You are on page 1of 5

PENGENALAN Budaya dan masyarakat adalah konsep-konsep yang luas dan mendalam pengertiannya.

Konsep-konsep tersebut sering digunakan untuk memahami kewujudan sosial masyarakat. Tanpa kedua-dua konsep ini, agak sukar untuk kita memahami erti kehidupan sebenarnya. Untuk kita memahami gaya hidup berbagai jenis manusia termasuklah diri kita sendiri, sosiologi seringkali menggunakan konsep budaya, yang merujuk kepada perkongsian bersama barangan, ilmu dan kepercayaan sebuah kumpulan manusia atau masyarakat. Konsep ini tidak terhad kepada seni, sastera, dan muzik klasik sahaja tetapi merangkumi aspek-aspek kehidupan lain dalam masyarakat. Apabila memperkatan perkara berkaitan budaya, budaya sering dikaitkan dengan budaya dalam sesebuah masyarakat. Budaya secara kasarnya membawa pengertian suatu amalan atau cara hidup yang diamalkan sekumpulan besar ahli masyarakat dan perlakuan tersebut diamalkan secara berterusan. Budaya telah didefinasikan mengikut Kamus Dewan sebagai cara hidup masyarakat, tamadun atau peradaban. Schein (1985) mendefinisikan budaya sesebuah organisasi sebagai

"tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli organisasi, berlaku secara tidak disedari, dan dalam bentuk 'taken-for-granted' sesebuah organisasi itu melihat persekitaran dan dirinya sendiri". Manakala Holly dan Southworth (1989) mentakrifkan budaya sekolah sebagai "konteks dan setting sekolah, proses dalamannya dan makna di mana ahli-ahli organisasi menyatakan dunia pekerjaan mereka". Dari aspek lain pula seperti melalui aspek sosiologi, budaya masyarakat ialah cara-cara hidup yang dipelajari, diubahsuai dan diturunkan dari generasi ke generasi dalam sesebuah masyarakat tertentu. Melalui pengertian yang diberikan ini kita dapat melihat bahawa budaya merupakan suatu perkara yang diamalkan secara turun temurun dalam sesebuah organisasi masyarakat secara berterusan. Budaya yang dipupuk perlu diterapkan kepada generasi muda agar tidak mudah hilang ditelan masa.

Budaya ini boleh diubahsuai tanpa mengubah budaya yang telah diamalkan sejak turun temurun tersebut. Pengubahan ini dijalankan bagi penyesuaian budaya yang diamalkan dengan kehendak semasa. Ahli sosiologi membahagikan budaya kepada dua jenis iaitu: (i) Budaya kebendaan yang terdiri daripada objek fizikal yang digunakan oleh manusia untuk mencapai matlamatnya. Contoh budaya kebendaan adalah seperti peralatan dan mesin yang digunakan dalam pembinaan, atau komputer dan mesin kira untuk menyelesaikan masalah matematik. (ii) Budaya bukan kebendaan yang terdiri daripada nilai-nilai, seni lukisan,bahasa, pandangan hidup dan simbol yang mewakili dunia sosial dan fizikal. Contoh budaya bukan kebendaan adalah seperti cerita dongeng kanak-kanak, kod perundangan, muzik dan pandangan hidup yang dipelajari semasa dewasa. Apakah yang dimaksudkan dengan budaya? Budaya boleh didefinisikan sebagai corak hidup dan juga sebagai pemahaman persetujuan yang digunakan oleh manusia untuk menjalankan aktiviti seharian mereka. Ahli sesebuah masyarakat perlu berkongsi idea asas yang sama tentang bagaimana masyarakat mereka berfungsi, apa yang penting dalam kehidupan mereka, apakah artifak mereka dan apakah maksud tindak-tanduk mereka. Struktur sosial masyarakat merujuk kepada perkara yang praktikal atau instrumen yang berkaitan dengan hubungan sosial, manakala budaya merujuk kepada aspek simbolik atau luahan perasaan hubungan sosial tersebut. Semua makhluk mempunyai corak kehidupan masing-masing, iaitu kepercayaan agama, gaya membesarkan anak, strategi mencari nafkah seharian, cara memperolehi tempat tinggal dan sebagainya. Apa yang menarik tentang budaya ialah ia mencorakkan kehidupan sesebuah masyarakat melalui proses pembelajaran. Isi kandungan sosialisasi bergantung kepada budaya sesuatu masyarakat tersebut. Melalui proses sosialisasi, kita memperolehi budaya masyarakat di mana kita dibesarkan.

Apakah yang dimaksudkan dengan masyarakat? Pengertian masyarakat itu luas dan boleh dilihat dari berbagai-bagai sudut. Dalam penggunaan harian, masyarakat difahamkan sebagai kelompok individu. Pengertian masyarakat banyak telah diberikan oleh para pengkaji anthropologi dan sosiologi. Secara umum, masyarakat itu dapat difahamkan sebagai satu kesatuan kelompok manusia yang mempunyai interaksi dalam sistem hidup yang tertentu. Adat resam juga digunakan dalam menentukan cara hidup masyarakat. Jadi, budaya adalah sebagai ikatan kepada wujudnya masyarakat. Budaya dan masyarakat adalah sesuatu hubungan yang tidak dapat dipisahkan. Dalam masyarakat itu juga, pentingnya ialah interaksi antara individu-individu yang menentukan suatu pola hidup yang tertentu. Melalui ini terdapatlah suatu sistem komunikasi yang tersendiri. Proses interaksi itu adalah luas pengertiannya, meliputi pelbagai sistem komunikasi. Perlakuan individu dalam masyarakat itu adalah ditentukan oleh pola-pola interaksi, sebagaimana yang ditentukan oleh nilai-nilai sosial. Pengertian masyarakat adalah sangat luas yang meliputi berbagai-bagai ciri meliputi unit-unit sosial dan institusi-institusi sosial yang lebih luas. Kelompokkelompok interaksi sosial yang kecil itu merupakan unit sosial yang tersendiri sehinggalah kepada unit sosial yang lebih besar. Unit sosial itu wujud atas minat dan kepentingan tertentu dengan sistem interaksi yang tersendiri. Masing-masing individu itu berinteraksi bersandar atas kepentingan tersendiri. Unit sosial ini kemudian dapat dipisahkan kepada kategori sosial yang lebih besar iaitu golongan sosial. Golongan bermaksud kelompok sosial yang lebih besar dan selalunya interaksi anggota-anggota itu tidak seerat unit sosial. Golongan sosial ini bergantung kepada asas mana yang dijadikan ukuran atau pembahagiannya. Dalam sesuatu golongan sosial itu terdapat ciri-ciri tertentu yang berasaskan kepada ciri-ciri yang digunakan untuk kategori itu.

Kolektif: Berasaskan kepada ciri-ciri tertentu berdasarkan sistem norma di kalangan anggota-anggota masyarakat. Kelompok sosial (social group): Pembentukan kumpulan secara kolektif itu juga melahirkan kelompok seperti kumpulan ras (racial group), kumpulan budaya (cultural group) dan kumpulan ethnik (ethnic group). Setiap kelompok itu mempunyai organisasi dan sistem kepimpinan tertentu. Kumpulan kelompok mempunyai ikatan, seperti tujuan dan minat bersama. Begitu juga anggota kelompok itu terdapat sistem nilai dan norma yang tersendiri. Mereka mempunyai kesedaran bersama. Komuniti: Berasaskan kepada hidup setempat ikatan yang rapat dalam kelompok kecil dan unit sosial yang lebih besar. Institusi sosial: Ini lebih khusus kepada sistem nilai dan norma, mempengaruhi aktivti individu dalam satu kesatuan kemasyarakatan tadi. Mereka mempunyai kepentingan atas minat bersama. Adakala berupa kebiasaan, adat istiadat atau adat resam anggotanya bersama dalam aktiviti, dan menurut sistem norma bersama yang bertujuan untuk memenuhi kompleks tertentu. Institusi pula bermakna badan atau organisasi khusus. Institusi bertujuan memenuhi keperluan kehidupan, seperti institusi kekerabatan, institusi yang bersifat ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. Struktur Sosial: Konsep struktur sosial dikemuakan oleh A.R. Radcliff-Brown (1939). Sesuatu prinsip kebudayaan itu adalah terdiri dari jalinan-jalinan tertentu yang dapat menjadikannya sebagai struktur sosial. Struktur sosial amat penting dalam memahami budaya dan masyarakat.

MASYARAKAT CINA Sebagai seorang manusia, kita tidak boleh lari daripada pengaruh budaya. Sama ada anda seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau sebagainya, anda sudah semestinya membesar dalam sesebuah masyarakat yang mengamalkan budaya atau cara hidup yang tersendiri. Kepelbagaian budaya masyarakat sedunia memastikan bahawa kehidupan manusia sentiasa menarik dan beraneka ragam. Kami dikehendaki membuat kajian mengenai 3 sosio-budaya yang dominan dalam masyarakat Cina. 3 sosio-budaya yang telah dipilih ialah budaya dari segi adat perkahwinan,perayaan dan kematian.

You might also like