Guru sandaran punca kemerosotan pelajar luar bandar?

ISU guru sandaran tidak terlatih (GSTT) masih merupakan duri dalam daging kerana didakwa menjadi punca kemerosotan pencapaian pelajar luar bandar dalam mata pelajaran bahasa Inggris. Kajian yang dibuat di kawasan Felda Pahang dan Negeri Sembilan merumuskan khidmat GSTT masih diperlukan dengan meluas di luar bandar. Kajian itu mendapati bilangan guru yang mahir mengajar bahasa Inggeris sangat berkurangan. Selain itu, terdapat guru bukan opsyen yang mengajar bahasa Inggeris. Guru opsyen tidak dapat bertahan lama dan biasanya akan dipindahkan ke bandar atas faktor kemanusiaan, kata kajian itu. Kertas kerja pertama, bertajuk Prestasi bahasa Inggeris Luar Bandar: Implikasi Pengurusan, Pengajaran dan Pembelajaran mendapati, sikap pelajar yang tidak proaktif, kurang motivasi dan kurang berdisiplin adalah antara punca lain kepada masalah ini. Pembentangnya, Amran Mustafa dari Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ), berkata: ''Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) lebih bersungguh-sungguh dalam usaha untuk mendalami bahasa Inggeris.'' Komitmen itu terbukti apabila SMA menunjukkan pencapaian 60 hingga 70 peratus bagi matapelajaran Bahasa Inggeris berbanding sekolah Menengah Kebangsaan sebanyak 40 hingga 50 peratus. Kertas kerja itu dibentangkan pada Seminar Siri Wacana Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) 2000 bertempat di Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi. Seminar itu membentangkan hasil kajian ke atas prestasi pencapaian Bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar yang dijalankan oleh ATMA dan LKWJ, Pahang. Amran menambah, kemerosotan itu juga ada kaitannya dengan kurang kemudahan asas serta suasana persekitaran. ''Masyarakat dan ibu bapa juga kurang memberi galakan kepada anak-anak mereka. ''Masyarakat luar bandar biasanya terdiri daripada golongan petani dan mereka sibuk dengan urusan ladang terutama sekali ketika proses tanam semula,'' jelasnya. Sementara itu, pembentang kedua, Abdul Malik Kahar, wakil ATMA dalam kertas kerjanya meletakkan masalah kurang prasarana sebagai punca utama timbul masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar. Beliau juga memberitahu bahawa teknik pengajaran guru yang kurang tepat menyebabkan proses pembelajaran murid kurang diberikan perhatian. ''Guru bersedia dari segi bahan pengajaran, tetapi kurang bersedia dari segi kaedah sehingga tidak berupaya merangsang minat murid untuk belajar,'' ujarnya. Hasil kajian beliau juga mendapati bahawa pelajar luar bandar tidak berminat menguasai bahasa asing, tidak berfokus terhadap masa hadapan dan lemah perbendaharaan kata serta asas struktur ayat. ''Satu kajian menyeluruh perlu diadakan dari peringkat sekolah rendah hingga menengah di kawasan FELDA bagi mengangkat penggunaan dan penguasaan Bahasa Inggeris,'' ujarnya.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful