You are on page 1of 7

PENGENALAN KEPADA INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER APA ITU INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER

UNIT 1 BAB 1

BAB 1

APA ITU INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER

PENGENALAN
Adakah anda mengetahui apa yang dimaksudkan dengan interaksi? Interaksi merupakan satu proses komunikasi antara dua entiti yang berlaku dalam suatu masa. Apabila dua orang sedang berbual, kita boleh katakan bahawa mereka sedang berinteraksi. Interaksi juga boleh berlaku antara tiga atau lebih individu atau entiti. Satu lagi bentuk interaksi yang berlaku tanpa kita sedari adalah interaksi dengan alatan yang tidak bernyawa seperti mesin fotostat, alat perakam video, dan komputer. Interaksi saling tindak yang berlaku bukanlah secara lisan seperti dua orang yang sedang berbual tetapi ia dalam bentuk tindak balas operasi. Contohnya, jika kita menekan kekunci Del pada papan kekunci komputer, tindak balas yang berlaku adalah satu aksara atau item dihapuskan.

Rajah 1.1: Gambarfoto pengguna sedang berinteraksi dengan komputer

Interaksi manusia komputer (IMK) merupakan satu bidang kajian tentang mereka bentuk, menilai, dan mengimplementasikan sistem komputer yang interaktif untuk kegunaan manusia dengan melibatkan faktor persekitarannya. Sistem komputer di sini merujuk kepada teknologi perkakasan dan perisian manakala manusia pula merupakan pengguna kepada sistem komputer tersebut dalam persekitaran seperti pejabat, rumah dan pembelajaran. Dalam bab ini kita akan membincangkan tentang entiti-entiti yang terlibat tentang tugas dan jangkaan masing-masing bagi memudahkan proses interaksi. Walau bagaimanapun penekanan lebih kepada pengguna kerana adalah lebih mudah memahamkan manusia tentang komputer berbanding mengharapkan komputer untuk memahami manusia.

OUM

UNIT 1 BAB 1

PENGENALAN KEPADA INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER APA ITU INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER

OBJEKTIF
Di akhir bab ini, anda seharusnya dapat: 1. menyatakan makna dan fungsi interaksi manusia komputer; 2. menerangkan sumbangan bidang lain kepada bidang kajian interaksi manusia komputer ini dan 3. menghuraikan kepentingan dan sumbangan bidang interaksi manusia komputer ini.

1.1

SEJARAH DAN EVOLUSI IMK

Istilah yang mula digunakan untuk menjelaskan tentang interaksi antara komputer dengan penggunanya adalah antara muka manusia komputer (Man-Machine Interface) yang diperkenalkan pada tahun 1970-an. Kajian ini termasuklah kesemua jenis alat bantu bermesin yang digunakan oleh manusia dalam melaksanakan tugas seharian mereka. Contohnya, alat telekomunikasi seperti telefon bimbit dan mesin faksimili; peralatan rumah seperti mesin basuh dan ketuhar gelombang mikro dan juga peralatan teknologi maklumat terkini seperti komputer dan pembantu peribadi digital (PDA). Kebanyakan syarikat komputer pada masa itu menggunakan kajian ini sebagai strategi pemasaran sistem komputer syarikat mereka. Mereka merasakan sekiranya mereka mengeluarkan sistem komputer dengan antara muka yang lebih menarik, sudah pasti jumlah jualan akan meningkat. Para penyelidik pula berminat untuk mengkaji bagaimana komputer boleh meningkatkan mutu kerja dan kehidupan manusia. Tumpuan diberikan kepada had kemampuan pengguna dalam interaksi antara komputer dan penggunanya. Terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian dalam menentukan kejayaan atau kegagalan sistem komputer seperti isu latihan, amalan bekerja, isu pengurusan dan pengorganisasian, serta kesihatan. Istilah Interaksi Manusia komputer (Human computer Interaction) atau IMK mula digunakan pada tahun 1980-an. Istilah ini digunakan bukan hanya untuk reka bentuk antara muka tetapi apa sahaja yang berkaitan dengan interaksi antara komputer dan penggunanya. Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang sejarah dan evolusi interaksi manusia-komputer (IMK), anda boleh lawati laman web berikut: Chapter 2: Human-Computer Interaction {p.5} http://www.sigchi.org/cdg/cdg2.html#2_1 Stanford University Program in Human-Computer Interaction (http://hci.stanford.edu/cs377)

Cuba buat rumusan ringkas tentang sejarah dan evolusi IMK daripada keduadua laman web tersebut.

OUM

PENGENALAN KEPADA INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER APA ITU INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER

UNIT 1 BAB 1

1.2

ISU-ISU PENGGUNAAN KOMPUTER

Anda pergi ke bank untuk memasukkan duit ke dalam akaun ibu. Pegawai bank yang anda temui menunjukkan satu mesin yang menurut beliau boleh digunakan untuk memasukkan duit ke dalam akaun ibu anda. Ini adalah pertama kali anda menggunakan perkhidmatan sedemikian. Dapatkah anda menggunakannya tanpa bantuan dari sesiapa jua? Adakah anda rasa antara muka yang digunakan memudahkan anda? Penggunaan komputer kini menjadi satu kemestian. Bank, pasar raya, sekolah malah pengurusan masjid juga menggunakan komputer dalam melaksanakan tugas harian mereka. Cabaran utama yang dihadapi adalah ketika memulakan penggunaan komputer. Pada awalnya memang kedengaran kata-kata negatif seperti komputer menyusahkan, tidak boleh dipercayai dan tidak cekap. Ini kerana pada peringkat permulaan pengguna menghabiskan banyak masa untuk mempelajari dan membiasakan diri dengannya. Namun begitu lama kelamaan timbul rasa seronok menggunakannya. Kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat banyak perisian wujud yang boleh mengelirukan pengguna. Jika kurang berhati-hati pengguna akan membazirkan wang membeli sesuatu yang kurang penting dan berguna. Contohnya, pembelian sebuah komputer peribadi yang tercanggih dan terbaru dalam pasaran untuk kegunaan di rumah. Akhirnya, komputer tersebut hanya digunakan untuk bermain dengan permainan komputer. Suatu ketika dahulu, komputer diletakkan di sudut-sudut tertentu di pusat membeli belah sebagai pemberi maklumat kepada orang awam. Komputer tersebut menggunakan teknologi skin sesentuh yang begitu mudah digunakan. Apakah maklumat tentang pusat membeli belah tersebut yang anda rasakan perlu dicari oleh pengunjung pada komputer itu? Sebagai bacaan tambahan anda digalakkan untuk membaca tulisan Bill Gates seorang jutawan perisian komputer dalam bukunya The Road Ahead atau terjemahan dalam Bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Latihan 1.1
1. 2. Terangkan maksud interaksi manusia dengan komputer. Dengan menggunakan satu contoh yang sesuai, huraikan tentang kesukaran untuk menggunakan sesuatu peralatan atau alat bantu buat pertama kalinya.

1.3

MATLAMAT IMK

Matlamat utama kajian interaksi manusia komputer ini adalah untuk menghasilkan sistem komputer yang lebih mudah dan selamat digunakan di samping ianya dapat berfungsi dengan baik. Sistem komputer ini bukan setakat mudah digunakan malah mudah dipasang, dipelajari dan juga disenggarakan. Disamping itu, sistem komputer tersebut mestilah dapat beroperasi dengan tepat tanpa mengelirukan pengguna. Kesilapan kecil yang berlaku sepatutnya tidak mengakibatkan kerosakan yang teruk. Kesemua matlamat ini dinyatakan sebagai matlamat kebolehgunaan.
4

OUM

UNIT 1 BAB 1

PENGENALAN KEPADA INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER APA ITU INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER

Matlamat kebolehgunaan merangkumi aspek-aspek berikut: Sistem tersebut hendaklah berfungsi dengan sebaiknya (faktor keberkesanan). Sistem tersebut hendaklah cekap berfungsi (faktor kecekapan). Sistem tersebut hendaklah selamat untuk digunakan (faktor keselamatan). Sistem tersebut hendaklah mempunyai utiliti yang sepatutnya (faktor utiliti). Sistem tersebut hendaklah mudah dipelajari (faktor kebolehbelajaran). Sistem tersebut hendaklah mudah untuk diingati tentang cara menggunakannya (faktor kebolehingatan).

Rajah 1.2

1.4

KEPENTINGAN IMK

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, matlamat kajian interaksi manusia dan komputer ini adalah untuk menghasilkan sistem yang bukan sahaja mudah digunakan malah selamat digunakan. Tahukah anda kepentingan sistem yang mudah dan selamat digunakan? Kepentingannya ialah ia dapat meningkatkan produktiviti dan keselamatan organisasi malah sejagat. Mari kita lihat contoh senario di bawah.

1.4.1

Produktiviti

Suatu ketika dahulu anda menggunakan pemproses perkataan Word Perfect. Kini anda diminta menggunakan pemproses perkataan yang baru diperkenalkan di pasaran yang diberi nama Microsoft Word. Perisian ini memang berbeza dengan perisian Word Perfect terutama dari segi penggunaan ikon, arahan dan sebagainya. Apakah yang berlaku? Pastinya anda mengambil masa yang agak panjang untuk mempelajarinya. Di sinilah pentingnya reka bentuk antara muka yang baik. Jika antara mukanya mudah difahami, maka sudah tentu perisian Microsoft Word tersebut akan mudah dipelajari, digunakan dan disenggarakan. Secara tidak langsung ianya dapat meningkatkan kualiti kerja dan produktiviti.

OUM

PENGENALAN KEPADA INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER APA ITU INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER

UNIT 1 BAB 1

1.4.2

Keselamatan

Komputer telah digunakan dalam bidang penerbangan, di logi janakuasa nuklear dan pusat kawalan angkasa lepas. Bidang-bidang seperti ini memerlukan sistem komputer yang cekap dan tepat demi keselamatan umum. Tanpa interaksi yang baik antara juruterbang dengan sistem komputer dalam kapalterbang sudah pasti ia menjadi sistem pengangkutan yang merbahaya. Begitu juga pada logi janakuasa nuklear yang boleh memusnahkan bumi ini jika tiada interaksi yang baik antara penyelidik dengan sistem kawalan janakuasa yang juga merupakan satu sistem komputer.

Latihan 1.2
1. 2. Terangkan tentang matlamat kajian interaksi manusia komputer. Jelaskan tentang kepentingan kajian interaksi manusia dengan komputer.

1.5

HUBUNGAN DENGAN BIDANG-BIDANG LAIN

IMK merupakan satu bidang pelbagai disiplin di mana ianya bergantung kepada perkembangan bidang yang lain. Bidang-bidang yang turut memberi sumbangan besar kepada bidang IMK ini adalah sains komputer, ergonomik, psikologi, kejuruteraan, kepintaran buatan, bahasa, seni, sosiologi, antropologi, reka bentuk, falsafah dan fisiologi. Perkaitan ini dapat kita gambarkan seperti Rajah 1.3.

Rajah 1.3: Hubungan IMK dengan bidang-bidang lain

Dalam bab ini kita hanya membincangkan empat bidang yang utama sahaja iaitu sains komputer, psikologi, ergonomik dan kejuruteraan. Untuk bidang-bidang yang lain, sila rujuk pada topik Disciplines Contributing to HCI dalam buku Human-Computer Interaction, Jenny Preece et. Al., atau The Relationship of HCI to Other Disciplines dalam buku The Essence of Human Computer Interaction, Christine Faulkner.

1.5.1

Sains Komputer

Bidang sains komputer merupakan salah satu bidang teknologi yang begitu pantas mengalami perubahan. Kemajuan teknologinya merangkumi teknologi perkakasan dan perisian. Teknologi perkakasan bukan hanya merangkumi reka bentuk luaran komputer malah termasuk
6

OUM

UNIT 1 BAB 1

PENGENALAN KEPADA INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER APA ITU INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER

kepantasan pemprosesan, saiz ingatan, ketepatan pemprosesan dan kepantasan perpindahan data. Perkembangan aksesori komputer juga tidak kurang hebatnya. Perisian komputer turut mengalami perubahan terutama dari segi konsep antara mukanya, konsep interaksi, teknik pemprosesan dan capaian dan juga keselamatan data. Kini kita boleh lihat pelbagai jenis perisian yang ada di pasaran. Reka bentuk antara muka yang cantik dengan hiasan grafik, animasi dan seumpamanya tidak dapat berfungsi dengan baik jika masa pemprosesannya lambat. Begitu juga dengan penyelidikan dalam mencari teknik-teknik melukis lukisan grafik yang dapat mengurangkan penggunaan ingatan komputer. Semua ini adalah sumbangan bidang sains komputer terhadap teknologi IMK.

1.5.2

Ergonomik

IMK mengambil kira pandangan dan perasaan pengguna komputer. Ini bermakna ia juga menitik beratkan keselesaan pengguna. Ergonomik merupakan bidang kajian berkenaan hubungan manusia dengan persekitaran kerjanya. Sumbangannya adalah dalam mereka bentuk peralatan atau perkakasan yang digunakan berbeza mengikut tujuan, fungsi dan keadaan. Contohnya, reka bentuk kerusi yang digunakan di bilik kuliah tidak sama dengan sofa di rumah. Begitu juga dengan reka bentuk peranti input dan output komputer untuk pengguna biasa berbeza dengan pengguna kurang upaya seperti pengguna buta atau cacat pendengaran. Pada pendapat anda peranti input dan output yang bagaimanakah sesuai bagi pengguna yang cacat penglihatan?

1.5.3

Psikologi

Bidang psikologi menumpukan kepada kajian struktur sosial dan bagaimana komputer boleh mempengaruhi amalan kerja seseorang. Terdapat empat tumpuan teras psikologi sosial, iaitu: pengaruh seseorang individu terhadap sikap dan kelakuan individu yang lain; kesan sekumpuan individu terhadap sikap dan kelakuan ahli kumpulannya; kesan ahli kumpulan terhadap aktiviti dan struktur kumpulan dan hubungan struktur dan aktiviti antara kumpulan yang berlainan.

Bidang psikologi juga cuba untuk memahamkan perlakuan manusia dan proses mental bagi menentukan had kemampuan pengguna. Ini bagi membolehkan antara muka yang sesuai direka bentuk untuk pengguna yang berbeza. Sebagai contoh, had pemahaman bagi pengguna yang berusia lima tahun adalah berbeza dengan pengguna yang berusia dua puluh lima tahun. Pereka bentuk antara muka mestilah dapat menjangkakan bagaimana kedua-dua pengguna ini memahami sesuatu arahan komputer. Lazimnya pengguna yang berusia lima tahun tidak memahami banyak arahan komputer. Maka, antara muka yang sesuai untuknya adalah antara muka yang mudah dengan diselitkan ikon-ikon yang bergambar kartun yang menarik.

OUM

PENGENALAN KEPADA INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER APA ITU INTERAKSI MANUSIA KOMPUTER

UNIT 1 BAB 1

1.5.4

Kejuruteraan

Bidang kejuruteraan menyumbangkan kemahiran kreatif dan pengetahuan dalam proses untuk menghasilkan peralatan dan perkakasan yang bukan sahaja berteknologi tinggi malah bersesuaian. Sebagaimana yang dinyatakan pada awal tadi, bahawa antara muka yang baik bukan sahaja terletak pada reka bentuknya tetapi juga kepada kepantasan pemprosesannya. Ini adalah sumbangan bidang kejuruteraan yang bergabung dengan teknologi sains komputer. Kita sering melayari Internet untuk mencari bahan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Adakalanya proses memuat turun sesuatu dokumen mengambil masa yang agak panjang. Mungkin anda telah mempelajari dalam kursus sistem rangkaian ataupun komunikasi data bahawa perpindahan data dari satu hos komputer ke komputer pengguna adalah melalui talian kabel. Perpindahan yang berlaku dalam talian fizikal ini memerlukan sistem pengangkutan yang pantas dan boleh dipercayai. Tanpa penyelidikan kejuruteraan, perpindahan dokumen atau data menerusi talian kabel ini sudah pasti akan mengambil masa berhari-hari malah mungkin sesuatu yang mustahil wujud pada masa ini. Pada teknologi komputer mikro yang biasa anda gunakan, dapatkah anda bezakan antara sumbangan dari bidang sains komputer dan sumbangan dari bidang kejuruteraan?

Latihan 1.1
1. Dalam bidang interaksi manusia komputer penglibatan bidang ilmu lain sangat diperlukan. Bidang-bidang ini banyak memberikan sumbangan terhadap HCI. Senaraikan bidang-bidang ilmu tersebut dan beri huraian ringkas tentang dua daripadanya. Jelaskan tentang perbezaan antara interaksi manusia komputer dengan antara muka komputer.

2.

RUMUSAN
Kini diharapkan anda telah pun dapat menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan interaksi manusia komputer. Sumbangan dari kajian bidang lain merupakan suatu sumbangan yang bernilai, tanpa semuanya itu interaksi antara manusia dengan komputer tidak akan berjalan lancar. Dalam bab 2 nanti, kita akan membincangkan tentang hubungan antara faktor kemanusiaan dengan interaksi manusia komputer.

OUM

You might also like