You are on page 1of 15

PERSEPSI PELAJAR TERHADAP PERSONALITI GURU SATU TINJAUAN DI SEKOLAH MENENGAH TEKNIK SEKITAR DAERAH KUANTAN, PAHANG.

TIN LEI FEN

Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia

PERSEPSI PELAJAR TERHADAP PERSONALITI GURU SATU TINJAUAN DI SEKOLAH MENENGAH TEKNIK SEKITAR DAERAH KUANTAN, PAHANG.

TIN LEI FEN

Tesis Ini Dikemukakan Sebagai Memenuhi Sebahagian Syarat Penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Serta Pendidikan ( Kejuruteraan Awam )

Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia

APRIL, 2006

ii

Saya akui karya ini adalah hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan dan ringkasan yang tiap-tiap satunya telah saya jelaskan sumbernya.

Tandatangan

................................. TIN LEI FEN 17HB APRIL 2006

Nama Penulis : Tarikh :

iii

DEDIKASI

Buatmu ayah (Tin Ah Hock) dan ibu (Wee Mek Choo) yang dikasihi, Doamu, nasihatmu dan pengorbananmu menjadi pelita serta panduan perjuanganku dalam kehidupan ini Buatmu insan yang tersayang, Terima kasih atas sokongan, nasihat, kepercayaan dan kesabaran yang diberikan selama ini Buatmu pembimbing yang disanjungi, Bimbingan, tunjuk ajar dan jasamu yang diberikan tidak akan ku lupakan Buatmu teman-teman seperjuangan, Kejujuran dan keikhlasan dalam persahabatan ini akan kukenangi selamanya

iv

PENGHARGAAN

Di sini saya ingin merakamkan penghargaan ikhlas setinggi-tingginya kepada pensyarah pembimbing Projek Sarjana Muda (PSM), Tuan Haji Mohd. Mohsin Bin Uzir atas bimbingan dan dorongan yang diberikan sepanjang tempoh penyelidikan projek Sarjana Muda ini. Beliau telah banyak memberi tunjuk ajar tanpa rasa jemu dalam proses menyiapkan projek Sarjana Sarjana Muda ini.

Ucapan jutaan terima kasih ditujukan kepada pelajar-pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Kuantan dan Sekolah Menengah Teknik Seri Pelindung, Kuantan, Pahang yang telah menjadi responden bagi projek ini. Kerjasama daripada mereka dalam penyelidikan Projek Sarjana Muda ini amatlah dihargai.

Penghargaan turut ditujukan kepada rakan-rakan seperjuangan serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha menyiapkan projek ini. Tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua pihak di atas, Projek Sarjana Muda ini tidak akan disiapkan dengan begitu lancar dan sempurna.

Kerjasama, tunjuk ajar dan maklumat serta dorongan daripada semua pihak di atas amat saya hargai. Saya tidak dapat membalas budi baik kalian tetapi hanya dapat mengucapkan ribuan terima kasih. Semoga kalian sentiasa sihat sejahtera diberkati oleh Tuhan.

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1

Pengenalan

Dunia sekarang yang semakin berkembang dan maju telah membawa banyak perubahan dalam pelbagai bidang. Malaysia tidak ketinggalan dalam mengejar kemajuan dunia. Kemajuan yang dimaksudkan merangkumi semua bidang ekonomi, politik, sosial kerohanian, kejiwaan, psikologikal dan kebudayaan. Malaysia turut mengalami arus revolusi perindustrian yang berasaskan sains, teknologi maklumat dan telekomunikasi bagi tujuan mencapai status negara perindustrian sepenuhnya. Malaysia hanya mewujudkan Dasar Pembangunan Industri pada sekitar tahun 1980an yang kemudiannya telah berubah kepada dasar teknologi maklumat, penubuhan Koridor Raya Multimedia, ICT, Wawasan 2020 dan cabaran globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan yang mana segala aktiviti yang dijalankan adalah tidak terkongkong oleh sempadan geografi, bahasa, budaya dan ideologi politik sesebuah negara.

2 Sistem pendidikan negara telah mengalami reformasi ekoran daripada Wawasan 2020 yang bermatlamat untuk menjadi negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri tanpa terikat dengan cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Pendidikan amatlah penting bagi merealisasikan impian semua rakyat dan negara dalam Wawasan 2020 kerana ia merupakan suatu proses yang membawa perubahan kepada individu mengikut norma dan nilai sesuatu masyarakat. Matlamat utama pendidikan adalah menyediakan seseorang individu memainkan peranan positif dan berkesan dalam masyarakat. Pendidikan bertujuan melahirkan individu yang seimbang perkembangannya iaitu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek ( Ee Ah Meng, 1994). Dalam usaha ini, pendidikan menjadi agen untuk menyebarkan dan mengekalkan kebudayaan yang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan semasa.

Profesionalisme merupakan kualiti kerja atau sifat-sifat yang dimiliki oleh orang yang profesional. Profesionalisme perguruan merujuk kepada sifat yang ada dalam diri seseorang untuk mencapai keberkesanan, produktiviti, tanggungjawab, kecekapan dan kemahiran untuk mengajar ( Sufean, 1995 ). Suatu nilai yang murni jika individu itu mengamalkan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan tidak mementingkan diri atau suka memilih pekerjaan. ( Hedderdof, 1971 ). Sesuatu tugas yang dilaksanakan tidak bertujuan bagi mendapatkan pendapatan yang lumayan tetapi hendaklah seseorang itu mempunyai komitmen untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi serta bermatlamatkan sumbangan untuk masyarakat dan negara. ( Intan, 1995 )

Menurut Johnson (1972), profesionalisme perguruan adalah kualiti pekerjaan atau sifat yang ada dalam kecekapan dan kemahiran untuk mengajar. Mempunyai komitmen terhadap pekerjaan dalam sesebuah pertubuhan serta dedikasi dalam menyampaikan pengetahuan dan dilengkapi dengan pelbagai kemahiran. Seseorang yang dikatakan profesional apabila dia mempunyai strategi dalam menguruskan pekerjaannya terutama dalam perihal yang formal seperti urusan kerajaan. Pada pandangan kasar, profesion sebagai seorang guru dianggap suatu kerja yang mudah dan remeh oleh masyarakat. Mereka tidak memahami kesukaran yang dihadapi oleh guru untuk membimbing anak bangsa supaya menjadi seorang insan yang berilmu.

3 Sebenarnya, guru merupakan insan yang penting dalam pembentukan generasi akan datang.

Ekoran daripada reformasi pendidikan, peranan guru masa kini bukan sahaja menyampaikan pengajaran tetapi juga sebagai fasilitator dan pemberi perangsang kepada pelajar. Guru perlu mendidik dan membimbing untuk mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya mereka menjadi seorang yang berpengetahuan luas dan berakhlak mulia. Oleh itu, kerjaya sebagai guru perlu dipandang mulia di sisi agama dan masyarakat.

Menurut Mok (1998), antara peranan guru yang penting ialah : 1 Sebagai tenaga pengajar dengan merancang aktiviti pelajar berdasarkan sukatan pelajaran dan melaksanakannya dalam bilik darjah mengikut strategi pengajaran yang sesuai. 2 Sebagai pengarah pembelajaran dengan membimbing pelajar supaya mereka berusaha belajar secara individu atau berkumpulan. 3 Sebagai pengurus bilik darjah seperti menyusun rutin bilik darjah, menentu corak penyusunan meja dan sebagainya. 4 Sebagai ibubapa kepada pelajar, demi menjaga keselamatan pelajar. Peranan ini akan membantu pelajar menyesuaikan diri di sekolah sebagai sebahagian daripada keluarga mereka. 5 Sebagai pendisiplin yang bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta membantu mereka membentuk sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat. 6 Sebagai contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah dapat diterapkan dalam jiwa pelajar.

4 Dasar kerajaan hendak menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai kepakaran dalam teknologi tinggi dan teknologi maklumat. Matlamat ini akan dicapai melalui pendidikan khususnya program sekolah bestari yang menyediakan pelbagai kemudahan terkini. Oleh itu, semua guru perlu meningkat profesionalisme mereka dengan menyediakan diri dengan ilmu penggunaan komputer dalam pengajaran kerana pendidikan masa kini menitikberatkan pengajaran berbantukan komputer. Guru juga perlu mahir dalam pelbagai program komputer yang dapat membantu untuk menguruskan data bagi memudahkan kerja pengurusan.

Seseorang yang digelar sebagai pendidik mempunyai peranan yang profesional dimana mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, malah mendidik untuk membentuk sikap, nilai, akhlak dan peribadi pelajar melalui pembentukan disiplin yang baik. Bagi mancapai matlamat ini, guru hendaklah menunjukkan contoh disiplin yang baik seperti bertatatertib, berbudi bahasa, bersopan santun, bertimbang rasa, bersimpati, berdedikasi dan bersikap positif. Mendidik adalah satu amanah kepada seseorang pendidik di mana apabila seseorang itu mendidik pelajarnya dengan ikhlas secara tidak langsung pelajarnya akan turut menjadi seorang yang celik akal dan akhlak yang dibentuk semakin baik serta mulia.

Penerapan nilai murni dan ketahanan jiwa pelajar perlu disemai oleh guru. Sekiranya ia tercicir dari landasan untuk mencapai hasrat ini maka akan timbul masalah di kalangan pelajar contohnya wujud pelbagai masalah yang boleh membawa mereka ke arah keruntuhan akhlak remaja kini. Utusan Malaysia (2004) menyiarkan kejadian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang menggugurkan bayi dalam kandungannya secara haram. Dalam kata lain, tanggungjawab dan peranan sebagai seorang guru menjadi semakin berat dan kompleks kerana remaja pada masa depan yang hendak dihasilkan bukan sahaja perlu diterapkan dari segi pemikiran dengan nilai teknologi tinggi semata-mata, tetapi perlu diseimbangkan dengan nilai moral dan etika yang murni.

5 1.2 Latarbelakang Masalah

Guru merupakan orang yang penting dalam pembentukan diri seseorang pelajar kerana mereka menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah. Seorang kanak-kanak berhadapan dengan guru bermula sejak umur mereka 6 tahun iaitu di peringkat prasekolah sehingga peringkat remaja. Guru akan memuji, menegur, menguji dan menengking mereka semasa menjalankan tugas. Segala gerak laku dan perbuatan guru yang disenangi atau sebaliknya akan diperhatikan dan ditiru oleh pelajar. Oleh itu, segala tingkah laku dan perbuatan guru akan mempengaruhi sikap dan pembelajaran pelajar. Contohnya cara guru berpakaian, gaya berjalan, cara pertuturan dan lain-lain penampilan diri guru akan menjadi perhatian dan ikutan pelajar terutama guru yang menjadi idola kepada pelajarnya. Oleh itu, guru yang mempunyai personaliti baik serta perwatakan bersih akan dapat melahirkan generasi yang berakhlak.

Guru yang mengamalkan tingkah laku yang beradab akan lebih disukai oleh pelajar ( Atan Long, 1991 ). Cara hidup yang beragama, bermoral dan berdisiplin dapat membimbing pelajar menjadi seorang insan yang baik secara tidak langsung. Reformasi pendidikan mementingkan agama, pendidikan moral dan penerapan nilai-nilai murni dalam kurikulum ( Esah, 1998). Oleh itu, guru harus menunjukkan ciri-ciri teladan kepada para pelajar. Guru yang mempunyai ciri-ciri peribadi yang baik dan terpuji setiap waktu dapat mengatasi masalah tingkah laku pelajar dengan mudah. Guru akan suka bergaul mesra dengan pelajar, cuba memahami perasaan dan kehendak mereka serta bimbing mereka menjadi orang yang baik.

Seseorang guru yang memiliki sifat-sifat yang mulia dalam diri mereka seperti peramah, mesra, penyayang, bertimbang rasa, kemas dan suka buat lawak akan lebih suka didampingi oleh pelajar. Guru yang menepati masa menghadiri kelas, ikhlas dan sabar semasa menyampaikan pengajaran, tertib dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas, yakin pada diri akan diminati dan disukai oleh pelajar. Ini akan membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih mudah dan berkesan kerana pelajar akan berminat dan menumpukan perhatian dalam bilik darjah.

6 Terdapat guru yang mendera pelajar secara keterlaluan sama ada fizikal atau mental yang boleh menimbulkan kesan yang negatif kepada pelajar tersebut. Perubahan yang berlaku pada diri pelajar adalah seperti fobia terhadap guru, tidak mahu ke sekolah dan sebagainya. Pelbagai isu yang berkaitan dengan disiplin dan sahsiah guru dipersoalkan dan terpampang di akhbar tempatan. Contohnya seorang pelajar berusia 12 tahun yang pekak dan bisu telah dirogol oleh gurunya ( Berita Harian, 2004). Di mana letaknya perikemanusiaan seorang guru sehingga sanggup melakukan perbuatan sedermikian terhadap pelajar yang tidak normal. Hal ini telah menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap profesion perguruan.

Ada juga guru yang tidak ikhlas dalam menjalankan amanah yang diberikan untuk mendidik pelajar. Mereka beranggapan profesion perguruan hanyalah satu pekerjaan dan meletakkan profesion ini sebagai bidang kerjaya pilihan terakhir. Faktor inilah yang menyebabkan mereka tidak mematuhi etika perguruan. Kenyataan ini adalah berdasarkan laporan Utusan Malaysia (2004) bertempat di Bangkok apabila 4 orang guru agama terlibat dalam kes keganasan. Mereka menjadi dalang dalam serangan di selatan Thailand. Dimanakah kewibawaan seorang guru sebagai agen pembentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak, sekiranya mereka sendiri seperti ketam mengajar anaknya berjalan .

Kita digembar gemburkan dengan kes 8 orang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Dato Klana, Ampang, yang membunuh seorang junior tingkatan empat pada 28 Mac yang lepas. Berita ini hangat diperkatakan dan banyak andaian telah dibuat. Siapa yang harus bertanggungjawab dalam kejadian ini? Masing-masing cuba menuding jari. Masalah disiplin ini telah mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran sekolah berkenaan kerana pelajar lain bimbang akan keselamatan mereka..

Generasi muda sekarang merupakan tunggak utama masa depan negara. Mereka bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi perlu memiliki sahsiah diri. Setiap pelajar perlu menyahut saranan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu menghapuskan masalah jenayah di sekolah sehingga ke tahap sifar. Beliau

7 mencadangkan agar guru memainkan peranan penting dengan memberi khidmat kaunseling kepada pelajar bermasalah. Guru yang menampilkan diri dengan personaliti yang baik akan dijadikan role model oleh pelajar.

Guru perlu bijak dalam mengendalikan bilik darjah kerana ia memberikan kesan kepada pencapaian akademik pelajar. Kemahiran terpenting yang perlu ada pada guru ialah menguasai kaedah dan teknik pengajaran. Pengajaran yang menarik memerlukan perancangan teliti daripada guru ( Ee Ah Meng, 1994). Kaedah mengajar yang melibatkan pelajar terlibat secara aktif dalam pembelajaran akan lebih berkesan. Guru yang cekap menggunakan pelbagai alat bantu mengajar dapat menarik perhatian pelajar untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada pembelajara mereka.

1.3

Pernyataan Masalah

Guru merupakan agen pembaharuan dalam pembentukan masa hadapan bagi sesebuah masyarakat. Merekalah yang akan menentukan corak generasi pada masa akan datang. Oleh yang demikian, penampilan guru memainkan peranan yang penting dalam membentuk minat pelajar. Personaliti adalah salah satu daripada aspek dalam profesionalisme perguruan..

Kajian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti persepsi pelajar terhadap personaliti guru mereka di sekolah. Di samping itu, dapat mengenalpasti ciri-ciri personaliti guru yang dapat menarik minat pelajar dan adakah ia dapat meningkatkan proses pembelajaran mereka. Kajian ini juga bertujuan untuk mengetahui sejauhmanakah personaliti seorang guru dapat mempengaruhi tingkah laku pelajar.

8 1.4 Persoalan Kajian

1 2 3 4

Apakah persepsi pelajar terhadap ciri personaliti guru di sekolah? Apakah ciri personaliti guru yang dapat menarik minat pelajar? Apakah ciri personaliti guru yang dapat meningkatkan proses pembelajaran pelajar? Adakah ciri personaliti guru mempengaruhi tingkah laku pelajar?

1.5

Objektif Kajian

1 2 3

Mengenalpasti persepsi pelajar terhadap ciri personaliti guru di sekolah. Mengenalpasti ciri personaliti guru yang dapat menarik minat pelajar. Mengenalpasti ciri personaliti guru yang dapat meningkatkan proses pembelajaran pelajar.

Mengenalpasti ciri personaliti guru yang mempengaruhi tingkah laku pelajar.

You might also like