You are on page 1of 15

Batas sempadan

Batas sempadan 1 Insan akan sentiasa berada dalam sesuatu batas atau sempadan diatas kejadian fitrahnya yang penuh kelemahan berserta segala fungsi keupayaan tubuh badannya yang terhad samada fizikal mahupun mental, kerana hakikat asal kejadian diri insan adalah bukan sebagai penguasa alam tetapi sebagai hamba kepada Pencipta alam. Dari segala kemampuan fizikal seperti pergerakan, percakapan, pendengaran dan lain-lain yang mana biarpun dibantu dengan alatan yang canggih, tetap akan berada dalam lingkungan sempadan keupayaannya. Sebegitu juga dengan dengan kemampuan mentalnya seperti berfikir mahupun perasaan yang dimiliki, akan tetap sentiasa berada didalam sempadannya sebagai seorang insan. Hatta setiap detik yang berlalu dalam usia kehidupannya adalah merupakan sempadan-sempadan yang terpaksa dilalui samada diredhai atau sebaliknya, iaitu dari saat kesaat, minit keminit dan seterusnya kepada pertukaran tarikh yang berlaku saban tahun, dimana bila insan melangkaui setiap dari sempadan tarikh tersebut, tiadalah ia berkemampuan untuk kembali, hanya terus melangkaui dari usia bayinya, keusia remaja dan seterusnya keusia tuanya sebelum kesempadan antara kehidupan didunia maya ini dengan dunia selepas kematiannya. Sempadan yang dimiliki atau hadir dalam kehidupan insan didunia maya ini adalah sebenarnya merupakan suatu ruang dimensi yang membatasi dirinya seperti misalnya setiap insan dibumi ini berada dalam sempadan negara masing-masing yang dilakar samada dari kedudukan sesuatu bangsa, kelahirannya dalam sesuatu daerah, penghijrahan yang menjadikan generasinya bermukim disitu dan seterusnya, dimana sempadan buat sesebuah negara menjadikan seseorang insan rakyat kepada sesebuah negara, bukan rakyat untuk seluruh dunia dan pergerakannya juga terbatas diatas passport negara yang dimiliki. Sedangkan terdapat suatu ruang dimensi sempadan yang begitu luas namun tidak tercapai oleh insan dek fitrah keterbatasan keupayaan dirinya seperti misalnya ruang berjuta-juta planet-planet atau galaksi-galaksi yang bertaburan diangkasa-raya, yang mana, jika diberikan pada setiap insan dibumi ini, wajar sahaja setiap darinya memiliki sebuah planet sebagai negara buat dirinya, akan tetapi, tiadalah keupayaan insan untuk itu. Malah untuk sampai kebulan pun, amatlah begitu payah dan begitu tinggi risikonya disamping memerlukan perbelanjaan yang begitu besar yang mana pembelanjaan untuk kebulan ini jika digunakan buat menampung pembinaan sekolah atau hospital, ianya mampu sahaja membina beribu-ribu sekolah atau hospital dengan segala kemudahan didalamnya atau mampu sahaja digunakan untuk makanan buat berjuta-juta insan yang kebuluran diseluruh dunia. Misal diatas ini sebenarnya menampilkan antara suatu ruang dimensi yang membatasi diri insan serta terdapatnya suatu ruang dimensi yang begitu luas namun tidak tercapai sempadannya dek keupayaan insan yang terhad sebagaimana tiadalah berkeupayaan insan untuk menjelajah dan bermukim dijagat-raya serta menyatakan inilah sempadan-sempadan daerahnya disesuatu planet yang lain. Namun begitu, biar pun sekiranya insan berpeluang mencapai segala penjuru jagat angkasa-raya, besar kemungkinan insan akan tetap melakukan pertempuran-pertempuran atau pertelingkahan sehingga menumpahkan darah untuk menguasai sempadan-sempadan antara satu sama lain serta menzalimi dan merampas hak-hak mereka-mereka yang lemah, kerana biarpun keupayaan insan terbatas, akan tetapi nafsu insan sebenarnya tiada mengenal erti batasan atau sempadan melainkan nafsu yang telah dididik kearah kebaikan.

Batas sempadan 2 Lazimnya dalam kehidupan insan, bukan diri insan yang menyatakan bahawa sekian-sekian adalah sempadan buat dirinya, tetapi sempadan-sempadan terbina diatas tahap-tahap keupayaan insan, suasana sekitar kehidupannya disuatu-suatu zaman, tembok-tembok budaya atau kepercayaan yang dipegangi, iaitu samada dalam bentuk individu atau kolektifiti. Namun dalam pada itu, terdapat batas atau sempadan yang dilakar sendiri oleh insan mengikut keadaan kehidupan mereka, iaitu keadaan pemikiran mahupun perasaannya seperti sesuatu ideologi, persepsi, andaian serta dugaan, peristiwa-peristiawa yang dilalui, pergolakan hidup dipersekitaran, kesan dari media-media dan seterusnya. Samada lakaran sempadan sesuatu tersebut dari suatu penilaian yang bijak atau sebaliknya iaitu suatu kenaifan serta tidak matang mahupun samada ia adalah berlandaskan kebenaran atau kebatilan, ia adalah suatu persoalan kemudiannya. Wujudnya batas atau sempadan buat insan adalah kerana faktor-faktor tertentu yang mana kehidupan insan bergantung atau berkaitan dengannya, dalam suasana yang mempengaruhi atau dipengaruhi disesuatu masa dan wajar berubah dari masa kesemasa mengikut zaman yang dilalui, dibawah kewujudan insan itu sendiri iaitu dalam kehendak untuk memenuhi keperluan diri mahupun akan maksud sebenar kewujudan insan didunia ini. Contohnya, dalam likaran kehidupan insan, suatu waktu dahulu (sebelum syariat Islam diturunkan) adalah suatu perkara yang lumrah dimana-mana seluruh sudut dunia, wanita-wanita tidak menutup keseluruhan auratnya kerana suasana yang tidak terlalu terbuka serta kurangnya pengaruh perkaraperkara yang mengesploitasikan tubuh-badan wanita seperti kini dengan berbagai-bagai bentuk media, apatah lagi dengan internet yang bersifat tiada sempadan, maka cara berpakaian untuk menutup aurat adalah suatu kewajaran untuk melindungi para-para wanita itu sendiri. (Dimana juga telah termaktub bila syariat agama Islam diturunkan, akan kewajipan kaum muslimat menutup keseluruhan aurat tubuh-badannya) Sebegitu juga contohnya diatas perubahan suasana atau keadaan kehidupan, sewaktu waktu dahulu, siapa sahaja wajar memiliki senjata dan membawanya kemana-mana seperti keris, pedang, tombak, pistol, senapang dan lain-lain sebagai pelindung untuk dirinya, namun kini ia adalah menjadi suatu kesalahan bila seorang awam membawa senjata tersebut kemana sahaja yang dikehendaki, kerana suasana kehidupan diseluruh sudut dunia yang telah berubah. Hakikatnya, insan dijadikan dalam situasi antara adanya ruang keupayaan untuk membuat pilihan atau ikhtiar, dengan situasi yang tiada langsung ruang keupayaan untuk membuat pilihan atau ikhtiar. Situasi dalam kehidupan yang dilalui seperti adanya suasana suka atau duka, kaya atau miskin, panas atau sejuk, cerdik atau tidak cerdik, bertuah atau tidak bertuah dan seterusnya, dimana telah ditakqirkan bagaimana akan kehadirannya seseorang dalam sesuatu situasi tersebut dengan adanya ruang ikhtiar untuk mencapai atau menghindarinya atau tiada langsung ruang untuk membuat pilihan atau ikhtiar merubahnya. Misal akan situasi yang telah ditaqdirkan dan tiada diberi ruang ikhtiar untuk melakukan sesuatu keatasnya adalah seperti umur yang meningkat dan seterusnya menuju alam kematian yang mana tiada siapa dapat berikhtiar menghindarinya. Sebegitu juga, sesuatu situasi yang telah ditaqdirkan namun jika diikhtiar menukarnya, mengakibatkan kesan yang amat buruk pada diri seperti kelahiran jantina sebagai seorang lelaki namun bila diikhtiarkan menukar jantinanya, maka musibah dan

petaka yang mendatang. Manakala misalnya sesuatu situasi yang telah ditaqdirkan namun diberi pilihan untuk berikhtiar keatasnya adalah seperti seorang yang lemah lalu dicuba dengan gigih melatih dirinya menjadi seorang yang tegap, seorang yang tidak tahu membaca lalu diikhtiarkan agar dirinya belajar membaca, seorang yang hidup dalam kehidupan sekitar yang penuh kemungkaran lalu berhijrah kedaerah lain untuk menyelamatkan dirinya dan seterusnya. Diatas berkemampuan melakukan pilihan atau ikhtiar buat sesuatu perkara, bermakna juga bahawa insan berkemampuan melakar sempadan buat dirinya dan atas itu, insan sentiasa memerlukan suatu penunjuk kearah kebenaran serta apa itu erti kebenaran kerana jika hanya mengikut kehendak nafsu insan, maka ramai yang memilih untuk melepasi segala sempadan yang wujud buat dirinya dan seterusnya berada dalam suatu lapangan yang sebebas-bebasnya, sedangkan itu adalah suatu yang mustahil kerana ia adalah sesuatu yang menuju kearah kehancuran atau kemusnahan total.

Batas sempadan 3 Insan, kejadiannya adalah diantara batasan-batasan atau sempadan yang wujud dalam kehidupanya dengan kebebasan-kebebasan yang sewajarnya dimiliki. Sempadan atau kebebasan yang terhad oleh lingkungan tubuh-badan serta suasana persekitaran fizikal dengan sempadan atau kebebasan buat fikiran yang lebih jauh batasnya dari bentuk fizikal seperti contohnya seseorang memikirkan untuk melakukan kebaikan atau dosa adalah tidak sama dengan melakukannya. Samada bagaimanakah sempadan yang wajar melingkungi insan agar hidupnya terlindung dari segala kemudaratan didalam dunia ini dan seterusnya selepas kematiannya serta bentuk kebebasan yang wajar dimiliki dimana merupakan maslahah atau kebaikan buat diri insan, dengan bagaimanakah sempadan yang membatasi segala pergerakan insan sehingga segala aktiviti berkaitan kehidupannya terbantut serta corak kebebasan yang dimiliki sehingga menghasilkan masfadah atau keburukan, adalah suatu pertanyaan mahupun suatu perjuangan yang mana telah menumpahkan darah dengan berlakunya peperangan demi peperangan dalam sejarah kewujudan insan sedari awal lagi. Bila memperkatakan tentang kenyataan batas atau sempadan yang mempengaruhi diseluruh dunia hari ini, samada dari bentuk pemerintahan iaitu sistem demokrasi, ekonomi serta budaya, wajar rasanya dikaji kembali suatu proses pemikiran yang kini telah menjadi suatu pratikal dimana-mana benua diseluruh dunia, yang mana proses pemikiran ini bermula dibenua Eropa antara abad ke-16 dan abad ke-17 dan seterusnya merupakan suatu pemangkin buat perubahan dibenua Amerika Syarikat bila dipratikkan dan kesan seterusnya menjadi suatu ikutan diseluruh dunia. Proses pemikiran ini adalah digelar Liberalisme (berasal dari bahasa latin: liber, yang bermaksud bebas serta liberty yang bermaksud konsep kebebasan), iaitu suatu falsafah pemikiran yang meletakkan kebebasan sebagai suatu nilai politik tertinggi. Seseorang yang mengikuti pemikiran bentuk liberalisme dipanggil seorang liberal. Namun perlu ditegaskan, tidak semua yang mempunyai unsur pemikiran yang selari dengan liberalisme namun mempunyai ciri tersendiri yang membezakannya dengan fahaman liberalisme adalah digelar liberal. Konsep liberalisme adalah terutamanya menekankan prinsip-prinsip akan kebebasan setiap insan keatas hak-hak dirinya seperti hak individu keatas harta miliknya, kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, peluang yang sama rata tanpa mengira latar-belakang seperti warna kulit dan lain-lain. Sebegitu juga konsep kebebasan buat masyarakat umum seperti ekonomi pasaran bebas, batasan

keatas kuasa sesuatu kerajaan, sistem pengundian iaitu sistem demokrasi dimana semua rakyat mempunyai hak-hak menentukan pemerintah mereka. Konsep liberalisme ini tidak dinafikan membawa banyaknya kebaikan atau sesuatu yang positif dimana ia telah merubah keadaan dunia silam yang penuh peperangan mahupun penghambaan kepada keadaan dunia yang lebih aman hari ini, namun begitu, biarpun ia kelihatan suatu yang sempurna serta suatu penyelesaian buat kehidupan insan yang bermasyarakat, terdapat kekurangan serta kelemahan terutama bergantung kepada cara pratikalnya, suasana sesuatu tempat atau zaman, ketelusan sesuatu pihak yang berkuasa serta bila bertembung dengan dunia realiti kehidupan insan yang dibaluti dengan segala unsur budaya kehidupan serta kepercayaan yang dipegangi. Hatta dibenua yang bermulanya konsep fahaman ini, mengambil berkurun-kurun lamanya untuk menterjemahkannya kedalam kehidupan nyata dan kenyataannya, sehingga kini, mereka belum dapat mencapai sepenuhnya mahupun melengkapinya. Contohnya diskriminasi akan diatas perbezaan warna kulit, jantina mahupun kepercayaan yang sehingga kini masih lagi menjadi isu-isu yang tidak pernah luput. Juga contohnya tentang isu-isu kawalan mutlak sesebuah kerajaan keatas rakyatnya yang mudah dimanipulasi melalui undang-undang ciptaan manusia itu sendiri (yang bila-bila sahaja mampu dirubah mengikut kehendak mereka-mereka yang berkuasa) seperti dengan cerita terrorist yang diada-adakan, lalu sesebuah kerajaan tersebut mendapat hak untuk sewenang-wenangnya mencerobohi hak-hak peribadi sesiapa sahaja yang dikehendaki. Kerana itu, ada perbezaan antara konsep liberalisme seperti yang tercatit diatas dengan liberalisme yang berkaitan dengan kepercayaan atau agama dimana contohnya didalam agama Islam, konsep kebebasan serta hak setiap insan itu sendiri adalah suatu keutamaan, tetapi yang membezakannya adalah dimana kebebasan insan tertakluk dalam rangka sempadan perintah Allah mengikut contoh yang dibawa oleh Nabi Muhamad. Manakala mereka yang membawa konsep fahaman yang digelar Islam liberal, adalah wajar ditolak kerana cuba melangkaui sempadan perintah Allah dengan menafsirkan sendiri apa itu sesuatu hukum dengan menggunakan alasan hak-hak seorang insan, sedangkan hak-hak seorang insan tidak pernah merupakan sesuatu yang muktamad dimilikinya. Contohnya, seseorang yang telah memenuhi segala hak keatas dirinya serta juga keluarganya, namun itu bukan muktamad kerana adanya hak-hak jiran dan insan lainnya seperti fakir miskin yang wajar cuba dipenuhi biarpun itu tidak termaktub didalam mana-mana undang-undang perlembagaan. Sebegitu juga mereka yang berkata akan kebebasan untuk sesuatu perlakuan seperti contohnya kehidupan sosial yang bebas tetapi bagaimana pula kesan-kesan keburukan kepada insan-insan lain terutamanya generasi seterusnya iaitu baka-baka kelahiran dari perhubungan luar nikah?

Batas sempadan 4 Dalam hubungan antara individu atau sesuatu kelompok masyarakat dengan masyarakat yang lain, samada berkaitan dengan unsur budaya, kepercayaan mahupun apa sahaja cara hidup, terdapatnya batas sempadan samada yang termaktub atas sesuatu etika yang berkaitan dengannya atau pun atas pendirian diri individu masing-masing. Tembuk batas sempadan ini wujud seperti dari unsur-unsur perbezaan taraf hidup, taraf pemikiran,

jantina, usia, bidang yang diminati, pegangan yang dianuti dan seterusnya dan ini adalah sesuatu yang lumrah berlaku dimana-mana kerana kehidupan insan itu sendiri wujud dari beribu macam rentak, tidak seperti haiwanat yang hampir sama sahaja rentak kehidupan yang dilalui. Untuk memecah tembuk batas sempadan ini, maka terdapatnya proses-proses seperti yang dikenali sebagai integrasi iaitu kesefahaman dan tolak-ansur antara pihak-pihak yang terbabit atau proses asimilasi iaitu dimana sesuatu pihak meninggalkan cara bentuk kehidupannya, lalu menyerap atau meniru cara bentuk kehidupan pihak yang lain. Dalam pada itu, perlu diakui, pihak-pihak yang mendominasikan sesuatu cara kehidupan akan lebih cenderung menghendaki pihak lain mengasimilasikan diri mereka kedalam unsur pihak yang mendominasi, biarpun dikatakan itu suatu proses integrasi. Bagaimana pun, lazim juga terjadi dimana pihak yang mendominasikan sesuatu tempat atau cara hidup, bersikap terbuka kepada semua pihak untuk samada mengikut cara bentuk kehidupan mereka atau sebaliknya. Sedang cara bentuk pemaksaan asimilasi sekiranya sesuatu pihak ingin bergabung dengan pihak lain adalah seperti contohnya, pihak yang berada atau yang bertaraf kaya-raya mahupun menganggap dirinya telah jauh maju, tentu sahaja menghendaki pihak lain yang sekiranya ingin bersama mereka, mengikut atau meniru kehidupan mereka yang penuh kemewahan serta kesombongan, kerana sekiranya pihak yang kurang berada hanya mengintegrasikan diri mereka kedalam kelompok yang berada (iaitu membawa unsur ketidak-beradaan mereka kedalam kelompok yang berada), kelompok yang berada tersebut tentu sahaja tidak akan menerima atau dalam erti kata lain memandang rendah serta hina diatas jurang perbezaan mereka, sebagaimana mereka yang berada didalam kasta atasan memandang rendah kasta bawahan atau kasta pariah. Jadi perkataan integrasi bukanlah untuk kes-kes sebegini, lantaran ini adalah jelas suatu bentuk pemaksaan asimilasi dan menyatakan pemaksaan asimilasi sebagai integrasi adalah merupakan suatu sikap hipokrit yang amat besar, sebagaimana terdapatnya pihak dinegara yang melaungkan persamaan hak-hak untuk setiap insan dibawah slogan liberialisme mereka, tetapi untuk penganut agama lain yang menetap disitu, dirampas hak mereka untuk mengamalkan agama mereka seperti tidak dibenarkan wanita Islam bertudung dan lain-lain. Sebagaimana hipokritnya kenyataan seorang bekas perdana menteri sebuah negara pulau yang mahukan orang Melayu-Islam yang merupakan penduduk asal negara pulau tersebut, mengurangkan pengamalan ajaran Islam mereka agar dapat mengintegrasikan diri mereka dalam masyarakat Cina-Singapore, sedangkan ini bukanlah proses integrasi, tetapi merupakan unsur pemaksaan asimilasi dalam mencairkan jati-diri seorang Melayu-Islam. Integrasi sebenar antara sesuatu masyarakat kedalam suatu masyarakat lainnya adalah bila seseorang tersebut mengekalkan jati-diri atau cara masyarakat dirinya, kemudian bergabung dengan masyarakat lain diatas unsur-unsur kesefahaman dan kebaikan bersama (seperti dibawah naugan negara yang sama, kehidupan persekitaran yang sama dan lain-lain), bukan meninggalkan jati-diri mereka atau mengurangkan jati-diri, kerana itu adalah bentuk asimilasi, bukan integrasi. Apatah lagi buat kes untuk penduduk asal sesebuah tempat, yang lazimnya pihak luar yang datang kesitulah yang harus mengintegrasikan diri mereka kedalam penduduk asal sesebuah tempat, bukannya penduduk asal tersebut (melainkan ia adalah atas kerelaan mereka).

Batas sempadan 5

Dalam memperkatakan dimana batas sempadan akan hak-hak buat individu atau sesuatu masyarakat, dunia telah dan akan sentiasa bergolak tidak kira dizaman apa. Samada antara kanakkanak kecil yang bergaduh kerana barang permainan mereka, adik-beradik atas perebutan harta warisan, suami-isteri, jiran-tetangga, kelompok-kelompok yang mempunyai perbezaan ideologi atau atas perkara-perkara yang bertentangan dan seterusnya kepada negara dengan suatu negara yang lain. Dalam mana masing-masing akan meletakan apakah batas sempadan yang dipercayai itu adalah kebenaran, itu adalah miliknya, itulah yang sepatutnya dan seterusnya manakala antara kebenaran dengan sebaliknya adalah telah tersimpul hanya kebiasaannya kabur lantaran sesuatu kepentingan atau keadaan. Juga disebalik semua segala peristiwa yang terjadi, lazimnya terselit hikmah atau iktibar untuk diambil kira. Kekadang terjadinya suatu petaka buruk adalah sebab untuk suatu kebaikan sebegitu juga sebaliknya. Kerana sejarah kehidupan insan tidak pernah tenang untuk suatu jangka masa yang panjang, biar apa pun yang diusahakan. Namun hanya, mereka yang giat berusaha kearah kebaikan dan keamanan tidak kira dalam keadaan apa, merekalah yang sentiasa akan mendapat imbalan kebaikan kembali. Hari ini, dunia menyaksikan akan perubahan demi perubahan drastik yang berlaku sesejak dari beberapa abad yang lepas. Dari peperangan dunia pertama dan kedua yang menyebabkan merosotnya kuasa penjajah sehingga menjadi faktor banyaknya negara-negara yang dijajah berpeluang mencapai kemerdekaan, pertukaran tampok-tampok pemerintahan juga ideologi. Seterusnya kepada runtuhnya blok-blok komunis dan kini kepada tumbangnya satu-persatu rejimrejim diktaktor didunia Arab. Hatta China yang merupakan satu-satu kuasa besar yang masih mempertahankan ideologi komunisnya, telah merubah ideologinya dalam bentuk yang lebih terbuka. Mengapakah perubahan secara drastik ini terjadi dimana setiap insan lebih cenderung untuk memperjuangkan hak-hak kebebasannya dibandingkan dengan zaman silam. Mungkinkah kerana batas sempadan buat cara sistem pemerintahan majoriti penduduk dunia adalah kini dalam menuju acuan falsafah liberalisme, yang mana ideologi dari falsafah ini pertama-tamanya memperjuangkan hak-hak setiap individu? Atau mungkinkah ini semua terjadi kerana penduduk dunia kini lebih matang akan hak-hak masing-masing serta adanya alat-alat atau peluang untuk meraihnya? Atau mungkinkah kerana informasi yang batas sempadannya semakin meluas, pengetahuan yang sesiapa sahaja wajar meraihnya serta dunia komunikasi yang semakin tiada halangan dimana-mana? Bila memperkatakan bahawa ini adalah dari kesan falsafah liberalisme, maka pengenalan kepada falsafah liberalisme ini yang mana sistem demokrasi (samada republik atau raja berpelembagaan) adalah merupakan sebahagian darinya, bukanlah dari sistem penjajahan tetapi dari kebangkitan atas kesedaran sesetengah pihak dibenua Eropa yang memperjuangkan kebebasan untuk mengubah keadaan dunia mereka yang dianggap dalam kegelapan pemikiran dan kezaliman diatas kuasa autoritarianisme yang hanya dipegang sekian lama oleh sekelompok kecil pihak atasan. Seperti autoriti penuh yang dipegang oleh pihak diraja dan juga dengan pihak atasan gereja yang mempunyai segala kekebalan dari undang-undang yang wujud, membuat pihak lain terutama pihak awam kehilangan hak-hak mereka serta hidup dalam keadaan tertindas, menyebabkan kebangkitan diabad ke-16, ke-17, ke-18 dan abad-abad seterusnya dibawah falsafah liberalisme ini, untuk menukar keadaan seperti contohnya kewujudan sistem raja berpelembagaan dimana kuasa pihak diraja tiada lagi mempunyai kekuasaan mutlak serta tiada mempunyai kekebalan mengatasi undangundang.

Liberalisme ini sebenarnya juga mengalami proses-proses pembaikan dari suatu abad kesuatu abad dimana sehinggalah hari ini, ia merupakan asas tunjang ideologi majoriti negara didunia hari ini. Ini termasuk dengan sentiasa memasuki elemen-elemen baru yang berkaitan dengan moral disamping yang berkaitan dengan budaya serta kepercayaan kedalamnya. Kerana biasa terjadi, mereka yang dikatakan liberal dimana prinsipnya adalah memperjuangkan kebebasan, tetapi kemudiannya merampas atau membatasi kebebasan pihak lain seperti contohnya pemaksaan keatas sistem pengundian kepada pihak yang berkecuali atau tidak mahu mengundi, sedangkan itu juga adalah suatu kebebasan samada seseorang tersebut mahu mengundi atau tidak. Apatah lagi dengan tindakan ketenteraan yang sewenang-wenangnya dilakukan oleh sesebuah negara bertaraf kuasa dunia keatas negara lain diatas slogan kebebasan dan demokrasi sehingga menyebabkan berjuta-juta insan yang tidak berdosa terkorban dalam mana juga negara yang mahu didemokrasikan (seperti contohnya Iraq atau Afghanistan), bukannya menjadi lebih aman, malah semakin menuju kearah kehancuran dengan pergolakan dalamannya. Ditambah juga kenyataan bahawa negara contoh utama falsafah liberalisme iaitu Amerika Syarikat inilah yang membantu dan menaugi diktaktor-diktaktor yang merampas hak-hak rakyatnya dengan berbagai kekejaman, seperti dibeberapa negara Arab termasuk juga diktaktor-diktaktor yang dahulunya berkuasa diAmerika Selatan tetapi kini telah ditumbangkan. Justeru disini jelas dunia hari ini memerlukan pembaikan dalam langkah kearah liberalisme mereka dan dalam menentukan batas sempadan buat suatu tindakan dibawah nama kebebasan, yang mana batas sempadan ini bukanlah ditentukan sewenang-wenangnya oleh sesuatu pihak seperti dengan kuasa veto oleh negara yang menyalah-gunakan kuasa veto ini untuk menghalalkan darah penduduk Palestine buat Israel.

Batas sempadan 6 Setiap insan memerlukan kebebasan buat dirinya, hanya bezanya apakah akan erti suatu kebebasan tersebut serta dimana batas sempadan kebebasan tersebut bergantung dibawah skop yang dimengertikan yang mana ia berubah-ubah mengikut personaliti seseorang, gaya atau kehidupan, cara berfikir, persekitaran, zaman yang dilalui, pegangan hidup dan seterusnya. Dari seorang ibu yang memerlukan ruang kebebasan dalam bagaimana dirinya mengasuh anaknya atau menguruskan rumah-tangganya sendiri sehinggalah juga kepada anak-anak kecil yang memerlukan ruang kebebasan untuk dirinya bermain sambil belajar akan kehidupan disekitarnya. Sebegitu juga, dari seseorang insan yang memperkatakan kebebasan buat dirinya untuk berkatakata, menyampaikan apa yang dirasa, berfikir, menjalankan kehidupan sebagaimana yang dikehendaki sehinggalah kepada kebebasan buat masyarakat dalam menjalankan kehidupan seharian mereka dari pihak lain seperti cengkaman pemerintah yang kejam serta tamak. Sesiapa pun hakikatnya tidak mahu dijadikan hamba kepada yang lain apatah lagi dilahirkan sebagai hamba yang mana sesejak lahirnya, telah bertuankan seseorang dan seluruh kehidupannya didambakan untuk tuannya, seperti dalam sistem penghambaan suatu ketika dahulu diseluruh dunia, tetapi kini telah dihapuskan (namun sistem penghambaan ini sebenarnya masih dijalankan dalam beberapa bentuk lain oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab seperti tertera disini: Arrested Development, modern salvery). Ini kerana fitrah insan sebenarnya dijadikan untuk merdeka dari bentuk penghambaan kepada segala

mahluk kerana dirinya secara fitrah dijadikan semata-mata untuk menghambakan diri pada Penciptanya. Segala yang dilalui mengikut takdir atau cara kehidupan adalah merupakan ujian untuk dirinya memahami akan dirinya dijadikan adalah semata-mata untuk penghambaan kepada Penciptanya. Sebaliknya sekiranya insan gagal memahami akan fitrah dirinya untuk semata-mata pertamanya mendambakan diri pada Penciptanya atas berbagai sebab seperti tidak mengenal Penciptanya, maka tanpa disedarinya, dirinya akan mendambakan diri pada sesuatu yang dianggap Penciptanya seperti pada batu-batu, patung-patung mahupun emas-emas, wang-ringgit dan lain-lain. Fitrah penghambaan diri insan kepada Pencipta sebenarnya adalah berbentuk mutlak tanpa syarat dimana dalam keadaan atau apa sahaja situasi, tetap ia wajib mendambakan dirinya pada Penciptanya sedang untuk mahluk-mahluk lain yang dicipta oleh Pencipta, adanya syarat atau sebab-sebab mengapa ia mendambakan diri pada mereka. Contohnya seorang isteri yang mendambakan dirinya kepada suami yang dikahwini tertakluk pada syarat kerana sisuami adalah tempat dirinya bernaung, tempat berlindung, teman hidup, ayah kepada anak-anaknya dan lain-lain. Sebegitu juga dengan sisuami dan seterusnya kepada masyarakat yang mendambakan diri mereka pada Raja atau pemerintah mereka, adalah terikat kerana sesuatu syarat kerana tanpa syarat ini, kebebasan mereka tidak akan diberi pada yang didambakan. Hari ini, dalam mana dunia semakin berubah kearah yang lebih bebas iaitu sesiapa sahaja wajar mendapatkan hak-haknya, dimana juga syarat-syarat untuk seseorang mengorbankan kebebasannya lazimnya adalah telah termaktub seperti seorang pekerja yang berkerja dibawah majikannya 8 jam sehari adalah kerana dirinya dibayar sebegitu bersama dengan hak-haknya sebagai pekerja iaitu berehat dan lain-lain. Sebegitu juga dengan perkara-perkara yang lain, tetapi dunia Arab masih lagi kelihatan ketinggalan. Samada yang dibawah kekuasaan Rajanya yang mana lazimnya kekayaan mahupun jawatanjawatan utama hanya dikuasai oleh Raja berserta ahli-keluarganya, mahupun negara yang digelar negara demokrasi yang mana Presiden dan ahli-keluarganya sahajalah yang berhak memegang segala tampok pemerintahan utama mahupun membolot kekayaan negara. Dalam mana, rakyatnya menderita atau dalam suasana yang bukan mudah untuk menjalani kehidupan seharian, mereka-mereka yang berkuasa seperti para Raja mahupun presiden berserta ahli-keluarga mereka pula hidup dalam penuh kemewahan yang berlebihan diatas dasar merampas harta negara yang sepatutnya dikongsi oleh rakyatnya atau dikendalikan untuk kemakmuran negara. Kerana itu, mereka bukanlah insan yang wajar lagi didambakan diri oleh rakyat mereka tetapi mereka harus ditumbangkan atau dikurangkan kuasa mereka, kerana keadilan terutamanya dari pemimpin adalah lebih utama didalam agama Islam. Sedangkan syarat Raja atau pemimpin dimuliakan dan ditaati adalah kerana tanggung-jawab serta tugas yang dipikulkan sebagai pemimpin bukan sahaja sebagai adat-traditional (mungkin suatu zaman dahulu, namun zaman semakin berubah), dimana juga rakyat tidaklah perlu lagi sibuk berpolitik atau bercakaran untuk merebut kuasa saban waktu atau juga tidak lagi risau akan keutamaan bersama seperti keutamaan dalam beragama, namun sekiranya sebaliknya yang berlaku dimana Raja atau pemimpin tertinggi hanya mementingkan diri dan kekuasaan, melakukan kezaliman serta mereka menolak tuntutan-tuntutan agama, dalam mana tidak memenuhi syaratnya sebagai pemimpin, maka terjadilah kerosakan kepada rakyatnya mahupun penjajahan akan kembali keatas umat Islam seperti dizaman silam.

Berbalik kepada erti batas sempadan kebebasan, diri insan sendiri dalam apa sahaja kehidupan yang dilaluinya, sebenarnya tidak pernah bebas dari suatu batas sempadan. Contohnya, seorang yang berkeinginan untuk memakan apa sahaja pun juga terdapat batas yang mana dia tidak mampu lagi untuk menyuap walaupun sesuap makanan kedalam mulutnya kerana perutnya telah penuh. Dan selebih itu juga, dirinya akan mendapat berbagai-bagai penyakit sekiranya dirinya membiasakan diri makan keperingkat batas sempadan apa yang termampu dimakan. Manakala terdapat batas bukan dalam bentuk fizikal seperti makanan yang halal, bersih mahupun berkhasiat yang mengikat dirinya. Sebegitu juga dengan perkara-perkara yang lain dan kemuncaknya adalah kebebasan insan yang dibatasi oleh sempadan waktu kehidupan yang dilalui dimana dirinya tidak pernah bebas dari detik waktu yang berlalu yang semakin membawa dirinya disuatu detik kepenghujung tidak kira siapa dirinya termasuklah Raja Mesir iaitu firaun-firaun yang dengan memperhambakan rakyatnya untuk membina Piramid, kerana menyangka dengan adanya piramid ini, dirinya dapat menembusi batas umurnya, dapat hidup seterusnya sebagaimana yang diinginkan namun tetap kecundang tanpa sedikit pun keupayaannya untuk terus hidup didunia ini. Yang tinggal hanyalah jasadnya yang diawetkan tanpa roh berserta tinggalan segala perhiasan emas-emasnya disekitar jasadnya yang tiada langsung dapat membantu dirinya.

Batas sempadan 7 Dalam dunia yang semakin menuju kearah kebebasan, targhib iaitu usaha mendorong kearah kebaikan adalah lebih utama berbanding usaha tarhib iaitu usaha memberi amaran. Ini kerana usaha tarhib (seperti memberi amaran dan seterusnya kepada tindakan mencegah iaitu nahil mungkar) lazimnya adalah merupakan batas sempadan yang tersemadi sebagai undang-undang dan dilakukan oleh penguat-kuasa, sedang usaha targhib (seperti mengajak kearah kebaikan iaitu amar maa`ruf) adalah usaha yang terbuka dimana boleh dilakukan oleh sesiapa dan bila-bila masa sahaja, samada dari orang-orang awam mahupun pihak umarah (pemerintah). Kewujudan sesuatu batas sempadan buat kebebasan adalah seperti ubat-ubatan bagi seorang pesakit yang memerlukannya. Dan ini tentunya ia bergantung kepada apa yang dikatakan sesuatu itu batas sempadan kerana sekiranya ia adalah dari sesuatu kebenaran atau yang hak, maka ia adalah seperti ubatan-ubatan manakala sekiranya ia adalah dari kemungkaran atau kezaliman, maka ia adalah seperti racun yang menambahkan sesuatu penyakit. Hari ini, penceraian antara suami dan isteri adalah suatu yang lumrah dan tinggi statistik pasangan yang bercerai dimana sahaja tidak kira bangsa, negara mahupun agama. Hatta setengah kepercayaan yang tidak membenarkan penceraian seperti Nasrani atau Hindu, kini ramai penganutnya yang bercerai kerana kebebasan yang dikecapi oleh setiap pasangan adalah dalam tahap yang berbeza dengan zaman silam, dalam memilih cara hidup mahupun pasangan hidup. Sebegitu juga pergeseran antara pengikut yang mengikut berbeza parti politik dimana saban waktu, permusuhan ini tiada henti-henti dan seterusnya kepada perkara-perkara lain yang membawa fitnah seperti fitnah-fitnah yang timbul dari berbagai unsur hiburan yang dihidangkan dari beribu bentuk media-media, jenayah remaja mahupun keruntuhan moral yang berleluasan tambahan dengan kehadiran dunia internet yang tiada sempadan, adalah kerana penyalahan-guna kebebasan atau tidak memahami akan apa erti kebebasan yang dikecapi. Ini termasuk juga mereka-mereka yang mengklaimkan bahawa diri mereka menguasai segala ilmu agama atau kalangan cerdik-pandai yang memiliki ribuan sijil-sijil tetapi apa yang dilakukan oleh

mereka hanyalah mencari kesalahan demi kesalahan pihak lain kerana tiada kefahaman akan kebebasan buat ilmu-ilmu yang dimiliki, yang sepatutnya digunakan untuk mencari penyelesaian demi pemyelesaian keatas masaalah-masaalah yang dihadapi oleh insan-insan hari ini. Sedangkan kebebasan adalah suatu anugerah yang wajar dihargai. Tanpa kebebasan, insan terbelenggu samada fizikal dirinya mahupun fikiran atau perasaanya. Kebebasan bukan sahaja bermaksud dari bentuk luaran tetapi yang utama adalah dari dalaman dirinya iaitu kebebasan jiwanya dari dibelenggu oleh duniawi atau kebendaan. Tanpa mengecapi kebebasan jiwa, insan akan menderita serta kehidupannya adalah seperti robot dan ini seterusnya ditampilkan oleh dirinya dalam kehidupan seharian tanpa disedari. Hatta mereka yang tinggal dalam komuniti yang begitu maju atau modern, terdapat ramai yang menderita kerana jiwanya terbelenggu seperti contohnya begitu tinggi statistik akan kes-kes stress, kemurungan atau tekanan jiwa dan lain-lain, terutama dikota-kota besar. Mungkin para pakar jiwa akan melakukan beribu jenis terapi untuk menyembuhkan atau mungkin sipesakit akan berlanjutan mengambil ubat-ubat penenang buat dirinya, namun kenyataannya, terdapat begitu ramainya insan-insan lain yang angkanya mungkin berbillion, yang tidak memahami akan tekanan jiwa yang dialami, menggunakan berbagai-bagai medium tersendiri untuk mencari ketenangan atau sebagai ubat-ubatan untuk mengurangkan tekanan hidupnya dalam erti mencari kebebasan jiwanya yang terbelenggu. Ada yang akan memenuhi setiap ruang masa dengan berbagai-bagai bentuk hiburan mahupun yang mengambil dadah, minuman-minuman keras dan lain-lain, dimana lazimnya tidak disedari akan kaitan sesuatu yang diminati atau yang dituruti dengan apa yang dihadapi oleh jiwanya, seperti golongan mereka yang terkena histeria yang menggunakan medium meluangkan perasaan habishabisan dengan menjerit-jerit untuk melepaskan tekanan jiwa yang dihadapi.

Batas sempadan 8 Antara apa itu kebebasan dengan sempadan yang membatasi kebebasan insan, kekadang kelihatan kedua-duanya seakan bertentangan. Ini terjadi diatas kefahaman yang dimiliki akan apa itu kebebasan dan apa itu batas sempadan. Kefahaman samada berunsur dari sesuatu kepercayaan atau pegangan, ideologi, budaya hidup, dari segala dipersekitaran yang mempengaruhi, dari yang dipelajari, dari pengalaman hidup, dari bentuk tekanan-tekanan dan seterusnya. Contohnya, perbezaan pemahaman buat makna kebebasan atau liberalisasi oleh pihak-pihak seperti golongan yang tiada pegangan, golongan Islam liberal, golongan extremist konsevertive dan golongan wasata (pertengahan) yang mana masing-masing ada garisan apa itu kebebasan dan apa itu batas sempadan buat kebebasan. Pada golongan yang tiada pegangan, kebebasan adalah suatu yang dianggap bersifat mutlak dan mereka menganggap bahawa kehidupan mereka adalah milik mereka sepenuhnya dimana apa sahaja yang diingini atau dihajati wajar diperolehi tanpa halangan daripada mana-mana batas sempadan. Maka dari itu, terjadilah segala unsur yang membawa kepada suatu kehidupan yang bebas lepas, tetapi kenyataannya, ini menzahirkan keruntuhan moral dan akhlak seperti unsur yang membawa kepada perzinaan dengan gambar imej-imej yang terbuka auratnya dimana seterusnya perzinaan itu sendiri adalah menjadi suatu kebiasaan, judi dalam segala bentuk termasuk kasinokasino dibuka secara besar-besaran, arak mahupun kilang-kilang memprosesnya adalah suatu yang

lumrah dan seterusnya yang mana membawa kearah kehancuran hidup. Golongan Islam liberal pula adalah yang masih menganggap mereka mempunyai pegangan agama, tetapi segala elemen liberalisasi atau kebebasan mahu dibawa kedalam ajaran agama Islam sedangkan ini merupakan suatu kesilapan yang amat besar kerana ajaran agama Islam tidak boleh ditafsirkan sewenang-wenangnya mengikut nafsu atau pendapat sendiri. Sebagaimana juga kesilapan yang dilakukan oleh golongan yang menolak bertaqliq atau mengikut satu-satu mahzab kerana menyangka mereka mampu menafsir sendiri segala hukum-ahkam agama, sedangkan ini adalah suatu bidang yang amat luas yang memerlukan penelitian yang tidak mampu dilakukan terutamanya oleh pihak awam. Manakala golongan extremist konsevertive adalah lazimnya mereka menyangkal segala unsur kebebasan dan mengadakan fatwa sewenang-wenangnya, dalam mana juga mudah mengkafirkan atau membidaahkan pihak lain yang tidak sefahaman dengan mereka biarpun ianya hanyalah berupa pendapat peribadi mereka. Mereka-mereka ini kebiasaannya cenderung untuk berada dibawah pemerintahan berbentuk autokrasi, iaitu pemerintahan yang mengawal segalanya dibawah kekuasaannya tidak kira samada ia adalah dalam suatu kezaliman atau tidak. Sedang golongan wasata (pertengahan-sederhana) akan melihat dari perspektif yang berbeza iaitu kebebasan itu adalah suatu keperluan tetapi ia bukan matlamat, dimana unsur liberalisasi atau kebebasan yang tidak bertentangan dengan agama Islam dibenarkan dengan langkah berhati-hati (seperti contohnya kewujudan sesuatu sistem pemerintahan yang membawa kearah keadilan, perniagaan yang tiada unsur riba, pengajian yang tidak bercanggah dengan fakta-fakta dari ajaran Islam dan lain-lain), manakala sesuatu unsur yang bertentangan dengan agama Islam akan ditolak, berserta juga segala penafsiran hukum-ahkam agama tanpa rujukan Quran, hadith dan juga ulamaulama mahzab terdahulu adalah ditolak kerana kekhuatiran sesuatu yang akan menjejaskan kemurnian agama Islam. Golongan wasata ini juga menolak fatwa yang sewenang-wenangnya dilemparkan biarpun oleh seseorang yang bergelar ulama terkemuka (seperti membidaahkan atau mengkafirkan pihak lain dengan sewenang-wenangnya), kerana prinsip keadilan serta kebebasan dibawah batas sempadan agama Islam adalah diutamakan. Seperti contohnya, seseorang yang berzikir dengan caranya sendiri iaitu samada mengunakan digital tashbih atau menguatkan suaranya, tidaklah digelar dengan sewenang-wenangnya sebagai golongan bidaah dholalah melainkan terdapat sesuatu yang benarbenar bertentangan dengan agama Islam seperti berzikir dengan memukul tubuh-badan sendiri sehingga berdarah seperti yang dilakukan oleh golongan yang memuja keterlaluan Syaidina Hassan dan Syaidina Hussien. Dalam pada itu, golongan wasata ini juga terbahagi kepada beberapa pihak bergantung kepada pihak mana yang menyatakan atau menampilkan bahawa mereka adalah golongan wasata. Atas itu, ciri-ciri pihak wasata yang sebenar mengikut pandangan Ahlu Sunnah wal Jamah adalah mereka yang bersikap sederhana dan bertolak-ansur kepada pihak lain, sedang disamping itu, mereka tetap mengekalkan ciri-ciri pegangan agama mereka tanpa bertolak-ansur diatas pegangan agama mereka. Seperti contohnya, mereka akan berintegrasi kedalam masyarakat yang bukan Islam tetapi tidak akan berasimilasi dengan meninggalkan unsur-unsur pegangan agama Islam mereka untuk meniru atau mengambil unsur-unsur pihak lain.

Batas sempadan 9

Kebebasan adalah berkait-rapat dengan keamanan atau kesejahteraan.Tuntutan untuk mengekalkan kebebasan adalah keamanan atau kesejahteraan. Tanpa ini, apa yang dikatakan kebebasan akan berakhir dalam waktu yang singkat atau memerlukan tenaga demi tenaga saban waktu untuk mempertahankan sesuatu yang dikatakan kebebasan. Seperti bila dikatakan apa itu kebebasan jiwa, maka perasaan dan fikiran yang menjadi tunjak untuk pengertian apa itu jiwa, memerlukan suatu cara hidup atau suatu jalan hidup yang membawa kearah kesejahteraan yang sebenar. Dan tanpa suatu cara atau jalan hidup yang membawa kearah kesejahteraan yang sebenar berserta hak-haknya, kebebasan jiwa yang dimiliki adalah bersifat sementara atau palsu, sebagaimana seorang yang ketagihan candu yang merasa bebas jiwanya hanya disaat bila dia mendapat candu namun hakikatnya, hidupnya berlanjutan menderita diatas ketagihan candunya. Apa sahaja medium selain dari yang membawa kearah kesejahteraan yang sebenar hatta medium yang dari zahirnya kelihatan membawa kearah kesejahteraan tetapi medium itu hanyalah berupa alat digunakan untuk mencapai segala kehendak nafsu dirinya sendiri, maka semua itu membawa kearah terbelenggunya jiwa dan kearah penghambaan total diri insan kepada duniawi atau kebendaan. Contohnya seorang yang mendakwahkan kebenaran Islam dengan menggunakan ayat-ayat yang begitu menakjubkan tetapi niat utamanya adalah untuk menampilkan kehebatan dirinya (riak) atau untuk sesuatu tujuan seperti hanya untuk meraih kekuasaan, maka segala usahanya adalah membawa kearah yang membelenggukan dan menderitakan jiwa, bukan kearah kesejahteraan (sebagaimana semua rejim-rejim yang zalim yang menyatakan bahawa mereka akan membawa rakyatnya kearah negara yang penuh kesejahteraan, tetapi apa yang dilakukan adalah hanya menambahkan kekayaan diri serta sekutunya dengan merampas harta negara yang merupakan hakhak bagi rakyatnya, menyebabkan rakyat dan negaranya berada dalam kesusahan dengan dibebani tekanan-tekanan hidup saban waktu, bukannya kesejahteraan sebagaimana yang didakwahkan). Manakala seseorang yang mungkin tidak begitu fasih atau pandai, tetapi dirinya berusaha mendakwahkan kebenaran Islam dengan niat utamanya adalah untuk mendapat pengampunan dan keredhaan Allah serta bagaimana dirinya dapat bersama-sama dengan insan-insan lain untuk menuju kearah kebenaran, adalah kalangan mereka yang benar-benar menuju kearah kesejahteraan yang sebenar dan kearah kebebasan jiwanya dari terbelenggu oleh tipu-daya duniawi. Setiap insan wajar sahaja menggunakan medium-medium tertentu untuk mendapat apa yang dikatakan atau dirasanya sebagai suatu jalan kearah kebebasan jiwanya, namun tanpa mencapai kesejahteraan sebenar buat jiwanya, segalanya adalah hanya sebagai dadah-dadah yang menenangkan tetapi realitinya, dirinya bukanlah dalam kesejahteraan yang sebenar atau bukan dalam perjalanan menuju kearah kesejahteraan yang sebenar. Atas itu, usaha bukan sahaja mendapatkan medium-medium untuk kebebasan, tetapi yang utama adalah menyedari apa itu kebenaran dan jalan untuk mencapai kearah kesejahteraan yang sebenar. Contohnya medium untuk mencapai apa yang dikatakan kebebasan jiwa dengan meluahkan perasaan dan fikiran, yang merupakan salah satu bentuk komunikasi antara dunia dalaman diri seseorang dengan dunia luar dirinya, dimana setiap hari insan meluahkan apa yang terpendam atau dialami oleh perasaan mahupun apa yang membebani fikirannya, namun seakan tiada penghujungnya dalam mana kenyataannya ramai yang semakin meluahkan perasaan atau fikirannya, semakin tertekan pula jiwa mereka dan lumrahnya juga terjadi, medium meluahkan perasaan atau fikiran ini menjadi suatu ketagihan yang bukan menyelesaikan apa yang menekan jiwanya tetapi hanya merupakan suatu keseronokan yang sementara. Medium dengan meluahkan perasaan atau fikiran ini mungkin dapat meredakan tekanan jiwa yang dialami atau menghuraikan kekusutan jiwanya disuatu-suatu masa seperti seorang jejaka yang

jatuh-cinta kepada seorang gadis, mendapat ruang untuk menyatakan perasaan cintanya kepada gadis tersebut maka redalah perasaan dan fikirannya, tetapi risiko kemudiannya mungkin pula dihimpit oleh tekanan-tekanan yang lain seperti sigadis menolak atau mempertawakannya. Atau mungkin sigadis menerima cintanya tetapi timbul masaalah-masaalah lain yang membebani perasaan dan fikirannya seperti bagaimana meminang sigadis, masaalah penerimaan keluarga, masaalah belanja kahwin, masaalah dalam bercinta dan lain-lain atau mungkin masaalah yang lebih buruk bila kedua-duanya terlanjur melakukan perbuatan yang menyebabkan sigadis kehamilan sebelum mereka bernikah. Hari ini sebenarnya, medium meluahkan perasaan dan fikiran telah sampai diperingkat batas sempadan tertinggi yang belum pernah dialami oleh insan-insan sebelum zaman ini. Medium meluahkan perasaan dan fikiran adalah contohnya dari bentuk tulisan-tulisan, suara-suara, gambargambaran dan lain-lain iaitu seperti surat-surat, majalah-majalah, buku-buku atau kitab-kitab dan seterusnya menjadi kini begitu drastik dengan kehadiran medium elektronik seperti internet yang jauh lebih mudah dan terbuka dalam meluahkan perasaan dan fikiran seseorang. Disamping itu, bukan sahaja medium meluahkan perasaan dan fikiran insan telah sampai keperingkat tertinggi, tetapi proses pengisian kepada perasaan dan fikiran insan juga telah berada ditahap yang amat berbeza dengan generasi zaman silam. Pengisian samada yang berbentuk negatif atau positif adalah merupakan proses yang berlaku saban detik iaitu dari segala aktiviti dipersekitarannya. Bahkan bukan sahaja dipersekitaran dirinya, malah dari apa yang berlaku diseluruh dunia seperti berita-berita politik, peperangan, hiburan-hiburan, fashion-fashion pakaian dan lain-lain yang tersaji disurat-surat akhbar, majalah-majalah, media-media elektronik dan seterusnya. Seakan-akan dunia hari ini tidak mengenal apa itu erti kesunyian atau kebosanan diatas proses aktiviti insan yang rancak hari ini, tetapi apakah itu kenyataan atau kebenaran? Apakah semakin insan berpeluang meluahkan apa sahaja yang menekan perasaannya serta apa sahaja yang terlintas difikirannya dapat membebaskan jiwanya serta tetap dalam kesejahteraan? Berbalik kepada kaitan kesejahteraan dengan kebebasan jiwa, pertanyaan pertamanya, apakah erti sebenar suatu kesejahteraan. Tentunya masing-masing akan menghuraikanya mengikut fahaman masing-masing. Kerana itu, pertamanya perlu akui, segala pada diri insan wajar sahaja berubahubah keadaan dirinya diatas fahaman yang dimiliki. Dan perubahan sesuatu fahaman buat diri insan ini berlaku diatas evolusi perasaan dan fikiran dalam hidupnya yang berkait antara dirinya dengan alam sekitarnya untuk menuju kearah kebenaran atau sebaliknya. Fahaman yang diperolehi oleh insan wajar seterusnya mengatur sesuatu detik kehidupan yang dilalui atau kehidupan yang diingini seperti contohnya seorang remaja nakal yang suka menunggang motosikalnya dengan laju tanpa mempedulikan pihak lain, diatas fahamannya itu adalah suatu yang dapat menonjolkan kehebatannya tetapi kemudian dirinya terlibat dengan kemalangan dimana menyebabkan seorang kanak-kanak yang tidak bersalah mengalami kecederaan yang parah, lalu timbul suatu fahaman yang lain pada dirinya iaitu bahawa membawa motosikal secara laju tanpa berhati-hati bukanlah sesuatu yang menonjolkan kehebatan dirinya, tetapi sesuatu yang membawa kecelakaan, dimana fahaman ini membuat dirinya menjadi seorang yang lebih berhati-hati bila menunggang motosikalnya. Atau seperti contoh seorang pelajar yang diajar akan sekian-sekian perkara menyebabkan terjadinya sesuatu perkara yang lain, sedangkan apa yang dipelajarinya adalah suatu yang silap namun ini menjadi suatu fahaman buat dirinya kerana itu yang dipelajarinya, tetapi kemudian, pelajar tersebut menemukan suatu jawapan baru yang lebih logik namun bercanggah dengan apa yang dipelajarinya sebelum ini, maka diatas rasional dan yakinnya pada jawapan yang baru ditemui, fahaman diri pelajar tersebut akan sebab yang menyebabkan sesuatu itu terjadi, berubah pada jawapan baru yang ditemui (seperti diajar bahawa hanya yang zahirnya iaitu contohnya pelita menyala kerana adanya

bahan-api iaitu minyak-tanah, tetapi kemudian diajar akan hakikat bahawa yang menyalakan pelita adalah kuasa Penciptanya, seperti yang memberikan tenaga bahan-api untuk matahari agar dapat bersinar setiap hari sesejak jutaan tahun adalah kuasa Penciptanya). Saban waktu, dari usia remaja sehingga meningkat dewasa, mahupun seterusnya kealam mereka yang dikatakan berumur, insan akan mengambil sesuatu dari alam persekitarannya buat suatu fahaman tentang apakah itu suatu kehidupan atau apakah erti pada setiap perkara yang dilalui. Fahaman buat sesuatu tersebut samada yang berbentuk kebenaran atau sebaliknya atau bercampur aduk antara kedua-duanya adalah arus hidup yang dilalui oleh setiap insan, samada disedari atau tidak.Seperti contohnya apakah fahaman tentang kebebasan dan apakah batas sempadan buatnya. Segala pengetahuan yang dipelajari atau pengalaman yang ditimba sepanjang usia seseorang insan akan menjadi dalil-dalil serta fungsi utama dalam menentukan akan bentuk fahaman yang dimiliki untuk sesuatu atau apakah sesuatu tersebut. Disinilah pentingnya usaha-usaha keatas arah menuju kebenaran yang wajar dilakukan berlanjutan tanpa henti-henti disetiap masa dan zaman, kerana usaha-usaha keatas arah kebenaran inilah yang akan mengiring atau mengimbangi pengetahuan serta pengalaman yang ada pada setiap insan agar sentiasa berada didalam batas-batas sempadan kebenaran dan sentiasa mempunyai fahaman yang benar tentang kehidupan yang dilalui. Dan atas fungsi berkemampuan berubah-ubah fahaman yang dimiliki oleh setiap insan, pihak-pihak yang mendakwahkan kebenaran atau seseorang yang melakukan usaha-usaha untuk kearah kebenaran sewajarnya tidak berputus-asa diatas usahanya kerana kemungkinan hari ini kelihatan begitu ramai pihak-pihak lain yang sentiasa melakukan kesilapan atau menuju kearah kemungkaran diatas fahaman salah mereka, tetapi tidak mustahil (atas hidayat Allah) pihak-pihak tersebut kemudiannya mendapat fahaman yang benar, dimana mereka pula yang akan sama-sama memperjuangkan kebenaran. (Seperti kalangan bangsa Arab yang pada mulanya menolak ajaran Nabi Muhamad serta mencerca Nabi Muhamad, tetapi kemudiannya setelah mendapat hidayat dengan fahaman yang benar mengikut tunjuk-ajar Nabi Muhamad, mereka ini kemudiannya bukan sahaja beriman mengikut apa yang dibawa oleh Nabi Muhamad, tetapi sebagai mereka-meraka yang membantu mengembangkan ajaran Nabi Muhamad s.a.w.)

You might also like