Melihatkan api kemarahanku yang semakin menyala, Terbang tidak lagi berdaya untuk menentang cakap aku.

Aku ketua! Aku mesti bertegas dalam hal yang sebegini. Dan aku amat yakin bahawa aku telah melakukan tindakan yang betul. Rasanya. Secara jujurnya, aku memang risaukan Terbang. Terlalu bimbang! Sikap jati diri pada dirinya kelihatan semakin pudar. Dia semakin hanyut dibuai janji-janji manis Encik Hassan dan orang-orang dari pejabat tanah itu. Sebaliknya, aku semakin yakin pula dengan Dedai. Sikap bertanggungjawab kepada kaum sendiri memang kukuh dalam dirinya. Sekurang-kurangnya apabila aku tiada nanti, aku sudah pasti siapa yang layak menjadi pengganti aku. Pendirian Dedai memang tidak sama jika dibandingkan dengan pendirian Terbang yang mudah goyah. Mudah dipujuk oleh bangsa lain. Senang sangat dipergunakan. Itulah akibatnya jika selalu sangat bergaul dengan orang luar. Encik Hassan pun sama. Dahulu dia tidak begini. Ketika itu Terbanglah yang paling gembira dengan kedatangannya ke sini. Ke mana sahaja dijajanya nama Encik Hassan. Pada mulanya aku turut senang dengan perlakuan Terbang itu. Aku bangga kerana Terbang pandai menghormati orang luar. Sememangnya bangsa kami pandai menghormati orang luar yang datang secara baik. Namun sejak akhir-akhir ini aku mula curiga dengan kemesraan yang terjalin antara Encik Hassan dan Terbang. Keakraban mereka bagai sedang menyembunyikan sesuatu. Bagai ada udang di sebalik batu. Aku tahu, sekarang ini pemilihan Batin baru bergantung kepada pengesahan daripada pihak kerajaan terlebih dahulu. Mujur Dedai cepat menyedarkan aku perihal ini. ”Aku tengok Terbang rapat sangat dengan Encik Hassan. Aku risau kalau-kalau dia sedang pujuk Encik Hassan supaya lantik dia jadi Batin selepas ini. Habis dijualnya kampung kita!” Ujar Dedai pada suatu pagi menyebabkan aku bertambah rungsing. Persoalan yang bertubi-tubi menerjah kotak fikiranku akhirnya hilang dibuai rasa mengantuk yang amat sangat. Aku mungkin kesiangan jika tidak dikejutkan oleh salakan anjing-anjing yang bersiap untuk berburu. ”Batin, tadi aku nampak Terbang ada datang ke sini. Apa lagi yang dia hendak?” Soal Dedai penuh kerisauan. Kerisauan yang bukan dibuat-buat. ”Ha, kamu Dedai! Kamu tidak pergi ikut berburu hari ini?” ”Tidak Batin. Sekejap lagi aku hendak ke hospital. Tengok Han Ludin. Boleh balik atau tidak hari ini. Susah juga kalau hospital jauh,” rungut Dedai. ”Oh ya, Apa kamu tanya tadi?” ”Tadi aku nampak macam Terbang ke sini. Macam ada hal penting,” ulang Dedai, masih lagi risau. ”Dia sudah pulang ke rumah. Dia tunjuk surat khabar pada aku. Ada cerita tentang masyarakat kita. Kamu ada tengok?”

”Ada. Errr, aku ada hal dengan Batin sebenarnya. Cuma, kalau aku cakap nanti, Batin jangan pula ingat aku cuba hendak mengajar Batin,” pinta Dedai penuh harapan. ”Apa masalah kamu?” Aku merenung tepat anak matanya. ”Tentang masa depan kempung ini juga. Aku fikir elok benar kalau kita adakan satu mesyuarat secepat yang mungkin. Batin boleh umumkan siapa yang bakal menjadi pengganti Batin kelak,” beritahu Dedai, teragak-agak. ”Begitu cepat?” ”Bukan apa, sebelum terlewat! Aku tidak sanggup melihat kaum kita dimusnahkan oleh bangsa kita sendiri,” ujar Dedai penuh bersemangat. Bagi aku, sesuatu perkara yang jelas ke arah kebaikan tidak sepatutnya dibiar begitu sahaja. Lantaran itu aku bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat bagi mencapai kata sepakat. Biar mereka mengikut kata yang satu. Biar mereka setia, juga pada yang satu. Sebenarnya aku terkilan juga dengan cara Dedai itu. Budi bahasanya kurang. Tetapi sebenarnya dia berniat baik. Lagipun aku sedar bahawa tahap kesihatan aku sekarang ini tidak menentu. Adakalanya apabila penyakit sesak nafas aku datang, aku merasakan seolah-olah detik terakhirku sudah tiba. Bagaimana jika ia benar-benar berlaku? ”Kamu pergi beritahu semua orang kampung, kita buat perbincangan sekejap pada petang ini. Di sini.” Dedai mengangguk dan berlalu seperti yang diarahkan dengan senyuman yang lebar. Hatinya gembira barangkali. Menjelang tengah hari, suasana di kampung kami sunyi dan sepi. Sesekali terdengar anak-anak kecil yang saling berkejaran di laman rumah. Biasanya kaum lelaki yang pergi berburu masih belum pulang ketika ini. Selesai sahaja membersihkan diri di sungai, aku terus melabuhkan punggungku atas bangku kayu yang terletak di bawah sepohon rambutan. Angin panas menyebabkan aku lebih selesa membiarkan tubuhku tanpa disarung baju. Dari arah dapur, aku terdengar Yok Ben sedang menumis sesuatu. Aku bernasib baik kerana sebagai Batin, aku diberi elaun. Walaupun tidak lumayan, mampu juga aku berbelanja membeli barangan keperluan harian. Paling terbaru, khabarnya mengikut Belanjawan 2000, elaun Batin dinaikkan sebanyak seratus peratus. Baguslah!

Tiba-tiba aku teringatkan Han Cidut, isteri kesayanganku. Dahulu Han Cidut yang menyediakan makanan aku. Kemudian, kami makan bersama-sama sambil berbual tentang apa sahaja yang menarik minat kami sebelum masuk tidur. Sayangnya Han Cidut pergi dahulu sewaktu melahirkan anak sulung kami. Masa terus berlalu. Berdasarkan kepada kedudukan matahari yang sudah melepasi garisan tegak, aku tahu bahawa hari mulai petang. Dari jauh aku lihat beberapa orang penduduk kampung berjalan menuju ke sini. Aku lihat Terbang pun hadir sama. Seketika, laman rumahku mula dipenuhi oleh penduduk kampung yang setia. Dan Dedai yang menjadi orang terakhir tiba terus merapati aku. ”Boleh kita mulakan Batin?” Tanya Dedai seakan tidak sabar. ”Mulakanlah!” Aku memberi persetujuan. ”Begini, tujuan kita berkumpul pada hari ini ialah kerana Batin hendak membuat satu pengumuman penting. Silakan Batin,” jelas Dedai menampakkan ketokohannya. ”Mula-mula aku ucapkan terima kasih kerana datang ke sini. Pada hari ini aku akan umumkan siapa yang akan jadi Batin selepas ini. Aku harap semua penduduk ikut cakap aku supaya tiada masalah di kemudian hari.” ”Maafkan aku Batin. Aku tidak setuju. Mengapa Batin buat semua ini?” Pintas Terbang. ” Aku tidak mahu ada yang berebut hendakkan jawatan ini,” kataku penuh yakin. ”Siapa yang hendak berebut?” ”Mana kita tahu. Mungkin ada orang yang guna cara kotor. Pujuk orang kerajaan!” Celah Dedai pula. ”Batin tidak sepatutnya memikirkan masalah ini. Ini masalah kami yang tinggal. Batin kena banyak berehat, bukannya fikir hal yang bukan-bukan. Batin pun bukannya sihat sangat,” jelas Terbang. Betul juga, fikirku. ”Batin perlu buat keputusan sekarang juga. Jika tidak lebih baik aku balik. Buang masa aku sahaja!” Desak Dedai. ”Dedai, cuba jangan desak Batin lagi,” pinta Terbang sambil menahan sabar. ”Kamu diam! Kamu tahu apa? Menjual kampung halaman sendiri, menggadai maruah bangsa, itu sahajalah yang kamu tahu!” Dedai terus menuduh membuatkan Terbang tersentak. ”Kamu menuduh aku?” Ujar Terbang cuba bertahan.

”Memang betul! Kamu sepatutnya menghalang apabila ada orang yang mahukan tanah kita, bukan menyokong!” ”Mereka bukannya mahu mengambil begitu sahaja. Mereka cuba membangunkan kawasan di sini. Membantu memajukan kita. Kita akan diberikan penempatan yang lebih baik,” ulas Terbang, masih lagi tenang. Tiba-tiba lalu sebuah kenderaan pacuan empat roda di belakang penduduk kampung yang sdang berhimpun. ”Kamu panggil Encik Hassan?” Tanyaku pada Terbang. Aku cukup tidak suka apabila ada orang luar cuba masuk campur dalam perbincangan kami. Darahku mula mendidih kembali. ”Tidak Batin, sumpah! Barangkali dia sekadar melawat,” Terbang cuba meyakinkan aku. ”Memang dia yang panggil Batin! Talibarut! Penipu! Pengkhianat!” Jerit Dedai, marah. Sambil itu jarinya ditudung tepat ke muka Terbang. ”Sudah!” Bentak aku, cuba meleraikan. ”Tapi dia sudah melampau Batin!” Jawab Dedai, masih lagi berdegil. ”Sudah! Aku kata sudah, sudahlah!” Tiba-tiba aku rasakan saluran pernafasanku bagai disumbat. aku gagahkan juga untuk bernafas, tetapi terlalu payah. Pendanganku mula berbalam-balam. Serta merta badan ini terasa ringan dan aku rebah ke bumi. Melihatkan itu, Terbang dengan pantas menyambar tubuhku. Aku sempat melihat mukanya yang begitu cemas. Dedai juga begitu. ”Dedai, pergi beritahu Encik Hassan. Cepat!” Arah Terbang. Aku tidak tahu kenapa badanku terlalu lemah untuk digerakkan. Dan suaraku yang menjerit meminta bantuan rupanya tidak didengari oleh sesiapapun. Aku mula takut. Sementara itu, aku semakin payah untuk bernafas. ”Batin, bertenang Batin. Saya tidak kisah jika Batin marahkan saya. Tapi izinkan saya bawa Batin ke hospital dahulu. Dalam keadaan sekarang, nyawa Batin lebih penting. Saya ikhlas hendak tolong,” rayu Encik Hassan penuh kesungguhan. Daripada raut wajahnya, memang dia kelihatan ikhlas. Kalau Dedai bertanggungjawab kepada bangsanya sendiri, Encik Hassan pula bertanggungjawab kepada bangsanya dan bangsa lain. Sungguh aku terharu! Sekalipun mungkin terlewat,

aku tetap bertuah dan bersyukur kerana sempat hidup di bumi paling aman dan harmoni ini. Bumi yang berjaya menyatupadukan rakyatnya tanpa wujud diskriminasi kaum. ”Terbang, maafkan aku kerana sentiasa salah sangka terhadap kamu. Kamu sebenarnya mengambil berat tentang masa depan kaum kita. Teruskan usaha kamu untuk menyedarkan mereka,” aku cuba mengeluarkan suara tetapi sia-sia. ”Dedai, kamu juga bertanggungjawab sebenarnya. Tetapi perasaan takut dalam diri kamu membuatkan kamu menolak kemajuan ini bulat-bulat. Aku harap kamu akan faham. Jangan kamu ulangi kesilapan aku ini.” Aku lihat Terbang dan Dedai masih lagi cemas. Mereka sama-sama sibuk mengusungku masuk ke dalam pacuan empat roda Encik Hassan. Aku semakin lemah. Kelopak mataku juga semakin payah untuk dibuka lama-lama. Hospital masih jauh lagi. Mengapa Encik Hassan tetap bersusah payah membawaku ke hospital? Han Cidutkah itu? Mana anak kita? Alangkah gembiranya hati aku, akhirnya isteri kesayanganku datang. Aku memandang sekeliling. Aku pandang Terbang, kemudian Dedai. ”Aku di sinilah! Di sini. Bukan di situ lagi!” Terbang dan Dedai seakan tidak mengendahkan aku. Mata mereka tidak lepas memandang sekujur tubuh di ribaan mereka. Mengapa mereka tidak memandang aku yang berada di sini? Mengapa?