You are on page 1of 9

JEMAAH MENTERI

PENDAHULUAN
Sistem pentadbiran di Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa sistem pemerintahan dan pentadbiran yang sedia ada di Malaysia semasa kerajaan Melayu tradisi juga merupakan asas penting kepada apa yang wujud kini. Kewujudan sistem kabinet kementerian, badan-badan berkanun dan suruhanjaya-suruhanjaya telah melicinkan lagi sistem pentadbiran negara ini sehingga Malaysia dikenali di negara luar sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Kabinet Malaysia atau Jemaah Menteri ialah sebuah badan eksekutif kerajaan Malaysia. Kabinet diketuai oleh Perdana Menteri dan merupakan sebuah majlis menteri-menteri yang bertanggungjawab kepada Parlimen. Seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, anggota Kabinet hanya boleh dipilih daripada mana-mana Majlis Parlimen iaitu Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara. Kebiasaannya, Yang di-Pertuan Agong melantik semua menteri atas nasihat Perdana Menteri1. Namun begitu, seorang Perdana Menteri hendaklah dilantik terlebih dahulu dari Dewan Rakyat2. Jemaah menteri merupakan badan tertinggi di dalam negara untuk menbentuk dasar-dasar kerajaan. Sehingga pilihanraya 2008, seramai 222 orang telah layak bertanding dan daripada jumlah tersebut hanya anggaran 10% daripadanya telah dilantik menjadi jemaah menteri. Manakala antara seramai 70 orang dari Dewan Negara hanya 3 orang yang dilantik oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak untuk menjadi jemaah menteri antaranya ialah Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Senator Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

LATAR BELAKANG SEJARAH JEMAAH MENTERI


Dari segi sejarah, jemaah menteri atau kabinet telah dimulakan sebelum negara kita merdeka, iaitu pada tahun 1951 melalui pengenalan Sistem Ahli. Melalui Sistem Ahli, seorang ahli akan dilantik dimana jawatannya sama seperti tugas seorang menteri. Melalui sistem ini juga, beberapa buah jabatan kerajaan akan diletak di bawah kawalan seorang ahli. Memandangkan pada waktu itu Tanah Melayu berada di bawah penjajahan British, menyebabkan seorang ahli yang dilantik bertanggungjawab secara langsung kepada Pesuruhjaya Tinggi British. Sistem Ahli ini berakhir apabila pilihan raya umum pertama diadakan pada bulan Ogos 1995. Selepas Pilihan Raya Umum 1995, sebuah kerajaan baru dibentuk dimana Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Kerajaan Parti Perikatan telah melantik Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Ketua Menteri, dan seiring dengan itu lahir pula sebuah kabinet moden pramerdeka.

1 2

Perlembagaan Persekutuan Malaysia. "Perkara 43. Jemaah Menteri." Hj. Mohd Jali, Nazaruddin, Redzuan, Ma'arof, Abu Samah, Asnarulkhadi & Hj. Mohd Rashid, Ismail (2003). Malaysian Studies: Nationhood and Citizenship (Kajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan), m.s. 73. Pearson Malaysia.

Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri yang pertama. Beliau mengetuai kabinet pertama yang dibentuk selepas Tanah melayu mencapai kemerdekaan. Jemaah Menteri yang ulung kalinya telah mengadakan mesyuarat yang pertama di Majlis Undangan Persekutuan Kuala Lumpur pada 10 September 1957. Dalam mesyuarat tersebut, buat kali pertama pemimpin-pemimpin tempatan telah mengambil alih tempat pegawai-pegawai Inggeris. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. Dalam kabinet ini, menteri-menteri terdiri daripada pemimpin-pemimpin Perikatan UMNO-MIC-MCA yang menang dalam Pilihan Raya Umum 1955. Sistem kabinet ini berlanjutan sehingga ke hari ini. Kabinet seringkali bermesyuarat secara mingguan, setiap Rabu.

SISTEM JEMAAH MENTERI


Sistem Jemaah Menteri merupakan suatu bentuk kerajaan dan sistem pemerintahan yang diamalkan pada masa kini oleh kebanyakan negara. Ia sebenarnya diasaskan oleh Britain. Kerajaan berkabinet ialah kerajaan yang ditadbir oleh segolongan manusia yang mendapat undi majoriti dalam pilihan raya dan menguasai sejumlah besar kerusi di Parlimen atau Dewan Perundangan. Dalam hal ini, apabila sesebuah parti politik berjaya dalam satu-satu pilihanraya maka ia layak untuk memerintah negara kerana rakyat telah memberikan mereka mandat untuk memerintah. Ketua parti yang berkenaan akan dipanggil oleh Ketua Negara dan diperkenankannya sebagai Ketua Menteri atau Perdana Menteri. Sesebuah kabinet akan dibubarkan sekiranya ia kurang mendapat sokongan dan ahli-ahlinya meletak jawatan. Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan ahli-ahli jemaah menteri dilantik oleh YDPA untuk menasihati baginda dalam menjalankan tugasnya. Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan YDPA dikehendaki melantik seorang Perdana Menteri yang menang dalam pilihan raya umum dan biasanya menjadi ketua parti pemerintah setelah Berjaya mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk mengetuai kabinet. Di Malaysia, jemaah menteri merupakan badan tertinggi yang menjalankan kuasa eksekutif. Jemaah menteri ini akan mengandungi seorang Perdana Menteri dan beberapa orang menteri yang bertanggungjawab ke atas kementerian masing-masing. Seorang Perdana Menteri secara tidak langsung berperanan sebagai Ketua Jemaah Menteri. Keadaan ini juga bermakna beliau mempunyai kuasa untuk mencalonkan sesiapa sahaja kepada YDPA untuk menyertai kabinetnya. Biasanya, seseorang yang dilantik menganggotai jemaah menteri merupakan penyokong kerajaan pemerintah. Dalam konteks Demokrasi Berparlimen, ahli-ahli jemaah menteri bertanggungjawab diatas segala keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri. Keadaan ini membawa maksud walaupun seorang menteri itu tidak bersetuju dengan keputusan jemaah, beliau tetap dikehendaki bersetuju dengan keputusan-keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri. Dalam perjalanan sistem jemaah menteri , peranan menteri-menteri adalah penting memandangkan seorang menteri merupakan pembawa usul atau rang undang-undang kerajaan. Dalam hal ini, seorang menteri itu merujuk

kepada jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat sebelum rang undang-undang itu diusulkan di Parlimen. Untuk membantu menteri melaksanakan tugasnya, Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 43(a) memperuntukkan kuasa untuk YDPA melantik menteri-menteri yang lain atas nasihat Perdana Menteri. Menteri-menteri yang dilantik boleh diambil daripada kedua-dua Majlis Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Seorang timbalan menteri juga dilantik untuk membantu menteri. Bagi melaksanakan tugas-tugas jemaah menteri, seorang setiausaha parlimen telah dilantik oleh Perdana Menteri sendiri mengikut Perkara 43(b) 1 Perlembagaan Persekutuan.Tugas seorang setiausaha parlimen adalah untuk membantu menteri dan timbalan menteri dan semasa menjalankan tugas ini, mereka mempunyai kuasa yang penuh sebagai seorang menteri dan timbalan menteri. Bagi membantu Perdana Menteri menjalankan tugas-tugasnya, Perlembagaan Persekutuan menurut Perkara 43(c) membenarkan Perdana Menteri melantik seorang setiausaha politik. Setiausaha politik tidak semestinya daripada kalangan ahli mana-mana Majlis Parlimen. Seorang Perdana Menteri bertindak sebagai pengerusi dalam mesyuarat jemaah menteri yang diadakan seminggu sekali, iaitu setiap hari rabu3. Selain itu, seorang Perdana Menteri juga berperanan sebagai Ketua Pentadbir (kerajaan) utama negara. Contohnya, dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan biasanya dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri juga berperanan memperkenalkan dan menjalankan sesuatu dasar yang biasanya adalah untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan awam, mengubah sikap pegawai perkhidmatan awam dan merapatkan hubungan sektor awam dengan swasta. Seorang Perdana Menteri juga merupakan ketua kepada sebuah parti politik yang majoriti dalam pilihan raya. Selain itu, seorang Perdana Menteri juga berperanan sebagai pegawai diplomat negara. Ini dilakukan melalui hubungan persahabatan dan hubungan dengan negara-negara luar. Hubungan dengan negara-negara luar pada masa ini banyak dilakukan oleh Tun Seri Dr Mahathir Mohamad, manakala Perdana Menteri yang sebelumnya lebih menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan politik negara.

BEBERAPA CONTOH DASAR YANG DIRANCANG OLEH JEMAAH MENTERI


Dasar bermakna asas, resam, tunjang atau teras kekukuhan perkara atau objek. Dalam konteks politik dan pentadbiran negara, dasar bermakna ketetapan atau keputusan yang diajukan oleh penggubal dasar dengan bertujuan untuk mendisiplinkan rakyat, memperbaiki perkhidmatan dan kebajikan untuk rakyat, menyelesaikan masalah yang melanda rakyat dan membuat inovasi atau pembaharuan. Dasar biasanya dirancang, dibentuk dan ditentukan oleh jemaah menteri untuk dilaksanakan oleh agensi-agensi pelaksana yang berada dibawahnya. Secara umumnya, terdapat dua jenis dasar yang dirangka oleh jemaah menteri iaitu :

Funston, John (2001). "Malaysia: Developmental State Challenged". In John Funston (Ed.), Government and Politics in Southeast Asia, pp. 173175. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.

a) Dasar yang tetap, statik dan dirancang dengan teliti Contoh-contoh dasar yang tetap, statik dan dirancang dengan teliti adalah : 1- Dasar Bersih, Cekap dan Amanah Pada pertengahan April 1982, Tun Seri Dr. Mahathir Mohamad4 telah melancarkan kempen Bersih, Cekap dan Amanah sebagai satu dasar bagi dijadikan amalan kepada semua golongan di negara ini. Dasar ini dilancarkan berasaskan hakikat bahawa pembangunan dan kejayaan sesebuah negara bergantung kepada nilai-nilai hidup dan etika kerja yang positif di kalangan pekerja-pekerjanya. Oleh itu, nilai-nilai ini harus ditanamkan di jiwa semua pekerja dan rakyat. Objektif utama dasar ini adalah mewujudkan satu etika kerja dan sikap berkhidmat yang baru bagi rakyat Malaysia dengan memberi keutamaan kepada peningkatan produktiviti dan mutu.

2- Dasar Penswastaan Sebagai seorang yang mempunyai visi, Tun Seri Dr. Mahathir Mohamad percaya bahawa dengan sumber-sumbernya yang kaya Malaysia boleh dijadikan sebuah ekonomi yang moden dan setanding dengan negara-negara lain. Ke arah itu beliau telah melancarkan konsep Persyarikatan Malaysia dan penswastaan yang merupakan ciri-ciri perlaksanaan Dasar Pandang ke Timur. Melalui konsep ini, syarikat swasta digalak mengembangkan perusahaan masing-masing bagi membawa keuntungan yang besar kepada negara dan faedah-faedahnya tersebar kepada rakyat.

3- Dasar Pandang ke Timur Dasar ini telah diumumkan oleh Tun Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982 ketika Persidangan Tahunan Kelima MAJECA/JAMECA diKuala Lumpur. Dasar ini bermakna pihak Kerajaan akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara-negara di Timur seperti Jepun dan Korea dan mengubahsuaikannya dengan keadaan di Malaysia. Jepun dan Korea adalah merupakan dua buah negara yang begitu berjaya membangun dengan pesatnya, malahan di beberapa bidang, mereka adalah lebih maju dari beberapa negara barat sendiri. Objektif utama Dasar Pandang ke Timur ini ialah untuk meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan golongan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang positif untuk mempertingkatkan kemajuan negara. Dasar ini tidak bermakna bahawa Malaysia mengurangkan hubungan perdagangannya dengan rakan-rakan yang sedia ada ataupun memberi keutamaan kepada import barangbarang dan perkhidmatan dari Jepun dan Korea. Kerajaan akan terus mengamalkan dasar perdagangan terbuka dengan semua negara kecuali Israel.

Perdana menteri Malaysia yang ke 4

4- Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran yang dicetuskan oleh Tun Seri Dr. Mahathir Mohamad bertujuan membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti kukuh dan disegani oleh masyarakat lain. Dasar ini bermatlamat menubuhkan sebuah 'negara bahagia' dan menghapuskan sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan serta menghasilkan perkhidmatan yang bermutu. Bertolak dari dasar ini juga lahirnya usaha-usaha lain termasuklah penubuhan Universiti Islam Antarabangsa, penubuhan institusi kewangan bercorak Islam seperti Bank Islam dan Syarikat Takaful iaitu syarikat insurans yang bercorak Islam. Begitu juga Undang-undang Keluarga Islam telah mula dijalankan di beberapa buah negeri di Malaysia. Ini merupakan langkahlangkah besar yang memberi kesan ke atas masyarakat Islam di Malaysia, malah menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain dalam menghadapi tuntutan-tuntutan hidup zaman moden. b) Dasar yang berubah berdasarkan faktor semasa Antara salah satu contoh isu dasar yang berubah berdasarkan faktor semasa ialah isu kenaikan harga minyak. Kenaikan harga minyak ini mendatangkan kesan kepada rakyat iaitu rakyat terpaksa menanggung kenaikan caj perkhidmatan, kos sara hidup yang tinggi dan harga barang keperluan yang melonjak naik. Seterusnya, mendatangkan kesan negatif kepada perkembangan sosial masyarakat akibat tekanan hidup. Walau bagaimanapun, kerajaan akan terus menyediakan subsidi minyak tetapi akan menentukan tahap subsidi yang mampu ditanggung olehnya. Subsidi minyak adalah wang yang dibayar kerajaan kepada pengeluar minyak dan merupakan bantuan untuk meringankan beban rakyat. Kerajaan sedang merangka kaedah yang lebih baik bagi memastikan bahan petrol seperti diesel dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak termasuk nelayan, pengusaha kenderaan awam seperti bas dan teksi serta pengusaha pengangkutan sungai di Sabah dan Sarawak. Ini bermakna kerajaan akan terus menyediakan subsidi dan kenaikan harga minyak secara sederhana tidak akan memberi kesan mengejut kepada rakyat dan memberikan ruang untuk rakyat membuat penyesuaian sewajarnya dalam perbelanjaan mereka.

PRINSIP TANGGUNGJAWAB BERSAMA


Semua ahli jemaah menteri mempunyai tanggungjawab bersama secara kolektif. Anggota-anggota jemaah menteri perlu tahu dan patuh kepada prinsip tanggungjawab bersama collective responsibility. Prinsip tanggungjawab bersama yang dijunjung oleh ahli-ahli jemaah menteri ini bertindak sebulat suara walaupun ada di kalangan ahlinya yang tidak bersetuju dengan sesuatu perkara. Seperkara lagi, semua perbincangan dalam kabinet adalah rahsia.

Prinsip ini menuntut ahli-ahli jemaah menteri untuk bersatu di hadapan rakyat. Ini kerana anggota jemaah menteri tidak boleh menunjukkan perbezaan pendapat di khalayak ramai. Begitu juga tidak timbul soal kebebasan mengeluarkan pendapat kerana ini tidak terpakai dalam kes kabinet di mana undang-undang menetapkan semua anggota kabinet sekata dan siapa yang tidak mahu terikat keluar atau dipecat. Mereka mesti bersuara dengan nada yang satu. Bukannya mewujudkan blok yang berbeza, membentuk pembahagian yang jelas. Apabila pertentangan pendapat berlaku dan terzahir kepada awam, secara politiknya, ia memalukan pihak kerajaan dan mengelirukan rakyat.

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN SISTEM JEMAAH MENTERI


Sebagaimana yang diketahui, kerajaan yang memerintah akan memikul amanah rakyat melalui pilihan raya. Rakyatlah yang menentukan pembentukan-pembentukan kabinet dan pucuk pimpinan. Justeru itu, ada kalanya sistem jemaah menteri mempunyai kebaikan dan keburukan yang tidak dapat dielakkan antaranya : 1- Keburukan Sistem Jemaah Menteri Semasa pilihan raya, kesempatan ini disalah gunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk memancing undi dengan mengamalkan rasuah. Ada di antara mereka hanya menunjukkan muka apabila pilihan raya diadakan di kawasan yang mereka bertanding. Ada juga hanya mengadakan umpan pada pengundi agar mereka mendapat kerusi di pilihan raya. Serta ada antara janji yang dikeluarkan semasa memancing undi rakyat tidak dilaksanakan. 2- Kebaikan Sistem Jemaah Menteri Dari segi kebaikan, rakyat diberi peluang untuk memilih pemerintah. Ini bermakna, suara rakyat diambil kira bukan sahaja semasa memilih wakil-wakil mereka, malahan suara mereka juga diambil kira untuk dibentangkan di Parlimen. Selain itu, sistem kabinet telah mencapai kejayaan walaupun tidak semua negara mengamalkannya. Ini kerana kejayaan sesuatu sistem pemerintahan kabinet adalah terletak kepada kesedaran rakyat sesebuah negara dan kepercayaan mereka terhadap sistem yang diamalkan. Kerajaan juga berusaha sedaya upaya menjaga kepentingan rakyat berdasarkan janji dalam pilihan raya.

SENARAI JEMAAH MENTERI DIBAWAH PERDANA MENTERI MALAYSIA YANG KE- 6 (DATO SERI NAJIB TUN ABDUL RAZAK) Dato Seri Najib Tun Razak telah melantik 28 menteri dan 40 timbalannya yang baru, bagi bersama beliau mengembeling tenaga menjayakan slogan 'Satu Malaysia'. Dato Seri Najib turut menyenaraikan 6 muka baru yang dilantik sebagai menteri dalam pelbagai jabatan bagi memperkukuhkan lagi sistem pentadbiran Negara. Beliau menyifatkan kabinet yang baru dilantik oleh beliau merupakan 'Kabinet Rakyat' didalam melaksanakan segala agenda pembangunan negara. Dato Seri Najib telah melakuan penyusunan semula dan memansuhkan beberapa kementerian, ini menjadikan kabinet yang baru dilantik beliau lebih kecil, terdiri daripada 28 menteri dan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dan 27 kementerian ketika pentadbiran Tun Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini. Disamping itu juga Dato Seri Najib begitu komited untuk memulihkan kepercayaan rakyat dengan memperkenalkan pendekatan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk memantau prestasi dan pencapaian mereka. Menurut beliau pembaharuan ini dilakukan demi menjadikan para jemaah menteri lebih bertanggungjawab, fokus, dan mendahulukan rakyat. Dibawah pimpinan Dato Seri Najib Tun Abdul Razak pada 9 April 2009 di Putrajaya yang terdiri daripada 28 menteri iaitu: 1. Dato Seri Najib Razak -> Perdana Menteri, Menteri Kewangan 2. Tan Sri Muhyiddin Yassin -> Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran 3. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon -> Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Prestasi) 4. Dato Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz -> Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen) 5.Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ->Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi) 6. Senator Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom -> Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) 7. Dato Ahmad Husni Hanadzlah -> Menteri Kewangan II 8. Dato Seri Hishammuddin Hussein -> Menteri Dalam Negeri 9. Dato Mustapa Mohamed -> Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri 10. Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi -> Menteri Pertahanan 11. Dato Anifah Aman -> Menteri Luar Negeri 12. Tan Sri Bernard Dompok -> Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi 13. Dato Seri Mohamed Khaled Nordin -> Menteri Pengajian Tinggi 14. Dato Noh Omar -> Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

15. Dato Seri Maximus Ongkili -> Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi 16. Dato Seri Dr Ng Yen Yen -> Menteri Pelancongan 17. Dato Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin -> Menteri Wilayah Persekutuan 18. Dato Douglas Uggah Embas -> Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar 19. Dato Ong Tee Keat -> Menteri Pengangkutan 20. Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil -> Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 21. Dato Liow Tiong Lai -> Menteri Kesihatan 22. Dato Peter Chin Fah Kui -> Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air 23. Dato Shaziman Abu Mansor -> Menteri Kerja Raya 24. Dato Seri Dr Rais Yatim -> Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan 25. Dato Dr S Subramaniam -> Menteri Sumber Manusia 26. Dato Ismail Sabri Yaakob -> Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna 27. Dato Seri Shafie Apdal -> Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah 28. Dato Kong Cho Ha -> Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan 29. Dato Ahmad Shabery Cheek -> Menteri Belia dan Sukan

Secara keseluruhannya, barisan jemaah menteri ini adalah diharapkan menjadi cerminankekuatan serta wajah kemajmukan Malaysia melalui satu kerajaan yang mewakili semua rakyat dari setiap penjuru dan pelusuk Malaysia. Barisan kabinet dibawah pentadbiran Dato Seri Najib Tun Abdul Razak ini juga mencerminkan slogan pentadbiran iaitu Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang mana mengajak rakyat bersama-sama melakukan transformasi besar untuk Negara seterusnya berusaha untuk membawa negara dalam arus perdana kemajuan dan permodenan antarabangsa.

RUJUKAN
1) Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin.2004. Pengajian Malaysia. Fajar Bakti Sdn.Bhd. 2) Muhd.Shamsinor dan Ali Roshezry.2008. Pengajian Malaysia. Universiti IndustriSelangor. 3) ms.wikipedia.org/wiki/Kabinet_Malaysia 4) www.kabinet.gov.my 4) http://www.scribd.com/doc/33651696/Jemaah-Menteri

You might also like