You are on page 1of 1

PERMAINAN TRADISIONAL

Pada hari ini, beberapa jenis permainan, terutama permainan bola sepak, badminton, boling, skuasy, hoki dan sebagainya begitu popular dalam kalangan masyarakat negara ini. Permainan tradisional, seperti congkak, gasing, batu seremban, tingting, wau dan sebagainya mungkin asing bagi sesetengah orang, terutama anak muda. Permainan tersebut tentu akan lenyap begitu sahaja jika tiada usaha dilakukan untuk mempopularkan semula. Bagi mencapai matlamat tersebut, ibu bapa boleh memperkenalkan permainan tradisional kepada anak-anak di rumah. Ibu bapa boleh menceritakan dan menunjukkan cara bermain gasing, seremban, atau congkak kepada anak-anak. Jika tidak keberatan, peralatan permainan tertentu, misalnya congkak dan batu seremban boleh disediakan di rumah. Langkah ini pasti dapat menambahkan pengetahuan dan seterusnya meningkatkan minat anak-anak terhadap permainan tersebut. Selain itu, pertandingan tradisional boleh dianjurkan dari semasa ke semasa. Pihak tertentu, seperti Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, dan Kementerian Belia dan Sukan boleh memainkan peranan dengan menganjurkan pertandingan sedemikian pada peringkat daerah, negeri, dan kebangsaan. Pada masa yang sama, pihak media massa pula hendaklah memperluas publisiti tentang pertandingan tersebut untuk menarik orang ramai menyertai dan menyaksikannya. Langkah ini penting mempopularkan permainan itu kepada pelbagai pihak, terutama golongan muda dan pelancong asing. Pameran dan demostrasi permainan tradisional juga wajar diadakan. Bagi menarik minat golongan muda mengunjunginya, pihak penganjur disarankan agar mengundang para artis untuk mengambil bahagian dalam demostrasi permainan itu. Usaha ini diharapkan dapat menambahkan pengetahuan orang ramai tentang permainan tradisional dan secara tidak langsung meningkatkan minat mereka terhadap permainan nenek moyang kita terdahulu. Malaysia sememangnya kaya dengan permainan tradisional. Setiap permainan itu mempunyai faedah tersendiri seperti permainan moden pada hari ini, terutama dalam memupuk perpaduan dan hubungan mesra antara anggota masyarakat. Bagi memastikan permainan tersebut tidak berkubur begitu sahaja, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mempopularkannya. Orang ramai harus sedar bahawa permainan tradisional merupakan satu daripada warisan silam yang perlu dipertahankan supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

You might also like