You are on page 1of 5

PENGALAMAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) LAPORAN AKHIR (PENGALAMAN KESELURUHAN PROGRAM PBS1)

REFLEKSI Pertama sekali, ingin saya panjatkan kesyukuran saya terhadap Ilahi dengan limpah dan kurnia-Nya, rezeki dan inayah-Nya dapat saya laksanakan program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Seri Kota selama lima hari bermula 4 Mac sehingga 8 Mac dengan jayanya. Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada insan yang terlibat secara langsung dan juga tidak langsung kerana telah banyak membantu saya semasa menlaksanakan PBS ini. Banyak pengalaman yang telah saya perolehi semasa menjalani program ini. Walaupun ini merupakan PBS saya yang pertama, saya tetap tidak akan melupakan segala pengalaman dan ilmu yang telah saya perolehi semasa saya melaksanakan PBS ini. Bagi saya, program PBS ini telah banyak memberi manfaat dan faedah yang berguna kepada saya sebagai pelajar guru yang bakal keluar untuk mengajar kelak. Semasa menjalani program PBS ini, saya dapati banyak kekuatan yang dapat saya terapkan dalam diri saya dan juga kelemahan yang dapat saya perbaiki.Sebelum menjalani program ini, saya diarahkan untuk mengisi borang pernyataan sebelum berPBS iaitu dengan menyatakan segala aktiviti yang hendak dilaksanakan sewaktu berPBS beserta dengan tujuannya. Saya bersyukur kerana segala pernyataan yang telah saya nyatakan itu dapat saya laksanakan dengan jayanya dengan hasil bantuan rakan-rakan dan juga komuniti sekolah. Pada hari pertama ketika datang ke sekolah, sememangnya perasaan gugup dan gemuruh tidak dapat dihilangkan dalam diri saya kerana ini merupakan PBS pertama saya lakukan malah sekolah yang saya pilih juga merupakan sekolah lama saya. Ketika saya datang ke sekolah, saya telah disambut baik oleh pihak sekolah dan saya ingatkan hanya saya seorang sahaja yang berPBS di sini akan tetapi terdapat tujuh orang pelajar guru yang datang untuk berPBS bersama-sama saya. Antaranya ialah empat orang pelajar guru Tesl daripada IPG Kampus Perlis, seorang pelajar guru PSV dan dua orang pelajar guru Tesl daripada IPG Kampus Kota Bharu. Ini merupakan

salah satu kekuatan yang telah saya nyatakan tadi iaitu saya dapat berkolaborasi dengan mereka dalam mencari maklumat-maklumat mengenai sekolah. Walaupun kami saling tidak mengenali tetapi kami tetap saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam setiap tugasan yang diberi kerana semangat keguruan dalam diri kami mula membentuk. Bagi saya inil merupakan salah satu kekuatan dan manfaat hasil daripada program ini. Setelah kami melaporkan diri di pejabat dengan Penolong Kanan 1 iaitu Encik Azhar B. Abdullah, kami telah dipelawa oleh guru-guru sekolah untuk ke dataran perhimpunan. Kami berlapan sememangnya beruntung kerana perhimpunan yang dijalankan pada hari itu adalah untuk meraikan para atlet sekolah yang telah mengharumkan nama sekolah dalam sukan ping-pong, bola sepak dan sepak takraw. Selain itu, guru besar juga memberi anugerah kepada murid-murid yang telah berjaya mendapat keputusan cemerlang 5A dalam ujian bulanan baru-baru ini. Saya sememangnya beruntung kerana dapat melihat kejayaan yang telah disumbangkan oleh mereka. Kejayaan mereka telah membanggakan saya walaupun sebagai seorang pelajar guru dan memberi semangat kepada saya untuk menjadi seorang guru yang berkualiti. Aktiviti yang telah saya jalankan pada hari pertama adalah mendapatkan maklumat-maklumat umum mengenai sekolah seperti yang telah dinyatakan dalam tugasan yang diberi. Berkat usaha dan kerjasama antara kami, kami mampu untuk mendapatkan maklumatmaklumat tersebut. Pada hari kedua berPBS, saya telah melihat dan memerhati mentor saya Puan Haliza Ibrahim mengendalikan kelas murid tahun enam dan juga murid tahun tiga. Berdasarkan pemerhatian saya terhadap kedua-dua buah kelas yang dikendalikan oleh mentor saya itu, ternyata teknik pedagogi yang digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sememangnya berbeza. Bagi murid tahun 3, mentor saya lebih menggunakan bahan sumber pengajaran dan pembelajaran ketika proses P&P iaitu dengan menggunakan beberapa alat bantu mengajar (ABM) seperti kad dan juga bahan-bahan konkrit yang lain kerana mentor saya berpendapat bahawa murid-murid pada tahap ini sememangnya minat kepada sesuatu yang baru malah mereka lebih cenderung kepada sesuatu yang ada di depan mata mereka untuk dipegang dan dirasai oleh deria-deria yang lain. Berdasarkan pemerhatian saya pula, perkara yang dinyatakan oleh mentor saya itu sememangnya betul kerana murid-murid tahun tiga ini

memberikan perhatian yang sepenuhnya ketika proses P&P berlangsung malah setiap kali ditanyakan soalan, murid-murid tersebut dapat menjawabnya dengan tepat. Hal ini menunjukkan bahawa cara penyampaian pengajaran seseorang guru itu sememangnya berjaya dan berkesan. Bagi murid tahun 6 pula, proses P&P yang digunakan lebih kepada mendedahkan murid-murid tersebut dengan persekitaran dan pengalaman mereka. Sebagai contoh, sewaktu belajar mengenai nombor, mentor saya akan mengaitkan sesuatu nombor itu dengan wang ataupun bilangan sesuatu benda konkrit yang berada di persekitaran mereka. Hal ini kerana mentor saya berpendapat bahawa murid-murid perlu didedahkan dengan sesuatu yang melibatkan pengalaman mereka agar mudah untuk merangsang perkembangan kognitif mereka supaya berkembang dengan lebih baik. Berdasarkan pemerhatian saya juga, murid-murid tahun 6 sememangnya memberikan perhatian sepenuhnya kepada guru mereka malah mereka tidak berasa bosan sewaktu guru mereka mengajar kerana teknik pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh mentor saya bukanlah hanya berdasarkan buku teks semata-mata. Saya berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada mentor saya kerana membenarkan saya melihat beliau mengajar sewaktu kelas beliau kerana hasil daripada pemerhatian itu telah menyumbangkan banyak perkara-perkara baru yang dapat saya pelajari. Bagi saya ini merupakan salah satu pengalaman yang baru kepada saya kerana saya telah didedahkan dengan perkara dan pengalaman sebenar tentang kehidupan seorang guru. Bukan itu sahaja, perkara-perkara seperti teknik P&P, penggunaan alat ABM serta yang paling penting adalah untuk mendapat fokus muridmurid ketika proses P&P sememangnya penting bagi seseorang guru kerana perkaraperkara inilah yang menentukan keberkesanannya P&P seseorang guru tersebut. Aktiviti yang dilakukan pada hari ketiga adalah berinteraksi dengan murid-murid dan juga guru-guru di sekolah ini. Sesi temu bual yang dijalankan bertujuan untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai aktiviti di sekolah ini. Aktiviti temu bual yang dijalankan ini sememangnya berjalan dengan lancar hasil daripada kerjasama yang ditonjolkan daripada murid-murid dan juga guru-guru di sekolah ini. Aktiviti yang saya jalankan ini terdapat sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki iaitu hasil dapatan maklumat yang diperolehi daripada murid-murid mempunyai sedikit percanggahan. Bagi membaiki kelemahan ini, saya mengambil keputusan untuk mengesahkanya

dengan guru-guru bagi mengelakkan kekeliruan maklumat ini untuk terus berlaku. Pada pendapat saya, aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah ini sememangnya bersesuaian dengan perkembangan murid-murid kerana mereka bukan sahaja didedahkan dari segi akademik malah jasmani serta rohani juga turut dikira sebagai perkara yang penting untuk perkembangan murid-murid tersebut. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sesi pembelajaran murid-murid tahap 1 iaitu tahun 1, 2 dan juga 3 dengan tahap 2 iaitu tahun 4, 5, dan 6 sememangnya berbeza. Mereka akan memula waktu P&P mereka pada pukul 7.45 pagi tetapi tahap 1 akan tamat sesi pembelajaran mereka pada waktu 12.45 tengah hari manakala murid tahap 2 pula akan tamat pada pukul 1.15 tengah hari. Sesi pembelajaran fardhu ain pada sebelah petang pula akan diteruskan oleh murid-murid tahun 1, 2, 3, 4 dan 5 manakala murid-murid tahun 6 perlu mengikuti kelas serambi iaitu kelas tambahan pada hari ahad, isnin dan juga selasa. Pada hari rabu dan khamis pula murid tahap 2 diwajibkan untuk mengikuti aktiviti ko-kurikulum pada sebelah petang yakni unit beruniform dan persatuan pada hari rabu manakala hari khamis adalah sukan dan permainan. Perkara yang menarik minat saya adalah berkaitan dengan sukan dan permainan, mereka dibenarkan untuk memilih sukan kegemaran mereka sendiri dan bukanya pihak pengurusan sekolah yang menetapkan sukan serta permainan bagi mereka. Berdasarkan guru-guru di sekolah ini, mereka percaya bahawa murid-murid bukan sahaja perlu didedahkan dengan aktiviti bersukan malah mereka perlu berasa gembira dan tidak tertekan apabila diarahkan untuk bersukan kerana sukan merupakan salah satu aktiviti untuk melepaskan tekanan dan bukannya aktiviti untuk meningkatkan tekanan. Pada hari keempat pula, saya telah melihat guru mengendalikan kelas pendidikan jasmani dan pada sebelah petang pula saya melihat aktiviti ko-kurikulum yang dikendalikan oleh mentor saya sendiri. Pada pendapat saya, aktiviti pendidikan jasmani yang dijalankan ini mempunyai sedikit kelemahan berkaitan dengan kemudahan sekolah. Sekolah ini sememangnya tidak mempunyai padang permainan, akan tetapi guru tersebut seharusnya tidak boleh mengabaikan keselamatan muridmurid kerana aktiviti pendidikan jasmani ini dijalankan di dataran perhimpunan yakni berlantaikan simen. Seharusnya, guru tersebut perlu mencari jalan untuk meningkatkan kadar keselamatan murid-murid mereka semasa menjalankan sesuatu aktiviti. Guru

tersebut haruslah mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini kerana dalam setiap aktiviti yang dijalankan, keselamatan murid-murid perlu diutamakan malah perkara ini sememangnya menjadi akauntabili bagi seseorang guru. Pada pendapat saya, untuk menyelesaikan masalah ini, para guru bolehlah meminta kebenaran untuk meminjam padang di sekolah bersebelahan dengan sekolah ini kerana bersebelahan dengan sekolah ini terdapat dua buah sekolah yang mempunyai kemudahan seperti padang permainan. Jadi tidak salah kalau guru tersebut meminta kebenaran untuk meminjamnya walaupun aktiviti ini cuma dilakukan sekejap kerana keselamatan murid sememangnya perlu diutamakan. Hari kelima merupakan hari terakhir untuk saya menjalankan PBS di sekolah ini. Agak berat bagi saya untuk meninggalkan sekolah ini setelah banyak pengalaman dan perkara-perkara baru yang telah saya timba dan pelajari. Di samping itu, kehadiran kami pelajar guru ke sekolah ini sememangnya disambut dengan baik oleh pihak komuniti sekolah ini sehinggakan saya sendiri berberat hati untuk meninggalkan sekolah ini. Pada hari terakhir ini, aktiviti yang saya lakukan hanya membuat sesi temu bual dengan pihak pengurusan sekolah serta kakitangan sekolah. Tujuan saya melakukan aktiviti ini adalah untuk melengkapkan segala maklumat-maklumat yang diperlukan sebelum meninggalkan sekolah ini. Terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan dan juga kakitangan sekolah kerana mereka telah banyak menolong saya dalam melengkapkan tugasan-tugasan saya serta banyak memberi tunjuk ajar dan juga kerjasama dalam setiap aktiviti yang saya jalankan. Hari ini juga merupakan hari terakhir saya untuk meluangkan masa bersama murid-murid di sekolah ini. Secara kesimpulannya, program Pengalaman Berasaskan Sekolah ini sememangnya memberi banyak manfaat serta faedah kepada saya terutamanya sebagai pelajar guru kerana banyak perkara dan pengalaman baru yang dapat saya timba dan pelajari semasa melaksanakan PBS ini. Bagi saya, program ini sebenarnya mendedahkan saya tentang kehidupan sebenar seorang guru dan cabaran-cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh seorang yang bergelar guru. Dengan keberkatan ilmu pengetahuan serta pengalaman yang diperolehi ini, saya berharap bekalan ini dapat member galakan serta dorongan kepada saya untuk terus berusaha menjadi seorang guru yang berkualiti,berintegriti dan juga berakauntabiliti kelak hari nanti.

You might also like