You are on page 1of 9

1.

0 Pendahuluan Dalam berbagai kamus umum, linguistik didefinisikan sebagai ilmu bahasa atau pembelajaran ilmiah mengenai bahasa (Matthews 1997). Sejarah perkembangan ilmu linguistik telah bermula pada tahun 500 SM hinggalah ke hari ini. Sejarah pengkajian ilmu linguistik bermula pada zaman Yunani, zaman Iskandariah, zaman Rom, zaman pertengahan, zaman peralihan (Renaissance), zaman Arab, zaman India, zaman linguistik perbandingan dan zaman linguistik moden. Berdasarkan catatan awal sejarah ilmu linguistik, kajian tentang bahasa telah berlaku seawal 800 tahun sebelum masihi yang berlaku di India. Walau bagaimanapun titik permulaan kajian ilmu linguistik dipercayai berlaku pada zaman Yunani. Hal ini ada kaitannya dengan penemuan kegiatan kajian orang-orang India yang didasarkan kepada hasil kajian Panini telah diwartakan pada abad ke-17. Kehebatan orang Yunani dalam kajian bahasa adalah berdasarkan bukti dalam bentuk catatan yang dikaji pada zaman linguistik yang bermula di Eropah.

2.0 Perbincangan dan Huraian. 2.1 Sejarah Linguistik Peringkat Awal. 2.1.1 Zaman India Di India pada tahun 400 SM Panini seorang sarjana Hindu membuat buku dengan judul Adtdyasi iaitu deskripsi lengkap bahasa Sansekerta yang pertama kali ada. Oleh sebab itu Leonard Bloomfield, tokoh linguistik struktural Amerika menyebut Panini sebagai One of The Greatest Monuments of The Human Intelligence. Selain daripada itu, teks yang digunakan untuk mengkaji linguistik ialah teks Veda . Daripada segi linguistik, teks Veda dapat dikelaskan kepada enam strata kronologi iaitu:

1. Rigveda: Rigveda ialah teks Veda yang paling kuno yang masih dalam keadaan baik. Teks ini mengekalkan banyak unsur Indo-Iran yang umum, baik daripada segi bahasa mahupun daripada segi kandungan, yang tidak wujud dalam manamana satu teks Veda yang lain. Penulisannya harus menelan masa beberapa abad dan, selain daripada buku-buku yang terbaharu (bahagian pertama dalam Jilid 1 dan kesemua bahagian dalam Jilid 10), harus siap menjelang 1000 SM. Daripada segi arkeologi, Zaman Rigveda bertepatan dengan Budaya Kubur Gandhara, iaitu budaya Pusara H di Punjab serta budaya Tembikar Warna Oker (OCP) yang lebih jauh di sebelah timur. Bagaimanapun, tidak terdapat sebarang bukti arkeologi atau bukti linguistik yang diterima secara meluas tentang kesinambungan budaya ini dengan tamadun Lembah Indus. 2. Bahasa Mantera: Zaman ini merangkumi kedua-dua mantera dan bahasa prosa Atharvaveda (Paippalada dan Shaunakiya), Khilani Rigveda, dan Samaveda Samhita (yang mengandungi sekitar 75 mantera yang tidak terdapat dalam Rigveda), serta juga mantera Yajurveda. Banyak teks ini berasal

sebahagian besarnya daripada Rigveda tetapi telah mengalami setakat perubahan, baik kerana perubahan linguistik mahupun kerana pentafsiran semula. Perubahan ketara termasuk perubahan vishva, "semua", oleh sarva, dan penyebaran dasar kata kerja kuru- (untukkrno- Rigveda). Zaman ini merupakan zaman awal Zaman Besi di barat laut India yang bertepatan dengan budaya Barang-barang Hitam dan Merah (BRW) dan kerajaan Kuru yang wujud dari kira-kira abad ke-10 SM. 3. Prosa Samhita: Zaman ini menandakan permulaan pengumpulan dan pengkodifikasian daftar karya Veda. Suatu perubahan linguistik yang penting ialah kehilangan sepenuhnya injunktif. Bahagian Brahmana ('ulasan' bagi mantera dan ritual) di dalam teks Yajurveda Hitam (MS, KS, TS) tergolong dalam zaman ini. Daripada segi arkeologi, budaya Barang-barang Kelabu Berlukis ( PGW) yang berlangsung dari kira-kira 900 SM bertepatan dengan peralihan pusat politik dari kawasan Kuru ke kawasan Panchala di Lembah Ganges. 4. Prosa Brahmana: Teks Brahmana yang asli dalam empat buah Veda berasal dari zaman ini, bersama-sama dengan teks Aranyaka, teksUpanishad yang tertua (BAU, Chu, Jub) dan teks Shrautasutra yang tertua (BSS, VadhSS). 5. Bahasa Sutra: Zaman ini merupakaan lapisan terakhir Sanskrit Veda yang berlangsung sehingga kira-kira 500 SM, dan terdiri sebahagian besarnya daripada Sutra rauta dan Sutra Grhya, serta juga sesetengah teks Upanishad (misalnya Kathu, dan MaitrU). Kesemua itu, kecuali lima buah prosa Upanishad, merupakan teks pasca-agama Buddha.[1] Videha (N. Bihar) sebagai pusat politik ketiga diasaskan pada zaman ini.

6. Epik dan Sanskrit Pinian: Bahasa yang digunakan dalam epik Mahabharata dan epik Ramayana, serta juga bahasa Sanskrit Klasik yang diperihalkan oleh Pini dianggap sebagai pasca-Veda dan wujud selepas 500 SM. Daripada segi arkeologi, penyebaran Barang-barang Hitam Berkilat Utara (NBP) yang begitu pantas ke seluruh India utara bertepatan dengan zaman ini. Teks Vedanta terawal, Gautama Buddha, dan dialek Prakrit Pali yang digunakan dalam kitab agama Buddha tergolong dalam zaman ini. Rekod sejarah bermula hanya selepas akhirnya zaman Veda tetapi masih jarang ditemui pada seluruh Zaman Pertengahan India. Keakhiran India Veda itu ditandakan oleh perubahan linguistik, budaya, dan politik. Tatabahasa Paini pula menandakan puncak terakhir dalam pengkodifikasian teks Sutra. Pada waktu yang sama, Sanskrit Klasik bermula. Serangan Darius I ke atas Lembah Indus pada awal abad ke-6 SM menandakan permulaan pengaruh luar yang berterusan dan mempengaruhi kerajaan-kerajaan Indo-Yunani. Gelombang baharu penghijarahan kasta Ahira dari Empayar Kushan bermula sejak 150 SM dan akhirnya, kesultanan Islam diasaskan. Sumber sejarah geografi India pasca-Veda yang paling penting adalah daripadaArrian, ahli sejarah Yunani abad ke-2, yang menulis berdasarkan laporan Megasthenes, duta ke Patna pada zaman Empayar Maurya.

2.1.2 Zaman Yunani Dalam sejarah ilmu linguistik, golongan pertama yang bergiat dalam bidang pengkajian bahasa ialah orang-orang Yunani. Tamadun Yunani merupakan satu tamadun terawal yang wujud di atas muka bumi ini. Kehebatan tamadun ini merangkumi semua aspek seperti bahasa, ekonomi, budaya dan politik. Kegiatan dalam pengkajian bahasa bermula kira-kira 500 tahun sebelum masihi. Disebabkan seluruh

kehidupan mereka dibendung oleh falsafah, maka kajian mereka tentang bahasa banyak dipengaruhi oleh pemikiran yang berbentuk falsafah. Falsafah bahasa bermula pada zaman pra-Socrates, iaitu pada abad ke-6 sebelum masihi. Falsafah Bahasa merupakan satu teras kepada bermulanya satu falsafah yang menjadi pegangan dan kekuatan masyarakat ketika itu. Mengikut ahli falsafah Yunani, bahasa merupakan sesuatu yang dapat melambangkan tamadun tinggi dan dapat menerangkan kejadian alam berasaskan kajian etimologi. Golongan analogis dan naturalis yang disebut PHUSEI mengatakan bahawa bahasa berada di luar pengaruh manusia iaitu ciptaan Tuhan, bersifat semula jadi, regular dan logik. Berbeza pula dengan golongan anomalis atau konvensenis yang dipanggil THESEI pula mengatakan bahawa bahasa bukan natural, bahasa wujud secara konvensyen, tidak seragam iaitu mempunyai pelbagai kelainan. Menurut Plato (427-437sm) iaitu tokoh linguistik dalam karyanya CRYSTALUS mempersoalkan hubungan antara lambang dengan acuanya iaitu benda dengan nama benda, sama ada bersifat tabii atau kesepakatan, walaupun Socrates pernah mengatakan bahawa lambang perlu sesuai dengan acuannya. Plato juga mengatakan bahawa kesimbolikan bunyi memang wujud. Contohnya, bunyi [ r ] menunjukkan gerak, manakala bunyi [ l ] menunjukkan kehalusan dan kelancaran. Bagi Plato, ayat ialah logos yang berupa rentetan kata yang mempunyai idea yang tuntas. Logos terbahagi kepada dua, iaitu onoma (kata nama) dan Rhema (kata kerja). Tokoh kedua iaitu Aristotle (384-322 sm) telah memperkenalkan kata hubung dan sistem kala tense (past tense, present tense). Aristotle mengakui wujudnya sistem kala, di samping memperkenalkan konsep neutral iaitu hubungan antara lambang dengan acuannya yang bersifat konvensional. Aristotle juga telah memisahkan kata kepada tiga jenis, iaitu onoma (kata nama), rhema (kata kerja) dan syndesmoi (kata hubung).

Kemudiannya, Puak Stoik beranggapan bahawa bahasa mencerminkan benda yang sesuai dengan kudratnya. Mereka juga membezakan bentuk dan makna sesuatu kata itu. Mereka membahagikan kata kepada empat, iaitu nomen (kata nama), verbum (kata kerja), syndesmoi (kata hubung), dan arthon (kata sandang) ataupun artikel (kata ganti nama, kata nama khas). Puak Stoik telah memperkenalkan penggolongan unsur-unsur fleksi seperti dalam Bahasa Inggeris (go:went:gone). Selain itu, mereka juga memperkenalkan perbezaan bentuk aktif dan pasif, dan antara kata kerja transitif dengan tak transitif. Seterusnya kaum Alexandrian memperluas kelas kata kepada lapan, iaitu onama (kata nama), rhema (kata kerja), metosche (partikel), arthron (kata sandang), antonymia (kata ganti), prosthesis (kata depan), epirrhema (kata keterangan), dan syndesmoi (kata hubung). Semua kajian berasaskan teks kuno. Antaranya ialah syair suci Homeros yang berjudul Illiad and Odyssey. Syair ini menjadi buku pegangan orang Yunani Kuno. 2.1.3 Zaman Romawi Zaman seterusnya ialah zaman Romawi yang dianggap kesinambungan perkembangan ilmu linguistik dari zaman Yunani, seiring dengan kejatuhan Yunani dan munculnya kerajaan Romawi. Pada zaman Romawi ini, telah wujud tatabahasa yang agak lengkap oleh cendekiawan Romawi. Tatabahasa ini merupakan pengubahsuaian daripada karya Yunani. Tambahan lagi tatabahasa Latin telah dicipta mengikut model Yunani. Ini bermakna pengkodifikasian pemikiran, motif dan konsep tatabahasa Yunani telah dilakukan. Pengaruh bahasa Yunani telah dibawa oleh Crates dari Mallos dan kemudiannya diperkembang oleh ahli tatabahasa Romawi yang terkenal seperti Applonius Discollus, M.Terrentius Varro, Priscia dan Donatus. Pada zaman Romawi juga kelas kata telah ditambah daripada lapan menjadi Sembilan, iaitu tambahan numeralia (kata bilangan).

Di samping itu juga, kebudayaan Hellenisme yang berasaskan ajaran Stoik juga berkembang. Golongan Stoik membezakan tiga aspek primer bahasa, iaitu: 1. Senainon: tanda dan simbol. 2. Semainomenon atau lekton: makna. 3. Pragma atau tungchanon: hal luaran, situasi. Menurut ahli tatabahasa Romawi yang dianggap paling tulen dalam bahada Latin iaitu M.Terrentius Varro (116-27SM) dalam karyanya De Lingua Latina membahaskan masalah analogi dan anomali seperti pada zaman Stoik di Yunani. Beliau juga menyatakan bahawa bahasa itu seragam secara semula jadi, bentuk fleksi dan terbitannya mempengaruhi bunyi dan makna, dan mengkategorikan penggunaan morfologi, sintaksis dan etimologi. Manakala Priscia pula membahagikan kelas kata kepada lapan melalui karyanya Institutiones Grammatikae iaitu nomen, verbum, participium, pronomen, adverbiu, praepositio, interjection dan conjuction. Karyanya ini dianggap baku hingga kini dan dianggap sebagai kajian tatabahasa Romawi yang representatif. Selain fonologi yang membincangkan mengenai huruf atau tulisan yang disebut literea terdapat juga aspek lain yang dikaji iaitu morfologi yang membahaskan mengenai diction atau kata dan sintaksis yang membicarakan mengenai oratio iaitu tata susunan kata yang selaras dan menunjukkan ayat itu selesai. Buku Institutiones Grammaticea ini telah menjadi dasar tatabahasa Latin dan filsafat zaman pertengahan. Zaman Romawi tidak banyak menghasilkan karya asli, sebaliknya menyusun tatabahasa Latin berdasarkan tatabahasa Yunani dengan cekap dan baik. Masyarakat Rom juga banyak terpengaruh dengan sifat pengkajian sarjana Yunani seperti Aristotle.

2.2 Sejarah Linguistik Peringkat Pertengahan 2.2.0 Zaman Arab Pada Era ini, ahli pengkaji sejarah perkembangan linguistik zaman pertengahan yang dikenali juga sebagai zaman Renaissance mula meneroka bahasa termasuk tatabahasa vernakular. Para pengkaji pada zaman ini menggunakan ilmu bahasa sebagai satu elemen untuk mengukur kualiti sesuatu bahasa. Anggapan mereka bahawa hasil tulisan itu baik sekiranya bahasa dan hasil tulisan itu tepat dan kurang kesalahan tatabahasa. Tambahan lagi, bahasa pada era ini masih kekal kepada fungsi kesusasateraan. Pada era ini juga teori sebab musabab, kelainan logika dalam bahasa dan hubungan antara bahasa mula berkembang. Golongan zaman pertengahan ini menolak bahasa luar atau bahasa pinjaman. Mereka juga dapat mengesan hubungan satu bahasa dengan bahasa lain terutama bahasa Inggeris. Perkembangan linguistik zaman Arab ini bermula apabila bahasa berkembang pesat di Baghdad sebagai sebuah pusat ilmu di dunia. Hal ini disebabkan Eropah mengalami zaman gelap. Kebanyakan ahli fikir yang lahir pada zaman ini ialah sarjana Islam yang sentiasa mendapat sokongan daripada pemimpin mereka. Kajian mereka tertumpu kepada sumber al-Quran dan hasilnya perkembangan ilmu fonetik semakin pesat dan hampir menjadi sempurna serta terciptanya kamus lengkap untuk dijadikan bahan rujukan.

You might also like