You are on page 1of 6

MOTOR HALUS Perbincangan seterusnya kita akan lihat motor halus dari aspek ciri,contoh aktiviti bagi kemahiran

ini dan matlamat dalam kurikulum.Kemahiran motor halus adalah kemahiran yang melibatkanpengawalan otot-otot kecil pada tangan, pergelangan tangan, jari-jaritangan, kaki, jari kaki, bibir dan lidah. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini motor halus juga melibatkan koordinasi pergerakan ototkecil dan organ deria seperti pergerakan pada jari tangan dan koordinasinya dengan mata. Dalam meningkatkan kemahiran motor halus ini, kanak-kanak akan berkebolehan melakukan aktiviti harian mereka sendiri. Contohnyakanak-kanak yang berumur 3 tahun dapat menggunakan sudu denganbetul. Bagi kanak-kanak yang lebih besar seperti berumur 5 tahun,mereka mugkin telah dapat menggunakan gunting untuk memotong kertas dan membuat bentuk. Manakala kanak-kanak yang berumur 6 tahun mereka berkebolehan mengikat tali kasut mereka. Kemahiran kanak-kanak menggunakan gerakan tangan dan jari untuk melakukan sesuatu aktiviti dinamakan dexterity. Kemahiran ini turut melibatkan kebolehan mengkoordinasi mata dengan otot kecil tangan.Kemahiran ini paling banyak digunakan dalam proses tumbesaran kanak-kanak. Semasa kecil kanakkanak telah mula belajar untuk memegang sesuatu pada tapak tangan mereka. Perkembangan ini berterusan sehingga mereka dapat menulis, melukis atau melakukan tugasan seperti memasang butang baju atau mengikat tali kasut dengan baik. Ciri motor halus ini penting bagi kita khususnya dalam memahami perkembangan motor halus kanak-kanak. Selain itu, kita sebagai guru juga harus mengetahui ciri. Guru perlu tahu faktor-faktor yang harus dipertimbangkan dalam membuat perancangan pembelajaran kanak-kanak. Sebagai contoh pembelajaran kemahiran menulis, adalah penting kita memahami perkembangan motor halus dalam pengawalan pensil untuk kanak-kanak ini menulis. Guru harus tahu cara pengawalan gengaman jari tangan kanak-kanak. Sekiranya guru mengetahui bahawa kanak-kanak masih di peringkat mengembangkan kemahiran mereka, guru ini akan mempertimbangkan beberapa penyelarasan dan penyesuaian bagi membantu kanak-kanak inimenulis dengan baik. Contohnya guru harus mempertimbangkan saiz,bentuk dan panjang pensil yang sesuai untuk kanak-kanak ini mula menulis. Bagi kemahiran melukis pula, kajian yang telah dijalankan oleh Rhonda Kellogg, khususnya bagi kanak-kanak berumur 2 8 tahun mendapati bakat artis kanak-kanak bermula dengan lakaran simbol yang tertentu.Pada peringkat awal kanak-kanak akan melukis simbol sepert bentuk bulat, empat segi dan garisan lurus. Apabila kanak-kanak ini berumur 3 tahun mereka mula membuat bentuk muka, umur 4 tahun melukis gambar orang. Umur 5 tahun lukisan orang ini lebih baik dengan

lukisan kaki dan tangan yang lebih lengkap beserta baju dan seluar. Pada tahap ini juga mereka telah dapat melukis objek lain seperti rumah, haiwan dan pokok. Oleh itu, kanak-kanak ini memerlukan bantuan kita bagi memperkembangkan kemahiran menulis dan melukis mereka. Kita harus merangka strategi yang sesuai bagi membantu meningkatkan kemahiran kanak-kanak ini. Contohnya di sekolah kita membantu kanak-kanak yang baru mula menulis huruf dengan meminta mereka menulis huruf tersebut berulang kali sehingga mereka mahir dengan gerakan motor menulis huruf itu. Selepas itu baru kita kembangkan kemahiran ini dengan meminta mereka menulis satu perkataan yang lengkap dengan menggabungkan huruf huruf tersebut bermula dengan perkataan yang memerlukan tiga atau empat huruf sahaja. Satu lagi cara untuk membantu kanak-kanak mengembangkan motor halus mereka adalah dengan menggunakan bahan bantu yang bersesuaian. Contohnya bagi kanak-kanak yang baru hendak melukis penggunaan pensil krayon mungkin kurang sesuai memandangkan saiz pensil krayon yang agak kecil. Oleh itu kita seharusnya memberikan kanak-kanak saiz pensil warna yang agak besar bagi memudahkanmereka memegang pensil tersebut. Pensil yang berbentuk tiga segi juga dapat membantu kanak-kanak memegang pensil dengan kemas.Kemahiran gengaman seperti ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak dalam pengawalan motor halus mereka. Selain itu, cara postur kedudukan tangan dan badan yang betul juga dapat meningkatkan kemahiran motor halus. Kedudukkan tangan, kaki dan badan ini sangat penting dalam melaksanakan tugas yang memerlukan kemahiran motor halus. Craig dan Digdon (2001),menyatakan kanak-kanak seharusnya dididik cara duduk yang betul dengan punggung, lutut dan kaki berada dalam kedudukan 90 dengan kedudukan badan mereka agak ke depan sedikit. Kedudukan meja pula seharusnya 2 inci dari siku ketika tangan mereka dalam kedudukan rehat. Sekiranya kerusi mereka terlalu tinggi dan kaki mereka tergantung, letakkan alas kaki agar mereka selesa. Apabila keadaan selesa kanak-kanak dapat mengerakkan tangan, lengan, dan jari dengan stabil. Cadangan Bagi Aktiviti Motor Halus Membentuk plastisin menjadi bola menggunakan kedua tapak tangan. Membentuk plastisin menjadi biji menggunakan jari.Menggunakan penyepit membuat pelbagai corak pada plastisin. Memotong plastisin dengan pisau plastic bagi menghasilkan pelbagai bentuk. Mengoyakkan kertas surat khabar kepada jalur danmengumpalkannya menjadi bola. Meronyokkan sehelai surat khabar dengan satu tangan.

Menggunakan penyembur air untuk membasahkan kain atau suratkhabar (atau membentuk corak tertentu). Mencabut tau mengambil objek menggunakan penyepit. Mengocak dadu menggunakan genggaman tapak tangan. Menggunakan pemutar skru kecil utuk membuka skru pada alat mainan. Membuat aktiviti mengait dan menjahit seperti memasukkan manic pada benang. Menggunakan penitik mata untuk membuat corak warna pada kertas. Melekatkan objek pelbagai bentuk pada kertas manila untuk membuat kad. Menterbalikkan objek seperti kad, siling, butang dan pin tanpa membawanya di tepi meja. Membuat gambar menggunakan kertas pelekat. Bermain permainan seperti "puppet " dengan menggunakan ibu jari, jari tengah dan jari kelengkeng.

Perkembangan Motor Halus Mengunakan jari untuk aktiviti seperti: Menguasai kemahiran motor Meramas halus Menggentel Mengoyak Mencubit Menguli Memicit Merenyuk Melipat Menguntai Menjentik Merenjis Masalah Penguasaan Kemahiran Motor Halus Gerakan motor halus merupakan salah satu perkembangan yangpenting dalam pergerakan anggota badan kanak-kanak. Semasa di peringkat perkembangan ini, gerakan motor halus seperti meminta kanak-kanak mengikat tali kasut atau memasang butang baju merupakan cabaran yang besar bagi kanak-kanak berbanding gerakanmotor kasar. Pada peringkat ini sistem saraf pusat mereka masih belum mencapai tahap kematangan yang sepenuhnya. Oleh itu proses penghantaran maklumat dalam sistem saraf ke jari tangan masih agak sukar. Selain itu, otot kecil juga lebih cepat letih berbanding otot besar. Jari yang masih kecil juga

menyukarkan kanka-kanak ini untuk mengawalnya. Semua cabaran penggunaan motor halus ini memerlukan lebih kesabaran bagi kanak-kanak yang secara umumnya belum lagimemiliki sikap sabar ini. Kemahiran gerakan motor halus juga boleh menjadi lambat disebabkan beberapa faktor antaranya; kecederaan, penyakit, stroke atau keadaan tidak normal sejak lahir. Kanak-kanak yang berumur 5 tahun dan ke atas tetapi tidak menunjukkan perkembangan motor halus yang baharu kemungkinan mengalami masalah dalam membuat gerakan motor halus. Masalah ini juga boleh berkait dengan keadaan kesihatan kanak-kanak seperti penyakit sawan, terencat akal, buta, pekak atau disebabkan diabetes. Kanak-kanak yang menunjukkan perkembangan yang lambat dalam kemahiran motor halus ini juga akan mempunyai masalah dalam mengawal koordinasi pergerakan badan khususnya bahagian muka, tangan dan jari. Sesetengah tanda terencat perkembangan motor boleh dilihat semasa kanakkanak ini berumur 2 tahun. Tanda-tanda ini adalah seperti kesukaran untuk duduk atau mengangkat kepala, sukar berdiri jikatidak dibantu, sukar untuk bergerak seperti merangkak, atau tempoh berjalan yang agak lambat. Perkembangan lambat bagi motor halus pula kadang kala dapat dilihat ketika kanak-kanak berada di peringkat prasekolah. Contohnya kanak-kanak ini sukar untuk memegang pensil,sukar untuk melukis atau sukar memasang butang baju. Oleh itu ibu bapa, penjaga dan guru harus faham tentang perkembangan dan keperluan motor halus kanak-kanak agar perkembangan mereka dapat dibantu dengan sebaiknya. Oleh itu, bagi membantu kanak-kanak menguasai kemahiran motor halus memerlukan perancangan, masa, dan pelbagai bahan bantu.Perkembangan motor halus dapat digalakkan dengan aktiviti yang seronok, termasuk seperti permainan kraf, jigsaw, dan membina blok lego. Meminta kanak-kanak membantu ibubapa membuat kerja rumah seperti memotong buah, atau mengacau tepung juga merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor halus mereka. Selain itu ia juga dapat meningkatkan kebolehan koordinasi tangan-mata. Oleh kerana perkembangan motor halus memainkan peranan yang penting dalam persediaan kanak-kanak memasuki sekolah dan perkembangan kognitif maka kemahiran ini seharusnya diberi perhatian dalam kurikulum prasekolah. MOTOR KASAR Seperti yang telah kita ketahui, kemahiran motor adalah tindakan yang melibatkan pergerakan otot-otot badan. Bagi motor halus, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini ia melibatkan tindakan otot kecil yang minima seperti mengenggam jari tangan atau mengerakkan lidah bagi merasa sesuatu. Pada bahagian ini kita akan membincangkan lebih lanjut tentang pergerakan bagi motor kasar. Motor kasar adalah tindakan yang melibatkan pergerakan yang besarseperti gerakan anggota tangan, lengan, kaki atau keseluruhan bahagian badan. Contohnya

kanak-kanak yang merangkak, pergerakan ini melibatkan gerakan tangan, kaki, punggung dan bahagian badan yang lain. Oleh itu dalam pergerakan seperti ini, kita akan lihat koordinasi berlaku antara motor kasar dan motor halus. Selain itu,gerakan motor kasar ini juga memerlukan pengawalan keseimbangandan koordinasi dengan organ deria yang lain seperti mata dan sentuhan. Gerakan motor kasar kanak-kanak dapat ditingkatkan dengan memberi peluang kepada mereka melakukan pelbagai aktiviti. Aktiviti yang dirancang tersebut perlu melibatkan kanak-kanak melakukannya dalam keadaan yang berbeza keadaan kedudukan badan mereka. Selain itu tahap kesukaran aktiviti tersebut juga boleh ditingkatkan berdasarkan penguasaan kanak-kanak itu. Kanak-kanak akan berasa seronok sekiranya aktiviti yang dirancang tersebut mencabar dan berbeza sedikit dari kemahiran yang telah telah mereka peroleh. Cadangan Bagi Aktiviti Motor Kasar Berlari

Kanak-kanak dapat berlari dengan seimbang,boleh bertukar arah dengan mudah, seronok dengan pelbagai jenis aktiviti seperti berlari,skipping, melompat dan sebagainya.Rancangkan aktiviti yang memerlukan kebolehan bergerak dengan pantas.

Melompat

Kanak-kanak dapat melompat secara menegak lebih kurang 4 inci, boleh melompat sejauh 3 kaki, boleh melompat dengan tepat ke kotak yang disediakan. Semasa melompat mereka juga dapat mengembangkan pengawalan kesimbangan badan.

Memanjat

Memanjat merupakan sifat semulajadi kanak-kanak ini sejak dari kecil lagi. Mereka akan cuba untuk memanjat meja dan berusaha sehingga mereka berjaya.

Membaling

Boleh membaling dengan ketepatan, kelajuan dan jarak yang memadai.

Bermain bola

Bermain bola melibatkan aktiviti menendang,mengolekkan, membaling dan menangkap bola. Pelbagai saiz bola boleh digunakan dalam aktiviti ini. Contohnya kanak-kanak boleh menangkap bola yang kecil dari jarak yang lebih jauh.

Memukul bola

Boleh memukul bola dengan tepat dan kelajuan yang sesuai. Pada peringkat permulaan kayu pemukul yang lebih besar atau tebal saiznya boleh digunakan. Kita juga boleh menggunakan pelbagai bentuk kayu pemukul seperi raket tenis, raket badminton,kayu kriket dsbnya.

Melantunkan bola

Dapat melantunkan bola dari lantai dengan kawalan yang lancar dan koordinasi yang baik.

Masalah Motor Kasar Kemahiran motor merupakan kemahiran yang bergantung kepada kecekapan otak, tulang, sendi dan sistem saraf berfungsi. Oleh itu perkembangan motor adalah perkembangan gerakan dan koordinasi selain daripada memerlukan seseorang menggunakan kekuatan otot,pengawalan kedudukan, keseimbangan dan kemahiran persepsi diri. Perkembangan koordinasi yang lambat merupakan salah satu masalah dalam gerakan motor. Kanak-kanak yang mempunyai masalah ini mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti seperti berjalan dengan betul, menunggang basikal, malah untuk bermain bola. Kanak-kanak seperti ini menunjukkan pergerakan yang tidak teratur, perlahan dan agak pelik. Kanak-kanak yang mempunyai masalah perkembangan dalam koordinasi ini juga mempunyai masalah bagi menyiapkan tugas yang melibatkan pergerakan otot secara berurutan.Sebagai contoh, kanakkanak ini tidak dapat membuat aktiviti inidalam urutan, membuka almari pakaian dan menanggalkan jaket baju. Seperti motor halus, masalah dalam perkembangan motor kasar kanak-kanak juga dapat dikesan di awal tumbesaran kanak-kanak tersebut. Pada peringkat awal ini kita dapat lihat perkembangan kanak-kanak dari aspek keseimbangan, koordinasi dan pengawalan kedudukan badan memerlukan gerakan badan mereka pada suatu tempat ( Shumway-Cook & Woollacott, 1985). Keinginan kanak-kanak untuk bergerak dan meneroka persekitaran mereka merupakan rangsangan awal bagi gerakan motor kasar. Apabila kanak-kanak ini menghadapi masalah bergerak balas dengan rangsangan seperti ini kita akan sedar bahawa mereka mempunyai masalah dalam perkembangan motor kasar mereka. Oleh itu kanak-kanak perlulah diberikan masa yang mencukupi bagimelibatkan diri dengan aktiviti luar seperti bermain, berlari, memanjat atau aktiviti membantu ibubapa seperti membasuh kereta,membersihkan kawasan rumah atau aktiviti luar yang lain.

You might also like