You are on page 1of 2

Nasihat Luqman Al Hakim

"DUNIA ini ibarat lautan dalam. Oleh itu, kita hendaklah bijak untuk melayari atau melalui
perjalanannya supaya tidak tenggelam. Kiasan itu diberikan oleh Luqman Al-Hakim ketika
menasihati anaknya supaya bertakwa ketika melayari hidup ini.

Katanya: "Hai anakku! Sesungguhnya dunia ini umpama lautan yang dalam. Ramai manusia yang
telah tenggelam dalamnya. "Oleh itu, jadikanlah ketakwaan kepada Allah itu sebagai kapalmu,
keimanan itu sebagai muatannya dan tawakal itu pula sebagai layarnya. Mudah-mudahan, engkau
akan terselamat. Aku tidak sanggup melihatmu melainkan dalam keadaan yang selamat."

Dalam riwayat lain, Luqman berkata: "Hai anakku! Sesungguhnya dunia ini umpama lautan yang
terbentang luas. Ramai manusia yang karam dalamnya. "Oleh itu, sekiranya engkau mampu
menjadikan kapalmu itu daripada keimanan terhadap Allah, persediaanmu itu melalui tawakal dan
muatanmu itu pula adalah daripada ketakwaan.

"Dan sekiranya engkau terselamat, maka ia kerana rahmat Allah dan sekiranya engkau karam,
maka ia adalah kerana dosa-dosamu." Begitu bernas nasihat Luqman kepada anaknya supaya
menjadi seorang beriman dan bertakwa kepada Allah. Kata-katanya mengandungi makna tersurat
untuk difikirkan oleh kita semua.

Dalam riwayat lain, Luqman berkata: "Hai anakku. Aku pernah memikul batu-bata, besi dan setiap
benda yang berat, sedangkan aku tidak pernah memikul suatu pun yang lebih berat daripada jiran
tetangga yang jahat. "Aku telah merasakan pelbagai kepahitan, sedangkan aku tidak pernah
merasakan sesuatu yang lebih pahit daripada kefakiran.

"Hai anakku! Janganlah engkau menghantar seorang yang bodoh sebagai utusanmu. Sekiranya
engkau tidak memperoleh orang bijaksana, maka engkau sendirilah yang menjadi utusan itu."
Apakah perbezaan antara majlis pengembumian jenazah dan perkahwinan?

Luqman dalam membuat perbandingan antara kedua-duanya, berpesan kepada anaknya: "Hai
anakku! Hadirilah majlis pengebumian jenazah, tetapi janganlah engkau menghadiri majlis
perkahwinan. "Hal itu kerana pengebumian jenazah itu, akan mengingatkanmu terhadap hari
akhirat, manakala majlis perkahwinan itu pula, akan menjadikanmu sukakan dunia."

Luqman juga berpesan supaya kita bersederhana dan tidak bersikap berlebih-lebih dalam
melakukan sesuatu perkara. Sebabnya, seperti katanya: "Hai anakku! Janganlah engkau bersikap
terlalu manis, nescaya engkau akan ditelan dan janganlah pula engkau bersikap terlalu pahit,
nescaya engkau akan diluahkan keluar."

Dalam memilih kawan, Luqman berpesan: "Hai anakku! Apabila engkau ingin mempersaudarakan
seseorang, maka buatlah dia marah terlebih dulu. Sekiranya dia memaafkanmu sewaktu marahnya,
maka ambillah dia sebagai saudaramu. Jika tidak, maka berhati-hatilah terhadapnya."

Berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Malik: Luqman telah berkata
kepada anaknya: "Hai anakku! Bagaimanakah engkau boleh melambat-lambatkan manusia dengan
apa yang mereka janjikan, sedangkan mereka bersegera pergi kepada apa yang tidak mereka
janjikan?"

Bercakap mengenai pujian pula, katanya: "Hai anakku! Turunkanlah dirimu pada tingkatan yang
sesiapa saja tidak berhajatkan pertolongan daripadamu, sedangkan engkau amat memerlukan
daripadanya.

"Hai anakku! Jadilah engkau seorang yang tidak berhajatkan pujian manusia dan tidak juga celaan
daripada mereka. "Nescaya, tenanglah diri daripada kejahatan manusia dan manusia pula akan
tenang dari kejahatannya (pujian)."

Kata Luqman lagi: "Hai anakku! Halanglah sesuatu yang keluar dari mulutmu. Kerana sesungguhnya
engkau tidak dapat mendiamkan orang yang selamat. Engkau hanya mesti mengatakan sesuatu
yang mendatangkan manfaat kepadamu.
"Hai anakku! Janganlah engkau melewat-lewatkan taubat. Kerana sesungguhnya, kematian itu
datang dengan sekelip mata.

"Hai anakku! Berduyun-duyun datang kepada ulama dengan kedua-dua belah lututmu (berjalan
kaki) dan janganlah engkau bertengkar dengan mereka (ulama), nescaya mereka akan
membencimu.

"Ambillah daripada dunia untuk keperluanmu dan berbelanjalah dengan pencarianmu yang terbaik
untuk akhiratmu. "Janganlah engkau berbelanja sekali gus kerana engkau mempunyai tanggungan.
Sebenarnya, di atas leher lelaki itu terletaknya segala bebanan."

Sumber:Berita Harian.

You might also like