PILIHAN RAYA UMUM KE-12: SATU TINJAUAN KE ATAS MANIFESTO DAN PENCAPAIAN PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK DI PERAK

Pilihan Raya Umum ke-12 yang telah diadakan pada 8 Mac 2008 telah menyaksikan satu perubahan ketara dalam senario politik negara. Pertama, ia menampakkan perubahan dalam pola pengundian rakyat Malaysia yang secara jelas menolak politik perkauman yang ditunjangi oleh Barisan Nasional. Kedua, Barisan Nasional yang memerintah sejak 50 tahun yang lalu tidak lagi mampu mengekalkan majoriti 2/3 dalam parlimen. Ketiga, buat kali pertama dalam sejarah , lima buah negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan dikuasai oleh parti pembangkang. Ketika tumpuan terarah di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, Perak turut tidak terlepas dari tempias tsunami 2008. Ramai penganalisa politik meletakkan Perak dalam zon selamat namun begitu ketika keputusan mula diumumkan dan menyaksikan jatuhnya kerusi-kerusi parlimen mahupun DUN Barisan Nasional, ramai yang terkejut dan tidak mampu memberikan alasan bagi fenomena tersebut. Kejayaan barisan pembangkang menguasai Perak dengan memenangi 31 daripada 59 DUN banyak bergantung kepada pengaruh Democratic Action Party yang begitu sinonim dengan para pengundi bukan Melayu terutamanya di daerah Kinta. DAP muncul sebagai parti yang paling dominan dalam pilihan raya kali ini dan ia memenangi 6 daripada 7 kerusi parlimen yang ditandinginya. Manakala di peringkat DUN pula ia menyapu bersih kesemua 18 kerusi DUN yang ditandinginya . DAP berjaya membentuk kerajaan negeri dengan PKR dan PAS yang menguasai 5 kerusi parlimen dan 13 kerusi DUN yang lain. Kejayaan DAP di Perak dikaitkan dengan peralihan undi pengundi bukan Melayu kepada parti pembangkang. Ramai pengundi yang selama ini setia kepada Barisan Nasional telah memihak kepada pembangkang sebagai tanda protes mereka terhadap kerajaan. Kegagalan kerajaan menangani isu kenaikan harga barangan serta peningkatan kadar inflasi jelas mengecewakan golongan rakyat. Pada masa yang sama, situasi keselamatan dalam negeri turut kurang memuaskan dengan bertambahnya kes-kes jenayah yang semakin serius. Keadaan diperburukkan lagi apabila kerajaan tidak mengambil perhatian yang serius dalam tuntutan masyarakat Cina dan India. Ia jelas dalam penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran matapelajaran Matematik dan Sains di sekolah yang ternyata kurang disenangi oleh masyarakat
1

Cina. Isu tuntutan Hindraf yang ditangani secara kekerasan oleh kerajaan juga mencetuskan satu senario yang tidak memihak kepada Barisan Nasional. Pada masa yang sama, faktor Anwarisme yang melanda para pengundi Melayu turut mengakibatkan kekalahan calon-calon UMNO yang selama ini selesa di Perak. Dalam pilihan raya kali ini, DAP telah mempertaruhkan gandingan calon-calon lama dengan baru dalam usaha menguasai kerusi-kerusi yang dipelopori oleh MCA, Gerakan , PPP dan MIC. Ia meletakkan 3 calon utamanya Lim Kit Siang, M. Kulasegaran dan Fong Po Kuan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Batu Gajah. Pada masa yang sama, calon-calon dominannya di Perak seperti Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming telah diletakkan di kedua-dua kerusi parlimen dan DUN. Ngeh Koo Ham telah bertanding di kerusi Parlimen Beruas dan kerusi DUN Sitiawan manakala Nga Kor Ming telah bertanding di kerusi Parlimen Taiping dan kerusi DUN Pantai Remis. DAP turut mengekalkan penyandangpenyandang yang lain di mana Su Keong Siong dikekalkan di DUN Pasir Pinji, Hee Yit Foong di DUN Jelapang dan Seah Leong Peng di DUN Pasir Bedamar. Beberapa muka baru turut disenaraikan dalam pilihan raya kali ini dan ia termasuklah Wong Kah Woh, bekas setiausaha Lim Kit Siang yang telah bertanding di DUN Canning, M Manogaran yang bertanding di Parlimen Telok Intan, V. Sivakumar di Dun Tronoh dan Keshvinder Singh di DUN Malim Nawar. Kehadiran ramai calon-calon India dalam DAP yang diketuai M Kulasegaran, M Manogaran, V Sivakumar, Keshvinder Singh, Sivanesan dan Sivasubramaniam ternyata berjaya memikat para pengundi India di mana kesemua calon-calon tersebut memenangi kerusi yang ditandingi . Kejayaan DAP dalam pilihan raya 2008 banyak bergantung kepada prestasinya di daerah Kinta yang menjadi kubu kuat parti tersebut sejak pilihan raya 1969 lagi. Lantaran itu, DAP memberi perhatian khusus terhadap kerusi-kerusi parlimen yang terletak di daerah tersebut. Di mana ia berharap kehadiran tokoh-tokohnya seperti Lim Kit Siang, Fong Po Kuan dan M. Kulasegaran di Parlimen Ipoh Timur, Ipoh Barat serta Batu Gajah mampu meraih sokongan padu pengundi Cina dan seterusnya menguasai kerusi-kerusi DUN yang terletak di bawah kawasan parlimen tersebut. Kecenderungan pengundi memihak kepada pembangkang serta kemampuan DAP memanipulasi isu-isu nasional serta isu-isu lokal ternyata memberi banyak kelebihan kepada parti tersebut. DAP berjaya mengekalkan ketiga-tiga kerusi parlimen yang dimenangi
2

dalam pilihan raya 2004 di samping merampas tiga kerusi parlimen yang terletak di luar daerah Kinta. Lim Kit Siang menang dengan bergaya di Ipoh Timur dengan majoriti yang besar iaitu sebanyak 21,942 undi manakala di Ipoh Barat, M.Kulasegaran berjaya perbaiki majoriti kemenangan yang kecil dalam pilihan raya 2004 apabila mencatat majoriti undi sebanyak 15,534 undi. Fong Po Kuan yang mencetuskan kontroversi dengan penarikan diri dari bertanding pada peringkat awal turut cemerlang apabila mempertahankan kerusi Parlimen Batu Gajah buat penggal ketiga berturut-turut dengan meraih majoriti undi sebanyak 24,627 undi. DAP turut mencipta kejutan di kerusi Parlimen Taiping apabila Nga Kor Ming menewaskan penyandangnya Datuk M. Kayveas, Pengerusi PPP dengan majoriti undi sebanyak 11,298. Dua lagi kerusi parlimen yang dimenangi DAP di Perak ialah Parlimen Beruas dan Parlimen Telok Intan. Ia menyaksikan kehadiran Ngeh Koo Ham yang pertahankan kerusi DUN Sitiawan mencuba nasib di kerusi Parlimen Beruas. Ngeh Koo Ham yang Pengerusi DAP Perak telah menewaskan Chang Ko Youn dan merampas kerusi tradisi Beruas yang selama ini dikuasai oleh Datuk Seri Lim Keng Yaik. Manakala di Parlimen Teluk Intan, Gerakan sekali lagi terpaksa menelan hakikat yang begitu pahit apabila Ketua Pemudanya Datuk Mah Siew Keong yang juga penyandang kerusi tersebut terpaksa berputih mata apabila ditewaskan oleh M.Manogaran dengan majority undi sebanyak 1,470 undi. Kejayaan DAP di peringkat Parlimen turut dirasai di peringkat negeri. Ia begitu ‘garang’ di Kinta apabila menyapu bersih kesemua 18 kerusi DUN yang ditandingi di Ipoh Barat, Ipoh Timur dan Batu Gajah. Di Parlimen Ipoh Timur, DAP menguasai kerusi DUN Canning, Tebing Tinggi dan Pasir Pinji. Manakala di Parlimen Ipoh Barat ia memenangi kerusi DUN di Bercham, Kepayang, dan Buntong. Di Batu Gajah, DAP pertahankan kerusi DUN Jelapang, Mengelembu dan merampas Tronoh. Pengaruh DAP turut semakin menular ke daerah daerah lain di mana ia bukan sahaja berjaya pertahankan kerusi DUN Sitiawan, Pantai Remis dan Pasir Bedamar malah memenangi kerusi-kerusi yang terletak dalam lingkungan Barisan Nasional seperti kerusi DUN Pokok Assam dan Aulong yang dianggap sebagai kubu kuat Gerakan sebelum ini. Di samping itu, DAP turut memenangi kerusi DUN Jalong yang terletak di bawah kerusi Parlimen Sungai Siput yang menyaksikan Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu kecundang di tangan Michael Jeyakumar, wakil Parti Sosialis Malaysia yang bertanding atas tiket PKR. Walaupun DAP kecundang di Kampar, namun ia berjaya memenangi kerusi DUN Malim Nawar menerusi Keshvinder Singh dengan majoriti undi sebanyak 1,362 undi. DAP turut berjaya menempatkan
3

calonnya di DUN Sungkai yang terletak di Parlimen Tanjong Malim yang dimenangi oleh Setiausaha Agong MCA, Datuk Ong Ka Chuan apabila Sivanesan berjaya memenangi kerusi tersebut setelah tewas dalam pilihan raya 2004 dengan mejoriti uni sebanyak 1,454 undi menewaskan Datuk Veerasingham. Kejayaan DAP di Perak dalam Pilihan Raya Umum 2008 banyak didorong oleh isu-isu nasional yang berlegar di sekitar tahun 2006-2008. Di mana kemuncaknya tercetus disekitar pertengahan tahun 2007 dengan berlakunya perhimpunan raksasa oleh kumpulan NGO yang disokong oleh parti-parti pembangkang, Perhimpunan BERSIH di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh ratusan ribu rakyat Malaysia jelas menunjukkan perasaan tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan. Rusuhan serta perhimpunan haram anjuran Hindraf pula mendapat simpati masyarakat India dan ia bertukar kepada konflik perkauman apabila lima pemimpin ditahan di bawah ISA. Kegagalan kerajaan menangani isu-isu ini menimbulkan perasaan ‘muak’ pengundi muda khususnya di bandar-bandar besar. Ia mengakibatkan undi-undi protes dan juga peningkatan ketara jumlah undi rosak di samping penurunan mendadak peratusan pengundi di banyak kawasan. Kehadiran semula de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pertaruhkan isterinya Darin Wan Azizah di Parlimen Permatang Pauh dan anaknya Nurul Izzati di Parlimen Lembah Pantai , Wilayah Persekutuan telah menandakan bermulanya faktor Anwarsime dalam politik Malaysia. Bahangnya cukup terasa walaupun dinafikan oleh kerajaan dan ia terbukti berjaya mengangkat martabat parti-parti pembangkang sehingga mampu menguasai lima buah negeri dalam satu-satu pilihan raya dan setersunya menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di parlimen. DAP telah berjaya mengatur strateginya dengan begitu baik apabila bekerjasama dengan PKR dan akur dengan keputusan barisan pembangkang untuk memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama barisan pembangkang. Pada masa yang sama, ia turut menyokong perjuangan Hindraf serta terus menjadi jaguh dalam perjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia, kebebasan media, ketelusan dalam kerajaan serta keadilan sosial. Lantaran itu, DAP mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang dilihat mula menolak politik perkauman yang sempit. Ia jelas dalam kemenangan DAP di beberapa kerusi DUN mahupun parlimen yang menyaksikan calon-calonnya mendapat sokongan daripada pengundi bukan Cina. Ia jelas di kerusi Parlimen Teluk Intan yang menyaksikan calon India
4

DAP, M Manogaran menewaskan Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong di mana undi-undi pengundi India dan Melayu sebanyak 54% menjadi faktor penentu kepada kemenangan tersebut. Situasi yang hampir sama berlaku di DUN Jalong dan Sungkai, calon DAP Leong Mee Meng di Jalong menang dengan majoriti undi sebanyak 5,495 walaupun kawasan tersebut hanya mempunyai 56.7% pengundi Cina sahaja manakala di DUN Sungkai pula yang hanya terdapat 56.5% pengundi Cina menyaksikan calon DAP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 1,454 undi. Kejayaan DAP di Perak serta wujudnya kerjasama yang erat di kalangan pembangkang terserlah apabila DAP yang mempunyai perwakilan yang teramai dalam DUN Perak akur dengan kata sepakat Pakatan Rakyat yang melantik Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, Datuk Mohamad Nizar Jamaliddin sebagai Menteri Besar Perak. Ia seterusnya menolak andaian bahawa akan berlaku pergolakan dalam negeri yang bakal menyaksikan pertelengahan di kalangan parti pembangkang dan seterusnya membawa kepada perpecahan. Pada masa yang sama, khabar angin bahawa PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat akan kerajaan negeri di Perak bakal bertukar tangan turut dinafikan oleh Datuk Mohamad Nizar yang berpendapat bahawa kerjasama PAS dengan DAP dan PKR akan diteruskan kerana ia adalah pilihan rakyat yang perlu dihormati. Kemampuan DAP membentuk kerajaan campuran di Perak dilihat sebagai satu peluang keemasan bagi parti berkenaan dalam merealisasikan impiannya iaitu mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bebas dan adil dengan penekanan konsep Malaysia-Malaysian dengan tunpuan terhadap kesamarataan sosial, ekonomi dan politik tanpa mengira bangsa dan agama. Lantaran itu, DAP perlu melipat gandakan usahanya demi menjayakan matlamat perjuangannya serta mendapat kepercayaan daripada para pengundi.

5