You are on page 1of 11

PENGEMBARA YANG LAPAR

Tersebutlah kisah tiga orang sahabat, Kendi, Buyung dan Awang yang sedang mengembara. Mereka membawa bekalan makanan seperti beras, daging, susu dan buah-buahan. Apabila penat berjalan mereka berhenti dan memasak makanan. Jika bertemu kampung, mereka akan singgah membeli makanan untuk dibuat bekal dalam perjalanan. Pada suatu hari, mereka tiba di kawasan hutan tebal. Di kawasan itu mereka tidak bertemu dusun atau kampung. Mereka berhenti dan berehat di bawah sebatang pokok ara yang rendang. Bekalan makanan pula telah habis. Ketiga-tiga sahabat ini berasa sangat lapar, Hai, kalau ada nasi sekawah, aku akan habiskan seorang, tiba-tiba Kendi mengeluh. Dia mengurut-ngurut perutnya yang lapar. Badannya disandarkan ke perdu pokok ara. Kalau lapar begini, ayam panggang sepuluh ekor pun sanggup aku habiskan, kata Buyung pula. Janganlah kamu berdua tamak sangat dan bercakap besar pula. Aku pun lapar juga. Bagi aku, kalau ada nasi sepinggan sudah cukup, Awang bersuara. Kendi dan Buyung tertawa mendengar kata-kata Awang. Dengan nasi sepinggan, mana boleh kenyang? Perut kita tersangatlah lapar! ejek Kendi. Buyung mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat Kendi. Perbualan mereka didengar oleh pokok ara. Pokok itu bersimpati apabila mendengar keluhan ketiga-tiga pengembara tersebut lalu menggugurkan tiga helai daun.

Bubb! Kendi, Buyung dan Awang terdengar bunyi seperti benda terjatuh. Mereka segera mencari benda tersebut dicelah-celah semak. Masingmasing menuju ke arah yang berlainan. Eh,ada nasi sekawah! Kendi menjerit kehairanan. Dia menghadap sekawah nasi yang masih berwap. Tanpa berfikir panjang lalu dia menyuap nasi itu dengan lahapnya. Ayam panggang sepuluh ekor! Wah, sedapnya! tiba-tiba Buyung pula melaung dari arah timur. Serta-merta meleleh air liurnya. Seleranya terbuka. Dengan pantas dia mengambil ayam yang paling besar lalu makan dengan gelojoh. Melihatkan Kendi dan Buyung telah mendapat makanan, Awang semakin pantas meredah semak. Ketika Awang menyelak daun kelembak, dia ternampak sepinggan nasi berlauk yang terhidang. Awang tersenyum dan mengucapkan syukur kerana mendapat rezeki. Dia makan dengan tenang. Selepas makan, Awang rasa segar. Dia berehat semula di bawah pokok ara sambil memerhatikan Kendi dan Buyung yang sedang meratah makanannya. Urgh! Kendi sendawa. Perutnya amat kenyang. Nasi di dalam kawah masih banyak. Dia tidak mampu menghabiskan nasi itu. Kenapa kamu tidak habiskan kami? tiba-tiba nasi di dalam kawah itu bertanya kepada Kendi. Aku sudah kenyang, jawab Kendi. Bukankah kamu telah berjanji akan menghabiskan kami sekawah? Tanya nasi itu lagi.

Tapi perut aku sudah kenyang, jawab Kendi. Tiba-tiba nasi itu berkumpul dan mengejar Kendi. Kawah itu menyerkup kepala Kendi dan nasi-nasi itu menggigit tubuh Kendi. Kendi menjerit meminta tolong. Buyung juga kekenyangan. Dia cuma dapat menghabiskan seekor ayam sahaja. Sembilan ekor ayam lagi terbiar di tempat pemanggang. Oleh kerana terlalu banyak makan, tekaknya berasa loya. Melihat baki ayamayam panggang itu, dia berasa muak dan hendak muntah. Buyung segera mencampakkan ayam-ayam itu ke dalam semak. Kenapa kamu tidak habiskan kami? tiba-tiba tanya ayam-ayam panggang itu. Aku sudah kenyang, kata Buyung. Makan sekor pun perut aku sudah muak, katanya lagi. Tiba-tiba muncul sembilan ekor ayam jantan dari celah-celah semak di kawasan itu. Mereka meluru ke arah Buyung. Ayam-ayam itu mematuk dan menggeletek tubuh Buyung. Buyung melompat-lompat sambil meminta tolong. Awang bagaikan bermimpi melihat gelagat rakan-rakannya. Kendi terpekik dan terlolong. Buyung pula melompat-lompat dan bergulingguling di atas tanah. Awang tidak dapat berbuat apa-apa. Dia seperti terpukau melihat kejadian itu. Akhirnya Kendi dan Buyung mati. Tinggallah Awang seorang diri. Dia meneruskan semula perjalanannya.

Sebelum berangkat, Awang mengambil pinggan nasi yang telah bersih. Sebutir nasi pun tidak berbaki di dalam pinggan itu. Pinggan ini akan mengingatkan aku supaya jangan sombong dan tamak. Makan biarlah berpada-pada dan tidak membazir, kata Awang lalu beredar meninggalkan tempat itu.

Pengajaran : 1. Orang tamak selalu rugi. 2. Jangan membazir.

PUTERI SANTUBONG, PUTERI SEJENJANG Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang ialah dua orang puteri dewa kayangan yang mempunyai paras rupa dan kecantikan yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Sesiapa sahaja yang memandang pasti akan terpikat.
Paras kedua-dua puteri anak dewa dari kayangan itu bagaikan purnama menghias alam, bersinar-sinar bergemerlapan. Alis mata, yang lentik dan ekor mata seperti seroja biru di kolam madu. Walaupun ketinggian tubuh mereka hanyalah sederhana tetapi suara mereka cukup merdu seperti seruling bambu. Inilah kelebihan yang terdapat pada Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang. Kehidupan Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang amat mesra sekali. Mereka diibaratkan adik-beradik kembar. Senyuman dan kegembiraan sentiasa bermain dibibir. Bergurau dan bersenda tidak lekang daripada keduanya. Mereka sentiasa sepakat dan sekata. Demikianlah kehidupan yang mereka lalui setiap hari. Sejenjang, selepas selesainya kerja kita berdua ini, kita bermain-main, mahu? Tanya Puteri Santubong kepada Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi. Baiklah. Tapi kita mahu main apa ya? balas Puteri Sejenjang. Kita main sorok-sorok di taman bunga di halaman sana. Lepas itu kita petik bunga-bunga yang telah mekar di taman. Yalah Santubong! Sudah lama juga kita tidak memetik bunga-bunga di taman sana. Menantikan saat itu, kedua-duanya meneruskan pekerjaan masingmasing hingga selesai.

Pekerjaan Puteri Santubong dari siang hingga malam hanyalah menenun kain. Manakala Puteri Sejenjang pula asyik dengan menumbuk padi. Pada suatu hari, ketika Puteri Santubong leka menenun kain dan Puteri Sejenjang asyik menumbuk padi, berbual-buallah mereka tentang kecantikan diri masing-masing. Mereka memuji-muji tentang kelebihan diri sendiri. Sejenjang! Kau lihat tak diri aku yang serba tidak cacat ini! Dengan duduk menenun seperti ini, aku dapat menjaga kerampingan pinggangku ini. Aku pasti suatu hari nanti, bila anak raja sampai ke mari, dia akan melamar dan mengahwini aku. Aduh! Betapa bahagianya di saat itu, Sejenjang? Tanya Santubong kepada Sejenjang yang asyik menumbuk padi. Puteri Santubong terus memuji-muji akan kecantikan dirinya. Bila aku sudah diam di istana nanti, tentunya dayang-dayang mengelilingi aku, sambil menyikat-nyikat rambutku yang mengurai ini. Nanti mereka akan berkata, inilah anak dewa kayangan yang paling cantik pernah mereka temui. Saat itu akulah tuan puteri yang paling cantik di dunia ini. Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi mulai merasa marah dan cuba menentang kata-kata Puteri Santubong yang menganggap dirinya sahajalah yang paling cantik. Puteri Sejenjang menyatakan dirinya yang paling cantik dan rupawan. Kecantikannya mengalahi paras rupa Puteri Santubong. Tidakkah kau tahu Santubong? Dengan cara berdiri menumbuk padi begini menjadikan tubuhku ini, kuat dan tegap. Subur menawan. Leher juga jinjang. Betis bagaikan bunting padi. Dengan menumbuk padi ini juga jari-jemariku halus dan lenganku ini serasa tegap daripada engkau yang asyik bongkok menenun kain. Entah

nanti, engkau cepat pula rebah ke bumi. Takut pula anak raja itu melamar aku dahulu, balas Puteri Sejenjang. Mendengar kata-kata Puteri Sejenjang, Puteri Santubong enggan mengalah. Puteri Sejenjang juga pantang menyerah. Masing-masing mahu dipuji. Akhirnya, pertengkaran antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang semakin hangat. Masing-masing tidak dapat mengawal perasaan mereka lagi. Pertengkaran antara keduanya berlarutan. Daripada nada suara yang rendah bertukar menjadi lantang sambil mencaci-caci dan menghina antara satu dengan yang lain. Sejenjang! Kalau asyik pegang antan, jangan harap betis kau tu akan jadi bunting padi. Takut lemak tak berisi. Dek antan tu jugalah jarijemari kau tu, kesat dan kasar. Tidak seperti jari-jemariku ini yang halus serta runcing, kata Puteri Santubong dengan bangga. Dengan perasaan penuh dendam dan dengan amat marah, Puteri Sejenjang hilang sabar lalu menyerang Puteri Santubong dengan antan di tangan. Ayunan pukulan Puteri Sejenjang amat kuat dan cepat, lalu terkenalah ke pipi Puteri Santubong yang sedang duduk menenun kain. Menjeritlah Puteri Santubong kerana kesakitan. Puteri Santubong bertambah marah. Puteri Santubong juga tidak berdiam diri, lantas menikam Puteri Sejenjang dengan batang belidah yang ada dalam genggamannya. Tikaman itu tepat ke arah kepala Puteri Sejenjang dan menembusinya. Maka menjeritlah pula Puteri Sejenjang sekuat-kuatnya akibat kesakitan tikaman tersebut. Berakhirlah sebuah persahabatan dan persaudaraan yang telah dijalin oleh mereka selama ini. Kononnya akibat pergaduhan dan ayunan antan puteri Sejenjang yang terkena ke pipi Puteri Santubong menyebabkan Gunung Santubong telah

terpecah menjadi dua seperti yang dilihat pada hari ini. Demikian juga dengan tikaman batang belidah oleh Puteri Santubong yang mengenai tepat ke kepala Puteri Sejenjang, menyebabkan Bukit Sejenjang pecah bertaburan menjadi pulau-ulau kecil berhampiran Gunung Santubong. Kisah sedih di antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang akhirnya menjadi kenangan dan ingatan rakyat Sarawak. Maka lahirlah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang yang kita dengar sehingga ke hari ini. OhPuteri Santubong, Sejinjang sayang, Kisah lama, Zaman mensia maya. Puteri Santubong, Puteri Sejinjang, Penjaga gunung Negeri Sarawak, Manis sik ada dapat dilawan, Anak dak Dewa turun kayangan. Oh Santubong puteri bertenun kain malam, Oh Sejinjang puteri menumbuk padi siang. Satu hari nya dua kelahi, Beranuk anuk sik renti-renti, Seorang madah dirik bagus agik, Seorang sik ngalah walau sampai ke mati. Udah lejuk nya duak kelahi, Lalu bertukuk nya duak puteri, Sejinjang mengayun aluk ke pipi, Tebik Santubong sampai gituk ari. Tapi Santubong membalas juak, Lalu ditikam batang belidak, Sampei terkena Sejinjang kepala, Lalu bertabor jadi Pulo Kera. Kisah Santubong, kisah Sejinjang, Asal berkawan jadi musuhan,

Kinik tuk tinggal jadi kenangan, Pakei ingatan sepanjang zaman. Pengajaran : 1. Iri hati membawa mati. 2. Jangan sombong.

SI TANGGANG
Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja. Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya. Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang. Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri. Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya. Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok kata Si Talang. Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, kata Deruma dengan gembira. Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu pisang salai. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya. Siapakah kedua-dua orang tua ini? tanya Si Tanggang kepada anak kapalnya. Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan, jawab anak kapal itu. Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ? tanya isteri Si Tanggang. Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu uzur dan daif sekali. Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal ! herdik Si Tanggang. Mukanya merah padam kerana malu dan marah. Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai kegemaranmu, nak kata Si Deruma. Pergi! tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut. Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka anak

kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dia berseru Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya. Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbangambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak Si Tanggang. Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi batu. Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya turut menjadi batu.

You might also like