You are on page 1of 3

Menjaga Kebersihan Tanggungjawab Kita Bersama Oleh: Low Lay Hoe Bersih atau istilah dalam bahasa Arab

iaitu nazifah adalah menjadi akar kata daripada sepotong Hadith nabi SAW yang bermaksud, Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Huraian daripada Hadith di atas adalah menuntut supaya semua pihak mengutamakan kebersihan dalam semua perkara. Kebersihan lahir daripada hati yang nurani dan diterjemahkan dengan sikap dan tingkah laku. Orang yang bersih jiwa nescaya bersihlah sikap dan tingkah laku lalu diterjemahkan dalam kehidupan. Walakin, isu kebersihan terus menjadi wahana penting dalam masyarakat apabila masih ada segelintir anggota masyarakat yang tidak peka terhadap amalan yang sangat penting ini. Hal ini agak menyedihkan sejak belakangan ini. Sikap individualistik dengan perilaku lempar batu sembunyi tangan terus menyumbang terhadap pencemaran alam sekitar. Oleh itu, pelbagai prakarsa yang drastik perlu digemblengkan oleh semua pihak agar Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang bersih, sejahtera dan harmoni.

Seperti yang telah kita sedia maklum, inisiatif yang paling perdana lahir daripada diri sendiri. Jikalau diukur daripada pernyataan Hadith Nabi yang bermaksud, Setiap anak itu adalah putih bersih, melainkan ibu bapalah yang bakal mencorakkan warna untuk mereka dengan jelas menerangkan bahawa setiap insan itu pada asalnya adalah bersih. Sepatutnya, setiap individu hendaklah menjadikan kebersihan sebagai mukadimah dalam semua urusan hidupnya sama ada kebersihan fizikal, pakaian dan makan minum. Kebersihan hendaklah dijadikan kelaziman bukan paksaan. Selanjutnya, kebersihan dan kekemasan sepatutnya dijadikan pancaran imej personaliti seseorang. Sebagai insan yang sempurna, kita seharusnya menampilkan diri dengan fizikal yang kacak, pakaian yang segak dan pekerti yang hemah.

Di rumah, ibu bapa menjadi individu terpenting atau entiti misali untuk memperkasakan amalan kebersihan dalam kalangan anggota keluarga. Ibu bapa memainkan peranan signifikan untuk menitikberatkan didikan agama yang mantap dalam diri kanak-kanak sejak bangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua agama menekankan aspek kebersihan dan menegah penganutnya daripada melakukan kekotoran yang akan menjejaskan kemaslahatan awam. Dengan adanya didikan agama yang teguh, insan yang mementingkan kebersihan di tempat awam atau kebersihan alam sekitar dapat dilahirkan. Selain itu, ibu bapa patutlah menunjukkan perlakuan yang baik dalam aspek kebersihan tanpa mengira di mana-mana jua mereka berada kerana tingkah laku mereka

akan menjadi teladan dan ikutan anak-anak mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa tidak seharusnya bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget. Misalnya, ibu bapa haruslah membuang sampah ke dalam tong sampah. Dengan ini, anak-anak yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang akan mencontohi perbuatan ibu bapa mereka dan akan dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan mereka kerana alah bisa tegal biasa.

Jika kita telusuri dari sudut perspektif yang lain, peranan media massa juga tidak dapat diketepikan dalam proses untuk menjaga kebersihan diri dan alam sekitar. Media massa seperti radio, televisyen dan suratkhabar mendatangkan pengaruh yang mendalam dalam kehidupan harian. Rancangan dan program yang dapat menyemaikan kesedaran menjaga kebersihan awam dalam kalangan rakyat harus disiarkan melalui saluran media cetak dan media elektronik dari semasa ke semasa. Tujuannya adalah untuk menyedarkan rakyat tentang peri pentingnya kebersihan terhadap kesihatan masyarakat. Bukan itu sahaja, kempen kebersihan awam seperti Cintailah Sungai Kita dan slogan Negara Bersih Sihat patut digiatkan untuk membangkitkan kesedaran sivik masyarakat negara ini untuk memelihara kebersihan awam. Kempen yang dijalankan oleh pihak media massa perlulah berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Melalui kempen kesedaran ini, kita dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar dan tempat awam senantiasa bersih dan dipelihara. Dengan ini, kempen kesedaran ini dapat mencapai matlamatnya apabila semua rakyat Malaysia sedar akan kepentingan kebersihan awam.

Pada era pascakemerdekaan ini, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan isu kebersihan seperti Akta Alam Sekitar 1971 dan Akta Kilang 1974 untuk mengatasai masalah kebersihan awam. Hukuman yang lebih berat harus dijatuhkan kepada sesiapa yang bersikap bena tak bena terhadap kebersihan awam. Sekiranya perbuatan mencemarkan alam sekitar dan tempat awam masih diulangi, denda yang berlipat ganda harus dikenakan dan disertai dengan hukuman yang lebih tegas . Misalannya, negara Singapura telah banyak mengusulkan cadangan yang drastik dan membina dalam usaha membasmi masalah kebersihan awam. Antara cadangannya ialah rakyat negara itu yang ditangkap membuang sampah sarap atau puntung rokok di tempat awam akan dikenakan denda yang tinggi oleh pegawai polis yang bertugas. Sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut terus dikenakan denda berat di tempat kejadian itu. Bagi menjaga maruah diri, mereka yang bersalah akan

tidak berani untuk mengulangi perbuatan terkutuk itu di tempat awam. Maka, tidak mustahillah negara Singapura digelar sebagai Taman Bandar Raya yang terkenal dengan kebersihannya. Oleh itu, kita harus mencontohi ketegasan undang-undang negara Singapura kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Sesungguhnya, ketegasan undang-undang mampu melahirkan individu yang menitikberatkan aspek kebersihan dalam kehidupan.

Akhirulkalam, kebersihan awam dapat dijaga dan dipelihara melalui komitmen daripada pelbagai pihak. Sikap individualistik dan ketiadaan kesedaran sivik terhadap kebersihan awam perlu dikikis. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Doktor Mahathir bin Mohamad pernah meluahkan perasaan kecewa beliau terhadap sikap rakyat negara ini yang memandang remeh terhadap kebersihan awam setelah melihat keadaan di sekeliling Bukit Bintang yang menjijikkan, ditimbuni sampah sarap yang dihinggapi lalat. Beliau telah menyarankan rakyat Malaysia supaya mengamalkan sikap mementingkan kebersihan awam dalam kehidupan harian. Kebersihan kawasan sekitar sememangnya merupakan aspek yang amat penting untuk menjamin keharmonian sejagat. Kita tentu tidak ingin berharap agar generasi yang akan dating dapat hidup dalam keadaan yang dicemari, menyedut udara yang kotor, serta minum air yang bermikroorganisma. Tegasnya, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita bersama-sama mempraktikkan kebersihan diri dan kebersihan awam demi kesejahteraan hidup dari semasa ke semasa!

You might also like