Peranan Komputer Dalam Pendidikan Matematik

Komputer Dalam Pendidikan Matematik Penggunaan komputer dalam pengajaran matematik dapat memperkembang dan memperkayakan lagi tajuk yang diajar. Lebih seabad yang lalu, NCTM (National Council of Teachers' of Mathematics, 1980) mencadangkan supaya pengajaran matematik mengambil peluang luas yang ditawarkan oleh komputer. Cockcroft (1982) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran matematik bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran matematik malah penggunaan komputer juga boleh merubah kepentingan sesuatu tajuk dalam silibus matematik. Keadaan yang sama juga mungkin wujud dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran lain di sekolah. Aktiviti penyelesaian masalah adalah bahagian terpenting dalam pendidikan matematik. Pencapaian yang tinggi dalam matematik tidak bermakna jika seseorang pelajar tidak mampu melakukan proses penyelesaian masalah. Laporan Cockcroft (1982) menegaskan bahawa masalah matematik harus diterjemahkan kepada sebutan dan bahasa matematik sebelum ianya diselesaikan. Langkah terjemahan seperti ini memerlukan fahaman yang lengkap terhadap struktur konsep yang terkandung dalam masalah tersebut. Keadaan ini telah menyebabkan kesukaran pembelajaran di kalangan setengah-setengah pelajar. Masalah dan kesukaran ini boleh diatasi melalui penggunaan komputer ( Al Ghamdi, 1987; Lim, 1989 ). Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan (Funkhouser, 1993; Henderson and Landersman, 1992, Chazan, 1988; McCoy, 1991; Al Ghamdi, 1987) didapati :

 

pelajar yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks. Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan berkesan Pencapaian pelajar dalam peperiksaan akhir menunjukkan peningkatan yang ketara Kumpulan yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.

Kelembapan dan kebantutan perkembangan CAI dalam pendidikan matematik khususnya, pada pertengahan tahun 70 an hingga 80 an adalah disebabkan oleh kos perkakasan komputer yang terlalu tinggi, bilangan perisian yang sedikit, kemahiran

dan pengetahuan tentang komputer yang rendah dan tidak kurang juga kebimbangan dan kurang keyakinan di kalangan pendidik ( PPK, 1993 ). Walau bagaimanapun keadaan tersebut telah berubah, di mana harga komputer telah banyak menurun dan mampu dibeli oleh ramai orang serta berbagai kursus telah dan sedang dianjurkan oleh pihak kementerian untuk memberi kesedaran, keyakinan, pengetahuan serta kemahiran dalam penggunaan komputer. Dalam pendidikan matematik, komputer boleh berperanan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berikut i. Penghasilan Bahan Kurikulum ii. Latih Tubi iii. Tutorial iv. Ulangkaji v. Pemulihan dan Pengayaan vi. Simulasi vii. Pengiraan viii. Alat Bantu Mengajar ix. Tutee Penggunaan spreadsheet Terdapat banyak kajian tentang penggunaan spreadsheet dalam pengajaran matematik. Kajian-kajian yang telah dijalankan mencadangkan berbagai cara penggunaan spreadsheet dalam pengajaran matematik ( Janet, 1988; Lim, 1995; Fatimah & Munirah, 1995). Ada juga kajian yang mencadangkan penggunaan spreadsheet dapat mengurangkan kesilapan konsep tentang sesetengah konsep matematik ( Catterall and Lewis, 1985 dalam Fatimah & Munirah, 1995 ). Mungkin guru-guru di Malaysia juga boleh menggunakan speadsheet dalam pengajaran matematik sementara menunggu pakej CAI yang sesuai. Penggunaan multimedia Multimedia adalah teknologi maklumat terkini yang membenarkan integrasi dan manipulasi video, audio, teks, grafik dan animasi ( Baharuddin & Mohd, 1995 ). Multimedia berasaskan komputer boleh menjadikan proses pendidikan suatu pengalaman yang menyeronokkan dan menarik di samping membantu pelajar memahami sesuatu konsep dengan cepat dan mudah ( Brown & Bush, 1992; Toh & Ng, 1994; Rio & Kasiran, 1994; Baharuddin & Mohd, 1995 ). Penggunaan multimedia mempunyai peranan penting dalam pendidikan matematik. Antaranya ialah multimedia boleh; 1. memberi peluang kepada pelajar untuk belajar sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. 2. memudah dan mempercepatkan kefahaman sesuatu konsep matematik.

3. menjadikan aktiviti pembelajaran menarik dan menyeronokkan 4. membekalkan lebih banyak maklumat dan pengetahuan kepada pelajar 5. membantu pelajar mengulangi sesuatu isi pelajaran berulang kali Penggunaan Internet Internet atau ' International Network of Networks ' ialah sebuah rangkaian komputer diperingkat antarabangsa. Ia mengandungi lebih daripada 50 ribu rangkaian komputer di seluruh dunia, lebih daripada 6.6 juta komputer hos dan lebih daripada 50 juta pengguna dari lebih daripada 160 buah negara ( Zoraini, 1995 ). Dalam rangkaian Internet, terdapat berbagai jenis sumber yang berjuta-juta bilangannya. Sumber ini termasuklah kertas persidangan, artikel majalah, perisian komputer, gambar, video dan sebagainya. Seseorang guru boleh mendapat rancangan pengajaran dari guru lain atau pun dari komputer yang menyimpannya. Atau pun sumber pengajaran seperti peta, gambar dari angkasa lepas dan sebagainya boleh didapati dalam Internet. Di dalam Internet terdapat lebih daripada 8 000 kumpulan diskusi eletronik. Kumpulan ini mungkin terdiri dari beberapa orang sehinggalah ke beberapa ribu orang yang berbincang tentang perkara yang sama, termasuklah tentang matematik. Topik-topik perbincangan bermacam-macam dari Antropologi sehinggalah ke Zoologi. Bagi guru matematik, terdapat beberapa kumpulan diskusi eletronik yang dapat disertai secara percuma. Antaranya; IMSE-L dan MATHEDCC. Selain daripada diskusi eletronik, WWW (World Wide Web) juga menyediakan berbagai sumber pengajaran dan pembelajaran , khususnya dalam bidang matematik ( Zoraini, 1995; Lee, 1996 ) Beberapa tajuk yang boleh diperolehi dari WWW :
            

Global Network Navigator - Mathematic Math Section Mathematics - Singapore Min of Education Math Launchpad Mathematics Archives - K12 Internet Sites K-8 dan K-12 Mathematics Education Math and Numbers The Math Forum Ask Dr Math Math Archives Internet Math Class Forum Guru dan Pelajar - TM School On Line Nota dan Soalan Latihan ( UPSR, PMR dan SPM ) - TM School On Line

Menyedari potensi dan keupayaan Internet sebagai wadah komunikasi dan interaksi eletronik yang berkesan maka Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah untuk

memperkenalkan Internet kepada para pelajar dan pendidik. Dengan kerjasama serta bantuan kepakaran daripada MIMOS, Kementerian Pendidikan telah melancarkan projek Jaringan Pendidikan ( Sulaiman, 1996 ). Dalam perlaksanaan projek ini, Kementerian Pendidikan telah 1. menyediakan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian kepada para pelajar dan golongan pendidik di sekolah dan maktab-maktab perguruan 2. melatih dan membimbing guru-guru dengan kemahiran menggunakan kemudahan yang disediakan 3. merancang, melaksana dan menyelia pelbagai aktiviti pendidikan berasaskan penggunaan rangkaian meluas ke arah mengembangkan minda dan pengetahuan di samping menggalakkan perlaksanaan pelbagai aktiviti kreatif dan inovatif berasaskan teknologi maklumat Segala kemudahan yang sedia ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Bidang teknologi maklumat yang menjadi sebahagian daripada kandungan sukatan kursus akan memberi peluang kepada guru pelatih untuk menambahkan pengetahuan dan meningkatkankemahiran dalam penggunaan komputer, khususnya untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula pada hari ini, terdapat berbagai program pendidikan yang dicipta dan dipasarkan, yang meliputi hampir semua peringkat. Penutup Penggunaan komputer dalam pendidikan adalah merupakan langkah awal ke arah mewujudkan masyarakat berteknologi selaras dengan hasrat Wawasan 2020. Institusi pendidikan sebagai wadah terpenting perlu mengalami perubahan terlebih awal berbanding dengan institusi-institusi lain ke arah mencapai matlamat tersebut. Potensi dan kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Untuk mancapai matlamat pendidikan di Malaysia, satu anjakan paradigma diperlukan dalam cara pemikiran dan penggunaan teknologi ( Wan Zahid, 1996 ). Usaha perlu dibuat dan penglibatan secara menyeluruh perlu dilakukan sehingga kita mampu mereka dan menghasilkan sesuatu mengikut acuan pemikiran kita sendiri, tanpa bersandar dan berharap kepada orang lain. Selagi kita bertaraf ‘pengguna’, selagi itulah kita tidak mampu merubah apa-apa.