You are on page 1of 5

Draft 3

DASAR LATIHAN INDUSTRI Universiti Kebangsaan Malaysia 1. Pengenalan


Latihan industri (LI) merupakan komponen program pengajian yang memberi pelajar peluang pembelajaran di dunia pekerjaan agar lebih bersedia dengan suasana kerja yang bakal mereka ceburi. Selain daripada itu program LI adalah untuk memperkasakan kompetensi dan kemahiran pekerjaan pelajar dan seterusnya dapat mempertingkatkan kebolehan pasaran pelajar.

2. Penyata Dasar
Semua pelajar peringkat Sarjana Muda termasuk pelajar antarabangsa di UKM diwajibkan menjalankan LI bagi satu tempoh yang ditetapkan. Pelajar pascasiswazah pula digalakkan mengikuti latihan industri.

3. Definisi Latihan Industri


Latihan Industri merupakan satu program yang menempatkan pelajar untuk menjalankan latihan praktikal, amali atau klinikal dalam satu-satu organisasi luar UKM yang dipilih dan diselia dalam jangka masa yang ditetapkan sebelum pelajar dianugerahkan ijazah.

4. Matlamat Latihan Industri


Matlamat LI adalah untuk mendedahkan pelajar kepada alam pekerjaan yang sebenar sambil mempraktikkan pengetahuan secara teori kepada amalan serta mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang profesyen masing-masing. Latihan Industri juga bertujuan melahirkan pelajar yang mempunyai kompetensi yang diperlukan oleh majikan di samping memberikan pengalaman keusahawanan

5. Objektif Latihan Industri


Objektif utama program LI adalah untuk: a) memberikan peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran akademik dalam alam pekerjaan sebenar;

Draft 3 b) memberi peluang kepada pelajar belajar dari pengamal dalam bidang masing-masing; c) mempertingkatkan kemahiran generik dan profesional seperti kemahiran interpersonal, bekerja secara berkumpulan, kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran keusahawanan; d) menghayati nilai etika profesyen masing-masing, e) mempertingkatkan peluang pekerjaan; f) memberikan pengalaman pembelajaran dalam dunia industri; dan g) merapatkan jalinan hubungan universiti dengan industri.

6. Hasil Pembelajaran Latihan Industri


Setelah menyelesaikan LI, pelajar berupaya: a) mempraktiskan teori dan pengetahuan akademik yang dipelajari di tempat kerja di bawah penyeliaan; b) mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran, sikap dan pengalaman praktikal yang berkaitan dengan bidang pengajian c) berinteraksi, berkomunikasi dan bekerja secara berkumpulan secara berkesan dengan pelbagai pihak; d) memberi pandangan secara kritis, berkeyakinan, inovatif dan mampu menyelesaikan masalah secara profesional; e) mempamerkan etika dan integriti yang tinggi dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan; dan f) menjelaskan pengurusan organisasi.

7. Skop Latihan Industri


Setiap fakulti perlu merangka skop latihan berpandukan kepada kurikulum program akademik. Skop tugas hendaklah memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari serta mendapat pendedahan amalan kerja dalam bidang masingmasing. Sehubungan dengan ini pelajar atau beberapa orang pelajar boleh menjadi pelatih kepada organisasi yang dipilih atau bertindak sebagai perunding kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana. Latihan Industri boleh diberikan jam kredit dengan latihan selama DUA minggu bersamaan dengan satu kredit. Jumlah jam kredit yang boleh diberikan tidak melebihi 12 kredit.

Draft 3

8. Tempoh Latihan Industri


Tempoh latihan industri tidak boleh kurang dari dua bulan secara berterusan atau kumulatif. Pihak fakulti boleh menetapkan tempoh yang lebih panjang bergantung kepada keperluan pihak-pihak berkepentingan.

9. Syarat Mendaftar Latihan Industri


Pelajar boleh menjalankan Latihan Industri seawal-awalnya pada tahun kedua pengajiannya dan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh fakulti masing-masing

10. Insurans
Semua pelajar yang mengikuti LI perlu mendapat perlindungan insuran termasuk aspek keselamatan lain seperti mendapat vaksin untuk perlindungan semasa menjalankan latihan industri. Kos insuran dan vaksin hendaklah dimasukkan dalam yuran pengajian.

11. Imbuhan
Pihak industri/majikan digalakkan memberi elaun kepada pelajar yang menjalankan program latihan industri dengan organisasi mereka. Selain itu UKM juga perlu berperanan untuk membantu pembiayaan program LI.

12. Pengecualian Latihan Industri


Pelajar-pelajar yang pernah berkerja dalam bidang yang berkaitan dengan program yang diikuti boleh memohon pengecualian LI. Kelulusan permohonan tertakluk kepada kriteria fakulti masing-masing.

13. Penyelarasan Latihan Industri


Semua aktiviti yang berkaitan dengan LI hendaklah dikelolakan oleh Jawatankuasa Penyelarasan LI Fakulti. Aktiviti penyelarasan termasuklah mempelawa organisasi untuk menawarkan tempat Latihan Industri kepada pelajar dan menyediakan jadual kerja pelaksanaan LI di fakulti.

Draft 3

14. Penempatan Latihan Industri


Pelajar boleh menjalani latihan industri dalam organisasi yang sesuai dengan program pengajian masing-masing dan yang telah disahkan dan mendapat kelulusan daripada fakulti. Sehubungan dengan ini, pelajar-pelajar sangat digalakkan untuk memilih penempatan yang memberikan pengalaman keusahawanan dan inovasi. Pelajar yang ingin menjalankan LI di luar negara boleh mendapatkan bantuan dari pihak universiti dalam Program Mobiliti Pelajar (Outbound).

15. Penyeliaan
Pelajar akan diselia dan dinilai oleh penyelia organisasi dan juga oleh penyelia universiti. Kedua-dua penyelia akan bertanggungjawab menyelaras, membimbing dan memberi panduan kepada pelajar yang sedang menjalani LI. Pemberian saguhati kepada penyelia organisasi adalah digalakkan bagi melicinkan lagi penempatan serta pelaksanaan progam LI. Kos penyeliaan samaada penyeliaan pihak organisasi dan penyeliaan universiti perlu diperuntukkan.

16. Penilaian
Penilaian Latihan Industri bertujuan mengukur prestasi kerja pelajar dan perkembangan kemahiran generik mereka. Fakulti boleh memilih kaedah penilaian bersesuaian dengan bidang pengajian dan objektif yang hendak dicapai. Antara kaedah penilaian yang digunakan adalah: Laporan penilaian penyelia organisasi Laporan penilaian penyelia universiti Laporan Latihan Industri oleh pelajar Buku log/kehadiran Pemerhatian di tempat kerja Pembentangan pelajar Pelajar perlu menyempurnakan semua aspek penilaian yang ditetapkan oleh Fakulti. Syarat utama untuk lulus Latihan Industri adalah pelajar mesti menyempurnakan tempoh Latihan Industri yang ditetapkan oleh Fakulti berkenaan dan menyiapkan laporan dan lain-lain keperluan yang ditetapkan oleh pihak Fakulti sebagai syarat lulus Latihan Industri. Pelajar akan diberikan gred A hingga E untuk LI. Fakulti boleh mengambil kira gred ini dalam Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) atau tidak mengambil kira bergantung kepada keperluan pihak-pihak berkepentingan.

Draft 3

17. Penutup
UKM berhak mengubah dasar ini dari masa ke semasa. Dasar ini juga perlu disemak dalam tempoh 5 tahun sekali bagi mengambil kira keperluan semasa dan kehendak pihak-pihak berkepentingan.

You might also like