LEGASI PEJUANG : ARMAN JAZEE CUACA sedikit mendung, tetapi masih bercahaya kerana sekali-sekala sinar matahari

mencelah di sebalik awan. Kehidupan di kotaraya Kuala Lumpur ini semakin sibuk dan sesak. Manusia saling menyaingi antara satu sama lain. Siapa yang tidak berdaya akan tewas di pertengahan jalan manakala yang berjaya akan menekan mereka yang gagal. Itulah lumrah kehidupan. Hari ini rentak kehidupan Syed Kairi Syed Fahim adalah seperti biasa. Budak penghantar surat. Walaupun baharu berkerja selama sebulan di syarikat penghantaran barang yang bertaraf antarabangsa ini, Kairi semakin mahir dengan selok-belok di Kuala Lumpur. Elemen paling penting dalam kerjayanya ialah mesti tiba tepat pada masanya. Maka, kemahiran mengetahui jalan pintas merupakan satu kelebihan. Selain itu bukan hanya mahir menunggang motosikal dengan pantas sahaja yang perlu dititikberatkan bahkan daya ingatan yang baik juga amat penting. Kerana berdasarkan alamat yang tertera pada surat itu mereka mesti pergi ke sesuatu tempat itu dengan segera. Kelewatan boleh mendatangkan masalah terutama jika surat atau dokumen berkenaan adalah kiriman penting. Pagi itu hanya ada tiga surat dan dua bungkusan lagi yang perlu dihantar sebelum dia balik ke pejabat untuk waktu rehatnya. Jam baru menunjukkan pukul 10.00 pagi. Hish... awal lagi ni, baik aku hantar cepat surat ni lepas tu boleh melepak kat kedai mamak depan ofis tu. Kali ini destinasi yang ditujui ialah Bank Amtrap berhampiran dengan Jalan Silang. Sebaik membuka pintu bank itu, matanya dituju ke arah pengawal keselamatan bank yang sedang berdiri di tepi pintu sambil mengurut-gurut misainya yang melentik. Kairi tersenyum kepada lelaki itu sambil menggoyang-goyangkan bungkusan di tangannya. Suasana di dalam bank agak sunyi, tidak sebising seperti di luar. Sambil berjalan menuju ke arah kaunter, Kairi memerhatikan keadaan sekeliling premis yang merupakan antara cawangan terbesar di Kuala Lumpur. Tidak ramai pelanggan, hanya ada kira-kira 20 orang sedang berurusan di dalam bank itu. Melihat kelibatnya sahaja, Molly Tan, pegawai bank yang sering berurusan dengannya tersenyum sambil melambai. Kairi hanya membalas dengan mengangkat bungkusan yang dipegangnya. “Awal sampai hari ni, Kairi?” tanya Molly Tan dengan mesra. “Hai Cik Molly. Tadi ada hantar surat dekat kawasan sini juga. Alang-alang dah dekat, saya datang teruslah hantar bungkusan ni.” Molly Tan tersenyum mendengar jawapan dari anak muda yang wajahnya iras-iras seperti orang Arab itu. Walaupun baharu sahaja mengenalinya, dia tahu Kairi seorang pekerja yang dedikasi dan jujur. Mudah tersenyum. Kairi meletakkan bungkusan yang dibawanya di atas kaunter. Molly Tan terus mengambil bungkusan yang dihantar itu, kemudian mengisi maklumat dalam borang yang turut diserahkan.

“Tak ramai orang pagi ni, ya.” Kairi sengaja berbasabaisi. Sambil tersenyum gadis itu membalas, “Biasa lah pagi lagi, tapi sekarang ni masa gaji masuk, mungkin kejap lagi baharu sibuk sikit.” Mereka berdua diam seketika. Mata Kairi memerhatikan pergerakan tangan gadis yang sedang menulis di hadapannya. Pelanggan di dalam bank itu pula tenang menunggu giliran masing-masing untuk berurusan di kaunter. Tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang bertalu-talu seperti mercun di dalam bank tersebut. “Lah... siapa pulak main mercun dalam bank ni? Tak ada kesedaran sivik betul lah,” kata Kairi cuba bergurau pada Molly Tan. Dia tersengih-sengih. Molly yang turut terkejut itu juga berkata, “Hish... kamu ni. Mana boleh main mercun kat sini.” “Entahlah Cik Molly... eh!” Kairi tergamam. Dalam beberapa saat sahaja ruang dalaman bank itu mula diselubungi asap putih yang pekat dan tebal. Dalam masa yang sama suasana yang tenang dan aman tadi bertukar menjadi kecoh dan kelam-kabut. Serentak dengan itu juga Kairi merasakan matanya menjadi agak pedih akibat terkena asap putih yang mula menguasai segenap sudut ruang. Dia segera menutup mukanya dengan jaket yang dipegangnya. Pada masa yang sama, terdengar satu arahan dalam bahasa Inggeris yang menyuruh semua orang meniarap. Tetapi, semua orang masih tidak bergerak. Mereka terus berdiri, terpaku sama ada tidak faham atau dalam ketakutan kerana melihat kemunculan beberapa orang lelaki bertopeng yang memegang mesingan. Salah seorang daripada lelaki bertopeng itu berjalan ke arah seorang pelanggan lelaki dan terus menghentakkan buntut senjatanya tepat pada lutut lelaki itu menyebabkan mangsanya terus jatuh terduduk. Seorang lagi lelaki bertopeng itu bertempik dengan kuat pada semua orang dan menunjukkan mucung senjatanya pada lelaki yang jatuh itu. Melihat kejadian tersebut semua orang di dalam bank itu secara serentak merebahkan diri ke lantai. Meniarap sambil tangan diletakkan di belakang kepala. „Apa yang telah terjadi ni, siapa mereka ni, adakah mereka nak rompak bank ni. Aduh! Kenapalah masa aku kat sini jadi macam ni pulak?‟ gerutu Kairi di dalam hatinya. Dia pun melakukan tindakan yang sama seperti para pelanggan lain. Ketika itu dia sempat menjeling ke arah pengawal keselamatan bank itu yang seperti teragak-agak untuk merebahkan tubuhnya. Pengawal itu sedang cuba menarik perlahan-lahan senapang patahnya yang diselitkan di celah-celah sebuah meja. Semasa suasana kecoh tadi pengawal itu sempat menyorokkan senjatanya di situ dan kini dia cuba

bertindak. Kairi terus merenung perbuatan pengawal itu dengan hati yang bersarang dengan kebimbangan. Pengawal itu yang perasan dia diperhatikan menjeling pada Kairi. Pandangannya yang dalam seakan memohon agar Kairi mendiamkan diri. „Apa dia ni nak buat, takkanlah nak lawan semua perompak ni seorang diri. Gila ke!‟ getus hati Kairi. Kairi yang dalam ketakutan hanya mampu menggeleng gelengkan kepala tanda tidak bersetuju dengan niat pengawal itu. Namun, pendapatnya tidak diambil kira. Sebaik sahaja senjatanya berada di dalam genggaman, pengawal itu terus mencekah senapang patah itu dan pada bila-bila masa sahaja peluru senapang itu akan dihemburkan dari muncung senjata tersebut menuju ke arah mangsanya. Baharu sahaja pengawal itu mahu membidik senjatanya pada salah seorang dari perompak yang ada berhampiran dengannya, tiba-tiba muncung senjata salah seorang perompak ditala ke belakang kepalanya. Dengan nada yang keras dan dalam bahasa Inggeris dia berkata, “Orang tua, jika kau mahu otakmu bersepai sila lakukan.” Pengawal itu terus kaku dan mukanya bertukar menjadi pucat lesi. Kini dia sedar nyawanya hanya di hujung halkum sahaja. Dengan perlahan-lahan dia melepaskan senapang patahnya dan menggigil merayu meminta nyawanya. “Saya minta maaf! Saya minta maaf! Jangan kasi tembak saya punya kapla, tolonglah.” Perompak itu tanpa sebarang bicara mengutip senapang patah itu. Kemudian tanpa belas kasihan terus menghentak buntut senapang itu pada kepala pengawal itu yang mengerang kesakitan dengan kuat. Tanpa berlengah lagi, dia kemudiannya menuju ke arah pintu utama bank tersebut dan terus menguncinya. Mendengar bahasa yang dituturkan oleh perompakperompak itu antara sesama mereka, Kairi dapat mengagak dari mana asalnya mereka. “Sahlah perompak-perompak ini ialah orang Arab, tetapi dari negara mana? Kenapa dari tanah Arab sanggup datang merompak di Malaysia ini sedangkan orang di negara mereka lebih kaya lagi?” Semua persoalan ini berlegar di benak Kairi. Setelah semua tawanan dikumpulkan di tengah-tengah ruang legar bank itu, salah seorang perompak tersebut bertanya pada semua orang tersebut dalam bahasa Inggeris. “Siapa pengurus bank ini?” Kairi membuat andaian bahawa yang bertanya ini mungkin ketua kumpulan tersebut kerana dari mula operasi rompakan ini lelaki itu yang memberi arahan. Semua perompak yang berjumlah sepuluh orang itu pula mematuhi arahannya.

“Aku tanya sekali lagi, siapa pengurus bank ini!” tengking ketua perompak itu. SELEPAS menunggu beberapa ketika, tiada sebarang maklum balas dari semua tawanan tersebut. Ketua perompak itu bertanya untuk sekian kalinya sambil tangannya mencekah mesingan M16. “Kamu semua mahu ditembak dengan benda ni,” ugutnya sambil mengangkat mesingannya. Apabila bunyi cekahan pada senjata itu ditarik, beberapa tawanan wanita mula menangis. Berasakan nyawa mereka akan berakhir hari ini. Dalam benak mereka memikirkan kenapa mereka yang terpilih dalam kisah yang memang mereka tak impikan ini dan siapakah yang akan menjadi mangsa. Dengan perlahan-lahan seorang lelaki yang berbadan agak gempal berdiri sambil berkata, “Sayalah pengurus bank ini, tolonglah jangan apa-apakan orang lain!” “Bagus, nampaknya tindakan kau telah berjaya menyelamatkan beberapa nyawa.” Mata ketua perompak itu bersinar kejam. Pengurus bank yang berbadan gempal itu terus diheret masuk ke dalam pejabatnya oleh ketua perompak. Melihat pengurus bank itu dikasari begitu sahaja semua tawanan mula cemas dan ada yang sudah tidak dapat mengawal tangisan mereka lagi. „Mungkin pengurus itu diminta untuk buka bilik kebal kot,‟ teka Kairi dalam hati. Tanpa disedari oleh sesiapa, salah seorang tawanan mengambil kesempatan dari kelekaan perompakperompak tersebut untuk mengeluarkan telefon bimbit yang ada di dalam poketnya. Dia dengan riak tenang menaip SMS pada isterinya untuk memaklumkan kes rompakan bank tersebut. Sebaik sahaja pesanan ringkas itu diterima oleh isterinya, maklumat itu terus dimaklumkan kepada pihak polis. Atas maklumat yang telah diterima, dalam masa berselang kira-kira 10 minit sahaja, segerombolan anggota polis sudah melakukan tindakan mengepung bank tersebut. ASP Roslan yang mengetuai pasukan polis menyumpah di dalam hatinya, “Cis! Siapalah yang tak ada kerja yang nak rompak bank pagi-pagi ni, aku baru nak mula buat kerja dah kena kacau.” Di dalam pejabat pengurus bank itu, ketua perompak terus memaksa tawanannya itu membuka bilik kebal yang menyimpan wang dan harta bank, tetapi dia enggan melakukannya. Melihat kedegilan pengurus bank itu, salah seorang anggota perompak itu seperti sudah hilang sabar. Biarpun tanpa arahan daripada ketuanya, dia dengan tidak semena-mena terus menghayunkan belakang senjatanya pada perut pengurus bank itu. Serentak dengan itu pengurus itu menjerit terguling-guling di lantai kerana menahan kesakitan akibat dihentak. “Lekas buka pintu itu, jika tidak aku tembak!” ugut perompak yang bertindak kasar itu. Nadanya penuh dengan kegeraman dan bengis. Sambil menahan kesakitan akhirnya pengurus bank itu terpaksa akur dengan arahan perompak berkenaan. Dengan menahan kesakitan dia mengeluarkan kunci di dalam laci mejanya. Selepas memasukkan kunci di pintu bilik kebal, jari-jarinya terketar-ketar menekan nombor kod laluan.

Terpaksa membuka pintu itu dan sebaik sahaja pintu bilik kebal dibuka, perompak tersebut tanpa banyak bicara terus menghentakkan senjatanya sekali lagi pada pengurus bank itu. Kali ini kena tepat pada bahagian kepala pula dan menyebabkan dia terus jatuh pengsan. SEBAIK sahaja pintu besi itu dibuka, tiga orang perompak terus meluru masuk ke dalam bilik kebal itu. Ketua perompak pula berdiri tegak di pintu bilik itu. Dia amat gembira apabila mendapati wang, barang kemas dan jongkong emas yang berkualiti tinggi disimpan di dalamnya. “Wah... Tak sia-sia kita memecah masuk bank ini, banyak betul hartanya. Kita akan sapu semuanya. Biar padan muka dengan kaum laknat itu,” kata ketua perompak kepada orang bawahannya dengan bangga. Dengan pantas mereka memasukkan apa sahaja yang tersimpan di dalam bilik kebal itu ke dalam begbeg yang mereka bawa bersama. Mereka berkerja dengan cukup pantas dan dalam hanya beberapa minit sahaja hampir licin habis dimasukkan ke dalam karung beg yang memang sudah dibawa oleh mereka. Manakala di luar premis bank itu, pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) telah tiba dan mereka tanpa berlengah lagi terus melakukan persediaan untuk menggempur. Namun, itu adalah penyelesaian terakhir yang akan diambil sekiranya langkah untuk memujuk dan berunding dengan kumpulan perompak itu menemui jalan buntu. Apabila para perompak itu terdengar bunyi siren kenderaan polis, mereka terus menjadi cemas dan panik. Tawanan yang menghantar maklumat tentang rompakan itu berasakan keadaan yang kelam-kabut itu memberinya peluang untuk melepaskan diri. Dia terus memerhatikan keadaan semua perompak itu dan mendapati mereka kini sedang berbincang sesama sendiri, tidak menumpukan perhatian pada tawanan yang sedang meniarap. Dia dengan pantas terus bangun dan berlari dengan menuju ke arah pintu bank tersebut. Tangannya sudah menggenggam besi pemegang pintu, namun tiba-tiba terdengar satu letusan tembakan bergema di dalam bank tersebut. Sejurus itu lelaki yang cuba keluar dari situ telah rebah menyembah ke bumi. Muncul darah merah pekat mengalir perlahan-lahan dari kaki kirinya. Apabila semua tebusan itu menyaksikan kejadian yang tidak disangka-sangka oleh mereka itu, suasana yang sudah kecoh itu menjadi semakin bising dengan pekikan ketakutan dan tangisan. Ketua perompak yang sedang berada di dalam bilik kebal itu bagi melihat kerja-kerja memunggah barangan berharga turut terkejut dengan bunyi letupan berkenaan. „Eh! Apa dah jadi ni, kenapa ada bunyi tembakan? Adakah orang-orangku diserang atau mereka telah melepaskan tembakan. Kurang ajar! Nampaknya mereka tak dengar arahan aku.‟ Pintu bilik pengurus dibuka dan ketua perompak itu berlari dengan rasa yang marah menuju ke arah ahlinya yang telah melepaskan tembakan itu. Memekik dengan lantang dalam bahasa Arab.

“Hoi! Apa yang kau buat ni ha? Apa yang kau telah...

BUNYI tembakan dari dalam bank yang kedengaran hingga ke luar turut mengejutkan pasukan polis. Masing-masing terus mencari tempat berlindung. ASP Roslan dapat melihat sendiri tompokan darah yang melekat di dinding pintu bank. Darah mengalir keluar ke kaki lima dari bahagian dalam bank. Lebih mengharukan, jeritan mangsa tembakan itu jelas kedengaran tidak hentihenti meminta segera diselamatkan. Dengan pantas ketua pasukan UTK, Kapten Zamri dipanggil. “Kapten! Kita belum buat apa-apa pun keadaan semakin tegang. Saya tak tahu apa yang terjadi di dalam sana. Tapi rasanya kita kena mulakan Plan B kita dengan segera. Saya tak fikir mereka mahu berunding. Saya khuatir jika kita lebih ramai tebusan itu akan mati dibunuh.” “Saya akan cuba pujuk mereka kejap lagi. Tetapi, jika tiada respons, awak bersedia cepat,” sambung ASP Roslan.

“Saya juga berasa begitu, tuan. Mereka ni agak ganas.” Kapten Zamri faham kerana jika Plan A iaitu berunding dengan kumpulan perompak ini tidak berjaya maka Plan B akan digunakan. Pasukan UTK akan menyerbu masuk dengan pantas untuk menamatkan drama rompakan ini. Setelah memberi arahan pada pasukannya, Kapten Zamri mengambil kedudukan di tempat-tempat strategik bersama semua ahli pasukannya yang seramai dari 20 orang. Mereka sudah mengkaji struktur dalaman bank itu. Mereka sudah dapat mengagak di mana kedudukan para perompak itu. Nyawa orang-orang di dalam bangunan itu dalam keadaan yang genting, sekiranya mereka terus menunggu lebih lama mungkin akan ada korban. Pada ketika itu juga, ketua perompak itu menyuruh orang-orangnya supaya terus bertenang. Setelah keadaan agak terkawal sedikit, dia meminta salah seorang orangnya meninjau perkembangan di luar bank. “Tuan, nampaknya kita telah dikepung. Mungkin polis sedang merancang untuk melakukan serbuan, apa yang perlu kita lakukan?” Ketua perompak itu kelihatan merenung jauh ke hadapan sambil otaknya ligat memikirkan apa yang perlu dilakukan, Dia sedar kini mereka tiada pilihan lagi menyerah atau menyerang. Setelah beberapa ketika, dia berkata, “Kumpulkan semua orang tebusan dan berkawal pada tempattempat yang strategik, apabila mereka melakukan serangan, ambil mereka jadikan orang tebusan sebagai benteng untuk kita, faham!” Selepas itu semua tebusan dikehendaki berdiri dan berkumpul berhampiran kawasan kaunter, tangan

mereka diikat secara berpasangan. Melihat keadaan itu semua tebusan-tebusan semakin takut kerana mereka sedar keadaan semakin tegang. Kini nyawa mereka menjadi taruhan. Tiba-tiba dalam nada yang ketakutan kelihatan seorang wanita berbangsa India mengangkat tangan dan berkata. “Tuan, saya mau cakap,” kata wanita India itu dengan wajah ketakutan. Semua anggota perompak serentak memandang wanita tua itu termasuk juga tebusan yang lain sambil di dalam hati mereka tertanya-tanya apa yang wanita itu mahu katakan dalam keadaan yang genting ini. Ketua perompak itu merenung muka wanita India itu dan berkata, “Cakaplah apa dia? Tapi sebelum itu, siapakah kamu ini?” “Nama saya Padmin, saya kerja tukang cuci di sini, saya tak mahu mati, saya mahu keluar dari sini, boleh ka?” “Semua orang tak akan mati jika kamu semua ikut arahan, tujuan kami telah tercapai. Kini kami mahu keluar dari sini tapi ada polis. Jadi kami tak boleh keluar, kami mesti menentang mereka.” “Tapi tuan, saya cuma mahu kasi tahu sama tuan, kalau tuan mahu keluar dari sini saya tahu jalannya.” Sebaik sahaja mendengar kata-kata amah tukang cuci itu, ketua perompak itu bingkas berjalan menuju ke arah wanita itu. “Kamu akan dilepaskan jika kamu beritahu kami jalan untuk keluar tapi jika kamu tipu kami, peluru dari senjata ini akan menembusi kepala kamu” “Tak, tuan. Saya tak berani tipu. Dalam bilik stor ada jalan keluar dari bangunan ini. Tuan boleh keluar pakai cerobong udara, tuan boleh lari dari sini. Tapi tolong lepaskan saya dan jangan apa-apakan saya,” jelas wanita itu. Ketua perompak itu terus merenung wajah tukang cuci di hadapannya itu. Dia tidak berapa percaya dengan kata-kata wanita India itu kerana dia tahu pastinya apabila nyawa dalam bahaya, manusia sanggup melakukan apa sahaja. Walau bagaimanapun, dia mengarahkan salah seorang ahlinya memeriksa laluan baru itu. “Kami datang bukan untuk membunuh sesiapa tapi kami mahu mengambil duit dari bank orang Yahudi ini kerana merekalah yang berdosa pada rakyat negara kami. Kami telah bergerak di seluruh dunia untuk mengganggu-gugat kepentingan golongan-golongan ini, kami minta maaf atas segala kesukaran untuk kamu semua. Jangan bertindak tanpa berfikir kerana kami tidak teragak-agak untuk menghapuskan sesiapa yang cuba menghalang kami.Kami akan keluar dari sini setelah urusan kami selesai,” jelas panjang lebar ketua perompak itu. Mendengar kata-kata ketua perompak itu, semua tebusan yang sedang duduk di lantai bank itu telah faham tujuan sebenar perompak itu dan mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan buat masa sekarang. Mungkin kerana dendam kesumat dan tekanan dari orang kafir ini menyebabkan mereka nekad melakukan tindakan yang jika dilihat jauh dari ajaran Islam yang sebenar Tetapi, itulah kehidupan apabila sesuatu bangsa didesak hingga mereka tiada pilihan maka mereka akan mula bertindak dan memberontak. Ketua perompak itu memandang pada Kairi pula dan sebaik sedar yang perompak itu memandangnya, hatinya menjadi tidak keruan dan segera menundukkan kepalanya. Memandang ke lantai. Dengan tidak semena-mena ketua perompak itu bertanya kepada Kairi.

“Hey anak muda, siapa nama kamu? Kamu tidak kelihatan seperti orang tempatan. Kamu ini kelihatan seperti orang dari tanah Arab, siapa kamu?” Kairi terkejut atas soalan yang tiba-tiba itu dan secara perlahan dan dalam ketakutan dia menjawab, “Nama saya Kairi, bapa saya kacukan Melayu dan Arab. Ibu saya orang England, sebab itu saya berbeza dari orang sini.” “Aku nak tahu nama penuh kamu?” Dengan tergagap-gagap Kairi menjawab, “Nama saya Syed Kairi bin Syed Fahim, tuan.” “Syed Fahim! Hmm... anak Fahim „The Cleaner‟ ruparupanya,” kata ketua perompak itu dengan matanya bersinar penuh kebencian. “Kamu! Mari ikut aku.” Dengan serta-merta muka Kairi terus bertukar menjadi pucat dan berkata dalam hatinya. „Habislah aku kali ni.‟ “Ke mana tuan nak bawa saya ni? Tolonglah jangan bunuh saya, saya seorang Muslim dan ibu saya dah meninggal dunia. Bapa saya dah lama menghilangkan diri. Kini saya tinggal dengan keluarga angkat saya, tolonglah,” rayu Kairi. Ketua perompak itu merenung Kairi dan terus ketawa besar. “Bodohnya kamu ni, marilah ikut aku, aku bukan nak bunuh kau!” Mahu tak mahu Kairi terpaksa mengikut arahan ketua perompak itu, dengan perlahan dia berdiri dan terus melangkah dengan berat hati. „Ke manalah aku ni nak dibawanya, apakah hari ini ajal aku di sini‟ gumam Kairi dalam hati. Kairi mengekori masuk ke dalam stor di mana cerobong untuk membawa mereka keluar itu telah dikenal pasti. “Kau masukkan semua beg-beg ini dalam cerobong itu dan jangan cuba lari, jika tidak nahas kau!” arah ketua perompak pada Kairi. Dengan perlahan-lahan Kairi mengangguk dan terpaksa mengikut arahan itu. Satu per satu beg yang dipenuhi wang dan barangan berharga itu dimasukkan ke dalam cerobong. KAPTEN Zamri menyusun kedudukan anggota pasukannya yang seramai 15 orang. Lima orang penembak tepat ditempatkan di atas bangunan-bangunan di sekitar bangunan bank. Mereka ini dilengkapkan dengan senapang M40, senjata khas yang boleh mengenai sasaran dalam jarak hampir 800 meter. 10 orang lagi dilengkapi dengan senjata M16. Mereka bersedia bila-bila masa untuk memuntahkan peluru yang tak bermata pada sasaran mereka. Selepas semua anggota UTK mengambil kedudukan, kini Kapten Zamri hanya menunggu arahan terakhir dari ASP Roslan untuk memberi lampu hijau untuk bertindak. ASP Roslan sedang berkira-kira dengan keputusannya, nampak seperti berbelah bahagi. Nyawa 20 orang tebusan itu juga perlu diambil kira kerana jika silap langkah mungkin ada tebusan yang terkorban. Sekiranya ia terjadi sudah pasti ini akan menjadi berita yang besar di dada-dada akhbar dan mungkin boleh menggugat reputasi polis. Setelah agak lama berfikir-fikir, akhirnya dia membulatkan tekad. “Pastikan tiada seorang pun tebusan yang cedera atau terbunuh, kapten!” Kapten Zamri mengangguk sambil memberi tabik hormat. “Mulakan operasi kita, selesaikan dalam masa lima minit dari sekarang,” kata Kapten Zamri melalui walkie talkie kepada pasukannya.

Maka bermulalah operasi serbuan untuk menghapuskan perompak-perompak di dalam Bank Amtrap itu. Beberapa tabung gas pemedih mata ditembak. Memecahkan cermin bank dan mula memuntahkan asapasap putih yang pekat di dalam ruang dalam bank. Dalam masa yang sama juga beberapa orang anggota UTK yang lengkap dengan senjata sub-mesingan terus menyerbu masuk ke dalam bank itu. Dalam beberapa saat, kedengaran bunyi peluru dimuntahkan bertalu-talu. Terjadi pertempuran kecil di dalam bank tersebut. Para perompak itu nampaknya telah bersedia di mana mereka menjadikan tebusan-tebusan di dalam bank itu sebagai benteng bagi mereka. Mereka berlindung di sebalik tiang dan kaunter. Ini mendatangkan banyak masalah kepada pasukan UTK kerana jika mereka menembak pastinya tembakan itu akan terkena pada tebusan, Tetapi, jika mereka tidak menyerang pihak musuh pula akan mengambil kesempatan. ‟Ah... nampaknya polis telah memulakan serangan mereka, aku mesti melakukan sesuatu,‟ fikir ketua perompak itu yang sedang bersembunyi di dalam bilik stor bersama Kairi. Selang beberapa minit kemudian, bunyi tembakan itu terhenti dan suasana hening seketika. Tiba-tiba muncul dari pintu depan bank yang telah musnah itu seorang demi seorang tawanan keluar dalam keadaan terhoyong-hayang dan berhabuk. Seorang anggota UTK memapah tebusan yang ditembak di kakinya oleh perompak ketika cuba melarikan diri tadi. Dengan segera Kapten Zamri dan ASP Roslan berlari menuju kepada mereka. Kapten Zamri menjerit pada pasukan bantuan perubatan untuk segera membantu mereka yang telah keluar dari drama sebabak itu tadi. Melilau mata ASP Roslan mengira beberapa jumlah orang yang telah berjaya keluar dari bank tersebut. Dari 20 orang awam yang telah menjadi tebusan di dalam bank itu hanya kelihatan 10 orang sahaja, Jantung ASP Roslan terus degup dengan kencangnya melihat situasi tersebut, dengan segera beliau memanggil Kapten Zamri. “Kapten! Ke mari sebentar, laporkan segera kepada saya apa jadi dengan sepuluh orang lagi mangsa tebusan itu dan di mana tiga orang lagi ahli pasukan awak,” tanya ASP Roslan dengan nada yang bergetar. Kapten Zamri dengan air muka yang serba salah menghampiri ASP Roslan. Sebelum itu di dalam Bank Amtrap. SETELAH ketua perompak itu mendapat maklumat yang terkini dari pengikutnya, dia terus memberi arahan kepada semua 10 orang pengikutnya agar bersedia dalam kedudukan masing-masing. Pada masa yang sama juga dia terus menyuruh Kairi untuk memindahkan beg-beg berisi wang itu ke dalam cerobong udara dengan segera. Selepas itu dia bersembunyi di dalam bilik stor bersama dengan Kairi. Bersedia untuk melakukan tindakan jika polis melakukan serbuan nanti. Dia telah mengarahkan setiap pengikutnya mengambil

tebusan untuk dijadikan perisai. Dia merasakan polis pasti tidak akan berani melepaskan tembakan jika ada tebusan bersama mereka. Perompak-perompak itu membalut mulut dan hidung mereka dengan sehelai kain basah untuk mengelakkan kesan gas pemedih mata. Mereka tahu langkah pertama yang polis akan lakukan ialah menembak gas pemedih mata. Kesan gas ini boleh menyebabkan mangsanya sesak nafas dan buta sementara. Jadi mereka perlu melakukan langkah pencegahan terlebih dahulu. „Nampaknya, pertempuran pastinya akan terjadi antara polis dengan mereka ini. Apa yang perlu aku lakukan ni?‟ fikir Kairi di dalam hati sambil matanya menjeling pada ketua perompak di hadapannya itu. Semua perompak itu telah bersedia untuk bertempur dan hanya menunggu tindakan lanjut dari pihak polis sahaja. Masing-masing menggenggam kemas senjata mereka. Di dalam hati mereka telah membulatkan satu tekad untuk tidak menyerah kalah. Setiap tebusan yang diikat di antara satu sama lain pula tidak keruan. Ada yang menangis dan merayu pada perompak itu agar dilepaskan kerana mereka sedar apabila pihak polis menyerbu ke dalam bank itu, mereka sukar mengenal pasti di antara pihak musuh dan tawanan mereka. Nyawa masing-masing menjadi taruhan. Apabila kepulan asap mula memenuhi ruangan bank itu, terdengarlah jeritan ketakutan dari para tebusan. Dalam beberapa detik kemudian kelihatan dari dalam kepulan asap itu muncul susuk-susuk tubuh lelaki yang bertopeng dan berpakaian gelap dan mereka mula melepaskan tembakan. Kini kedengaran pula rintihan kesakitan. Seorang perompak yang menyorok di sebalik sebatang tiang dengan dua orang tebusannya mati serta-merta akibat terkena tembakan dari pasukan UTK tanpa sempat memuntahkan sebutir peluru pun. Sebaik sahaja rakanrakan perompak itu melihat kawannya telah gugur, mereka pun menjadi amat marah. Tanpa berlengah lagi mereka terus melepaskan tembakan secara rambang. Tembakan itu bukan hanya terkena pada anggota UTK itu sahaja tetapi juga terkena rakan mereka dan tebusan yang lain, mereka seolah-olah telah diserang histeria. Selepas beberapa ketika, asap gas pemedih mata itu semakin menipis. Bau hangit senjata mula memenuhi ruang bank itu bercampur pula bau hanyir darah yang semakin menusuk hidung. Tiada lagi bunyi tembakan. Suasananya senyap sunyi. Ada tiga kemungkinan yang menjadi penyebab situasi itu. Sama ada kedua-dua pihak sudah kehabisan peluru, ramai yang sudah terkorban ataupun para perompak itu berjaya melarikan diri. Tetapi, apabila asap semakin menipis, realiti menyakitkan muncul di depan mata. Mayat-mayat bergelimpangan di merata-rata tempat dan dalam keadaan yang mengerikan, rintihan kesakitan juga kedengaran memenuhi ruangan bank itu. Keadaan di dalam bank itu seumpama dilanda garuda, dengan kesan tembakan membocori dinding, kerusi dan peralatan komputer. Pasukan UTK mula memeriksa sekiranya ada perompak yang masih hidup dan keadaan mangsa tebusan. Kesemua 10 orang perompak itu telah mati ditembak, sama ada ditembak oleh pasukan UTK atau mereka mati di hujung senjata rakan mereka sendiri.

Kebanyakan tebusan telah terselamat kerana mereka bertindak bijak duduk mencangkung apabila kedua-dua belah pihak bertempur tadi. Tetapi mereka yang terselamat itu kelihatan dalam keadaan yang trauma yang teruk. Mereka menggigil dan menangis ketakutan. Peristiwa yang mengerikan itu pastinya akan menjadi beban mereka untuk sepanjang hayat. Pasukan UTK yang terselamat terus berjalan dan memeriksa keadaan di dalam bank itu. Pengawal keselamatan bank itu mengalami cedera parah, darah membasahi tubuhnya. Semasa salah seorang ahli pasukan UTK berjalan berhampirannya, dia terus memaut kaki anggota itu sambil menunjukkan jarinya ke satu arah. Dia berkata dengan suara yang tersekat-sekat. “Tuan, ketua perompak ada dalam stor.” Sebaik sahaja habis mengucapkan kata-kata itu, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. SEBAIK sahaja menerima maklumat, anggota UTK itu terus berjalan dengan perlahan-lahan menghampiri stor. Dengan langkah berhati-hati. Pintu stor itu sedikit terbuka, dia dapat melihat seorang lelaki terbaring dan di sebelah lelaki yang terbaring itu ada seorang lagi lelaki sedang membalut luka di lengan lelaki yang sedang terbaring itu. Perlahan-lahan dia membuka pintu stor itu dan melihat sekelilingnya. Tiada perompak di dalam bilik stor itu, hanya ada dua orang lelaki. “Kamu berdua okey tak?” tanya anggota UTK itu. Lelaki yang sedang merawat lelaki yang cedera itu mengangkat tangannya dan membuat simbol tanda okey. Riak wajahnya agak cemas tetapi ia gagal mendatangkan rasa curiga pada anggota UTK itu. Melihat kedua-dua lelaki itu tidak dalam keadaan bersenjata dan berbahaya, anggota UTK itu berasa lega. Tetapi, dia musykil dengan lokasi ketua perompak seperti yang diberitahu pengawal keselamatan itu tadi. Anggota UTK itu berkata dalam hatinya, „Hish... tiada pun perompak tu, mana dia pergi?‟ „Agaknya dah lari kut, takkan dua orang ni perompak pula. Mereka ni tak pakai topeng pun.‟ „Baik aku panggil yang lain untuk sama-sama cari penjahat itu,‟ katanya dalam hati. Dia terus berpaling ke arah pintu untuk keluar memanggil rakannya yang lain. Tiba-tiba terdengar jeritan, “Awas!” Mendengar laungan yang kuat itu membuatkan anggota UTK itu terkejut. Dia mahu berpaling ke belakang untuk melihat dari mana datangnya jeritan itu tetapi belum sempat dia bertindak mengikut gerak hatinya, belakang badannya seperti ditusuk sesuatu. Dia memerhatikan bahagian dadanya yang tiba-tiba memercikkan darah. Hujung sebilah pisau telah menembusi dadanya dan di saat itu dia terus merasakan kesakitan yang amat sangat. Tangan kiri ketua perompak itu menekup mulut anggota UTK itu dengan kuat agar rintihan keperitan tidak kedengaran. Dia tersenyum. “Hutang darah dibalas dengan darah!” Rupa-rupanya lelaki itu adalah ketua perompak. Semasa dalam suasana yang kecoh itu tadi dan melihat semua pengikutnya telah tewas dengan mudahnya dia pun sedar dia mesti melakukan sesuatu. Dengan

segera dia membuka topengnya dan berlakon seperti dia juga salah seorang dari mangsa tebusan. Kairi cuba memberi amaran pada anggota UTK itu tadi tetapi gagal. Dia yang sedang terbaring itu tergamam dan matanya menyinar menyimpan marah pada ketua perompak itu. Dia tidak boleh berbuat apa-apa tambahan pula lengannya cedera terkena tembakan semasa pertempuran yang hebat tadi. Lebih-lebih lagi ketua perompak itu menekan sebilah pisau di perutnya semasa anggota UTK itu masuk ke dalam stor. Dia mengugut jika Kairi cuba bertindak bodoh dia akan membunuh menusukkan pisau itu. Kerana takut, dia terpaksa mendiamkan diri. “Kejamnya kau ini! Kenapa kau bunuh polis itu. Dia tak berdosa dengan kau?” “Hahaha... Siapa yang menentang kami adalah musuh kami. Kau jangan cakap banyak jika tidak kau akan menjadi mangsa sepertinya,” kata ketua perompak itu. Dia dengan perlahan-lahan menarik pisau yang tertanam di badan anggota UTK yang telah rebah itu. Mendengar ugutan ketua perompak, Kairi terus terdiam membisu kerana dia takut lelaki yang ganas itu akan mencederakannya pula. Setelah itu, ketua perompak itu terus mengangkat Kairi bangun seraya berkata, “Mari kita tinggalkan tempat ini.” Kerana takut ketua perompak itu bertindak lebih kejam, Kairi pun terpaksa mengikutnya. Ketua perompak itu terus mengangkat Kairi lalu dimasukkan ke dalam cerobong udara. Selepas itu dia pula memanjat cerobong itu. Mereka merangkak di dalam cerobong yang sempit bersama dengan Kairi yang berada di hadapan. Pergerakan mereka berdua tidak disedari langsung oleh anggotaanggota UTK yang lain. Dengan mudah mereka berdua menyusup keluar dari bangunan itu dengan menggunakan laluan cerobong. SELEPAS kejadian tembak menembak di bank itu selesai, Kapten Zamri membuat laporan kepada ASP Roslan dan memaklumkan bahawa empat orang ahli pasukannya telah terkorban manakala 10 orang tebusan terselamat dan sembilan orang mati. Wajah ASP Roslan amat sugul dan kecewa kerana walaupun para penjenayah itu dapat ditumpaskan, tetapi kehilangan nyawa anggota polis dan orang awam tidak bolehditerima olehnya. “Nampaknya kita menang dalam kekalahan, bagaimana dengan semua penjenayah itu?” Kapten Zamri dengan nada teragak-agak memaklumkan satu berita yang kurang menyenangkan. “Sembilan orang mati dan seorang dapat melepaskan diri.” “Apa? Ada yang terlepas. Bagaimana boleh lepas!” “Saya rasa dia melarikan diri bersama seorang tebusan, tapi tak tahu melalui jalan mana. Tapi, tuan jangan bimbang kerana saya telah mengerahkan semua ahli pasukan saya memburu penjenayah itu.” “Kapten! Aku tak tahu macam mana kau uruskan benda ni dan aku tak peduli cara apa yang kau nak gunakan. Tapi aku mahu dia ditangkap. Jika tidak, kita berdua ada masalah besar. Aku mahu tahu siapakah tebusan yang dibawa bersamanya tu?” Wajah Kapten Zamri menjadi pucat lesi mendengar arahan dari ketuanya itu. Dia tiada pilihan yang lain lagi, ketua perompak itu mesti ditangkap walau dengan apa cara sekalipun. Pada masa yang sama, ketua perompak itu sedang bersandar pada dinding sebuah bangunan sambil

menarik nafas dalam-dalam. Kepenatan kerana mengangkut beg-beg berisi duit dan barangan berharga. Dia juga kena mengawasi gerak geri anak muda yang ditawannya, takut cuba untuk melarikan diri, “Cepat jalan, ikut lorong itu. Nanti kau akan nampak sebuah van berwarna kuning di simpang jalan. Masuk dan pandu van itu, jangan kau melawan jika tidak mahu otakmu berkecai, faham,” kata ketua perompak itu kepada Kairi. Kairi terpaksa mengikut arahan ketua perompak itu kerana takut ditembak walaupun dia dalam kesakitan dan dia juga terpaksa mengusung dua beg yang sarat dengan wang dan barangan berharga hasil rompakan. Dia amat berharap selepas ketua perompak itu berjaya melepaskan diri dari buruan pihak polis, dia akan dilepaskan. „Aku bukan penjenayah, aku ini hanya budak penghantar surat sahaja,‟ katanya dalam hati. Selepas sampai di van, ketua perompak itu cepat-cepat memasukkan beg-beg itu ke dalam van. Dia kemudiannya menyerahkan kunci van dan memaksa Kairi memandunya. Kairi tidak berani membantah apatah lagi ketua perompak itu sentiasa memerhatikan tindak tanduknya. Dalam keterpaksaan dia menghidupkan enjin van itu dan memandunya dalam keadaan lengannya yang masih lagi berdarah. “Macam manalah aku boleh terjebak dengan perkara macam ni, apalah malangnya nasib aku ni,” rintih Kairi sambil matanya sekali sekala menjeling pada ketua perompak yang duduk di sebelahnya. Dia terus memandu dengan hati yang tidak tenteram dan tanpa Kairi sedar bahawa roda kehidupannya akan berubah selepas hari ini. Dia akan menjalani satu fasa kehidupan baru yang tidak pernah dibayangkan selepas ini Kairi akan menjadi seorang yang berbeza pada masa depan dan mungkin tidak akan kembali lagi ke Malaysia. Perjalanan mereka semakin lancar apabila keluar dari Kuala Lumpur. Dalam benak Kairi tersimpul seribu pertanyaan yang tidak mampu dia luahkan. Dia sendiri tidak tahu manakah hala tuju mereka. Dia cuma diarah memandu ke arah Shah Alam. Ketua perompak itu masih menggenggam kemas senjatanya sambil matanya tajam memerhatikan laluan kenderaan yang dipandu oleh tawanannya. Di dalam kepalanya bersarang berbagai-bagai perancangan untuk dia keluar dari bumi Malaysia ini. Walaupun sedih dengan kehilangan rakan-rakan seperjuangannya, tetapi tiada sedikitpun penyesalan pada dirinya. Dia percaya jika sudah memilih jalan ini, maka semua rintangan itu adalah perkara yang mesti dihadapi. Dia tahu di hadapan sana, masa depan perjuangannya akan menjadi lebih cerah dan berjaya. Jafala, 1993 BANDAR gersang di utara Algeria. Kebanyakan penduduknya dari kalangan bangsa Badwi yang menjadi budaya mereka tinggal berpindah randah. Bandar ini jika mengikut sejarah asalnya adalah tempat pos tentera pada era kerajaan Perancis. Lokasi ini merupakan satu-satunya bandar yang menghubungkan Bandar Om Zusara di bahagian utara, di timurnya Bandar Boa Sodat dan di selatannya Bandar Lalulua. Amat sukar untuk sampai di bandar yang terletak di tengah-tengah kawasan gurun ini. Gunung Ouled Nail setinggi 3734 kaki merupakan lokasi yang amat sesuai untuk dijadikan pusat gerakan

pejuang Islam. Di kaki gunung itu dengan lembah-lembah yang subur, muka bumi yang beralun-alun, jurang-jurang yang dalam dan kedudukannya yang agak terpencil menjadikan kubu semulajadi yang terbaik. Pejuang-pejuang Islam menjadikan kawasan gunung-ganang ini sebagai markas latihan sebelum mereka ini dihantar untuk menjalankan operasi memerangi rejim Zionis dan sekutunya. Di atas salah satu puncak bukit di lembah Ouled Nail itu, seorang lelaki yang berpakaian lengkap dengan pakaian tentera sedang duduk di atas seketul batu. Matanya tajam merenung bukit bukau di sekelilingnya. Sekali-sekala dia menarik nafasnya dalam-dalam dan terus melepaskan keluhan panjang seolah-olah mengeluh seperti ada sesuatu perkara yang membelenggu fikirannya. Dari jauh kelihatan seorang lelaki berjubah putih sedang perlahan-lahan mendaki bukit menghampiri lelaki yang sedang duduk di atas batu itu. Sebaik sahaja sampai, dengan lembut lelaki berjubah itu berdehem beberapa kali sambil memberi salam. Lelaki yang sedang duduk itu agak terkejut dengan sapaan lelaki berjubah itu. “Muaz! Jauh benar kau mengelamun. Apa yang sedang kau fikirkan tu?” “Adakah kau kesal atas apa yang terjadi selama ini?” kata lelaki itu sambil mengurut janggutnya. Lelaki yang bernama Muaz itu tersentak sedikit mendengar pertanyaan dari lelaki berjubah itu. Dengan perlahan dia berpaling. “Maaf bapa, aku tidak perasan kehadiran bapa tadi. Sebenarnya tiada apa yang aku fikirkan dan tiada sebarang kekesalan dalam hidup aku ini.” “Aku amat bersyukur dan perlu mengucapkan ribuan terima kasih pada bapa kerana hanya selepas aku mengenali bapa barulah aku tahu mengenal erti kehidupan ini. Aku mengerti setiap manusia itu dilahirkan untuk menyumbangkan sesuatu. Tiada kehidupan yang sia-sia diwujudkan oleh ALLAH,” kata Muaz dengan bahasa Arab yang lancar dan fasih. “Jadi apa yang kau menungkan tu,” tanya lelaki berjubah berkenaan sambil dengan perlahan duduk di sebelah Muaz. “Aku merenung kembali perjalanan hidup aku sebelum ini. Dari mana asal aku dan bagaimana aku telah terlontar ke daerah yang seumur hidup tidak aku kenali dan tahu. Dalam perjalanan hidup aku tidak pernah terfikir untuk aku berjuang untuk menegakkan nama Islam ini.” Sheikh Mahdi tersenyum mendengar kata-kata anak angkatnya itu. Dia sendiri tidak pernah menduga boleh berkenalan dengan lelaki itu dan menjadikannya sebagai anak angkat serta menyayanginya seperti anak kandung sendiri. “Muaz, kadang-kadang apa yang kita rancang tidak semestinya tercapai dan biasanya apa yang tidak kita rancang itulah yang sering terjadi. Itulah kebesaran ALLAH sebenarnya kerana dialah perancang yang terbaik.” Muaz mendongak. Merenung langit yang tidak berawan sambil mengenangkan kembali peristiwa tiga tahun dahulu yang bukan hanya melontarkan dia ke daerah ini tetapi telah mengubah terus jalan kehidupannya. Tiga tahun sebelumnya

SELEPAS berjaya keluar dari Kuala Lumpur, Kairi diarah memandu terus hingga sampai ke Pulau Indah di Klang. Dia diminta berhenti di tepi pantai. Ketua perompak itu sering berhubung dengan seseorang melalui telefon bimbitnya sambil sekali-sekala dia meninggikan suaranya seperti memarahi seseorang. Kairi hanya mendengar sahaja percakapan lelaki itu. Walaupun dia boleh bertutur sedikit dalam bahasa Arab tetapi tidak memahami sepenuhnya ayat yang dituturkan oleh lelaki itu kerana dia bercakap menggunakan dialek. Kerana kurang menggunakan bahasa Arab dalam perbualan seharian maka kemahirannya itu semakin lama semakin tumpul. „Nampaknya perompak ini bukannya calang-calang orangnya. Segala tindakan mereka telah dirancang terlebih dahulu. Aku rasa dari awal-awal lagi memang ketua perompak ini merancang untuk lari seorang diri,‟ bisiknya dalam hati. Selepas van itu menghampiri di pinggir pantai, Kairi melihat sebuah bot laju sudah tersedia di tepi pantai itu. Dua orang lelaki bercakap-cakap sambil menunjuk-nunjukkan tangannya ke arah van mereka. Apabila ketua perompak keluar dari van, dua lelaki itu terus berlari menuju ke arah ketua perompak itu dan mengangkat tabik. “Salam, tuan! Kita mesti tinggalkan tempat ini segera. Kapal terbang sudah tersedia menunggu kita di tanah seberang,” kata salah seorang lelaki itu. Ketua perompak mengangguk lalu menyuruh dua orang lelaki itu untuk mengangkut hasil rompakan di dalam van. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka bertanya kepada ketua perompak itu. “Bagaimana dengan budak ini? Boleh kita hapuskan dia sekarang?” Dia memandang ke arah Kairi dengan pandangan yang tajam. Kairi menggigil ketakutan, dia sedar kini masanya telah tiba. Dia sedang menghitung apabila kepalanya akan dihancurkan oleh peluru perompak itu. “Tuan, tolonglah jangan bunuh saya ini. Saya berjanji dengan nama ALLAH, saya tidak akan bocorkan siapa tuan ini. Tolonglah jangan bunuh saya.” Kairi merayu. “Maaf budak, perjalanan kau berakhir di sini, aku tidak boleh meninggalkan sebarang jejak,” kata ketua perompak sambil tersenyum. Dia mengambil senjata dari dalam poket begnya. Seraya itu dia menarik picu pistolnya dan terdengarlah letupan dari pistol itu. Sejurus kemudian, Kairi terus rebah di situ juga. Selepas menyelesaikan hal tentang Kairi, ketua perompak dan anak buahnya menaiki bot laju itu. Meluncur bak seludang membelah ombak dengan lajunya. Meninggalkan van itu dan sisa-sisa perbuatannya di bumi Malaysia. Sambil merenung pantai Pulau Indah. „Selamat tinggal bumi Malaysia, selamat tinggal rakan sepejuanganku yang telah gugur dan selamat tinggal mangsaku. Pasti satu masa nanti aku akan kembali jua ke sini lagi.‟ Ketua perompak berkata di dalam hatinya. SETELAH hampir tiga jam perjalanan, kini bot laju itu semakin menghampiri pantai Tanjung Balai di Sumatera. Dari kejauhan terdapat sebuah kapal terbang yang boleh terapung di permukaan laut sedang dibuai-buai oleh alunan ombak. Sebaik sahaja bot itu berhenti berhampiran kapal terbang itu, ketua perompak mengarahkan juruterbang pesawat ringan itu membuat persediaan untuk segera berlepas. Dua pengikutnya dengan tergesa-gesa memunggah hasil rompakan dari dalam bot ke dalam kapal

terbang itu. Setelah semua penumpang berada di dalam pesawat, perlahan-lahan kapal terbang itu bergerak. Sedikit demi sedikit ia terangkat dari permukaan air laut dan semakin meninggi meninggalkan bumi Sumatera yang bersejarah itu. Setelah hampir tiga jam pesawat itu terbang, semua penumpang pesawat itu tertidur. Juruterbang pesawat itu pula masih fokus sambil memerhatikan keadaan di luar untuk melihat keadaan cuaca. Dari satu sudut berhampiran barang-barang yang diangkut dari bot laju itu tadi kelihatan bergerak-gerak satu susuk tubuh. Perlahan-lahan Kairi membuka matanya seolah-olah baharu terjaga dari tidur yang panjang. Serentak itu kewarasan mindanya mula beransur-ansur hadir dan di balik cahaya yang samar-samar itu Kairi masih lagi tidak dapat mengecam di manakah dia berada. „Adakah aku ini telah mati, dan inikah kenderaan yang membawa aku menemui ALLAH penciptaku,‟ kata Kairi dalam hati. Semakin lama dia akhirnya dapat mengecam di manakah dia berada. „Oh, dalam kapal terbang rupanya, belum matikah aku ni? Tapi kan tadi aku telah ditembak?‟ Berbagai persoalan muncul di benak Kairi. Dia meraba pada bahagian perutnya yang telah ditembak oleh ketua perompak. Dia mendapati di bahagian itu ada tompok merah dan di tengah tompok itu ada lubang kecil seperti tusukan jarum dia berasa agak hairan. Dengan bersusah payah dia cuba berdiri dan apabila Kairi cuba berdiri, serta-merta dia tidak dapat mengawal kakinya dan terhuyung-hayang sebelum jatuh tersandar pada dinding kapal terbang. Penumpang lain dalam pesawat kecil itu tersentak dari lena dan memandang sekeliling. Semua mata akhirnya tertumpu pada Kairi yang cuba membetulkan kedudukannya. Secara perlahan-lahan ketua perompak itu berjalan menghampiri Kairi dan mencangkung di hadapannya. “Kau dah jaga? Aku Sheikh Mahdi, maaf kita tak sempat berkenalan sebelum ini.” Sambil memegang lengan Kairi, ketua perompak itu membantu anak muda bangkit dari jatuhnya. “Bagaimana aku tak mati lagi sedangkan kau telah menembak aku tadi?” Kairi terus merenung muka ketua perompak itu. Sheikh Mahdi ketawa kecil atas pertanyaan Kairi itu sambil tersenyum dia menjawab, “Jika peluru betul, sudah lama kau tidak ada di sini. Aku hanya menembak peluru pelali, kau hanya pengsan sahaja tadi.” Kairi terpaku dengan jawapan itu. “Kenapa kau tak bunuh aku? Ke mana kau mahu bawa aku ni? Bolehkah kau bebaskan aku?” Bertalu-talu soalan dilontarkan kepada ketua perompak yang kini Kairi telah tahu namanya iaitu Sheikh Mahdi. Sheikh Mahdi menarik Kairi dan mengarahkan dia duduk di kerusi di dalam pesawat kecil itu. “Sepanjang hidup aku berjuang ni, tidak pernah sekalipun aku membiarkan mangsaku hidup apatah lagi setelah melihat wajahku dan tahu namaku yang sebenar. Tetapi untuk kali ini aku ada agenda yang besar dan kau adalah kunci pada agenda ku ini.” Sheikh Mahdi duduk di sebelah Kairi. Kairi semakin bingung dan hilang kata-kata. “Tuan, boleh beri makanan.” Hanya kata-kata itu yang terpacul dari mulut Kairi. Sheikh Mahdi mengarahkan salah seorang konconya untuk mengambil makanan untuk tawanan mereka. Sebuku roti dihulurkan. Tanpa berlengah-lengah, Kairi terus makan dengan rakusnya. Mungkin kerana kelaparan dan tambahan pula dalam keadaan sedang keliru ini.

Apabila melihat Kairi makan dengan gelojohnya, Sheikh Mahdi berdiri. “Seharusnya kau membaca bismillah dahulu sebelum makan, pastinya kau ini seorang Islam.” Senyum Sheikh Mahdi dengan sinisnya. Apabila mendengar kata-kata Sheikh Mahdi itu, Kairi secara sepontan berhenti menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Dia hanya merenung kosong melihat Sheikh Mahdi yang berjalan menuju ke kokpit kapal terbang itu. Sedikit demi sedikit pesawat kecil itu memasuki ruang udara Sri Lanka. Ketika itu juruterbang memaklumkan menerusi pembesar suara bahawa dalam tempoh 30 minit lagi mereka akan mendarat di bandar Colombo. Serentak dengan pengumuman itu, Kairi yang sedang asyik menikmati makanan itu tersentak. „Sri Lanka? Takkan Sri Lanka dekat India sana?‟ tanya Kairi dalam hati. Selera makannya terus mati selepas mendengar pengumuman itu. Dengan perlahan dia bertanya kepada lelaki yang telah memberi makanan kepadanya tadi. “Ke mana kita nak pergi ni?” Sambil tersenyum lelaki itu berkata. “Tempat yang jauh dari tanah asal kau. Kita ke Afrika.” Mendengar jawapan itu muka Kairi bertukar pucat lesi. „Habis aku kali ni, Ya ALLAH bantulah aku ini,‟ rayu Kairi di dalam hati. Dalam hatinya terbenam rasa risau dan takut. Dia tidak menyangka begitu sekali terjadi pada dirinya, hanya dia berserah pada takdir sahaja. Kapal terbang itu beransur-ansur turun dan mencecah permukaan sungai di bandar Colombo. Sebuah van sedang menunggu mereka di tebing sungai. Sebaik sahaja pintu pesawat ringan itu dibuka, beberapa orang lelaki sibuk memunggah barang-barang masuk ke dalam van. Sheikh Mahdi menyuruh Kairi turun bersamanya dan masuk ke dalam van tersebut dan dalam hanya 15 minit. Van yang bercermin gelap itu menyusur dengan lajunya meninggalkan tebing Kolonnawa Canal. Kairi hilang kata-kata dan kelihatan seperti bingung. Dalam perjalanan selama sejam itu Kairi hanya melayan perasaan gundahnya. Sekali sekala menjeling pada Sheikh Mahdi yang sedang sibuk bercakap melalui telefon bimbitnya. „Afrika, Afrika macam mana ni, apa yang aku patut buat ni,‟ kusut fikiran Kairi memikirkan apa yang terjadi dan apa yang akan terjadi nanti. Setelah van itu berhenti di satu tempat yang Kairi tidak ketahui, semua orang bawahan Sheikh Madhi segera memunggah keluar barangan dari van itu. Sheikh Mahdi berjalan kepada Kairi dan berkata dengan nada yang tegas. “Pergi tolong mereka angkut beg ke dalam kapal terbang, kau bukan lagi tebusan atau orang tawananku tetapi kini orang bawahan aku.” Selepas itu, Sheikh Mahdi terus menuju ke pesawat jenis Learjet 31. Kairi terpinga-pinga dengan arahan terbaru dari Sheikh Mahdi itu dan perlahan-lahan dia mengambil beg yang mengandungi wang rompakan dari Bank Amtrap itu dan membawa masuk ke dalam pesawat itu. „Jika aku ini bukan lagi tebusannya, kalau aku lari dari sini pasti dia tidak akan membunuh aku.‟ Kairi pun terfikir dalam hatinya. Kairi berkira-kira untuk lari dari tempat itu. „Tetapi mana aku nak lari, bumi inipun aku tak tahu dan mana arahku nak dituju,‟ soal kembali Kairi dalam hatinya. Setelah agak lama berperang dalam hatinya sendiri maka Kairi pun membuat keputusan. „Jika takdirnya

aku mengikut lelaki itu maka akan ku tempuhi jalan yang telah ALLAH rencanakan, apa yang terjadi selepas ini akan ku tahan selama mana yang aku mampu, ALLAH berikan petunjuk dan jalan bagiku,‟ doa Kairi dalam hati. Sebaik sahaja pesawat itu membelah langit, maka pada masa itulah juga perjalanan hidup seorang anak muda dari Malaysia ini akan berubah selama lamanya. Takdir hidupnya selepas ini akan dipenuhi dengan perjuangan, pertempuran dan pertumpahan darah yang tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun. Nama Kairi juga akan lenyap seperti dirinya yang kini semakin dilupai selepas peristiwa rompakan terbesar di Bank Amtrap, Kuala Lumpur itu.

MUAZ tersentak apabila bahunya ditepuk oleh Sheikh Mahdi. “Kau terkenangkan masa silammu?” Sheikh Mahdi tersenyum. Sambil menarik nafas dalam-dalam, Muaz tersenyum pahit. “Adakah kau kesal dengan perjalanan hidup kau ini atau kau mahu kembali ke tempat asalmu.” “Tidak, bapa! Tiada penyesalan dalam hidupku ini. Cara hidup begini adalah jalan yang aku pilih sejak bapa membebaskan aku di Sri Lanka itu. Dari seorang tebusan kepada menjadi pengikut bawahan bapa. Aku telah bertekad dalam hati bahawa jika inilah takdir hidup aku, maka akan aku tempuhi sepenuh hati.” Muaz menjawab dengan tegas. Sheikh Mahdi ketawa kecil mendengar pengakuan anak angkatnya itu. “Hahaha... bagus anakku. Kau bukan anak muda mentah yang aku kenali dahulu tetapi kau adalah seorang pejuang yang terbaik di antara semua pengikutku. Marilah, sudah hampir masuk waktu solat. Selepas itu aku mahu berbincang sesuatu dengan kau.” Seraya itu Sheikh Mahdi bangun dan berjalan bersama Muaz menuju ke kem kumpulan mereka di celahcelah kawasan pergunungan. Malam itu selepas bersolat diimamkan oleh Sheikh Mahdi sendiri, semua ahli Gerakan Jihad Ulislam berkumpul. Duduk bersila membuat bentuk U dan di hujungnya duduk bersila Sheikh Mahdi. Di sebelahnya, Muaz bersama pemimpin kanan Gerakan Jihad Ulislam. Sambil menarik nafas perlahan-lahan, Sheikh Mahdi mula membuka bicara. “Salam perjuangan anak-anakku dan rakan seperjuangan semua. Tujuan aku memanggil kamu semua adalah untuk meraikan dan memaklumkan program latihan ketenteraan kita yang telah kita jalankan untuk kumpulan elit kita selama tiga tahun ini telah tamat. Bermula esok hari, semua ahli yang telah bertungkus lumus selama ini akhirnya telah layak untuk membawa panji-panji perjuangan gerakan kita ini. Kita perlu ingat yang kita ini bukan pengganas atau militan seperti digembar-gemburkan oleh pihak musuh kita. Tetapi kita ini pejuang anti kezaliman, kemungkaran dan kita ini wujud kerana mereka itu.” Serentak dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Sheikh Mahdi itu suasana ruangan tempat berkumpul itu terdengar jeritan kegembiraan dan takbir memuji nama ALLAH Yang Maha Esa.

Sheikh Mahdi membiarkan seketika anak-anak buahnya itu meraikan kejayaan itu. “Tetapi anak-anakku jangan terlalu bergembira kerana selepas ini corak perjuangan dan pertempuran yang kamu semua lalui bukan lagi latihan semata-mata tetapi dunia sebenar. Jika salah langkah atau salah perkiraan, nyawa jadi taruhannya. Di luar sana itu kita akan dianggap sebagai orang yang salah walaupun kita di pihak yang benar,” kata Sheikh Mahdi dengan nada yang tegas dan serius. Mendengar kata-kata ketua mereka itu, semua ahli gerakan tersebut terdiam dan mengangguk tanda faham. “Baiklah, seperti yang kita tahu program latihan kita ini sudah berakhir. Hasilnya, aku ingin memaklumkan dari dua puluh lima orang pelatih yang telah bertungkus lumus mengikuti program yang memang dirancang begitu sukar dan merbahaya begini, semuanya telah menamatkan dengan jayanya. Mulai esok dua puluh tiga orang pejuang kita yang baharu ini akan dihantar ke kem-kem Gerakan Jihad Ulislam yang berselerakan di seluruh Algeria ini.” Mendengar berita itu, semua pelatih program itu terus bersorak gembira kerana segala penat lelah dan usaha mereka selama ini telah berjaya. “Dan seterusnya aku ingin memaklumkan bahawa dua orang lagi akan dihantar untuk operasi khas di negara lain. Dua orang itu ialah Khalib Razim dan Muaz,” sambung Sheikh Mahdi. Mendengar berita itu, semua pelatih program itu terus bersorak gembira kerana segala penat lelah dan usaha mereka selama ini telah berjaya. Mereka yang terpilih itu terus dihujani dengan ucapan tahniah dan tepukan kegembiraan. Saat yang paling ditunggu oleh semua orang pejuang Islam ini ialah apabila mendapat mandat dari pihak atasan untuk menjalankan operasi khas. Kerana dalam operasi ini cabarannya amat getir. Jika mereka gugur semasa operasi khas ini mereka bukan hanya disanjung oleh semua ahli Gerakan Jihad Ulislam ini sahaja tetapi kematian mereka itu dianggap sebagai mati syahid. Itulah pengakhiran yang diingini oleh semua pejuang Islam ini. Ketika majlis yang meriah itu asyik diraikan, Sheikh Mahdi berbisik kepada Khalib Razim dan Muaz. “Selesai majlis ini kamu berdua jumpa aku di bilik taklimat kita.” Kedua-dua anak muda itu merenung muka Sheikh Mahdi yang semakin tua dan mula dihinggapi oleh kesan-kesan kedutan, serentak dengan itu kedua-dua anak muda tersebut mengangguk faham.

SELEPAS berakhirnya majlis itu, dalam bilik taklimat di pergunungan Ouled Nail, ditemani lampu pelita, tiga orang penting Gerakan Jihad Ulislam sedang duduk. Sheikh Mahdi, ketua gerakan itu, Khalib Razim dan Muaz sedang berbincang tentang misi pertama mereka. “Anak-anakku, kamu adalah yang terbaik dari yang terbaik. Dari dua puluh lima orang pejuang generasi baharu yang telah aku latih selama ini, aku mendapati hanya kamu berdua sahaja yang layak untuk memikul tugasan ini. Aku percaya selepas ini kamu bukan hanya mewakili gerakan kita sahaja tetapi akan menjadi pejuang dunia Islam yang sebenar.

Berjuang atas nama Islam untuk menghapuskan orang-orang kafir yang membawa kemusnahan kepada agama kita. “Kita bukan hanya berjuang bersendirian, tetapi seluruh organisasi gerakan Islam akan saling membantu untuk menegakkan agama yang syumul ini. Tetapi, ingat anakku agama Islam ini bukan lahir dari kekerasan. Dan kecemerlangannya sehingga hari ini bukan kerana keganasan. Agama kita ini ajaran yang paling lembut dan berhemah, tetapi jika kita sering ditindas dan agama kita diganggu gugat, kita mesti bangkit mempertahankannya. Ingat itu anakanakku.” Sambil menarik nafas yang panjang Sheikh Mahdi meneruskan luahannya. “Jika aku masih sekuat kamu dan mempunyai kepintaran seperti kamu berdua ini, aku sanggup berjuang dan menjadi korban demi memastikan Islam ini terus kukuh. Kini aku hanya ada buah fikiran sahaja. Untuk itu aku amat menaruh harapan kepada kamu berdua ini untuk meneruskan perjuangan kita ini seperti mana pejuang-pejuang sebelum kita ini. Ah, maafkan aku kerana bercakap panjang. Bila bercerita tentang perjuangan, aku jadi bersemangat,” tambah Sheikh Mahdi. Kedua-dua anak muda itu terus tekun mendengar ucapan dari seorang ketua yang mereka kasihi. Mereka mendengar dengan sabar kerana sedar mulai malam ini, perjalanan hidup mereka akan berubah. Tiada lagi peluang untuk undurkan diri. Di luar sana bukanlah tempat untuk mereka menjalani latihan seperti tiga tahun yang penuh ujian dan cabaran ini. Tetapi di luar sana itu adalah kehidupan yang sebenar. Sambil memegang sebuah fail yang kelihatan masih baharu lagi, Sheikh Mahdi memandang kedua-dua pemuda harapan itu. “Anakku, aku baharu sahaja mendapat permintaan daripada pertubuhan Al-Itihad Salamun berpengkalan di Somalia. Ketuanya, Hajuj Hassan Damir Aiys atau lebih dikenali sebagai Hassan Aiys adalah rakan lamaku. Kami pernah sama-sama berjuang di Palestin semasa perang memerangi Israel pada era 60an dahulu. Dia memaklumkan bahawa di Somalia kini sedang mula berkembangnya revolusi Islam dan gerakan untuk menumbangkan Mohammed Saidek Bakii, Presiden Somalia yang zalim dan kejam itu.” “Dia pemimpin boneka yang didalangi oleh Amerika Syarikat. Hassan Aiys meminta aku untuk menghantar bantuan untuk Jeneral Mohd Farid Abass, pemimpin gerakan Islam di sana untuk menumbangkan pemimpin boneka itu,” tegas Sheikh Mahdi. Sheikh Mahdi meneruskan lagi kata-katanya, tanpa memberi ruang kepada dua orang anak muda itu untuk bertanyakan soalan. “Esok kamu akan dihantar menyusup ke Somalia dan membantu Mohd Farid Abass untuk merangka rancangan membunuh pemimpin boneka ini. Bantu dia berkuasa. Jangan kamu risau kerana semua urusan kemasukan kamu telah aku uruskan. Hassan Aiys dan Jeneral Abass sendiri yang mahukan aku menghantar orang yang terbaik dari kalangan kita, jadi pastikan kamu tidak gagal dan memalukan pertubuhan kita. Ini adalah maklumat tentang operasi kamu itu.” Sheikh Mahdi menyerahkan fail itu.

Debaran di dadanya dan reaksi rasa terkejut masih lagi kelihatan di muka Muaz. Dia tidak menyangka selepas tamat sahaja latihan ini dia akan dihantar untuk satu misi yang tidak pernah termimpi dan terbayangkan olehnya. Misi ini terlalu besar. Dia berkata dengan nada yang perlahan. “Err... Bapa, aku tak yakin untuk pikul tanggungjawab ini. Bolehkah hanya Khalib sahaja yang lakukan?” Sebaik mendengar kata-kata Muaz itu, air muka Sheikh Mahdi pun berubah dan setelah terdiam beberapa ketika dia berkata dengan tenang. “Muaz, tiada orang lain lagi yang layak selain kamu berdua untuk misi ini. Yakinlah, kerana aku percaya kamu akan berjaya dan aku juga cukup yakin misi ini akan mengubah hidup kamu dan pandangan kamu tentang erti perjuangan kita, percayalah!” Khalib dengan wajah selamba dan dalam nada yang geram pun berkata. “Cis! Penakut betul kau ni, Kau hanya menyusahkan dan akan memalukan pertubuhan kita sahaja. Bapa, biarkan aku seorang sahaja yang pergi. Aku yakin mampu menumpaskan lelaki itu hanya dalam masa yang singkat sahaja.” Mendengarkan kata-kata Khalib itu, Muaz hanya menundukkan kepalanya. Tidak terlihat riak marah atau malu kerana dihina oleh rakannya itu kerana dia tahu tahap kemampuannya. Dia tidak mahu memalukan gerakan mereka ini. Sheikh Mahdi dengan suara yang tenang berkata. “Aku telah membuat keputusan dan maklumat tentang kamu berdua pun telah aku hantar kepada Mohd Farid Abass, jadi tiada lagi alasan dari kamu berdua untuk tidak mengikut perancangan ini. Ini adalah arahan daripada aku. Pergilah kamu tidur kerana esok kamu akan menempuh perjalanan yang jauh dan amat memenatkan.” Muaz hanya mengangguk-angguk tanda akur dengan arahan daripada Sheikh Mahdi. Dia tidak akan menolak lagi arahan dari bapa angkatnya itu kerana Sheikh Mahdi lebih mengetahui apa yang dia lakukan. Jika itulah keputusan bapanya, dia akan mengikutinya. Perlahan-lahan Muaz dan Khalib meninggalkan ruangan taklimat itu. Segala macam perkara bermain di minda mereka berdua. Esok perjalanan hidupnya sebagai pejuang yang sebenar akan bermula. SEPANJANG malam Muaz tidak boleh melelapkan matanya. Berbagai perkara bersarang di benaknya. Lebih-lebih lagi tentang misi yang akan dijalankannya. Kerana tidak boleh melelapkan mata, dia keluar dari khemahnya. Sambil memegang secawan kopi panas dia duduk melihat langit yang dihiasi dengan bintang-bintang yang bertaburan itu. “Ah... alangkah indahnya ciptaan ALLAH ini. Bagaimana manusia sanggup menghancurkannya?” kata Muaz di dalam hatinya. Tiba-tiba dia terdengar satu suara di belakangnya. “Aku tahu kau pastinya tidak boleh tidur kerana memikirkan perkara yang telah terjadi itu, kan.” Dengan segera Muaz berpaling. Sheikh Mahdi dengan jubah tidurnya berdiri di belakangnya.

“Tak adalah, bapa. Aku hanya ambil angin malam sahaja. Aku tak tahu bila lagi aku ada peluang untuk melakukan seperti ini lagi.” “Muaz, Muaz... kau tahu tak kau ini bukan penipu yang baik? Aku tahu apa yang bersarang di hati kau,” kata Sheikh Mahdi sambil duduk di sebelah Muaz. “Kau tahu tak? Sebenarnya kaulah pelatih terbaik itu bukannya Khalib.” Muaz tersentak mendengar kata-kata ketuanya itu. “Apa maksud bapa ni?” Sambil tersenyum Sheikh Mahdi berkata. “Jika mengikut penilaian kami dari semua aspek sepanjang latihan ini, kamu meninggalkan Khalib begitu jauh sekali. Kamulah yang terbaik tetapi ada sebabnya kenapa kami memberi kemenangan ini kepada Khalib.” “Aku tak fahamlah, bapa. Boleh bapa jelaskan lagi?” “Kamu bukan orang Algeria berdarah asli manakala Khalib itu adalah orang tempatan dan berdarah Arab. Jika kami beri kemenangan kepada kau, tentunya semua penyokong kuat orang Algeria berdarah Arab akan marah kerana kau bukan orang Arab tulen. Kemenangan Khalib adalah untuk menyatukan semua orang di dalam pertubuhan ini. Mereka masih lagi menganggap kau sebagai orang luar. Kau tentu faham maksud aku ni, kan?” Mendengar penjelasan dari bapanya itu barulah Muaz faham kenapa dia tidak diberi gelaran pelatih terbaik. Kemenangan Khalib adalah untuk menjaga dan menyatukan pertubuhan ini. Hati Muaz menjadi tenang kembali kerana dia tahu dia yang terbaik. Di dalam hatinya telah ditanamkan tekad untuk membuktikan pengiktirafan itu.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful