You are on page 1of 18

Bughah: Salah Faham Masyarakat Terhadap

Pengaruh Gerakannya
Oleh: Mohd Azmir Hj. Maideen

Undang-undang jenayah Islam, ‘bughah‘ (pemberontak/ penderhaka) dalam konteks


kenegaraan sangat berkait rapat dengan persoalan hubungan dan ketaatan rakyat kepada
negara atau pemerintah. Tinjauan ini penting dalam menjamin kestabilan politik Islam
dan menganalisa reaksi politik hari ini. Adalah lebih baik sebelum topik ini dibincangkan
dengan lebih jauh, kita mendefinisikan terlebih dahulu sesuatu matlamat gerakan sosial
ditubuhkan agar ia dapat memberikan pengertian dan petunjuk yang luas tentang peranan
kewujudan pertubuhan/gerakan (jamaah) di mata masyarakat.

Hari ini timbul salah faham segelintir di kalangan masyarakat yang menganggap gerakan
Islam yang diwujudkan di tengah-tengah kumpulan penguasa diiktiraf, adalah kumpulan
bughah. Dalam mempertahankan pendapat mereka itu, kerap kali nas-nas agama
digunakan untuk merosakkan gerakan-gerakan Islam yang diwujudkan. Dakwaan
mereka; “..Tiada Islam tanpa khilafah dan demokrasi adalah kafir..”. Kemunculan
‘centric’ ini sebenarnya tidak berperanan sebagai pencegah kemungkaran, malah sentiasa
bersikap cengir kepada gerakan Islam tetapi lunak terhadap penguasa. Kemulian cita-cita
Islam dan kesaksamaannya tidak lebih sekadar suatu falsafah yang penuh direka dengan
metafora dan dimanipulasi oleh para idealis yang gemar mencari nilai populariti. Malah,
sanggup mengambil kesempatan yang ada untuk menghentam dan menimbulkan fitnah
terhadap gerakan Islam sehingga masyarakat menjadi keliru antara realiti dan ilusi jalan
perjuangan yang sepatutnya dibina gerakan Islam dalam menegakkan panji.

Sebelum ini mereka berdegar-degar mengatakan bahawa sikap taqiyyah (berpura-pura)


adalah pendustaan terhadap kesucian agama. Tanpa disedari, mereka sendiri mengguna
pakai taqiyyah sebagai simbolik amar makruf nahi mungkarnya. Bagaimanapun
kecacatan ini mampu diperbaiki dan diperjelaskan terutamanya dalam melabelkan
sesuatu yang tidak tepat terhadap gerakan Islam sebagai bughah. Kita perlu mengambil
sikap bahawa mereka yang menuduh masih saudara seagama kita dan berlapang dada
terhadap kritikan mereka sekalipun ia tidak mencerna kebaikan terhadap gerakan Islam.
Hakikatnya, perjuangan gerakan Islam yang tulus dalam arena politik cacamerba ini tidak
mungkin semudah ‘copy and paste’ maklumat-maklumat di internet. Bahkan kesukaran
mereka menjadi sunnah perjuangan bahawa usaha mengangkat martabat Islam akan
sentiasa berhadapan dengan pelbagai ujian, fitnah dan mehnah daripada musuh-
musuhnya. Gerakan Islam mesti bersedia untuk membayar harga yang mahal dalam
perjuangan mereka, kerana gerakan Islam yang tulen tidak akan terjebak dengan sikap
berkompromi dengan perkara dasar. Suatu ungkapan yang kerapkali disebut oleh salah
seorang pensyarah kami di Kuliyyah Dakwah, Kaherah;

“..Sesungguhnya dakwah Islam merupakan dakwah yang benar dan dakwah yang benar
tidak akan berlaku kecuali dengan laluan yang benar. Laluan (perjalanan) ini tidak
dihamparkan dengan haruman-haruman dan wangi-wangian akan tetapi ia adalah
laluan yang penuh dengan keletihan dan kesusahan. Sampai bila kamu segan untuk
meperingatkan kesesatan orang yang sesat? Sebutkanlah apa yang ada padanya
(kesesatannya) hingga ia diwaspadai manusia akan bahayanya..”

Apakah Bughah Itu?

Menurut pendapat ulama’ mazhab Syafie bahawa Bughah memberikan maksud;

“..Mereka yang menentang pemimpin dengan melakukan pemberontakan &


meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan
syarat mereka (Bughah) itu memiliki kekuatan fizikal, mempunyai alasan (penafsiran)
penentangan dan mempunyai ketua..”

Jika ia dilakukan tanpa menggunakan kekuatan, tindakan itu tidak dianggap sebagai
jenayah bughah. Sebagai contoh, sekumpulan pekerja yang enggan melaksanakan
tugasan. Maka ia tidak termasuk dalam kegiatan jenayah Bughah yang diperbincangkan
ini. Tetapi ia dianggap sebagai melakukan kesalahan ta’zir dan urusan tersebut terserah
kepada majikannya untuk menentukan hukuman terhadapnya. Pesalah di dalam contoh
yang diberikan hanya digelar ‘fasid’ (perosak) dan bukan ‘Bughah’. Di dalam kitab Asna
Matholib, jilid 4 ada disebut pengertian bughah;

“..Bughah adalah orang yang keluar daripada ketaatan dengan memiliki ta`wil yang
mengelirukan, tidak mampu dipastikan kekeliruannya dengan syarat mereka mempunyai
kekuatan kerana jumlahnya yang ramai atau memiliki kekuatan di samping mereka ada
pemimpin yang ditaati..”

Menurut jumhur ulama’ hanya kategori penderhakaan dengan menggunakan kekuatan


sahaja yang dianggap sebagai jenayah bughah sehingga boleh mengakibatkan huru-hara
dan perang saudara. Al Quran dan al Hadith menyebut tentang jenayah Bughah ini,
firman Allah Taala;

“..Dan jika ada 2 golongan daripada orang-orang mukmin yang berperang, maka
damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu daripada keduanya berbuat aniaya
terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu
sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan ini telah kembali,
maka damaikanlah antara keduanya dengan adil. Dan berlaku adillah sesungguhnya
Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil..” - al Hujurat:9, al Quranul Karim.

Menurut riwayat daripada Ata’ bin Dinar daripada Said bin Jubair, ayat ini diturunkan
ekoran daripada perselisihan yang berlaku di antara puak ‘Aus dan Khazraj sehingga
mengakibatkan peperangan. Daripada dalil-dalil tersebut, mampulah difahami di sini
bahawa maksud 2 golongan mukmin yang berperang itu antara satu sama lain sudah tentu
salah satunya adalah bughah. Di dalam suatu riwayat hadith Rasulullah salallahualaihi
wasalam ada disebutkan, mafhumnya berbunyi; “..Barangsiapa yang mengangkat senjata
(menentang) kami, sesungguhnya ia bukan dari golongan kami..”
Majoriti ulama Islam berpendapat bahawa adalah lebih baik jenayah bughah dibanteras
untuk mengelakkan sebarang keburukan yang berlaku. Tetapi untuk melakukan hukuman
terhadap mereka, jumhur fuqaha’ berpendapat tidak seharusnya tindakan kekerasan itu
dimulai dengan keganasan pemerintah. Manakala sebelum menjalankan hukuman, para
fuqaha’ berpendapat pemerintah hendaklah menasihati penentang-penentang tersebut.
Harta-harta kepunyaan mereka (bughah) pula tidak layak diwarisi oleh pemerintah
sebagaimana harta rampasan perang (ghanimah) atau dijadikan cukai kepada negara. Ini
kerana golongan bughah bukanlah golongan kafir harbi dan murtad. Ada ulama’ Islam
yang menyebut istilah bughah sebagai gerakan khawarij iaitu puak yang menentang
khalifah dan membentuk wilayah eksklusif. Khawarij adalah kumpulan yang tidak
bersetuju dengan pendirian Saidina Ali yang menerima syarat Muawiyyah untuk
melakukan majlis tahkim. Hakikatnya, Khawarij juga merupakan pecahan daripada puak
Syiah. Satu definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang Bughah ialah;
"..penentangan terhadap pemerintah secara kekerasan..".

Dalam al Quran penggunaan dalam pengertian yang agak khusus ini terdapat dalam
firman Allah yang bermaksud;

“..KatakanTuhanku hanya melarang perbuatan-perbuatan keji yang terang dan


tersembunyi, berbuat dosa, melanggar kekuasaan di luar kebenaran, mempersekutukan
Allah di mana Tuhan tidak menurunkan kekuasaan tentang itu dan mengatakan (hal-hal)
yang tidak baik tentang Allah yang tidak kamu ketahui..”- al ‘Araf:33, al Quranul
Karim.

Ayat di atas menyatakan bahawa bughah bermaksud; “..melanggar kekuasaan di luar


kebenaran..”. Sebagai suatu istilah, bughah dihuraikan oleh para fuqaha’ sebagai
penentangan terhadap pemimpin berautoriti yang memerintah sehingga mengakibatkan
suasana huru-hara dan peperangan. Menurut Imam Abu Hanifah rahimahullah, kumpulan
yang ditubuhkan untuk melakukan kacau bilau kedudukan negara wajar diambil tindakan
sebagai jenayah bughah sekalipun tanpa melibatkan penggunaan senjata. Namun, ia tidak
bererti menyuarakan pandangan atau rasa tidak puas hati terhadap sistem pemerintahan
tidak dibenarkan. Di dalam kertas kerja (al Baghy: Konsep & Pendekatannya Dalam
Struktur Politik Masa Kini) yang pernah dibentangkan oleh Dr. Sharifah Hayaati Syed
Ismail, beliau telah menyebutkan bahawa ada 3 perkara utama yang layak dilabelkan
kepada tertuduh sebagai jenayah bughah iaitu:

1) Menentang pemerintah (yang meletak Allah dan Rasul-Nya sebagai sumber rujukan
tertinggi).
2) Penentangan secara kekerasan atau bersenjata.
3) Berniat melakukan jenayah.

Matlamat & Penubuhan Gerakan Sosial


Dalam menilai kekuatan sesuatu gerakan sosial yang ditubuhkan, ada 2 matlamat utama
yang perlu diperhatikan;
1) Ada gerakan sosial yang diasaskan untuk memberi kekuatan kepada jamaah Islam
yang telah ada dan menjadi platform untuk memperluaskan dakwah Islam dan amal
Islami yang bertepatan dengan prinsip Islam yang induk.
2) Ada gerakan sosial yang diperuntukkan oleh musuh-musuh Islam dan diperalatkan
untuk melakukan kekeliruan terhadap ajaran Islam dan memusuhi gerakan Islam yang
telah ada.

Kebiasaannya konsep gerakan yang mendominasi jamaah Islam lebih tertumpu kepada 2
pengertian;
Pertama: Pengertian daripada sudut iqtikad yang merujuk kepada manhaj yang dibawa
oleh jamaah tersebut di atas dasar-dasar yang tegar daripada al Quran, as Sunnah dan
Ijma’, serta mengikut apa yang dipegang oleh as Salaf as Soleh. Gerakan tersebut tidak
disyaratkan ramai atau sedikit, menjadi kerajaan atau pembangkang, bahkan ia adalah
jamaah Islam selagimana ada al haq (kebenaran) bersamanya.
Kedua: Pengertian daripada sudut politik yang merujuk kepada sistem pemerintahan yang
ditubuhkan bagi memelihara nas-nas agama dan diberikan fungsi dalam realiti kehidupan
masyarakat. Gerakan Islam yang menguasai pemerintahan mestilah istiqomah dalam
memelihara syara’.

Oleh itu, wajar untuk kita memastikan matlamat sesebuah jamaah/ gerakan yang
ditubuhkan supaya kita mengetahui wajah jamaah yang bagaimana sepatutnya yang
diiktiraf oleh Allah sebagai firqah najiyyah, harakah soleh dan sebagainya. Firman Allah
Taala;

“..Wahai orang-orang yang beriman ! Siapa diantara kamu berpaling tadah dari
agamanya (menjadi murtad) , maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia
kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan-Nya, mereka pula bersifat berlemah lembut
terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas terhadap orang-orang kafir.
Mereka berjuang bersungguh-sungguh di jalan Allah dan mereka tidak takut pada celaan
orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya
kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya lagi
meliputi pengetahuan-Nya. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-
Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, yang menunaikan
zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang
menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya
(maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama)
Allah, itulah yang tetap menang..” - al Maidah:54-56, al Quranul Karim.

Allah Taala turut berfirman tentang pembinaan masjid ad dirar sebagai usaha membentuk
jamaah lain yang bertentangan dengan kehendak syara’ ;
“..Dan orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan
orang Islam) dan menguatkan keingkaran mereka sendiri, serta memecah-belahkan
perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk dijadikan tempatan intipan bagi
orang yang menentang Allah dan Rasulnya sebelum itu, Dan mereka bersumpah dengan
berkata; ..tidakkah yang kami kehendaki dengan membina masjid ini melainkan untuk
kebaikan semata-mata..? Padahal Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya mereka
berdusta..” - at Taubah:107-108, al Quranul Karim.

Daripada kisah masjid Dirar ini, tidak sepatutnya kita berasa sangsi untuk mencabut
segala usaha yang mengancam kesatuan Muslimin. Tanpa disedari, betapa banyak jamaah
(pertubuhan) yang dipergunakan musuh Islam menjadi masjid Dirar merosakkan umat
Islam dan memberi kekuatan sokongan terhadap musuh-musuh Islam. Jatuhnya Khilafah
Islamiyyah pada tahun 1924, adalah peluang musuh-musuh Islam untuk melebar luaskan
fahaman-fahaman yang membinggungkan pendirian umat Islam. Oleh kerana itu,
pergerakan komuniti yang berteraskan dakwah Islamiyyah yang bergerak melalui siasah
secara ‘muwajahah silmiyyah’ perlu diwujudkan demi menjamin kesucian agama
terpelihara. Hal ini dilihat melalui beberapa objektifnya, iaitu;

1) Membina kembali masyarakat yang kehidupan mereka berasaskan kemantapan tauhid


dan akur dengan kebenaran Islam. Salah seorang sahabat Nabi
salallahualaihi wasalam pernah berkata;

“..Sesungguhnya kami diutuskan Allah untuk mengeluarkan manusia daripada


mengabdikan diri kepada pengabdi, menjadi mengabdikan diri kepada Allah Yang
Tunggal. Dari kesempitan dunia kepada keluasannya dan daripada kekejaman agama-
agama kepada keadilan Islam..”

2) Menyedarkan masyarakat tentang peranan dan bebanan mereka terhadap tugas dakwah
dalam mencegah kemungkaran dan menyeru kebaikan. Sebagaimana firman Allah Taala
yang berbunyi;

“..Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada
kebajikan, menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang-
orang yang beruntung..” - al Imran:104, al Quranul Karim.

Fenomena Bughah Pada Perspektif Sejarah

Di dalam peperangan Siffin dan Jamal, Khalifah Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah
tidak menganggap orang-orang yang melawannya telah keluar daripada Islam dan kafir,
tetapi hanya dikatakan mereka itu bughah (berbuat penderhakaan). Sebagaimana sabda
Nabi Salallahualaihi wasalam;

”..Malangnya anak Sumayyah (Amar bin Yasir), engkau dibunuh oleh kumpulan
pemberontak..”
Sebagaimana yang dimaklumi, Ammar bin Yasir dibunuh ketika beliau bersama-sama
tentera Khalifah Ali radhiallahu anhu dalam memerangi tentera Muawiyyah. Pembunuh
Amar bin Yasir bukanlah di kalangan sahabat Nabi tetapi merupakan salah seorang
daripada tentera yang menyertai Muawiyyah. Tidaklah Muawiyah mengingkari sedikit
jua akan keutamaan Saidina Ali dan hak beliau untuk menjadi khalifah. Akan tetapi pada
ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pembakar api fitnah daripada
kumpulan pembunuh Uthman radhiallahu anhu daripada (mendahului) urusan baiah.
Khalifah Ali, sekalipun mengambil keputusan tidak terburu-buru melaksanakan hukuman
tersebut tetapi beliau mempunyai perencanaan paling matang untuk menghadapi risiko
perpecahan umat Islam ketika itu. Di sisi Ali bin Abi Talib, beliau bukan sengaja
membiarkan para pembunuh Uthman berkeliaran secara bebas. Malah beliau mengetahui
bahawa mereka yang membunuh Khalifah Uthman berselindung di kalangan umat Islam
serta berpura-pura membaiah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat Islam yang masih
berpecah belah, adalah sukar untuk beliau mengambil sebarang tindakan. Sebaliknya jika
umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh
Uthman. Dalam kaedah feqhiyyah ada disebutkan;

“..Kemudharatan yang kecil tidak diambil kira dalam usaha meraih kemaslahatan yang
besar..”

Pengajaran daripada peristiwa sejarah yang melibatkan pertelingkahan para Sahabat iaitu
Saidina Ali dan Muawiyyah radhiallahu anhuma ialah berfikir terlebih dahulu secara
lumat untuk sebelum membuat keputusan yang kemugkinan boleh merugikan umat
Islam. Bukannya membuat keputusan dengan menggunakan taktik cemuhan dan takfir
(mengkafirkan) sebagaimana halnya puak-puak khawarij. Sabda Rasulullah
salallahualaihi wasalam;

“..Dengar dan taat adalah hak ke atas seorang Islam pada perkara yang disukai
mahupun yang dibenci selagi tidak menyuruh kepada maksiat. Maka jika perintah
kepada maksiat, maka jangan dengar dan jangan taat..” [Muttafaqun alaihi daripada
riwayat Ibn Umar, lihat Lu’lu wal Marjan:1205].

Beriltizam Kepada Gerakan Islam

Wajib untuk kita beriltizam dengan segala apa yang diperintah oleh jamaah Islam serta
taat kepadanya untuk menerima sumber rujukan asasi Islam, meskipun terdapat
perbezaan daripada sudut mazhab, aliran dan pandangan. Begitu juga, menjadi kewajipan
kepada kita untuk memberikan komitmen dengan dasar-dasarnya yang tidak melibatkan
perkara maksiat dan tidak menentangnya kecuali jika berlaku kufr bawwah (kekufuran
yang nyata). Amanah kepimpinan turut disebut Allah Taala melalui firmannya;
“..Sesungguhnya orang yang kami berikan kepada mereka kekuasaan di atas muka
bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan,
melarang kemungkaran, dan kepada Allah mereka menyerahkan penghujung segala
usaha..” - al Hajj:41, al Quranul Karim
Dalam pada kewajipan seorang Muslim itu mempunyai ketua, mereka juga dianjurkan
untuk memiliki suatu tanzim (sistem) yang mempunyai kredibiliti untuk diketengahkan
kepada masyarakat supaya tidak diperlekehkan oleh musuh-musuh Islam. Saiyidina Ali
karramallahu wajhah pernah menegaskan;
“..Kebenaran tanpa penyusunan terancang akan dikalahkan oleh kebathilan (yang
mempunyai perancangan penuh sistematik)..”
Kewajipan bersama dan membentuk jamaah juga turut disebut Rasulullah salallahualaihi
wasalam, sabdanya;

”..Hendaklah kamu berjamaah dan berwaspadalah terhadap gejala berpuak-puak,


justeru sesungguhnya syaitan bersama orang yang bersendirian sementara syaitan
berada sangat jauh dari orang yang berdua , barangsiapa yang mahu tempat
teristemewa di tengah-tengah syurga maka hendaklah ia melazimi (mewajibkan diri)
bersama Jamaah..” [Sunan at Tirmidzi, No:2091. Abu Isa berkata hadith ini hasan
sahih gharib].

Telah berkata Saidina Umar al Khattab radhiallahu anhu;

“..Tiada Islam kecuali dengan jamaah, tiada jamaah kecuali dengan kepimpinan, tiada
kepimpinan kecuali dengan ketaatan..”

Ada kemungkinan sebahagian jamaah lebih dekat kepada kebenaran dalam memahami
Islam berbanding sebahagian yang lain. Tetapi yang pasti, tidak ada jamaah yang
terpelihara daripada setiap kesalahan, bersih daripada segala aib, sekalipun mempunyai
wasilah-wasilah yang Islamik. Walaubagaimanapun, memperteguhkan dan menguatkan
jamaah Islam yang ada merupakan lapangan yang terus dibuka untuk diamati dari waktu
ke waktu. Mana-mana jamaah Islam yang jelas perjuangannya sudah tentu menginginkan
hari ini lebih baik dari hari kelmarin, dan hari esok lebih baik dari hari ini.

Kesalahan Pemerintah Wajar Ditegur


Dalam pada itu, kita hendaklah menyedari bahawa bukan semua jama'ah-jama'ah yang
mendokong Islam sebagai manhaj menjadi kuasa yang memerintah negara. Manakala
penguasa yang zalim diangkat menjadi pemerintah dan pada masa yang sama golongan-
golongan agamawan yang bersikap pragmatik, mempergunakan nas-nas hadith dengan
menghukum gerakan Islam sebagai bughah. Maka, kerap kali hadith yang diriwayatkan
oleh Ibn Abbas ini dilaungkan;

“..Sesiapa melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka
hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah
walaupun sejengkal lalu dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah..” [Sahih
Bukhari, No: 6531]

Perkara yang tidak disukai ditafsirkan oleh mereka sebagai semua perkara yang tidak
disukai rakyat termasuk perkara maksiat dan zalim yang dilakukan pemerintah. Pada
tafsiran mereka, rakyat perlu bersabar dan berlapang dada sahaja. Ini adalah pendustaan
yang dilakukan atas nama hadith. Fahaman seperti hanya menyebabkan berlakunya
percanggahan antara nas-nas yang sahih. Cuba kita lihat satu hadith lain yang boleh
difahami sebagai bercanggah dengan hadith daripada Ibn Abbas di atas jika tidak
dilakukan penyelarasan antara hadith yang umum dengan hadith yang khusus. Hadith
yang menyebut secara khusus itu ialah;
“..Telah datang seorang lelaki kepada Nabi salallahualaihi wasalam lalu
berkata;..Apakah jihad yang paling terpuji..? Lalu Rasulullah bersabda;..kalimah yang
benar di sisi penguasa yang zalim..” [Musnad Ahmad, No:18072]

Dalam satu peristiwa lain pula;

“..Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya
dengan tangan, kalau tidak mampu, dengan lidah, kalau tidak mampu, dengan hati, yang
demikian itu adalah selemah-lemah iman..” [Sahih Muslim, No:70]

Dr. Yusuf al Qardhawi menerangkan di dalam kitab Fiqh Daulah pada muka surat 124,
bahawa lafaz hadith tersebut hendaklah ditunaikan setelah kita ‘melihat’ (ra’ie) dan bukan
sekadar khabar angin, lalu kita melakukan tohmahan dan cercaan kepada si pembuat
mungkar. Hal ini sebagaimana yang ada disebutkan di dalam hadith Rasulullah
salallahualahi wasalam bahawa Allah Taala menyembunyikan (memaafkan) kesalahan
manusia yang dilakukan tidak secara terang-terangan;

“..Setiap umatku diampunkan kecuali mereka yang men’jahar’kan (terang-terang tanpa


malu melakukan kemaksiatan)..”

Jika diteliti secara benar keterangan umum ' sesuatu perkara yang tidak disukai ' dalam
hadith riwayat Ibn Abbas rahimahullah itu adalah khusus pada perkara-perkara yang
bukan kemungkaran seperti bentuk fizikal atau asal keturunan seseorang pemerintah itu.
Ada pun bila pemerintah sendiri melakukan kemungkaran, sudah pasti masyarakat yang
memiliki roh keimanan tidak menyukainya. Maka mencegahnya adalah wajib tidak kira
dalam apa jua keadaan sekalipun tanpa melibatkan penggunaan senjata. Hal ini
sebagaimana yang disebut oleh Sheikh Abdurrahman al Maliki :

”..Tidak ada perbezaan adakah (golongan bughah itu) memberontak kepada khalifah
yang adil atau khalifah yang zalim, baik kerana alasan ta`wil dalam agama ataupun
mengkehendaki dunia (seperti harta atau jabatan). Semuanya adalah bughah, selama
mereka mengangkat senjata untuk menentang kekuasaan Islam..”

Al Hafiz Ibn Hajar al Asqalani menambah dengan menyatakan pendapat ad Dawudi di


dalam kitabnya, Fathul Bari dengan menyebut;

“..Yang menjadi pegangan para ulama, mengenai para pemerintah yang zalim ialah
sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib
dipecat, jika tidak maka wajib bersabar..”
Umar al Khattab radhiallahu anhu ketika beliau menjadi khalifah pernah mendakwa
kesalahan seorang lelaki yang melakukan perkara maksiat dengan perempuan lain.
Peristiwa ini ada disebut oleh Imam Abu Hamid al Ghazali di dalam kitab Ihya’
Ulumiddin yang menerangkan tentang ‘menganjurkan perkara makruf dan menegah yang
mungkar’. Bagaimanapun, lelaki yang bersalah itu melakukan pendakwaan kesalahan
pula terhadap Umar;
“..Jika aku telah berlaku dosa kepada Allah daripada ia satu bentuk kesalahan terhadap-
Nya, adapun kamu Umar telah melakukan dosa terhadap-Nya daripada 3 bentuk
kesalahan..”

Mendengar dakwaan seperti itu, lalu Umar al Khattab bertanya kepadanya;

“..Apakah dia kesalahanku..?”.

Kemudian lelaki tersebut menjawab;

“..Allah Taala telah berfirman; ‘Dan Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang
lain’, dan engkau telah mencarinya. Allah Taala berfirman;’Dan masuklah rumah-
rumah melalui pintunya’, dan engkau memanjat pagar untuk menaiki atap. Dan Allah
berfirman;’Jangan kamu masuk rumah-rumah selain rumah kamu sehingga kamu
meminta izin dan mengucapkan salam ke atas penghuninya’. Adapun engkau (Umar)
tiada ucapan salam..”

Jawapan tersebut diterima Umar dengan hati yang terbuka dan beliau meninggalkan
lelaki tersebut dengan syarat supaya lelaki tersebut bertaubat daripada perbuatan dosanya.
Ini menunjukkan bahawa, sekalipun pemerintah berhak menegah kesalahan rakyatnya
tetapi bukan bermaksud rakyatnya tidak berhak menyatakan pandangan sendiri terhadap
pemerintahnya pula.

Kesabaran Yang Dianjurkan

Bersabar dalam setiap perkara yang melibatkan mala petaka, bencana dan ujian sangat
dituntut pada setiap kehidupan Muslimin. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;

“..Serulah kepada kebaikan dan tegahlah kemungkaran dan sesungguhnya akan datang
satu masa kelak, mereka yang bersabar (dalam menghadapi fitnah) seperti pemegang
bara-bara api, manakala mereka yang bekerja (untuk Islam) di ketika saat itu mendapat
ganjaran 50 kali ganda pahala amal seseorang . Sahabat bertanya; ‘..Adakah
ganjarannya lebih daripada 50 ganda seperti amalan sesama mereka atau berbanding
kami..?’ , berkata Nabi; ..Bahkan, lebih 50 kali daripada amalan kamu..” [Sunan at
Tirmidzi, 5/257 ; Ibn Hibban, 2/108: Ibn Hibban mensahihkannya dan at Tirmidzi
menyatakan ianya Hasan Gharib]

Dr. Yusuf Qaradhawi di dalam Feqh Daulah turut menyebutkan keperluan umat Islam
supaya mengubah pihak pemerintah yang menolak cita-cita dakwah. Beliau menyarankan
supaya umat Islam membina kekuatan pergerakan rakyat yang menyeluruh dan tidak
mampu dihalang oleh sesiapa, sekalipun angkatan bersenjata. Sesiapa yang tidak
mempunyai kekuatan tersebut hendaklah ia bersabar sehingga mampu memilikinya.
Dalam masa tersebut, maka dakwah diteruskan dengan lisan, menulis dan segala ruang
yang ada .
Seterusnya Rasulullah salallahualaihi wasalam bersabda;

“..Bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah pemimpin yang tamak
dan tidak membahagikan harta harta al fai` ini?. Jawab Abu Zar; ..Demi Allah yang
mengutuskan tuan dengan kebenaran, aku akan memikul pedang atas bahuku dan
memeranginya sehingga aku bertemu Rasulullah.. Baginda pun bersabda; ..Mahukah
jika aku tunjukkan kepadamu yang lebih baik daripada itu? Iaitu engkau bersabar
sehingga engkau menemuiku..”. [Musnad Imam Ahmad,No:20578. Dalam sanadnya
terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban , Ibnu Hibban menthiqahkannya
manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul]

Sikap sabar terhadap korupsi pemimpin melunturkan dosa, menambahkan pahala. Allah
Taala tidak menurunkan pemimpin yang zalim ke atas manusia melainkan kerana
kerosakan perbuatan rakyatnya sendiri. Balasan ini adalah sesuai dengan sikap rakyat
yang perlu diinsafi. Selaku hamba Allah, kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh
bertaubat dan memperbaiki amalan. Firman Allah Taala yang bermaksud;

“..Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu
telah menimpakan kekalahan dua kali ganda kepada musuh-musuhmu (pada peperangan
Badar). Kamu berkata; ‘..Dari mana datangnya musibah ini..?’. Katakanlah; ‘..Itu
kesalahan dirimu sendiri..” - ali Imran:165, al Quranul Karim.

Allah Taala turut berfirman lagi yang maksudnya;

“..Dan demikianlah Kami melantik sebahagian orang-orang zalim sebagai teman


kepada sebahagian yang lain sebagai hasil usaha yang telah mereka lakukan..” - al
An`am:129, al Quranul Karim.

Al Quran dan al Hadith telah menyampaikan pengetahuan kepada manusia tentang


perkara yang haq dan juga perkara yang batil. Oleh itu, apabila sekumpulan rakyat mahu
membebaskan diri daripada kezaliman pemerintah maka mereka hendaklah
meninggalkan kezaliman yang sedang mereka lakukan. Beberapa kezaliman yang boleh
disenaraikan di sini termasuklah;

1) Kezaliman rakyat memilih pemimpin atau jamaah yang diketahui fasid (rosak)
terhadap pegangan Islam.
2) Kezaliman rakyat tidak memilih pemimpin atau jamaah yang jelas memperjuangkan
dasar-dasar al Quran, Sunnah serta maqasid-maqasidnya. Firman Allah Taala;
“..Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka (yang ingkar) setelah
datang ilmu kepadamu, sesungguhnya kamu termasuk golongan orang-orang yang
zalim..” - al Baqarah:145, al Quranul Karim.

Demokrasi Sebagai Platform Memilih Pemimpin

Pemimpin dalam perspektif Islam merupakan wakil daripada sejumlah rakyat. Manakala
perbezaan politik hanya perlu disifatkan sebagai ‘check and balance’ dalam konteks
‘nasihat-menasihati’ demi memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan. Rakyat
berhak untuk menegur pemimpin yang rosak mengamalkan politik ‘qarun’ dan rakyat
juga berhak ditegur oleh pimpinan jika mereka melakukan kesalahan dan kederhakaan.
Hak teguran ini digalakkan pada pemerintahan Khalifah Abu Bakar as Siddiq radhiallahu
anhu dimana beliau menyatakan dalam ucapannya yang mashyur;

“..Sesungguhnya aku hanya dilantik di kalangan kamu, bukanlah aku yang terbaik
daripada kamu, sekiranya aku berada di landasan kebenaran maka bantulah aku,
taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka apabila aku
menderhakai Allah maka tiadalah wajib lagi taat kepadaku..”

Pemerintahan yang diiktiraf semestinya yang mendaulatkan sistem perundangan Islam


dan mengamalkan dasarnya secara adil. Sesiapa yang memperhatikan substansi
demokrasi, tentu ia akan melihat bahawa sebahagian daripada kehendak Islam. Islam
tidak membenarkan seseorang menjadi imam solat yang tidak disukai orang-orang yang
makmum di belakangnya. Di dalam hadith disebutkan “..Tiga golongan yang solatnya
tidak boleh naik di atas kepala mereka sekalipun hanya sejengkal..” lalu baginda
menyebutkan yang pertama di antaranya;

“..Seseorang yang mengimami suatu kaum dan mereka tidak suka kepadanya..”
[Riwayatkan Ibnu Majah,No:960]

Manakala hadith lain menyebutkan bahawa wajar untuk kita menolak ketaatan terhadap
pemimpin yang sampai kepada tahap kufr bawwah (kekufuran yang nyata);

“..(Kami berbaiah) untuk tidak dengar dan taat di saat suka dan benci, di saat susah dan
senang dan tidak sekali-kali kami mencabut ketaatan terhadap arahan pemerintah
melainkan jika kami melihat kufr bawwah yang kami mempunyai alasan disisi Allah..”

Demokrasi diakui bukan 100% berasal daripada Islam dan ia adalah salah satu daripada
sistem plagiat daripada acuan barat. Apa yang negatif didapati daripada sistem demokrasi
ini kerana ia bererti perutusan majoriti rakyat untuk menetapkan hukum dan bukan
hukum yang menetapkan manusia. Timbul daripada celahan jawapan ini, maka
muncullah sekumpulan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak sama ada gerakan
Islam atau sebaliknya. Seterusnya bertebaranlah kalimah Allah Taala di mulut-mulut
mereka;

“..Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah..” - al An'am:57, al Quranul Karim.


Pendapat seperti ini samalah seperti golongan Khawarij yang kemudiannya dibantah
Saidina Ali bin Abu Talib dengan berkata;

“..Kata-kata yang benar namun dimaksudkan batil..”

Sebenarnya, seluruh gerakan Islam sendiri berpendapat bahawa keputusan majoriti


bukanlah kata pemutus pada semua perkara termasuk hal-hal yang berkaitan agama.
Namun, menerima pendapat majoriti yang diakui oleh gerakan Islam adalah hanya pada
perkara-perkara yang melibatkan dalil-dalil zanni yang bersifat mutaghairah (berubah)
sahaja. Manakala hal-hal Islam yang melibatkan dalil-dalil qat’ie (tetap) dan prinsip yang
tidak boleh berubah, maka pendapat majoriti manusia tidak boleh diterima sama sekali.
Firman Allah Taala;

“..Sekiranya kamu mentaati majoriti (pendapat ramai di kalangan manusia)di atas muka
bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu, mereka tiada menurut kecuali
sangkaan..” - al An’am:116, al Quranul Karim.

Rata-rata gerakan Islam yang terlibat dengan sistem demokrasi tidak pernah menyatakan
mereka beriman dengan demokrasi apatah lagi memperjuangkan ideologinya. Dan
apabila gerakan Islam yang turut serta dalam lapangan demokrasi tewas dalam
pilihanraya, mereka pula dituduh sebagai gerakan bughah (penderhaka). Hal sedemikian
adalah tidak bertepatan dengan realiti sebenar yang berlaku . Apatah lagi gerakan Islam
yang selalunya menceburi bidang politik jarang mendapat tempat dan sering dipulaukan.
Hal ini terbukti sejak gerakan Ikhwanul Muslimin yang mendominasi gerakan politik
dakwah, terdapat satu usaha untuk menghentikan peranan mereka dalam medan
politiknya. Islam cuba dijadikan semata-mata agama yang bergerak hanya di tikar-tikar
masjid dan di mimbar-mimbarnya, dan inilah satu gambaran bahawa agama Islam cuba
dieksploitasi agar ia seangkatan dengan agama-agama lain seperti Kristian, Buddha,
Hindu, Shinto dan sebagainya yang hanya mengambil berat soal-soal ibadat dan urusan
perkahwinan.

Sebenarnya dalam sistem demokrasi yang dianggap legasi jahiliyah dan undang-undang
kafir, ada beberapa kesempatan yang boleh diambil manfaat untuk menyatakan risalah
Islam. Cara ini telah dilakukan oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam yang disebut
sebagai peraturan al himayah wal jiwar. Rasulullah salallahualaihi wasalam sendiri
memanfaatkan peraturan tersebut dengan mengambil bapa saudaranya, Abu Talib sebagai
al himayah. Begitu juga Rasulullah salallahualaihi wasalam diberi petunjuk oleh
Abdullah bin Uraiqit, seorang non-Muslim untuk laluan hijrahnya ke Madinah.
Rasulullah salallahualaihi wasalam memanfaatkan kemahiran non-Muslim tersebut,
bukan bermakna Baginda menjatuhkan prinsip Islam. Begitu juga apabila kita
menggunakan program komputer seperti Windows, Linux, Mac dan sebagainya bukan
bermakna kita terpaksa menukar aqidah kepada pegangan si pereka program berkenaan
yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat non-Muslim.Daripada apa yang dilakukan
oleh Rasulullah salallahulaihi wasalam itu, menunjukkan kepada kita bahawa dibenarkan
manfaat-manfaat di luar kawasan Muslim jika ia tidak merugikan Islam dan prinsip-
prinsipnya.
Antara dalil yang membuktikan bahawa Islam mengizinkan penelitian dan penerimaan
dibuat terhadap sesuatu idea baru, walaupun ia datang dari luar Islam sebagaimana
pengiktirafan Rasulullah salallahulaihi wasalam terhadap ‘guide’ Syaitan kepada Abu
Hurairah radhiallahu anhu agar membaca ayat Kursi untuk mengelakkan diri daripada
gangguannya. Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu anhu;

“..Rasulullah telah melantik aku untuk menjaga harta zakat Ramadhan, aku telah
didatangi seseorang lalu mencuri segenggam makanan. Maka aku menangkapnya dan
berkata; ..Akanku adukan kamu kepada Rasulullah salallahualaihi wasalam.. Maka si
pencuri menceritakan kepadanya (Abu Hurairah); ..Jika kamu hendak berbaring di
hamparanmu maka bacalah ayatul kursi, akan sentiasa bersama kamu dalam penjagaan
Allah dan tidak akan kamu didekati Syaitan sehingga subuh.. (setelah diadukan perkara
ini kepada Nabi) lalu Baginda salallahualaihi wasalam bersabda;..Ia telah berkata
benar, walaupun terlalu banyak berbohong, itulah Syaitan..” [Sahih Bukhari, no:4624]

Bagaimanapun penglibatan gerakan Islam di dalam proses demokrasi adalah bersifat


sementara selagi sistem demokrasi membenarkan gerakan Islam bergerak bebas tanpa
banyak halangan dan sekatan. Jadi bukan bermakna gerakan Islam menerima demokrasi,
maka mereka menolak corak pemerintahan Islam yang sebenar. Demokrasi hanyalah
sebuah sistem interaksi antara pemerintah dengan rakyatnya selama ia tidak bertentangan
dengan Islam, maka dapat diambil. Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam bersabda:

”..Sesungguhnya Allah Taala telah membataskan sesuatu hukuman maka janganlah


kamu melampauinya, Dia telah memfardhukan kepada kamu berbagai-bagai kefardhuan,
maka janganlah sekali-kali kamu mengabaikannya. Dia juga melarang daripada
sesuatu, maka janganlah kamu sekali-kali melanggarnya. Dia juga telah membebaskan
(mendiamkan) sesuatu sebagai rahmat bagi kamu bukan kerana lalai, maka janganlah
kamu sekali-kali mencari-carinya..” [Diriwayatkan Daruqutni dan disebut oleh an
Nawawi di dalam matan arba’ien yang mahsyur]

Konteks Pembangkang Dalam Negara

Dari kaca mata politik, kehadiran pembangkang dalam sistem pemerintahan sebenarnya
memberikan maksud bahawa wujudnya pertalian kumpulan manusia yang bertindak
bersama serta berkeupayaan untuk bergerak secara kolektif. Pada dasarnya, kategori
pembangkang juga merupakan wakil kepada kerajaan yang menjadi pilihan kepada
pengundi dan salah satu ciri kerajaan bercorak demokrasi ialah membenarkan rakyat atau
sesuatu kumpulan mengkritik pemimpin yang memegang kuasa.

Pembangkang juga dibenarkan untuk menubuhkan suatu organisasi atau parti. Mereka
boleh memaparkan kritikan-kritikan terhadap penguasa di samping memperkenalkan
kaedah untuk memperbaiki kerajaan. Dengan itu, kewujudan parti atau individu yang
membangkang tidak wajar dikategorikan sebagai Bughah. Ini kerana, selain daripada
tidak menggunakan kekerasan kewujudannya dalam sesebuah pemerintahan demokrasi
adalah diiktiraf rakyat. Sepatutnya sebagai pemimpin apabila timbul kumpulan yang
mendakwa, membangkang dan mengkritik bahawa ada penyelewengan dan mereka benar
dalam dakwaan itu. Maka menjadi kewajipan pemerintah menghapuskan dahulu
penyelewengan yang dilakukan. Selepas itu barulah pemerintah menyeru mereka supaya
kembali taat dan mereka wajib kembali taat. Jika mereka enggan, maka pemerintah
berhak memerangi mereka.

Saidina Umar al Khattab contohnya, tidak pernah menganggap kritikan dan bangkangan
sebagai penentangan dan provokasi. Sebaliknya beliau memandangnya sebagai bukti
bahawa umat Islam pada waktu itu kuat dengan keberanian rakyat. Saidina Umar
radhiallahu ‘anhu sendiri pernah mengungkapkan perkataan seperti ini;

“..Setiap manusia adalah paling memahami berbanding Umar sekalipun wanita di


dalam rumah, Wanita itu benar dan Umar yang keliru (salah)..”

Oleh itu, tindakan aktivis yang mewakili gerakan pembangkang sebenarnya tidaklah
menjadikan diri mereka sebagai bughah yang harus dihapuskan oleh pemerintah. Ini
berdasarkan sebab-sebab berikut:

1. Mereka tidak bersenjata dan tidak menggunakan kekerasan, sebaliknya hanya bersuara
dan menyatakan kebenaran kepada rakyat umum.
2. Mereka hanya memberitahu rakyat akan kekeliruan dan penyelewengan pemerintah
yang perlu disedari dan diperbetulkan.

Apa yang menjadi kewajipan dan tanggungjawab pembangkang adalah menjaga


keharmonian dan tidak bersikap ghuluw (melampaui batas). Bagaimanapun, telah banyak
gerakan-gerakan sosial berorientasikan Islam menceburkan diri di dalam lapangan politik
dan kehadiran mereka diterima baik oleh masyarakat sebagai penyelamat. Namun,
penglibatan gerakan Islam ini di medan demokrasi ini sukar mendapatkan tempat sebagai
pelindung kepada moral penguasa yang ada terhadap agamanya.

Jika kita mengimbau tahun 1981, Prof. Necmettin Erbakan pernah menubuhkan parti
Islam yang dikenali sebagai Hizbu Refah (Welfare Party). Prof. Necmettin Erbakan
sering mendapat kecaman dan tentangan daripada fahaman sekular seperti parti Ciller &
Yilmaz. Di antara misi Refah yang ditakuti Barat ialah

1) Membantu Muslim Chechnya.


2) Membentuk pemerintahan Muslim yang telus.
3) Dan membatalkan kerjasama Turki dengan Israel.

Setelah 20 bulan memerintah Turki, Prof. Necmettin Erbakan digulingkan & Refah
dibubarkan. Manakala jika ditinjau pada tahun 1992, Gerakan Islam FIS di Algeria juga
pernah menang pilihan raya dan sah menubuhkan kerajaan tetapi kemenangan mereka itu
dinafikan. Kesalahan mereka di kaca mata musuh-musuh Islam ialah kerana mereka
menang pilihan raya atas nama perjuangan Islam, yang demikian mereka mendakwa
bahawa gerakan Islam adalah anti demokasi.

Harakah al Muqawwamah al Islamiyyah (HAMAS) juga, sekalipun mereka mendapat


kepercayaan rakyat sebagai gerakan Islam tulen untuk memerintah Palestine namun
mereka banyak dikecam oleh Amerika dan sekutu-sekutunya. Bahkan ekonomi dan
kestabilan politik mereka juga diganggu supaya kerja pentadbiran mereka tidak dapat
dijalankan dengan kemas. Apa yang memalukan, negara Malaysia sendiri pernah
menolak kedatangan menteri luar Palestine daripada parti HAMAS, Mahmoud Zahhar
sekalipun kewujudan HAMAS diiktiraf rakyat Palestine sebagai penguasa.
Banyak gerakan Islam yang sanggup bergerak di bawah bidang kuasa demokrasi yang
ada, sebagai membuktikan sikap dan tanggungjawab mereka selaku pengikut Rasulullah
salallahualaihi wasalam serta menghormati prinsip-prinsip mentaati pemimpin itu sendiri.
Walaubagaimanapun, contoh di atas adalah prinsip demokrasi pula dicabuli oleh
golongan elit yang berkuasa. Ini menunjukkankan bahawa ada perancangan supaya
gerakan Islam hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi dan mengambil sikap
konfrontasi dan keras terhadap pemerintah.

Hizbu Nabhani, Berjihadlah Di Palestin

Rasulullah salallahualaihi wasalam bersabda;

“..Agama itu nasihat.. Kami bertanya untuk siapa?. Rasulullah menjawab; ..Bagi Allah
dan kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin umat Islam dan orang ramai..” [Sahih
Muslim,No:82]

Perselisihan antara jamaah Islam dengan jamaah Islam yang lain adalah sama halnya
dengan perselisihan yang berlaku di antara para ulama’ mazhab. Penulis bersikap positif
bahawa mereka yang berperanan mengetengahkan idea Hizbu Nabhani ataupun Hizbu
Tahrir ini bermula daripada niat yang baik untuk membentuk khilafah Islam.
Bagaimanapun penulis merasakan kebangkitan ini bukanlah kebangkitan yang
diharapkan selagi mana proses demokrasi masih boleh dilakukan secara aman. Adalah
lebih baik tanggungjawab dakwah diutamakan dan aktiviti kebajikan dilakukan, daripada
sibuk menarik elemen-elemen kekuatan gerakan Islam dengan dakwa-dakwi mereka yang
kononnya bekemampuan luarbiasa untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah. Hal ini
sebagaimana kenyataan yang pernah disebutkan oleh pendokong-pendokong gerakan
Hizbu Tahrir;

“..Tiada syariat kecuali dengan adanya khilafah dan tiada Islam tanpa khilafah..”

Sedangkan idea mereka untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah sangat kabur umpama
merentasi perlembahan tanpa panduan dan jambatan. Sebenarnya Gerakan Islam yang
terlibat dengan sistem demokrasi ialah untuk memanfaatkan beberapa peraturan yang ada
di dalamnya sebagai salah satu platform mencapai tujuan mendaulatkan nas-nas Islam
pada perundangan dan pentadbiran. Amalan demokrasi yang dimanfaatkan itu antaranya
ialah amalan pilihanraya dan kebebasan untuk menyatakan pandangan kepada rakyat.

Ia juga merupakan pendekatan terbaik yang telah dilakukan oleh gerakan-gerakan Islam
di seluruh dunia. Memandangkan tiadanya nas-nas qat’ie yang menegahnya, maka ia
adalah ijtihad al jama’ie yang mengambil kira suasana politik setempat. Firman Allah
Taala;

”..Barangsiapa menyerang kamu maka hendaklah kamu menyerang mereka sepertimana


mereka menyerang kamu..” - al Baqarah:194, al Quranul Karim
Daripada ayat ini, jika pihak musuh politik yang berlawanan dengan kehendak Islam
menggunakan sistem demokrasi. Maka begitu halnya gerakan Islam menentang mereka
dengan menggunakan sistem ini juga. Menegakkan khilafah hukumnya wajib dan
barangsiapa tidak menegakkannya, padahal ia mampu maka ia telah berbuat maksiat
kepada Allah. Sementara jika kita meninjau realiti kaum muslimin dalam kondisi
sekarang ini, jelas mereka tidak mampu untuk mewujudkan khilafah walaupun seorang
khalifah.

Menggulingkan pemerintahan yang ada dengan melakukan aktiviti yang menggelisahkan


dan memburukkan gerakan Islam, adalah perbuatan yang sangat tidak cermat. Imam
Nawawi rahimahullah dalam mensyarahkan hadith Muslim, ada menyatakan bahawa
keluar daripada mentaati pemerintah & memeranginya (dengan senjata) adalah haram
secara Ijma’ sekalipun mereka itu fasiq dan zalim. Ini kerana dikhuatiri akibat daripada
penentangan terhadap mereka akan membawa kepada fitnah dan pertumpahan darah yang
lebih besar. Hal ini sebagaimana yang disebut di dalamnya;

“..Tidak boleh mencabut ketaatan kepada penguasa yang memerintah di wilayah


kekuasaan mereka dan tidak boleh menentang mereka kecuali jika dilihat mereka
melakukan keingkaran yang nyata yang diketahui ia (menyeleweng) daripada kaedah-
kaedah Islam. Maka jika kamu menyaksikan (perbuatan tersebut) wajib mengingkari
mereka dan berkata yang benar tidak kira bagaimana keadaan kamu sekalipun. Adapun
keluar dari pimpinan mereka dan memerangi mereka adalah haram mengikut ijma’
Muslimin sekalipun pada diri mereka terdapat tanda kefasiqan orang-orang zalim..”
[Syarah Sahih Muslim oleh an Nawawi, jld 11. No Hadith:3427]

Konflik di antara kebangkitan Islam sebahagian rakyat dengan kerajaan dengan cara
mewujudkan semangat-semangat ingin memberontak tidak menguntungkan umat Islam
sendiri. Secara pragmatik, gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin terus kecundang dan
tidak berjaya seperti berlaku di Syria. Gerakan Islam perlu menggunakan cara aman dan
menolak sebarang aktiviti yang berunsur revolusi berdarah. Sikap keras Parti Refah di
Turki juga telah menyebabkan kuasa yang diperolehinya dirampas kembali oleh tentera.

As Syahid Imam Hassan al Banna menegaskan dalam usul ke-20 bahawa:”..Kita tidak
mengkafirkan seorang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah melainkan jika dia
menuturkan perkataan atau melakukan perbuatan yang tidak boleh ditakwilkan melainkan
kufur..”. Asas kefahaman ini menjadi teras perjuangan Ikhwanul Muslimin bahawa
perjuangan mereka adalah sebagai pendakwah bukannya penghukum. Sebab itu, apabila
wujudnya idea mengkafirkan Gamal Abdul Nasser, Presiden Mesir kedua selepas
Muhammad Naquib kerana kekejamannya menyeksa pejuang Islam di Mesir. Maka
Hassan al Hudhaibi, pemimpin ikhwan selepas Hassan al Banna telah menulis buku
‘Nahnu Du’ah la Qhudah’ (Kami Pendakwah Bukan Penghukum). Begitu juga apabila
Presiden Anwar Sadat dibunuh kerana menerima perjanjian Camp David , Omar al
Tilmisani yang merupakan pimpinan Ikhwanul Muslimin selepas Hassan al Hudhaibi
juga menegaskan bahawa bukanlah cara pendokong gerakan Ikhwanul Muslimin
menyelesaikan masalah dengan kekerasan. Penjelasan supaya kumpulan Ikhwahul
Muslimin bersikap positif diucapkan oleh Omar al Telmesani walaupun beliau tidak
menafikan bahawa Pembunuhan Anwar Sadat adalah petanda khianat kemenangan
tentera Mesir menentang Yahudi semasa 6 Oktober.

Tumpuan Gerakan Islam Bukan Hanya Pada Siasah

Dalam pada pentingnya sistem siasah dimurnikan dengan kekuatan agama dan aqidah,
bukan bermakna urusan-urusan adab dan akhlak diabaikan. Berpolitik tidaklah menjadi
satu kesalahan dalam mempromosi dan melaksanakan gagasan syariat di dalam
masyarakat. Tetapi sebagai satu umat yang terlibat dan komited dengan adab, nilai dan
etika keagamaan, maka kita harus membataskan diri supaya tidak cenderung kepada idea-
idea takfir (mengkafirkan) dan fahaman betulisme. Mentaliti gerakan Islam haruslah
bergantung kepada fikrah yang jelas dan bukannya emosi, sebagai asas perjuangan.
Gerakan Islam mewakili dakwah hujjah dan rasional adalah satu keistimewaan dakwah
berbanding dengan fahaman gerakan lain selain Islam. Antara syarat-syarat ideologikal
ini ialah Islam itu hendaklah difahami dan diseru berdasarkan hujjah-hujjah dan
tasawwur yang mendalam. Dalam ertikata yang lain gerakan Islam hendaklah berusaha
dan sentiasa mengambil faedah dan pengalaman ilmiyyah yang dihasilkan daripada
pemikiran tokoh-tokoh Islam selama mana fikrah mereka boleh dimanfaatkan untuk
kebaikan umat manusia.

Apatah lagi kepada belia-belia Islam yang masih menuntut ilmu supaya dapat menimba
curahan maklumat dengan sebaik-baiknya demi kesinambungan dakwah Islam seantero
dunia. Firman Allah Taala;

“..Dan persiapkanlah bagi mereka itu kekuatan dan askar berkuda sedaya mungkin
yang boleh menggerunkan musuh-musuh Allah dan musuh kamu.. “ - Surah al Anfal: 60,
al Quranul Karim.

Mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu dan akhlak Islam sangat dituntut kepada
penggerak-penggerak agama. Bukan menjadi orang yang hanya sekadar membaca buku-
buku setebal tafsiran Sahih Bukhari dan sebagainya, lantas mendabik dada mengatakan
setiap ucapannya yang memiliki dalil adalah ijtihad dan paling rajih. Jika perkara ini
berlaku, ia menggambarkan satu manifestasi kejahilan yang sangat membimbangkan.
Natijahnya berlakulah peristiwa yang kerap disebut oleh doktor kami di kuliyyah
Dakwah, al Azhar;
“..Seringkali terjadi orang membawa kefahaman (terhadap sesuatu ilmu) kepada orang
yang lebih memahaminya daripadanya..”
Dalam pada menggerakkan kekuatan dakwah, ilmu dan amal kepada manusia ia perlu
dijalankan secara berperingkat dan tidak terburu-buru untuk mencapai matlamatnya.
Telah berkata Khalifah Umar Ab Aziz radhiallahu anhu kepada anaknya supaya
melakukan perubahan drastik ketika beliau memegang tampuk pemerintahan;

“..Jangan tergesa-gesa wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak di dalam al


Quran dua kali, dan mengharamkannya pada kali yang ketiga, dan aku bimbang kiranya
aku membawa kebenaran ini kepada manusia secara sekaligus (drastik), maka mereka
meninggalkannya juga sekaligus, maka berlakulah fitnah..”
Gerakan Islam sepatutnya tidak menjadikan penguasaan dan kemenangan dalam politik
demokrasi sebagai keutamaan. Kemenangan yang besar adalah apabila masyarakat
semakin sedar untuk mencintai Muhammad salallahualaihi wasalam dan ajarannya.
Seharusnya gerakan Islam mengambil contoh daripada pemerintahan khalifah Umar
Abdul Aziz yang hanya memerintah selama 2 tahun 5 bulan berbanding khalifah-khalifah
sebelum beliau memerintah lebih lama berbandingnya. Walaupun pemerintahannya
singkat tetapi beliau banyak melakukan perubahan yang baik terhadap Islam.

Isunya bukan selama mana seseorang itu memerintah tetapi apakah sumbangan yang
dilakukan oleh seseorang itu sepanjang pemerintahannya. Dalam melontarkan pandangan
seperti ini, penulis barangkali benar dan boleh jadi salah. Apapun kesalahan penulis,
hanya pembaca sahaja yang berhak membetulkannya dan moga-moga Allah Taala
berkenan menjelaskan kebenaran daripada mana-mana pihak berdasarkan dalil-dalil
syariat, membuang syubahat dan menegakkan hujjah. Dalam surat yang ditujukan kepada
Abu Musa al Asyaari, khalifah Umar pernah berkata:

“..Janganlah keputusan yang telah kamu putuskan hari ini menghalangimu untuk
menyelidiki kembali kebenaran yang ada di dalamnya, lalu kamu memeriksa
pendapatmu dalam masalah itu sehingga kamu mendapatkan petunjuk padanya kerana
keinsafanmu. Ini kerana kebenaran itu sudah lebih dahulu wujud, tidak dapat dibatalkan
oleh sesuatu apapun dan kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada terus-
menerus berada dalam kebatilan..”

Wallahua’alam

You might also like