You are on page 1of 6

FAKTOR YANG MENJEJASKAN HUBUNGAN GURU DENGAN MURID Melalui kajian yang dijalankan daripada beberapa sumber yang

boleh dipercayai, penulis dapati antara faktor utama yang boleh menjejaskan hubungan guru dengan murid ialah imej dan penampilan guru sendiri yang tidak kemas dan tidak bersih. Penampilan luaran guru memainkan peranan yang penting dalam menarik minat murid-murid sejak pertemuan pertama lagi. Muridmurid menilai guru melalui penampilan yang ditonjolkan, Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. Tidak seperti guru, murid-murid khususnya kanak-kanak merupakan golongan yang sangat mudah dipengaruhi oleh sesuatu secara fizikal. Mereka lebih cenderung meminati apa yang mereka nampak. Jika penampilan guru tidak menarik minat mereka, mereka tidak akan menyukai guru tersebut apatah lagi subjek yang diajar. Ini bukan sahaja menjejaskan hubungan guru dengan murid, malah memberi kesan buruk pada sesi pembelajaran. Apatah lagi sesetengah kes yang lebih teruk guru bukan sahaja berpakaian selekeh malah mempunyai bau badan yang kuat sehingga menyebabkan murid-murid tidak dapat belajar dengan selesa. Islam sendiri mementingkan kebersihan kerana kebersihan yang sempurna merupakan perkara yang sangat penting kerana ia adalah asas ibadat yang dilakukan; Ahmad Sohaimi Lazim. Melalui pengalaman penulis ketika berada di sekolah pada Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang lalu di Sekolah Kebangsaan Kesang Tua, penulis dapati hubungan murid-murid dengan guru-guru yang berpakaian kemas dan bersih sangat baik. Murid-murid kelihatan tidak canggung dan selesa berkomunikasi dengan guru tersebut. Sebaliknya, murid-murid dilihat selalu mengelak dari guru yang selalu berpakaian tidak kemas. Mereka juga kelihatan bosan dan tidak suka menatap wajah guru tersebut ketika sesi pembelajaran. Penampilan guru perlu menunjukkan ciri-ciri profesionalisme guru mengikut etika berpakaian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/1985 Dan Surat Pekeliling

Ikhtisas Bil 7/2001 : Garis Panduan Pakaian Guru Ketika Bertugas Di Sekolah). Sehubungan dengan itu, para guru perlu lebih peka dengan penampilan diri dan etika berpakaian mereka terutamanya pada waktu persekolahan. Pihak pentadbiran sekolah juga sepatutnya lebih bertegas dan memberikan teguran tanpa menjatuhkan air muka guru yang mempunyai masalah penampilan diri ini. Sekurang-kurangnya, dengan penampilan yang lebih kemas dan rapi, muridmurid lebih senang untuk mendekati guru tersebut. Antara faktor lain yang boleh menjejaskan hubungan guru dengan murid ialah masalah komunikasi yang kurang berkesan antara guru dengan murid. Skop komunikasi yang dinyatakan di sini sangat luas merangkumi cara guru berinteraksi dengan murid, cara guru memahami murid dan cara guru menarik perhatian murid ketika berkomunikasi. Anderson dan Brewers 1946 ( Dalam Amir Sharifudin, 1986) dalam kajiannya menunjukkan bahawa terdapat dua jenis tingkah laku guru apabila berinteraksi dengan murid-murid sewaktu mengajar dalam bilik darjah iaitu jenis dominatif dan integratif; Noor Azean Hamzah, 2007. Guru yang bersifat integratif biasanya tidak mempunyai masalah dengan murid memandangkan mereka lebih memahami murid, menerima pendapat murid, lebih terbuka dan bersimpati dengan masalah murid. Sebaliknya, guru yang dominatif suka menengking dan memarahi murid, bersikap dingin dengan murid, dan biasanya hanya menjalankan komunikasi satu hala. Guru sebegini biasanya tidak disukai murid dan mempunyai masalah dalam hubungan dengan murid. Murid akan menjauhkan diri dan membenci guru tersebut. Proses pembelajaran juga tidak dapat berjalan dengan lancar. Bagi mengatasi masalah ini, penulis mencadangkan supaya guru-guru diberi pendedahan dan kursus bagi menguasai teknik komunikasi. Guru-guru haruslah didedahkan tentang psikologi pelajar terutamanya kanak-kanak di peringkat sekolah rendah. Umumnya, perkara ini telah didedahkan dalam kursus untuk menjadi seorang guru, namun masih boleh ditingkatkan dengan menitik beratkan secara praktikal lebih daripada teori. komunikasi merupakan tunjang utama dalam menentukan baik buruk hubungan seseorang guru dengan murid.

Selain itu, personaliti seorang guru juga memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan baik dengan murid. Ironinya, guru dianggap sebagai seorang yang berakhlak mulia, bertanggungjawab, jujur dan sebagainya. Disebabkan itu, guru dianggap sebagai role model bagi murid-murid sehingga ada pelajar yang melebihkan guru daripada ibu bapa mereka sendiri. Bandura (1965) menyatakan bahawa perlakuan kanak-kanak dipengaruhi dengan kuatnya oleh orang dewasa, Ahmad Sohaimi Lazim. Disebabkan itu, guru perlu menunjukkan contoh teladan yang baik untuk murid-murid. Walau bagaimanapun, Rambut sama hitam, hati lain-lain, peribahasa inilah yang menggambarkan golongan guru pada masa kini. Tidak semua guru personaliti guru mencerminkan imej guru yang sepatutnya. Terdapat segelintir guru yang tidak bertanggungjawab, tidak komited malah lebih buruk dengan mengambil kesempatan terhadap anak didik mereka sendiri. Pelajar sekolah di Limpopo, Soweto telah memboikot kelas sejak awal tahun lalu selepas mendakwa guru mereka meminta pelajar perempuan melakukan hubungan seks, Berita Harian 5 Februari 2012. Sementara itu, di Malaysia sendiri kes sebegini sudah acap kali berlaku. Dalam keratan akhbar Kosmo 14 Februari 2012, Seorang guru sekolah rendah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen, selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol dan mencabul murid tahun enam di makmal sains sekolah itu, pada 2009. Dalam penghakimannya, Hakim mahkamah majistret, Rafeah berkata, tertuduh sepatutnya menjaga hubungan antara murid dan guru yang dianggap suci serta bertanggungjawab. Kes-kes seumpama inilah yang merosakkan hubungan baik antara guru dengan murid di mana sifat guru seperti ini menyebabkan murid hilang kepercayaan terhadap guru mereka. Murid-murid akan menganggap semua guru sama dan bersikap prejudis terhadap mereka. Hal inilah yang menjadi sebab hubungan murid dan guru yang baik boleh terjejas. Bagi mengatasi hal ini, sebaiknya pemilihan calon guru dilaksanakan dengan lebih tegas dan terperinci. Hal ini bagi mengelakkan guru yang tidak

layak berada sebaris dengan barisan guru-guru yang benar-benar layak. Jika melihat kepada kaedah pengambilan yang diamalkan sekarang ternyata tiada penyelarasan antara pihak universiti, unit pusat universiti dan Bahagian Pendidikan Guru. Unit Pusat Universiti tidak mengamalkan temu duga sebagai syarat kemasukan; Ahmad Sohaimi Lazim. Tiada masalah bagi pemilihan guru mengikut aspek kelayakan dalam bidang pengetahuan sebaliknya, dari aspek personaliti biasanya pihak penemu duga tidak dapat menilai personaliti seseorang. Disebabkan itu penapisan dari aspek personaliti harus dikaji dan diteliti supaya lebih tegas dan terperinci bagi melahirkan guru yang benar-benar bertanggungjawab, berdedikasi dan amanah dalam kerjaya. Dalam menjaga hubungan guru dan murid, bukan hanya guru yang memainkan peranan sebaliknya murid juga boleh menjadi punca keretakan hubungan guru dan murid. Dalam sesetengah perkara, guru telah berusaha sehabis baik dalam menjaga hubungan dengan murid. Malangnya, terdapat segelintir pelajar yang terlalu mengambil mudah akan urusan sekolah. Mungkin kerana mereka tidak berminat untuk ke sekolah dan sekadar memenuhi kehendak ibu bapa. Murid seperti ini biasanya tidak akan berminat dengan apaapa sahaja aktiviti di dalam kelas. Mereka akan bersikap sambil lewa terhadap arahan guru mereka dan memberontak apabila guru cuba untuk menegur atau mengambil tindakan. Penulis sendiri dapat memerhatikan fenomena ketika PBS yang lalu di mana seorang guru cuba untuk mengambil hati murid-murid dengan bertolak ansur dan tidak mengambil hati dengan sikap murid beliau. Sebaliknya, segelintir murid-murid tersebut seakan-akan tidak menghargai guru mereka malahan tidak menghiraukan guru mereka dengan melakukan aktiviti lain seperti tidur sewaktu sesi pembelajaran. Terdapat banyak faktor pelajar berkelakuan seperti ini. Salah satu puncanya ialah ramai pelajar yang kurang bermotivasi disebabkan pengaruh perasaan rendah diri yang menjadikan mereka merasa tidak mampu menyaingi orang lain; Abd. Rahim Abd Rashid, 1999. Justeru, mereka tidak berminat untuk belajar apatah lagi mendengar kata guru mereka.

Masalah seperti ini boleh diatasi dengan usaha pelajar itu sendiri. Guru hanya mampu memberi nasihat dan perangsang, namun, tindakan hanya boleh diambil oleh pelajar. Pelajar seharusnya berusaha menjaga hubungan baik dengan guru melalui pelbagai cara. Walaupun pelajar terbabit berasa rendah diri atau kurang berminat dengan subjek yang dipelajari, mereka sepatutnya cuba untuk memahami hati seorang guru dan berusaha untuk berubah. Antaranya dengan menyiapkan semua kerja rumah yang diberikan, hatta jika mereka tidak mampu, sekurang-kurangnya mereka berusaha. Guru akan berasa bahawa pengajarannya dihargai dan sampai ke pemikiran pelajarnya jika kerja rumah yang diamanahkan itu siap serta dilakukan dengan betul dan sempurna; Ikhwan Assafa, 2009. Antara faktor lain yang boleh merenggangkan hubungan guru dengan murid ialah faktor kekangan masa. Seperti yang sedia maklum, sesi pembelajaran di sekolah rendah hanya singkat waktunya terutamanya untuk guru yang mengajar subjek yang kurang dalam seminggu. Dalam sesi p&p, guruguru lebih terikat untuk mengajar supaya silibus pelajaran tidak ketinggalan. Biasanya guru sukar untuk mengenali pelajar dengan lebih mendalam. Pelajar juga tidak dapat merapatkan hubungan dengan guru. Waktu pertemuan yang singkat hanya membolehkan mereka memenuhinya dengan hal-hal pelajaran. Sehubungan dengan itu, hubungan guru dengan murid menjadi terbatas dan kekok. Pihak pentadbiran sekolah atau guru sendiri harus mencari peluang untuk merapatkan hubungan dengan murid melalui alternatif lain. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh menganjurkan rombongan yang melibatkan murid dan guruguru yang mengajar mereka. Dari sini, murid dapat mengenali guru mereka dari satu sudut lain selain dari waktu p&p. aktiviti-aktiviti yang dijalankan sempena Hari Guru, Hari keluarga mahupun Hari Sukan juga mampu mengeratkan hubungan guru dengan murid. Maka, baik guru, mahupun murid sendiri tidak kekok dan lebih selesa untuk berkomunikasi dalam suasana yang seronok dalam sesi pembelajaran di dalam kelas.

You might also like