You are on page 1of 11

1.

0 PENDAHULUAN Program Pembelajaran Experiential dirancang untuk dilaksanakan sebagai memenuhi sukatan kaedah pengajaran bagi kursus pembangunan sahsiah. Program tersebut telah berjaya dilaksanakan pada 24 Mac 2012 bertempat di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikelolakan oleh En.Ab Aziz bin Mohd Yatim dan En.Mohd Noor bin Saper dan turut dibantu oleh fasilitator-fasilitator yang berdedikasi. Program tersebut telah berlangsung selama enam jam iaitu bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 7.00 petang. Seramai 380 orang pelajar telah menyertai program tersebut yang terdiri daripada pelbagai kumpulan kuliah bagi kursus pembangunan sahsiah.

2.0 OBJEKTIF Objektif program ini dilaksanakan adalah untuk memenuhi sukatan kaedah pengajaran bagi kursus pembangunan sahsiah. Seterusnya, memberi peluang kepada semua pelajar menyertai aktiviti yang berfaedah yang dijalankan pada hujung minggu, meningkatkan penghayatan para pelajar terhadap nilai-nilai murni yang mereka perlu ada untuk menjadi seorang guru. Kemudian, menanam rasa penerimaan terhadap rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai kaum, berbeza amalan dan kebudayaan dan yang paling penting ialah mengenal pasti ciri-ciri sahsiah guru berlandaskan nilai-nilai moral dan akhlak. Program ini juga membincangkan ciri-ciri sahsiah guru seperti nilai-nilai murni, integriti dan etika dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

3.0 TENTATIF PROGRAM NAMA PROGRAM : PROGRAM PEMBELAJARAN EXPERIENTIAL TARIKH MASA TEMPAT : 24 MAC 2012 : 8.00 -7.00 PETANG : DEWAN SITC, UPSI

8.00 PAGI Pengambilan tempat dan pendaftaran pelajar yang diambil mengikut kumpulan masing-masing. 8.30 PAGI Aktiviti memanaskan badan dan regangan (senaman koperat) yang diketuai oleh En.Ab Aziz bin Mohd Yatim dan dibantu oleh ketua dari setiap kumpulan. Senaman koperat itu telah diselitkan dengan 6 buah lagu yang berlainan genre. 9.15 PAGI Sesi ice breaking telah bermula. Pelajar diminta berpasangan untuk aktiviti seterusnya. Pelajar 1 dikehendaki merapatkan lutut dengan pelajar 2. Kemudian, tangan pelajar 1 perlu diletakkan di atas lantai dan tangan pelajar 2 di atas lutut pelajar 1. Pelajar 2 perlu mengosok lutut dan muka pelajar 1 seterusnya mencium dahi pelajar 1. Kemudian , pelajar 1 perlu melakukan perkara yang sama kepada pelajar 2. Seterusnya, para pelajar dikehendaki membina sebuah kumpulan dengan mengikut permulaan abjad nama dan bulan kelahiran masing-masing.Pelajar perlu menggunakan kreativiti sendiri untuk memastikan mereka berada dalam kumpulan yang disuruh mengikut masa yang telah ditetapkan. 10.00 PAGI Agenda diteruskan dengan pelajar dikehendaki membina sebuah kumpulan yang terdiri daripada sepuluh orang. Cara yang dikehendaki untuk membina kumpulan tersebut adalah dengan mencari persamaan yang terdapat oleh setiap orang contohnya mempunyai persamaan dari segi kursus, kolej, perangai dan lain-lain. Nama kumpulan mengikut nombor telah ditetapkan oleh En.Ab Aziz bin Mohd Yatim. Perlantikan ketua dijalankan dengan cara undian dan mengikut

persetujuan ramai daripada semua ahli kumpulan. Modal sebanyak RM500 telah diberikan kepada setiap kumpulan sebagai wang pendahuluan permulaan permainan. Jumlah wang tersebut akan makin berkurang jika terdapat ahli yang melakukan kesalahan dan tidak memberi respon dalam setiap aktiviti yang dijalankan dan wang tersebut akan ditambah jika ahli kumpulan memberi respon yang sebaliknya. Sesi diteruskan dengan perlantikan setiausaha, bendahari, hakim, peguam bela, imam, bilal, mak andam dan seterusnya mak bidan. Setiap perlantikan tersebut diberi masa selama lima saat dan jika lambat, RM 100 akan dipotong dari kumpulan itu. 11.00 PAGI Makanan pagi telah diedarkan kepada setiap kumpulan dan pada masa yang sama, lagu tema program Harga Remaja telah dipasang. Pelajar diminta untuk menghafal lagu tersebut. Program itu diteruskan dengan mengenal personaliti seseorang melalui warna dan ujian inventori yang dikelola oleh En.Ab Aziz bin Mohd Yatim dan En.Mohd Noor bin Saper. Penceramah juga telah mengajar pelajar satu kaedah komunikasi yang sangat berguna. Kaedah tersebut dinamakan kaedah PAC. Seterusnya, satu situasi telah direka oleh penceramah untuk melihat sejauh mana refleksi pelajar terhadap ilmu yang disampaikan sebelum ini.

1.15 TENGAHARI Pelajar diberikan sedikit taklimat tentang aktiviti yang bakal dijalankan iaitu KEMBARUN. KEMBARUN merupakan explorace yang akan dijalankan di sekitar Tanjung Malim untuk mencari harta karun yang tersembunyi. Masa yang diberikan adalah selama 2 jam setengah iaitu bermula dari pukul 1.00 hingga 3.30 petang. Enam petunjuk telah diberikan kepada setiap kumpulan iaitu empat yang dinyata dan dua yang tersembunyi. Empat petunjuk tersebut terdiri daripada pelbagai bahasa iaitu hindi, tamil, cina dan arab. Pelajar berkumpul di dalam dewan SITC untuk menyelesaikan check point yang terakhir. Pelajar telah diberikan sekeping kertas yang berbentuk T yang dimana T tersebut telah diceraikin satu persatu dan dikehendaki untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam masa yang singkat. Kumpulan yang berjaya akan mendapat cek yang bernilai RM 110000.

4.00 PETANG Pelajar telah diminta oleh penceramah untuk menceritakan pengalaman yang mereka peroleh sepanjang KEMBARUN dijalankan. KEMBARUN ialah aktiviti kembara untuk mencari harta karun dan harta karun itu sebenarnya ialah nilai-nilai murni yang pelajar dapat sepanjang aktiviti itu berlangsung. Kesemua pelajar yang ke hadapan telah memberikan respon yang sangat baik.

5.00 PETANG Sesi diteruskan dengan penceramah menceritakan pengalaman beliau sepanjang bergelar seorang guru. Pelbagai pengalaman suka-duka yang telah dilalui oleh penceramah. Pelbagai isu tentang guru turut dibincangkan dalam slot ini.

7.00 PETANG Program tamat. Semua pelajar bersurai.

4.0 KEKUATAN PROGRAM Sepanjang program ini dijalankan memang tidak dinafikan program ini telah membawa impak yang begitu besar kepada para pelajar yang menyertainya. Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya membuka minda pelajar dalam meningkatkan penghayatan dan menyedari betapa pentingnya untuk mempunyai kaedah komunikasi yang berkesan. Pengkongsian yang dilakukan oleh pihak program telah berjaya menambat hati para pelajar untuk memberi kerjasama yang begitu jitu sekali. Seterusnya, cara kemahiran pengendalian yang begitu teratur telah melancarkan tentatif program yang telah ditetapkan. Sebarang masalah dapat ditandatangani dengan begitu tenang sekali oleh pihak pengurusan. Kemesraan yang ditunjukkan oleh fasilitator-fasilitator telah mencuri hati para pelajar. Tambahan pula, kandungan yang diselitkan dalam program ini begitu mantap sekali. Penglibatan ceramah yang tidak sehala telah menjadikan program tersebut kelihatan hidup dan banyak memperolehi respon yang begitu positif daripada para pelajar. Selain itu, penceramah-penceramah yang menyampaikan maklumat terdiri daripada penceramah yang sangat berpengalaman. Usaha pihak program memperkenalkan pelbagai pendekatan dalam sistem pendidikan di negara yang bukan sahaja berlandaskan akademik semata-mata ini perlu diakui sebagai satu usaha proaktif dalam menyediakan tahap generasi pelapis yang realistik. Tidak ada usaha yang membazir malahan semuanya memberikan input yang amat positif kepada generasi pelapis negara ini.

5.0 PENAMBAHBAIKAN PROGRAM Pihak pengurusan Program Pembelajaran Experiential perlu memberi tumpuan kepada pengambilan tempat dan proses pendaftaran pelajar yang kurang sistematik. Keadaan menjadi sedikit kelam-kabut kerana para pelajar berpusu-pusu untuk pergi mendaftar kerana terdapat sebuah sahaja meja kaunter pendaftaran. Masa yang diperuntukkan untuk mendaftar tidak mencukupi kerana bilangan pelajar yang begitu ramai. Bagi melancarkan pendaftaran diharap untuk program seterusnya tidak lagi berlaku keadaan yang tidak terurus. Masalah lain yang dikesan adalah berkaitan minuman. Minuman yang disediakan di dalam bungkusan plastik itu kurang bersesuaian kerana ia menyukarkan para pelajar untuk membawa ia ke merata tempat. Pelajar terpaksa menghabiskan minuman tersebut dalam satu masa. Bagi menyelesai masalah ini, pihak pengurusan boleh menyediakan minuman botol atau kotak untuk memudahkan para pelajar menyimpan di dalam beg. Akhir sekali, modul yang disediakan oleh pihak pengurusan terlalu sedikit. Hal ini demikian kerana mungkin pihak pengurusan terpaksa membatalkan beberapa modul kerana kesuntukan masa.

6.0 REFLEKSI KENDIRI Program yang telah dijalankan pada 24 Mac 2012 berjalan lancar. Pelbagai nilai-nilai murni telah dapat diterapkan dalam diri para pelajar. Program ini telah memberi impak yang begitu besar dari segi kognitif, afektif dan psikomotor dalam diri saya. Melalui program ini saya dapat mempelajari satu kaedah komunikasi yang sangat berkesan. Pengetahuan yang saya peroleh pada hari tersebut tidak ada nilainya jika hendak dibandingkan dengan emas permata. Selain itu, setiap aktiviti yang telah dijalankan dalam program tersebut begitu banyak membantu saya dalam membaiki masalah komunikasi sesama rakan-rakan. Seterusnya, hubungan sesama ahli kumpulan semakin erat dengan cara penerimaan terhadap rakan-rakan walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, berbeza amalan dan kebudayaan. Semangat berkumpulan telah berputik apabila terdapat kerjasama antara ahli kumpulan. Pelbagai halangan yang telah ditempuhi di sekitar Tanjung Malim semasa aktiviti KEMBARUN dan hampir-hampir membuatkan sesetengah kumpulan berputus asa tetapi disebabkan adanya semangat berkumpulan dan ingin menamatkan

permainan, setiap ahli kumpulan telah memberikan respon yang sangat positif antara satu sama lain. Akhirnya, semua kumpulan berjaya menamatkan permainan dengan selamat. Perspektif terhadap sesebuah kaum telah berkurangan dengan adanya aktiviti seperti ini. Masalah komunikasi antara satu sama lain juga dapat diperbaiki. Hubungan pelajar dengan masyarakat luar juga dapat dipupuk melalui aktiviti ini. Masyarakat tempatan juga tidak segan silu menolong para pelajar untuk menyelesaikan petunjuk yang telah ditanyakan kepada mereka. Melalui aktiviti ini juga, pelajar dapat berfikir secara kreatif dan kritis untuk menyelesaikan setiap petunjuk yang telah diberikan. Selepas itu, penceramah menceritakan pengalaman beliau sepanjang bergelar seorang guru. Pelbagai pengalaman suka-duka yang telah dilalui oleh

penceramah. Melalui perbincangan bersama penceramah, terdapat pelbagai implikasi negatif yang telah berlaku akibat sikap guru dan pihak sekolah yang hanya mementingkan akademik semata-mata tanpa mengambil kira masalah yang dihadapi oleh setiap pelajar.

Kita sepatutnya tidak menyisihkan pelajar yang bermasalah sebaliknya kita haruslah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada mereka kerana mereka sangat memerlukan sokongan daripada insan seperti kita yang bergelar guru. Kita seharusnya memandang dari sudut yang berlainan yang dimana mereka semua ini sebenarnya mempunyai kemahiran yang harus digilap. Mereka memerlukan kasih sayang dan belas kasihan daripada kita untuk meneruskan perjuangan dalam hidup mereka. Kita sering menuding jari menyalahkan pelajar atas kesalahan yang mereka lakukan tetapi kita tidak pernah menyalahkan diri kita sendiri sebagai seorang guru kerana gagal mendidik mereka supaya menjadi insan yang baik dan berjaya. Pada masa kini, bidang pendidikan di negara ini sering menjadi keresahan kepada ibubapa dan masyarakat, menyebabkan timbul pelbagai rungutan dan cadangan samada secara formal ataupun tidak formal?

Jawapan sejujurnya terhadap segala keresahan di atas ialah kegagalan guru. Kegagalan guru untuk memahami tanggungjawab mereka yang sebenar. Kesilapan guru dalam membezakan tanggungjawab dan tugas. Inilah hakikat sebenar yang harus ditelan walaupun ianya terlalu pahit. Tidak kira guru yang berpengalaman ataupun guru yang baru menjejak kaki ke alam perguruan, kesemuanya perlu akur bahawa kegawatan ini lahir dari kecuaian mereka sendiri. Jadi, kita seharusnya mendidik dengan niat untuk membekalkan ilmu kehidupan yang secukup-cukupnya

kepada anak didik kita dan memastikan bahawa mereka benar-benar mampu menguasai apa yang telah dibekalkannya dan sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dan membuat penyelidikan kearah penambahbaikan teknik pengajaran. Mulai saat ini, saya lebih bermotivasi untuk memahami matlamat sebenar seorang guru dengan itu barulah kita akan mendapati bahawa tugas kita akan menjadi menarik dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan dalam diri yang lebih positif dan seterusnya menjulang kembali reputasi bidang perguruan.

7.0 PELAN TINDAKAN KENDIRI Tindakan yang saya akan ambil dan baiki selepas mengikuti Program Pembelajaran Experiential ini adalah cara kepimpinan dalam diri saya. Saya seorang yang mempunyai personaliti introvert yang sangat tinggi. Seseorang yang dikatakan introvert ialah orang yang sentiasa menyimpan perasaan dan emosinya dalam situasi nyata. Di dalam interaksi sosial, orang ini tidak banyak bercakap dan banyak masanya ditumpukan mendengar pertuturan orang lain sahaja. Umumnya, orang introvert ini mempunyai sikap yang serius, sifat pendiam dan pemalu, tidak mempunyai cita-cita tinggi, jarang mengambil inisiatif tetapi suka kepada sistem kehidupan yang teratur. Saya harus mengambil langkah yang drastik untuk mengurangkan personaliti introvert ini dengan membenarkan personaliti ekstrovert mengalir dalam diri saya. Saya harus memberi peluang kepada diri saya untuk lebih suka dengan dunia luar daripada dunia dalam, mempunyai semangat yang aktif dan suka bergaul dengan orang, sentiasa suka melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sosial dan sering mengambil inisiatif sendiri. Saya perlu meletakkan diri saya pada satu titik dalam kontinum di antara kedua-dua kategori tersebut supaya saya menjadi seorang yang aktif tetapi sensitif terhadap persekitaran. Kedua, saya harus memperbaiki masalah komunikasi saya dengan rakan-rakan sekeliling. Setelah saya mempelajari Kaedah PAC daripada En.Ab Aziz bin Mohd Yatim. Kaedah PAC telah memberi tunjuk ajar kepada saya bahawa perlu untuk berkomunikasi jenis adult dengan adult dan adakalanya perlu juga untuk berkomunikasi jenis parent dengan child tetapi haruslah pandai untuk menggunakannya. Kini barulah saya sedar betapa pentingnya untuk mempunyai komunikasi dua hala. Kaedah ini akan saya aplikasikan dalam kehidupan seharian saya.

LAMPIRAN Sesi Pendaftaran Pelajar

Senaman Koperat

Sesi Ice Breaking

Sesi KEMBARUN

You might also like