You are on page 1of 15

Prinsip-prinsip pembelajaran dewasa yang boleh diaplikasikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Andragogi Androgogi secara umumnya dikenali sebagai pembelajaran dewasa. Perkataan andragogi diambil dari perkataan Yunani iaitu andra bermaksud orang dewasa manakala agogus bermaksud memimpin.Terdapat beberapa tokoh yang

menyatakan maksud andragogi ini antaranya adalah Knowles, Lindeman, Gesner dan lain-lain. Pernyataan Knowles(1979) mengenai andragogi adalah seperti berikut: Saya tidak mengatakan yang pedagogi adalah untuk kanak-kanak sahaja dan andragogi adalah untuk orang dewasa, memandangkan ada beberapa andaian pedagogi realistik untuk orang dewasa dan beberapa situasi dan beberapa andaian andragogi sesuai untuk kanak-kanak. Dan saya tidak mengatakan yang pedagogi itu buruk manakala andragogi adalah baik. Setiap satunya mempunyai andaian yang munasabah Manakala Mohd Azhar Abdul Aziz,et al (2004) mengatakan bahawa pembelajaran dewasa adalah proses pembelajaran yang disedari, sistematik, berterusan serta terancang bagi individu yang dicirikan sebagai dewasa bagi memperoleh ataupun memantapkan lagi nilai, kemahiran dan pengetahuan yang sudah ada. Berdasarkan kepada laman sesawang yang diambil, ia menakrifkan andragogi atau pembelajaran dewasa adalah proses pembelajaran berterusan dalam jangka masa panjang di mana melibatkan orang dewasa yang sudah matang daripada segi pemikiran. (http://www.pts.com.my/modules.php?name=News&file=article&sid=343) 1

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa andragogi merupakan pembelajaran seseorang yang ditakrifkan sebagai dewasa dan mempunyai cara pengajaran yang agak berbeza berbandingkan kanak-kanak. Ini kerana cara dan kaedah pemikiran orang dewasa berbeza di antara satu sama lain berdasarkan kepada pengalaman masingmasing, nilai hidup, taraf kehidupan dan sebagainya. Manakala kanak-kanak pula mempunyai fikiran yang kurang matang dan cara pemikiran berbeza berbanding orang dewasa. Kanak-kanak setelah matang dan melalui pelbagai pengalaman akan menjadi dewasa. Kedewasaan ini akan mempengaruhi mereka cara untuk menerima kaedah pembelajaran yang berbeza. Sebagai contohnya, ketika kita di alam kanak-kanak, kita tidak mengendahkan teguran-teguran guru dan hanya menganggap itu adalah perkara biasa. Setelah kita dewasa dan mempunyai pengalaman hidup, kita dapat mengetahui erti sebenar kehidupan. Bak kata pepatah, yang tua dihormati yang muda disayangi. Itulah sebuah ungkapan sesuai untuk kita sebagai pelajar dewasa yang harus dan sentiasa belajar untuk masa depan dan mencurahkan ilmu pengetahuan kepada warga muda pula.

Orang dewasa Menurut Knowles definisi orang dewasa adalah terdiri daripada beberapa aspek iaitu: i. Aspek biologi Individu itu dikatakan mencapai tahap dewasa apabila telah mencapai umur tertentu dan mampu melahirkan anak.

ii.

Aspek undang-undang Individu itu dianggap dewasa apabila mencapai syarat yang tertakluk dalam undang-undang dan membolehkan dia terlibat dalam mengundi, memiliki lesen memandu dan berkahwin.

iii.

Aspek sosial Individu itu dianggap dewasa apabila dia dapat memainkan peranan sebagai orang dewasa, bekerja sepenuh masa dan berumah tangga.

iv.

Aspek psikologi Individu itu dianggap dewasa apabila dia mencapai tahap kesempurnaan kendiri di mana dia mampu menguruskan hidupnya sendiri.

Knowles menyenaraikan beberapa kriteria pelajar dewasa: i. Orang dewasa adalah bebas dan bertindak ke arah kendiri Orang dewasa perlu bebas untuk bertindak. Fasilitator perlu melibatkan pelajar dalam proses pembelajaran dan bertindak sebagai fasilitator semasa sesi pengajaran. Contohnya, fasilitator perlu mendapatkan pandangan dan idea pelajar berkenaan dengan topik yang diajar. Sebagai pemudah cara, fasilitator membimbing pelajar berdasarkan pengetahuan yang dimiliki oleh pelajar itu sendiri. ii. Orang dewasa mempunyai pengalaman Orang dewasa berpengalaman dan berpengetahuan dalam hal-hal yang merangkumi aktiviti kerja, tanggungjawab dalam keluarga dan pendidikan masa lampau. Orang dewasa mengaitkan pembelajaran mereka dengan pengalaman yang dimiliki.

iii.

Orang dewasa mempunyai matlamat Sebelum menyertai kursus, orang dewasa tahu matlamat yang perlu dicapai. Fasilitator membantu pelajar mencapai matlamat mereka. Matlamat dan objektif kursus dibuat pada permulaan kursus.

iv.

Orang dewasa adalah berpusatkan objektif Orang dewasa tahu tujuan mereka belajar. Pembelajaran itu diaplikasikan dalam kerja dan memberi nilai kepada mereka. Oleh itu, penting bagi fasilitator mengenal pasti objektif pelajar sebelum kursus itu bermula.

v.

Orang dewasa adalah praktikal Orang dewasa berminat dengan pengetahuan dan kemahiran yang memberi kebaikan pada dirinya. Oleh itu, fasilitator perlu menyatakan dengan jelas bagaimana pembelajaran itu berguna dalam kerjaya dan kehidupan mereka.

vi.

Orang dewasa perlu dihormati Fasilitator perlu menghargai pengalaman yang dimiliki oleh pelajar. Pelajar perlu diberi peluang sama rata untuk menyalurkan pendapat berkaitan dengan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki. Mohd Azhar Abdul Hamid,et al (2004)

Dewasa merupakan suatu alam yang dialami oleh seseorang setelah mencapai umur tertentu dan layak untuk melakukan sesuatu menurut undang-undang. Apabila seseorang itu telah dewasa, ianya dikaitkan dengan sikap dan tabiat perwatakan orang dewasa sebagai seseorang yang telah matang dalam berfikir, mempunyai pengalaman hidup, tahu mengenai nilai kehidupan, mempunyai perasaan dan sifat yang berfokuskan kepada masa depan dan sebagainya. Oleh yang demikian,

metodologi Pengajaran dan Pembelajaran ( P &P) untuk golongan dewasa dianggap sedikit berbeza berbanding kanak-kanak. Kaedah pendekatan P&P juga berbeza 4

memandangkan seseorang yang digelar dewasa menganggap mereka mempunyai perasaan kematangan fikiran, emosi dan jasmani, oleh itu prinsip-prinsip pembelajaran dewasa dapat digunakan sebagai salah satu kaedah P&P. Prinsip-prinsip pembelajaran dewasa Terdapat beberapa andaian mengenai prinsip-prinsip pembelajaran dewasa iaitu; konsep kendiri, peranan pengalaman, persiapan belajar, orientasi belajar, perasaan ingin tahu dan motivasi. a) Konsep kendiri Andaian mengenai kesungguhan dan kematangan diri seseorang daripada bergantung sepenuhnya kepada pengembangan diri sehingga mampu untuk mengarahkan diri sendiri dan kemandirian. Berdikari merupakan salah satu kata kunci paling mudah untuk diandaikan sebagai konsep kendiri. Berdikari sekiranya dihuraikan menjadi berdiri di atas kaki sendiri. Berkebolehan dan berkemampuan untuk berfikir secara matang secara sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain. b) Peranan pengalaman Andaiannya adalah seseorang itu mengharungi liku-liku kehidupan sesuai dengan perjalanan waktunya. Ianya akan menjadikan seseorang itu kaya dengan pengalaman baru. Dalam meniti usia, seseorang melalui pelbagai pengalaman sama ada manis atau pahit. Pengalaman yang diambil sepanjang kedewasaan menjadikan seseorang itu berubah sama ada sikap dan perwatakan. Pengalaman yang diperolehi menjadi satu bimbingan dalam mengharungi usia dewasa.

c) Persiapan belajar Setiap individu akan menjadi semakin matang dengan peredaran masa yang lebih banyak ditentukan oleh tuntutan perkembangan dan perubahan tugas dan peranan sosialnya. Persiapan pembelajaran memerlukan seseorang dewasa berkorban sama ada dari segi kos, masa dan sebagainya. Seiring dengan perkembangan dan perubahan tugas memerlukan orang dewasa menjadi pelajar semula. d) Orientasi belajar Orang dewasa mempunyai kecenderungan belajar yang berpusatkan kepada pemecahan masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian, terutamanya yang berkaitan dengan fungsi dan peranan sosial orang dewasa. Orang dewasa membahagikan masalah kepada bahagian kepada bahagian. Sebagai contohnya, bahagian belajar, bahagian keluarga, bahagian

masyarakat dan sebagainya. Ini adalah kerana orang dewasa mempunyai pelbagai peranan dalam kehidupan sosial masing-masing. Sebagai

contohnya, orang dewasa sebagai pelajar, mereka sebagai kakak atau abang di dalam sesebuah keluarga dan mereka juga sebagai ahli masyarakat. Ini menjadikan komitmen mereka yang tinggi mengakibatkan mereka mengalami pemusatan pemecahan masalah. e) Keperluan mengetahui Orang dewasa kebanyakkannya gemar mengaitkan pengajaran dengan kehidupan mereka. Mereka amat mementingkan kenapa sesuatu itu perlu belajar ataupun tidak. Kehidupan mereka yang berkisar dalam sesebuah masyarakat dan komuniti menjadikan pengajaran sebagai satu intipati dalam memenuhi perasaaan ingin tahu mereka.

f) Motivasi Motivasi secara dalaman dan luaran turut mempengaruhi orang dewasa dalam pembelajaran. Sebagai contohnya, orang dewasa termotivasi secara dalaman apabila mereka melihat pembelajaran sebagai sesuatu pembelajaran sepanjang hayat. Ianya datang dalam diri mereka sendiri. Secara luaran pula, orang dewasa melihat kepentingan pengajaran dan pembelajaran yang bakal mereka perolehi selaras dengan keperluan pekerjaan yang diingini.

Pedagogi Alam kanak-kanak Prinsip andragogi: 1. Kendiri 2. Pengalaman 3. Persediaan belajar 4. Orientasi belajar 5. Keperluan mengetahui 6. Motivasi

Proses pengajaran dan pembelajaran Orang dewasa (andragogi)

Kepuasan hidup

Rajah 1: Model Pengajaran dan Pembelajaran berdasarkan prinsip andragogi Pendekatan pembelajaran Pendekatan pembelajaran boleh digunakan melalui langkah-langkah berikut: Memasukkan kemahiran berfikir aras tinggi seperti penyelesaian masalah dalam objektif sesuatu kursus.

Aktiviti pengajaran berfokuskan kefahaman mendalam tidak hanya pengulangan dan memberi/mencari maklumat fakta.

Tingkatkan pengajaran bercorak kumpulan dan kurangkan bahan yang bercorak penyampaian maklumat.

Berikan lebih masa untuk membantu pelajar memahami prinsip asas dan galakkan pelajar membuat refleksi kendiri secara kritikal.

Bahan dan cara penilaian memerlukan bukan sahaja hafalan dan ingatan tetapi juga memerlukan kefahaman mendalam. (http://www.umplib.ump.edu.my/images/asdc/MODUL%203%203A.doc )

Pendekatan-pendekatan ini amat sesuai digunakan dalam P&P pelajar dewasa. Ini adalah kerana pelajar dewasa inginkan pengajar melayan mereka seperti orang dewasa. Ianya berlainan dengan kanak-kanak yang tidak matang pemikirannya. Orang dewasa memerlukan pengajar yang cukup yakin dalam menyampaikan ilmu, kesanggupan untuk berkongsi ilmu, pengetahuan dalam memahami tingkah laku atau mesej diri yang ingin disampaikan oleh pelajar dewasa. Pengajar tidak harus mementingkan diri sendiri sahaja kerana pelajar dewasa juga mempunyai nilai diri yang amat mereka hargai. Air muka dan maruah pelajar dewasa haruslah diambil berat, ini kerana ianya lambang kehormatan seseorang. Oleh itu dalam P&P, pengajar haruslah memahami keadaan kelas tersebut seperti bangsa, agama, dan sebagainya. Perkara sensitiviti juga haruslah dijaga agar perhubungan komunikasi antara pengajar dan pelajar dewasa dapat dijalankan dalam keadaan harmoni.

Aplikasi

prinsip

pembelajaran

dewasa

dalam

aktiviti

pengajaran

dan

pembelajaran Prinsip pembelajaran dewasa mempunyai beberapa ciri iaitu kaedah kendiri, pengalaman, persediaan belajar, orientasi belajar, keperluan mengetahui dan motivasi. Apabila kita menghadapi golongan dewasa, cara P&P kita juga berbeza mengikut situasi yang berbeza. Kebanyakkan golongan dewasa menginginkan aktiviti P&P yang mudah untuk mereka aplikasikan dalam kehidupan. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan dalam P&P mengikut prinsip-prinsip pembelajaran dewasa. Kaedah kendiri yang diaplikasikan di dalam pembelajaran secara atas talian (online) sememangnya senang dan mudah. Arahan hanya diberikan pada satu lembaran dan pelajar dewasa akan mengaplikasikannya di dalam kelas. Sebagai contohnya, pelajar dewasa yang menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi seperti sarjana ataupun Phd, pensyarah banyak memberikan arahan berbentuk kendiri. Pelajar dewasa akan menggunakan arahan tersebut dan mencari penyelesaiaannya secara sendiri. Kemudian barulah mereka berkumpul dan berbincang mengenai masalah tersebut. Pelajar dewasa gemar menggunakan kaedah kendiri kerana mereka mempunyai objektif dalam menyelesaikan sesebuah masalah secara kritis dan cuba memenuhi keperluan yang ada. Perbincangan secara berkumpulan meningkatkan lagi pembelajaran kaedah kendiri. Ini adalah kerana pelajar dewasa gemar berkongsi masalah bersama. Sebagai contohnya, kumpulan dewasa lebih gemar berkumpul sesama mereka yang dianggap mempunyai hobi yang sama, kegemaran yang sama dan sebagainya. Ini memudahkan kumpulan perbincangan tersebut. Pelajar dewasa kurang gemar pada

kaedah yang terkawal. Ini seolah-olah mengongkong pemikiran mereka dan menghadkan keupayaan mereka. Pengalaman pelajar dewasa ini sememangnya diakui banyak. Bak kata-kata pepetah, orang tua makan garam terlebih dahulu. Pelajar dewasa mempunyai pelbagai pengalaman. Pengalaman inilah yang akan memudahkan mereka dalam menjalani P& P. Dalam P & P, pengalaman pelajar dewasa ini boleh digunakan sebagai contoh dan kebiasaanya pelajar dewasa akan berkongsi pengalaman yang mereka pernah lalui. Sebagai contohnya, pelajar dewasa yang menyambung sarjana atau peringkat yang lebih tinggi, kebanyakkan daripada mereka telah mempunyai pengalaman bekerja dalam pelbagai bidang. Ilmu atau pengetahuan sedia ada yang dimiliki oleh pelajar dewasa amatlah wajar untuk dikongsi bersama-sama dan ini secara tidak langsung menjadikan P&P lebih menarik. Teknik ini memudahkan pensyarah atau pengajar memahami pelajar berdasarkan pengalaman yang telah mereka miliki. Ini kerana apabila pelajar dewasa berkongsi pengalaman yang mereka ada, secara tidak langsung ianya melatih pelajar dewasa merefleksi pengalaman mereka. Pengaliran ilmu atau pengetahuan akan lebih meningkat sekiranya perkara tersebut dibincang secara lebih santai. Kesediaan untuk belajar bagi pelajar dewasa menuntut suatu pengorbanan. Ini kerana pelajar dewasa ini mempunyai komitmen lain dalam kehidupan mereka seperti komitmen sebagai ahli dalam keluarga, kegiatan kemasyarakatan dan sebagainya. Sekiranya P&P tersebut dalam keadaan yang membosankan seperti suasana yang tidak kondusif, keterpaksaan melakukan tugasan dan sebagainya akan membuatkan pelajar dewasa merasa ianya suatu kerugian. 10

Kebanyakkan pelajar dewasa akan menyambung pelajaran atas sebab-sebab tertentu seperti untuk kenaikan pangkat, ingin mencontohi saudara atau kawan yang lebih berjaya, dan lain-lain. Ini secara tidak langsung, pelajar dewasa akan menyambung pelajaran dan terpaksa berkorban dari segi masa, kos dan sebagainya. Mereka menyambung pelajaran akan belajar bersungguh-sungguh kerana ilmu dan pengetahuan yang mereka perolehi dapat digunakan dalam bidangbidang yang mereka ceburi. Pembelajaran yang menarik akan memudahkan lagi kepada pelajar dewasa untuk memahami pelajaran tersebut. Orientasi pembelajaran yang dimiliki oleh pelajar dewasa memerlukan pengajar untuk mengaitkan P&P tersebut dengan isu-isu terkini. Para pengajar hendaklah sentiasa mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai subjek yang mereka ajar. Pelajar dewasa gemar mengaitkan pembelajaran yang mereka perolehi dengan kehidupan sebenar. Ini adalah kerana pelajar dewasa lebih realistik pemikirannya. Perbincangan berkumpulan, mencari bahan-bahan pengajaran yang terkini, sentiasa memahami isu-isu terkini dan sebagainya menjadikan pengajar tersebut lebih dihormati oleh pelajar dewasa. Di samping itu, dalam P&P pengajar haruslah memberi peluang kepada pelajar dewasa untuk berkongsi mengenai maklumat atau sesuatu isu. Ini kerana pelajar dewasa yang mencurahkan idea dapat menggalakkan mereka untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi. Sumbangsaran yang dilakukan bersamasama pelajar dewasa dan pengajar akan membuahkan pengetahuan yang lebih mendalam. Perkongsian ilmu sememangnya digalakkan sama ada di peringkat dewasa mahupun kanak-kanak. Ini kerana melalui perkongsian ilmu ini, kita dapat mengetahui pemikiran minda seseorang.

11

Motivasi merupakan suatu yang amat penting dalam pembelajaran dewasa. Motivasi sama ada secara dalaman ataupun luaran akan mempengaruhi pelajar dewasa. Sebagai pengajar untuk pelajar dewasa, pengajar seharusnya bijak untuk mengetahui tahap motivasi seseorang. Pelajar dewasa dengan motivasi dalaman dan luaran yang tinggi akan meningkatkan lagi tahap profesionalism mereka tanpa memikirkan penat lelah yang mereka hadapi. Ini sesuai dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Pengajar haruslah menghormati keputusan yang dibuat oleh pelajar dewasa. Ini kerana sekiranya motivasi seseorang pelajar dewasa mungkin berubah seandainya sesuatu perkara terjadi seperti kemalangan dalam ahli keluarga mereka, masalah kekeluargaan dan sebagainya. Keluarga membawa pengaruh dan motivasi yang tinggi terhadap pembelajaran pelajar dewasa. Pelajar dewasa mempunyai maruah yang tinggi. Pengajar sepatutnya mengetahui mengenai perkara tersebut. Oleh itu pengajar tidak boleh sewenang-wenangnya menjatuhkan maruah seseorang pelajar dewasa. Ini akan mempengaruhi motivasi mereka terhadap P&P tersebut. Sekiranya pelajar dewasa telah hilang hormat terhadap pengajar, ini akan menyukarkan proses P&P tersebut. Oleh itu sikap hormat menghormati seharusnya ditanam dalam setiap diri seseorang agar perhubungan komunikasi dapat berjalan dengan lancar. Memotivasikan pelajar dewasa sama ada secara dalaman ataupun luaran memerlukan pengajar yang sentiasa dalam keadaan ingin membantu pelajar dewasa terbabit tanpa mempunyai niat tertentu ataupun mempunyai kepentingan peribadi.

12

Kesimpulan Andragogi merupakan pembelajaran dewasa yang teorinya dilakukan oleh Knowles. Terdapat beberapa prinsip pembelajaran dewasa iaitu pembelajaran kendiri, pengalaman, persediaan belajar, orientasi belajar, keperluan mengetahui dan motivasi. Orang dewasa pula ditakrifkan sebagai mereka yang memenuhi keperluan biologi, undang-undang, sosial dan psikologi. Pelajar dewasa ini kebanyakkan belajar untuk memenuhi keperluan mereka. Sebagai contohnya suri rumah, mereka mengambil kelas-kelas menyulam, pekerja profesianal menyambung pelajaran untuk meningkatkan tahap profesionalism mereka. Sebagai pengajar yang sentiasa berhubung dengan pelajar dewasa, mereka seharusnya mengetahui perkara-perkara asas mengenai orang dewasa. Mereka haruslah memahami kehendak dan keinginan orang dewasa. Sekiranya kehendak dan keperluan orang dewasa dipenuhi, mereka akan merasakan kepuasan hidup mereka. Aplikasi pengajaran dan pembelajaran terhadap pelajar dewasa lebih kurang sama dengan P&P kanak-kanak.Cuma pelajar dewasa diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka, meluahkan ketidakpuasan hati mereka dan sebagainya. Pelajar dewasa ini tidak gemar perkara yang remeh temeh kerana mereka kebiasaannya mempunyai pemikiran yang lebih logikal dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Mereka juga tidak suka dipaksa dan terpaksa dalam melakukan sesuatu tugasan, mereka lebih gemar keadaan pembelajaran yang lebih santai. Sebagai contohnya, pembelajaran secara atas talian (online) akan

memudahkan pelajar dewasa, menjimatkan masa dan kos mereka. Secara tidak langsung, pelajar dewasa akan meningkatkan tahap pembelajaran kaedah kendiri, 13

belajar menggunakan pengalaman sedia ada, bersedia terhadap pembelajaran, berorientasi terhadap pembelajaran, mengetahui pelajaran tersebut dan bermotivasi terhadap P&P yang dijalankan. Situasi menang-menang haruslah digunapakai oleh seseorang pengajar dalam menjalankan proses P&P bersama pelajar dewasa. Mereka tidak suka diperkecil-kecilkan kerana mereka mempunyai tahap maruah dan harga diri yang tinggi. Sikap hormat menghormati di antara pengajar dan pelajar dewasa harus wujud untuk memudahkan komunikasi berjalan secara lancar.

14

Rujukan: Choy, S. (2005).Youth Learners and Adult Learning Principles, Engaging Youth Learners Quest, Issue 2, p. 26-28, Adult Learning Australia Inc. Hamdan Abd. Kadir, Dr Hanipah Hussin & Mohamad Saprin (2004) Teknik Mengajar Dewasa Panduan untuk Jurulatih,PTS Publication & Distributors Sdn Bhd, Bentong, Pahang. Modul 3: Pengajaran Dan Pembelajaran Modul 3A Pembelajaran Di Institusi Pendidikan Tinggi http://www.umplib.ump.edu.my/images/asdc/MODUL%203%203A.doc (13 Mei 2010) 9 Prinsip Pendidikan Orang Dewasa http://akhmadsudrajat.wordpress.com/2009/02/15/9-prinsip-pendidikan-orangdewasa/(13 Mei 2010) Model Pembelajaran Orang Dewasa http://www.nurulilmi.com/maudhui/tsaqofah/16tsaqofah/515-model-pembelajaran-orang-dewasa.html(13 Mei 2010)

Andragogi (M. Knowles) http://www.teachersrock.net/T_andragogi.htm(13 Mei 2010) Andragogihttp://www.pts.com.my/modules.php?name=News&file=article&sid=343(13 Mei 2010) Mohd Azhar Abdul Hamid, et al,(2004) Andragogi Mengajar Orang Dewasa, PTS Publication & Distributors Sdn Bhd, Bentong, Pahang.

15

You might also like