You are on page 1of 2

Peranan Angkasa Pada Peringkat Global Berkesan

SABTU, 3 Julai 2004 merupakan Hari Koperasi Antarabangsa yang diisytiharkan oleh Ikatan Koperasi
Antarabangsa (ICA). Ia merupakan Hari Koperasi Antarabangsa ICA Kali Ke-82 dan Hari Koperasi
Antarabangsa Kali Ke-10 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sebenarnya tarikh Hari Koperasi
Antarabangsa diisytiharkan jatuh pada Sabtu pertama setiap tahun. Bersempena dengan Hari Koperasi
Antarabangsa ini juga, ICA telah mengeluarkan perutusan khas perayaan dan pada tahun ini. Tema
perutusan tersebut adalah Koperasi Untuk Globalisasi Yang Adil : Membuka Peluang Untuk Semua.

Bersempena dengan perayaan pada tahun ini juga elok kita renung sejenak akan kejayaan gerakan koperasi
di Malaysia yang kini mempunyai keahlian individu kira-kira 4.6 juta orang. Telah banyak kejayaan yang
dicapai oleh gerakan koperasi negara malah, dalam sesetengah keadaan, koperasi boleh diiktiraf sebagai
perintis dan pencetus idea dalam memajukan sosioekonomi anggotanya. Koperasi juga turut menjadi
peneraju contoh dalam bidang pengurusan berpegangkan kepada moto ‘satu untuk semua dan semua untuk
satu’.

Dalam perkara ini, ANGKASA juga telah banyak memberi sumbangan serta buah fikiran bagi kejayaan dan
kemajuan koperasi di negara ini. Dalam bidang pendidikan, ANGKASA telah dan akan sentiasa berusaha
menjadikan koperator di negara ini sebagai koperator berilmu dan mampu memberi sumbangan yang
bermakna kepada kejayaan koperasi. ANGKASA juga telah menjalankan khidmat potongan gaji kepada
koperasi-koperasi kredit khususnya sebagai salah satu perkhidmatan yang berjaya mengutip yuran serta
bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh anggota koperasi. Perkhidmatan ini ternyata besar manfaatnya
kepada koperasi di seluruh negara.

Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz berkata, ANGKASA akan berusaha menambahkan
perkhidmatan kepada koperasi sejajar dengan perkembangan semasa.

Menurut beliau, ANGKASA sentiasa mementingkan menambah ilmu kepada koperator dan bidang
pendidikan ini akan terus diperluas agar lebih ramai koperator berpeluang meningkatkan ilmu pengetahuan
mereka dalam bidang koperasi.

Prof. Diraja Ungku A. Aziz seterusnya menerangkan gerakan koperasi di Malaysia telah dikenali pada
peringkat antarabangsa terutamanya gerakan koperasi sekolah dan kejayaan tersebut merupakan usaha
berterusan ANGKASA dalam memajukan koperasi sekolah. Sokongan daripada semua pihak terhadap
kemajuan koperasi sekolah turut menyerlahkan lagi kejayaannya.

Beliau juga berharap para koperator di negara ini akan berusaha gigih bagi menjadikan gerakan koperasi
negara berjaya dan boleh membantu meningkatkan pembangunan negara.

Sementara itu Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah Rahaiah Baheran berkata, telah banyak sumbangan
ANGKASA dalam berkongsi pengalaman kejayaan dengan gerakan koperasi pada peringkat kebangsaan
dan antarabangsa demi kemajuan koperasi sejagat. Menurut beliau, peranan ANGKASA dalam Gerakan
Koperasi Antarabangsa telah mendapat pengiktirafan dan suara gerakan koperasi di Malaysia kini didengari
pada peringkat antarabangsa. Pandangan ANGKASA ini turut diteliti dan dalam banyak keadaan ia menjadi
peneraju kepada perlaksanaan program tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan
(B4P) berkata, ANGKASA sentiasa turut serta dalam memberikan pandangan bagi membuat keputusan-
keputusan penting pada peringkat antarabangsa.

“Ini merupakan sumbangan ANGKASA dalam gerakan koperasi sejagat dan usaha ini akan diteruskan demi
memastikan kita dapat menelurkan idea bernas demi kebaikan gerakan koperasi,” ujar beliau.
Menurut Hajah Rahaiah, peranan ANGKASA pada peringkat antarabangsa dapat dirasai dan ia menjadi
lebih bermakna apabila ANGKASA turut diminta menjadi tuan rumah dalam pelbagai kegiatan koperasi
pada peringkat global dan serantau.

Terkini menurut beliau, ANGKASA telah diberi tanggungjawab untuk menganjurkan seminar koperator
muda pada bulan September 2004 dan seminar pada peringkat serantau ini akan memberi fokus kepada
pembangunan koperator muda dan peranan mereka dalam persekitaran yang berubah.

Hajah Rahaiah yang juga Ahli Jawatankuasa Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) Global berkata,
ANGKASA turut mengenengahkan idea untuk pembangunan koperator wanita supaya mereka turut
menjadi tenaga penggerak ke arah kejayaan koperasi yang mereka anggotai. Malah katanya, koperator
wanita telah memainkan peranan yang aktif demi kejayaan sesebuah koperasi.

Sehubungan itu menurut beliau, ICA rantau Asia dan Pasifik telah bersetuju menjadikan program
pembangunan wanita sebagai program serantau dengan tumpuan khusus kepada latihan untuk jurulatih.
Setakat ini ANGKASA telah melaksanakan program latihan kepada jurulatih dengan jayanya.

Beliau berkata, program ini telah mendapat persetujuan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Koperasi rantau
Asia-Pasifik. Ini bererti program pembangunan wanita telah mendapat pengiktirafan kerajaan-kerajaan
negara berkenaan, malah sesetengah kerajaan negara-negara berkenaan telah meletakkan sasaran bagi
pencapaian koperator wanita.

Hajah Rahaiah berkata, program terbaru pembangunan wanita telah berlangsung di Iran dan ia turut disertai
oleh wakil-wakil koperator wanita negara serantau.

Bagi meningkatkan pencapaian perniagaan koperasi pula, Hajah Rahaiah berkata, ANGKASA akan turut
merangka dan mengkaji program yang berkaitan dengan keusahawanan yang boleh memberi banyak
manfaat kepada koperasi. Program ini dijangka amat sesuai bagi membantu meningkatkan pencapaian
koperasi bukan sahaja pada peringkat nasional malah hingga ke peringkat antarabangsa. Katanya,
rangkaian perniagaan koperasi pada peringkat antarabangsa boleh diwujudkan dan ia begitu berpotensi bagi
merintis kerjasama perniagaan di kalangan koperasi.

Sehubungan itu, jalinan perniagaan boleh diwujudkan pada peringkat antarabangsa di kalangan koperasi
dan untuk itu seminar pada peringkat serantau turut diadakan bagi mewujudkan dana yang boleh membantu
menyediakan modal bagi perniagaan koperasi yang berpotensi.

Bagi peringkat permulaan, Thailand akan menjadi tuan rumah pada Disember 2004 ini bagi menganjurkan
Seminar ‘Keusahawanan Koperasi Di Kalangan Koperator Wanita Rantau Asia-Pasifik’ yang akan
membincangkan penubuhan dana ini. Beliau berharap cadangan penubuhan dana ini akan menjadi
kenyataan dan ia dapat meningkatkan perniagaan koperasi.

Menurut beliau, ANGKASA merupakan penggerak utama bagi menjayakan seminar ini dan ANGKASA
sedia berkongsi pengalaman serta menjadi penggerak ke arah kemajuan koperator wanita rantau Asia-
Pasifik.
Beliau seterusnya berkata, sebagai badan yang diiktiraf oleh kerajaan bagi mewakili gerakan koperasi
Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, ANGKASA akan terus memainkan peranan yang
berkesan bagi memberikan sumbangan yang bermakna dalam memastikan gerakan koperasi negara
mencapai kejayaan dan pengalaman ini boleh dikongsi bersama dengan gerakan koperasi antarabangsa.

– BORHAN MAT ARIS

You might also like