You are on page 1of 1

[sunting] Sejarah Bangunan Sultan Abdul Samad

Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan diantara bangunan lama yang terdapat di Kuala
Lumpur dan merupakan bangunan warisan yang masih dilindungi keaslian rekabentuknya.
Bangunan ini dibina pada tahun 1893. Tetapi perletakan batu asas bagi bangunan ini hanya
dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-
negeri Selat ketika itu. Bangunan ini siap dibina dan digunakan pada tahun 1897. Nama
bangunan ini diambil sempena nama Sultan Selangor yang memerintah pada ketika itu, iaitu
dalam tahun 1896. Bangunan itu merupakan mercu tanda Kuala Lumpur yang gah pada masa
itu.
Bangunan tersebut terletak pada satu tapak diantara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai
Gombak dan terkenal kerana merupakan satu tapak yang strategik, iaitu ditengah-tengah
pusat bandar Kuala Lumpur. Keluasan kawasan tersebut adalah 10,200 meter persegi. Di
bahagian belakangnya terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Mahkamah
Persekutuan. Kedudukan bangunan dikatakan strategik kerana terletak berhampiran dengan
Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek yang kesemuanya terletak
berhampiran Sungai Gombak. Sebelum merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan
sebuah Pusat Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen- General,
Pejabat Besar Pos dan selepas kemerdekaan pula, ia dijadikan sebagai Pejabat Setiausaha
Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan.
Bangunan Sultan Abdul Samad ini juga menempatkan Mahkamah Agung Malaysia dan
sebahagian daripada Mahkamah-mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur pada tahun 1978.
Pelan bangunan ini telah direkabentuk oleh arkitek dari British bernama A.C. Norma (yang
bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur) dan dibantu oleh seorang jurutera juga
berasal dari British, iaitu C.E. Spooner. Bangunan Sultan Abdul Samad ini sangat unik seni
binanya dan merupakan diantara bangunan yang tersohor pada ketika itu. Ia mempunyai dua
tingkat setinggi 57 kaki yang berbentuk ladam dan di tengah-tengahnya terdapat satu dataran
tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik. Terdapat juga tiga
kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked.Bangunan ini juga mempunyai satu serambi
besar tertutup yang merupakan suatu elemen penting dalam rekabentuk bangunan ini.
Bangunan Sultan Abdul Samad yang berbentuk ‘saracenic’ merupakan satu ciri senibina
Moorish dan Moghul yang berunsurkan Islam. 3 buah kubah yang menghiasi bangunan ini
membuktikanya. Pada peringkat awal ia diperbuat daripada kayu dan batu bata yang dicat
warna hitam, namun ianya telah digantikan dengan kubah yang bersalut tembaga. Sebanyak
RM 152,000 telah dilaburkan untuk membina bangunan ini dan merupakan bangunan yang
termahal di rantau ini pada ketika ianya didirikan.
Pada sekitar tahun 1978, pengubahsuaian bangunan telah dibuat dan siap sepenuhnya dalam
tahun 1984 dengan anggaran belanja sebanyak RM 17.2 juta. Pada ketika itu kerajaan
Australia telah menyumbang sebanyak RM 200,000 sebagai kos menyadur tembaga bagi
ketiga-tiga kubah yang terdapat pada bangunan tersebut pada tahun 1982. Pengubahsuaian
dilakukan hanya pada bahagian dalam bangunan tanpa menjejaskan bahagian luarnya dan
kedudukan asal bangunan tersebut. Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad
ini sekali lagi dirasmikan pada tahun 1984.