You are on page 1of 2

Apa jadi TV Pendidikan?

TELEVISYEN Pendidikan pernah popular pada satu ketika kerana isi kandungan yang menarik, publisiti meluas serta kebolehcapaian khalayak yang demokratik. TANPA kita sedari 2006 melewati separuh daripada usianya dan bagi guru, tempoh semakin singkat untuk menghabiskan sukatan kerana peperiksaan kebangsaan sudah hampir benar. Bagi Kementerian Pelajaran Malaysia, perkembangan semasa menuntut kepada kebijaksanaan perancang dan pelaksananya. Bagi isu-isu yang tertunggak maka ia perlulah diselesaikan dengan secepat mungkin supaya tidak berlaku kepincangan di sana-sana atau kita mungkin sekadar mengulangi kesilapan-kesilapan lampau. Salah satu isu yang boleh difikirkan ialah tentang televisyen (TV) Pendidikan. Ini ialah isu kita kerana kita sama-sama membayar cukai. Apalah gunanya mencanangkan perihal membestarikan Sekolah Bestari sekiranya asas aplikasi masih belum jelas dan berada diawang-awangan. Kalau mengikut Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd. (MDC), sempena Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Koridor Raya Multimedia (IAP-MSC) Ke-9 di Pulau Pinang pada tahun lepas, TV Pendidikan ialah salah satu komponen sekolah bestari. Saya yang hadir melihat kelas olok-olok MDC, mencuri-curi dengar salah satu taklimat pegawainya, dan pengunjung diberitahu, bahawa: ``Kelas olok-olok ini memaparkan demonstrasi P&P berkaitan Sekolah Bestari Sains untuk murid tahun tiga, bahan pelajaran dari Internet dan cakera padat serta televisyen pendidikan murid tahun tiga.'' Dalam pada itu, 14,000 unit televisyen turut dibekalkan kepada semua sekolah bagi memenuhi program TV Pendidikan. Bagi saya enjin dan perkakasan telah ada, tetapi bagaimana dengan pengisian dan dasarnya? Adakah TV Guru akan menjadi kenyataan? Adakah TV Guru yang wujud dikendalikan oleh guru di bawah yayasannya, atau Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP)? Nawaitunya sudah betul, dan kita berharap kaedahnya juga betul dan lurus. Jika tidak, maka buat sekian kalinya - cadangan hanya tinggal cadangan dan TV Guru tidak akan beroperasi berlandaskan objektifnya. Kita tahu bahawa TV Pendidikan telah diserahkan kepada pihak Astro sejak beberapa tahun yang lalu. Kemudian timbul isu pembaziran berpuluh-puluh juta ringgit kerana beberapa perkakasan seperti coder dan decoder tidak dapat digunakan. Bukankah pengunaan cakera satelit dan berbayar seperti itu sepatutnya hanya digunakan untuk sekolah-sekolah di pedalaman dan kawasan geografi yang tidak memungkinkan siaran dapat diterima oleh pemancar biasa? Adakah kerajaan masih membayar dalam keadaan dasar yang masih tergantung sekarang? Sebelum ini, TV Pendidikan dapat disiarkan melalui saluran TV milik kerajaan dan dapat diikuti secara percuma di sekolah mahupun di rumah. Maka, ramailah pelajar yang berpeluang mengulang kaji dan mendapatkan maklumat tentang subjek yang diajar di sekolah melalui siaran itu.

Tetapi sejak Astro mendapat hak milik mengendalikan TV Pendidikan, didapati ada guru dan pelajar sekolah tidak menyedari wujudnya satu saluran khusus untuk pendidikan ini. Berapa peratus sangat penduduk kampung mampu dan berminat untuk memasang alat penerima siaran TV Astro di bumbung rumahnya. Sedangkan untuk menjelaskan yuran dan menyediakan keperluan persekolahan anak semakin hari semakin meningkat dan membebankan. Adalah lebih baik agar siaran TV Pendidikan disiarkan melalui saluran khas milik kerajaan dan para pelajar dapat mengikutinya secara percuma, sama ada di sekolah atau di rumah. Maklumat TV Pendidikan yang dikendalikan oleh Astro dihantar ke sekolah kadangkadang tidak langsung disedari oleh guru dan pelajar kecuali Guru Pusat Sumber Sekolah (PSS). Kalau PSS memainkan peranan aktif mempromosikan siaran TV Pendidikan di sekolah, mungkin ramai yang menyedari kewujudan saluran TV khas untuk bidang pendidikan ini. Tetapi, apa jadi jika peranan PSS sekolah tidak dimaksimumkan atau lebih tertumpu kepada aktiviti pinjam-meminjam buku sahaja. Pada hari ini, kandungan TV Pendidikan cukup baik dan bermanfaat jika dapat disalurkan ke sekolah-sekolah dan rumah. Siarannya terbahagi kepada rancangan kurikulum sekolah rendah, rancangan kurikulum sekolah menengah dan rancangan khas umum. Sebanyak sembilan mata pelajaran disajikan pada peringkat sekolah menengah, iaitu Bahasa Melayu, English, Sains, Matematik, Sejarah, Geografi, Teknik dan Vokasional, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Untuk sekolah rendah pula ialah Bahasa Melayu, English, Matematik, Sains dan Pendidikan Moral. Siarannya adalah dalam dua sesi iaitu pagi (9 pagi hingga 12 tengahari) dan siaran ulangan sesi petang (1 petang hingga 5 petang). Rancangan khas untuk umum ialah Pedagogi, Kerjaya, Lensa TVP, Laman Minda (siaran ulangan dan siaran langsung) serta rancangan khas.