You are on page 1of 1

JURNAL MINGGU 1 Minggu pertama, dan buat pertama kalinya dalam hidup saya menjalani praktikum di sekolah.

Rasa gementar, gelisah serta segan silu untuk kerana buat pertama kalinya dalam hidup saya menjalani praktikum di sekolah. Seluruh hati bagai luruh kerana menahan rasa gementar untuk berada di situasi sebenar, luar daripada langit IPG yang sangat berbeza. Rasa seperti berada pada zaman persekolahan dahulu, kerana saya kembali semula ke sekolah tetapi bukan untuk belajar, untuk mengajar serta mendidik anak bangsa supaya tahu menulis baca. Teringat kembali zaman persekolahan, bagaimana guru-guru dahulu mendidik dan mengajar tentang kehidupan. Kini, giliran saya untuk menyambung tugas sebagai pendidik bakal doktor serta peguam di Sekolah Kebangsaan Batangan. Sedikit kekok ketika pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah ini. Di sambut dengan senyuman, Guru Besar menjemput saya dan rakan seperjuangan saya Mohd Nurhafizu Adha untuk sama-sama berada di pentas untuk majlis perhimpunan mingguan. Setelah itu, kami di bawa ke bilik Guru Besar untuk sesi taklimat mengenai tugas serta kerja kami di sekolah ini. Setelah itu, saya berjumpa dengan guru pembimbing saya, Puan Masbiah Binti Zakaria untuk berbincang mengenai bidang serta kelas yang sepatutnya kami ajar. Pelbagai nasihat serta tunjuk ajar yang diberikan agar kami sedia menghadapi cabaran sebagai seorang guru baharu di sekolah pedalaman ini. Rasa segan untuk berada di hadapan kelas untuk menyampaikan ilmu serta membimbing anak bangsa supaya menjadi insan sempurna. Pelbagai cabaran yang saya tempuhi semasa mengajar di situasi sebenar di sekolah. Buat pertama kalinya berada di sekolah untuk menjalani latihan sebagai persediaan menjadi seorang guru yang berwibawa. Alhamdulillah, pihak sekolah telah memberikan saya pengalaman baharu mengajar pada dua tahap, darjah dua serta darjah empat. Terdapat banyak perbezaan diantara kedua tahap ini. Sekali gus teknik serta strategi yang digunakan untuk mengawal kelas juga berbeza. Ini memberikan saya pengalaman yang baik untuk saya bawa sebagai bekalan menghadapi cabaran sebagai seorang guru kelak. Kawalan kelas serta kawalan suara menjadi antara kelemahan yang saya hadapi semasa minggu pertama berada di kelas. Dan segala kelemahan itu akan saya perbaiki dan akan tingkatkan penguasaan kelas pada minggu-minggu yang seterusnya agar pengajaran dan pembelajaran akan berjalan lancar. Dalam minggu pertama ini, pensyarah, dan guru pembimbing banyak sekali membimbing, dan menasihati saya, terutama dalam penulisan Rancangan Pengajaran Harian. Alhamdulillah, segala teguran itu saya jadikan pedoman dalam meneruskan hari-hari praktikum yang mendatang. Saya amat berharap, kejayaan akan dapat dicapai dalam tempoh masa praktikum yang amat terhad ini. Moga Allah membantu saya.

You might also like