You are on page 1of 1

Guru pukul pelajar dengan kasut diberi kaunseling

KUALA NERANG 4 Mac Guru Bahasa Inggeris perempuan yang didakwa mencederakan kepala tiga muridnya dengan kasut tumit tinggi di Sekolah Kebangsaan Padang Sanai di sini akan diberi kaunseling berikutan tindakannya itu. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, sesi kaunseling itu bertujuan mengenal pasti punca sebenar guru tersebut bertindak sedemikian sedangkan dia mempunyai rekod yang amat baik dalam memajukan pelajaran muridnya sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan. Menurut Noh, kecemerlangan guru itu dapat dilihat apabila dia berjaya meningkatkan prestasi pelajar dalam subjek Bahasa Inggeris di sekolah itu daripada kelulusan sebanyak 65 peratus pada tahun 2000 kepada 91.4 peratus tahun lalu. ''Dia juga pernah menerima sijil penghargaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 1998 selain menjadi penulis modul literasi maklumat untuk pelajar tahun empat, lima dan enam dari 2004 hingga 2006. ''Oleh itu, guru ini terpaksa diberi kaunseling untuk melihat kenapa dia bertindak sedemikian. Saya masih menunggu laporan kaunselor berhubung hasil kaunseling itu,'' katanya. Noh berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat hampir tiga jam dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Pejabat Pelajaran Kedah dan pihak-pihak yang terlibat dengan kes itu di sini petang ini. Pada 25 Februari lalu, tiga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Padang Sanai cedera di kepala selepas dipukul oleh guru Bahasa Inggeris sekolah itu menggunakan kasut tumit tingginya ekoran tidak membawa buku latihan subjek berkenaan. Akibat kejadian tersebut, mangsa, Mohd. Fakrul Razi Mohd. Yusuf dan Mohd. Tarmizi Md. Rik dari Kampung Baru Padang Sanai menerima dua jahitan setiap seorang manakala seorang lagi rakan mereka, Basri Omar dari Kampung Bangor Sembilan menerima satu jahitan. Selain mangsa, guru terbabit juga dipercayai memukul lima lagi murid dari kelas yang sama termasuk dua pelajar perempuan. Mengulas tindakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap yang menukar guru berkenaan ke sekolah lain, Noh berkata, langkah itu bertentangan dengan peraturan pekeliling perkhidmatan Kementerian Pelajaran. Katanya, tindakan yang diambil oleh PPD tersebut walaupun sah tetapi ia tidak mengikut peraturan pekeliling tersebut dan perlu diperbetulkan. Guru berkenaan, kata beliau, sepatutnya ditahan kerja selama dua bulan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Kelakuan Tatatertib 1993 sementara menunggu keputusan siasatan yang dilakukan ke atasnya berhubung kes berkenaan. ''Jadi kita akan perbetulkan balik perkara ini. Terlebih dahulu kita akan mendapatkan laporan polis sama ada kes ini masih lagi dalam siasatan atau sebaliknya. Jika masih dalam siasatan maka guru ini patut ditahan kerja selama dua bulan dengan dibayar gaji penuh,'' katanya.

You might also like