You are on page 1of 11

1 BAHASA ARAB SEBAGAI MEDIUM ILMU DAN DAKWAH ISLAMIYYAH

oleh: Dr Hj Maimun Aqsha Lubis (mal@ukm.my) Hamizul Mahmud (rihaz@yahoo.com) Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Artikel ini membincangkan tentang peranan bahasa Arab sebagai medium pembelajaran dan penyampaian ilmu serta penyebaran dakwah Islamiyyah.Peranan bahasa Arab sebagai medium ilmu dan dakwah tidak dapat dinafikan lagi malahan terdapat pertautan erat di antara kedua-duanya. Sejarah telah membuktikan peranan bahasa Arab di dalam penyembangan kedua-dua aspek tersebut. Penguasaan bahasa Arab yang kukuh oleh seseorang individu merupakan satu keistimewaan ke arah penguasaan pelbagai disiplin ilmu serta mampu memainkan peranan sebagai dai'e secara berkesan dan menyeluruh memandangkan Al-Qur'an dan Al-Hadith juga diturunkan dalam bahasa Arab. Pendekatan dakwah melalui bahasa Arab ini telah berlaku sejak Islam di bawa oleh Rasulullah SAW lagi dan hingga kini ia masih berperanan besar dalam menyebarkan dakwah kepada Muslim atau non Muslim.

PENDAHULUAN Sejak abad ketujuh bahasa Arab telah meningkat kekuatannya melalui kitab suci al-Quran serta kemajuan di bidang sains oleh orang-orang Arab dan Muslim pada Zaman Keemasan di Timur Tengah iaitu semasa dunia Barat berada dalam Zaman Pertengahan (Middle Age), atau Zaman Kegelapan (Dark Age). Di antara abad kelapan dan kesebelas, bahasa Arab menjadi bahasa antarabangsa, bahasa penghantar bagi kebudayaan dunia, bahasa yang paling meluas digunakan pada zaman tersebut dan bahasa yang utama di dalam bidang sains dan teknologi. Pada masa kegemilangan Islam, falsafah dan sains zaman Greek dan Latin telah disalurkan ke Eropah melalui pusat-pusat pembelajaran di Sepanyol, Baghdad dan Eropah Selatan, dengan menggunakan bahasa Arab (Bakalla 1984). Bahasa Arab merupakan salah satu daripada 3,500 bahasa di dunia, dan salah satu daripada enam bahasa antarabangsa yang rasmi (bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Russia, bahasa Sepanyol, bahasa Cina, dan bahasa Arab). Bahasa Arab dijadikan sebagai

2 bahasa rasmi antarabangsa sejak tahun 1973, apabila bahasa ini diumumkan sebagai salah satu daripada bahasa-bahasa di Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations). Mengikut Bakalla (1984), bahasa Arab semakin luas digunakan di negara-negara Islam bukan sahaja bahkan bahasa Arab bukan bahasa ibunda (seperti Pakistan yang mengumumkan bahasa ini sebagai salah satu bahasa rasmi). Selain itu, penggunaan bahasa Arab di sekolah, kolej dan media perhubungan telah meningkat sejak tahun 1976. Penggunaannya juga sedang berkembang terutama di negara-negara Islam. Pemimpin-pemimpin agama dikehendaki untuk memahami bahasa ini yang merupakan salah satu jalan untuk mengkaji kandungan ayat-ayat suci Al-Quran dari sumber asalnya, sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab semoga kamu berfikir. ( Surah al-Zukrhruf: 3) Islam dan bahasa Arab memang tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling sokong menyokong antara satu sama lain. Sama ada kedatangan Islam yang memperkembangkan bahasa Arab atau bahasa Arab yang bertindak sebagai alat atau agen di dalam penyebaran dakwah Islam, kedua-duanya adalah saling berkaitan. Apabila berbicara tentang Islam, maka sudah tentu ia tidak terlepas daripada berbicara tentang AlQuran dan Al-Hadith yang merupakan dua sumber utama sebagai rujukan dalam Islam. Kedua-dua sumber ini adalah dalam bahasa Arab. Bagi yang mendalami ilmu Islam sudah tentu perlu mendalami bahasa Arab. Begitu juga dengan sumber-sumber perundangan Islam, Fiqh, Sejarah dan lain-lain lagi sumber rujukan tentang Islam diambil daripada ulama-ulama muktabar yang ditulis dalam bahasa Arab. Pendek kata sesiapa yang ingin menguasai ilmu Islam ia mesti bermula dengan menguasai bahasa Arab. Bagi individu yang telah menguasai bahasa Arab pula, ia menjadi salah satu alat penyebaran dakwah itu sendiri. Dengan menggunakan pelbagai gaya bahasa yang terdapat dalam bahasa Arab penyebaran dakwah Islam dilakukan dalam bentuk tulisan, ucapan, visual dan lain-lain lagi.

3 Merujuk kepada perkataan dakwah pula, dari segi bahasa ia bermaksud: )(


[

7< ( ] : > al-Mu'jam al-'Arabiy al-Asasiy)

Dakwah juga boleh difahami dengan makna ( : )Seruan atau panggilan. Dalam bahasa Melayu juga dakwah bermaksud kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan (Kamus Dewan Edisi Ketiga, (Cet. Ketujuh 2002). PERKAITAN BAHASA ARAB DENGAN PERKEMBANGAN ILMU Pengaruh Islam dan bahasa Arab amat besar dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai lingua franca di peringkat nusantara satu ketika dahulu (Al-Attas, 1990). Ini adalah kerana Bahasa Melayu menggunakan aksara Arab sebagai tulisan rasmi ketika itu. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai lingua franca telah menyebabkannya dapat berperanan untuk mengukuhkan pertumbuhan dan perkembangan bahasa dan kesusasteraan di kepulauan Melayu. Menurut Mustafa (2000), pedagang Arab yang datang ke Tanah Melayu ketika itu membawa Islam dengan menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi. Dengan sebab itu, Mahayudin (2000) menyatakan pengaruh bahasa Arab menjadi lebih dominan berbanding bahasa asing yang lain termasuk bahasa Parsi dalam bahasa Melayu. Kehadiran pedagang-pedagang ini telah mendorong kemasukan unsur-unsur Islam yang turut meresap masuk ke dalam kebudayaan Melayu seperti bahasa dan tulisannya. Bahasa Arab mula dikenali di rantau Asia Timur semenjak terjalinnya hubungan awal antara Semenanjung Tanah Arab dan Asia Timur pada abad ke-4. Sebagai bahasa alQuran dan al-Hadis, bahasa Arab datang ke kepulauan Melayu seiring dengan kedatangan Islam pada abad ke-13. Sejak agama Islam mula sampai ke kepulauan Melayu, bahasa Arab telah mendapat perhatian. Umumnya bahasa tersebut telah diterima sebagai bahasa rujukan utama dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Pada era permulaan penubuhan [

4 sekolah-sekolah pondok dan pembukaan sekolah-sekolah Agama-Arab yang berlaku sehingga awal tahun 1970-an, bahasa Arab didapati dijadikan unsur penting dalam pembinaan kurikulum di sekolah-sekolah berkenaan. (http://www.idesa.net.my/modules/news/article.php?storyid=783) Osman Haji Khalid (1993) dalam Zawawi Ismail et. al. (2005) menyatakan bahawa al-Rikabi (1986) meletakkan bahasa Arab sebagai bahasa pendidikan dan bahasa komunikasi di dalam dunia Arab melalui media elektronik dan media cetak. Kajian yang dibuat mendapati terdapat 100 buah akhbar harian dan 120 majalah yang diterbitkan di negara-negara Arab di samping 10,000 judul buku yang diterbitkan setiap tahun adalah dalam bahasa Arab. Ini tidak termasuk akhbar, majalah serta buku-buku yang diterbitkan di luar negara Arab seperti Paris, London, New York, Tehran dan sebagainya. Munif (2005) dan Abdullah (1995) menyatakan bahawa dalam tradisi pendidikan Islam, bahasa Arab merupakan salah satu mata pelajaran teras yang dipelajari bersamasama mata pelajaran lain seperti ilmu Fekah, Tauhid, Tafsir, Sejarah,Tasawuf dan Falsafah Islam. Walau bagaimanapun, pergantungan bahasa Arab kepada domain-domain lain yang bersifat alamiah masih tetap wujud iaitu seperti penggunaannya dalam aktiviti dakwah dan kuliah-kuliah ilmu. Kenyataan ini dikuatkan lagi oleh Abdullah Hasan (1987), Asmah Haji Omar (1992) dan Richard B. Noss (1984) yang menyatakan bahawa bahasa Arab adalah bahasa agama yang sangat dipengaruhi oleh domain agama. Dengan kata lain, bahasa Arab diperlukan sebagai bahasa untuk beribadat, solat, doa, zikir, membaca Al-Quran, memahami Al-Hadith dan sebagainya. Chandar Muzaffar (1987), Mohamad Abu Bakar (1993) dan Richard B. Noss (1984) dalam membincangkan hubungan bahasa Arab dengan domain agama dari sudut sosiologi politik dan bahasa sependapat menyatakan bahawa domain ini telah menghubungkan bahasa Arab dengan kebangkitan semula Islam khususnya pada awal dekad lapan puluhan yang lalu.

5 Kesan daripada kejadian 11 September 2001 di New York telah banyak menarik minat rakyat Amerika mempelajari bahasa Arab dan pengajian Islam. Menurut Munif (2005), Mingguan Malaysia pada 7 Oktober 2001melapurkan bahawa laporan AFP, Universiti Harvard menyaksikan peningkatan empat kali ganda pendaftaran pelajar bagi kursus masyarakat Asia Barat. Universiti Chicago pula menyaksikan kursus permulaan bahasa Arab mencatatkan peningkatan jumlah pendaftaran pelajar sebanyak dua atau tiga kali ganda daripada biasa. Pertambahan pendaftaran itu dipercayai disebabkan perasaan ingin tahu tentang falsafah, agama dan kebudayaan yang diamalkan oleh para perampas pesawat dalam serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia. Gambaran buruk yang diberikan media Barat terhadap Islam selepas peristiwa 11 September 2001, tidak menghalang lebih ramai masyarakat Amerika Syarikat untuk mendalami pengetahuan mereka mengenai Islam. Menurut Prof Dr Carl W Ernest, Pensyarah Universiti North Carolina, berbanding sebelum peristiwa berkenaan, masyarakat Amerika Syarikat kini lebih bersedia untuk mendalami pengetahuan mereka mengenai Islam termasuk mempelajari bahasa Arab. Beliau yang juga seorang sejarawan dan pakar pengajian Islam, berkata walaupun sebahagian masyarakat Amerika dan Eropah terpengaruh dengan agenda media negara itu, mereka juga ingin tahu lebih lanjut mengenai Islam. Menurut beliau ada dua kesan peristiwa 11 September, iaitu meningkatnya prasangka terhadap Islam yang dikaitkan dengan keganasan dan pada masa sama ramai juga yang mahu mengetahui secara lebih mendalam mengenai Islam. Menyoroti peranan bahasa Arab dalam ilmu juga telah menemukan pelbagai contoh di dalam zaman kegemilangan Islam dan Sains. Tempat-tempat seperti Baghdad, Kaherah, Cordova dan Toledo merupakan pusat-pusat perkembangan ilmu di zaman kegemilangan peradaban Islam serta menjadi tempat permulaan berkembangnya tamadun moden. Roger Bacon, seorang sarjana di Oxford School beberapa ratus tahun dahulu sering menegaskan bahawa cara untuk mendalami ilmu pengetahuan ialah dengan menguasai bahasa Arab dan sains yang dipelopori oleh orang Islam. Perkara ini ditegaskan oleh Robert Briffault di dalam bukunya The Making of Humanity. Menurut Briffault, "Dia (Bacon) tidak pernah

6 jemu mengisytiharkan bahawa pengetahuan orang Arab dan sains Arab adalah jalan kepada pengetahuan yang sebenar''. Sememangnya banyak nama tokoh-tokoh sains Islam telah ditukar kepada namanama Latin menyebabkan ramai yang tidak sedar bahawa mereka ini adalah orang Islam. Di antaranya ialah al-Khawarizmi (Algorism), Ibn Sina (Avicenna), Jabir Ibn Haiyan (Geber), al-Kind (Alkindus), Thabit ibn Qurrah (Thebit), al-Battani (Albategnius), alFarghani (Alfraganus), al-Razi (Rhazes), Ibn al-Hanitham (Alhazen) dan banyak lagi. Kenyataannya, pada zaman kegemilangan Islam dan sains ini, bahasa Arab berperanan sebagai medium dakwah di dalam menyebarkan Islam. Sains yang diperkembangkan oleh tokoh-tokoh Islam menzahirkan tentang perkembangan bahasa Arab itu sendiri. Tokoh-tokoh Islam ini berbahasa Arab dan menukilkan penulisan mereka dalam bahasa Arab. Seterusnya karya penulisan mereka dibaca oleh orang-orang asing yang bukan Islam di dalam bahasa Arab. Untuk membacanya, tentu sekali memerlukan kepada pengetahuan bahasa Arab. Apabila dibaca, difahami dan diteliti karangan-karangan tokohtokoh Islam ini, daya tarikan untuk mengenali Islam secara lebih dekat semakin kuat. Akhirnya, ada di kalangan mereka yang tertarik dengan Islam yang seiring dengan sains. Di sinilah peranan bahasa Arab sebagai medium dakwah dapat diperhatikan. PERKAITAN BAHASA ARAB DENGAN DAKWAH ISLAMIYYAH Al-Quran diturunkan pada zaman Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab. Penggunaan bahasa Arab pada masa itu di kalangan Arab jahiliah diguna secara meluas. Penggunaan bahasa Al-Quran yang indah telah banyak menarik minat orang-orang Arab untuk memeluk Islam. Bahasa Arab yang terdapat di dalam Al-Quran diakui memberi kesan kepada mereka sehingga ke hati. Akhirnya ada di kalangan para sahabat yang memeluk Islam kerana mendengar ayat Al-Quran. Ini seperti yang terjadi kepada Umar Al-Khattab. Ada juga di kalangan pembesar Quraish yang begitu lantang menentang Islam tetapi apabila dibacakan kepadanya Al-Quran, dia terpesona hingga sanggup secara sembunyi mendengar Nabi SAW membacanya tanpa diketahui baginda. Inilah yang terjadi kepada

7 Abu Jahal dan Abu Lahab apabila mereka tertarik dengan Al-Quran yang bahasanya ialah bahasa Arab. Menurut Faizuri dan Mohd. Fauzi (2006), apabila disebut bahasa Arab ia adalah sinonim dengan agama Islam. Ini kerana agama Islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW disebarkan melalui bahasa Arab. Di samping itu, Al-Quran yang merupakan kitab suci dan panduan umat Islam juga menggunakan bahasa Arab. Oleh kerana sikap orang Melayu yang mudah menerima sesuatu, maka tidak hairanlah mereka menerima Islam sebagai agama dan pegangan akidah dan diwaktu yang sama mereka menerima bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan. Menurut Abu Hurairah (1992), bahasa Arab mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan salah satu daripadanya ialah sebagai bahasa perkenalan dalam Islam ( .) Menurut beliau, ucapan atau sapaan pengenalan yang sedia diketahui ialah seperti "Selamat pagi" dan "Selamat petang". Ucapan sapaan begini memang diamalkan oleh semua penduduk dunia dengan menggunakan bahasa mereka masing-masing. Keadaan ini berlainan sama sekali dengan ucapan sesama Muslim, di mana penggunaan lafaz " " digunakan oleh semua orang Islam apabila bertemu tidak mengira bangsa, kulit, rupa, keturunan dan budaya. Penggunaan lafaz salam ini dilakukan oleh semua penduduk Islam di dunia termasuk di Malaysia. Ia merupakan satu ciri istimewa yang menggunakan bahasa Arab yang fusha. Menurut beliau lagi : Kita sebagai orang Islam, apabila mengucapkan salam perkenalan Islam ini kepada saudara-saudara kita , kita akan merasakan dalam lubuk hati kita bahawa ucapan ini bukan sekadar ucapan bahkan ia membawa risalah Islam. Ia bukan sekadar ucapan perkenalan kepada yang mendengar semata-mata, bahkan ia ucapan yang menyentuh perasaan dalam lubuk hati bahawa perjumpaan keduadua muslim ialah perjumpaan bersaudara yang membawa kepada pengukuhan silaturrahim dalam naungan rahmat dan keberkatan daripada Allah. Dengan kata lain, ucapan perkenalan Islam yang dilafazkan dalam bahasa Arab menggalakkan

8 pengukuhan ikatan persaudaraan Islam yang sebenarnya di antara kedua-dua pihak ( yang memberi dan menjawab salam ). Kenyataan beliau ini sebenarnya telah diperjelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam maksud hadith baginda berikut : Mahukah kamu kalau aku tunjukkan kepadamu sekiranya kamu buat perkara ini maka kamu akan berkasih sayang di antara kamu. Sebarkanlah salam di antara kamu. Selain kedudukan bahasa Arab yang tinggi di sisi agama, menurut Said Hawa (1988) dalam Zawawi Ismail et al ( 2005), ia memperjelaskan peranan yang dimainkan dalam membentuk sebuah kehidupan bermasyarakat yang dikehendaki oleh Islam. Bahasa Arab menjadi satu elemen yang menghubungkan antara seorang Islam dengan seorang Muslim yang lain walaupun berlainan keturunan dan darah atau berlainan suku bangsa. Umat Islam menjadi umat yang satu dengan menjadikan bahasa Arab sebagai salah satu teras penting dalam penyatuan umat secara global. KESIMPULAN (Perlu ditambah sikit lagi tentang dakwah Keunggulan bahasa Arab sebagai medium ilmu dan dakwah Islamiyyah telah jelas tergambar semenjak zaman Rasulullah SAW sehinggalah kini. Di dalam usaha negara Malaysia mencapai kegemilangan dalam ketamadunannya, penguasaan bahasa Arab tidak boleh dipandang sepi. Ini memandangkan bahasa Arab telah menjadi salah satu bahasa terpenting yang dituturkan oleh sebagaian besar masyarakat dunia. Bahasa Arab juga telah terbukti berperanan sebagai medium dalam pembelajaran dan penyampaian ilmu. Dalam Islam, ilmu merupakan perkara yang amat penting malahan menuntut ilmu diwajibkan semenjak lahir sehingga ke liang lahad. Kewajipan ini sejajar dengan firman Allah SWT di dalam ayat Al-Quran iaitu Surah al-'Alaq (1-5). Menurut ajaran Islam, ilmu bersifat sejagat dan tidak ada pemisahan antara ilmu-ilmu dalam Islam.

9 Penurunan Al-Quran dalam bahasa Arab telah berjaya mengubah watak, perangai dan minda orang Arab ketika itu. Tidak ketinggalan Al-Quran juga berjaya mengubah pandangan hidup mereka tentang alam semesta dan kehidupan dunia. Umat Islam di Malaysia tetap memerlukan bahasa Arab yang juga bahasa Al-Quran dan Al-Hadis kerana bahasa tersebut merupakan rujukan utama dalam semua bidang kehidupan seharian selain untuk keperluan ibadah khusus. Perkembangan bahasa Arab di negara ini diyakini akan lebih maju berdasarkan keadaan masyarakat masa kini yang cenderung ke arah keagamaan. Perkembangan industri pelancongan turut merangsang pembelajaran dan penguasaan bahasa Arab di kalangan mereka yang terlibat ke arah menarik kemasukan lebih ramai pelancong ke Malaysia. Di samping itu, bahasa Arab juga penting untuk meningkatkan jumlah pelabur untuk melabur di dalam negara ke arah menjana ekonomi yang lebih mapan. Bidang kesihatan juga akan lebih berdaya maju dan menawarkan perkhidmatan yang lebih efisen dengan penguasaan bahasa Arab di kalangan para doktor, kakitangan perubatan dan jururawat. Dalam konteks negara, pelbagai pendekatan untuk memantapkan bahasa Arab telah dilaksanakan umpamanya menerusi konsep Islam Hadhari. Antara prinsip penting tersebut ialah penguasaan ilmu pengetahuan yang setanding dengan negara-negara maju lain. Pengenalan Program j-QAF (Jawi-Quran-Arab-Fardu Ain) pada tahun 2005 di sekolahsekolah bermula di sekolah rendah juga secara tidak langsung menyebabkan semua pelajar yang beragama Islam belajar bahasa Arab sejak tahun satu. Penguasaan bahasa Arab di kalangan pelajar nantinya akan memberi mereka lebih banyak keupayaan untuk mengkaji dengan lebih terperinci ilmu-ilmu yang berteraskan wahyu, akal dan pengalaman yang dipelopori ulama silam yang terbilang. Setiap individu perlu mengambil inisiatif untuk mempelajari dan menguasai bahasa Arab sejajar dengan saranan Rasulullah SAW. Ini berlandaskan kepada hadith Nabi SAW yang bermaksud: Belajarlah bahasa Arab dan ajarkanlah kepada sekelian manusia. Dengan penguasaan bahasa Arab akan dapat mengukuhkan lagi ketamadunan ilmu dan

10 penyebaran dakwah Islamiyyah ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. BIBLIOGRAFI Abdullah Hasan. 1987. 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdullah Ishak. 1995. Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asmah Haji Omar. 1982. Language and Society in Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asmah Haji Omar. 1990. Aspek Bahasa dan Kajiannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Bakalla, M.H. 1984. Arabic Culture, through its Language and Literature. London: Kegan Paul International. Carl W Ernest. Pemikiran Semula Islam dalam Dunia Kontemporari: Melaksanakan Tamadun Islam Masyarakat Islam Kontemporari : kolokium Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). http://www.ikim.gov.my/v5/index.php? lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=198&cmd=resetall Fauzi Abd. Katif dan Mohd. Fauzi Hamat. 2006. Kemasukan Elemen-elemen Bahasa Melayu: Tinjauan Terhadap Perbahasan Akidah dalam Kitab Jawi Karangan Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani. Kertas kerja Wacana Pendidikan Islam Siri 5. UKM, Bangi, 5-6 Ogos. http://www.idesa.net.my/modules/news/article.php?storyid=783 Ishak Rejab (1989). Bahasa Arab dan hubungannya dengan Pengajian Islam di Malaysia dalam Islamiyyat Jil 10. UKM Bangi. Muhammad Marwan et. al (2006). Peranan Bahasa Arab bagi meningkatkan Kefahaman Ummah dalam Aspek Muamalat. Kertas kerja Prosiding Wacana Pendidikan Islam Siri 5. UKM, Bangi, 5-6 Ogos. Munif Zarirrudin Fikri Nordin. 2005. Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia : Hari ini dan masa depan dalam Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia : Cabaran dan Inovasi. Kuala Lumpur : Minda Imtiyyaz Publication

11 Zawawi Ismail et. al. 2005. Masalah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab di Malaysia dalam Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia : Cabaran dan Inovasi. Minda Kuala Lumpur : Imtiyyaz Publication

You might also like