You are on page 1of 6

REFLEKSI PENGALAMAN SEBELUM PENULISAN KERTAS CADANGAN

Saya sudah sedia maklum bahawa pada akhir tahun pengajian guru pelatih di institut, kami dikehendaki menjalankan satu kajian tindakan. Namun, saya tidak mengetahui bahawa terdapat dua bahagian penting dalam menjalankan kajian tindakan ini iaitu yang pertama, adalah bahagian untuk penulisan kertas cadangan kajian tindakan dan bahagian yang seterusnya merupakan laporan kajian tindakan yang telah dijalankan. Sejujurnya, sewaktu mendapat taklimat daripada pensyarah tentang keperluan menyediakan kertas cadangan kajian tindakan, saya lansung tidak dapat membayangkan bagaimanakah rupa bentuk kertas cadangan yang akan dihasilkan nanti. Sebagai inisiatif, saya telah mendapatkan contoh kertas cadangan daripada salah seorang senior institut, tetapi daripada kursus yang berlainan daripada saya. Sebelum saya memulakan penulisan kertas cadangan saya, saya membuat sedikit pembacaan dan rujukan kepada beberapa sumber. Saya merujuk kepada buku Penyelidikan Tindakan : Kaedah dan Penulisan oleh Rosinah Edinin (2011) bagi mendapatkan format penulisan kertas cadangan yang betul serta mengenalpasti isi kandungan yang perlu dinyatakan di dalam kertas cadangan yang akan dihasilkan. Selain itu, saya turut membuat bacaan kepada Prosiding Penyelidikan Matematik Sekolah Rendah bagi tahun 2011 dan 2012 untuk tujuan mengenalpasti cara penulisan berbentuk ilmiah yang perlu digunakan dalam penulisan kertas cadangan. Banyak lagi sumber-sumber lain yang telah saya rujuk terutamanya internet kerana saya ingin mengenalpasti gaya penulisan yang digunakan dalam kajian tindakan ini. Selain itu, banyak perkara yang perlu saya kenal pasti sebelum saya memulakan penulisan kertas cadangan saya. Antara aspek-aspek yang perlu saya sediakan sebelum memulakan penulisan kertas cadangan ialah menentukan tajuk kajian, mengenalpasti isu pembelajaran yang dihadapi oleh murid di sekolah, mencadangkan intervensi yang sesuai untuk menambah baik amalan pengajaran bagi mengatasi isu tersebut, merangka objektif kajian dan soalan kajian, mengenalpasti kumpulan sasaran dan latar belakangnya serta merangka perancangan tindakan yang akan dilaksanakan.

Saya bersama beberapa orang lagi rakan iaitu Nurul Aina, Nurul Amirah dan Nurul Afiqah dibawah bimbingan Puan Kamariah telah beberapa kali bertemu dan bersemuka dengan beliau bagi membentangkan isu-isu yang dihadapi oleh murid di sekolah dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik berdasarkan pemerhatian kami sepanjang menjalani praktikum dan turut mengemukakan beberapa intervensi bagi mengatasi isu tersebut. . Walaupun isu dan intervensi yang kami kemukakan telah ditolak beberapa kali, namun kami tidak putus asa kerana kami sedar inilah cabaran yang akan kami hadapi sepanjang menyediakan penulisan kertas cadangan ini. Sewaktu proses pembentangan isu dan intervensi ini, barulah saya sedar bahawa kajian tindakan merupakan satu tugasan kerja kursus yang amat berbeza dengan tugasan kerja kursus yang telah saya laksanakan sebelum ini. Tugasan pada kali ini memerlukan saya menjadi lebih teliti dan mendalami serta memahami setiap perkara yang dibincangkan. Sebagai contoh, apabila saya menyatakan sesatu isu masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid, saya juga harus mengetahui berapakah jumlah pelajar yang terlibat dalam masalah pengajaran berkenaan. Selain itu, saya juga harus mengenalpasti adakah intervensi yang dicadangkan itu praktikal untuk dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Setelah beberapa isu dan intervensi saya ditolak, akhirnya Puan Kamariah menerima salah satu isu dan intervensi yang telah saya kemukakan. Saya telah mengemukakan masalah penambahan dan penolakan yang dihadapi oleh murid tahun dua. Masalah yang dihadapi adalah kesilapan pengiraan hasil tambah dan hasil tolak yang sering dilakukan oleh murid sewaktu melakukan operasi selain mengambil masa yang agak lama. Manakala, intervensi yang dicadangkan pula ialah menyelesaikan operasi tambah dan tolak tersebut menggunakan gabungan dua pembaris. Namun, hanya operasi tambah dan tolak yang berada dalam lingkungan fakta asas sahaja boleh diselesaikan menggunakan intervensi ini kerana mengikut kesesuaian pembaris panjang yang terdapat dipasaran untuk murid sekolah .

REFLEKSI PENGALAMAN SEMASA PENULISAN KERTAS CADANGAN


Secara pandangan peribadi, saya merasakan proses semasa penulisan kertas cadangan merupakan tugasan yang agak sukar dan berat untuk disempurnakan dengan sebaiknya. Sewaktu penghasilan draf pertama, saya telah mengarang hampir lima hingga enam kali untuk bahagian pendahuluan sahaja. Saya ragu, adakah pendahuluan tersebut adalah cara penulisan sebenar pendahuluan untuk kertas cadangan. Namun akhirnya, saya tekad untuk meneruskan dan menyiapkan kertas cadangan draf pertama dan menyerahkannya kepada pensyarah pembimbing. Saya sedar, terdapat banyak kelemahan dalam draf pertama tersebut dan saya akan belajar daripada kelemahan tersebut. Semasa bersemuka dengan pensyarah pembimbing bagi membincangkan draf pertama saya, saya akui setiap teguran yang diberikan kerana sememangnya itu merupakan kesalahan saya dan saya tahu apa yang telah saya muatkan ke dalam kertas cadangan saya. Menurut pensyarah, kertas cadangan saya lansung tidak jelas, dan terdapat beberapa bahagian yang tersasar daripada isi kandungan yang sepatutnya. Saya tidak menafikan perkara tersebut. Selepas kertas cadangan draf pertama saya dibincangkan bersama pensyarah pembimbing, barulah saya sedar dan tahu bagaimana cara penulisan sebenar kertas cadangan dan apakah isi kandungan yang sepatutnya saya muatkan di dalam kertas cadangan tersebut. Sebagai contoh, dalam bahagian perancangan pengumpulan data bagi draf pertama saya menyatakan beberapa alat kajian yang akan saya gunakan dalam kajian saya. Saya turut memberi huraian kepada alat kajian tersebut tetapi huraian saya adalah lebih kepada definisi alat kajian berkenaan. Sedangkan sepatutnya, saya harus menyatakan bila, dimana, pada siapa dan bagaimana cara untuk saya menjalankan alat kajian berkenaan. Saya sedar kesalahan kertas cadangan draf pertama saya. Saya mempunyai isi, tetapi cara huraian saya hanya berbentuk teori dan seolah-olah huraian dalam buku rujukan. Oleh itu, dalam tempoh masa seminggu yang diberikan oleh pensyarah pembimbing, saya cuba mengharmonikan semula kertas cadangan saya. Saya

nyatakan dengan lebih jelas dan terperinci tentang apa yang akan saya laksanakan sepanjang kajian saya. Saya juga turut menerangkan bagaimanakah cara untuk menjalankan intervensi kepada kumpulan sasaran yang telah saya kenal pasti. Tempoh masa seminggu yang diberikan sangat suntuk saya rasakan. Tambahan pula, pada minggu tersebut saya berhadapan dengan dua pencerapan terakhir bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris untuk praktikum fasa tiga yang sedang saya jalani di Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin. Sungguh, saya merasakan ini saat yang paling genting buat saya kerana saya perlu bijak membahagikan masa antara keperluan praktikum dan juga untuk tugasan kertas cadangan saya. Akhirnya, saya dapat juga menyelesaikan ketiga-tiga urusan besar ini dalam tempoh masa seminggu. Secara peribadi, saya rasa puas hati dengan kertas cadangan draf kedua yang telah saya hasilkan ini. Saya dapat membandingkan perbezaan kertas cadangan draf pertama dengan kertas cadangan draf kedua saya. Segala yang kabur, sedaya upaya saya cuba jelaskan dengan lebih terperinci. Saya tahu, masih terdapat beberapa kekurangan dalam kertas cadangan kedua ini tapi saya rasa sangat gembira dan berpuas hati kerana berjaya menyempurnakan kertas cadangan draf kedua saya dalam tempoh yang diberikan. Semasa menulis kertas cadangan, banyak pengalaman baru yang telah saya kumpul. Bagi saya, penulisan kertas cadangan ini berbeza dengan tugasan-tugasan kerja kursus saya yang lain kerana bagi penulisan kertas cadangan, saya perlu mencari tajuk sendiri untuk kertas cadangan saya. Sedangkan, untuk tugasan kerja kursus yang lalu, tajuk tugasan telah diberikan dan saya hanya perlu mencari isi berdasarkan tajuk serta menghuraikan dan mengolah isi tersebut mengikut kefahaman saya. Sejujurnya, sewaktu menjejakkan kaki ke semester tujuh saya berasa takut dan gentar kerana perlu membuat kajian dan menyediakan laporan. Walaupun kertas cadangan sudah dihasilkan, ketakutan saya untuk menjalankan kajian tersebut masih belum pudar kerana bagi saya, kajian tindakan yang akan saya jalankan adalah suatu perkara yang benar-benar serius.

REFLEKSI PENGALAMAN SElEPAS PENULISAN KERTAS CADANGAN


Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya telah menghasilkan dua draf untuk kertas cadangan saya. Dan, jika diminta supaya menghasilkan kertas cadangan yang ketiga, saya bersedia kerana saya mahukan yang terbaik untuk kajian saya yang pertama ini. Saya akui, kata-kata para pensyarah saya sewaktu awal semester dahulu benar. Kami, para guru pelatih semester tujuh perlu banyak berkorban untuk tahun terakhir ini terutamanya dalam proses untuk menjalankan kajian. Banyak perkara yang perlu saya korbankan untuk penulisan kertas cadangan ini terutamanya dari segi masa, tenaga dan juga wang ringgit. Ingin saya kongsikan salah satu peristiwa yang saya lalui bersama rakan-rakan saya iaitu Afiqah, Aina dan Amirah. Sewaktu dalam proses penulisan kertas cadangan, kami pernah pergi ke perpustakaan salah sebuah universiti. Menurut salah seorang rakan kami yang menuntut di situ, para pelawat dibenarkan masuk dan membuat rujukan di perpustakaan tersebut tanpa sebarang syarat. Namun, sebaik sahaja kami menjejakkan kaki ke dalam perpustakaan itu, kami diminta menyatakan nama institusi pengajian kami. Setelah memaklumkan bahawa kami daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Teknik, kami diberitahu bahawa nama institut tidak tercatat dalam senarai yang dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan secara percuma di perpustakaan tersebut. Seandainya kami ingin menggunakan perkhidmatan di perpustakaan itu, kami dikenakan yuran sebanyak RM50 untuk setiap kali lawatan. Inilah antara cabaran yang saya hadapi sewaktu menulis kertas cadangan. Selain itu, saya juga turut kesuntukan masa untuk mencari masa terluang bagi membuat rujukan di perpustakaan institut sendiri. Setiap hari, saya pulang daripada sekolah hampir jam 3 petang sedangkan perpustakaan di institut tutup pada jam 5 petang. Saya hanya mempunyai masa lebih kurang dua jam untuk membuat rujukan. Namun, semua cabaran ini saya hadapi bersama dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain dan kami saling menyokong dan membantu sesama sendiri kerana kami memahami bebanan dan tanggungjawab masing-masing.

Cabaran-cabaran yang dihadapi ini menjadikan saya lebih matang dan lebih bijak dalam membuat keputusan terutamanya dari segi pengurusan masa dan wang ringgit. Selain itu, saya juga sedar bahawa banyak ilmu dan pengetahuan baru yang saya dapat pelajari sepanjang proses penulisan kertas cadangan ini. Saya belajar untuk menilai diri sendiri, menilai hasil perancangan pengajaran harian saya dan saya juga belajar untuk menilai hasil pengajaran dan pembelajaran yang telah saya jalankan. Proses penilaian ini membantu saya mengenalpasti kelemahan amalan pengajaran saya dan seterusnya merancangkan satu strategi ataupun intervensi bagi menambah baik amalan pengajaran saya. Saya bersyukur kerana dikelilingi oleh ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan yang sering memberi sokongan dan pendapat jika diperlukan. Harapan saya agar untuk proses seterusnya iaitu perlaksanaan kajian tindakan serta penulisan laporan kajian tindakan, semua urusan akan dipermudahkan. Saya juga berharap agar saya dan rakan-rakan guru pelatih 7PISMP Matematik ambilan Januari 2010 dapat memberikan hasil kajian yang terbaik dan memuaskan hati semua pensyarah Jabatan Matematik sebagai tanda penghargaan kami ke atas segala ilmu yang telah kami perolehi sepanjang berada di institut ini. Dikesempatan ini, ingin saya rakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Puan Kamariah, selaku pensyarah pembimbing saya untuk penulisan kertas cadangan ini. Terima kasih puan kerana sanggup membaca dan memberikan pandangan kepada kertas cadangan saya walaupun ianya teruk dan tidak memuaskan hati. Saya berharap, saya masih diberi peluang untuk memperbaiki kelemahan saya dalam kertas cadangan ini. Selain itu, saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan saya yang bersama-sama menempuh segala cabaran iaitu Nurul Aina, Nurul Amirah dan juga Nurul Afiqah. Semoga jasa baik kalian akan diberikan balasan sebaiknya daripada Yang Maha Berkuasa. Segala jasa baik kalian akan saya kenangn hingga ke hujung nyawa. Sekian, wasalam.

You might also like