You are on page 1of 2

DEMAM TELEFON PINTAR DALAM era kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kini, remaja merupakan antara

golongan yang mudah terpengaruh dengan kecanggihan teknologi. Bagi remaja yang berkemampuan,mereka sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mendapatkan alatan (gadget), terutamanya telefon pintar. Senario pada hari ini memperlihatkan pelbagai jenis alatan menjadi barang keperluan setiap orang. Hal ini tidak menghairankan kita kerana di seluruh pelosok dunia, hampir semua orang diserang "demam" telefon pintar dan remaja menjadi "mangsa paling parah". Telefon pintar menjadi fenomena pengguna pada masa kini. Lebih menarik lagi,telefon pintar turut menjadi lambang ketinggian status pemiliknya. Berdasarkan statistik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), hingga tahun lepas, 50 peratus daripada 33.4 juta pengguna telefon bimbit di Malaysia sudah beralih daripada menggunakan telefon mudah alih kepada telefon pintar. Dari jumlah ini,30% menggunakan teknologi 3G (third generation) dan hanya 15 peratus pengguna yang benar-benar menggunakan sepenuhnya aplikasi yang ditawarkan oleh telefon pintar. Sememangnya "kepintaran" telefon pintar tidak dapat disangkal lagi kerana alatan ini menjadi teman 24 jam sehari penggunanya. Terdapat banyak jenama alatan yang ada dalam pasaran yang menyebabkan pengguna rambang mata, antaranya termasuklah Samsung Tablet, Samsung Galaxy Y, Samsung Galaxy Slll, Samsung Galaxy Note, Sony Xperia, iPhone, iPad dan Blackberry. Telefon pintar yang merupakan telefon mudah alih mempunyai sistem operasi yang membolehkan pengguna melakukan pelbagai aplikasi, seperti Windows Mobile, Android, Symbian, Sistem Operasi Blackberry, dan sebagainya. Telefon pintar juga dilengkapi dengan perisian atau aplikasi bagi meningkatkan produktiviti dan aktiviti pengguna yang menggunakannya. "Doc To Go" misalnya, merupakan perisian yang digunakan untuk mengedit dokumen "Word" dalam telefon pintar. Keadaan inilah yang membezakan telefon pintar daripada telefon mudah alih yang mempunyai fungsi yang asas sahaja. Seiring dengan perkembangan teknologi, telefon pintar mempunyai pelbagai kegunaan bagi melancarkan aktiviti harian sama ada dalam urusan komunikasi, perniagaan ataupun pembelajaran. Telefon pintar tidak dapat dipisahkan dengan internet. Tanpa internet, telefon pintar tidaklah dapat dianggap pintar. Dengan kemudahan untuk mengakses internet di mana-mana sahaja, pengguna tertarik untuk memilikinya. Apatah lagi telefon pintar yang serba canggih kini didatangkan dalam bentuk yang tipis dalam pelbagai warna yang menawan hati, di samping mesra pengguna. Penggunaan telefon pintar yang begitu meluas dalam kalangan remaja pastinya mempunyai impak yang tersendiri terhadap gaya hidup mereka. Yang ketaranya,kemudahan untuk berhubung atau berkomunikasi merupakan antara faktor penarik. Telefon pintar memudahkan urusan berkomunikasi melalui penyediaan sistem mesej singkat (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS), malah mempunyai aplikasi untuk berhubung melalui whatsApp, BlackBerry Messenger (BBM), Android dan sebagainya. Kemudahan aplikasi yang disediakan menerusi telefon pintar menjadikan ruang komunikasi menjadi lebih meluas dan tanpa had penggunaan. Walaupun tidak mempunyai kredit atau jumlah wang yang mencukupi untuk menelefon atau menghantar mesej, banyak alternatif lain yang dapat digunakan oleh pengguna. Selain lebih mudah berhubung melalui aplikasi whatsApp, BBM, SMS dan MMS, telefon pintar juga dilengkapi dengan sistem rangkaian tanpa wayar (WiFi). Kemudahan WiFi membolehkan pengguna berhubung dan berkomunikasi dengan lebih mudah dan pantas. Kebanyakan pengguna telefon pintar, khususnya golongan remaja,menggunakan kemudahan percuma laman sosial seperti Facebook, Twitter, Yahoo Messenger dan Tagged untuk berhubung dengan sesiapa sahaja tanpa ada batas sempadan.

Dasar langit terbuka di hujung jari ini memberikan manfaat kepada remaja sekiranya digunakan bagi tujuan yang positif. Contohnya, remaja yang mempunyai masalah dalam mata pelajaran tertentu dapat mengemukakan permasalahan dan berbincang secara berkumpulan menerusi laman sosial yang dilayari tanpa perlu keluar rumah untuk berjumpa dengan rakan. Masing-masing boleh berada di rumah atau di mana-mana sahaja dan perbincangan dapat dilakukan secara pantas dan mudah. Keadaan ini menyenangkan remaja untuk menggunakan aplikasi ini bagi membantu menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan pembelajaran. Sementara itu, kemudahan WiFi juga membolehkan pengguna mencari maklumat atau nota menerusi carian (browser) di internet dengan menggunakan telefon pintar mereka. Kemudahan rangkaian jalur lebar juga membolehkan remaja membaca surat khabar dalam talian (on-line). Situasi ini dapat mengelakkan berlakunya pembaziran masa kerana mereka dapat menggunakan masa yang terluang ketika menunggu bas sekolah, monorel, atau komuter dengan membaca surat khabar dalam talian melalui telefon pintar. Dengan kata lain, segala-galanya hanya "dalam genggaman" bagi memperoleh maklumat dengan mudah, pantas, dan menjimatkan masa melalui telefon pintar. Selain mempunyai kelebihan, telefon pintar juga mendatangkan kesan negatif kepada golongan remaja yang menyalahgunakan kecanggihan yang ada. Antara kesan negatif terhadap penggunaan telefon pintar termasuklah apabila alatan ini digunakan sepanjang masa bagi tujuan hiburan sehingga melekakan mereka. Aplikasi permainan yang dimuat turun dalam telefon pintar boleh menyebabkan masa yang cukup berharga terbuang begitu sahaja, sekali gus hal ini menjejaskan prestasi pelajaran jika tabiat ini tidak dibendung dengan segera. Di samping itu, penggunaan telefon pintar tanpa kawalan dalam kalangan remaja juga boleh mendatangkan kemudaratan,iaitu berleluasanya penyebaran gambar lucah atau pornografi dalam kalangan remaja. Kemudahan mengakses internet menggunakan telefon pintar apabila disalahgunakan boleh menyumbang kepada masalah keruntuhan akhlak dan seterusnya terdorong berlakunya gejala sosial, khususnya dalam kalangan pelajar. Keterbatasan dalam komunikasi bersemuka juga berlaku sekiranya golongan remaja begitu leka dan asyik dengan telefon pintar. Keadaan ini boleh terjadi kerana remaja menghabiskan masa sepanjang hari dengan menggunakan telefon pintar untuk pelbagai tujuan. Dapat dikatakan bahawa remaja sentiasa membawa ke mana-mana sahaja telefon canggih tersebut dan menggunakannya setiap saat. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan suasana yang kurang harmoni apabila berkomunikasi bersemuka, terutamanya dengan ibu bapa dan keluarga, menjadi lebih terbatas kerana segalagalanya dihubungkan dengan menggunakan teleton pintar. Keadaan ini memberikan kesan yang negatif terhadap gaya hidup akibat daripada kebergantungan pengguna, khususnya remaja, terhadap telefon pintar. Bagi kebanyakan pengguna ,telefon pintar dianggap "nyawa" mereka dan tanpa alatan ini kehidupan dirasakan tidak sempurna. Penggunaan telefon pintar tanpa kawalan boleh mengundang pelbagai perkara dan musibah berlaku,khususnya dalam kalangan remaja hari ini. Kepesatan teknologi dalam bidang telekomunikasi banyak memberikan kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Jika remaja terlalu taasub dengan telefon pintar, maka dikhuatiri hal ini memberikan impak negatif terhadap gaya hidup remaja yang seharusnya lebih sihat dan bermakna dalam meniti usia remaja. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam memantau aktiviti yang dilakukan oleh anak mereka agar tidak terus alpa mengejar kecanggihan teknologi yang terlalu pantas berkembang.

You might also like