You are on page 1of 20

1.

Pengenalan. Kaedah pengajaran dan pembelajaran matematik merupakan bahagian yang penting

dalam proses menyampaikan idea dan penyelesaian masalah matematik supaya murid-murid dapat menguasai kemahiran-kemahiran di dalam subjek matematik. Pelbagai kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik tetapi perbincangan dalam tugasan ini hanya membandingkan samada konstruktivisme atau latih tubi yang paling berkesan. Sebelum mengorak langkah untuk memilih samaada konstrutivisme atau latih tubi yang paling berkesan kita perlu memahami satu persatu maksud perkataan dalam tajuk tugasan ini iaitu Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Matematik: Konstrutivisme atau Latih Tubi. 1.1 Pengertian Kaedah. Kaedah ialah satu siri tindakan guru yang sistematik dan berturutan serta bertujuan mencapai objektif spesifik, iaitu jangka pendek sesuatu pelajaran. Kaedah juga membawa implikasi penyusunan. Oleh itu, kaedah pengajaran bermaksud tindakan-tindakan yang guru lakukan dalam mengendalikan proses pengajaran-pembelajaran dengan cara mendekati sesuatu objektif dengan langkah-langkah yang tersusun dan teratur. Persediaan bakal guru bukan sahaja perlu mantap dari segi ilmu pengetahuan tetapi mestilah mempunyai kemahiran dalam kaedah penyampaian pengajaran. Kaedah yang akan digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran mestilah sesuai dengan subjek yang diajar dan keadaan persekitaran kelas. Guru yang berkesan ialah guru yang serba mahir dalam pelbagai kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai untuk muridnya. Kaedah-kaedah pengajaran matematik adalah bahagian yang penting dalam proses menyampaikan idea dan penyelesaian masalah matematik supaya murid-murid dapat menguasai kemahiran-kemahirannya. 1.2 Pengertian Pengajaran. Pengajaran ialah sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran juga bermaksud aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran tertentu. Pengajaran matematik yang berkesan akan melibatkan beberapa kemahiran antaranya perancangan mengajar, pelaksanaan pengajaran, penyediaan latihan yang berterusan dan pelbagai, pengayaan dan pemulihan, menilai kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran, pengurusan bilik darjah serta penilaian terhadap bahan dan kurikulum matematik.

1.3

Pengertian Pembelajaran. Pembelajaran merupakan proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran.

Pembelajaran merupakan satu proses interaksi yang melibatkan pelajar, pengajar dan persekitaran. Interaksi individu dengan persekitaran adalah penting bagi mewujudkan pengalaman yang pelbagai untuk terjadinya pembelajaran. Selain itu, pembelajaran merupakan proses interaktif iaitu hasil aktiviti guru dan pelajar yang menjadi elemen utama dalam suasana pembelajaran yang spesifik. Bentuk interaktif dalam pembelajaran berkait rapat dengan kefahaman guru tentang sifat setiap individu pelajarnya. Gregore & Ward (1977) mengatakan bahawa pendidik yang mahukan kejayaan tugasnya ke atas individu pelajar haruslah memahami makna individu, dan mereka mesti menghubungkan cara pengajaran dan cara pembelajaran individu berkenaan. Mengikut Robert M. Gagne (1970) dalam The Condition of Learning, pembelajaran merupakan perubahan tingkahlaku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan. Manakala mengikut Woolfolk (1980) dalam Educational Psychology for Teachers, pembelajaran dilihat sebagai perubahan dalaman yang berlaku kepada seseorang dengan membentuk perkaitan yang baru, atau sebagai potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru. Oleh itu, dapat dirumuskan dari maksud pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada proses mengajar dan belajar yang dijalani oleh guru dan pelajar.
1.4

Pengertian Matematik. Matematik ialah satu bidang ilmu yang melatih minda seseorang pelajar supaya dapat

berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Sifat matematik secara tabiinya menggalakkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran. Oleh itu, kita dapat rumuskan bahawa matematik mempunyai keindahannya yang tersendiri kerana matematik memerlukan pembuktian yang kukuh, penguasaan simbol yang efisyen dan jitu, serta pertalian antara struktur-struktur matematik yang berkaitan. Sebagai satu kajian sosial, matematik bukan sahaja membincangkan alat-alat dan tatacara yang berkaitan dengan sistem-sistem nombor tetapi matematik itu juga membicarakan masalahmasalah yang dialami oleh orang semasa cuba memahami dan membuat penyelarasan yang sesuai dengan semua jenis pengalaman yang bersabit dengan kuantiti. (Frank J. Swetz, Liew Su Tim, 1983).

Terdapat tiga aspek utama yang perlu diterapkan dalam pemikiran pelajar tentang matematik. Aspek pertama ialah matematik sebagai penaakulan. Penaakulan di sini bermaksud pelajar-pelajar perlu membuat rumusan dan keputusan daripada input yang diterima. Dua jenis penaakulan yang lazim digunakan iaitu penaakulan induktif dan penaakulan deduktif. Kedua, matematik bukan sekadar alat untuk berfikir malah ia merupakan alat unutk menyampaikan idea dengan jelas dan tepat. Melalui matematik, pelajar-pelajar dapat mempersembahkan idea-idea secara bertutur, menulis, melukis gambar atau graf menggunakan bahan konkrit. Ketiga, matematik merupakan mata pelajaran yang memerlukan langkah-langkah penyelesaian yang tertentu. Oleh itu, penyelesaian masalah dapat menjana pemikiran pelajar yang bersistematik dan logik. Sistematik, kerana ia menjanakan cetusan pemikiran metodogikal mengikut langkah-langkah tertentu dan logik kerana ia memerlukan penyemakan untuk menentukan kemunasabahan sesuatu penyelesaian. Pengajaran dan pembelajaran dalam matematik berbeza dengan matapelajaran lain. Di samping kemahiran mengira yang melibatkan daya pemikiran dan kreativiti yang tinggi, ianya juga memerlukan kefahaman sesuatu konsep dengan tepat dan menyeluruh (NCTM, 1980; Cockroft, 1986; Nik Azis, 1992; Tg. Zawawi, 1997a). Setiap pendidik matematik mestilah bertanggungjawab untuk memiliki dan mengekalkan ketrampilan (competence) dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil kira keperluan dan tahap pencapaian para pelajar (NCTM, 1980). 1.5 Pengertian Konstrutivisme. Konstrutivisme dalam bahasa Inggeris constructivism berakar daripada perkataan construct yang bermaksud membina (Poh, 2000). Konstrutivisme merupakan teori yang menganggap bahawa pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda pelajar tetapi dibina dalam bersarkan pengalaman yang diterima. Nik Azis Nik Pa (1999) menerangkan bahawa konstruktivisme adalah tidak lebih daripada satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuan sendiri. Oleh itu, ini bermakna sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang individu adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh individu tersebut dan bukan suatu maklumat atau pengajaran yang diterima secara pasif dari luar. Teori konstruktivisme mengatakan bahawa murid membina makna mengenai dunia dengan mensintesis pengalaman baru terhadap apa yang mereka telah fahami sebelumnya.

Mereka membentuk peraturan me1alui refleksi mengenai interaksi mereka dengan objek dan idea. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak bermakna kepada mereka: mereka akan sama ada menginterpretasi apa yang mereka lihat supaya sesuai dengan peraturan sedia ada atau akan menyesuaikan dengan peraturan mereka sendiri untuk menerangkan maklumat baru tersebut dengan lebih baik (Brooks & Brooks, 1993). Sehubungan dengan itu, pembelajaran secara konstruktivisme akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid sementara guru hanya berperanan sebagai fasilitator yang membimbing mereka membina ilmu pengetahuan ataupun menyelesaikankan masalah yang dihadapi. Guru juga sebagai perekabentuk bahan pengajaran yang menyediakan peluang kepada mood untuk membina ilmu pengetahuan baru. Oleh itu, kaedah konstruktivisme memainkan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran matematik, khususnya di sekolah menengah. Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru perlu mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah bentuk baru tentang sesuatu ilmu pengetahuan dapat dibina. Dalam kajian Chong Lih Shun, 2008, pengetahuan guru pelatih tentang konstruktivisme yang amat sesuai dengan kehendak pendidikan sains dan matematik terkini. 1.6 Pengertian Latih Tubi. Latih tubi ialah pengulangan fakta-fakta dalam meningkatkan kecekapan tentang apa yang telah diajar ia bertujuan untuk mencapai tahap kemahiran atau untuk melekatkan sesuatu perkaitan supaya ia menjadi lebih kekal dalam ingatan. Dalam situasi pengajaran, latih tubi harus harus dielakkan dalam pelajaran yang bercorak kemasyarakatan ini disebabkan latih tubi dalam matapelajaran tersebut akan mengalakkan hafalan tetapi kaedah latih tubi amat digalakkan dalam matapelajaran matematik. Latih tubi amat sesuai untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti mengingati formula-formula yang penting. Kaedah ini telah lama digunakan iaitu sejak beribu-ribu tahun sebelum masihi, pada masa itu persekolahan masih belum wujud dan pengajaran khususnya agama diturunkan kepada anak cucu dengan kaedah latih tubi di mana kaedah ini telah digunakan oleh orang Yahudi untuk mengajar agama dan perkara-pekara berkaitan dengan Tuhan mereka. Bagi mereka Tuhan adalah satu-satu pekara yang tidak boleh dipersoalkan oleh murid-murid

mereka dengan itu latih tubi digunakan untuk mengajar murid-murid tersebut dan kaedah tersebut dikatakan sangat berjaya dan sangat berkesan sekali. Pada masa kini latih tubi masih digunakan kerana kaedah ini telah difahami dengan lebih mendalam dan kurang digunakan secara keterlaluan. Latih tubi biasanya digunakan dalam mengulang bahan dan mengucapan isi kandungan dihadapan guru. Oleh itu, latih tubi adalah sebahagian daripada usaha menghafal atau mengingat sesuatu. 2.0 Faktor Pemilihan Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran. Beberapa faktor yang perlu dititikberatkan dalam pemilihan sesuatu kaedah atau strategi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas agar matapelajaran yang bakal diajar bukan sahaja difahami dari segi konsep malah diaplikasikan dalam kehidupan seharian. 2.1 Gaya Pembelajaran Pelajar. Faktor yang pertama adalah gaya pembelajaran pelajar. Seorang guru perlu menyesuaikan dirinya dengan gaya pembelajaran yang digunakan pelajar-pelajarnya agar sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan. Tidak dapat dinafikan perkara ini bukan mudah tapi itulah perkara yang perlu dilihat sebelum guru itu menggunakan strategi yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran. Menurut bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Tuan Haji Ahmad Mohd. Said, beliau menyatakan guru bukanlah semata-mata perlu memiliki ilmu pengetahuan terkini malah lebih daripada itu guru-guru perlu memahami dan menyelami kehendak pelajar termasuk dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar, enggan ini segala tugas guru boleh dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan. Selain itu, Laporan Penilaian Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang dibuat oleh para pensyarah maktab-maktab perguruan di Malaysia mendapati sebilangan besar guru-guru tetap dan kekal mengamalkan gaya pengajaran sehala chalk and talk . Kenyataan di atas disokong Jemaah Nazir Sekolah (1992) yang menjelaskan bahawa guru masih kekal dengan peranan lama mereka sebagai pengajar. Sementara itu guru-guru masih membahaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ke arah peperiksaan semata-mata. Menurut Abd. Rahim bin Abd. Rashid (1998), seorang tokoh pendidikan merumuskan kaedah pengajaran guru dan pembelajaran pelajar dalam matapelajaran yang berkesan perlu mempunyai ciri-ciri seperti guru perlu menyesuaikan kaedah pengajaran dengan gaya pembelajaran pelajar dengan lebih menekankan soal minat, intelektual, kreativiti, sikap,

penghayatan dan apresiasi sesuatu matapelajaran dalam kehidupan pelajar. Ciri-ciri kedua proses pengajaran dan pembelajaran dalam sesuatu matapelajaran yang melibatkan guru-guru dan pelajar perlu kepada cara pembelajaran dengan menggunakan alat bantuan terkini seperti penggunaan komputer, software atau internet. Selain itu, pelajar-pelajar perlu didedahkan atau diberi bimbingan melalui gaya pembelajaran dengan cara pengumpulan data atau maklumat dan cara satu bahan itu disusun atau dianalisis. Seterusnya, bagi menguatkan ingatan dan tidak mudah luput apa yang dipelajari, gaya pembelajaran dalam sesuatu matapelajaran seharusnya sentiasa

mengaplikasikan apa yang dipelajari kepada situasi baru adalah amat perlu dilakukan oleh pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam sesuatu matapelajaran perlu menarik minat dan mencabar kebolehan pelajar. Kriteria ini amat penting menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih bersifat inovatif dan kreatif untuk mengembangkan minda kritis dan kreatif pelajar. Manakala, kaedah dan metodologi pengajaran yang bersifat `spoon feed, induktif dan khutbah yang hanya mementingkan supaya murid menerima sahaja apa yang disogok oleh guru telah tidak lagi sesuai dengan pembaharuan kurikulum dan perubahan budaya belajar dan budaya mengajar pada era perkembangan informasi maklumat yang berlaku dalam masyarakat moden. 2.2 Topik Pengajaran. Faktor kedua yang perlu dititiberatkan dalam pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran adalah tajuk subtopik pelajaran. Tajuk subtopik pelajaran akan memberikan impresi awal kepada pelajar terhadap kandungan pengajaran yang bakal diajar oleh seorang guru. Sepertimana pemilihan buku tajuk yang menarik akan minat pembaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Oleh itu, seorang guru yang bijak dalam pengendalian kelas akan menarik minat pelajarnya bermula seawal sesi pengajaran melalui kaedah yang digunakan untuk memperkenalkan tajuk pengajaran sehingga tamat sesi pengajaran dan pembelajaran. Tidak semestinya setiap subtopik pelajaran memerlukan seorang guru untuk menggunakan kaedah yang sama. Variasi kaedah pengajaran bersesuaian dengan subtopik pelajaran akan menarik minat pelajar seterusnya bersemangat untuk mengetahui pelajaran yang diajar.

2.3

Jenis Pengetahuan Atau Kemahiran Yang Hendak Disampaikan. Di samping itu, jenis pengetahuan atau kemahiran yang hendak disampaikan perlu

dititikberatkan dalam pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Setiap guru perlu menyenaraikan hasil pembelajaran yang ingin dicapai agar jenis pengetahuan atau kemahiran yang hendak disampaikan kepada pelajar tercapai. Contoh pengetahuan yang ingin disampaikan ialah pengetahuan matematik, pengetahuan am, pengetahuan bahasa inggeris dan lain. Manakala contoh kemahiran yang ingin disampaikan ialah kemahiran memasak, kemahiran menjahit, kemahiran berkomunikasi dan lain-lain. Guru perlu memikirkan samada pemilihan kaedah yang digunakan hanya menyampaikan pengetahuan atau kemahiran setakat luaran atau menyeluruh. Menurut Watkins & Hattie (1990), kajian berkenaan pendekatan guru dalam menyampaikan jenis pengetahuan atau kemahiran dapat difahami mengikut dua kategori berbeza iaitu pendekatan mendalam (deep approach) dan pendekatan permukaan (surface approach). Bagi yang menggunakan pendekatan mendalam, fokus diberikan kepada isi kandungan dan kaitannya antara satu dengan lain dalam memantapkan kefahaman. Manakala dalam pendekatan permukaan, penumpuan sekadar pada unsur-unsur isi kandungan dengan teknik hafalan mekanikal yang tiada penekanan pada makna spesifik. 2.4 Tahap Pencapaian Pelajar. Seterusnya, tahap pencapaian pelajar juga perlu dipertimbangkan dalam pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Setiap pelajar tidak mempunyai tahap pencapaian yang sama kerana mereka terdiri daripada pelbagai aras pemikiran dan kecerdasan. Teori kecerdasan pelbagai yang diperkenalkan oleh Dr. Howard Gardner pada tahun 1983 menyatakan bahawa kaedah lama untuk mengukur tahap kecerdasan manusia, iaitu berdasarkan ujian IQ adalah terlalu terhad. Justeru, Dr. Gardner telah mengemukakan lapan jenis kecerdasan yang berbeza sebagai satu cara untuk mengukur potensi kecerdasan manusia, kanak-kanak dan dewasa. Kecerdasan-kecerdasan yang telah dikenal pasti adalah seperti berikut kecerdasan verbal (linguistik), kecerdasan logik (matematik), kecerdasan fizikal (kinestatik), kecerdasan visual (spatial), kecerdasan muzikal (ritma), kecerdasan

intrapersonal, kecerdasan interpersonal dan kecerdasan naturalis. Kebiasaannya pelajar yang mempunyai tahap pencapaian yang rendah malu dan takut untuk ke hadapan bagi mengemukankan pandangan mereka. Oleh itu, bekas Ketua Pengarah

Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Rafie Mahat, mengatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah memerlukan kaedah yang sesuai supaya tidak menimbulkan rasa takut di dalam diri pelajar. Oleh itu, guru perlu bijak menggunakan kreativitinya serta inovatif dalam menyampaikan isi pengajaran terutamanya tentang penyelesaian masalah agar dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang efektif dan kondusif. Di samping itu, guru berperanan untuk memupuk semangat belajar dalam kalangan pelajar serta menghapuskan perasaan takut yang ada dalam diri pelajar terhadap matematik. 2.5 Persekitaran Pembelajaran. Tambahan pula, persekitaran pembelajaran juga turut mempengaruhi faktor pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Menurut kenyataan Dr. Fong Chan Onn Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia dalam Berita Harian 16 April 1996, beliau menegaskan kemudahan infrastruktur adalah penting bagi guru dalam melaksanakan pengajaran dan memudahkan para pelajar menyesuaikan aktiviti pembelajaran mereka sebagaimana yang dikehendaki oleh Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dengan lebih baik dan berkesan. Walau bagaimanapun seperti yang kita maklum tidak semua sekolah mampu memberikan infrastruktur yang terbaik tetapi sekurang-kurang setiap guru perlu berusaha menyediakan kondisi pembelajaran yang menarik agar setiap kaedah embelajarn yang digunakan mamp menarik minat pelajar. 2.6 Nilai dan Sikap yang Hendak Dipupuk. Nilai dan sikap yang ingin dipupuk juga merupakan salah satu faktor yang perlu dititikberatkan dalam pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu menerapkan beberapa nilai agar setiap pelajar yang mempelajari ilmu dan pengetahuan dalam kelas tidak hanya berlegar-legar dalam kelas tapi turut digunakan di luar kelas. Amalan pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pelbagai kaedah bukan sahaja berguna dan berkesan dalam penyampaian konsep dan kemahiran matematik, malah jika digunakan secara kreaktif, ianya dapat menarik minat serta dapat memberi pengalaman yang seronok kepada murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik. (Choy Sau Kam, Khaw Ah Hong, dan Lai Kim Leong dalam Satu Kajian Kes Tentang Jenis Dan Kekerapan Penggunaan Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik Oleh Guru Pelatih Kdpm Semester Empat (Ambilan Julai 1999).

3.0

Hujah hujah. Dalam hujah-hujah ini diterangkan mengenai teori konstruktivisme, pandangan

konstruktivisme daripada beberapa pihak dan kelemahan latih tubi dalam pengajaran dan pembelajaran. 3.1 Teori Konstruktivisme. Di dalam teori konstruktivisme, murid tidak lagi dianggap belajar daripada apa yang diberikan oleh pendidik tetapi secara aktif membina realiti mereka sendiri dan pada masa yang sama mengubahsuai realiti tersebut. Secara umumnya murid akan belajar melalui pengalaman yang diperolehi secara sendiri. Menurut Jonassen (1991) pengetahuan seseorang individu berasaskan kepada persepsi fizikal dan pengalaman sosial yang difahami oleh akal fikiran seseorang. Manakala menurut Perkins (1986) pengetahuan adalah terbina hasil dari reka bentuk murid di dalam minda di mana pengetahuan dibentuk apabila murid terlibat secara aktif di dalam proses pembentukan pengetahuan dan bukan hanya mengintepretasi dan menerima apa yang diberikan kepada mereka. Menurut Merrill (1992) terdapat beberapa andaian yang boleh dibuat terhadap konstruktivisme iaitu : i. Pengetahuan dibentuk melalui pengalaman. ii. Pembelajaran adalah intepretasi individu terhadap persekitarannya. iii. Pembelajaran adalah satu proses yang aktif yang dibina melalui pengalaman seseorang. iv. Perkembangan konsep dibentuk melalui perkongsian pandangan dan pembelajaran secara kolaboratif. v. Pembelajaran dibina di dalam situasi yang sebenar.

Konstruktivisime merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Unsur-unsur konstruktivisme telah lama dipraktikkan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah, maktab dan universiti. Teori ini menyatakan bahawa murid membina ilmu pengetahuan dan memberi makna kepada pengetahuan tersebut berdasarkan pengalaman sendiri melalui proses aktif yang berlaku dalam otak. Oleh itu, pengetahuan seseorang tentang sesuatu perkara bergantung pada persepsi, kepercayaan dan pengalamannya tentang perkara tersebut. Ahli konstruktivis percaya pengetahuan tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada murid secara tabula rasa,

tetapi murid perlu membina pengetahuannya sendiri melalui pemahaman yang diperoleh daripada proses pembelajaran yang dialaminya. Dengan itu, pemahaman dan makna ilmu pengetahuan bergantung pada cara ia dibentuk dalam minda murid. Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan sekolah tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada murid dalam bentuk yang serba sempurna. Murid perlu membina sesuatu pengetahuan itu mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan sekolah ialah satu skema iaitu aktiviti mental yang digunakan oleh murid sebagai bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan. Fikiran murid tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitaran. Realiti yang diketahui murid adalah realiti yang dia bina sendiri. Murid sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka. Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan konstruktivisme. Rutherford dan Ahlgren berpendapat bahawa murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara, di mana ada yang betul dan ada yang salah. Jika kefahaman dan miskonsepsi ini diabaikan atau tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan asal mereka itu akan tetap kekal walaupun dalam peperiksaan mereka mungkin memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh guru. John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme ini dengan mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan. Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Teori ini memperkenalkan satu teori 5-fasa merujuk kepada fasa pengajaran. Dalam model ini, murid digalakkan bertukar-tukar fikiran melalui fasa pencetusan idea. Fasa ini juga dapat merangsang murid meninjau semula idea asal mereka. Dalam fasa penstrukturan semula idea, guru digalakkan merancang aktiviti yang sesuai untuk membantu murid mengubah idea asal mereka. Murid diberi peluang untuk mencabar idea asal sendiri dan juga idea rakan-rakan

mereka. Adalah dipercayai idea baru yang dibina oleh murid sendiri biasanya lebih mudah diterima oleh mereka jika sekiranya idea ini mudah difahami dan berguna. Dalam fasa penggunaan idea, murid boleh menggunakan idea baru mereka untuk menyelesaikan masalah dan menerangkan fenomena yang berkaitan dengan idea-idea itu. Fasa renungan kembali merupakan fasa terakhir. Dalam fasa ini murid membandingkan idea asal renungan kembali merupakan fasa terakhir. Dalam fasa ini murid membandingkan idea asal mereka dengan idea baru dan merenung kembali proses pembelajaran yang telah mengakibatkan perubahan ke atas idea mereka. Fasa ini juga dapat memperkembangkan kemahiran meta kognitif.

Rajah 1: Fasa-fasa Pengajaran Berasaskan Model Konstruktivisme 5-fasa

Berdasarkan teori konstruktivisme, kaedah pengajaran yang sesuai digunakan adalah kaedah penemuan dan praktik. Sebagai contoh, guru-guru bagi matapelajaran sains boleh menggunakan kaedah ini semasa amali kerana melalui teori ini pelajar akan membina ilmu pengetahuan yang dan memberi makna kepada pengetahuan tersebut berdasarkan pengalaman sendiri melalui proses aktif yang berlaku dalam otak. 3.2 Pembelajaran secara konstruktivisme. Pembelajaran secara Konstruktivisme berdasarkan beberapa pandangan baru tentang ilmu pengetahuan dan bagaimana boleh diperolehi ilmu tersebut. Pembentukan pengetahuan baru lahir daripada gabungan pembelajaran terlebih dahulu. Pandangan baru ini menganggap murid bukan hanya menerima pengetahuan secara pasif daripada gurunya tetapi membina pengetahuannya melalui interaksi dengan persekitarannya. Pembelajaran ini menggalakkan murid mencipta penyelesaian mereka sendiri dan menguji dengan menggunakan hippotesis hipotesis dan idea idea baru. Pandangan ini bertolak daripada teori pembelajaran daripada Behaviorisme kepada Kognitivisme dan seterusnya Konstruktivisme. Teori pembelajaran secara Behaviorisme merupakan satu teori pembelajaran yang banyak mempengaruhi pendidikan. B.F Skinner, John B. Watson dab Edward Thorndike adalah antara ahli psikologi yang menjadi pendokong Behaviorisme. Penyelidikan mereka tertumpu kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan. Tindakan dan pola perlakuan individu diberi penekanan manakala struktur mental yang melibatkan pemikiran, idea, impian dan imej mental tidak dianggap penting. Ciri ciri pembelajaran secara behaviorisme adalah: a. b. c. Menekankan kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan. Perlakuan boleh diperkukuhkan atau dihentikan melalui ganjaran atau hukuman. Pengajaran dirancang berdasarkan objektif perlakuan yang boleh diukur atau diperhatikan. d. Guru tidak perlu mengambil tahu pengetahuan sedia ada murid dan perubahan yang berlaku dalam minda semasa pengajaran. Idea utama Kognitivisme pula adalah perwakilan mental. Kognitivsme mempunyai dua ciri utama. Semua idea dan imej dalam minda individu diwakili melaui struktur mental yang dikenali sebagai skema. Jika maklumat baru secocok dengan skema yang ada, maka maklumat itu akan diterima. Jika sebaliknya, maklumat itu akan mungkin ditolak atau

diubahsuai, atau skema akan diubah suai. Jean Piaget merupakan penggerak utama Kognitivisme. Bertitik tolak daripada pandangan Kognitivisme ini maka lahirlah satu pandangan tentang cara manusia belajar iaitu secara Konstruktivisme. Mengikut Konstruktivisme, pengetahuan dibina sendiri oleh murid secara aktif berdasarkan pengetahuan sedia ada. Sebarang maklumat baru yang diterima akan disesuaikan dengan pengetahuan sedia ada untuk membentuk pengetahuan baru dalam minda dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan dan guru. 3.2.1 Ciri ciri pembelajaran secara konstruktivisme. Pembelajaran secara konstruktivisme mempunyai beberapa ciri ciri utama. Model pengajaran ini menggalakkan murid melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka dan guru pula merupakan pemimpin untuk memandu murid murid menjalankan aktiviti pembelajaran (Mok Soon Sang 1993). Dengan ini, model ini menggalakkan murid bertanya dan berdialog dengan murid dan guru kerana ia merupakan pembelajaran secara dua hala yang memerlukan komunikasi berlaku semasa aktiviti pembelajaran. Pembelajaran secara konstruktivisme juga menggalakkan soalan atau idea yang dimulakan oleh murid. Guru pula akan menggunakannya sebagai panduan merancang pengajaran. Apabila guru banyak menerima soalan daripada murid dan mendengar banyak idea, guru boeh menggunakannya sebagai bahan pengajaran. Guru juga boleh menilai kembali rancangan pengajaran yang telah dibuat sesuai dengan keperluan murid. Mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh murid. Seorang guru perlu menyesuaikan aktiviti pengajaran mengikut keperluan murid-murid dan sikap murid-murid dalam kelas. Guru juga perlu mengenal pasti kecerdasan murid-murid yang terdapat di dalam kelas yang diajar. Selain memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran, hubungan antara guru dan murid serta murig dengan murid menjadi lebih erat. Proses pembelajaran yang aktif meningkatkan kefahaman murid dan membantu murid berfikir. Ciri lain pembelajaran secara konstruktivis adalah guru perlu mengambil kira dapatan kajian tentang bagaimana murid belajar sesuatu idea. Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan berkaitan proses pembelajaran murid. Teori Bandura menjelaskan perilaku manusia dalam konteks interaksi timbal balik yang berkesinambungan antara kognitif, perilaku dan pengaruh lingkungan. Keadaan persekitaran individu sangat berpengaruh pada

pola pembelajaran sosial ini. Manusia biasanya akan belajar daripada apa yang selalu dilihat. Menurut Bandura (1977), "Learning would be exceedingly laborious, not to mention hazardous, if people had to rely solely on theeffects of their own action to inform them what to do. Fortunately, most humant behavior is learned obsevationally through modelling: from observing others one forms an idea of hor new behavior are performed, and on later occation this coded information serves as aguide for action". Pembelajaran secara konstruktivis juga menggalakkan proses inkuiri murid melalui kajian dan eksperimen. Proses inkuiri merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan, atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti ini memerlukan pelajar mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, menjalankan kajian atau siasatan dan seterusnya mendapatkan jawapan dan membuat rumusan. Proses pembelajaran secara inkuiri amat berguna bagi mendapatkan maklumat dan pengetahuan baru dalam pelbagai bidang. Selain itu, ia memberi peluang kepada murid untuk membina pengetahuan baru. Pengetahuan baru dibina dengan memahaminya melalui penglibatan murid dengan situasi dunia yang sebenar. Murid-murid terlibat secara langsung dengan dunia sebenar dan membina sendiri kefahaman mereka sesuai. Menggalakkan dan menerima daya usaha dan autonomi murid. Konstruktivesme menekankan proses pembelajaran murid-murid dengan membina dan mengembangkan idea mereka sendiri. Pembelajaran koperatif merujuk kepada pembelajaran murid-murid secara kerjasama (Mok, 2010). Sewaktu pembelajaran koperatif, murid-murid berinteraksi dan saling bantumembantu dalam aktiviti pembelajaran dengan tujuan mencapai kemajuan dan prestasi yang cemerlang. Dalam pembelajaran secara koperatif, guru memainkan peranan sebagai fasilitator dan pemberi arahan. Murid-murid yng berada dalam kumpulan membincangkan secara koperatif mengenai pelajaran atau tugasan yang diberikan oleh guru. Pembelajaran secara konstruktivis menyokong pembelajaran secara koperatif. Menganggap pembelajaran sebagai satu proses yang sama penting dengan hasil pembelajaran. Dalam pembelajaran secara konstruktivisme, hasil pembelajaran bukanlah satusatunya tujuan utama dalam pengajaran dan pembelajaran. Proses pembelajaran adalah penting kerana pembelajaran yang bermakna membantu ingatan yang lebih lama dan kekal.

Pembelajaran yang aktif meningkatkan minat murid-murid untuk belajar dan mendalami ilmu yang dipelajari. 3.2.2 Kelebihan pembelajaran secara konstruktivisme kepada murid. Dalam proses membina pengetahuan yang baru, murid akan berfikir untuk menyelesaikan masalah, menjana idea dan membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran. Sebgai contoh, ini boleh dicapai melalui aktiviti penyelidikan dan penyiasatan seperti mengenal pasti masalah, mengumpul maklumat, memproses data, membuat interpretasi dan membuat kesimpulan. Kefahaman murid tentang sesuatu konsep dan idea menjadi lebih jelas apabila mereka terlibat secara langsung dalam pembinaan pengetahuan baru. Seorang murid yang memahami apa yang dipelajari akan dapat mengaplikasikan pengetahuan yang baru dalam kehidupan dan sittuasi yang baru. Kefahaman konsep membantu murid dalam menjana idea yang lebih baik dan sesuai dengan apa yang dipelajari. Setelah memahami sesuatu konsep, murid akan dapat mengingati lebih lama konsep tersebut kerana mereka terlibat secara aktif dalam mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Murid yang belajar secara konsruktivisme diberi peluang untuk membina sendiri kefahaman mereka tentang sesuatu. Ini menjadikan mereka lebih yakin kepada diri sendiri dan berani menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru. Selain itu, mereka akan lebih banyak berinteraksi dan mempunyai kemahiran sosial yang baik. Murid yang berkemahiran sosial boleh bekerjasama dengan orang lain dalam menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran sosial ini diperoleh apabila murid berinteaksi dengan rakan rakan dan guru dalam membina pengetahuan mereka. Dalam pembelajaran secara konstruktivisme, murid membina sendiri pengetahuan, konsep dan idea secara aktif. Ini menjadikan mereka lebih faham, lebih yakin dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat walaupun menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran. Suasana pembelajaran yang seronok sangat berkesan terhadap pembelajaran murid. Ini adalah kerana murid dapat belajar dengan selesa mengikut cara mereka sendiri. Murid juga mereka tidak tertekan, dipaksa dan dikongkong oleh guru dalam mempelajari sesuatu isi pelajaran.

3.3

Pandangan Mengenai Konstruktivisme. Terdapat beberapa pandangan mengenai konstruktivisme. Antaranya ialah dengan

pendekatan konstruktivisme, murid terlibat secara aktif di dalam kelas. Ini disokong oleh Meor Ibrahim (2001) dalam Chong Lih Shun (2008) telah menyatakan bahawa dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik, penekanan perlu diberikan kepada pendekatan konstruktivisme, dengan memberi peluang kepada murid supaya terlibat secara aktif. Sebagai contoh jika guru ingin mengajar topik Poligon Tingkatan 1, guru telah meminta supaya murid membentuk 5 kumpulan. Kemudian, guru akan memberikan setiap kumpulan satu bentuk poligon. Guru akan meminta pelajar berbincang di dalam kumpulan dengan menyatakan bilangan bucu, bilangan sisi dan bilangan segi tiga yang boleh dibentuk daripada poligan berkenaan. Cara ini akan menjadikan murid bergerak dan dapat mengelakkan murid menjadi pasif apabila berada di dalam kelas. Selain itu, konstruktivisme juga menyebabkan murid dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain di dalam kelas. Ini secara tidak langsung menjadikan komunikasi dua hala antara murid dan guru. Konstruktivisme mengganggap bahawa murid adalah sentiasa aktif dalam membina pengetahuan baru melalui interaksi dengan orang lain dan melalui pengolahan pengetahuan dan pengalaman yang telah mereka kuasai sebelum ini (Billett 1996; Kerka 1997 dalam Chong Lih Shun 2008). Aktiviti perbincangan dalam kumpulan menjadikan para murid di dalam kelas bercakap antara satu sama lain dan ini dapat mengelakkan murid bersikap pasif di dalam kelas. Bukan itu sahaja, bahkan pendekatan konstruktivisme juga akan menggalakkan murid berfikir secara kritis dan kreatif. Menurut Ahmad Ramli (2002) dalam Chong Lih Shun (2008), pengajaran dan pembelajaran berdasarkan konstruktivisme dapat menggalakkan dan memberi ruang kepada murid untuk mengamal dan memperkembangkan kemahiran proses sains dan kemahiran berfikir. Sebagai contoh apabila seorang guru ingin mengajar topik Pepejal Geometri II Tingkatan 2, guru telah meminta supaya murid membentuk 5 kumpulan. Kemudian, guru meminta setiap kumpulan berbincang untuk melukis rumah atau bangunan daripada beberapa bentuk pepejal geometri yang telah dipelajari. Dengan ini, murid dapat menyumbang idea dan pandangan masing-masing dan dari sini juga guru menggalakkan murid berfikir bagaimana mengaplikasikan apa yang mereka belajar. Guru juga boleh mengaitkan bentuk-bentuk bangunan yang sedia ada dengan menunjukkan gambar bangunan yang mengaplikasikan pepejal geometri.

Di samping itu, melalui pendekakatan konstruktivisme murid dapat menghayati apa yang mereka belajar dengan mendalam. Menurut Confrey (1985) dalam Fadhlina Mohd Azizuddin (2008), konstruktivisme membantu murid-murid dalam pembelajaran untuk memperkenalkan pembinaan yang lebih berkesan di mana murid akan menghayati mata pelajaran secara mendalam. Maksudnya ialah murid dapat memahami dan merasai apa yang mereka belajar dengan lebih jelas dan mendalam kerana mereka sendiri membuat aktiviti yang dilakukan di dalam kelas. Ini secara tidak langsung akan membuatkan murid mudah mengingati dan memahami sesuatu topik yang mereka belajar. 3.4 Kelemahan Latih Tubi. Guru perlulah memberi perhatian terhadap kaedah pengajaran yang digunakan dengan topik yang ingin diajar kerana tidak semua topik bagi Matematik sesuai dengan konstruktivisme atau pun latih tubi. Bagi sesetengah topik Matematik yang memerlukan pelajar mengingati rumus seperti Trigonometri, kaedah latih tubi amat sesuai. Selain itu, latih tubi hanya sesuai untuk pemahaman konsep. Ini terbukti daripada kajian ahli psikologi Buswell dan Repp (1930) dalam Adzmi (2003) tentang bentuk latih tubi yang lebih berkesan. Rumusan mereka ialah untuk menguasai sesuatu kemahiran, latih tubi yang singkat tetapi kerap adalah lebih berkesan daripada latih tubi yang memakan masa yang panjang. Walau bagaimana pun kaedah ini mempunyai kelemahan iaitu ia akan menyekat dan menghadkan kebebasan berfikir dan menghalang daya kreatif murid. Kajian Tengku Zawawi, kaedah latih tubi selalu digunakan guru sekolah rendah memandangkan mereka hanya mampu menyampaikan konsep dan asas operasi pecahan berdasarkan kepada kefahaman instrumental yang dilakukan secara prosedural. Pelajar hanya didedahkan kepada petua dan rumus yang perlu dihafal dan digunakan dalam proses pengiraan. Guru akan melakukan ulangan sesi pengajaran untuk pelajar yang masih tidak faham pelajaran yang disampaikan. Walau bagaimanapun sesi pengajaran yang diberikan ini hanya berbentuk bimbingan menyelesaikan masalah. Latih tubi begini menjadi bahaya kepada pelajar yang menggunakan salah konsep secara berterusan dalam proses penyelesaian masalah matematik (Allsopp et al. 2007). Kebanyakan guru menganggapkan pelajar memahami pelajaran jika mereka dapat selesaikan masalah dan tidak memahami pelajaran jika tidak dapat menyelesaikan masalah. Oleh itu, bimbingan hanya diberi kepada latihan menyelesaikan masalah sahaja.

Namun begitu ia tidak harus ditolak secara bulat-bulat kerana banyak hikmah yang tersembunyi disebalik kaedah ini. Menjawab soalan latih tubi adalah salah satu kaedah yang berkesan untuk berjaya dalam peperiksaan. Kaedah menjawab soalan latih tubi secara berterusan membantu mengekalkan maklumat yang diproses oleh otak ke dalam memori dalam jangka waktu yang lebih lama. Pengajaran dan pembelajaran matematik melibatkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran (NCTM, 1989; Cockroft, 1982; Skemp, 1987; Souviney, 1990; Nik Azis, 1992). Oleh yang demikian, penguasaan pelajar terhadap matematik tidak hanya bergantung kepada kefahaman konsep semata-mata. Latihan yang mencukupi perlu dilakukan dari masa ke semasa sehingga semua kemahiran dalam sesuatu tajuk benar-benar telah dikuasai sepenuhnya. 3.5 Peranan Guru Dan Murid Serta Cabaran Dalam Kelas Konstruktivis. Apabila pembelajaran secara konstruktivisme diamalkan dalam kelas, peranan murid dan guru akan berubah. Terdapat beberapa perubahan dalam bilik darjah khususnya tentang peranan murid dan guru serta cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi oleh mereka dalam pembelajaran secara konstruktivisme. 3.5.1 Peranan Guru. Antara peranan guru dalam kelas konstruktivis ialah guru bertindak sebagai fasilitator. Maksud guru sebagai fasilitator di sini ialah guru hanya memantau aktiviti yang dilakukan oleh murid. Jika terdapat perkara yang tidak difahami oleh murid, maka murid boleh terus bertanya kepada guru. Selain itu, guru hendaklah menggalakkan pelajar menerangkan idea mereka serta menghargai pandangan mereka. Ini bermaksud guru hendaklah member peluang kepada murid untuk mengutarakan pandangan dan idea mereka kerana kadang-kadang terdapat perkara yang mereka fikir tetapi tidak terlintas difikiran guru. Jika pandangan yang diberikan oleh murid tidak tepat atau salah, guru hendaklah mengambil kira pandangan mereka. Guru tidak boleh terus menolak jawapan yang diberikan oleh mereka kerana ini akan menyebabkan murid merasa rendah diri dan berkemungkinan mereka tidak akan menyuarakan pandangan mereka lagi pada masa akan datang. Oleh itu, guru hendaklah membimbing murid mendapatkan jawapan yang tepat dan juga menggalakkan murid menerangkan lebih lanjut jawapan mereka.

Bukan itu sahaja, guru juga perlu menggalakkan murid membuat tugasan yang berbentuk penyelesaian, menganalisis, meramal, meneroka dan membuat hipotesis. Guru juga hendaklah menggalakkan pembelajaran koperatif dalam menjalankan tugasan tertentu. Koperatif di sini bermaksud aktiviti dilakukan di dalam kumpulan dan dengan ini akan membuatkan murid bekerjasama dengan yang lain. Di samping itu, guru perlu menggalakkan penemuan oleh murid melalui pertanyaan soalan bercapah dan menggalakkan murid menyoal murid yang lain. Selain itu, jika guru bertanya soalan, guru perlulah memberi masa secukupnya kepada murid untuk menjawab soalan setelah soalan dikemukakan dan untuk membuat perkaitan antara idea-idea yang telah dijanakan. Guru juga perlu mentaksir pembelajaran melalui aktiviti harian di kelas, bukan hanya dalam bentuk ujian bertulis, menstruktur pelajaran untuk mencabar persepsi murid dan membantu murid menyedari kerelevanan kurikulum kepada kehidupan mereka. 3.5.2 Peranan Murid. Manakala bagi peranan murid pula, murid mengambil inisiatif mengemukakan soalansoalan dan isu, kemudian secara individu mereka membuat analisis dan menjawab soalansoalan itu. Mereka bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri dan boleh menyelesaikan masalah. Murid juga hendaklah selalu berbincang dengan guru dan sesama mereka. Perbincangan itu akan membantu murid mengubah atau mengukuhkan idea-idea mereka. Dengan itu, komunikasi dua hala akan diaplikasikan. Jika murid itu berpeluang mengemukakan pendapat mereka dan mendengar idea orang lain, murid tersebut dapat membina asas pengetahuan yang mereka faham. Bukan itu sahaja, murid mencabar hipotesis yang telah dibuat dan digalakkan berbincang untuk membuat ramalan. Murid diberi banyak ruang dan peluang untuk menguji hipotesis mereka terutamanya melalui perbincangan dalam kumpulan. Selain itu, murid menggunakan data dan bahan-bahan fizikal, manipulatif atau interaktif untuk menolong mereka menjana idea dan pengetahuan. 3.5.3 Cabaran Guru Konstruktivis. Terdapat beberapa cabaran yang perlu guru hadapi apabila menggunakan pendekatan konstruktivisme. Antaranya ialah guru akan merasa mereka tidak mengajar. Ini adalah kerana

guru hanya memantau dan kebanyakan aktiviti murid yang akan melakukannya sendiri. Guru juga akan merasa bahawa penerangan mereka tidak penting lagi. Akan tetapi guru harus ingat bahawa guru perlu juga memberi penerangan untuk mengukuhkan lagi konsep murid. Sesetengah orang ada mengatakan bahawa amalan yang dimajukan dalam pembelajaran secara konstruktivisme dianggap tidak realistik. Guru yang sedang menukar cara mengajar kepada pendekatan konstruktivisme memerlukan sokongan profesionalisme serta pengukuhan keyakinan daripada pihak sekolah. Walaupun terdapat beberapa kesulitan berkaitan dengan pelaksanaan pembelajaran secara konstruktivisme, kesulitan itu harus dipandang sebagai cabaran yang perlu diatasi oleh guru. 4.0 Kesimpulan. Secara kesimpulannya, kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek Matematik yang sesuai ialah konstruktivistme. Ini adalah kerana kaedah ini akan menjadikan pelajar dan guru dapat berinteraksi secara dua hala. Secara tidak langsung, pembelajaran akan berpusatkan murid dan bukannya guru. Selain itu, dapat disimpulkan bahawa peranan guru dalam P&P adalah amat penting. Dunn (1990) menyatakan kegagalan pelajar bukan disebabkan oleh kurikulum semata-mata tetapi turut dipengaruhi oleh teknik dan pendekatan yang digunakan oleh guru. Manakala Abdul Razak (1993) juga mendapati bahawa minat para pelajar terhadap matematik bergantung kepada cara pengajaran yang dijalankan oleh guru. Jadi, jika cara pengajaran yang digunakan oleh guru tidak sesuai, murid tidak akan dapat menerima pembelajaran tersebut.

You might also like