You are on page 1of 22

Teori Ekologi Bronfenbrenner.

(1979,1989)
Teori Ekologi Bronfenbrenner. (1979,1989) Beliau menjelaskan perkembangan kanak-kanak sebagai hasil interaksi antara alam persekitaran dengan kanak-kanak tersebut. Menurut kajian, perkembangan kanakkanak adalah kesan persekitaran terhadap kanak-kanak dan juga ciri-ciri kanakkanak tersebut ke atas persekitaran. Menurut beliau, persekitaran perkembangan individu terdiri daripada lima sistem iaitu: Mikrosistem : persekitaran yang terdekat di mana kanak-kanak mempunyai interaksi secara langsung dan menghabiskan paling banyak masa. Contoh: ibu bapa, adik beradik, rakan, jiran dan guru. Mesosistem : perhubungan antara mikrosistem. Apa yang berlaku dalam satu mikrosistem boleh mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yag lain. Misalnya keadaan di rumah boleh mempengaruhi tingkah laku individu di sekolah. Contoh: rumah-sekolah, rumah-jiran, sekolah-jiran. Eksosistem : pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan murid secara langsung tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak atau dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak tersebut. Contoh: sekolah-pasar raya. Kaedah pengurusan, kemudahan dan peraturanperaturan yang dikuatkuasakan oleh tempat membeli belah secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut. Makrosistem : perkembangan individu dipengaruhi oleh norma-norma, nilai dan amalan masyarakat. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan (Santrock 2008). Di sesetengah negara, kaum lelaki diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting. Kronosistem : perubahan keadaan dalam suatu tempoh masa. Misalnya kanakkanak hari ini lebih berfokus kepada permainan-permainan komputer jika dibanding dengan kanak-kanak dua atau tiga puluh tahun dahulu yang lebih gemar bermain di persekitaran rumah.

Masaalah Disiplin Dikalangan Pelajar Sekolah Tarikh: Thursday, July 07 @ 16:21:33 MYT Tajuk: Artikel 1.0 PENGENALAN Dunia sedang menghadapi alaf baru. Sehingga kini dunia telah menyaksikan banyak perubahan. Perubahan-perubahan itu telah memberikan kesan terhadap pertumbuhan ekonomi, sains dan teknologi, cara hidup, sosio ekonomi, sistem kepercayaan, nilai dan moral masyarakat yang terlibat dengan perubahan ini. Corak kehidupan hasil daripada proses modenisasi telah memberi peluang kepada nilainilai individualistik, materialistik dan semangat bersaing untuk bertapak di dalam masyarakat zaman ini.

Malaysia merupakan sebuah negara yang konservatif dengan kebudayaan timurnya. Walau bagaimanapun, penularan budaya hedonisme yang dibawa dari barat sedikit sebanyak telah mencemarkan budaya sedia ada dan melonggarkan sistem kawalan sosial yang terdapat di negara ini. Menurut Moha Asri (1997), keruntuhan nilai sosial di kalangan masyarakat di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru. Ia dikatakan mula menular dalam kehidupan masyarakat Malaysia pada awal tahun 1960an. Namun tahap peningkatan gejala keruntuhan nilai sosial ini semakin berleluasa pada akhir tahun 1980an, 1990an sehinggalah ke hari ini. Keadaan ini amat membimbangkan kerana kebanyakan mereka yang terlibat dengan gejala ini adalah golongan remaja yang merupakan aset penting bagi masa depan negara. Nilai-nilai kemanusiaan dan prinsip moral semakin nipis dan menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat akibat perubahan dan pembangunan pesat ini. Fenomena sosial yang berlaku di kalangan remaja merupakan suatu perkara yang membimbangkan semua pihak ketika ini. Para remaja merupakan golongan yang melalui peringkat kritikal perubahan diri dari segi mental dan fizikal. Perubahan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa merupakan masa yang mengelirukan remaja. Pelbagai fenomena yang ganjil menghujani mental dan fizikal mereka dan para remaja menghadapi tekanan ini dengan bersifat memberontak. Sifat memberontak merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada pelbagai-bagai masalah disiplin para pelajar di sekolah. Rancangan Malaysia ke tujuh (1996 - 2000) mencatatkan bilangan remaja pada tahun 1995 ialah kira-kira 19.2 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia. Menjelang tahun 2020 dianggarkan bilangan ini akan bertambah kepada 20 juta orang. Kedudukan ini menjadikan golongan ini sebagai satu kumpulan penting di dalam menerajui masa depan negara. Mereka merupakan penyumbang

dan penentu pembangunan negara. Golongan remaja mempunyai tanggungjawab dan peranan yang amat penting di dalam penerusan dan pengekalan institusi-institusi dan sistem-sistem kemasyarakatan negara. Pendek kata, untuk merealisasikan wawasan 2020, remaja merupakan generasi penyambung dan penentu pembangunan negara. Namun begitu, para remaja tidak dapat lari dari masalah dan kerenah tingkah laku negatif. Salah satu dari proses yang banyak mempengaruhi tingkah laku dan cara hidup para remaja hari ini adalah proses urbanisasi. Pada lazimnya, masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah hanya berkisar di sekitar kenakalan mereka merosakkan harta benda awam, ponteng sekolah, ponteng kelas, merokok, melepak dan sebagainya. Mereka semakin berani melakukan pelbagai perbuatan yang bercanggah dengan norma masyarakat dan undang-undang negara. Namun begitu apabila pelajar sekolah mulai bertindak lebih jauh daripada itu, sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara yang tidak diingini seperti melibatkan diri dalam pergaduhan antara pelajar yang menyebabkan pembunuhan, mengandung anak luar nikah atau kes rogol pelajar. Dalam kes seperti ini siapa yang patut dipersalahkan? 2.0 ISU MASALAH DISIPLIN PELAJAR DI SEKOLAH Isu disiplin pelajar yang sering dipaparkan di dalam keratan akhbar menegaskan tentang masalah sosial di kalangan remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu bapa dan remaja. Pertentangan pendapat antara remaja dan ibu bapa timbul apabila kedua pihak ini cuba untuk mempertahankan kebenaran masing-masing. Dasar pendidikan telah digubal dan disesuaikan dari masa kesemasa untuk meningkatkan mutu sistem pendidikan bagi memenuhi keperluan semasa dan masa akan datang. Sehubungan itu, konsep dan proses pendidikan mestilah merangkumi aspek intelek, jasmani serta pembinaan akhlak yang mulia, berani dan hormat menghormati, sebagaimana yang disarankan oleh Imam Ghazali, Atan Long (1984) yang menegaskan bahawa pendidikan perlu difokuskan terhadap memperkembangkan potensi kanak-kanak hingga ke peringkat yang optimum bagi menjadikan mereka rakyat yang berguna kepada masyarakat dan negara. Tanpa menuding jari ke arah mana-mana pihak, semua patut insaf bahawa kemerosotan akhlak atau pertambahan salah laku disiplin di kalangan pelajar menandakan ada kesilapan pada bahagian-bahagian tertentu dalam pendidikan samada formal dan tidak formal. Masyarakat perlu insaf bahawa pendidikan bukanlah tugas pihak tertentu tetapi adalah amanah dan tanggungjawab semua meliputi individu, ibu bapa dan keluarga, kepemimpinan masyarakat dan negara.

Remaja yang bermasalah menuding jari kepada ibu bapa, kononnya ibu bapa tidak memberi perhatian wajar kepada mereka kerana sibuk menumpukan urusan kerja. Mereka kekurangan masa bersama, kasih sayang yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang ringgit. Tanggungjawab diserahkan kepada pembantu rumah telah dibayar gaji dan guru di sekolah juga umpama tempat jagaan bayi dewasa. Dari perspektif ibu bapa pula, mereka seolah-olah keliru dengan kenyataan anakanak mereka. Lebih buruk lagi apabila mereka menuding jari kepada pihak lain seperti sekolah yang kononnya gagal melahirkan pelajar yang berdisiplin. Mencari siapa punca masalah bukanlah jalan yang bijak dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Namun yang pasti konflik akan wujud di antara ibu bapa dan remaja. Laporan yang didedahkan oleh akhbar tempatan sepanjang tahun 1997-2003, menunjukkan bahawa generasi penerus negara ini mengalami masalah keruntuhan akhlak pada peringkat yang membimbangkan. Walaupun ianya bukan isu baru, tetapi dahulunya ia hanya membabitkan pelajar-pelajar sekolah yang melanggar peraturan sekolah, tidak berdisiplin serta ponteng. Kini, remaja dan pelajar sudah berani menganggotai kongsi gelap, melakukan peras ugut, menyamun, merogol dan membunuh. Laporan Jabatan Kebajikan Mayarakat (1998) menunjukkan 67% masalah gejala sosial membabitkan remaja Islam, dibandingkan dengan hanya 16% remaja Cina. Ianya juga menunjukkan peratus jenayah remaja Islam lebih tinggi daripada jumlah keseluruhan penduduk Islam negara iaitu 45 %. Menurut Polis Di Raja Malaysia, Bukit Aman menyatakan bahawa golongan remaja yang terlibat dengan jenayah remaja adalah dalam usia 10 hingga 18 tahun, di mana ianya membabitkan kes bunuh, serangan dengan niat membunuh, pecah rumah, curi kereta, menculik dan pukul. Perkara ini adalah sesuatu yang mendukacitakan kerana ia meledak pada saat negara menunjukkan prestasi yang menggalakkan dari segi ekonomi dan peningkatan teknologi. Pada saat negara ghairah menuju era lebih mantap dan maju, remaja yang diharapkan menjadi pelapis untuk membangunkan negara, rapuh rohani dan lemah mental sehingga terdorong melakukan pelbagai jenayah. Tinjauan literature menunjukkan kepentingan penglibatan ibu bapa dalam memantau tingkahlaku anak-anak (contoh: Flannery, Vazsonyi & Rowe, 1996; Cheung, 1997; Vazsonyi & Flannery, 1997; Bernburg & Thorlindsson, 1999) dan perhubungan ibu bapa dan anak (contoh: Wagner & Cohen, 1996; Sokol Katz & Dunham, 1997; Vazsonyi & Flannery, 1997). Kajian-kajian ini mendapati bahawa tahap pemantauan dan perhubungan ibu bapa dan anak mempunyai hubungan yang signifikan dengan tingkahlaku devian remaja. Bernburg dan Thorlindsson (1999) telah mendapati bahawa sekiranya sistem

kawalan sosial iaitu pemantauan ibu bapa lemah, remaja cenderung melakukan keganasan tingkahlaku dan kesalahan-kesalahan ringan seperti menipu dan ponteng sekolah. Ibu bapa yang kerap memantau dan menjalinkan hubungan yang baik dengan anak secara tidak langsung akan memupuk disiplin di kalangan remaja tersebut. Kajian ini menyokong pendapat Wan Halim (1990) di mana keluarga yang mengabaikan keperluan peribadi ahlinya dengan cara menafi, melarang dan menggunakan deraan akan menghasilkan generasi atau individu yang pasif dalam komuniti, konsep kendiri yang rendah serta suka memberontak dan menentang kawalan ibu bapa apabila tiba di peringkat remaja. Menurut Wan Halim (1990), ibu bapa sewajarnya menjadi rujukan bagi anak-anak dengan melibatkan diri dalam aktiviti bersama mereka bagi menyokong perkembangan emosi, mental dan tingkahlaku anak. Pemantauan dan perhubungan ibu bapa dan anak dianggap sebagai salah satu bahagian yang penting dalam variabel keluarga. Remaja yang mempunyai ikatan perhubungan keluarga yang kuat dan menerima tahap pemantauan yang tinggi daripada ibu bapa mempunyai tahap penglibatan masalah disiplin yang rendah berbanding dengan rakan-rakan mereka yang lain. Perhubungan yang positif antara ibu bapa dan anak akan membentuk perasaan saling memerlukan antara satu sama lain dimana ia boleh meminimakan jurang hubungan kekeluargaan dan meningkatkan keupayaan menghargai antara satu sama lain (Smith & Krohn, 1995). Terdapat banyak faktor yang telah diketengahkan sebagai penyumbang kepada berlakunya masalah sosial. Kajian-kajian lalu (Rohani, 1997; Rozumah et. al., 1998; Rozumah, 1996; Siti Nor et. al., 1994) mendapati bahawa masalah sosial, terutamanya di kalangan golongan muda adalah disebabkan oleh faktor-faktor seperti suasana persekitaran rumah yang tidak berkualiti, interaksi yang renggang antara ibubapa-anak, kurang kasih sayang dan perhatian daripada ibubapa yang sibuk bekerja, suasana rumah yang kurang aman, sunyi dan membosankan, konflik dan perceraian antara ibubapa. Jelaslah bahawa kerapuhan dan keruntuhan institusi keluarga merupakan faktor penyumbang utama kepada kegawatan sosial yang semakin meningkat. Cabaran yang dihadapi oleh ibubapa kontemporari ialah bagaimana cara yang terbaik untuk mengekalkan hubungan yang sihat dan menjamin anak-anak menjadi seorang yang berdaya saing dan mampu menangani segala cabaran. Ini kerana proses interaksi dan transaksi dalam keluarga terbukti mempunyai perkaitan yang kuat dengan tahap keutuhan dan kesejahteraan sebuah keluarga (Bronfenbernner,1979; Belsky, 1984). 3.0 KONSEP DAN DEFINISI DISIPLIN

Disiplin merupakan peraturan atau undang-undang yang bertujuan untuk membentuk para pelajar selari dengan kehendak agama, norma-norma masyarakat dan undang-undang sesebuah negara. Namun begitu sesuatu yang mulia tidak mudah diterima oleh golongan pelajar, apatah lagi banyak unsur lain mempengaruhi perkembangan mental mereka. Gejala seperti ponteng sekolah, ponteng kelas, melawan guru, bersikap anti sosial, bergaduh, membuli, merokok dan sebagainya adalah masalah yang sering diperkatakan. Menurut kamus Oxford Advanced Leaner's, disiplin didefinisikan sebagai ". Is the practice of training people to obey rules and orders and punishing them if they do not." Mengikut kamus Bahasa Melayu terbitan Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd (1995) mendefinisikan disiplin sebagai " kepatuhan, kesetiaan dan ketaatan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan". Manakala mengikut Kamus Dewan Edisi Baru terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur (1989) mendefinisikan disiplin sebagai "Latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri mengikut peraturan yang ditetapkan dan sekiranya ini berlaku sebaliknya hukuman atau denda akan dikenakan". Mengikut Barbara An Kipter, Ph.D dalam Roger's 21st Century Thesaurus, beliau mengatakan disiplin itu adalah "latihan dan dendaan". 4.0 KONSEP TEORI BERKAITAN Teori Konflik Teori konflik bermula daripada pandangan asal Karl Marx dan diikuti oleh Weber. Oleh itu teori ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu aliran Marx dan aliran Weber. Mengikut Marx, konflik bukan semata-mata sebagai satu cara analisa sosiologi tetapi merupakan satu cara reformasi sosial. Bagaimana ketegangan yang berpunca daripada ketidaksamaan memberi kesan kepada kestabilan dan perubahan. Teori ini akan mengkaji bagaimana hubungkait antara konflik dan perubahan. Ketegangan dan konflik akan menyumbang kepada perubahan sosial. Perubahan boleh berbentuk revolusi atau adaptasi. Sementara itu mengikut George Simmel, konflik ialah sesuatu yang semulajadi dalam sesuatu masyarakat. Lewis Coser pula mengatakan bahawa sesuatu konflik itu boleh mempercepatkan proses kesetiaan dan keharmonian di dalam sesuatu kelompok sosial. Brinkerhaff dan White (1989) merumuskan 3 andaian penting dalam teori konflik iaitu:a. 'Konsep dialektik' iaitu evolusi bukan proses utama kepada perubahan sosial tetapi konflik yang menghasilkan perubahan sosial. b. 'Determinisme ekonomi' iaitu asas kepada perubahan sosial ditentukan oleh faktor-faktor persaingan ekonomi. c. 'Aktiviti sosial' iaitu tugas utama analisis sosial adalah kritikan sosial. Max Weber pula merupakan seorang rakyat Jerman. Beliau adalah sosiologis,

ekonomi, sejarawan, ahli undangan dan ahli falsafah. Dipengaruhi oleh Karl Marx tetapi menolak konsep Marx. Contohnya menolak konsep materialisme sejarah Marx. menganggap agama penting sebagai agen perubahan. Beliau tidak setuju dengan revolusi dan mengkritik sosiolisme. Proses rasionalisasi dunia moden barat berkembang berasaskan rasionalisasi. Dunia lain terbantut perkembangannya kerana halangan kuasa. Beliau mempersoalkan andaian Marx yang mengatakan ciri-ciri semua institusi sosial adalah berpunca oleh faktor ekonomi. Beliau mengatakan bahawa prubahan sosial bukanlah kerana konflik kelas tetapi pelbagai faktor lain. Menurut pandangan teori ini masyarakat berada dalam keadaan berubah-ubah, berkonflik dan sentiasa ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing. Kumpulan yang kuat atau lebih berkuasa boleh memaksa kumpulan yang lemah untuk menerima nilai-nilainya. Mengikut teori ini terdapat tiga perkara penting yang berlaku dalam masyarakat iaitu konflik, perubahan dan paksaan. Teori Ekologi Manusia Teori Ekologi Manusia (Bronfenbrenner, 1979) menjelaskan bahawa manusia tidak hidup dalam keadaan vakum yang terpisah dari sistem dan persekitaran luar. Konteks sistem luar keluarga seperti sistem kejiranan, persekitaran tempat kerja, peraturan dan undang-undang, adat resam dan tatasusila sesuatu budaya mengikut konteks tempatan mempunyai pengaruh tersendiri dan mampu pula dipengaruhi oleh keluarga. Teori berhubung keluarga dan perkembangan anak serta dapatan pelbagai kajian terdahulu menyokong kenyataan bahawa variabel proses keluarga terutamanya keibubapaan memainkan peranan paling penting dalam menentukan kesejahteraan anak (Acock dan Demo, 1994; Amato dan Keith, 1991). Keutuhan dan keruntuhan institusi keluarga mempunyai pengaruh dan implikasi yang unik ke atas kehidupan ahli keluarga dan juga masyarakat. Keluarga yang utuh, dan mampu berfungsi dengan berkesan dapat membentuk sifat, tingkahlaku dan nilai yang terpuji di kalangan ahlinya. Kefungsian dan kesejahteraan keluarga boleh dicorakkan oleh pelbagai proses yang berlaku di kalangan ahli keluarga. Sebagai contohnya, interaksi dan transaksi suami-isteri dan ibubapa-anak merupakan satu proses yang penting dalam menentukan keutuhan dan keteguhan insitusi keluarga (Rozumah et.al., 1999). Interaksi antara pasangan hidup mempunyai implikasi kepada kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga. Ia seterusnya boleh memandu ke arah kesejahteraan sesebuah institusi keluarga (Rozumah et. al.,1999). Dengan erti kata lain, komunikasi perkahwinan yang baik dan konflik perkahwinan yang rendah akan meningkatkan kualiti perkahwinan mereka. Ini secara tidak langsung akan memantap dan merapatkan lagi hubungan antara pasangan suamiisteri. Hubungan pasangan yang baik sudah tentu akan menguatkan lagi asas

keluarga yang bakal diterajui. Rumusan dan pelbagai kajian mengenai impak struktur keluarga ke atas kesejahteraan anak menggambarkan bahawa konflik perkahwinan yang rendah dan sokongan dan pengawasan berterusan dan konsisten oleh ibubapa dapat membantu kanak-kanak dan remaja mencapai kesejahteraan dari aspek fizikal, psikologikal dan sosial (Grzywacz, 1999). Ahli keluarga terutamanya ibubapa dan rakan sebaya memainkan peranan sebagai insan paling signifikan yang boleh didampingi dalam hidup seseorang anak (Ainsworth, 1989); sebagai pembekal sokongan sosial (Guacci-Franco dan Levitt, 1993) dan mangkin kesejahteraan keseluruhan anak (van Aken dan Asendorf, 1997). Walau pun keeratan hubungan dengan ibu tidak boleh dinafikan kefungsian dan sumbangannya terhadap kesejahteraan anak, hubungan positif dengan rakan sebaya dapat membantu kanak-kanak dan remaja memperolehi pengalaman unik dan membentuk kemahiran berinteraksi, saling menghormati dan membina estim diri. Interaksi dan transaksi antara ibubapa dan anak merupakan media perhubungan yang penting untuk merapatkan jurang antara kedua-dua generasi. Komunikasi yang berkesan di kalangan mereka akan merapatkan hubungan ibubapa-anak dan seterusnya meningkatkan keutuhan keluarga. Walaubagaimanapun, kajian menunjukkan ibu dan anak mempunyai persepsi yang berlainan terhadap tahap komunikasi mereka (Hartos & Power, 1997). Pihak ibu didapati memberikan penilaian yang lebih tinggi terhadap kekerapan berkomunikasi berbanding dengan anak mereka. Ini menunjukkan ibu-anak hanya mempunyai sedikit persetujuan terhadap jumlah komunikasi yang berlaku antara satu sama lain. Interaksi ibu-anak boleh dicerminkan melalui tingkahlaku keibubapaan dalam keluarga. Keluarga yang mengamalkan tingkahlaku keibubapaan yang menekankan kawalan-antonomi , sokongan dan penglibatan dalam aktiviti anak dilaporkan mempunyai fungsi keluarga yang lebih memberangsangkan (Maznah, 1998). Keluarga sedemikian mampu menjalankan fungsinya sebagai sebuah institusi keluarga dengan lebih berkesan. Ini kerana dengan wujudnya corak interaksi yang positif, nilai keluarga yang kukuh, strategi tindakan yang berkesan, komitmen keluarga yang tinggi serta keupayaannya untuk bertindak sebagai sumber penggerak kepada kesemua ahli keluarga.

5.0 ANALISA ISU BERDASARKAN SATU TEORI SOSIOLOGI Konflik mungkin timbul seandainya seseorang itu mempunyai peranan dan ekspektasi yang berbeza-beza. Sebagai contoh dalam isu ini ibu bapa menganggap

bahawa diri mereka telah menjalankan tanggungjawab yang sebaik mungkin dalam memenuhi kehendak anak seperti memberi kesenangan. Ibu bapa mungkin ingin membaiki status kerana status menyebabkan seseorang itu bertaraf, diberi perhatian dan keutamaan dalam sesebuah masyarakat terutama bagi komuniti di bandar tetapi perspektif remaja berbeza. Menurut teori konflik, perselisihan berlaku kerana tidak wujud persefahaman antara kedua belah pihak. Memang tidak dinafikan masyarakat madani memperlihatkan satu budaya dimana kedua-dua pasangan suami isteri bekerja. Sekiranya ibu bapa bekerja, sudah semestinya masa mereka terpaksa diagihkan antara tugas di pejabat dengan urusan di rumah. Ini bermakna mereka hanya dapat melihat anak masingmasing ketika sebelum dan selepas kerja. Ditambah dengan kepenatan selepas bertugas, memaksa mereka untuk untuk merehatkan diri. Tanpa jadual harian yang menekankan program bersama anak-anak, kurangnya kegiatan komunikasi seperti tidak bertanya peribadi remaja, bagaimana tentang pelajaran, tidak mengetahui siapa rakan-rakan mereka serta membiarkan mereka terus dibuai budaya negatif. Sikap mementingkan materialistik atau kerjaya ibu bapa membuatkan remaja tidak berkesempatan untuk berbincang, mengadu hal dan sentiasa memendam rasa mengenai sesuatu perkara. Berbagai-bagai persoalan timbul dalam fikiran mereka seperti mengapa mereka dilahirkan tetapi dibiarkan? Untuk kepentingan siapakah mereka sibuk hingga tidak sempat melayan anak? Apabila mereka rasa tidak dikehendaki, tidak disayangi dan tidak diperlukan oleh ibu bapa maka mereka membawa perasaan dan harapan di luar keluarga. Hubungan interpersonal yang tidak intim menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan. Segala cetusan rasa diluahkan kepada rakan-rakan di luar. Apabila berjumpa dengan kawan-kawan yang mengambil berat, kawan yang boleh bekerjasama, ditambah pula dengan rakan yang menghargai dan memerlukannya maka remaja ini mengalihkan perhatian kepada kumpulan rakannya. Lamakelamaan perhubungan dengan ibu bapa akan terhakis sebaliknya menebalkan hubungan remaja dengan rakan-rakan di luar. Pakar psikologi kaunseling melalui teori mereka mendapati empat ciri bagi menjelaskan tabiat seseorang itu seperti teori psikoanalisis yang diasaskan oleh Freud. Pertama teori ini meyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi unsur rangsangan seksual agresif dan tidak rasional wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga perkembangan hidupnya. Kedua analisis transisi dimana teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa ketika kecil, anak berkenaan merakamkan secara langsung percakapan dan perbuatan ibu bapa mereka. Konflik terjadi apabila anak cuba menilai semula skrip hidup lama atau menerbitkan skrip

hidup yang baru hasil perkembangan emosi dan pengaruh persekitaran. Ketiga Behaviorisma iaitu tingkah laku yang terbentuk hasil proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah. Keempat teori pemusatan klien iaitu mengandaikan bahawa tabiat manusia secara azalinya adalah rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti mendapat kasih sayang dan keselamatan. Ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna. Ibu bapa hendaklah membimbig, memahami, menyelami kehendak jiwa remaja dan berfikiran terbuka. Jadilah model terbaik, sekaligus sebagai perangsang. Ini akan mendorong kepada kewujudan suasana harmonis.

6.0 MENGANALISA ISU BERDASARKAN TIGA KONSEP SOSIOLOGI Modenisasi Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat sebagai kesan daripada bermulanya perindustrian. Modenisasi boleh juga diterima sebagai keadaan di mana masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap, autoriti, hubungan dan nilai-nilai lama kepada yang baru. Gaya hidup tradisi telah berubah sebagai gaya hidup moden. Masyarakat mengalami modenisasi secara beransur-ansur dengan adanya pertemuan dengan pengaruh barat. Proses modenisasi menyebabkan perubahan samada dalam institusi kekeluargaan atau masyarakat. Terdapat perubahan dalam nilai-nilai dan norma-norma ibu bapa disebabkan oleh proses-proses modenisasi, perbandaran dan birokrasi. Ibu bapa lebih memanjakan anak dengan memenuhi segala kehendak mereka dan sering bertolak ansur dengan anak-anak mereka. Hujah ini menerangkan perubahan-perubahan yang berlaku dari segi kawalan di rumah. Kanak-kanak yang diasuh dengan manja akan didapati sukar untuk menyesuaikan diri atau memahami hasrat ibu bapa. Apabila terdapat situasi yang bertentangan antara kehendak individu dengan ibu bapa mereka mungkin akan menggunakan tingkah laku yang liar untuk menyelesaikan situasi yang berlawanan ini boleh mengakibatkan kesan yang menyakitkan ke atas sesetengah kanak-kanak yang mana merupakan suatu penggalak kepada masalah sosial. Dunia berubah bila revolusi perindustrian berlaku dimana manusia menjadi materialistik dan individualistik. Kelas sosial

Terdapat banyak kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga yang tidak stabil dengan masalah sosial di kalangan remaja. Remaja yang datang dari keluarga yang taraf sosio ekonomi yang rendah antara faktor utama mereka terjebak dalam kancah masalah disiplin. Di rumah, kekeluargaan dan penerimaan tidak wujud dalam sebilangan remaja berkenaan. Selain itu bilangan ibu bapa dan penjaga yang bekerja di luar rumah yang semakin meningkat juga menyebabkan remaja merasa terbiar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya. Dapatan yang dinyatakan ini adalah bertepatan dengan kajian oleh Athur & Ericson (1992); Kosterman (1996); yang jelas menunjukkan faktor keluarga merupakan alasan utama menyebabkan masalah disiplin. Tidak terkecuali remaja berada terutama di kalangan remaja ibu kota. Pengambilan pil ecstasy dan aktiviti seks bebas. Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Hussain Mohammad "Pusat hiburan ekslusif menjadi tumpuan remaja seperti ini untuk melakukan kegiatan tidak berfaedah tanpa pengetahuan pihak berkuasa. Remaja ini pastinya mempunyai wang yang banyak dan memudahkan mereka membeli pil ecstasy. Hanya remaja berada sahaja mampu membeli pil ini kerana harganya mahal". Kelas sosial telah menjadi ciri masyarakat moden berbanding semasa zaman penjajahan. Layanan yang berbeza mengikut kelas diamalkan. Kadar lompatan kelas juga adalah berbeza. Bagi kelas atasan mereka meneruskan mobiliti mendatar pada kelas yang sama. Bagi kelas bawahan mobiliti ke atas adalah memakan masa dan antara generasi yang berbeza. Mereka yang berada di kelas atas meneruskan kedudukan mereka dengan merebut peluang-peluang pendidikan dan kerjaya terbaru. Untuk mengekalkan atau meningkatkan lagi kedudukan, mereka harus bekerja dengan lebih giat. Begitu juga dengan kelas bawahan untuk bersaing mereka harus melipatgandakan usaha mereka agar tidak jauh ketinggalan. Usaha keras inilah yang meruntun pengorbanan masa dan wang menjadi gantinya. Sosialisasi Sosialisasi merupakan suatu proses mempelajari peranan, status dan nilai yang perlu ada dalam institusi sosial. Proses pembelajaran sepanjang hayat berlaku dalam institusi sosial. Pemindahan norma dan nilai dalam keluarga serta budaya setempat sesuatu masyarakat kepada kanak-kanak. Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak akan membentuk konsep diri pada individu. Oleh itu kelompok primer iaitu keluarga merupakan kelompok yang paling berpengaruh. Pentingnya fungsi kekeluargaan adalah sejak mula anak itu dilahirkan. Anak-anak mula belajar dari kedua ibu bapa mereka. Oleh itu ibu bapa yang memberi masa berkualiti kepada anak-anak mereka dapat menanamkan minat

dan bertindak balas dengan memberikan didikan dan peluang yang berpatutan. Setiap individu yang dilahirkan mempunyai potensi untuk berkembang ke arah kecemerlangan. Bagi memastikan potensi ini berkembang ke arah yang positif, ibu bapalah yang terbaik memainkan peranan penting untuk membantu anak-anak ini mencapai keunggulan peribadi. Anak-anak beruntung jika dilahirkan oleh orang tua yang penuh kasih sayang, perhatian dan pengertian dan memiliki kesempatan terbaik untuk mengembangkan fikiran mereka dengan penuh kegembiraan dan kejayaan. Namun ada sesetengah ibu bapa tidak memainkan peranan dengan berkesan dalam usaha menyalurkan bantuan yang amat diperlukan oleh anak-anak mereka disebabkan kesibukan tugas atau tidak mempunyai pengetahuan untuk membantu anak remaja. Mereka tidak prihatin tentang perkembangan anak-anak di sekolah, tidak mengetahui siapakah rakan-rakan anak mereka dan tidak menghiraukan bagaimana masa lapang mereka dihabiskan. Masa yang diluangkan untuk sama-sama menjalankan aktiviti bersama anak-anak adalah sangat terhad apatah lagi berkomunikasi terutama dengan anak remaja berhubung dengan kegiatan harian (Laurance Steinberg, 1996). Kenyataan ini sedikit sebanyak mengambarkan bahawa ibu bapa pada era ini gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Maka itu kegagalan ibu bapa memberi pendidikan pada peringkat permulaan akan membawa kepada suatu petanda yang buruk terhadap disiplin anak-anak (Asmawati, 1996). Ini disokong oleh Freud, (Mahmod Nazar, 1990) yang mengatakan bahawa kualiti penjagaan yang diberikan di peringkat awal akan mempengaruhi di kemudian hari. Menurut pandangan seorang ahli sosiologi Robert K. Merton. Di sebalik berlakunya pelanggaran undang-undang dan kawalan sosial dan jenayah sebenarnya boleh berlaku disebabkan keadaan sesuatu masyarakat itu disusun. Merton menegaskan, dalam kehidupan manusia memerlukan banyak perkara seperti kekayaan, kesenangan, kejayaan, kuasa atau hanya setakat rumah yang selesa dan sedikit keamanan dan ketenteraman. Walaubagaimanapun kualiti norma hidup yang rendah mendorong kepada berlakunya jenayah dalam masyarakat. 7.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI MASALAH DISIPLIN PELAJAR Institusi Keluarga Ibu bapa adalah orang yang terpenting dalam sesebuah keluarga. Mereka memainkan peranan utama dalam mencorak masa depan keluarga. Anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang menjadi pengarahnya. Dalam konteks ini, penekanan aspek disiplin amat mustahak sekali. Terdapat di kalangan ibu bapa yang tidak menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Ini menyebabkan anak-anak terikut dengan sikap dan perbuatan ibu bapa mereka. Ada ibu bapa yang tidak sehaluan atau sefahaman di rumah, anak-anak merasa tidak aman dan cuba

mencari jalan keluar dari masalah ini. Contohnya Ibu dan bapa sering berkelahi di hadapan anak-anak dan pada waktu yang sama mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Sesetengah ibu bapa pula menyerahkan soal disiplin sepenuhnya kepada pihak sekolah, sedangkan pada hakikatnya pembentukan morality seseorang itu bermula di rumah. Dengan ini timbul golongan anak-anak yang tidak mendengar nasihat keluarga dan banyak menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya untuk berkongsi masalah dan menghilangkan rasa bosan. Punca pendapatan ibu bapa juga mempengaruhi masalah disiplin. Ibu bapa yang berpendapatan rendah menyebabkan anak-anak tidak mampu membayar yuran persekolahan. Pelajar merasa malu untuk ke sekolah. Oleh itu mereka melencong atau melepak di kompleks-kompleks membeli belah. James Becker mengatakan ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak tidak dapat menwujudkan pengawalan diri yang baik. Rakan sebaya Rakan atau kawan adalah ibu bapa kedua bagi seseorang pelajar. Ada pelajar yang masih berkawan dengan rakan yang tidak bersekolah. Mereka yang tidak bersekolah ini mungkin kerana keciciran dalam pelajaran ataupun sudah menamatkan alam persekolahan akan berlagak dewasa dengan menghisap rokok, berpakaian tidak senonoh dan melakukan sesuatu tindakan untuk menarik perhatian. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk lagi bagi pelajar miskin. Kedua-dua ibu bapa sibuk mencari nafkah, si anak akan terbiar dan memilih haluan sendiri. Pelajar ini mempunyai perasaan rendah diri dan bagi menunjukkan diri mereka hebat dan berkemampuan, peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah tidak diikuti. Pengaruh rakan sebaya mampu mencorakkan sikap dan nilai tingkahlaku pelajar, lebih-lebih lagi mereka yang tercicir dalam pelajaran dan yang mengalami masalah keluarga. Pelajar menganggap peraturan dan undang-undang sekolah sebagai sesuatu yang remeh dan tidak perlu dipatuhi. Mereka akan membentuk kumpulan sendiri yang akan mengadakan peraturan tertentu. Ahli kumpulan tersebut hendaklah mematuhinya. Dari sini mula timbulnya masalah disiplin seperti peras ugut dan pergaduhan. Pihak sekolah Sekolah adalah rumah kedua para pelajar. Begitu juga dengan para pendidik yang menjadi ibu bapa semasa di sekolah. Tugas guru semakin mencabar dalam era globalisasi. Di samping menjadi pendidik, mereka juga menjadi 'role model' kepada pelajar. Kegagalan guru mendidik akan menjurus ke arah masalah disiplin pelajar.

Negara kita juga menghadapi masalah kekurangan guru lelaki di mana fenomena ini mungkin menjadi salah satu punca kemerosotan disiplin. Nisbah antara guru lelaki dengan guru perempuan pada kadar 4 : 6 (Berita Harian: 19 Julai 1999). Keadaan yang lebih meruncing sangat dirasai di sekolah rendah dan menurut Kementerian Pendidikan, fenomena kekurangan guru lelaki akan berterusan dalam beberapa tahun yang akan datang kerana jumlah guru pelatih perempuan di Maktab perguruan melebihi jumlah guru pelatih lelaki. Amalan demokrasi dalam pendidikan kurang diterapkan terutamanya dalam pemilihan mata pelajaran elektif. Pelajar tidak sepatutnya dipaksa memilih aliran belajar dan mata pelajaran pilihan. Ia boleh menjejaskan prestasi pelajar tersebut. Ini menyebabkan berlakunya konflik jiwa, pemberontakan batin dan rasa tidak puas hati di jiwa pelajar. Konflik juga timbul kerana pelajar tidak puas hati kepada guru yang mengajar. Contohnya pengajaran guru tidak berkesan atau kurang cekap dalam mata pelajaran berat seperti Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Selain itu sekolah di negara ini kebanyakkannya berorientasikan kepada peperiksaan maka pelajar menghadapi tekanan mental dan sosial. Pengaruh media massa dan siber Media massa dapat di kategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan media elektronik. Kedua-dua media ini banyak mempengaruhi para pelajar ketika ini. Golongan remaja khususnya para pelajar mudah meniru dan mengikut pelbagai adegan dan perlakuan negatif yang ditayang dalam pelbagai media. Contohnya filem, suratkhabar, majalah dan televisyen yang menonjolkan budaya kuning amat mudah diikuti oleh para pelajar. Babak ganas dan seks akan menjadikan fikiran remaja keras dan rakus. Mereka ingin tahu dan mencuba sendiri apa yang dilihat. Dalam era globalisasi ini juga menyebabkan para pelajar dapat mencapai pelbagai maklumat dengan melayari internet. Dengan wujudnya 'siber cafe' telah memudahkan para pelajar mendapat bahan dan maklumat mengikut citarasa samada yang berguna dan berfaedah atau yang boleh merosakkan minda pelajar seperti melayari laman web lucah.

8.0 MASALAH-MASALAH DISIPLIN DI SEKOLAH Pelajar merupakan golongan yang seringkali terdedah dengan pelbagai masalah sosial. Pada masa sekarang, golongan ini semakin kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka sendiri dan masyarakat disekeliling. Justeru itu, mereka perlu dibimbing serta diberi perhatian sewajarnya supaya generasi berwibawa dapat

dilahirkan di tengah-tengah kemajuan dunia. Kurangnya pengawasan daripada ibubapa ini menyebabkan pelajar terdedah kepada banyak masalah sosial. Merokok Semenjak dua dekad yang lalu, penggunaan tembakau telah menjadi masalah kesihatan awam yang serius di Malaysia. Tiga jenis penyebab kematian utama di Malaysia berkaitan penggunaan tembakau ialah penyakit jantung, angin ahmar dan kanser. Terdapat beberapa sebab mengapa pelajar merokok iaitu ingin menonjolkan imej yang hebat dan anggun. Bagi mereka jika seseorang merokok ia akan kelihatan hebat sekali. Ada juga pelajar merokok disebabkan ingin menonjolkan kedewasaan dan ingin mencuba. Mulanya mereka akan cuba dan lama kelamaan akan menjadi tabiat. Sebilangan pelajar merokok disebabkan ingin mengikut tingkahlaku ibu bapa mereka dan juga pengaruh rakan sebaya. Media massa juga memberi sumbangan kepada penyebab pelajar merokok iaitu melalui pengaruh iklan. Walaupun kerajaan menguatkuasakan peraturan membeli rokok, namun peraturan itu tidak setegas yang diharapkan. Pelajar denan mudah sekali memperolehi rokok di pasaran. Penyalahgunaan dadah Masalah dadah bermula pada kurun ke 19 lagi dengan kedatangan buruh dan kumpulan imigran yang mencari peluang pekerjaan. Kini masalah dadah telah merebak ke seluruh pelusuk dunia. Peningkatan insiden ini sejak tahun 70 an disebabkan kerana ia mudah diperolehi. Jumlah penagihan dadah yang berulang telah direkodkan oleh sistem NADI sejak tahun 1988 didapati purata sebanyak 40% dari jumlah penagih yang dikesan. Bahan lucah Kebelakangan ini, laporan akhbar atau televisyen yang menyatakan pelajar dirogol atau menjadi perogol yang mana rata-rata mereka ini berumur dalam lingkungan umur 10 hingga 18 tahun yang masih dibangku sekolah. Tidak hairanlah jika mereka ini berani membawa bahan lucah ke sekolah untuk dikongsi bersama rakan lain malah mereka berani melakukan perbuatan yang tidak senonoh dan terkutuk itu di dalam tandas atau mana-mana tempat di kawasan sekolah. Hal ini berlaku tidak lain disebabkan oleh faktor pengaruh bahan lucah yang murah dan mudah diperolehi. Dalam laporan akhbar ada dilaporkan "Ibu bapa dan anak berkongsi bahan lucah" (Berita Harian: 22 Oktober 2001). Laporan di atas berdasarkan kajian sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia ke atas 381 murid Tahun 6 dari Mukim Ulu Tiram, Kulai dan Kota Tinggi, Johor mendapati perbuatan tidak bermoral ibu bapa antara faktor yang mendedahkan kanak-kanak terbabit kepada bahan dan unsur lucah.

Walaupun penguatkuasaan telah dijalankan oleh pihak kerajaan, VCD lucah masih lagi boleh dibeli di pasaran terbuka seperti pasar malam dengan hanya RM10 sahaja setiap satu. Mereka sering menonton 'aksi' yang boleh menaikkan nafsu seterusnya ia akan mendorong mereka ini untuk melakukan perbuatan merogol dan membunuh. Oleh sebab kebanyakan mereka dalam lingkungan umur persekolahan, pihak sekolah, ibu bapa, polis dan masyarakat tidak boleh memandang masalah ini dengan ringan, malah sesuatu yang berkesan perlu dilakukan segera untuk membendung gejala yang amat membimbangkan ini. Samseng dan Gengsterisme Gejala samseng atau gengsterisme di sekolah menengah di seluruh negara juga semakin membimbangkan. Mereka ternyata semakin berani mencabar undangundang dan tidak takut melakukan kesalahan jenayah. Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama polis telah mengenal pasti pelajar di 456 sekolah menengah di seluruh negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan sedikit dan menunjukkan gejala ini berada pada tahap membimbangkan. Menurut William Gladden Foundation (1992), empat faktor utama yang merangsang pembentukan kumpulan gangsterisme di kalangan pelajar iaitu : a. Remaja mengalami perasaan terasing dan tidak berdaya disebabkan kurangnya struktur sokongan tradisi seperti keluarga dan sekolah. Situasi ini akan membawa kepada perasaan kecewa dan tegang lalu mendorong kepada usaha mendapatkan sokongan di luar institusi tradisional. b. Keanggotaan memberikan remaja perasaan 'sense of belonging' dan menjadi sumber utama penampilan identiti oleh ahli-ahli mereka. c. Remaja akan merasa diri mereka berkuasa dan akan menjadikan tempat mereka melepaskan kemarahan atau pun ketegangan. d. Kawalan kawasan adalah perlu demi keutuhan kumpulan. Pengrekrutan ahli, perluasan kawasan dan pengaruh adalah penting untuk mengukuhkan kekuatan dan kekuasaan kumpulan maka wujud kemasukan ahli secara sukarela atau paksaan dilakukan untuk menampung keperluan dengan penambahan sumber dan keahlian kumpulan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya gejala-gejala tersebut seperti faktor rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri pelajar itu sendiri. Ramai pelajar dan remaja mudah terpengaruh dengan media yang memberikan ganjaran keseronokan dan mula tersesat dengan meniru apa yang dilihat dan dibaca. Kewujudan teknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang kebanyakkan merosakkan pemikiran mereka. Selain itu rumah tangga yang

porak peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang kearah kelakuan tidak baik di kalangan remaja. Sekiranya ini berlaku pelajar atau remaja akan mengambil jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat sebagai jalan keluar kepada permasalahan mereka. Antara salah laku yang berkaitan seperti perat ugut, salah guna dadah, mencabul kehormatan, pelacuran, mencuri, berjudi, menceroboh dan membawa senjata. Ponteng sekolah Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial yang baru di kalangan pelajar sekolah di negara ini. Pelajar sekolah menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng. Sejak kebelakangan ini. Peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda Tanya dan membingungkan kepada pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah terutamanya mencatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar sekolah bertambah dengan kadar yang serisu bagai "cendawan tumbuh selepas hujan" walaupun berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini. Daripada keseluruhan pelajar yang dikenalpasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah dari kalangan pelajar lelaki dan baki 3 peratus adalah pelajar perempuan. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd Khir, masalah ponteng lebih ketara berlaku di kalangan pelajar peringkat menengah iaitu tingkatan dua dan tiga terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar dan sekolah di pinggir bandar. Sebenarnya punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah bermula oleh masalah keluarga seseorang pelajar itu sendiri. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa menyebabkan kebajikan anak-anak terabai. Segala tindak tanduk anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah disiplin di kalangan pelajar. Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang bersikap materialistik, amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan sematamata. Anak-anak mereka dipinggir dan kasih saying yang sepenuhnya tidak diberikan. Masalah di atas adalah selari dengan teori fungsionalisme (Durkheim dan Spencer) di mana ibu bapa tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna (Disfungsi).

Di samping itu faktor-faktor lain yang menyumbang kearah berlakunya gejala ponteng sekolah ialah tiada minat atau motivasi untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa pentingnya ilmu pengetahuan, pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah, melayari internet di 'sibar cafe' dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya diluar sekolah yang dianggap lebih rapat dengan mereka. Black metal Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial semakin meningkat. Yang lebih menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang menjangkiti remaja melayu. Masalah black metal misalnya merupakan masalah masyarakat yang telah membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu kekosongan. Semua ini sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana kelekaan sendiri. Kegiatan black metal adalah sesuatu kegiatan yang mempunyai unsur pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada pengikut mereka yang sudah meminum darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka. Akibat dari ketandusan aqidah, pelajar Islam mula terpengaruh dengan agenda Yahudi dengan menafikan tauhid Uluhiyyah. Adalah menjadi perkara yang sangat menyedihkan dan mengecewakan apabila terdapat golongan pelajar Islam di negara ini yang terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat ini. Ilmu dan pengajaran daripada simpulan bahasa dan perumpamaan Melayu misalnya, tidak langsung mendapat tempat sebagai pegangan hidup mereka. Membenteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab sosial semua pihak dari seluruh anggota masyarakat. Usaha ini memerlukan kerjasama yang padu di kalangan anggota masyarakat. Dengan komitmen, kesungguhan dan keikhlasan semua pihak, gejala ini akan dapat ditangani dengan sebaiknay, tanpa kita membebankan mana-mana pihak. 9.0 CARA-CARA MENGATASI MASALAH DISIPLIN DI SEKOLAH Bagi mengurangkan salah laku di kalangan pelajar semua pihak iaitu pelajar itu sendiri, ibu bapa, guru-guru, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan seterusnya pihak kepemimpinan negara perlu mengembeling tenaga bagi menanganinya. "Mencegah lebih baik dari pengubati". Justeru itu institusi keluarga memainkan peranan yang lebih penting. Masalah ini dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberikan perhatian rapi kepada anak-anak sejak mereka kecil dan sentiasa sedia berkongsi masalah dengan mereka. Ibu bapa seharusnya menjadi kawan kepada anak mereka sendiri di samping menimbulkan persekitaran kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat serta cemerlang.

Kekeliruan perasaan, tidak dihargai dan terasing dalam keluarga sendiri lantaran kesibukan ibu bapa antara punca lain mendorong remaja melakukan kegiatan melanggar disiplin. Dalam masa yang sama ibu bapa haruslah bersikap tegas dalam mendidik anak-anak. Komunikasi dua hala yang sihat akan membantu anak meluahkan masalah mereka. Ibu bapa perlu belajar menyelami dan memenangi jiwa anak supaya anak remaja yang biasanya bersikap egosentrik dapat dilembutkan. Ibu bapa perlu menjadi model terbaik kepada anak-anak. Ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa untuk bersama anak-anak dan sentiasa mengawasi rakan sebaya anak-anak tersebut. Ibu bapa perlu memastikan mereka tahu di mana anak mereka berada dan dengan siapa mereka berada supaya anak-anak itu tahu mereka diawasi. Pelajar perlu mempunyai kesedaran diri bahawa tingkah laku yang salah tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka. Pelajar yang sentiasa melakukan salah laku biasa dilabelkan sebagai pelajar bermasalah dan sentiasa tidak disukai oleh pihak sekolah dan pihak-pihak dalam masyarakat. Sehubungan dengan itu, pelajar haruslah meningkatkan jati diri mereka supaya tidak mudah terpengaruh kepada gejala-gejala yang tidak sihat. Pemilihan rakan sebaya yang boleh membimbing ke arah perlakuan yang positif merupakan agenda utama bagi para pelajar. Wakil dari Persatuan Ibu bapa dan Guru perlu dilantik untuk menganggotai Lembaga Disiplin sekolah sebagai usaha bersepadu untuk membentuk disiplin dan pembangunan sahsiah pelajar. Guru-guru perlu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran mereka supaya dapat menarik minat pelajar kepada mata pelajaran yang diajar. Keadaan ini boleh mengurangkan kebosanan pelajar dan seterusnya mengurangkan salah laku pelajar. Pihak sekolah mestilah berperanan dalam mengatasi masalah disiplin. Pihak sekolah perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran dan motivasi untuk pelajarpelajarnya dan pelu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Guru juga adalah ejen perubahan sosial yang penting disamping mendidik pelajar supaya berjaya dari segi rohani mahupun jasmani. Cadangan untuk memberi kuasa polis tambahan kepada guru juga harus segera dilaksanakan. Program pemulihan untuk pelajar yang menghadapi masalah disiplin juga perlu dijalankan dari semasa ke semasa. Guru juga tidak boleh bersikap buruk sangka kepada pelajar yang melakukan kesalahan disiplin. Guru perlu mencari punca berlakunay salah laku ini dan menanganinya secara bijak. Pelajar yang melakukan salah laku hendaklah disoalsiasat secara lembut dan mesra. Perlakuan kasar dan menakut-nakutkan boleh menyebabkan tindakan yang serupa dari pelajar itu sendiri. Perlu wujud satu suasana yang hormat menghormati antara guru dengan pelajar-pelajarnya. Pihak pentadbir pula perlu memberi laporan yang lengkap tentang masalah disiplin

yang berlaku di sekolah mereka. Tindakan menyembunyikan kejadian-kejadian yang serius boleh menyebabkan berlakunya perlakuan yang lebih berat. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia perlu bekerjasama dengan media elektronik untuk menyiarkan lebih banyak forum atau pentas perbincangan bagi membincangkan isu-isu yang berlaku supaya dapat diambil tindakan sewajarnya. Selain itu kerjasama sedia ada dengan pihak polis, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu dipertingkatkan. Disamping itu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia pula, sistem rekod sedia ada perlu dikemaskinikan selalu. Penerbitan-penerbitan Kementerian yang berkaitan dengan masalah disiplin perlu dikeluarkan lebih kerap supaya menjadi panduan bukan sahaja kepada guru-guru di sekolah malah untuk seluruh masyarakat keseluruhannya. Pemimpin negara juga mestilah berperanan mewujudkan negara yang bebas masalah sosial terutama golongan pelajar yang bakal mewarisi dan sebagai pemangkin ke arah modenisasi negara yang lebih berkesan dan berjaya. Kesedaran demi kesedaran harus diberikan kepada masyarakat khususnya golongan pelajar. Pemimpin negara haruslah membentuk generasi akan datang yang berwawasan, berdisiplin dan bertanggungjawab. 10. KESIMPULAN Antara punca yang biasa didengar berkaitan dengan masalah disiplin pelajar ialah akibat pergaulan dan pengaruh rakan sebaya yang bersifat negatif, kesan media elektronik, pengaruh budaya asing, kegagalan didikan ibu bapa, kurangnya didikan agama, persekitaran yang tidak sesuai untuk kehidupan pelajar dan disebabkan terlalu banyak punca yang boleh diramalkan, tindakan membendung masalah tidak lagi berfokus. Dengan persekitaran yang lebih mencabar dan dunia menuju ke arah globalisasi, masalah disiplin ini mungkin menjadi semakin serius dan tindakan yang lebih drastik perlu diambil. Secara keseluruhannya, secara sedar atau tidak, kebanyakan masalah yang melanda pelajar pada masa kini adalah disebabkan konflik dan tekanan yang wujud di dalam alam persekitaran. Para guru perlu sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada zaman 60 an dan 70 an dahulu. Pelajar dahulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala tuju yang jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain daripada dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati di samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata. Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar kewibawaan sekolah. Oleh itu, kaedah-kaedah

tradisional seperti memarahi, merotan, menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang. Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba Ilmu sehingga tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk memberontak. Proses modenisasi atau pembangunan yang pesat telah mengubah cara hidup masyarakat kita khasnya golongan remaja. Begitu juga dengan institusi kekeluargaan yang sudah tidak dianggap penting lagi justeru itu akan meningkatkan kadar perceraian. Contohnya, Berita Harian bertarikh 20 Oktober 1998 melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu mendapati keruntuhan institusi keluarga adalah punca utama kepada peningkatan masalah moral dan disiplin di kalangan remaja bawah umur di negeri tersebut. Penglibatan ibu bapa dalam mensosialisasikan anak di peringkat remaja adalah sangat penting. Pada peringkat ini remaja mengalami krisis identity akibat daripada peralihan zamn dari alam kanak-kanak dan persediaan ke peringkat dewasa. Oleh itu, sokongan emosi daripada ibu bapa amatlah diperlukan. Kajian yang telah dilakukan oleh Wagner dan Cohen (1996) mendapati penerimaan dan penolakan cara gaya keibubapaan dapat dilihat melalui tingkahlaku yang dipamerkan oleh remaja tersebut. Dalam agama pula, ibu bapa bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak untuk menjadi ahli masyarakat yang berguna kepada keluarga, agama dan bangsa. Sama ada ibu bapa itu senang atau susah, sama ada keluarga itu ada ibu dan bapa atau hanya ada ibu atau bapa atau penjaga sahaja tidak akan terkecuali dari tugas ini. Mungkin dalam keadaan ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya, masa untuk mendekati dan mendidik anak dengan nilai-nilai murni dan mulia agak terbatas. Namun jika kajian menunjukkan mendidik anak-anak dengan nilai-nilai mulia ini amat penting untuk menjauhkan anak dari jenayah dan delikuensi, maka pastinya usaha untuk mencari masa dan mendidik anak-anak dengan apa yang mereka perlu tahu bukanlah sesuatu yang sia-sia. Setiap ahli masyarakat perlu mempunyai peranan masing-masing. Setiap individu perlu melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan sempurna kerana setiap satu ada perkaitan. Kita perlulah merealisasikan konsep masyarakat madani. Setiap pelajar perlu didekati supaya mereka rasa diterima oleh masyarakat khasnya dalam institusi keluarga dan sekolah. Hubungan dan kerjasama erat perlu ditingkatkan antara ibu bapa, pihak pentadbir, guru-guru, guru disiplin dan kaunselor amat penting untuk membendung masalah jenayah di kalangan pelajar remaja kita.

Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara. Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak di kalangan remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan di atasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset yang tidak ternilai ini.

You might also like