You are on page 1of 15

1.

0 PENGENALAN Jurnal yang ingin dikaji dan diulas dari aspek pengaplikasian dalam pendidikan bertajuk: Masalah Remaja: Satu Kajian Kes di Sekolah Asrama Penuh. Jurnal ini ditulis oleh Noran Fauziah Yaakub dan Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim yang dibukukan dalam Jurnal Psikologi Malaysia 9, pada tahun 1994 dari muka surat 35 hingga muka surat 57. Jumlah muka surat untuk jurnal ini ialah 23. Penyelidik dalam jurnal ini menjalankan kajian ke atas 638 orang pelajar lelaki Melayu di sebuah sekolah menengah asrama penuh yang terletak di Kuala Lumpur. Kajian ini dianggap berbeza daripada kajian yang telah dibuat oleh penyelidik lain kerana ia mengkaji keseluruhan populasi sekolah tersebut. Selain itu, pelajar yang dikaji terdiri daripada satu kumpulan etnik sahaja, iaitu pelajar Melayu. Dari segi kelas sosio-ekonomi, pelajar di sekolah tersebut merangkumi kesemua kelas sosial. Mereka juga mewakili pelajar dari luar bandar, pekan kecil dan bandar besar. Tujuan penyelidik dalam jurnal ini ialah untuk mendapatkan profil masalah remaja di sebuah sekolah asrama penuh. Penyelidik telah menggunakan Senarai Semak Masalah Teknik Mooney (MPCL) yang telah diubahsuai untuk mengkaji masalah remaja di sekolah tersebut. Selain itu, penyelidik juga ingin menerangkan masalah-masalah tersebut dari segi tiga pembolehubah bebas, iaitu tingkatan, kelas sosial dan tempat asal pelajar. Dapatan kajian jurnal ini dikatakan memberi implikasi kepada guru-guru, kaunselor dan pentadbir-pentadbir sekolah.

2.0 PERBINCANGAN 2.1 Pengenalan Jurnal Dalam pengenalan jurnal ini, penyelidik telah mengemukakan bahawa bagi kaum pendidik, adalah penting untuk mereka mendapat pengetahuan mengenai pelajar mereka supaya boleh membantu mereka untuk memahami pelajar dengan lebih baik. Maklumat mengenai latar belakang dan masalah pelajar perlu diambil kira oleh guru apabila menghadapi situasi pengajaran dan pembelajaran (P&P). Selain itu, penyelidik juga menyatakan bahawa kajian mengenai masalah pelajar di Malaysia tidak begitu banyak jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat atau United Kingdom. Namun, masih ada penyelidik yang menjalankan kajian terhadap masalah remaja di Malaysia seperti Shahrozat Ibrahim (1980), Khoo Suat Kwee (1981), Sugumaran (1982) dan ramai lagi. Kajian-kajian tersebut dibuat ke atas pelajar sekolah menengah, pelajar dari institusi pengajian tinggi dan remaja yang telah bekerja. Seterusnya, penyelidik jurnal ini juga merumuskan perkembangan sekolah asrama penuh. Berikut ialah rumusan perkembangan sekolah asrama penuh: Tahun 1890 The Selangor Royal School ditubuhkan. Tahun 1905 The Malay Boys College, Kuala Kangsar ditubuhkan. Tahun 1947 The Malay Girls College, Kuala Lumpur ditubuhkan. Tahun 1962 The Malay Girls College dipindahkan ke Seremban dan ditukar nama kepada Kolej Tunku Kurshiah. Tahun 1956 Sekolah Dato Abdul Razak dan Sekolah Tun Fatimah ditubuhkan. Tahun 1957 Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh ditubuhkan. Tahun 1963 Sekolah Shah Alam ditubuhkan. Sehingga tahun 1991 35 buah sekolah asrama penuh didirikan di seluruh negara Malaysia, yang mempunyai 961 buah kelas dan 27716 orang pelajar. Menurut penyelidik jurnal ini, semua sekolah asrama penuh pada dasarnya adalah dalam kategori yang sama tetapi dibezakan berdasarkan sejarah dan rasional penubuhan sekolahsekolah tersebut. Oleh itu, sekolah-sekolah tersebut boleh dibahagikan kepada 3 kategori, iaitu: (1) Sekolah elit sekolah-sekolah berasrama penuh yang ditubuhkan awal seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Kolej Tunku Kurshiah. (2) Sekolah menengah sains sekolah-sekolah menengah sains yang dibina bermula dengan Rancangan Malaysia Kedua termasuk Sekolah Menengah Sains Matrikulasi. 2

(3) Sekolah asrama agama sekolah seperti Kolej Islam dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan. Dalam jurnal ini, penyelidik menyatakan bahawa pengambilan dan penempatan pelajar ke sekolah-sekolah asrama penuh dilaksanakan oleh Unit Sekolah Berasrama Penuh, Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia. Pemilihan adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria, iaitu: (a) keputusan ujian penilaian sekolah rendah. (b) kedudukan sosio-ekonomi keluarga. (c) tempat asal, iaitu bandar atau luar bandar. (d) pencapaian pelajar di peringkat sekolah. 2.2 Metodologi Yang Digunakan Dalam Jurnal 2.2.1 Subjek Subjek yang digunakan oleh penyelidik dalam kajian ini terdiri daripada 638 orang pelajar dari sebuah sekolah asrama penuh lelaki di Kuala Lumpur. Mereka ialah pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima dan matrikulasi, bagi tahun persekolahan tahun 1989. 2.2.2 Instrumentasi Penyelidik dalam kajian ini menggunakan Senarai Semak Masalah Teknik Mooney (MPCL) yang telah diubahsuai dari senarai semakan Masalah Mooney Jabatan Psikologi, UKM. Instrumen asal mengandungi 220 item dan bagi kajian ini sebanyak 39 item telah ditambah, menjadikannya 257 item. Kesemua item ini cuba menyentuh 11 kategori masalah, iaitu: 1. Masalah Kesihatan dan Pertumbuhan Jasmani 2. Masalah Kewangan, Keadaan Kehidupan dan Pekerjaan 3. Masalah Kegiatan Sosial dan Perhubungan 4. Masalah Pergaulan Muda-Mudi, Perkahwinan dan Seks 5. Masalah Perhubungan Sosial-Psikologikal 6. Masalah Perhubungan Peribadi dan Psikologikal 7. Masalah Moral dan Agama 8. Rumahtangga dan Keluarga 9. Masalah Pelajaran dan Kerjaya 10. Masalah Penyesuaian Terhadap Kerja-Kerja Sekolah 11. Masalah Kurikulum dan Kaedah Pengajaran

2.2.3 Prosedur Penyelidik telah memberi soalselidik kepada setiap orang pelajar mengikut kelas secara berkumpulan. Pelajar diminta menggariskan mana-mana pernyataan yang menceritakan diri mereka dan membaca sekali untuk membulatkan nombor-nombor kepada pernyataan yang dianggap mengganggu mereka. 2.2.4 Analisis Penyelidik telah menggubal 257 item untuk mendapatkan maklumat tentang masalah remaja yang berkaitan dengan sekolah, pelajaran, keluarga, rakan, agama dan diri mereka sendiri. Penyelidik dalam jurnal ini memberi satu skor untuk pernyataan yang digariskan sahaja dan dua skor untuk pernyataan yang digariskan dan dibulatkan. 2.3 Penemuan Dalam Jurnal 2.3.1 Profil pelajar Penyelidik mendapati tempat asal pelajar adalah seperti berikut: 40.0% - pelajar berasal dari kampung. 39.6% - pelajar berasal dari bandar. 18.9% - pelajar berasal dari pekan kecil. Manakala kelas sosial pelajar pula, penyelidik menggunakan pendidikan bapa sebagai kayu pengukur. Dapatan adalah seperti berikut: 39% - bapa pelajar berkelulusan maktab atau universiti. 38% - bapa pelajar berpendidikan sekolah menengah. 21% - bapa pelajar bersekolah rendah atau tidak berpeluang bersekolah. 2.3.2 Masalah yang mengganggu pelajar Dalam penemuan penyelidik, keputusan masalah yang mengganggu pelajar adalah paling penting kerana dapatan ini membolehkan penyelidik sendiri ataupun kaum pendidik untuk mengetahui masalah yang mengganggu pelajar dengan jelasnya. Ini akan memudahkan penyelidik atau kaum pendidik untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut dan seterusnya meningkatkan tahap kualiti pelajar dari segi personaliti dan sikap mereka terhadap pelajaran. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti pendidikan dan menyumbang kepada kemajuan pendidikan negara. Dalam laporan keputusan masalah mengganggu pelajar, penyelidik menitikberatkan masalah yang menceritakan diri pelajar lebih daripada 30 peratus dan masalah yang mengganggu 4

yang mempunyai kekerapan lebih daripada 10 peratus. Berikut merupakan masalah yang mengganggu pelajar mengikut ketinggian kekerapan. 1. Masalah Penyesuaian Terhadap Kerja-Kerja Sekolah Daripada 11 kategori masalah, penyelidik mendapati masalah berkaitan dengan penyesuaian terhadap kerja-kerja sekolah yang paling mengganggu pelajar. Daripada 18 item dalam kategori ini, 8 item didapati mengganggu pelajar seperti Jadual 2 dalam jurnal ini. Jadual 2: Masalah Penyesuaian Terhadap Kerja-Kerja Sekolah Masalah 1. Bimbang tentang pencapaian dalam peperiksaan 2. Takut gagal dalam peperiksaan 3. Tidak dapat memahami beberapa mata pelajaran 4. Tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sekolah 5. Bimbang menghadapi peperiksaan 6. Tidak belajar dengan secukupnya 7. Lemah daya ingatan 8. Tidak tahu cara belajar yang berkesan a) Bimbang tentang pencapaian dalam peperiksaan Penyelidik mendapati pelajar yang prihatin terhadap pelajaran mereka akan bimbang tentang pencapaian dalam peperiksaan, lebih-lebih lagi dengan ibubapa dan masyarakat yang menjangkakan keputusan cemerlang dalam sekolah berasrama penuh. Justeru, pelajar akan risau dan tertekan untuk membuktikan kehandalan mereka dalam bidang akademik. b) Takut gagal dalam peperiksaan Selain merasa bimbang tentang pencapaian dalam peperiksaan, penyelidik juga mendapati bahawa 58% pelajar takut gagal dalam peperiksaan dan 29% pelajar mengakui masalah ini mengganggu mereka. Ini disebabkan pelajar sedar bahawa keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa depan mereka. c) Tidak dapat memahami beberapa mata pelajaran dengan memuaskan Dalam jurnal ini, penyelidik mendapati faktor utama yang menyebabkan pelajar tidak dapat memahami beberapa mata pelajaran dengan memuaskan ialah kaedah pengajaran guru yang tidak sesuai dengan tahap pelajar. 65% pelajar mengalami masalah ini dan 29% mengatakan masalah ini mengganggu mereka. 5 Kekerapan 30% 26% 24% 17% 17% 17% 17% 16%

d) Lemah daya ingatan Penyelidik mendapati setiap pelajar inginkan daya ingatan yang baik kerana kelebihan ini akan membantu mereka mengekalkan maklumat yang telah dibaca atau dipelajari. 40% pelajar mengalami masalah ini dan 17% mengatakan masalah ini mengganggu mereka. e) Bimbang menghadapi peperiksaan Penyelidik dalam jurnal juga menyatakan bahawa perasaan bimbang atau risau menghadapi peperiksaan adalah perkara biasa kerana pelajar lazimnya takut tidak dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik, lebih-lebih lagi kepada pelajar yang kurang bersedia. Dalam kajian ini, 49% pelajar bimbang menghadapi peperiksaan dan 17% pelajar mengatakan masalah ini mengganggu mereka. f) Tidak belajar dengan secukupnya Dalam masalah ini, penyelidik mendapati hampir separuh (48%) pelajar dalam kajian ini mengatakan bahawa mereka tidak belajar dengan secukupnya. Penyelidik memberi tanda tanya sama ada waktu prep tidak mencukupi atau pelajar tidak tahu memaksimumkan masa yang diperuntukkan kepada mereka untuk belajar. g) Tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sekolah Penyelidik jurnal ini mendapati lebih ramai pelajar di tingkatan rendah yang mempunyai masalah ini yang disebabkan masalah peribadi (sama ada sosial, psikologi atau emosi) kerana mereka baru mengalami kehidupan berasingan daripada keluarga mereka. h) Tidak tahu cara belajar yang berkesan Dalam jurnal ini, penyelidik menyatakan bahawa adalah penting untuk pelajar memperolehi teknik belajar yang berkesan untuk membantu mereka mendapat prestasi yang baik. Namun, penyelidik mendapati lebih dari 55% pelajar mengatakan bahawa mereka mempunyai masalah tidak tahu cara belajar yang berkesan dan 152 orang (24%) yang mengatakan masalah ini mengganggu mereka. 2. Masalah Perhubungan Peribadi dan Psikologikal (Emosi) Daripada 11 item dalam kategori ini, 4 item didapati mengganggu pelajar, iaitu malas (19%), sukar membuat keputusan (18%), mudah lupa (18%) dan kurang keyakinan diri (11%). a) Malas Dalam kajian ini, seramai 261 (41%) orang pelajar mengakui diri mereka sebagai malas, di mana 19% mengatakan masalah ini mengganggu mereka. 6

b) Sukar membuat keputusan Penyelidik mendapati seramai 282 (44%) orang pelajar dalam kajian ini mengakui diri mereka sukar membuat keputusan dan 18% mengatakan masalah ini mengganggu mereka. c) Mudah lupa Dalam kajian ini, penyelidik menyatakan bahawa masalah lupa sangat ditakuti oleh pelajar kerana mereka yang tidak dapat mengingati kembali apa yang telah dipelajari sudah pasti akan menghadapi jalan buntu semasa menduduki peperiksaan. Hampir separuh (49%) pelajar menghadapi masalah ini dan 137 orang (21%) mengatakan masalah ini mengganggu mereka. d) Kurang keyakinan diri Penyelidik menyatakan bahawa adalah penting bagi kita untuk mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana tiada atribusi ini, tidak akan membawa kita ke mercu hidup. Penyelidik mendapati 256 (40%) orang mempunyai masalah ini. 3. Masalah Kewangan, Keadaan Kehidupan dan Pekerjaan Sebanyak 21 item dalam kategori ini, penyelidik mendapati hanya 2 item yang dianggap mengganggu, iaitu perlu belajar menyimpan wang dan tidak tahu menggunakan wang dengan bijak. a) Perlu belajar menyimpan wang Penyelidik menjelaskan bahawa tabiat suka menyimpan wang perlu dipelajari dari kecil lagi kerana kejayaan seseorang itu menyimpan wang mencerminkan kebolehan pengurusan kewangan yang baik. Data jurnal ini menunjukkan seramai 321 (50.3%) orang pelajar mengakui mereka perlu belajar menyimpan wang dan 113 orang menganggap masalah ini mengganggu. b) Tidak tahu menggunakan wang dengan bijak Selain perlu belajar menyimpan wang, penyelidik juga mendapati 224 (38%) orang pelajar dalam kajian ini tidak tahu menggunakan wang dengan bijak. 4. Masalah Moral dan Agama Daripada 24 item dalam kategori ini, 2 item sahaja yang mengganggu dalam kajian ini, iaitu ingin menghampiri Tuhan dan takutkan hukuman Tuhan. a) Ingin menghampiri Tuhan Penyelidik mendapati 68% pelajar ingin menghampiri Tuhan dan 31% pula merasakan masalah ini mengganggu mereka. 7

b) Takutkan hukuman Tuhan Data dalam jurnal ini menunjukkan 63% pelajar dalam kajian ini yang takutkan hukuman Tuhan. 5. Masalah Pelajaran dan Kerjaya Masa Depan Daripada 21 item dalam kategori ini, 18 item yang menceritakan diri pelajar dan satu item dianggap mengganggu, iaitu prestasi akademik merosot. Seramai 228 (38%) orang pelajar menghadapi masalah ini dan 115 orang mengatakan masalah ini mengganggu mereka. 6. Masalah Kurikulum dan Kaedah Pengajaran Dalam kajian ini, daripada 21 item, 1 item sahaja yang mengganggu, iaitu peraturan sekolah yang terlalu ketat. Penyelidik mendapati 46% pelajar dalam kajian ini yang mengatakan bahawa peraturan sekolah terlalu ketat. 7. Masalah Perhubungan Sosial Psikologikal Satu daripada 24 item dalam kategori ini dianggap oleh pelajar dalam kajian yang mengganggu mereka, iaitu inginkan personaliti yang lebih menarik. Lebih daripada setengah (55%) pelajar inginkan personaliti yang menarik dan 17% yang mengatakan masalah ini mengganggu mereka. 8. Masalah Kegiatan Sosial dan Hiburan Dalam kajian ini, satu daripada 22 item yang mengganggu remaja, iaitu sukar memanjangkan perbualan dan 306 (48%) orang pelajar yang mengalami masalah ini. 9. Masalah Kesihatan dan Pertumbuhan Jasmani Dalam kategori ini, satu masalah yang dianggap mengganggu oleh pelajar ialah tidak cukup tidur. Secara purata, kita memerlukan 7 jam sehari untuk tidur, walaupun terdapat perbezaan keperluan mengikut kumpulan umur. Namun, penyelidik mendapati 46% pelajar mengatakan mereka mengalami masalah tidak cukup tidur dan 20% menganggap ini mangganggu mereka. 10. Kategori Masalah Yang Tidak Mengganggu Dalam kajian ini, 2 kategori masalah yang tidak mengganggu remaja, iaitu masalah pergaulan muda-mudi, perkahwinan dan seks, seterusnya ialah masalah rumahtangga dan keluarga. Bagi kategori masalah yang pertama, kekerapan lebih daripada 30% sebagai mencerita diri mereka, iaitu curang dating, sukar bermesra dengan jantina lain, memerlukan teman wanita, takut kehilangan teman yang disayangi dan kurang pasti bercinta atau tidak.

Bagi kategori masalah rumahtangga dan keluarga, masalah yang mempunyai kekerapan lebih daripada 30%, iaitu ibu bapa terlalu banyak berkorban untuknya, tidak berterus terang dengan ibu bapa dan ibu bapa mengharapkan terlalu banyak daripadanya. 2.4 Rumusan, Perbincangan dan Cadangan Daripada Jurnal 2.4.1 Rumusan daripada jurnal Dalam jurnal ini, penyelidik telah merumuskan penemuan masalah remaja dalam sekolah berasrama tersebut. Jadual berikut menunjukkan rumusan tersebut. Kategori Masalah dan Item Masalah Yang Mengganggu 1. Masalah Penyesuaian Terhadap Kerja-Kerja Sekolah a) Bimbang tentang pencapaian dalam peperiksaan b) Takut gagal dalam peperiksaan c) Tidak dapat memahami beberapa mata pelajaran dengan memuaskan d) Lemah daya ingatan e) Bimbang menghadapi peperiksaan f) Tidak belajar dengan secukupnya g) Tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sekolah h) Tidak tahu cara belajar yang berkesan 2. Masalah Perhubungan Peribadi dan Psikologikal (Emosi) a) Malas b) Sukar membuat keputusan c) Mudah lupa d) Kurang keyakinan diri 3. Masalah Kewangan, Keadaan Kehidupan dan Pekerjaan a) Perlu belajar menyimpan wang b) Tidak tahu menggunakan wang dengan bijak 4. Masalah Moral dan Agama a) Ingin menghampiri Tuhan b) Takutkan hukuman Tuhan 5. Masalah Pelajaran dan Kerjaya Masa Depan a) Prestasi akademik merosot 6. Masalah Kurikulum dan Kaedah Pengajaran a) Peraturan sekolah yang terlalu ketat

7. Masalah Perhubungan Sosial Psikologikal a) Inginkan personaliti yang lebih menarik 8. Masalah Kegiatan Sosial dan Hiburan a) Sukar memanjangkan perbualan 9. Masalah Kesihatan dan Pertumbuhan Jasmani a) Tidak cukup tidur. Kategori Masalah Yang Tidak Mengganggu 1. Masalah Pergaulan Muda-Mudi, Perkahwinan dan Seks 2. Masalah Rumahtangga dan Keluarga

2.4.2 Perbincangan daripada jurnal Dalam jurnal ini, perbincangan penyelidik lebih tertumpu kepada masalah remaja yang berkaitan dengan penyesuaian terhadap kerja-kerja sekolah. Penyelidik membincangkan masalah ini dari segi objektif penubuhan sekolah asrama penuh itu sendiri. Seperti yang diketahui umum, penubuhan sekolah asrama penuh adalah salah satu daripada strategi kerajaan untuk mengadakan persamaan peluang dalam pendidikan. Pelajar Bumiputera yang berkelulusan cemerlang dalam UPSR akan diterima masuk ke sekolah berasrama penuh dan pelajar luar bandar diberi keutamaan. Penyelidik menjelaskan pelajar sekolah asrama penuh mempunyai skor kerisauan yang lebih tinggi berbanding pelajar sekolah harian biasa kerana mereka dijangka mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Di samping itu, mereka yang gagal mencapai kecemerlangan akan dihantar semula ke sekolah harian biasa. Ini akan menambah kerisauan mereka. Tambahan pula, masalah penyesuaian terhadap kerja-kerja sekolah turut menambah perasaan mengganggu di kalangan mereka. Sementara itu, penyelidik menyatakan bahawa masalah lain yang mengganggu pelajar adalah berkaitan dengan diri mereka sendiri dan mereka menyedari tentang beberapa ciri negatif yang ada pada diri mereka.

10

2.4.3 Cadangan daripada jurnal Berdasarkan kepada penemuan dalam kajian ini, penyelidik telah memberikan beberapa cadangan. Berikut ialah cadangan-cadangan penyelidik dalam jurnal ini. 1) Sekolah hendaklah memberi tumpuan khusus kepada pelajar tingkatan satu dan dua, di mana lapan masalah adalah unik kepada mereka. Misalnya, lebih ramai pelajar dari tingkatan rendah mengatakan mereka tidak cukup tidur. Oleh itu, keperluan pertumbuhan jasmani mereka perlu diambil kira dengan memberi tempoh masa tidur yang lebih lama kepada mereka. 2) Penyelidik mencadangkan perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan perasaan bimbang atau risau terhadap peperiksaan. Dari sudut psikologi pembelajaran, kerisauan menjejaskan prestasi dalam peperiksaan. Oleh itu, guru kaunseling boleh mengadakan sesi kaunseling berkelompok supaya pelajar mengetahui tentang cara untuk menghadapi peperiksaan. 3) Penyelidik menyatakan teknik belajar yang salah tidak dapat membantu pelajar mengingat bahan yang telah ditelaah atau bahan pembelajaran. Oleh itu, penyelidik mencadangkan supaya pihak sekolah mengadakan bengkel teknik belajar kepada pelajar supaya membantu pelajar bersedia menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin. 4) Dalam jurnal ini, penyelidik menyatakan ketidakfahaman sesetengah mata pelajaran sekolah adalah disebabkan oleh pengajaran guru yang kurang berkesan. Justeru, penyelidik mencadangkan supaya guru perlu sentiasa menilai sama ada kaedah pengajaran yang digunakan sesuai untuk semua kumpulan dan tahap pelajar. Ini juga memberi implikasi bahawa guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka sesuai dengan kumpulan yang diajar. 5) Bagi masalah selain kerja-kerja sekolah, penyelidik mencadangkan supaya sekolah mengadakan program sepanjang tahun seperti ceramah atau bengkel yang dapat membantu remaja untuk mengatasi masalah peribadi mereka. Selain itu, tokoh-tokoh yang relevan boleh diundang untuk berbincang dan berkongsi pengalaman dengan pelajar tentang bagaimana hendak mengurus diri dengan lebih baik.

11

3.0 KRITIKAN / CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Setelah membaca, mengkaji dan mengulas jurnal ini, saya ingin mengemukakan kritikan dan cadangan penambahbaikan saya terhadap jurnal ini mengikut pandangan saya sendiri dan tanpa dipengaruhi oleh pihak ketiga. Di sini, saya ingin menjelaskan kritikan dan cadangan penambahbaikan saya adalah bertujuan mencapai kemajuan dalam kajian psikologi dan pengaplikasiannya dalam pendidikan supaya memberi manfaat kepada semua golongan pendidik yang membacanya. Segala kritikan dan cadangan saya adalah terfokus kepada isu-isu dalam jurnal ini dan bukannya kepada penyelidik kajian ini. Berikut ialah kritikan dan cadangan penambahbaikan saya mengikut pandangan saya sendiri. 1) Subjek yang digunakan dalam kajian ini ialah pelajar lelaki sahaja dan berbangsa Melayu sahaja. Oleh itu, kajian ini tidak sesuai dijadikan rujukan untuk masalah semua pelajar yang berbeza jantina dan bangsa. Ini disebabkan lelaki tidak boleh mewakili pelajar perempuan kerana masalah perempuan adalah berbeza dengan adanya perbezaan dari segi fizikal dan pemikiran mereka daripada lelaki. Cadangan penambahbaikan: Jurnal ini hanya sesuai dijadikan rujukan yang mewakili lelaki dan berbangsa Melayu sahaja. Jika subjeknya boleh diperluaskan kepada lelaki dan perempuan yang pelbagai kaum dan bangsa, maka ia akan lebih sesuai dijadikan rujukan yang boleh mewakili semua pelajar di negara kita, Malaysia. 2) Kajian ini dijalankan di sekolah berasrama penuh di mana pelajar hanya tinggal di asrama sekolah tanpa pengaruh luar, jadi adalah tidak sama dengan pelajar sekolah harian biasa yang luas pengaruh dari luar dan masyarakat. Selain itu, semua pelajar cemerlang dalam akademik dan berdisiplin sahaja dipilih masuk ke sekolah berasrama penuh, juga tidak sama dengan sekolah harian biasa yang mempunyai pelbagai jenis pelajar dan masalah disiplin. Cadangan penambahbaikan: Penyelidik memilih sekolah berasrama penuh kerana semua pelajar cemerlang dalam akademik dan baik dari segi disiplin serta kurang pengaruh luar. Skopnya menjadi kecil dan mudah dijalankan kajian. Jika penyelidik memilih sekolah harian biasa, lebih banyak masalah yang boleh didapati dengan mempertimbangkan pelbagai pengaruh. Jadi, kajian ini akan lebih memberi manfaat kepada golongan pendidik kerana kebanyakan sekolah di negara kita ialah sekolah harian biasa dan sedikit sahaja sekolah berasrama penuh.

12

3) Prosedur untuk mendapatkan data hanya menggunakan soal selidik dan meminta pelajar untuk tandakan sahaja. Data yang didapati akan diragui jika pelajar tidak menjawab dengan jujur dan sambil lewa sahaja. Cadangan penambahbaikan: Prosedur untuk mendapat data boleh diperbanyakkan lagi dengan kaedah lain, seperti temu-ramah dengan guru-guru dan pelajar di sekolah tersebut, analisis keputusan peperiksaan pelajar yang boleh menunjukkan prestasi akademik mereka, pemerhatian di kelas dan di luar kelas selepas persekolahan. 4) Jurnal ini tidak membuat rumusan yang jelas mengenai masalah-masalah remaja dari segi tiga pembolehubah bebas, iaitu tingkatan, kelas sosial dan tempat asal pelajar, sedangkan dalam pengenalan jurnal ini, penyelidik ingin menerangkan masalah-masalah remaja dari segi tiga pembolehubah bebas tersebut. Cadangan penambahbaikan: Penyelidik masih perlu menegaskan dengan jelas mengenai masalah-masalah remaja dari segi tiga pembolehubah bebas, iaitu tingkatan, kelas sosial dan tempat asal pelajar, walaupun ketiga-tiga pembolehubah bebas tidak menunjukkan kesan yang ketara dalam kajian ini. 5) Pada pendapat saya, cadangan yang diberikan dalam jurnal ini adalah terlalu umum dan tidak spesifik. Cadangan penambahbaikan: Pada pendapat saya, masalah utama pelajar dalam jurnal ini adalah berkaitan dengan akademik dan salah satu sebab utama ialah guru. Oleh itu, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan pelajar sekolah berasrama penuh kerana guru adalah satu-satunya pembimbing mereka ke arah yang betul sama ada dalam akedemik atau pembentukan sahsiah mereka. Berikut ialah cadangan penambahbaikan saya terhadap cadangan dalam jurnal ini. a) Kajian Tindakan perlu dilaksanakan oleh guru supaya sentiasa meningkatkan mutu P&P yang sesuai dengan pelbagai tahap pelajar mengikut masa kini. Guru perlu sentiasa membuat refleksi terhadap P&P yang disampaikan kepada pelajar, menentukan sama ada pelajar boleh memahami apa yang diajar dan pelajar boleh mengaplikasikannya dalam peperiksaan atau kehidupan mereka. b) Psikologi pendidikan boleh digunakan ke atas pelajar. Dengan cara ini, guru boleh memahami sikap, keperluan dan latar belakang pelajar dengan lebih teliti supaya guru mudah untuk 13

mendekati pelajar dan seterusnya membantu pelajar untuk menyelesaikan masalah pelajaran mahupun masalah kehidupan di asrama penuh. c) Semua guru adalah guru kaunseling. Guru perlu meluangkan masa untuk memahami dan mengambil berat terhadap pelajar kerana pelajar sekolah berasrama penuh tiada tempat untuk meluahkan perasaan dan dibawa berbincang kerana tinggal berjauhan dengan keluarga. Oleh itu, guru adalah orang yang terdekat yang boleh dikongsi pengalaman dan pakar rujuk untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah mereka sepanjang masa tanpa perlu membazirkan kos untuk menjemput tokoh-tokoh yang relevan untuk memberi ceramah pada suatu masa sahaja. d) Sistem pendidikan yang mengutamakan peperiksaan telah ditukar kepada pentaksiran berasaskan sekolah di mana penilaian pelajar akan berdasarkan kerja kursus di sekolah dan tidak semata-mata 100% peperiksaan sahaja. Oleh itu, masalah bimbang atau takut gagal peperiksaan boleh dikurangkan dan seterusnya pelajar boleh sentiasa belajar untuk kemajuan diri dan bukan sekadar belajar untuk menghadapi peperiksaan semata-mata. e) Selain itu, keseimbangan JERIS diutamakan di mana pencapaian pelajar tidak sekadar kepada kecemelangan akademik sahaja. Contohnya, Satu Murid Satu Sukan dilaksanakan. Sukan tidak sekadar sihat untuk badan, malah mengurangkan tekanan belajar dengan berkesan di samping mencungkil bakat dalam sukan jika tidak cemerlang dalam akademik. Ini merupakan jalan alternatif pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik untuk menjamin masa hadapan yang cerah. Oleh itu, pelajar tidak sekadar cemerlang dalam intelek, malah sihat dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan sosial yang sejajar dengan pembangunan pendidikan dan seterusnya melahirkan generasi muda yang berkebolehan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

14

4.0 KESIMPULAN Jurnal ini telah mengkaji masalah remaja lelaki di sekolah berasrama penuh dan baik dijadikan rujukan untuk mengetahui masalah pelajar lelaki yang cemerlang dalam akademik tanpa melihat kepada aspek disiplin. Skop kajian lebih kecil dan spesifik tanpa dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi. Jadi, lebih mudah untuk penyelidik mencari jalan penyelesaian untuk masalah pelajar. Namun, mengikut pandangan saya, masih terdapat ruang yang boleh ditambahbaik dalam jurnal ini. Contohnya cara mendapat data, subjek yang digunakan, rumusan dan cadangan yang diberikan haruslah tepat kepada masalah dengan cara yang berkesan. Walau bagaimanapun, jurnal ini telah memberi pengetahuan dan pendedahan kepada saya mengenai masalah pelajar lelaki Melayu di sekolah berasrama penuh selepas saya mengkaji dan mengulasnya. Saya boleh mengetahui sedikit sebanyak masalah tersebut dan cadangan daripada jurnal ini tanpa memerlukan diri saya sendiri untuk menjalankan kajian tersebut. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyelidik jurnal ini kerana telah memulakan kajian ini tentang masalah remaja dan saya memperolehi ilmunya setelah saya mengkaji dan mengulas jurnal ini. Saya boleh mengaplikasikan jurnal psikologi ini dalam pendidikan kerana jurnal ini sememangnya berkaitan dengan masalah pelajar sekolah dan membuka minda saya supaya lebih prihatin terhadap pelajar jika saya mengajar pada suatu masa yang akan datang.

15

You might also like