You are on page 1of 3

Tanah runtuh, bencana terancang buatan manusia

PERSIDANGAN Menteri Asia mengenai Pengurangan Risiko Bencana berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa dan Rabu lalu. Pada akhir persidangan itu, peserta membuat kesepakatan melalui pengisytiharan Deklarasi Kuala Lumpur supaya setiap negara mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko bencana, khususnya bencana alam yang sudah mengorbankan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda awam. Antara perkara asas dibincangkan ialah keperluan menerapkan aspek pengurangan risiko bencana dalam dasar dan perancangan pembangunan, meningkatkan keupayaan institusi dan komuniti apabila berdepan dengan bencana, dan kepentingan tindakan pelbagai pihak, terutama kerjasama antara agensi awam dan swasta dalam pengurusan bencana. Secara kebetulan, sehari sebelum persidangan berlangsung, masyarakat Malaysia digemparkan dengan kejadian tanah runtuh di Hulu Yam, Selangor sebuah rumah banglo musnah dan dua adik beradik yang tidur di bilik belakang rumah terbabit, terkorban. Sehari selepas persidangan, satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Semantan, Bukit Damansara. Walaupun tiada terkorban, dinding penahan yang pecah dan runtuh bersama batuan dan tanah, menimbus hampir 20 kenderaan berada di bawahnya. Subuh kelmarin, kita digemparkan lagi oleh tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah di Hulu Klang. Sehingga semalam, empat orang dilaporkan terkorban, 23 orang cedera dan dibawa ke hospital. Kejadian ini membabitkan 14 banglo tertimbus, termusnah dan terheret oleh pergerakan tanah runtuh. Beberapa perkara penting yang perlu difahami mengenai risiko tanah runtuh di Semenanjung ialah kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku bukan bencana alam, sebaliknya lebih tepat jika dinamakan sebagai bencana buatan manusia atau bencana teknologi. Dalam konteks ini, tanah runtuh berlaku pada cerun buatan manusia, sama ada pada cerun potongan atau cerun tambakan. Cerun potongan dan tambakan lazimnya dibina untuk membolehkan satu permukaan rata disediakan untuk memudahkan pembinaan, umpamanya membina lebuh raya dan kawasan perumahan.

Dalam keadaan ini, jurutera reka bentuk sudah mengambil kira risiko cerun yang bakal dibina dan mengambil langkah pengukuhan dan penstabilan diperlukan. Bencana buatan manusia lebih mudah dihindarkan atau risikonya dikurangkan berbanding bencana semula jadi. Penyelesaian jangka panjang membabitkan usaha tiga pihak yang terbabit dalam suatu kejadian tanah runtuh iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju pembangunan dan komuniti pengguna. Bagi kawasan berisiko bencana tanah runtuh yang tinggi, pihak berkuasa perlu mempunyai dasar, perancangan dan garis panduan jelas untuk pembangunan di kawasan berbukit. Pihak berkuasa tempatan perlu mempunyai sumber institusi dan teknikal mencukupi, terutama bagi meluluskan pembangunan, mengawal kerja pembangunan dan pemantauan berterusan cerun berisiko tanah runtuh tinggi yang sudah dibangunkan. Kawasan seperti Bukit Antarabangsa yang sering dilanda kejadian tanah runtuh memerlukan satu sistem amaran awal berkesan untuk keselamatan awam. Pihak pemaju pula perlu mempunyai etika iktisas pembangunan yang tinggi. Bagi kawasan berisiko tanah runtuh tinggi, perhatian utama perlu diberikan kepada keselamatan awam. Pelbagai pendekatan dan teknik kejuruteraan sudah tersedia untuk memastikan kestabilan cerun buatan terjamin dan pengguna tidak terdedah dengan risiko yang tinggi. Bagaimanapun, teknik kestabilan cerun yang baik memerlukan kos tinggi, bererti pembangunan di kawasan berbukit membabitkan kos tinggi. Pemaju perlu prihatin dan bersikap jujur ketika menyediakan reka bentuk cerun dan memantau kerja pembinaan dengan lebih berhati-hati. Bagi pihak pengguna, mereka sepatutnya sanggup membayar lebih untuk mengurangkan risiko bencana jika berminat tinggal di kawasan perbukitan. Pihak lebih penting untuk menghindar atau mengurangkan risiko tanah runtuh ialah komuniti pengguna. Mereka mempunyai pilihan sama ada mahu duduk di kawasan berisiko tanah runtuh tinggi atau memilih tinggal di kawasan lebih selamat. Pilihan ini banyak berasaskan kepada keutamaan gaya hidup dan kesedaran mengenai bahaya tanah runtuh.

Bagaimanapun, jika sudah berada di kawasan berisiko tanah runtuh tinggi, pengguna boleh mengambil beberapa tindakan proaktif. Salah satu cara paling berkesan ialah meningkatkan pengetahuan dan sensitiviti mengenai bahaya kemungkinan berlaku tanah runtuh yang boleh memusnahkan harta benda atau meragut nyawa. Lazimnya, beberapa hari, minggu malah berbulan sebelum berlaku suatu tanah runtuh utama, kita akan dapat perhatikan tanda-tanda awal pergerakan cerun yang tidak stabil. Tanda-tanda ini meliputi antaranya: Terjadi jatuhan batu atau tanah secara kecilan; Aliran air bawah tanah berlebihan dari permukaan cerun; Rekahan di permukaan jalan, dinding penahan dan permukaan tanah semakin melebar; Parit atau longkang menjadi semakin sempit disebabkan himpitan pergerakan cerun; dan Dinding penahan mengalami pemiringan atau perlengkungan. Tanda seperti ini adalah amaran awal paling berkesan dan perlu diberikan tindakan segera. Penghuni boleh melaporkan pemerhatian sebegini kepada pemaju, pihak berkuasa tempatan atau polis. Jika laporan ini tidak diberikan perhatian sewajarnya, bantuan daripada ahli atau pakar geoteknik atau ahli geologi kejuruteraan boleh diperoleh untuk mendapatkan penilaian awal. Meramal sesuatu kejadian tanah runtuh, terutama apabila dan di mana ia akan berlaku adalah suatu perkara yang sangat sukar. Bagaimanapun, pengetahuan mengenai kejadian tanah runtuh lampau di sesuatu kawasan adalah kaedah paling berkesan untuk meramal apa yang mungkin boleh terjadi pada masa depan. Setiap tragedi tanah runtuh di samping membawa berita sedih, turut membawa bersamanya pengajaran sangat bernilai. Malangnya manusia masih enggan mengambil pengajaran dan mengambil langkah positif untuk menghindarkan kejadian akan datang. Apabila tragedi berlaku lagi kita masih memperkatakan perkara sama!