You are on page 1of 14

KEWARTAWANAN ATAS TALIAN: Satu Analisis Berita dan kredibiliti kewartawanan atas talian

Azimah Binti Mohamad Rafie (199008) Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Kolej Sastera dan Sains Universiti Utara Malaysia

PENGENALAN Kepesatan dalam era teknologi dan globalisasi pada masa kini banyak memberikan impak kepada perubahan serta gaya hidup masyarakat yang lebih banyak menggunakan teknologi atau alat elektronik seperti komputer untuk melakukan pelbagai aktiviti harian. Hari ini, peranan dan kepentingan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan sama sekali, ini kerana penggunaan internet telah menjadi salah satu bahan utama dalam kehidupan seharian hampir keseluruhan penduduk di seluruh dunia dalam berkomunikasi, bersosial, mencari maklumat, menjalani perniagaan serta bekerja melalui rangkaian internet.

Penyebaran maklumat dan isu-isu semasa juga mula tersebar luas di rangkaian internet di mana munculnya wartawan-wartawan dalam talian yang menyebarkan pelbagai jenis berita, maklumat serta isu-isu semasa yang lebih cepat berbanding berita di akhbar cetak. Kini, lebih ramai pelayar internet menjadi wartawan dalam talian yang menyebarkan isu-isu semasa sama ada dalam bentuk hiburan, politik, ekonomi, sosial dan kemasyarakatan.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Normah Mustaffa, Faridah Ibrahim, Mus Chairil Samani dan Mohd Helmi Abd. Rahim (2010:153) yang bertajuk Persepsi Khalayak Terhadap Kredibiliti Media di Malaysia menyatakan bahawa pelayar internet pada masa kini bertindak sebagai wartawan yang menyunting serta mengkritik media, malah menentukan agenda apa yang perlu dibincangkan oleh media. Ini menunjukkan bahawa sesiapa sahaja boleh digelar wartawan dengan hanya menulis atau memuat naik hasil penulisan mereka dengan hanya mengupas isu-isu terkini dilaman blog, facebook atau laman web ciptaan sendiri tanpa ada penyunting yang berkaliber terhadap dunia kewartawanan atau pihak-pihak yang berpengetahuan dalam sesuatu isu yang dikaitkan itu.

Kewartawanan dalam talian merupakan satu cabang dari gerbang informasi yang berperanan menyebarkan pelbagai jenis maklumat terkini yang cepat dan pantas kepada pelayar-pelayar internet yang sentiasa dahagakan maklumat dan isu-isu terkini. Dengan wujudnya kewartawanan dalam talian ini, maka laman berita secara atas talian, blog dan juga laman sesawang sosial seperti facebook, myspace dan juga twitter telah menjadi medan utama kepada wartawan-wartawan dalam talian menyebarkan isu-isu terkini.

Kewartawanan menerusi laman blog, laman sesawang maklumat dan laman-laman sosial banyak mendapat sambutan daripada pelayar internet kerana sentiasa mengupas isu-isu hangat yang berlaku di dalam dan luar negara. Malah, kewartawanan atas talian ini juga banyak mengulas tentang isu-isu yang tidak mungkin disiarkan atau diterbitkan oleh stesen televisyen atau surat khabar, ini kerana organisasi ini disekat dan dikawal penerbitannya oleh pihakpihak tertentu bagi menjaga sensitiviti masyarakat dan perpaduan rakyat. Namun, berlainan pula dengan kewartawanan atas talian yang banyak mengupas isu-isu sensitif tanpa ada had

batasan. Oleh kerana inilah kredibiliti sesuatu berita itu diragui kerana tidak terdapat bukti yang sahih atau sumber yang boleh dipercayai terhadap sesuatu isu yang diterbitkan.

ANALISIS JENIS BERITA MEDIA DALAM TALIAN Dunia teknologi komunikasi telah merubah kehidupan seharian kita. Ianya telah merubah cara kita berkomunikasi, cara kita berinteraksi dan seterusnya cara kita mendapatkan berita atau hiburan. Jika setiap pagi pada masa dahulu kita perlu pergi ke kedai untuk mendapatkan surat khabar terkini, tetapi sekarang surat khabar telah boleh diakses melalui laman sesawang pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, peranan penyampaian berita atas talian mula dilihat sama ada penyampaiannya berkesan kepada pembaca atau pembaca hanya sekadar membaca tanpa memberi reaksi terhadap berita yang disampaikan.

Menerusi kajian yang dikaji oleh Mark Deuze (2003: 203-230) yang bertajuk The Web and its Journalism: Considering the Consequences of Different Types of Newsmedia Online, dimana artikel ini mengandungi dua bahagian utama iaitu pada bahagian pertama artikel ini membincangkan tentang jenis kewartawanan berdasarkan empat perbezaan kewartawanan dari segi kandungan editorial dalam laman web iaitu [1] bahan berita utama, [2] indeks dan kategori berita, [3] gaya penulisan dan pengulasan, dan [4] gaya perbincangan sesuatu isu. Dalam bahagian kedua pula, Deuze membincangkan jenis berita apa yang disiarkan oleh penulis-penulis kewartawanan.

1. Bahan berita utama Deuze menyatakan dalam kajian tersebut bahawa laman web berita merupakan satu laman yang selalu dikunjungi oleh pelayar-pelayar internet bagi mendapatkan berita dan mengetahui

isu-isu semasa pada hari itu. Antara laman web berita yang paling kerap dikunjungi oleh pelayar-pelayar internet adalah laman CNN, BBC dan MSNBC.

2. Indeks dan kategori lawatan web Laman web merupakan salah satu cabang untuk melayari internet bagi mengakses berita. Tanpa enjin pencarian tidak mungkin kita akan dapat mencapai laman berita yang ingin dibuka. Kewartawanan atas talian memberikan capaian yang dapat diakses dengan cepat menerusi capaian yang diberi. Ia merupakan ciptaan laman web yang memuatkan berita-berita hasil penulisan daripada kewartawanan atas talian ini. Hasil penulisan akan diterbitkan di laman web yang dicipta ini, pembaca boleh memberi komen dan mengulas balik isu yang dikemukan atau ditulis oleh wartawan.

3. Gaya penulisan dan pengulasan Gaya penulisan yang dimuatkan dalam laman web juga perlu dititikberatkan bagi menarik pembaca untuk membaca berita yang disampaikan. Setiap hasil penulisan perlu ada sumber, bukti dan kesahihan berita itu dimana setiap berita perlu disunting dengan hasil penulisan yang kreatif, berilmu dan perlu bertanggungjawab ke atas setiap penulisan yang diterbitkan.

4. Gaya perbincangan sesuatu isu Gaya perbincangan sesuatu isu juga perlu diulas dengan lebih baik, kerana pembaca mungkin akan menyoal dan mengulas sendiri apa yang berada di fikiran mereka dengan memberi komen di laman web berita wartawan berkenaan.

KEPENTINGAN KEWARTAWANAN ATAS TALIAN Generasi muda pada masa kini banyak bergantung kepada capaian laman sesawang bagi mendapatkan sesuatu maklumat terutamanya golongan mahasiswa/i yang sentiasa mengakses laman sesawang bagi mengetahui perkembangan semasa. Keadaan ini telah banyak memberi impak kepada perkembangan kewartawanan atas talian itu sendiri dimana banyak pelayarpelayar internet akan membaca dan memberi anjakan kepada mereka untuk menyiarkan hasil penulisan mereka juga.

Kemudahan yang disediakan khususnya dari World Wide Web (WWW), mel elektronik dan forum perbincangan atas talian semakin rancak digunakan sebagai medium perkongsian, penyebaran maklumat serta saluran komunikasi utama. Teknologi multimedia interaktif menerusi web juga menjadi fenomena baru yang semakin mendapat sambutan ramai di seluruh dunia. Pengintegrasian antara kedua-dua teknologi membawa perubahan dalam penggunaan media, khususnya dalam dunia kewartawanan atas talian menerusi penulisan berita yang semakin rancak berkembang pada masa kini.

Menurut Dueze dalam kajian yang bertajuk The Web and its Journalism: Considering the Consequences of Different Types of Newsmedia Online juga menyatakan bahawa kajian yang berdasarkan senarai pangkalan data yang diambil, hampir 14,000 berita atas talian disiarkan menerusi US-based Editor & Publisher Interactive (E and P) pada 2001. Ini menyaksikan bahawa kewartawanan dalam talian mula berkembang pada dekad itu dan mula menjadi bahan maklumat utama pada hari ini.

Newspaper Association of American (NAA, 2006) pula melaporkan bahawa sebanyak 112 juta rakyat Amerika mengunjungi laman berita dalam talian pada awal tahun 2006. Menurut

laporan ini lagi, hampir 24 peratus rakyat Amerika menjadikan internet sebagai sumber utama untuk mendapatkan berita. Selain itu, sebanyak 44 peratus mengatakan bahawa mereka mendapatkan bahan berita daripada sumber internet sekali seminggu. Ini membuktikan bahawa pelayar internet amat bergantung kepada berita yang dikemukakan dalam laman web tanpa mengkaji ketepatan berita yang diterbitkan sama ada sesuatu berita itu benar atau sekadar khabar angin.

Seseorang wartawan atas talian perlu bersikap profesional dalam menyiarkan sesuatu bahan bagi menjaga sensitiviti sesuatu pihak tertentu. Malah, setiap hasil penulisan perlu diikuti dengan sumber yang sahih dan tepat. Faridah Ibrahim (2003:60) pernah menyatakan dalam kajian Falsafah dan Etika Kewartawanan di Malaysia: Antara Tuntutan Profesionalisme dan Kepentingan Industri bahawa bagi menjadikan seseorang wartawan itu digelar profesional, ia perlu mempunyai kriteria seperti berwibawa, mematuhi kod etika kewartawanan, teori penulisan yang sistematik, kebebasan daripada masyarakat serta faktor budaya.

Oleh hal demikian, seseorang wartawan yang bersikap profesional perlulah menjaga kewibawaannya agar sentiasa dihormati oleh orang lain dalam meningkatkan usaha untuk mengetahui perkembangan semasa dan berpengetahuan dalam bidang-bidang tertentu. Wartawan perlu sedar bahawa penulisan yang diterbitkan oleh mereka dapat membentuk dan mempengaruhi fikiran pembaca. Oleh kerana itu, wartawan perlulah akur kepada etika kewartawanan dan menjalankan tugas mereka dengan berhati-hati supaya tidak menyalahi undang-undang.

Kewartawan dalam talian juga merupakan medan penting dalam penyebaran maklumat mengenai isu-isu semasa kerana maklumat yang disampaikan melalui internet lebih cepat dan

pantas. Hari ini, rata-rata akhbar arus perdana dalam Malaysia telah menerbitkan akhbar dalam talian yang membolehkan pembaca mengetahui perkembangan semasa dengan pantas tanpa perlu keluar rumah pada awal pagi untuk mendapatkan akhbar cetak. The Star online merupakan akhbar pertama yang menerbitkan akhbar atas talian pada tahun 1995 dan mula diikuti oleh agensi-agensi akhbar lain seperti Harian Metro online, Berita Harian online, Kosmo online dan Harakah Daily selepas akhbar atas talian ini mula mendapat perhatian pembaca atas talian.

Selain itu, kepentingan wartawan dalam talian tidak dapat dinafikan apabila ia dapat diakses di mana-mana tempat di seluruh dunia kerana ia bersifat global, kita juga dapat mengakses berita dan isu-isu semasa dari seluruh dunia dengan hanya membaca di internet tanpa perlu pergi ke negara lain untuk mendapatkan maklumat. Maklumat terkini juga dapat diakses dengan cepat dan dapat disebarkan keseluruh dunia dengan hanya beberapa saat sahaja, setiap kejadian yang berlaku akan dimuatnaik dengan pantas oleh penulis dan disebarkan kepada pelayar dengan kadar segera.

Seterusnya, jika dilihat dari sudut positif kewartawanan atas talian juga amat penting bagi memberi peluang kepada pemimpin atau kerajaan untuk mengetahui keresahan, kegembiraan serta masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat dengan membaca hasil penulisan wartawan atas talian. Hasil penulisan dalam blog atau laman web daripada wartawan profesional dapat membuka mata pihak kerajaan atau pemimpin dalam menilai kehidupan masyarakat dimana kemungkinan berita atau hasil laporan ini tidak akan dilaporkan di mana-mana media atau akhbar demi menjaga kepentingan sesetengah pihak. Tetapi, hasil penulisan yang diterbitkan ini perlulah disertakan bukti yang kukuh bagi melindungi dan menjaga etika kewartawanan. Hal ini kerana, hasil penulisan ini amat penting kepada para pemimpin kerana mereka tidak

akan mampu secara bersendirian untuk melihat dan mendengar rintihan dan keluhan rakyat jika tidak mendapat laporan daripada wartawan internet itu sendiri.

Oleh hal demikian, tidak hairanlah segala isu yang berlaku dalam masyarakat sekarang ini tersebar dengan cepat tanpa ada penapisan daripada pihak tertentu dahulu. Malah, kewartawanan atas talian juga sangat penting pada era kini apabila segala maklumat yang disalurkan ke dalam internet dengan cepat dan pantas serta menjadi bahan berita utama pelayar-pelayar internet di seluruh pelusuk dunia.

KREDIBILITI BERITA WARTAWAN ATAS TALIAN Kewartawanan dalam talian membenarkan sesiapa sahaja termasuk ahli politik, golongan profesional hatta orang awam sekalipun untuk menulis dalam laman web. Mereka bebas menulis atas dasar bukti yang dirasakan benar kerana telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan yang termaktubnya kebebasan bersuara tetapi ada batasannya. Tetapi disebabkan kebebasan inilah, penulis terlalu bebas menulis dan kadangkala gaya penulisan mereka itu mampu menarik minat pembaca lain terutamanya penulisan menerusi blog dengan mengupas isu-isu yang berlaku disekitar tanpa mengambil kira sensitiviti sebelah pihak yang lain.

Kebanyakan mereka yang menulis blog ini tidak mempunyai latar belakang kewartawanan, tetapi hari ini, sesiapa sahaja boleh mengeluarkan idea mereka dan memberikan pandangan yang menimbulkan ketidakpuasan hati mereka. Penyebaran berita secara atas talian adalah sesuatu yang tidak boleh disekat. Namun implikasi yang dihasilkan masih dapat diurus jika sistem dan amalan berita tersebut difahami secara kompleks. Oleh kerana inilah, kredibiliti berita atau maklumat yang disampaikan akan diragui dan tidak dapat disahkan kesahihannya.

Kredibiliti sesebuah beritalah yang akan menentukan kejayaan berita yang terdahulu, kini dan akan datang. Pernyataan ini telah diambil daripada kajian Mohd. Khairie Ahmad, Mohd. Baharudin Hadza@Othman, Suhaini Muda, serta Mohd Hafidz Hussein (2005:4) dalam kajian mereka yang bertajuk Kredibiliti Berita Akhbar, Televisyen, Radio dan Berita Dalam Talian. Malah, melalui analisis terhadap kajian ini, mereka juga mengulas bahawa kedudukan wartawan dalam talian amat membimbangkan kerana wartawan internet kekurangan dari segi editorial dan gatekeeper, berbeza dengan media cetak dan media elektronik kerana wartawan mereka akan diselia oleh editorial mengikut falsafah yang dipegang oleh organisasi tersebut.

Keadaan inilah yang bakal mengundang masalah dan berupaya menyumbang kepada masalah sosial dan juga kekecohan terhadap masyarakat itu sendiri dengan hasil penulisan yang berat sebelah dan luahan perasaan yang tidak puas hati terhadap sesetengah pihak tertentu. Justeru itu, memahami dan mengetahui terhadap kepercayaan berita dalam talian adalah sangat penting bagi pelayar-pelayar internet.

Namun, Normah Mustaffa, Faridah Ibrahim, Mus Chairil Samani dan Mohd Helmi Abd. Rahim, (2010:159) pernah menyatakan dalam kajian mereka yang bertajuk Persepsi Khalayak Terhadap Kredibiliti Media di Malaysia bahawa khalayak atau pembaca semakin prihatin terhadap sumber maklumat dan mengharapkan agar sumber berita yang disiarkan boleh dipercayai dan mempunyai kredibiliti.

Berdasarkan kajian oleh Wan Maharuddin Hj. Wan Sulaiman yang bertajuk Kredibiliti Akhbar Tempatan: satu analisis mengenai isu politik semasa menerangkan bahawa dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara (10) di bawah bahagian Dua Hak Asasi, memberi kebebasan

bercakap dan kebebasan media. Tetapi 'kebebasan' ini ditokok oleh berbagai akta lain yang dianggap bertentangan dengannya seperti; Ordinan Fitnah atau Defamation Ordinance, (1957). Akta Mesin Cetak (1948) (pindaan 1974), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan (1948) (pindaan 1971), Akta Kemasukan Bahan-bahan Bercetak (1958), Akta Rahsia Rasmi (1972) dan sebagainya. Akta-akta ini telah diperkuatkuasakan. Ada wartawan malah individu daripada kalangan masyarakat umum menjadi mangsa Akta Rahsia Rasmi (OSA), ISA dan sebagainya. Malah kebelakangan ini begitu mudah sekali rakyat dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disebabkan kesalahan dan kecuaian dalam penulisan yang dimuatnaik dalam laman sesawang.

Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Future Exploration memperlihatkan bahawa surat khabar bercetak akan mula pupus di Malaysia bermula tahun 2029. Ini dapat dibuktikan apabila generasi baru pada masa kini lebih banyak mengguna laman sesawang, malah mereka sendiri sudah mula merujuk kepada media digital seperti aplikasi iPad dan web untuk mendapatkan berita terkini. Begitu juga agensi akhbar terkemuka seperti The Star dan New Straits Times juga sudah mula mengemaskini dan memulakan sokongan untuk aplikasi dan web mereka dengan lebih serius lagi.

ISU KEWARTAWANAN ATAS TALIAN Setiap wartawan tidak lari daripada tindakan saman jika mereka mengemukakan laporan berita yang tidak mempunyai bukti kukuh dan sumber yang sahih serta ketepatan berita. Tidak kira wartawan profesional atau amatur, mereka akan dikenakan tindakan yang sepatutnya jika laporan berita yang disiarkan diragui atau dibuktikan kesalahannya oleh pemilik atau orang yang terlibat dalam laporan berita itu. Begitu juga penulis blog yang mengeluarkan sesuatu

10

isu yang melampaui batas dengan menulis artikel tanpa sumber dan bukti yang sahih mereka juga akan dikenakan tindakan undang-undang mahkamah yang sewajarnya.

Menurut laporan yang disiarkan oleh Malaysia Kini, wartawan atas talian dan penulis blog semakin ramai dikenakan tindakan hukuman berdasarkan hasil penulisan mereka yang tidak dilindungi dan tidak berdasarkan sumber yang kukuh. Dalam bancian Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) menunjukkan bahawa sebanyak 45 peratus pengamal media yang ditahan adalah terdiri daripada editor akhbar web dan wartawan atas talian serta penulispenulis blog. Namun, kebanyakan wartawan-wartawan yang ditahan itu adalah wartawan yang bekerja secara sambilan dan disebabkan tiada syarikat media, malah tiada sumber dan hubungan politik yang dapat membela nasib mereka. Malah, mereka selalunya dituduh melakukan kegiatan subversif, mendedahkan rahsia negara dan bertindak berlawananan dengan kepentingan nasional.

Begitu juga yang berlaku kepada wartawan dan editor akhbar atas talian Malay Mail Online News Portal yang dipetik dari Utusan online dimana mereka dikenakan tindakan saman oleh adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra atas dakwaan bahawa Malay Mail Online News Portal keluaran Mei 2010 yang didakwa mengandungi tuduhan berbentuk sindiran terhadap beliau yang menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai, penjenayah, pengkhianat dan tiada integriti.

Malah, laman web Malaysia Kini juga pernah menyiarkan bahawa pemilik laman web Malaysia-today.net, Raja Petra Raja Kamaruddin yang merupakan salah seorang blogger dan pemilik web yang penuh kontroversi diambil tindakan undang-undang apabila beliau dengan berani mengutuk individu-individu tertentu malah mengupas isu-isu politik negara dalam web

11

miliknya yang banyak menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa pihak tertentu, namun hasil penulisan melampaunya telah membawa beliau kepada beberapa kesalahan memfitnah, saman dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak beberapa kali. Antara hasil penulisannya yang dikemukakan saman ialah penerbitan tiga artikel yang disiarkan dalam blognya terhadap peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang berunsur fitnah berhubung tiga artikel yang bertajuk "Shafee Abdullah: Extraordinaire Sodomologis", "Wang, Kuasa dan Seks: Apa Yang Memberi Motivasi Kepada Lelaki" dan "Dalang Sebenar Di Sebalik Tuduhan Liwat Anwar" dalam laman web beliau yang memfitnah Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.

Sebagai seorang wartawan atau penulis bebas dalam rangkaian laman web, setiap hasil penulisan kita perlulah diberikan bukti yang sewajarnya. Malah, etika kewartawanan dan hak kebebasan bersuara yang dipegang oleh rakyat perlu digunakan dengan sebaiknya tanpa menyentuh isu-isu sensitif terhadap rakyat dan negara sendiri yang boleh memecah belahkan rakyat sendiri.

Negara kita ada undang-undang yang memperuntukkan hukuman terhadap penulis-penulis yang bertindak mengancam individu tanpa sebab serta mengancam negara termasuklah urusan campur tangan dalam hal ehwal negara. Oleh itu, bukti dan sumber merupakan perkara penting untuk menjadi wartawan dan penulis bebas bagi mengelakkan berlakunya tuduhan fitnah atau pemberontakan.

Hasil penulisan kewartawanan sangat penting dalam memberi impak yang besar kepada pembangunan negara dimana wartawan mempunyai lesen besar yang dapat menulis apa sahaja isu dan maklumat terkini untuk disebarkan kepada pembaca. Namun, wartawan pada

12

hari ini juga ada batas penulisannya disebabkan oleh kemunculan wartawan-wartawan blog dan laman web yang tidak diiktiraf inilah yang banyak memberi kritikan terhadap pihak tertentu menyebabkan runtuhnya kepercayaan terhadap wartawan atas talian yang sebenar dan adakalanya hasil penulisan wartawan inilah menyebabkan berlakunya pergolakan dalam institusi pentadbiran negara dan kekecohan terhadap sesuatu isu yang hanya diperbesarkan oleh sesetengah pihak.

KESIMPULAN Sebagai pengamal media yang menulis laporan berita bertujuan untuk disebarkan kepada pelayar-pelayar internet perlulah memastikan setiap hasil penulisan laporan mereka disertakan bukti dan diambil daripada sumber yang tepat bagi mencapai kebolehpercayaan yang tinggi daripada pelayar internet. Banyak kajian telah membuktikan bahawa kewartawanan atas talian ini merupakan satu medan penyebaran berita yang dipercayai oleh pelayar internet untuk dijadikan bahan bacaan dan maklumat tambahan kepada pelayar itu sendri.

Bukan mudah untuk menjadi wartawan yang dapat meraih kepercayaan pelayar internet, namun melalui hasil tulisan yang baik dan berkredibiliti serta bermaklumat tepat, seseorang wartawan itu tidak mungkin akan dikenakan tindakan undang-undang malah dapat menjadi penyebar maklumat yang terbaik kepada pelayar intenet.

RUJUKAN
Dueze M (2003) The web and its journalisms: considering the consequences of different types of newsmedia online. Vol 5(2):203-230. Faridah Ibrahim, (Jilid 19:2003) Falsafah dan Etika Kewartawanan di Malaysia: Antara Tuntutan Profesionalisme dan Kepentingan Industri.

13

Malaysia Kini, Artikel fitnah, Raja Petra diperintah bayar ganti rugi. Diakses pada Mac 2012 dari http://www.malaysiakini.com/news/155642

25

Malaysia Kini, Wartawan Internet Paling Ramai Dipenjara. Diakses pada 25 Mac dari http://www.malaysiakini.com/news/94388

2012

Media Atas Talian Akan Dikawal Selia Seperti Media Lain. Diakses pada 22 Mei 2012 dari: http://amanz.my/2012/03/media-atas-talian-akan-dikawal-selia-seperti-media-lain/ Mar

Mohd. Khairie Ahmad Mohd. Baharudin Hadza@Othman Suhaini Muda Mohd Hafidz Hussein, (2005) Kredibiliti Berita Akhbar, Televisyen, Radio Dan Berita Dalam Talian. Normah Mustaffa, Faridah Ibrahim, Mus Chairil Samani & Mohd. Helmi Abd. Rahim (2010) Persepsi Khalayak Terhadap Kredibiliti Media Di Malaysia. Diakses pada 1 Mac 2012 dari http://pkukmweb.ukm.my/ebangi/papers/2010/normah010.pdf. Utusan Online, Malay Mail, 3 lagi defendan perlu fail pembelaan sebelum 31 Disember ini.Diakses pada 25 Mac 2012 dari: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1209&pub=UtusanMalays&s ec=Mahkamah&pg=ma_01.htm Utusan Online, Raja Petra ditahan dua tahun bawah ISA. Diakses pada 25 Mac 2012,dari: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0924&pub=utusan malaysia&sec=muka_hadapan&pg=mh_03.htm&arc=hive. Wan Maharuddin Hj. Wan Sulaiman, (Februari,1999) Kredibiliti Akhbar Tempatan:Satu Analisis Mengenai Isu Politik Semasa. Diakses pada 24 Mac 2012 dari: http://psasir.upm.edu.my/9887/

14

You might also like