You are on page 1of 2

KONSEP PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME

Konstruktivisime merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Konsep ini menggalakkan pelajar menggunakan teknikteknik yang aktif untuk mencipta lebih banyak pengetahuan dan bertindak balas, serta berbincang tentang apa yang mereka lakukan dan bagaimana pemahaman mereka berubah. Sesi-sesi pembelajaran berkumpulan, sumbangsaran, kolaboratif memberi fokus kepada tugasan melibatkan interaksi dapat menggunakan strategi memori untuk memberi penekanan kepada penerokaan informasi yang baru. Selain itu pelajar juga di dedahkan kepada peluang-peluang untuk belajar menilai dan mengakomodasi maklumat ilmu pengetahuan ke arah pemahaman yang lebih kukuh.

Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan yang diajar di sekolah tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada pelajar dalam bentuk yang serba sempurna. Pelajar perlu membina sesuatu pengetahuan itu mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran haruslah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan konstruktivisme. Beberapa tokoh konstruktivsme ialah Rutherford, Ahlgren dan John Dewey.

Kamarudin dan Siti Hajar (2004) di dalam Pedagogi Asas Pendidikan dalam konsep konstrktivisme tiga perkara boleh berlaku: i. Pelajar dapat menyesuaikan maklumat baru dengan pengalaman yang lama. Dengan ini pelajar menambah sesuatu kepada pemahamannya. ii. Terdapat juga maklumat yang tidak sesuai dengan pengetahuan lepas. Pelajar perlu mengubah pemahaman mereka terhadap maklumat tersebut dan mencari padanan untuk disesuaikan dengan maklumat yang sedia ada. iii. Pelajar akan mengetepikan maklumat yang tidak sesuai dengan pengetahuan yang lalu. Pelajar juga akan menolak beberapa maklumat yang tidak akan diserap.

Kami memilih konsep konstrutivisme adalah kerana dengan konsep ini pelajar mempunyai interaksi sosial yang aktif di antara ahli kumpulan. Pelajar belajar dalam kumpulan dan ini akan memaksimumkan kemahiran sosial, komunikasi, interpersonal, kinestetik dan lain-lain kemahiran yang ada di kalangan pelajar tersebut. Idea-idea baru dapat digunakan dalam menyelesaikan masalah pembelajaran di dalam situasi bilik darjah. Melalui konsep ini pelajar bukan hanya belajar untuk diri sendiri tetapi juga untuk rakan-rakan.

Bagi pengajaran kepelbagaian pelajar pula, konsep ini menggalakkan pelajar berkerja secara berkumpulan dan menggunakan rakan sebaya sebagai sumber. Pelajar yang lemah dapat berkongsi maklumat dengan pelajar yang tahap keupayaannya tinggi. Para guru juga dapat mengimbangi pembelajaran secara menyeluruh kerana pelajar lemah tidak ketinggalan setelah mendapat maklumat daripada rakan yang lain melalui aktiviti berkumpulan. Guru membantu pelajar menciptakan situasi di mana pelajar merasa selamat untuk meluahkan pengetahuan serta memberi pendapat. Pelajar bebas bertanya dengan cara sendiri sama ada secara personal atau dalam kumpulan. Dengan ini pelajar yang bersifat pemalu dapat berinteraksi secara aktif tanpa rasa malu dan mula berkeyakinan.

RUJUKAN :

Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. 2004. Pedagogi Asas Pendidikan. Kuala Lumpur : Kayazano Enterprise.

You might also like