You are on page 1of 6

KERTAS 1: BAHAGIAN A KARANGAN BAHAN RANGSANGAN

Rajah di atas menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah memupuk semangat patriotik. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan. Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik. Isu yang mencetuskan polemik dalam kalangan media massa saban hari ini pantas meniti dari bibir ke bibir. Remaja acap kali dikaitkan dengan kebejatan sosial dan budaya hedonistik yang begitu cepat merebak umpama virus epidemik. Maka, prakarsa yang pragmatik perlu diambil demi memastikan api semangat patriotik dalam kalangan remaja tidak terpadam dan lenyap begitu sahaja sebelum nasi menjadi bubur. Antara langkah dominan bagi menyuburkan semangat patriotik adalah dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan. Program yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu ini sememangnya mempunyai pelbagai maslahat yang amat berguna. Hal ini demikian kerana tentatif program tersebut dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotik seperti latihan kawat kaki, kursus menembak, dan aktiviti berkumpulan. Melalui aktiviti-aktiviti ini, pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati. Hal ini dapat memupuk perpaduan yang merupakan elemen penting dalam semangat patriotik, bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Di samping itu, tokoh-tokoh yang berjasa dan telah banyak menabur bakti kepada negara sewajarnya dikenali dan dihargai. Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong dapat menjadi inspirasi dan idola para remaja. Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas agar tidak menjadi lipatan sejarah semata-mata. Para remaja perlulah mengimplementasikan semangat patriotik ke arah yang positif seperti belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras memajukan negara, dan memartabatkan nama negara sehingga Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik amat penting demi kelangsungan negara kita pada masa hadapan. Tanpanya negara hanya gah pada pandangan zahir tetapi pada hakikatnya kosong dan rapuh. Para remaja digalakkan menyertai PLKN dan membaca kehidupan tokoh-tokoh pejuang bangsa bagi menyuburkan kecintaan kepada negara. Pendek kata, Negara Kita Tanggungjawab Kita tema hari kemerdekaan akan direalisasikan oleh warga yang patriotik. Ayuh para remaja, hidup suburkanlah semangat patriotik ke dalam diri kita semua! Rajah di bawah menunjukkan antara lokasi bangunan bersejarah di negara kita. bangunan bersejarah di Malaysia. Huraikan pendapat anda tentang Pemuliharaan Bangunan Bersejarah. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Tidak dapat dinafikan, warisan negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero Negara. Jika ditinjau secara

35

umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam. Sejak UNESCO mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah. Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia? Bangunan-bangunan bersejarah memang mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah. Misalnya, pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap penjajah. Dengan erti kata lain, faktafakta sejarah ini dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kita. Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang begitu unik. Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara. Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan dan Masjid Tengkera di Melaka. Pendek kata, seni bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa. Tidak ketinggalan juga, bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan negara kita. Hal ini demikian kerana bangunanbangunan bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan pelancong. Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan ke16 apabila melihat Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul. Pendek kata, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara. Secara tuntas, pemuliharaan dan pelestarian bangunan bersejarah amat penting dalam penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Akhir kata, adalah tidak rasional jika bangunan-bangunan bersejarah dikorbankan demi memberikan laluan kepada pembangunan negara. Hidup warisan Malaysia, hidup bangsa Malaysia! Rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan pendapat anda tentang Kepentingan Mempelajari Sejarah Negara. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Laungan kemerdekaan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tungku Abdul Rahman merupakan sebuah catatan peristiwa yang sangat penting kepada seluruh rakyat Malaysia. Sejarah adalah suatu catatan peristiwa lampau. Di Malaysia semua pelajar diwajibkan mempelajari subjek Sejarah. Persoalannya apakah semua pelajar sedar mengenai kepentingan mempelajari sejarah negara?

36

Melalui pembelajaran Sejarah negara kita dapat menyedari kepentingan mengekalkan perpaduan antara berbilang kaum. Subjek Sejarah memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kerjasama yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah. Hal ini dapat dilihat melalui pembentukan Parti Perikatan yang menggabungkan parti MIC, MCA, dan UMNO. Hal ini membuktikan untuk mencapai sesuatu kejayaan, perpaduan dan kerjasama antara kaum sangat penting. Selain itu, melalui pembelajaran Sejarah, para pelajar dapat mengambil iktibar daripada peristiwa lalu. Peristiwa Francis Light yang telah mengambil Pulau Pinang telah mengajar kita untuk tidak terlalu bergantung kepada negara luar dalam menyelesaikan sesuatu masalah negara. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya dan sebagai warganegara bertuah ini kita mesti berusaha menyelesaikannya sendiri. Sesungguhnya melalui pembelajaran sejarah, seseorang itu tidak akan mengulangi kesilapan lalu,seperti kata Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Muhamed, mereka ynag tidak mempelajari sejarah, berkemungkinan untuk mengulangi kesilapan lalu. Semangat patriotik dalam kalangan remaja juga dapat ditingkatkan melalui pembelajaran subjek Sejarah. Melalui subjek Sejarah, para pelajar akan didedahkan kepada kesusahan dan kepayahan masyarakat lalu berjuang mempertahankan negara. Contohnya, melalui sejarah, penentangan yang berlaku di Bukit Kepong. Para anggota polis telah bersusah payah untuk menentang pihak komunis sehingga sanggup mengorbankan nyawa dan keluarga mereka. Hal ini sedikit sebanyak akan menimbulkan perasaan cinta yang mendalam para pelajar kepada tanah air sehingga menyebabkan mereka bersemangat tinggi untuk mengekalkan kemerdekaan yang telah dikecapi. Kesimpulannya, terdapat pelbagai kepentingan mempelajari subjek Sejarah dalam usaha untuk melahirkan generasi berjiwa bangsa yang bakal melakar sejarah negara yang gemilang. Rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan pendapat anda tentang Amalan Rumah Terbuka. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Marcapada kini, penduduk Malaysia telah sekian lama mengetahui amalan rumah terbuka dalam kalangan masyarakat sering dilakukan terutama sekali pada musimmusim perayaan. Rumah terbuka sering diadakan kerana Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, atau lebih dikenali masyarakat majmuk. Amalan rumah terbuka sering diadakan kerana pelbagai perayaan yang wujud di Malaysia. Contohnya, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Dengan kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia, hal ini dapat mengeratkan ikatan yang sedia terjalin. Selain itu, dengan slogan Perdana Menteri kita, "Satu Malaysia" hal ini amat sinonim sekali untuk menyatupadukan dan mengukuhkan perpaduan rakyat negara ini. Selain itu, amalan rumah terbuka dapat menyuburkan dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan jiran tetangga. Kesibukan bekerja adakalanya kita tidak mengenali jiran tetangga, maka inilah ruang dan peluangnya kita mengenali mereka. Di samping itu amalan tolong-menolong,dan bergotong-royong dapat disuburkan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hal ini sangat perlu, kerana bak kata pepatah, bersatu teguh bercerai kita roboh.

36

Selain itu, dengan adanya rumah terbuka, kita dapat melihat dan merasai kepalbagaian aneka masakan yang disajikan kepada tetamu. Kita juga dapat melihat keunikkan adat dan tradisi yang diamalkan oleh sesuatu kaum. Adat dan budaya ini masih dipertahankan dan menjadi pegangan dan amalan kepada setiap kaum di negara kita. Bagi mereka, biar mati anak, jangan mati adat.Kepelbagaian adat dan budaya serta amalan pelbagai kaum di negara kita menjadi satu daya tarikan kepada masyarakat luar, khususnya para pelancong. Sebagai penutup wacana, amalan rumah terbuka banyak memberikan kebaikan kepada masyarakat kita. Oleh itu amalan rumah tebuka ini haruslah disuburkan dalam kalangan masyarakat. Hal ini perlu supaya amalan yang baik ini tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Gambar rajah di atas menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Huraikan pendapat anda tentang amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan. Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan menjadi sihat melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara. Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. Oleh itu, tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.

36

Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian kerana, alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah. Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Gambar rajah di atas menunjukkan sebahagian daripada sambutan kemerdekaan negara. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan mengadakan sambutan kemerdekaan negara pada setiap tahun. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan. Hari ulang tahun kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan dan kepentingannya yang tersendiri. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, sambutan hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan akan mengerti dan menghayati kebaikannya. Kebaikan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ini adalah dapat memupuk semangat patriotik atau cinta akan negara. Dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, seseorang itu akan merasai pengalaman itu sendiri dan berasa megah dengan hari kemerdekaan negaranya sendiri. Perkara ini demikian kerana, tak kenal maka tak cinta, iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna melalui penglibatan dan penyertaannya dalam sambutan hari ulang tahun kemerdekaan atau menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung. Selain itu, dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana, pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau turut serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan

35

menjadi bukti bahawa perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara. Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara. Kita akan memahami dan menghayati pengorbanan serta perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa dahulu. Mereka sanggup berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Dengan cara itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila. Intihanya, ulang tahun hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat negara ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan kempen melalui media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sambutan ulang tahun tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum. Sekiranya usaha ini tidak dijalankan, sudah pasti rakyat negara kita kurang menyedari kepentingan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.

36

You might also like