mengusahakannya itu bukan dari kalangan orang yang benar-benar ahli dan berpengalaman dalam bidang ilmu tersebut. Maksud ini sesungguhnya menepati diri saya sendiri yang memang amat jahil dalam bidang itu, dan sekali-kali tidak boleh dijumlahkan ke dalam golongan mereka yang disebut dukun atau bomoh; jauh sekali daripada yang digelar pawang atau tabib.
Walaupun demikian, apa yang menimbulkan minat dan mendorong saya mengusahakan buku ini ialah kerana terdapat sebuah manuskrip lama Jawi tulis tangan berjudul "Ilmu Tabib" yang mengandungi pelbagai ilmu perubatan Melayu cara tradisional milik Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pada keseluruhannya manuskrip itu masih dalam keadaan baik, segala hurufnya terang dan mudah dibaca, hanya ejaannya menggunakan ejaan cara lama, yang terpaksa diamati dan dihalusi sungguh-sungguh untuk memahami maksudnya; misalnya “
Memandang kepada bentuk tulisan manuskrip itu yang sungguh cantik dan tersusun kemas, maka tidak syak lagi bahawa orang yang menulis atau penyalinnya itu, ialah seorang yang benar- benar pakar dalam tulisan Jawi dan Arab. Bagaimanapun, manuskrip ini tidak juga terkecuali daripada
mengandungi kelemahan-kelemahan seperti yang lazim terdapat di kebanyakan bahan-bahan persuratan lama Melayu, iaitu selain dari tiada mempunyai tanda-tanda baca, perenggan dan lain-lain lagi, banyak pula terdapat kesilapan, seperti salah ejaan, tertinggal perkataan, atau ayat berulang dan sebagainya. Segala kesilapan ini dibiarkan begitu sahaja, tidak dipotong atau diperbetulkan; mungkin kerana penyalinnya tidak mahu naskhah yang disalinnya itu menjadi comot, berserabut atau sebagainya, sehingga keadaan demikian boleh menyebabkan kurang nilai naskhah salinannya itu.
"Telah selesailah hamba, fakir ilallahu taala, iaitu Muhammad Salleh ibni Ahmad Penambang, menyalin akan surat tib ubat ini, dalam negeri Kelantan, Darul Salam, di dalam Kota Raja, kepada bulan Syawal, tahun kepada Hijrah al Nabi Muhammad Salallahu alaihi wassalam, tarikh Sanah 1288."
Sesungguhnya kenyataan penyalin seperti tersebut di atas itulah yang telah menarik perhatian dan menimbulkan minat saya untuk mengusahakan buku ini; terutama kerana memandang kepada tarikh beliau selesai menyalinnya, iaitu sudah melebihi seratus tahun. Dalam pada itu, tidaklah di- ketahui kali yang keberapakah, "Surat Tib Ubat" ini disalin atau diturunkan, dan sejak dari zaman bilakah berjalannya
Seperkara lagi yang menarik perhatian dan menimbulkan minat saya mengusahakan buku ini, ialah kerana memandang kepada adanya hubungan isi manuskrip ini dengan warisan peninggalan nenek moyang di bidang kebudayaan Melayu, iaitu dari segi perubatan.
Di sini perlu juga saya nyatakan bahawa kandungan buku ini bukanlah merupakan salinan menyeluruh dari manuskrip tersebut. Banyak bab-bab yang difikirkan tidak begitu penting, misalnya bab mengenai penyakit ketumbuhan yang memenuhi berpuluh-puluh halaman, dan beberapa mantera dari kepercayaan agama Hindu yang tebal kehinduannya dan menyalahi ajaran agama Islam, terpaksa ditinggalkan. Memanglah ada juga diturunkan di dalam buku ini beberapa mantera yang mengandungi sebutan "Betara Guru" dan sebagainya, begitu juga ada serapah-serapah dalam bahasa Siam dan Pegu (Burma), ini hanyalah sebagai contoh untuk memahami betapa cara dan pegangan para dukun dan bomoh Melayu pada zaman dahulu dalam menjalankan tugas mereka.
Setengah-setengah orang mungkin tersenyum, jika tidak pun mencemik atau mencemuh, bila membaca setengah-setengah bahagian ubatan yang terkandung di dalam buku ini; tetapi walau betapa jua anggapan dan pandangan orang, demikianlah keadaannya cara pengubatan yang diamalkan oleh nenek moyang orang Melayu pada zaman dahulu. Bahkan tidak boleh dinafikan bahawa cara pengubatan ini masih diamalkan hingga ke hari ini, terutama di kampung-kampung. Dalarn hal jini ingin saya memberi sedikit pandangan dari sudut tinjauan seorang biasa, yakni seorang yang bukan ahli dalam bidang ilmu perubatan, dukun, bomoh, pawang atau sebagainya, dengan tujuan supaya sekurang-kurangnya kita dan generasi Melayu yang kemudian kelak, mengenal satu aspek dari kebudayaan Melayu, iaitu di bidang perubatan.
Tidak syak lagi bahawa sejak dari zaman berzaman, kalangan penduduk asli di Kepulauan Melayu ini, tidak juga tersisih atau terkecuali daripada mengidap atau diganggui oleh berbagai jenis penyakit. Apabila ada penyakit, maka sudah menjadi kelaziman bagi manusia mencari berbagai ikhtiar, mengusahakan ubat untuk menyembuhkan penyakit