Kau mahu aku ceritakan satu dari beratus cerita tentang hidup?

Hidup yang dibangun-susun dari sesuatu yang disimpan untuk kematian. Ya, kematian yang sebenar. Mati. Ceritanya begini. Berpatah pulang, kembali ke belakang, untuk beberapa tahun. Sekitar 2009, di pertengahan, seingat aku. Ya, seingat aku. Aku mundar mandir di dalam rumah sendiri. Rumah yang terlalu penuh dengan beban emosi jiwa penghuninya, seperti aku. Tersusun, satu per satu di dinding, Bukan untuk perhiasan, tapi sekadar peringatan. Mungkin. Hati seorang mak, terlalu faham akan anaknya, walaupun dalam sesetengah keadaan, si anak langsung tak memahami dirinya sendiri. Lumrah? Atau magik dari Tuhan? Untuk setiap insan. --Ni kenapa macam tak senang duduk? Persoalan ringkas yang sudah cukup untuk buat mata aku mula berkaca. Aku cuba untuk berdiam. Tapi mak seakan faham yang sebentar lagi anaknya pasti bersuara. Perlahan. Menyusun kata. Mengatur bahasa. Mencongak rasa. --Hal PUNB. Nak buka akaun semasa, kena ada duit... Ringkas. Sebab aku masih beralas ego, mungkin. Mungkin cuba menyatakan hal ini kecil cuma. --Berapa? --Dua ribu. Tinggi sebab akaun semasa. Yang ada buku cek tu. Kalau tak buka, tak dapat pinjaman... Aku menerangkan situasi tanpa perlu dipinta. --Kamu ada ker duit? Kali ini, air mata aku betul-betul menitis. Ego sudah lama jatuh ke lantai. Pandangan mula kabur, seperti mana kaburnya masa depan aku sendiri pada waktu ini. Bahkan mungkin lebih. Berapa sangat yang aku ada dengan kerja yang kadang gajinya sehari sepuluh ringgit cuma. Aku hanya menggeleng. --Takde…adik takde duit… Suasana diam seketika. Sikit pun aku tak berani pandang muka mak. Bukan takut, tapi malu. Aku kesat air mata aku. Cuba tunjuk tabah. Tapi hakikat sebenarnya, aku rapuh. Terlalu. Faham dan sedar akan hakikat nyata, tanpa RM2000, aku tak mungkin punya masa depan walaupun semuanya hampir separuh jalan. Mengenangkan semua jalan busuk-bodoh yang terpaksa aku ambil, air mata aku makin laju sujud ke bumi. Hati seorang mak. Dia tahu anaknya kesempitan. --Mak takde duit… Yang ade kat mak, duit tok kamu, dengan sikit duit upah mak jaga budak. Tok suruh mak simpan duit dia. Buat belanja bila dia meninggal nanti. Duit kubur, duit upah haji dia, segala la. Mak cuba menerangkan situasi. --Tak payah la… --Amek dulu, tapi kena janji la bayar balik… nanti mak cakap dengan tok… Mak aku berlalu pergi, dan datang dengan kad ATM Maybanknya. Kad yang dia sendiri kurang faham cara penggunaannya. --Nah, pergi bawa keluar 2000 tu. Buat akaun. Kalau tak cukup, kena gadai la barang kemas mak.

Tergamam tanpa kata. Tanpa senyum. Tanpa apa. Tanpa. Mak aku tak kaya. Tok aku terima zakat. Keluarga aku cukup sederhana. Dua ribu itu sudah cukup besar nilai bebannya pada kami. Tapi mak, membantu sedaya upaya. Memberi apa yang ada.

Maka, itu la hakikatnya. Bisnes aku bertapak dengan duit upah jaga budak, duit upah haji, duit tanah kubur, dan duit urus jenazah. Hidup kadang dibina dari suatu yang bersangkut dengan kematian. Apa yang mati, kau sendiri tahu tafsirkan. Dan untuk kau yang berhempas pulas demi masa depan yang cuma sesaat, cerita aku ada bersama kau. Riduan A.dullah Ditulis semula pada 2013. Untuk kau. FB: Riduan A.dullah Twitter : @riduanadullah

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful