You are on page 1of 2

3/3/13

Berita Harian | Pertubuhan digesa berciri 1Malaysia

SURAT

Pertubuhan digesa berciri 1Malaysia


2011/01/17 - 22:59:55 PM Emel Kaw an Cetak

PERPADUAN adalah anugerah yang perlu dipelihara setiap rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Rakyat yang cintakan keamanan harus menyumbang ke arah mengekalkan keharmonian dan perpaduan serta meningkatkan usaha mempromosi budaya aman, harmoni dan bersatu. Perpaduan dan keharmonian amat penting di segenap pelosok dunia dan tidak terkecuali di Malaysia. Bagi memastikan negara harmoni dan rakyat bersatu padu, kita perlu memperbanyakkan aktiviti membabitkan pelbagai kaum dan etnik bermula pada peringkat awal. Pendidikan mengenai perpaduan patut bermula di sekolah dengan memberi pendedahan awal pada peringkat pusat asuhan, sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi dengan satu program boleh dihasilkan bagi mempengaruhi nilai keharmonian dan perpaduan. Pendidikan mengenai perpaduan juga harus ada di kawasan kejiranan kerana di situlah nilai kehidupan bermula. Tanggungjawab memperkenalkan konsep perpaduan dalam konteks negara berbilang bangsa tidak hanya dipikul kerajaan. Justeru, sektor swasta turut memainkan peranan penting yang perlu digalas bersama. Sektor ini juga harus meletakkan syarat bahawa sumbangan korporat dan tugas kebajikan tidak hanya memperlihatkan penajaan bersifat daya tarikan dan ganjaran menarik berunsurkan hiburan secara besar-besaran saja. Kumpulan syarikat juga dapat menyumbang ke arah mengetengahkan keharmonian dan menyatukan pelbagai kaum, mempromosikan pemahaman serta saling menghargai menerusi organisasi ilmu sivik, kebudayaan dan aktiviti kesukanan. Dalam memperlihatkan kecenderungan ke arah mempromosikan perpaduan, penubuhan kelab pelbagai kaum, lembaga dan organisasi amat digalakkan. Keutamaan harus diberi kepada penubuhan organisasi pelbagai kaum bagi menggalakkan interaksi di kalangan berbilang bangsa dan akhirnya mampu menyumbang kepada perpaduan. Bagi mereka yang ingin mendaftar pertubuhan baru, pembabitan semua kaum amat digalakkan mengikut kedudukan yang munasabah. Hal ini mungkin tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, namun dalam menunjukkan minat ke arah perpaduan dan persefahaman antara kaum, mereka digalakkan untuk mempunyai keahlian berbilang kaum. Cadangan penubuhan kelab perpaduan di sekolah adalah satu langkah bijak. Menerusi kelab dan aktiviti yang dianjurkan, pelajar lebih memahami erti perpaduan sebenar. Mereka juga dapat mendalami lima Prinsip Rukun Negara yang akhirnya memacu ke arah pelaksanaan dan memperkenalkan erti perpaduan dan keharmonian. Pendedahan kepada Rukun Negara wajib bagi generasi muda sebagai panduan dalam
www.bharian.com.my/bharian/articles/Pertubuhandigesaberciri1Malaysia/Article 1/2

3/3/13

Berita Harian | Pertubuhan digesa berciri 1Malaysia

menentukan hala tuju pembangunan bangsa di samping mengekalkan perpaduan. TAN SRI LEE LAM THYE, Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

www.bharian.com.my/bharian/articles/Pertubuhandigesaberciri1Malaysia/Article

2/2