You are on page 1of 6

NAMA : NO MATRIK:

HASLINDA BT ZAIMI M20092001149 (SARJANA PENDIDIKAN

BIMBINGAN DAN KAUNSELING) KURSUS: ETIKA DAN PERUNDANGAN DALAM

KAUNSELING/KKP 6023 PENSYARAH: DR.MOHAMMAD NASIR BIN BISTAMAM

TAJUK 1
KAUNSELOR SEBAGAI PERSONAL DAN SEBAGAI PROFESSIONAL

PENGENALAN Profession sebagai kaunselor memerlukan mereka melibatkan diri secara langsung di dalam hubungan teraputik bersama klien kerana wujudnya proses pendedahan serta penerokaan kendiri oleh klien melalui sesi kaunseling yang menjurus ke arah perubahan diri serta tingkah-laku klien. Kebiasaanya kaunselor mempunyai serta memerlukan kelayakan yang diperolehi melalui latihan secara formal yang merangkumi kemahiran-kemahiran yang berkaitan dengan proses kaunseling serta pengetahuan mengenai teori kaunseling yang mendalam. Selain daripada mengaplikasikan ilmu yang sedia ada, kaunselor juga turut membawa nilai-nilai kemanusiaan serta pengalaman hidup mereka di dalam sesi kaunseling. Kombinasi ini adalah penting untuk menghasilkan sesi kaunseling yang berkesan. Di dalam usaha untuk membantu dalam perkembangan diri klien, kaunselor juga haruslah bersedia dan sentiasa terbuka terhadap perkembangan diri mereka sendiri. Ini adalah kerana kaunselor yang statik perkembangan dirinya dilihat sebagai kurang berkemampuan untuk menggerakkan perkembangan serta perubahan kendiri klien.

KONFLIK PERSONEL DAN KESEDARAN KENDIRI Namun begitu, perkara ini dikhuatiri akan mengganggu-gugat etika kaunseling seseorang kaunselor sebagai personal dan professional. Isu yang pertama ialah timbulnya konflik personal di dalam diri kaunselor. Sebagai seorang manusia, kaunselor sememangnya tidak dapat lari daripada isu atau masalah peribadi di dalam kehidupan mereka. Malahan sesetengah daripada masalah ini, masih belum dapat dihadapi atau diselesaikan oleh kaunselor itu sendiri. Justeru itu, adalah amat penting bagi kaunselor untuk sentiasa peka dan mempunyai kesedaran kendiri dalam mengenalpasti isu-isu tersebut apatah lagi jika ianya boleh menjejaskan kemampuan mereka untuk mengendalikan sesi kaunseling. Ini adalah kerana, konflik personal yang tidak ditangani dengan baik oleh kaunselor boleh mempengaruhi serta menghalang kaunselor daripada memberi perkhidmatan kaunseling yang sewajarnya serta terbaik kepada klien.

TRANSFERENCE SERTA COUNTER TRANSFERENCE Transference serta Counter transference juga sering berlaku sewaktu sesi kaunseling. Tranference merupakan keadaan di mana klien mensasarkan atau meletakkan perasaan yang pernah mereka alami terhadap seseorang yang signifikan di dalam kehidupan mereka kepada kaunselor. Proses transference ini seterusnya akan mempengaruhi cara klien melihat atau bertindakbalas terhadap kaunselor. Perasaan yang timbul ini boleh bersifat sayang, marah atau benci yang mewujudkan perhubungan yang tidak realistik di dalam sesi kaunseling. Counter transference pula merupakan keadaan sebaliknya di mana kaunselor yang mengalami tindakbalas emosi terhadap klien mereka. Perkara ini boleh menjejaskan penilaian kaunselor terhadap masalah serta diri klien yang mungkin akan menjadi penghalang mereka untuk membantu klien.

KLIEN BERGANTUNG DAN KAUNSELOR MENGAMBIL KESEMPATAN Sesi kaunseling tidak sepatutnya menjadikan seseorang klien bergantung kepada kaunselor. Walaupun proses kaunseling sememangnya bertujuan untuk kaunselor membantu klien dalam menyelesaikan isu atau konflik yang dialaminya, namun klien masih lagi memegang peranan sebagai peneraju utama dalam kehidupannya. Tugas kaunselor hanya sekadar untuk menggerakkan klien dalam membuat keputusan dan melakukan perubahan di dalam diri dan tingkah laku mereka. Mungkin kebergantungan terhadap kaunselor akan berlaku sewaktu permulaan sesi kaunseling tetapi ianya haruslah hanya bersifat sementara kerana proses kaunseling sepatutnya dapat melatih serta membimbing klien supaya dapat berdikari dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka. Kaunselor tidak seharusnya membiarkan atau menggalakkan kebergantungan klien terhadap mereka kerana ianya tidak memberi manfaat yang sewajarnya kepada mereka. Keadaan ini adakalanya berlaku kerana terdapat kaunselor yang mengambil kesempatan dan ini adalah bertentangan dengan etika dalam kaunseling. Terdapat beberapa sebab mengapa kaunselor menggalakkan klien untuk bergantung kepada mereka serta terus terusan menemui mereka. Di antaranya ialah kerana mereka mahu kelihatan hebat kerana mempunyai ramai klien dan tidak mahu kehilangan mereka. Terdapat juga kaunselor di dalam sektor swasta yang enggan melepaskan klien mereka yang membayar untuk perkhidmatan yang

diberikan untuk memperolehi lebih keuntungan. Tindakan kaunselor ini boleh dilihat sebagai tidak beretika kerana lebih menitikberatkan kepentingan personal daripada professional.

STRESS DALAM AMALAN KAUNSELOR Tidak dapat dinafikan bahawa kaunseling merupakan satu kerjaya yang mencabar. Ini boleh menyebabkan kaunselor mengalami stress di dalam diri mereka. Ramai kaunselor yang begitu bersemangat untuk menceburi di dalam bidang di awal kerjaya mereka. Mereka beranggapan bahawa kerjaya ini akan memberikan kepuasan diri yang sepenuhnya kerana mereka berpeluang membantu insan-insan yang mengalami masalah atau konflik di dalam kehidupan mereka. Ramai daripada mereka tidak menyedari bahawa komitmen terhadap penerokaan kendiri klien merupakan satu proses yang sukar. Kebanyakan kaunselor yang efektif menggunakan pengalaman mereka sendiri serta tindakbalas peribadi untuk memahami klien mereka dan menjadikan ianya sebagai instrument untuk membantu klien. Seperti mana yang telah diketahui, sesi kaunseling merupakan satu proses teraputik di mana klien akan mendedahkan segala isu atau konflik yang dialami oleh mereka secara mendalam dan peribadi. Kaunselor yang juga bertindak sebagai tempat meluahkan perasaan berkemungkinan akan turut sama begitu tersentuh oleh penderitaan yang ditanggung oleh klien tersebut. Proses ini boleh menyebabkan kaunselor mengaitkannya dengan pengalaman hidup mereka sendiri terutama sekali jika berlakunya konflik personal atau counter transference yang disebabkan oleh unfinished business yang boleh menyebabkan luka lama berdarah kembali. Justeru itu, adalah amat penting bagi seorang kaunselor untuk mengetahui dan mengenalpasti tahap stress yang mereka alami agar ianya tidak mengganggu kesihataan mental dan fizikal mereka kerana jika ianya dibiarkan berlarutan boleh menimbulkan masalah yang besar yang dikhuatiri boleh menjejaskan kaunselor secara personal dan professional.

TERAPI UNTUK KAUNSELOR Oleh kerana kerjaya kaunselor menuntut ketahanan emosi dan mental yang agak tinggi, maka terapi sememangnya diperlukan oleh kaunselor. Terapi ini boleh dilaksanakan secara individu, kelompok serta perbincangan dengan rakan setugas. Terapi ini boleh bertujuan untuk memberi fokus ke arah meningkatkan lagi kesedaran kendiri. Ini adalah penting kerana dengan adanya kesedaran kendiri yang tinggi, kaunselor dapat menjalankan sesi kaunseling dengan lebih yakin dan berkesan. Terdapat juga jenis terapi yang bersifat kurang formal dan ringan seperti melakukan aktiviti berbentuk fizikal, bermeditasi, menghiburkan diri dengan mendengar muzik dan melukis dan melibatkan diri dalam aktiviti berbentuk spiritual. Bakal-bakal kaunselor juga wajar digalakkan untuk melalui sesi terapi. Ini adalah kerana mereka yang akan memberi kaunseling seharusnya mempunyai pengalaman sendiri menjadi seorang klien agar mereka akan lebih mempunyai sikap empati dan mudah untuk memahami keperluan klien dan seterusnya manjadikan diri mereka seorang kaunselor yang berkesan.

RUMUSAN Kesimpulannya, kaunselor yang cemerlang ialah mereka yang dapat mengaplikasikan pengetahuan, pengalaman dan nilai-nilai kemanusiaan di dalam sesi kaunseling dengan sebaikbaiknya tanpa menjejaskan kredibiliti mereka sebagai seorang kaunselor yang beretika.

You might also like