You are on page 1of 26

FAKULTI PENDIDIKAN UNIVERSITI MALAYA

SEMESTER 2 SESI 2009/2010

Peranan Kepimpinan Guru Dalam Mempengaruhi Akademik dan Akhlak Pelajar

NAMA NO. MATRIX TARIKH PENSYARAH

: NOR ATIYAH BT. MUHAMMAD : SEP060071 : 8 APRIL 2010 : PROF. MADYA DR. RAHMAD SUKOR

Peranan kepimpinan guru dalam mempengaruhi akademik dan akhlak pelajar.

1.0 Pendahuluan Guru adalah pemimpin kepada pelajar khususnya ketika pelajar berada di sekolah. Kepimpinan guru amat penting kerana ia merupakan salah satu elemen terpenting jika seseorang guru itu bertugas menjadi seorang guru atau pendidik. Perkara yang terpenting ialah guru itu harus menjadi pemimpin kepada dirinya sendiri dan seterusnya kepada para pelajar yang dididiknya. Maka, kepimpinan guru amat penting dalam mempengaruhi akademik dan akhlak pelajar. Pelajar adalah tunas dan harapan bangsa serta tiang agama Islam pada masa yang akan datang kerana pelajar-pelajar ini yang akan menjadi pemimpin-pemimpin kita. Pelajar akan menjadi benteng ketamadunan dan peradaban bangsa di Malaysia. Mengikut pujangga Islam termasyur, Dr. Shauqy Beig yang bermaksud Sesungguhnya sesuatu umat akan kekal dan terhormat apabila mereka menjaga akhlak mereka. Walaubagaimanapun ketika akhlak umat itu telah hancur, maka umat itu akan hilang bersama-sama dengan akhlak mereka. Akhlak serta pencapaian akademik yang tinggi dan mulia amat ditekankan kerana ia akan menjadi benteng pertahanan dalam diri setiap pelajar dalam menghadapi cabaran dalam zaman globalisasi ini. Dalam hal membina akhlak dan akademik para pelajar, institusi sekolah dilihat sebagai tempat yang sesuai kerana pelajar menghabiskan separuh hari mereka di sekolah. Umumnya dikatakan bahawa guru adalah teras kepada pelaksanaan proses pendidikan walaupun proses pendidikan boleh juga berlangsung secara tanpa guru. Guru merupakan pejuang baris hadapan dalam usaha mendidik anak bangsa. Tugas mendidik ini dijalankan bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi juga di luar bilik darjah dan seterusnya di luar sekolah. Guru perlu bergiat aktif

dalam aktiviti masyarakat setempat serta berusaha meyelesaikan masalah masyarakat dan sekaligus mengajak mereka bersatu tenaga ke arah membangunkan tanah air yang tercinta. Dalam konteks ini, guru sentiasa menyediakan pelajar supaya sesuai dengan kehendak masyarakat dari pelbagai sudut termasuk akademik, keperibadian serta akhlaknya. Dalam hal ini, guru adalah pemimpin kepada pelajar kerana guru menjadi rujukan terpenting untuk membina akhlak dan akademik pelajar kerana guru dan pelajar akan berinteraksi sepanjang masa semasa pelajar itu berada di sekolah. Baris-baris akhir sajak karya Allahyarham Datuk Usman Awang menyatakan peri pentingnya seorang guru kerana guru bukan sahaja mengajar membaca dan menulis tetapi mendidik akhlak para pelajar ke arah yang lebih baik. Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa Segalanya dimulakan oleh seorang guru Biasa Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca Datuk Usman Awang Kepimpinan adalah komponen penting dalam menentukan keberkesanan sistem di sekolah. Kekuatan dan kualiti kepimpinan terletak pada keupayaan menginstitusi dan merealisasikan visi dan misi yang diterapkan dalam sekolah oleh pemimpinnya. Seringkali kepimpinan di sekolah dikaitkan dengan pengetua yang menjadi kepala dalam mengurus dan mentadbir sistem pentadbiran dan sebagainya. Kita sebagai masyarakat harus menyedari bahawa guru juga adalah pemimpin kepada pelajar di bilik darjah dan juga di luar bilik darjah. Kadangkala guru sendiri tidak menyedari peranan mereka sebagai pemimpin kepada pelajar lantas peranan mereka di sekolah hanyalah untuk menyampaikan isi pelajaran sahaja kepada pelajar.

Dalam memahami konsep kepimpinan, definisi pemimpin dan kepimpinan harus dulu difahami. Kepimpinan ialah suatu tingkah laku yang amat dinamik sifatnya. Fungsi utama

seseorang pemimpin ialah menggubal cipta visi dan misi organisasi yang dipimpinnya serta mencipta strategi-strategi bagi mencapainya. Menurut McGregor (Abdullah & Ainon,2005), terdapat empat faktor yang mempengaruhi perhubungan antara seseorang pemimpin dengan mereka yang dipimpinnya: 1. Ciri-ciri peribadi si pemimpin. 2. Sikap, keperluan dan ciri-ciri peribadi mereka yang dipimpin. 3. Sifat-sifat organisasi yang dipimpinnya, seperti matlamat penubuhannya, strukturnya dan tugas-tugas yang perlu dilaksanakan. 4. Persekitaran sosial, ekonomi dan politik yang ada. Menurut McGregor (Abdullah & Ainon,2005), kepimpinan bukannya ciri-ciri yang ada pada diri seseorang individu, melainkan ia suatu perhubungan yang rumit dan kompleks antara keempatempat faktor di atas. Kebanyakan pakar yang mengkaji kepimpinan bersetuju bahawa kepimpinan ialah proses yang mana seseorang individu itu mempengaruhi anggota-anggota lain di dalam kumpulannya ke arah mencapai tujuan dan matlamat kumpulan itu. Dalam erti kata yang lain, kepimpinan ialah proses yang sangat berkaitan dengan pengaruh, di mana seseorang pemimpin itu berjaya mempengaruhi mereka yang dipimpin supaya mengubah sikap dan tingkah laku orang lain tetapi lazimnya kepimpinan merujuk kepada penggunaan teknik-teknik yang tidak perlu memaksa mereka supaya berubah. Oleh itu mereka yang dipengaruhi supaya berubah masih boleh memilih sama ada mahu berubah ataupun tidak mahu berubah. Inilah ciri

yang membezakan di antara seorang pemimpin dengan seorang diktator (Abdullah & Ainon,2005). Setiap guru harus menyedari bahawa kepimpinan mereka di sekolah khasnya di bilik darjah akan mempengaruhi pencapaian akademik dan sahsiah pelajar di sekolah. Kepimpinan guru di bilik darjah akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran pelajar. Perbezaan dalam pencapaian pelajar dalam sekolah juga dipengaruhi oleh perbezaan yang ketara dalam diri guru-guru yang menyumbang kepada kecermerlangan sesebuah sekolah (Rahmad Sukor & Shahrir Jamaluddin,2005). Maka guru harus membuat perubahan pada diri mereka dulu supaya dapat menjadi pemimpin yang baik dalam mengajar dan mendidik para pelajar.

2.0 Kepimpinan Guru Menurut Kamus Dewan (2005), kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin. Dalam konteks ini tugas kepimpinan di sesebuah dapat dimainkan oleh guru yang berdedikasi, berinovasi dan kreatif. Sehubungan dengan itu, Katzenmeyer dan Moller (Abdullah Sani Yahaya, Abdul Rashid Mohamed et al.,2007) pula mendapati kajian-kajian kini menunjukkan guru berupaya menjadi pemimpin dalam sekolah. Ini kerana, kepimpinan guru dapat memupuk semangat bekerjasama sesama rakan sekerja dan juga dengan pelajar. Dalam hal ini, guruguru yang mempunyai sifat kepimpinan berupaya menjalankan tugas sebagai penasihat, mentor, fasilatator, pelatih dan pakar kurikulum dalam usaha membawa pembaharuan dalam sekolah. Guru sebagai pemimpin yang baik haruslah mengekalkan kepercayaan orang lain terhadapnya. Hal ini kerana ia dapat melahirkan perasaan hormat dari orang yang dipengaruhi iaitu pelajar. Jadi, menjadi tugas guru untuk memperkembangkan personaliti diri bagi menarik

perhatian orang yang ingin dipengaruhi. Menurut Abdullah Sani Yahaya, Abdul Rashid Moahmed dan et al (2007), guru juga perlu sentiasa berusaha meninggikan kebolehan dalam bidang yang dipertanggungjawabkan bagi mengekalkan kepercayaan orang lain terhadapnya. Kesimpulannya, pelaksanaan tugasan melalui kepimpinan guru memerlukan criteria-kriteria berikut: 1. Keperibadian yang perlu disemai dan dapat melahirkan perasaan hormat. 2. Personaliti yang perlu diperkembangkan bagi mewujudkan pertalian yang dapat menyakinkan pihak sekolah dan staf. 3. Kedudukan yang perlu dihormati, diteladani dan dipatuhi. 4. Kebolehan yang mewujudkan kepercayaan dan amanah.

2.1

Konsep Kepimpinan Guru Menurut Haris dan Muijis (2005) terdapat dua konsep utama dalam membentuk ciri-ciri

kepimpinan guru iaitu peranan dan tanggungjawab, serta kerjasama. Dalam konsep pertama, guru tidak hanya bertanggungjawab dan memainkannya peranannya dalam batasan ruang lingkup bilik darjah bagi mempengaruhi pelajar mencapai matlamat yang disusun oleh pihak sekolah. Guru yang berkepimpinan memainkan peranannya sebagai guru yang bukan hanya membimbing pelajarnya memperoleh pencapaian yang terbaik tetapi juga berupaya mempimpin dan membimbing teman sekerjanya ke arah matlamat yang hendak dituju (yang ditetapkan oleh pihak sekolah) tanpa arahan ataupun paksaan pihak atasan. Berdasarkan perspektif ini, Katzenmeyer dan Moller (2005) menghuraikan kemahiran kepimpinan utama yang perlu dimiliki oleh guru:

1. Guru yang berkepimpinan berkebolehan mempengaruhi pelajar ataupun rakan lain dan bertindak sebagai fasilatator, mentor, pembimbing, pakar kurikulum, pembentuk pendekatan yang beru menerajui kumpulan pembelajaran dan sebagainya. Sebagai fasilitator, pembimbing dan mentor, guru berkeupayaan memberi pendapat yang berguna dan dapat diterima pakai bagi membimbing rakan lain. Dengan mengemukakan idea-idea dan kaedah baru yang dapat diterima pakai, secara tidak langsung guru itu dianggap sebagai pemimpin pakar rujuk oleh rakan-rakan sekerja.

3.0

Kepimpinan guru mempengaruhi pencapaian akademik dan akhlak pelajar. Southworth (2002) dalam Rahmad Sukor Ab. Samad et al (2005) mendefinisikan

pemimpin pengajaran adalah berkait dengan pengajaran dan pembelajaran termasuk pembelajaran profesion guru-guru dan juga perkembangan pelajar. Menurut Rahmad Sukor Ab. Samad (2005), matlamat utama kepimpinan pengajaran ialah untuk membaiki atau mengekalkan keadaan-keadaan yang menggalakkan pembelajaran pelajar. Maka, guru bertanggungjawab untuk memastikan pelajar selesa dan berminat untuk belajar. Menurut Clark (1997) dalam Abdullah Sani Yahaya, Abdul Rashid Moahmed dan et al (2007), seseorang guru boleh menjadi pemimpin yang baik kepada para pelajar jika beliau memiliki ilmu pengetahuan yang luas, mendalam dan terkini. Hal ini kerana merekalah sumber rujukan utama bagi para pelajar di sekolah. Maka menjadi tanggungjawab guru itu untuk mencari maklumat tambahan dan terkini berkenaan subjek mereka agar pelajar lebih tertarik dengan mata pelajaran yang diajar. Di samping itu dia dilatih bagi menguasai kemahiran mengajar dan diberi tugas menyampaikan ilmu kepada pelajarnya. Oleh itu guru sebagai pengamal ilmu perlu memainkan peranan bagi menyampaikan ilmu yang berguna dalam bidangnya. J. M Coopes,1988 (dalam Abdul Ghani Abdullah, 2009) berpendapat guru yang

berkesan adalah guru yang memperoleh ilmu pengetahuan khususnya kemahiran mengajar seperti: 1) Menguasai ilmu pengetahuan dalam teori pembelajaran dan psikologi manusia. 2) Menunjukkan sikap jujur yang dapat menggalakan pembelajaran serta mewujudkan interaksi yang positif dalam pelbagai hala. 3) Memperoleh ilmu pengetahuan yang lengkap dalam mata pelajaran yang diajar 4) Menggunakan kaedah dan teknik mengajar yang mewujudkan aktiviti pembelajaran dalam kalangan pelajar mereka.

Perkara terpenting yang harus dilakukan guru ialah mencurahkan ilmu yang mereka ada kepada para pelajar supaya mereka dapat menempa kejayaan dalam bidang akademik. Guru memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi kecenderungan dan minat pelajar terhadap pelajaran. Guru perlu mempunyai kemahiran, kebolehan, beriltizam dan

berketrampilan serta mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang tugas agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan berkesan. Terdapat banyak peranan yang perlu dimainkan oleh guru di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pendidik. Dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik, guru diharapkan menjadi pemimpin yang berjaya membina pelajarnya. Beliau berperanan membuka minda pelajarnya, mengenal pasti kemahiran dan potensi yang mereka miliki, membina potensi yang baik yang ada pada mereka dan mengarahkan mereka memilih kerjaya supaya sesuai dengan kecenderungan dan kemahiran yang ada pada diri mereka. Guru juga berperanan membantu pelajar menyelesaikan masalah akademik, peribadi dan kemasyarakatan yang sering dihadapi oleh pelajar..

Guru juga berperanan penting sebagai mentor di sekolah. Mentor di sini bermaksud penasihat yang berpengalaman dan boleh dipercayai. Mentor juga boleh dianggap sebagai pemimpin dalam pengajaran dan pembelajaran kerana guru akan membantu dan mempimpin pelajar khususnya dalam pembelajaran mereka. Guru sebagai mentor kepada pelajar diharapkan supaya membantu pelajar-pelajar yang lemah membaiki pembelajaran dengan harapan dapat meningkatkan presatasi akademik mereka. Di England sekolah- sekolah menukar tutor group system kepada mentoring system sebab dalam sistem mentoring setiap pelajar dapat berjumpa dengan seseorang untuk mendapat nasihat atau pertolongan. Dalam memastikan kejayaan para pelajar, guru sepatutnya membimbing cara belajar yang betul supaya mereka dapat belajar secara berkesan. Ini amat penting supaya pelajar tahu cara belajar yang betul dan tidak terumbang-ambing apabila peperiksaan semakin menjelang. Hal ini tentunya akan memperbaiki mutu pembelajaran para pelajar jika mereka tahu cara pembelajaran yang betul dan berkesan. Memang tidak dinafikan setiap orang belajar dengan cara yang berbeza, tetapi ada sesetengah pelajar yang tidak tahu cara belajar yang betul dan berkesan. Maka, menjadi tanggungjawab guru untuk membimbing pelajar dalam proses pembelajaran mereka. Dalam kehidupan moden dan penuh cabaran ini, banyak perkara yang menyebabkan pelajar lalai dalam memberikan sepenuh perhatian kepada tugas mereka dalam mencari dan menimba ilmu. Guru sepatutnya sentiasa menasihati dan memotivasikan semangat belajar para pelajar kerana semangat belajar ini boleh berkurang dan bertambah mengikut masa dan keadaan. Dalam hal ini, mereka sepatutnya menganggap pelajar mereka sebagai anak sendiri kerana seperti yang sedia maklum seseorang itu akan lebih fokus dan perhatin terhadap pembelajaran anak-anak mereka. Pengurusan kelas yang konvensional atau biasa,

beranggapan bahawa pelajar-pelajar mestilah dimotivasikan melalui sesuatu selain daripada kandungan pembelajaran. Ganjaran luar berupa grades/pangkat, recognition, treats/belanja ,

dan kebebasan/privilege adalah faktor sebagai perangsang utama dalam pembelajaran pelajarpelajar. Sebaliknya, pengurusan kelas yang cemerlang menganggap pelajar-pelajar haruslah dimotivasikan melalui kandungan pembelajaran itu sendiri. Sebagai contoh, pelajar berasa

seronok untuk melakukan tugasan Matematik kerana guru yang mengajar subjek tersebut akan memberi hadiah jika seseorang pelajar itu dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan dengan betul dan tepat. Kajian menunjukkan dalam proses memimpin program-program pengajaran, peranan guru sebagai pemimpin pengajaran memerlukan kecekapan teknik pendidikan dan juga visi peibadi kecemerlangan akademik yang boleh dilaksanakan dalam bentuk strategi strategi berkesan. Oleh kerana pelbagai aspek pendidikan seringkali berubah-ubah seperti program pendidikan yang bertambah kompleks; peningkatan profesionalisme dan pengkhususan guru; pengenalan teknologi pendidikan sebagai satu sumber kaedah pengajaran dan pembelajaran; harapan komuniti dan ibu-bapa; dan perubahan kurikulum ini semua akan mewujudkan desakan dan tuntutan barn yang perlu diambil kira dalam merealisasikan pengajaran (Rahmad Sukor Ab Samad et al,2005). Pada zaman digital dan globalisasi ini, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menuntut agar perubahan dibuat ke atas kaedah mengajar dan belajar. Perkembangan terkini menyaksikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menjadi alat pemangkin utama untuk menyebar dan menyimpan maklumat dan seterusnya membantu pelajar membina pengetahuan baru (Lechner & Boli 2000). Maka, guru harus meningkatkan penggunaan teknologi ini di dalam bilik darjah supaya proses penyampaian maklumat lebih menarik. Penyampaian maklumat menarik dapat menarik perhatian supaya mendengar dengan penuh minat dan seterusnya meningkatkan lagi pemahaman subjek yang diajar.

Dalam hal ini guru seharusnya memperbaiki kaedah pengajaran mereka supaya pelajar tidak mudah berasa bosan. Pelajar akan mudah bosan jika setiap kali guru mengajar, mereka hanya menggunakan kaedah yang sama iaitu chalk and talk yang sudah dianggap tradisional. Guru lebih suka menggunakan pengajaran secara tradisional untuk menghabiskan dengan segera sukatan pelajaran yang ditetapkan (Robiah Sidin & Nor Sakinah 2007). Pelajar tidak berupaya memindahkan atau mengaplikasikan pengetahuan kerana sekolah menggunakan pendekatan tersebut untuk membolehkan pelajar mencapai skor yang tinggi dalam peperiksaan. Guru harus mempunyai daya kreatif dan inovasi supaya mereka dapat mencetuskankan idea-idea baru untuk digunakan dalam pengajaran mereka. Idea-idea yang baru, kreatif dan inovatif ini dapat memperbaiki lagi kaedah dan strategi pengajaran mereka sekaligus menarik minat pelajar untuk belajar. Pelajar akan lebih mudah menerima apa yang diajar kepada mereka jika mereka menyukai kaedah pengajaran guru tersebut walaupun pelajaran yang diajar adalah susah. Para pelajar memerlukan cara, kaedah, teknik dan gaya pengjaran dan pembelajaran yang berubah-ubah. Jika guru masih menumpukan kepada kaedah lama, adalah tidak mustahil sekiranya masalah malas belajar, ponteng sekolah, kurang minat belajar dan sifat membenci guru akan tetap berteusan (Mohd Izranuddin, 2006). Dalam hal ini, guru seharusnya mempunyai ilmu pedagogi yang mantap supaya dapat meningkatkan lagi kemahiran dan kecekapan guru untuk menjalankan tugas-tugas pengajaran dan pembelajaran. Guru yang baik akan sentiasa melakukan sesuatu yang demi kepentingan pelajar dengan hati yang ikhlas. Ini amat penting supaya pelajar tidak menghadapi sebarang masalah semasa proses pembelajaran mereka. Sebagai contoh, guru akan sentiasa ada jika pelajar mempunyai masalah dalam pembelajaran dan ingin berbincang dengan guru mereka. Guru akan mengadakan kelas-kelas tambahan jika pelajar mereka lemah dalam mata pelajaran tertentu. Ini amat penting supaya pelajar itu tidak akan ketinggalan dalam pelajaran dan tidak

menghadapi sebarang masalah dalam dewan peperiksaan. Guru tidak boleh mementingkan diri-sendiri sehingga tidak mengambil peduli sama ada pengajarannya dapat diterima atau tidak oleh pelajar dan mengambil sikap endah tidak endah terhadap tahap kefahaman dan penerimaan mereka. Seorang guru yang baik akan cuba mewujudkan komunikasi dua hala dengan pelajarnya, sama ada meminta pendapat atau bertanyakan soalan yang berkaitan. Ini amat penting supaya pelajar akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajaran guru dan guru akan mengetahui sama ada pelajar memahami atau tidak isi pelajaran pada hari tersebut. Memang tidak dinafikan dalam mempertingkatkan akademik para pelajar, pelajar itu sendiri sepatutnya berusaha selain daripada bantuan yang diberikan daripada guru. Realitinya pada masa sekarang adalah berbeza kerana masyarakat menganggap guru yang cemerlang akan melahirkan para pelajar yang cemerlang. Oleh yang demikian semasa proses pengajaran di dalam kelas, guru sepatutnya terlebih dahulu menyediakan kaedah-kaedah dan teknik mengajar yang berkesan supaya pelajar dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik. Namun yang demikian, dalam menjadikan sesebuah kelas lebih menarik serta memberikan rangsangan minda pelajar, guru seharusnya menyediakan bahan pegajaran yang mampu memberikan permasalahan yang boleh menyebabkan pelajar berfikir serta merangsang daya kreativitinya untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Dengan cara ini, pelajar bukan sahaja menerima pembelajaran secara pasif, tetapi juga dapat terlibat aktif secara rangsangan berfikir dalam mengikuti kelas yang dilakukan oleh guru. Semasa proses pembelajaran, pelajar seharusnya mengalami aktiviti mental seperti pelajar dapat mengembangkan kemampuan intelektualnya, kemampuan berfikir secara kritis, kemampuan menganalisa dan kemampuan mengucapkan pengetahuannya di samping mengalami aktiviti jasmani seperti mengerjakan sesuatu, menyusun intisari pelajaran, membuat peta dan lain-lainnya.

Menurut Fathiah (2005), suasana sekolah yang mencerminkan ciri keislaman yang sebenar, boleh menyediakan persekitaran harmoni dan melahirkan kasih sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan aktiviti pendidikan yang membawa kepada kejayaan sahsiah dan pencapaian pelajar-pelajar. Selain itu, pengetua yang memimpin guru-guru, menjadi penyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran serta menjadi pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam. Maka, menjadi tanggungjawab guru untuk menyediakan suasana sekolah dan bilik darjah yang kondusif supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berlaku dengan lancar. Hook dan Vass (2000) mendefinisikan kepimpinan bilik darjah sebagai satu kemahiran di mana guru menggunakan kepimpinan untuk mengurus dirinya sendiri dan berkomunikasi dengan yang lain. Selain dari itu, kemahiran ini adalah satu kebolehan untuk mengaitkan perkara yang berlaku sehari-hari dengan interaksi dua pihak. Kemahiran ini juga merupakan kebolehan guru untuk menyampaikan visi kepada murid-murid dan dapat menyakinkan mereka supaya mengikut. Kepimpinan dalam bilik darjah wujud dalam keadaan berikut: Apabila murid-murid mencapai sesuatu yang mereka tidak jangka dapat capai di dalam setiap bilik darjah; Setiap kali apabila terdapat pertumbuhan yang positif walaupun sedikit dalam personaliti mereka ketika kehadiran seseorang guru; Apabila seorang guru mengangkat tangan semua murid dalam bilik darjah menjadi senyap; dan Setiap kali murid-murid mengharapkan panduan atau teladan dari seseorang guru.

Kepimpinan di bilik darjah tidak hanya bergantung kepada guru semata-mata. Hal ini adalah kerana pelajar-pelajar juga boleh menjadi pemimpin kepada rakan-rakan mereka.

Mereka boleh diberikan kuasa oleh guru untuk menjalankan tanggungjawab seperti ketua bilik darjah, penolong ketua bilik darjah dan sebagainya. Dalam hal ini, guru menjadi agen terpenting untuk membentuk pemimpin kepada pelajar dan guru sanggup untuk memberi kuasa kepada pelajar. Kepelbagaian pemimpin yang boleh diwujudkan kerana di dalam bilik darjah itu sahaja ada dua jenis pemimpin iaitu: 1) Guru kelas atau guru subjek; dan 2) Pelajar yang diberi kuasa untuk memimpin sama ada guru ada di dalam kelas ataupun tidak. Bagi Hook dan Vass (2000); kepimpinan bilik darjah yang berkesan memerlukan guru yang memiliki kemahiran-kemahiran berikut: 1. Boleh mengembangkan keupayaan untuk memahami dan mempunyai visi; 2. Mempunyai kemahiran menghasilkan hubungan yang berkesan; 3. Memahami tingkah laku dan keinginan murid-muridnya; 4. Berkebolehan mencari penyelesaian dan menganalisis maklumat. Memang tidak dinafikan bilik darjah menjadi penyumbang kepada kecemerlangan pelajar kerana ia merupakan tempat terpenting di sekolah di mana berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. Guru sangat bertanggungjawab untuk membentuk iklim dan budaya bilik darjah yang baik kerana suasana bilik darjah kondusif membantu peningkatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna. Iklim bilik darjah yang baik biasanya dikaitkan dengan kepatuhan dan keseronokan pelajar bersama guru dalam bilik darjah tersebut. Guru berperanan sebagai penggerak dan pengubah iklim bilik darjah yang kurang menyerlah kepada yang lebih kondusif. Iklim bilik darjah akan menjadi bertambah baik jika sistem penyeliaan bilik darjah diurus dengan berkesan. Tanggungjawab untuk menceriakan bilik darjah ini boleh dilakukan bersama-sama dengan pelajar kerana mereka lebih mengetahui suasana manakah yang terbaik untuk membantu mereka semasa belajar. Dalam hal ini, pelajar diberikan

tugasan untuk penyediaan bahan dan alatan untuk digunakan di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, pelajar boleh membantu guru menyediakan peta minda, carta organisasi kelas dan gambar-gambar yang menarik untuk mewujudkan iklim yang kondusif. Selain daripada mengajar di dalam kelas, guru juga perlu mendidik para pelajar mereka supaya mempunyai akhlak yang baik. Memang tidak dinafikan dalam sistem pendidikan pada masa sekarang, guru harus berdepan dengan pelbagai masalah disiplin para pelajar. Guru bukan sahaja perlu menyampaikan ilmu yang terkandung dalam sukatan pelajaran tetapi harus mendidik mereka supaya menjadi manusia yang mempunyai peribadi yang mulia. Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegur sikap guru yang tidak member pengajaran menyeluruh kepada pelajar dan hanya menumpukan perhatian mengajar mata pelajaran yang ditugaskan kepada mereka. Maka, sikap guru yang sekadar menyampaikan maklumat mata pelajaran yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka perlu diperbetulkan. Cabarannya lebih besar dan

berbeza kerana pola jantina guru juga semakin menjurang antara lelaki dan wanita. Ketidakseimbangan nisbah guru wanita dan lelaki yang kian meruncing di sekolah rendah dan menengah menimbulkan isu di mana guru wanita menyebabkan disiplin pelajar kian merosot. Majoriti lelaki tidak berminat menjadi guru kerana imbuhannya tidak sehebat profesion lain seperti para jurutera dan doktor perubatan. Maka kini tanggungjawab menjadi guru banyak digalas oleh wanita dan merupakan pilihan kedua buat para lelaki. Sifat wanita yang lemahlembut menjadi isu di mana pelajar tidak takut kepada guru wanita. Kepimpinan Islam amat mementingkan persoalan akhlak, sifat-sifat mulia, kemampuan dan kewibaan dalam memimpin ummah. Menurut Aminuddin Mohd. Yusof (1990), sebagai pemimpin yang menjadi model kepada yang dipimpin seharusnya mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam aspek tertentu untuk melayakkan dirinya sebagai qudwah terbaik dan pemimpin yang berwibawa. Sehubungan dengan itu, ilmu pengetahuan adalah aset penting untuk memastikan wujudnya kualiti kepimpinan. Pendidik yang kaya dengan ilmu akan dapat

member keyakinan kepada pelajar sehingga martabat pendidik di anggap sebagai ulamak (Ab. Halim Tamuri et al,2005). Pendapat di atas telah diperkukuhkan lagi oleh Zawawi Ahmad (1991) dalam Ab. Halim Tamuri et al (2005) yang menjelaskan bahawa pendidik berperanan sebagai

pemimpin,pembimbing dan pengajar masyarakat. Mereka diharapkan dapat memimpin generasi muda ke arah kehidupan yang selamat dan sejahtera. Menurut beliau, pendidik juga seharusnya melaksanakan konsep kepimpinan melalui teladan. Hadari Nawawi (1993) dalam Ab. Halim Tamuri et al (2005) turut menyatakan bahawa kepimpinan pendidik yang lebih mantap dan efektif adalah melalui beberapa cirri berikut antaranya: 1. Sikap dan perilaku pendidik yang baik. 2. Akhlak yang terpuji dan baik. 3. Kemampuan menggerak terhadap pimpinannya. 4. Kemampuan dalam memotivasikan pimpinannya. Pendidikan melalui contoh teladan amat penting kerana para pelajar akan meniru sifatsifat yang baik dan akhlak yang mulia guru-guru mereka. Dalam hal ini,, guru atau pendidik perlu bertindak sebagai role model dan mengamalkan nilai-nilai moral dan adab yang baik seperti ditegaskan oleh Abdul Rahman Md. Aroff (2002), di mana guru hendaklah bertindak sebagai caregiver, model dan mentor. Begitu juga, fungsi guru bukan sekadar sebagai muallim, bahkan sebagai murabbi dan muaddib seperti mana yang dikehendaki oleh Islam. Guru juga perlu menjadi idola atau model akhlak terbaik yang boleh dijadikan contoh oleh para pelajar. Hanya dengan kesediaan guru menerima tugas dan peranan ini secara ikhlas dan bersungguhsungguh, barulah usaha ke arah mendidik pelajar dan menyampaikan ilmu dapat dilakukan. Dalam pendidikan di sekolah, contoh teladan yang baik amat besar pengaruhnya terhadap

pendidikan dan pembinaan akhlak seseorang individu, terutama kepada pelajar-pelajar sekolah. Seseorang pelajar memperoleh pelbagai ragam tingkah laku melalui pemerhatian tingkah laku orang lain di sekelilingnya. Peniruan melalui contoh teladan yang baik menjadikan seseorang pelajar itu memperoleh tingkah laku dan sikap-sikap yang baik. Berdasarkan kajian kepimpinan pendidikan, golongan pendidik disaran melaksanakan cirri-ciri kepimpinan yang baik dan berkualiti seperti yang diamalkan oleh Baginda Rasullulah s.a.w. Namun realiti ini masih belum berlaku, konsep mendidik, membimbing dan memimpin telah semakin luntur disebabkan terlalu memberi fokus kepada pemindahan dan penyampaian ilmu dan maklumat, penekanan prestasi akademik dan berorientasikan peperiksaan sematamata (Ab. Halim Tamuri dan et al 2005). Umat Islam sudah mengetahui Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh sesorang itu berbuat sesuatu apabila baginda terlebih dahulu mengerjakan perkara tersebut dan tidak melarang seseorang itu berbuat sesuatu sehinggalah baginda menjauhinya terlebih dahulu. Sikap seperti ini hendaklah diikuti oleh semua guru sehingga tingakh laku laku yang baik sama ada dalam pekerjaan, ilmu pengetahuan dan sebagainya memberi kesan kepada diri pelajar. Ini bermakna guru haruslah bersifat terpuji, iaitu bercirikan insan cemerlang, bijak memimpin, berakhlak, mempamerkan teladan yang baik dan berketrampilan. Oleh itu, tidak ragu lagi contoh teladan yang baik yang ditunjukkan oleh pengetua dalam amalan pengajarannya dipandang sebagai salah satu kaedah utama dalam pembentukan akhlak pelajar. Akhlak yang baik akan memudahkan pelajar mendisiplinkan diri seterusnya membantu ke arah mencapai kejayaan dalam kurikulum dan kokurikulum sekolah. Sehubungan dengan itu, kewibawaan pendidik Muslim adalah sangat penting untuk melaksanakan usaha mendidik dan memimpin pelajar secara lebih berkesan. Keunggulan dan keluhuran peribadi Rasullullah s.a.w. jika diterapkan dalam diri setiap pendidik, maka mereka

akan dapat menjadi role model kepada para pelajar seterusnya berusaha menjadi pelajar yang terpuji. Dalam hal ini, didapati masih ramai pendidik tidak mampu menjadikan dirinya sebagai role model terbaik terhadap pelajar, malah ada masih tidak dapat menerapkan nilai-nilai murni mulia ke dalam diri pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kegagalan pendidik dalam memperkasa nilai murni dan sifat mahmudah ke dalam diri pelajar menjadi faktor krisis akhlak dan disiplin pelajar hari ini yang semakin meruncing. Perkara ini seharusnya disedari oleh semua pendidik untuk membina kekuatan diri sebagai pendidik dan pemimpin pendidikan berteraskan kepada kepimpinan Rasulullallah s.a.w. demi kesejahteraan dan kegemilangan ummah (Ab. Halim Tamuri dan et al 2005). Dalam memastikan kepimpinan guru berkesan, komunikasi di antara guru sebagai pemimpin dan pelajar sebagai pengikut amat penting. Komunikasi secara ringkasnya bermaksud perkongsian makna, proses atau perlakuan komunikasi, mesej sebenar yang dihantar atau diterima, dan kajian mengenai proses yang terlibat dalam menghantar serta menerima mesej (Azizi Yahaya dan et al,2005). Dalam pendidikan, selain mengajarkan ilmu bagi satu-satu matapelajaran, guru juga saling berkomunikasi dengan murid pada setiap masa. Ini kerana komunikasi tidak dapat dielak. Proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) banyak melibatkan proses komunikasi. Proses P&P bukan sahaja bermatlamatkan menjadikan pelajar berilmu pengetahuan tetapi juga pembentukan sahsiah diri mereka dengan menerapkan kemahiran-kemahiran yang berguna. Proses P&P di sekolah melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi sama ada dengan pihak pentadbiran, rakan sejawat, masyarakat luar dan yang paling utamanya adalah interaksi antara guru dan pelajar. Komunikasi tidak terikat dalam bentuk sehala sahaja dan lebih menarik jika proses P&P dijalankan secara komunikasi dua hala di dalam bilik darjah. Malah ada masanya, guru juga bertindak sebagai penerima dan pelajar pula bertindak sebagai penyampai. Ini bergantung kepada proses interaksi yang dicorakkan oleh mereka.

Guru yang berkesan perlu memahami proses komunikasi yang melibatkan perkaraperkara-perkara seperti komunikator, berita, saluran, penerima dan maklum balas. Banyak faktor yang boleh mengganggu proses komunikasi. Persepsi atau tanggapan penerima, bunyi bising, penggunaan bahasa dan penilaian merupakan jenis gangguan yang ringkas. Guru sebagai pemimpin yang berkesan perlu memahami rintangan ini, dan perlu mengetahui cara mengatasinya (Azizi Yahaya dan et al,2005). Komunikasi yang baik amat penting kerana ia dapat merapatkan jurang di antara guru dan pelajar dan seterusnya melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai pemimpin yang berkesan, guru harus menyedari bahawa komunikasi antara guru dengan pelajar memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan keberkesanan proses P&P. Komunikasi guru yang lemah akan menjejaskan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dan masalah ini juga menyebabkan mesej yang disampaikan oleh guru disalah tafsir atau kurang difahami oleh pelajar. Selain daripada tugas guru mengajar untuk di dalam kelas, guru juga harus mencipta hubungan yang baik dengan anak didik mereka. Kewujudan hubungan yang baik antara pendidik dengan anak didiknya boleh menjadi faktor penentu berkaitan dengan keberkesanan proses pengajaran guru dan pembelajaran pelajar.Para pendidik kemungkinan boleh lebih fleksibel dan mempelbagaikan jenis hubungan dengan para pelajar mereka sebagi kawan, sebagai murid atau pelajar, sebagai ibubapa, sebagai fasilatator dan sebagainya. Hubungan guru dengan pelajar yang bermasalah tentunya akan mempengaruhi minat pelajar terhadap pelajaran yang diajar. Hubungan baik yang dicipta boleh merapatkan jurang antara guru dan pelajar kadangkala renggang kerana ada sesetengah daripada guru tiada masa untuk meluangkan masa mereka kepada pelajar lantaran kesibukan tugas yang menghambat mereka. Apabila pelajar rapat dengan guru, mereka tidak akan segan untuk berbincang tentang pelajaran atau pun masalah peribadi mereka semasa di dalam kelas atau pun di luar kelas.

Untuk menjamin kecemerlangan para pelajar, guru memainkan peranan penting dalam mewujudkan hubungan baik dengan ibu-bapa pelajar. Seorang guru yang bertanggungjawab dan mempunyai dedikasi dalam tugas mereka seharusnya mempunyai hubungan baik dengan ibu-bapa para pelajar agar dapat saling bertukar maklumat dan berkongsi idea untuk membimbing para pelajar ke arah pencapaian akademik yang cemerlang. Ini amat penting kepada guru supaya mereka dapat mengetahui masalah pelajar di rumah jika pencapaian pelajar-pelajar kurang memberangsangkan di sekolah. Selain daripada itu, ibu-bapa juga dapat mengetahui perkembangan akademik anak-anak mereka di sekolah melalui guru yang mengajar anak-anak mereka. Ada juga guru yang tidak mengenali pelajar sendiri, jauh sekali untuk mengenali kelaurga pelajarnya. Sebagai contoh, guru dibenci ibu-bapa kerana menjentik anak mereka dan dalam kes kedua, guru menerima ucapan terima kasih daripada ibu-bapa selepas menibai (memukul) pelajar. Kedua-dua kes ini, berkait rapat dengan perhubungan yang terjalin antara guru dengan ibu-bapa. Kerana itu, jika guru berhubungan baik dengan ibubapa, mereka tidak akan melenting sekiranya guru tersebut memukul untuk tujuan mengajar anak mereka di sekolah. Dalam pemantapan akhlak para pelajar, guru sepatutnya sentiasa memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mereka. Al-Quran dan hadis juga banyak menggunakan kaedah pengajaran dan nasihat dalam membentuk dan mendidik akhlak manusia. Menurut Asmawati Suhid (2009), kaedah pengajaran dan nasihat yang digunakan dalam al-Quran dan hadis dapat mendidik manusia ke arah kebenaran, kebaikan dan kesejahteraan sehingga dapat membangkitkan rasa kesedaran dan keyakinan kepada ajaran Islam. Al-Quran mempunyai pelbagai cara dalam pengarahannya tentang dakwah, mengingati Allah, menyampaikan peringatan, bimbingan dan nasihat. Contohnya, al-Quran mengajarkan manusia supaya berlemah-lembut dalam perkataan ketika memberi nasihat dan berdakwah, berlaku adil walaupun berlainan bangsa, agama dan keturunan, kawan ataupun lawan, diri-sendiri atau

kaum kerabat, berbuat baik kepada kedua-dua ibu-bapa, menghormati hak orang lain dan lainlain lagi. Tambahnya lagi, bimbingan yang ikhlas serta nasihat yang berkesan itu, jika diletakkan kepada jiwa yang bersih, hati yang jujur, akal yang waras dan mengerti, maka sudah tentu akan cepat diterima. Malah, akan memberikan kesan kepada jiwa seseorang. Melalui nasihat dan bimbingan daripada guru diharap dapat membentuk pelajar kea rah keperibadian yang mulia. Selain daripada itu, guru haruslah memberi pendidikan kepada pelajar-pelajar mereka melalui denda dan hukuman. Denda dan hukuman ini amat penting supaya dapat menghentikan perilaku pelajar yang negatif. Sanjungan dan hukuman adalah berkait rapat dengan kewujudan sistem di sesebuah sekolah. Sanjungan adalah rasa kepuasan seseorang ketika mendapatkan ganjaran atas sesuatu yang sudah dilakukan, manakala hukuman merupakan rasa sakit seseorang apabila dikenakan tindakan. Hukuman dalam dunia pendidikan sebagai langkah terakhir untuk melurus dan memperbaiki akhlak anak didik (Gamal Abdul Nazir Zakaria 2003). Pendidik tidak boleh menghukum pelajar kecuali selepas menggunakan segala bentuk nasihat, amaran dan pengajaran. Ini bertujuan mendalamkan hubungan kasih sayang antara guru dan pelajar seakan hubungan ibu bapa dan anak Oleh itu, setiap guru hendaklah memastikan hukuman tidak mengandungi unsur-unsur kekerasan dan sifat balas dendam. Motif hukuman adalah semata-mata untuk melatih dan memperbaiki tingkah laku pelajar supaya mereka boleh membuat perubahan diri. Menurut Gamal (2003), seseorang pendidik tidak dibenarkan memukul pelajarnya dalam keadaan marah. Tindakan tersebut menyebabkan hilangnya tujuan mendidik dan berubah menjadi pemuasan atau pembalasan dendam terhadap pelajar. Selain itu, guru juga berperanan sebagai kaunselor untuk membantu pelajar-pelajar yang bermasalah. Setiap guru harus bersifat terbuka supaya pelajar tidak berasa segan untuk berkongsi masalah. Dengan ini, ia dapat membantu pelajar yang menghadapi stress, kemurungan dan kurang keyakinan diri untuk menjadi lebih baik dan berfikiran positif. Maka

masalah disiplin pelajar dapat dikurangkan kerana mereka akan lebih berfikiran positif dan tidak menurut perasaan dalam melakukan sesuatu tindakan. Menurut Liong Lian Tai dalam kertas kerjanya Masalah Disiplin Murid Di dalah Sebuah Sekolah Rendah Luar Bandar Di daerah Sarikei dalam Seminar Penyelidikan Pendidikan 2006, pendekatan memberi nasihat atau bimbingan kaunseling boleh dianggap lebih sesuai dengan masyarakat, budaya dan iklim sekolah di Malaysia. Maka, guru perlu member nasihat dahulu sebelum menghukum seseorang pelajar. Dalam hal ini, kestabilan emosi guru tersebut diperlukan supaya dapat bertindak mengikut keadaan. Kadangkala kepimpinan guru tidak menjadi kerana masalah pada diri guru itu sendiri. Apabila kepimpinan guru itu tidak menjadi, para pelajar tidak harus dipersalahkan kerana mungkin guru itu sendiri yang tidak dapat memimpin para pelajarnya. Ada sesetengah guru yang mmpunyai masalah etika dan disiplin seperti masuk ke kelas lewat ataupun datang lewat ke sekolah, memakai pakaian yang menjolok mata, tidak menggunakan waktu pengajaran dan pembelajaran dengan sepenuhnya. Maka, guru itu sendiri harus mengubah dirinya ke arah lebih baik sebelum bertindak sebagai pemimpin kepada para pelajar. Hal ini adalah kerana guru adalah role model kepada para pelajar.

4.0

Penutup Kesimpulannya, kepimpinan guru di bilik darjah amat penting kerana pengajaran dan

pembelajaran yang berkesan dan cemerlang biasanya diterajui oleh seorang guru yang berkesan dan cemerlang. Guru sebagai pemimpin pengajaran perlu membuat pembaharuan dalam pedagogi supaya penyampaian maklumat dan ilmu pengetahuan kepada pelajar lebih berkesan dan bermakna. Guru perlu sentiasa berusaha untuk memajukan diri, sentiasa membuat refelksi dalam proses pengajaran dan pembelajaran, menggalakkan pelajar untuk lebih berdikari, dan menerapkan semangat kerjasama dan kolaboratif dalam bilik darjah. Guru bersama-sama dengan pelajar mestilah memupuk pembelajaran sepanjang hayat untuk memastikan pencapaian akademik tertinggi dan pembinaan akhlak yang terbaik.

Rujukan: Abdul Ghani Abdullah dan Abd. Rahman Abd. Aziz (2009), Mengurus Tingkah Laku Pelajar, PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Ab. Halim Tamuri, Mohd Izham Hamzah, Masribanun Duki. 2007. Penilaian pelajar-pelajar sekolah menengah terhadap amalan kepimpinan guru Pendidikan Islam. Institut Aminuddin Baki. http://www.iab.edu.my/jurnal.php

Abdullah Hassan, Ainon Mohd. 2005. Teori & Teknik Kepimpinan. PTS Professional Publishing

Abdul Rahman Md. Aroff dan Asmawati Suhid. Etika dalam Pentadbiran Sekolah dalam Asmawati Suhid. 2009. Pendidikan Akhlak dan Adab Islam: Konsep dan Amalan. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Abdullah Sani Yahaya, Abdul Rashid Mohamed, Abd. Ghani Abdullah, 2007. Guru sebagai Pemimpin. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Ahmad Kilani Mohamed, Pengurusan Pendidikan di Sekolah: Huraian Menurut Perspektif Islam. 2003. Universiti Malaysia.

Asmawati Suhid. 2009. Pendidikan Akhlak dan Adab Islam, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Azizi Yahaya, Roslan Raja Abd. Rahman, Mohd Salleh Hassan. 2005. Peranan komunikasi kepimpinan diri dan organisasi dalam perspektif Islam. Universiti Putra Malaysia.

Fathiah Saini. 2005. Kepimpinan pengajaran daripada perspektif Islam di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Kertas Projek Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Gamal Abdul Nasir Zakaria. (2003). Prinsip-prinsip pendidikan Islam. Pahang: PTS.

Hajah Noresah Bt. Baharom. 2005. Kamus Dewan Edisi Ke Empat. Dawana Sdn. Bhd., Selangor.

Haris, Mujis. 2005 dalam Abdullah Sani Yahaya, Abdul Rashid Mohamed, Abd. Ghani Abdullah, 2007. Guru sebagai Pemimpin. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Hook, P., & Vass, A., (2000). Confident classroom leadership. London: Fulton.

Katzenmeyer, Molter. 2005 dalam Abdullah Sani Yahaya, Abdul Rashid Mohamed, Abd. Ghani Abdullah, 2007. Guru sebagai Pemimpin. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd., Kuala Lumpur

Lechner, F.J. & Boli, J. 2000. The globalization reader. Oxford: Blackwell Publisher.

Liong Lian Tai Masalah Disiplin Murid Di salah Sebuah Sekolah Rendah Luar Bandar Di daerah Sarikei dalam Seminar Penyelidikan 2006.

Mohd Izaranuddin, 2006 dalam Asmawati Suhid. 2009. Pendidikan Akhlak dan Adab Islam, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Rahmad Sukor Ab. Samad, Shahrir Jamaluddin, 2005. Peranan Kepimpinan guru dalam mempengaruhi iklim bilik darjah. http://www.scribd.com/doc/13720586/Kepimpinan-Guru-Dalam-Mempengaruhi-BilikDarjah

Robiah Sidin, Nor Sakinah Mohamad. 2007. ICT dalam Pendidikan: Prospek dan Cabaran dalam Pembaharuan Pedagogi. Jurnal Pendidikan 32 : 139-152 http://pkukmweb.ukm.my/~jurfpend/articles%20for%20vol%2032%202007%20bm.html

You might also like