi adalah agar manusia mengubah apa yang ada dalam dirinya (hati atau jiwa) sebelum Allah mengubah nasibnya (Ar-Ra d:11). Melalui ayat ini, kita faham bahawa perubahan adalah satu proses inside-out, iaitu dari faktor dalaman (jiwa, nilai, persepsi), kemudian barulah faktor luaran (persekitaran, pendidikan dan sebagainya). Malangnya, sejak sekian lama ilmu psikologi dibayangi oleh teori-teori Barat yang lebih mengutamakan aspek seperti biologi dan sosial serta mengabaikan perihal jiwa. Bagaimanakah kaedah untuk membenteras penagihan dadah, seks bebas, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan 1001 masalah sosial adalah tanggungjawab ahli psikologi Muslim. Melihat ke hadapan pula, bagaimana untuk membangun pekerja cemerlang, ibubapa cemerlang, pemimpin yang cemerlang, pelajar yang cemerlang dan 1001 keperluan insani juga adalah tanggungjawab ahli psikologi Muslim. Melalui kajian yang bersumberkan Al-Quran dan Hadith, rahsia kecemerlangan insan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. lebih 1400 tahun dahulu pasti dapat dirungkai dalam bentuk dan kaedah yang sesuai dengan perubahan zaman.

Ayuh para saintis sosial, kita melangkah ke abad ini dengan kekuatan bersumber Al-Quran dan Hadith membangunkan masyarakat. Kalau saintis sains alam telah berjaya buktikan solat memberi kebaikan kepada tubuh manusia, kita buktikan bahawa Islam adalah penyelesai masalah sosial yang kian meruncing kini..

Pautan Kekal Tinggalkan Komen Ogos 1, 2011 Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Dikirim dalam Psikologi Islam pada 6:33 am oleh abulutfi

Bahtera Ramadhan berlabuh lagi setelah 12 purnama belayar. Bersamanya adalah barang dagangan yang tidak dapat diperolehi di lain bulan. Berkejar-kejarlah untuk mendapatkannya sebelum bahtera Ramadhan belayar kembali.

Pautan Kekal Tinggalkan Komen Disember 8, 2010 Motivasi dalam Organisasi

Dikirim dalam Psikologi Islam pada 6:57 am oleh abulutfi

Oleh: A. Amri

Konsep Motivasi

Secara konseptualnya, motivasi dikaitkan dengan dorongan dalaman seseorang, iaitu suatu tenaga yang menggerakkan tindakan bagi mencapai sesuatu matlamat yang tertentu. Dari aspek sumber manusia, dorongan ditakrifkan sebagai kesediaan individu atau kumpulan untuk menyumbang tenaga dan usaha

bagi mencapai sesuatu matlamat atau tujuan. Dorongan seseorang dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak terhad kepada motif yang ditetapkan seseorang atau desakan yang diterima olehnya.

Secara umumnya, proses motivasi bermula apabila seseorang mengenalpasti keinginan atau keperluannya. Apabila wujud keinginan atau keperluan ini, ketidakseimbangan dalam dirinya akan terhasil. Ketidakseimbangan ini adalah dorongan yang akhirnya membentuk suatu motif atau matlamat. Seseorang cuba mengurangkan ketidakseimbangan tersebut melalui tindakan yang dapat memenuhi motifnya.

Teori-teori Motivasi

Tedapat banyak teori motivasi yang dikemukakan oleh ahli psikologi. Dalam bidang psikologi industri dan organisasi, kebanyakan teori-teori motivasi boleh dibahagikan kepada dua jenis yang utama iaitu teori yang berasaskan keperluan dan teori yang berasaskan proses kognitif. Teori yang paling popular dalam teori keperluan adalah Teori Keperluan Maslow dan Teori Pencapaian McClelland. Manakala, teori yang berasaskan kognitif sering merujuk kepada Teori Jangkaan Vroom dan Teori Ekuiti Adam.

Teori Keperluan Maslow yang diperkenalkan oleh Abraham Maslow pada 1954 menyatakan bahawa manusia mempunyai lima keperluan yang disusun mengikut hirarki. Keperluan asas manusia adalah keperluan fisiologi seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Tahap kedua adalah keperluan keselamatan diri. Keperluan tahap ketiga adalah keperluan sosial. Selepas itu, manusia akan memenuhi keperluan ego dan penghormatan diri. Keperluan tertinggi adalah keperluan kepada kesempurnaan kendiri.

Teori ini diaplikasikan dalam bagi memenuhi motivasi seseorang pekerja dengan membekalkan keperluan-keperluannya seperti gaji dan elaun (fisiologi), keselesaan tempat kerja dan insurans (keselamatan diri), bekerja dalam kumpulan (sosial), kebebasan dan keyakinan (ego) serta pengembangan diri (kesempurnaan kendiri).

Bagi McClelland pula (Teori Pencapaian McClelland, 1961), seseorang individu mempunyai tiga motif asas iaitu keperluan pencapaian, keperluan gabungan dan keperluan memperolehi kuasa. Keperluan pencapaian diperolehi apabila seseorang pekerja mencapai kejayaan mengikut piawaian tertentu.

Keperluan gabungan (afiliasi) diperolehi seseorang pekerja apabila ia menjalin hubungan yang lebih rapat dengan orang lain.

Manakala keperluan memperolehi kuasa diperolehi seorang pekerja apabila ia berjaya mengawal atau mempengaruhi kelakuan orang lain. Kajian ahli psikologi mendapati bahawa individu yang tinggi keperluan pencapaian lebih berjaya dalam pekerjaannya jika jenis pekerjaan tersebut membantu pencapaian peribadinya.

Dari sudut kognitif pula, Vroom berpendapat bahawa manusia berkelakuan berdasarkan hasil yang dijangka boleh memberi kepuasan (Teori Jangkaan Vroom,1964). Contohnya kenaikan pangkat. Seseorang pekerja akan memilih tindakan yang ditentukan oleh jangkaan dan keutamaannya ketika itu. Namun, daripada kajian-kajian ahli Psikologi, tidak semua hasil (ganjaran) yang positif boleh meningkatkan motivasi pekerja.

Stacy Adam pula memilih pendekatan yang berbeza. Menurut Teori Ekuiti Adam (1965), seseorang pekerja akan membuat perbandingan antara input-output kerjanya dan input-output rakan sekerja lain yang setaraf. Input bererti kemahiran, pengalaman atau latar belakang pendidikan. Output bererti gaji, faedah atau pujian. Ekuiti adalah nisbah output kepada input:

Ekuiti = Output/Input

Kajian yang dijalankan oleh Smither pada 1988 berdasarkan teori ini mendapati bahawa seseorang akan bekerja dengan lebih rajin jika gaji yang diterimanya setanding dengan usaha yang dicurahkan. Namun, pekerja yang mempunyai input yang banyak berbanding pekerja lain tidak semestinya memberi kesan ke atas prestasi dirinya. Dalam kajian lain oleh Cropanzano dan Folger pada 1989, didapati pekerja yang dipaksa bekerja kuat tetapi menerima gaji yang sama dengan pekerja lain yang tidak dipaksa bekerja kuat akan merasa tidak puas hati.

Motivasi Dari Perspektif Islam

Dari perspektif Islam, motivasi seseorang didorong oleh pelbagai faktor yang saling berkait. Dalam Islam, tiga perkara penting dalam tingkah laku adalah niat, kaedah dan matlamat (motif). Niat bermula dari mengenal diri sebagai khalifah Allah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi.

Matlamat adalah hasil yang diperolehi di akhirat setelah apa yang diusahakan di dunia. Menurut Mohd Zaki Samsudin dan Alizi Alias dalam tulisan mereka Motivation and Emotion , seorang Muslim mempunyai motif dalaman (intrinsik), iaitu mencari keredhaan Allah dan motif luaran (ekstrinsik), iaitu ganjaran syurga atau neraka.Ia mungkin dalam bentuk ganjaran atau hukuman.

Kemudian Allah memberi akal kepada manusia untuk berfikir dan memilih kaedah atau jalan untuk mencapai motif tersebut. Ia boleh berupa jalan yang benar, iaitu yang bertepatan undang-undang Allah dan fitrah manusia atau jalan yang mungkar iaitu jalan yang bertentangan dengan undang-undang Allah.

Satu karakteristik khusus dalam motivasi dari perspektif Islam adalah faktor iman. Dalam kajian Ahmad Amri pada 2004, didapati bahawa seseorang yang mempunyai tahap penghayatan iman yang tinggi juga mempunyai komitmen, disiplin diri dan dorongan yang kuat dalam melakukan kerja.

Dari Islam perspektif Islam, motivasi bermula aqal, kemudian turun ke hati dan akhirnya digerakkan oleh nafsu. Manusia yang berilmu akan faham apa yang perlu dicari dalam dunia ini. Hati yang kenal Tuhan akan mahu mencari-Nya. Nafsu yang dilatih pula akan mampu membawa tubuh kepada matlamat yang disasar.

Pautan Kekal Tinggalkan Komen Mac 2, 2010 Mengurus Perbezaan Pendapat (Konflik)

Dikirim dalam Psikologi Islam pada 5:44 am oleh abulutfi

Masakan lidah lagi tergigit, inikan pula suami-isteri . Ini adalah antara peribahasa yang sering diungkap apabila cuba merasionalkan fenomena perbezaan pendapat. Selagi mana manusia itu adalah insan , ia tidak akan terlepas dari perbezaan pendapat. Jika tidak, masakan Allah swt memerintahkan agar manusia yang berbeza latarbelakang berkenal-kenalan. Tujuannya satu, agar manusia saling mengenal dan menerima perbezaan orang lain seterusnya mengukuhkan iman dalam diri.

Masyarakat Malaysia di zaman ini lebih terbuka fikirannya, dan perkembangan ini sedikit-sebanyak mengurangkan perbalahan akibat perbezaan pendapat. Walau bagaimanapun masih lagi terdapat segelintir masyarakat yang taksub dan rendah kemahiran interpersonalnya.

Hal ini berlaku kerana beberapa faktor seperti karakter semulajadi dan suasana sosio-politik. Misalnya, seorang yang panas baran lebih sukar untuk bertindak secara rasional dalam menghadapi perbezaan pendapat. Begitu juga ahli politik yang terpaksa menjaga kepentingan penyokong-penyokongnya.

Berfikiran strategik

Dalam menyelesaian sesuatu konflik atau pertikaian, kita tidak boleh sentiasa mengambil jalan mudah. Penyelesaian simplistik sebenarnya hanya menyelesaikan masalah jangka pendek, namun berpotensi mencetuskan kekusutan yang lebih rumit di masa hadapan. Lari dari masalah atau perundinga bukan jalan terbaik. Pihak yang bertelagah harus berdepan secara berani dengan niat menegakkan kebenaran. Bersemuka (untuk berunding) adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan pertikaian.

Perunding tidak harus dari kalangan ahli yang terkenal bengisnya, tetapi yang lebih utama adalah strategik pemikirannya. Sejarah peperangan manusia juga menggambarkan bahawa perunding dan utusan yang sering dihantar terdiri daripada yang bijaksana dan paling berhikmah. Mereka menggunakan teknik-teknik tertentu yang dapat memastikan masalah dirungkai dengan cara yang paling menguntungkan.

Sun Tzu, seorang pakar strategis perang bersetuju bahawa kemenangan yang paling baik adalah yang tidak melibatkan peperangan (pertimpahan darah). Rundingan penyelesaian harus didasari perkaraperkara berikut:

1. Fakta dan statistik

Rundingan tidak akan mencapai suatu keputusan yang terbaik apabila ia dilandaskan oleh emosi. Sebaikbaiknya elakkan menggunakan hujah emosi. Teknik yang terbaik adalah melalui fakta dan analisis rasional. Namun, tidak dinafikan tidak semua masalah harus berpaksikan fakta semata-mata. Contohnya masalah-masalah yang melibatkan perbalahan isu agama, spiritualiti dan hukum.

2. Memberi situasi menang-menang

Dalam setiap konflik, kedua-dua pihak mahukan keadilan. Tiada sesiapapun yang bersedia untuk rugi apabila masuk ke dalam bilik perundingan. Oleh itu, penyelesaian secara menang-menang harus diusahakan. Seterusnya kaedah ini mengelakkan timbulnya perasaan tidak puas hati secara senyap dalam kalangan yang berkonflik.

3. Suara majoriti (Redha)

Dalam perundingan, kadangkala tiada kata putus yang muktamad. Oleh itu undian boleh dijalankan dengan syarat ahli yang dibolehkan mengundi hendaklah dari kalangan yang benar-benar layak. Apabila keputusan undian dijalankan, suara majoriti hendaklah diikut, walaupun ada pihak yang tidak bersetuju. Undian hanya selayaknya dijalankan apabila perbincangan telah dibahaskan sehabisnya. Konsep redha dan tawakkal perlu diaplikasi di sini.

4. Kepakaran

Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, perbincanga hendaklah dijalankan dalam kalangan orang yang pakar atau layak sahaja. Ini bagi mengelakkan isi perbincangan dipenuhi dengan unsur emosi dan andaian-andaian tidak tepat berbanding situasi yang sebenar. Bukan sahaja orang yang pakar dalam perkara yang dibincangkan diperlukan, malah skil dalam menguruskan rundingan (negotiating) juga perlu.

5. Semangat ukhuwah

Apabila suatu konflik berlaku dan cuba diselesaikan dengan semangat permusuhan, perundingan sukar mencapai matlamat dan keputusan yang memuaskan. Sebaliknya apabila perbalahan diselesaikan dalam semangat ukhuwah dan persaudaraan, ia akan mendapat suluhan hidayah Allah.

6. Utamakan yang utama

Setiap keputusan yang dibuat juga hendaklah mengutamakan yang utama (fiqh awlawiyyat). Contohnya perkara pokok hendaklah diutamakan berbanding perkara ranting atau cabang. Kemudaratan yang lebih kecil hendaklah didahulukan berbanding kemudaratan yang lebih besar. Selesaikan perkara yang penting dan segera berbanding perkara yang penting tetapi tidak perlu disegerakan.

7. Doakan agar diberi hidayah

Akhir sekali, setiap usaha perlu diakhiri dengan doa dan tawakkal kepada Allah. Setiap ahli perlu yakin bahawa setiap perkara yang berlaku dalam kawalan-Nya dan ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.

Pautan Kekal Tinggalkan Komen Januari 8, 2010 4 Ciri Keunggulan Manusia

Dikirim dalam Psikologi Islam pada 4:20 am oleh abulutfi

Berbanding dengan makhluk lain, manusia dikurniakan kelebihan untuk menjadi khalifah atau pentadbir di atas muka bumi ini. Ciri-ciri tertentu yang ada pada manusia menjadikan ia makhluk yang serba hebat. Namun kehebatan tersebut kadangkala tenggelam di sebalik kejahilan manusia terhadap sifat semulajadinya. Mengetahui ciri-ciri ini adalah titik permulaan yang boleh membangkitkan kehebatan seseorang dan menyerlahkan fitrah manusia selaku insan yang unggul.

Ciri pertama adalah keunikan manusia. Setiap manusia adalah berbeza baik dari segi fizikal ataupun nonfizikal. Hatta, kembar seiras sekalipun terdapat perbezaan walaupun tidak ketara pada pandangan mata kasar. Keunikan ini bermakna masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jika manusia sedar dan mengambil kira hakikat ini dalam bersosialisasi, maka seseorang pasti menemui kehebatan diri di tempat yang khusus bagi dirinya. Misalnya, seorang yang suka menyendiri tetapi banyak berfikir dan memerhati adalah lebih adil menjadi seorang think-tank berbanding seorang ahli politik.

Ciri kedua manusia adalah ia dikurniakan oleh Tuhan akal untuk berfikir. Akal dapat menafsir maklumat berdasarkan panduan iman untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara. Berbekalkan ilmu pengetahuan dan pengalaman, seseorang mampu membuat analisis dan menghasilkan keputusan yang bijaksana. Permasalahannya ialah kita tidak dilatih untuk berfikir atau kita tidak disemai budaya cintakan ilmu pengetahuan. Apabila akal kering dengan ilmu, otak manusia yang mampu memproses maklumat lebih pantas dan banyak daripada komputer menjadi beku dan jumud.

Seterusnya adalah ciri manusia yang mampu memilih untuk menentukan tindakan dan tingkah lakunya. Manusia bukan makhluk yang hanya tahu bertindak balas terhadap persekitarannya. Ia mampu berfikir dan mempunyai gerak hati. Manusia sentiasa mempunyai pilihan. Sama ada pilihan itu bersifat win-win situation atau win-lose situation , manusia tetap diberi pilihan. Maka, impak sesuatu perbuatan bergantung kepada diri sendiri. Namun, kadangkala oleh kerana batas-batas kita sebagai makhluk, impak tersebut mungkin di luar jangkaan akal.

Ciri terakhir manusia adalah keupayaan untuk mengadaptasi terhadap persekitarannya. Manusia diketahui sebagai seorang survivor . Selama beribu-ribu tahun, ia berjaya menyesuaikan dirinya dengan pelbagai perubahan agar terus kekal. Pengadaptasian tersebut bukan sahaja dari sudut survival diri, malah penyesuaian terhadap pelbagai ragam dan budaya masyarakat. Misalnya, orang Melayu dari Malaysia yang menetap di Australia telah terbukti boleh menyesuaikan diri bukan sahaja dari segi cuaca, malah cara hidup dan pergaulan.

Pautan Kekal Tinggalkan Komen

Laman berikutnya

* Laman o Perihal Penulis * Arkib

o September 2011 o Ogos 2011 o Disember 2010 o September 2010 o Ogos 2010 o Mei 2010 o Mac 2010 o Januari 2010 o Disember 2009 o November 2009 o Oktober 2009 o September 2009 o Ogos 2009 o Julai 2009 o Jun 2009 o Mei 2009 o April 2009 o Februari 2009 o Januari 2009 o Disember 2008 o November 2008 o Oktober 2008 o September 2008 o Julai 2008 o Jun 2008

o Mei 2008 o April 2008 o Januari 2008 o Disember 2007 o Oktober 2007 o September 2007 * Kategori o Cermin Diri o Penawar Hati o Pengumuman o Psikologi Islam o Rahsia Personaliti Unggul o Sumbangsaran o Tinta Editor * Cari Cari: * Meta o Daftar o Log masuk o RSS Entri o RSS bagi komen-komen o Get a free blog at WordPress.com

Theme: Ocadia by Beccary Blog di WordPress.com. Follow Follow Personaliti Unggul

Get every new post delivered to your Inbox.

Powered by WordPress.com

You might also like